Kembara Eropah 1

Posted: under Dakwah, Pendidikan, Rencana.

Saya bersama ayah saya di Victoria Station, London. Melihat laju dan berpusu-pusu umat manusia di sekitar London jelas mereka telah “membaca” suratul-Asr dari Al-Quran. Tetapi…mereka baca dengan perlaksanaan.

Alhamdulillah, saya telah selamat sampai ke Kota London beberapa hari lepas dengan penerbangan dan transit sejauh 18 jam keseluruhannnya. Saya dan keluarga sempat melawat Universiti ke-2 terbaik dunia, Universiti Cambridge selepas Havard di USA. Melihat kepada sejarahnya bagaimana Sir Isaac Newton kepada legenda Stephan Hawking menyedarkan saya bahawa kemashyuran ilmuan barat tidak dapat disangkal daripada terjemahan praktis ilmu Allah yang maha luas.

Dalam Al-Quran sendiri menyatakan keluasan ilmuNya sehingga sekiranya 7 lautan dijadikan tinta (dakwat) untuk menulis ilmu-ilmu Allah, nescaya tak habis ditulis walaupun ditambahkan lagi jumlah tinta dari 7 lautan lagi. Keazaman dan kesungguhan Stephan Hawking yang kini berkhidmat sebagai seorang professor kanan di Universiti Cambridge sangat mengujakan saya sendiri bagaimana dalam keadaan serba kekurangan beliau, penciptaan masih tetap berlaku. Terkini beliau mencipta sebuah jam kinetik yang bersingkron tinggi dengan keupayaan kinetik dan mekanikal yang benelan belanja 1 juta Pound.

Ketika kolej pertama Universiti Cambridge ditubuhkan pada sekitar tahun 1300++, di manakah kita ketika itu? Masih lagi bermain tanah, tidak pandai mencipta dan masih lagi mengharapkan orang luar seperti Parameswaras serta penjajahan Belanda, Portugis dan Inggeris bagi menghidupkan kita pada keselesaan sekarang ini. Setelah lebih 700 tahun, adakah kita telah berubah? ataupun…masih lagi menjadi golongan pengguna teknologi berbanding pencipta teknologi.

Catatan pertama ini menyimpulkan secara keseluruhan tentang kebaikan yang ada di tanah penjajah ini. Segala yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari kita sendiri. Jadi, tidak salah kalau saya katakan, kebaikan mereka kini adalah hasil perlaksanaan ilmu Allah yang sedikit mereka ada. Manakala kita yang mempunyai segugusan lautan ilmu masih menyimpannya dalam kitab suci yang ditilawahkan tanpa perlaksanaan dan memperhalusinya. Di manakah kita berbanding mereka?

Yahudi mengunakan kitab taurat yang hanya terkandung beberapa ayat tetapi dipraktiskan sehabis-habisnya. Nah…sekarang mereka menguasai 70% ekuiti perniagaan dunia. Kuasa 1 individu seperti George Soros hanya memerlukan 1 saat untuk menjadikan jutaan manusia mati kebuluran, jutaan manusia hilang pendapatan, jutaan manusia mati bunuh diri dan banyak lagi. Di manakah kita?

Menelusuri kehidupan masyarakat di London, saya sempat berkenalan dengan seorang porter hotel yang berkelulusan ijazah dalam hospitality dan bekerja sebagai porter hotel yang sangat professional dan mengangkat ekonomi negara mereka. Di darjah berapakah porter hotel kita belajar pada kali terakhir? Fikirkanlah semula sekiranya masih ingin mendabik dada bahawa Islam itu yang terbaik umatnya. Islam itu MEMANG yang terbaik (Surah At-Taubah, Verse 33) tetapi soalnya, adakah umatnya mengambil pelajaran melalui perlaksanaan? Saya jawap…tidak. Berani kalau saya katakan, kurang 1% pun perlaksanaan Al-Quran pada diri kita sebagai orang yang mengesahkan kitalah HAMBA ALLAH.

Fikirkan semula, Azazil pernah jadi penghulu segala Malaikat jatuh hukum menjadi Iblis yang sesat hanya kerana ingkar 1 ayat sahaja dalam Al-Quran. Ayat yang mahukan Azazil tunduk kepada Adam. 1 ayat sahaja yang membezakan neraka jahannam dan Syurga Firdaus. Sekarang, berapakah ayat yang kita telah langgar untuk menjadikan diri kita lebih baik dari Iblis ?? Perlanggaran ayat dengan cara tidak melaksanakan Al-Quran.

Petang ini saya selamat tiba di sebuah lagi negara penjajah iaitu Belanda dan akan terus kepada satu lagi negara kuasa besar dunia satu ketika dulu dalam bidang ketenteraan tetapi kini menjadi kuasa besar ekonomi dunia iaitu Germany. Catatan akan terus bersambung bagi melihat di manakah Islam yang kita sayangi ini telah tumpas. Perjalanan ini juga bagi menyedarkan kita bagaimana ruginya kita membiarkan segugus ilmu dikertas hanya terus terzahir atas kertas dan tidak menjadi perlaksanaan.

Catatan akan bersambung…salam Ukhwah dari saya dan keluarga dari Kota Amsterdam.

DATO’ SAIFUL NANG, Amsterdam.

Comments (18) May 22 2009


Istimewa hari Ibu

Posted: under Aktiviti Prihatin, Pendidikan, Rencana.

Alhamdulillah, hari ibu di Prihatin disambut sederhana tetapi meriah dengan penghargaan demi penghargaan kepada golongan ibu. Walaupun ramai yang di sini sudah tidak lagi merasai kehadiran ibu, tetapi sekurang-kurangnya semuanya dilahirkan oleh seorang ibu. Sehebat manapun manusia, sebesar manapun kuasanya, setinggi manapun kejayaannya, masih tetap lahirnya dari seorang ibu dan dibuai juga oleh tangannya ibu.

Itulah besarnya fungsi seorang ibu yang seringkali diperlekehkan oleh generasi sekarang. Ibu hanya perlu apabila wang saku sudah kering, ibu dilupa bila anak sedang berseronok dan bersenang lenang. Kisah hikayat Melayu sahaja sudah banyak menujukkan secara  simbolik tentang kuasa keramat seorang ibu. Hingga sumpah ibu boleh menukar kapal dan kelasi-kelasi Si Tanggang menjadi batu. Sumpah keramat ibu juga bisa buka bumi untuk menelan anak derhaka dalam Sumpah Semerah Padi.

Sedangkan nabi tunduk pada Ibu 3 kali dan yang ke-empat barulah kepada bapa. Mengapa naif sangat anak bangsa kita yang bukan sahaja mengatakan “Ahh” (seperti tegahan Allah dalam Al-Quran) malah lebih teruk lagi. Kes ibu ditempeleng anak sudah lumrah berlaku disekeliling anda, ibu dipukul anak juga sudah normal, ibu dikurung anak juga sudah biasa, ibu dibunuh anak juga semakin menjadi lumrah. Lumrah yang manusia cipta. Apabila sesuatu yang bathil terjadi di hadapan mata dan kita membiarkannya sahaja, lama kelamaan kebathilan itu akan dilihat seperti satu perkara biasa dan lumrah.

Di Prihatin sempena hari ibu, anak-anak menghadiahkan satu hadiah yang sangat besar kepada golongan ibu. Persembahan sketsa bagaimana seorang anak yang dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh membesar menjadi pembunuh kepada ibu yang pernah menjadi saluran kelahiran yang menghidupkannya dahulu. Di tambah dengan lagu-lagu latar yang bertepatan dengan genre, tanpa sedar air mata saya bergenang. Lantas saya cari isteri saya dan saya peluknya kerana besar sangat nilaian Allah kepada golongan mereka ini. Genangan itu juga membawa saya pulang mengingati besarnya pengorbanan arwah ibu saya dalam membesarkan saya sehingga akhir hayatnya. Tiada apa yang boleh dibayar setimpal dengan pengorbanan itu.

Para bapa pula menghadiahkan sebuah koir yang bertajuk “Ibu” dendangan Allayarham Tan Sri P.Ramlee yang dirakamkan dalam sebuah video amatur dan juga ucapan-ucapan dari hati oleh semuanya kepada golongan ibu. Persembahan yang disampaikan bersahaja, imperfect tetapi padat dengan pelajran dan pesanan yang dapat membuat hati ibu-ibu digoncang dan airmata bergenang.

Kemuncak Hari Ibu pada Ahad lepas ditutup dengan ucapan Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin Tuan Haji Dr. Masjuki bin Haji Musuri. Kalau dapat saya simpulkan ucapan beliau, pada hari ibu yang sebenarnya bukan 1 hari tetapi penghargaannya adalah sepanjang hayat, setiap hari dan setiap detik. Mewakili suara kaum bapa, Dr. Haji Masjuki merendahkan diri dan mengalah kepada kaum-kaum ibu yang duduk letaknya sangat mulia dan sangat tinggi di sisi Allah. Benar pepatah yang mengatakan “Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia”. Kerana dengan hayunan buaian (asuhan) ini lah, anak-anak membesar menjadi pemimpin ternama yang mampu mentadbir alam.

Kepada kaum ibu, Selamat Hari Ibu dari kami Warga Prihatin.

Oleh : Dato’ Mohamad Saiful bin Nang, Co-Founder PRIHATIN.

Comments (15) May 14 2009


AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA

Posted: under Pendidikan.

Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia.  Firman Allah SWT :

QS 33:21.
Kamu ada satu teladan yang baik pada rasul Allah bagi sesiapa yang  mengharapkan Allah dan Hari Akhir, dan mengingati Allah dengan banyak.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak
mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW.  Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di
akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan
kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat
semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang
dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa
kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan
ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-
Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-
Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: “Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN

Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin
kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana “Keluarga Bahagia” yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang  cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia  dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.

Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendamBakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita,

Apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan “Kalamullah” dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Comments (13) May 05 2009


Bila manusia di ketuk pintu hatinya

Posted: under Dakwah, Pendidikan, Rencana.

Manusia dijadikan Allah dari segumpal tanah. Dari segumpal tanah itulah manusia diberikan seketul daging. Hati. Di dalam hati itu lah tempatnya manusia meletakkan ketentuan sama ada batil atau yang hak.

Zaman berganti zaman , era berganti era…. Manusia menempatkan diri dari satu tamadun ke tamadun yang akhirnya melangkah tanpa sempadan. Dengan pendengaran serta penglihatan yang dimiliki manusia belum cukup dalam meniti ilmu , seharusnya hati menjadi penentu di dalam meletakkan keputusan. Bila hati di letakkan dan dibiarkan tanpa penghalusan manusia menjadi semakin ‘keras’ . Keputusan yang di buat berdasarkan nafsu tanpa memikirkan kesejahteraan sejagat. Manusia semakin rakus dengan kemewahan, keseronokan, pangkat , serta akhirnya nilai rohani di buang jauh dari lubuk hati.

Alangkah malangnya manusia ini, ilmu yang diperolehi tak di manafaatkan, sijil menjadi syarat ganjaran, wang menjadi tuhan , pangkat menjadi rebutan, habuan menjadi rebutan , moral yang di ajar di sekolah di abaikan. Manusia yang tidak mengenal nafsu, meniti ilmu tanpa memikirkan kesejahteraan alam. Ilmu tentang alam yang di pelajari tidak mahu di fikirkan. Wajah syaitan yang ketawa hingga meleleh air mata melihat kebodohan manusia yang nampak tapi buta, yang mendengar tapi tuli yang hatinya jelas tidak di sentuh dengan kehalusan jiwa yang seni.

Anak-anak yang dilahirkan bersih, di momokkan dengan kemewahan yang kononnya mampu bahagia di masa depan , hasilnya neraka yang di cipta dari tangan-tangan mereka yang laksana tanpa ilmu di dada.

Hati tidak disentuh dengan cahaya. Air yang mengalir berlalu begitu saja tanpa pelajaran . Hujan yang turun hanya sebagai hiburan alam, cahaya yang menyinar gelap pandangan. Guruh yang berdentum hanya sebagai lambungan memekakan teliga. Angin yang berlalu hanya buat bodoh sahaja.

Sudah tiba masanya manusia yang semakin menjadi majoriti di kalangan masyarakat ini di ketuk dan di palu sekuatnya dengan pelempang./tangan-tangan kasar yang kuat supaya rasa sakit yang teramat, baru sedar bahawa apa yang dilaksanakan suatu yang membawa kepada kerosakan generasi.

Bagi generasi baru yang bakal dicipta mesti dilembutkan hati dengan ilmu serta akhlak yang baik di dalam membentuki generasi Islam sebenar. Dengan ilmu yang tanpa dolak dalik yang ada akal bukan mengakal-akal , yang pandai bukan memandai-mandai …. Hanya datangnya dari Allah yang mengetuk hatinya dengan Al Quran. Hati siapa yang akan menyahut cabaran…..

Sadaqallah hul azim…..

Yazid

Comments (5) May 03 2009





>

Login






Lost password?

Calendar

May 2009
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Categories


Recent Posts


Recent Comments


Archives


Blogroll


StatPress

Visits today: 141

  • Log in
  • Valid XHTML
  • XFN
  • WordPress