Travel Log Haji SN – 4 – Siapa yang mampu Haji

00 tl 4

CATITAN KEMBARA PRIHATIN DI BUMI ANBIA’ : HAJI PELENGKAP ISLAM BAGI YANG MAMPU. SIAPAKAH YANG MAMPU?

Hari ini saya berdiri memerhatikan jemaah-jemaah haji yang datang dari serata dunia mengerjakan saie seperti biasa sambil menjalankan tugas saya di Tanah Suci Mekah ini. Namun begitu, keberadaan saya di sini telah menampakkan saya akan suatu perkara yang lebih besar untuk kita kenalpasti mengapa Islam yang ada hari ini tidak lagi gemilang seperti dahulu.

Saya melihat di sebelah kanan saya, mereka yang kurang keupayaan untuk bersaie sedang diusung dengan kerusi roda oleh para petugas khas malahan diantara mereka yang diusung itu tadi, ada yang tertidur lena diatas kerusi roda. Mungkin kerana keenakan hawa dingin ditambah pula rasa selesa terbuai diatas kerusi roda yang empuk semasa mereka bersaie. Kita pastinya tidak akan mampu merasai kepayahan Siti Hajar dengan Saie sambil Lena sebegitu.

Disebelah kiri saya pula, ribuan manusia yang datang dari merata dunia, pelbagai bangsa dan warna kulit, melakukan saie berlari-lari anak secara bersendirian, ada juga yang berkumpulan, malah ada yang berihram, dan ada juga yang tidak. Anda mungkin lebih tahu ibadah apa yang sedang dilakukan oleh mereka yang tidak memakai ihram itu dari saya. Atau mungkin mereka sedang bersenam agaknya, saya sekadar bersangka baik saja.

SENDIRIAN di sini saya memikirkan sama ada mereka yang dihadapan saya ini sebenarnya faham secara prinsip mahupun falsafah disebalik apa saja yang mereka lakukan di sepanjang menjalankan ibadah haji mereka. Mungkinkah mereka hanya buat saja sepertimana yang telah diajarkan oleh para ustaz mereka. Ataukah mereka hanya mengikut sahaja mutawwif mereka seperti seekor burung kakak tua yang diajar berkata-kata tanpa tahu pun apa maksudnya? dan mengapa ia diucapkan dan dijalankan ritualnya.

Haji merupakan rukun Islam ke-5, pelengkap kita sebagai umat Islam. Ia adalah untuk mereka yang berkemampuan kerana hakikatnya Islam itu hanya bagi mereka yang mampu sahaja. Bagi mereka yang tidak mampu, Islam kelihatannya kekurangan kerana Islam mereka hanya 4/5, tidak lagi 5/5. Namun, pada hari ini, kemampuan mengerjakan haji jelas dilihat berdasarkan keupayaan harta dan fizikal semata-mata sehingga ada yang mampu mengerjakan haji berkali-kali seumur hidup. Kemampuan harta dan kuasa menafikan kemampuan akal dan amal marhaen yang direbut kuota hajinya…!

Oleh itu, keberadaan saya disini telah membuka mata hati saya melihat hakikat kemampuan yang sebenar dalam ibadah haji. Ia bagi saya terletak pada kemampuan untuk berfikir mensyukuri nikmat akal dengan mengutip hujah-hujah selama berada didalam musim haji (musim hujjah). Hujah dan maklumat itu yang perlu dibawa pulang ke kampung halaman sebagai buah tangan yang sebenar, bukan lagi bertong-tong air zamzam, ataupun kurma semata-mata. Sekurang-kurangnya, kita tak risau pesawat kita jatuh kerana terlebih muatan.

Sepatutnya para jemaah haji MAMPU untuk menggunakan akal mereka mengutip hujah-hujah dan pelajaran daripada jemaah lain yang pelbagai bangsa dan budaya dari serata dunia. Mereka harus mampu berfurqan untuk membezakan antara yang haq dan bathil. Dengan itu, barulah percampuran BANGSA-BANGSA ISLAM BERSATU ini mampu menjadikan Islam bangsa yang hebat.

Ingatlah, kita dahulu telah ada PBB kita sejak Nabi Ibrahim a.s lagi bukannya Barat. Haji pula satu KONVENSYEN TAHUNAN ISLAM TERBESAR SEDUNIA. Inilah masanya pemimpin boleh mengenali masalah marhaen tanpa protokol. Selain itu, kemampuan berfurqan ditajamkan lagi dengan samarata sehingga kita mampu membaca dan memahami Al-Quran dalam maksud yang berbentuk muhkamad (tersurat) juga mutashabihat (tersirat) dengan serentak.

Hasil interaksi saya bersama jemaah haji, juga para ustaz dan mutawif yang sempat saya kenal di sini, kebanyakan mereka tidak mampu menampakkan hakikat haji sebagai hujjah dan mereka sekadar menjawab untuk kita IKUT SAHAJA tanpa banyak bicara. Bagaimanakah pula dengan Surah Al-Isra ayat 36 yang melarang saya mengikut-ikut tanpa pengetahuan? Tidakkah kenyataan ustaz ini bercanggah dengan arahan Allah?

Segala bentuk permasalahan dan hujah dari serata dunia sepatutnya dihimpunkan untuk dinilai semula dan kemudian disimpulkan (hakikat tahlul). Kesimpulan itu lalu dibawa pulang untuk diadakan penambahbaikan, agar negara-negara Islam tidak lagi berpecah dan pencapaian negara-negara maju dan yang miskin mampu disawasiahkan.

Ribuan terima kasih kepada mereka yang prihatin dan berpesan walau melalui komen agar saya memberikan tumpuan sepenuhnya pada ibadah haji saya disini. Namun, saya memilih untuk memerhatikan keadaan sekeliling dan berkenalan dengan mereka yang datang dari serata dunia untuk saya iqra-kan (kaji dan analisa). Saya sedang mengumpul hujjah dan fakta Islam dari haji saya agar memperoleh pelajaran darinya untuk dibawa pulang sebagai bekalan memperbaiki polisi hidup saya dan rakan rakan semua. Itulah hakikat haji dan itulah yang sedang saya lakukan di sini.

Inilah metodologi pengumpulan hujjah dan ianya juga satu ibadah bukan? Maka, tidak perlu jumud untuk berulang kali nasihatkan saya supaya tinggalkan kamera atau komputer dan fokus kepada ritual haji saja. Tanpa menggunakan akal yang Allah berikan untuk berfurqan dan juga tidak mentablighkan secara fatonah cetusan akal yang Allah berikan saya rasakan haji saya akan sia sia. Mungkin anda pandang enteng tentang itu, antara sebab cetusan idea sering sampai ke pemikiran saya juga kerana diilhamkan oleh Allah. Sebaik ilham itu datang saya tidak menunggu lagi dan terus saya kongsikannya, kerana ramai juga rakan hujjaz yang dapat manafaatnya di sini.

Berbalik semula pada isu kemampuan, kaji semula adakah kemampuan itu pada dasar harta dan upaya fizikal saja? ATAUPUN keupayaan furqan yang Allah berikan kepada kita setelah 4 rukun Islam itu kita fahami dan laksanakan. Ayuh kaji mengapa syarat sah wukuf ialah berakal dan mampu menyampai (Akil Baligh), tidak mabuk atau gila?

Kesimpulannya, saya melihat, ramai mereka yang mengerjakan haji namun hakikatnya Islam mereka hanya 4/5 sahaja kerana mereka masih belum mampu untuk untuk berfurqan dan mengutip hujjah antarabangsa. Tidak hairanlah mengapa ibadah haji adalah rukun Islam ke-5, kerana tentunya anda akan mampu berhujjah menegakkan Islam, membesarkan Allah setelah anda mampu untuk melengkapkan 4 rukun Islam yang lainnya.

Haji sebagai pelengkap BUKANNYA satu pilihan. Apabila hujjah itu mampu dirumus dan digunakan dan menjadi wadah islah kepada ummah setempat, MAKA itukan SAINS DI SEBALIK HAJI MABRUR yang bukan lagi satu teka teki.

Catitan dalam pencarian
SAIFUL NANG
Makkatulmukarramah, Saudi