Sains haji 9: FALSAFAH DI SEBALIK WUKUF

00 haji 9 wukuf

Sains haji 9: FALSAFAH DI SEBALIK WUKUF

WUKUF ialah kerjabuat pertama dalam haji selepas ihram, iaitu berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. WAKTU yang afdhal berwuquf ialah sebahagian dari siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian dari malam 10 Zulhijjah. Mesti dilakukan oleh seorang ahli ibadat yang akil baligh dan waras, tidak gila, mabuk atau hilang akal sepanjang masa wukuf dan telah siap berihram dengan niat haji

Tertinggal wukuf walau apa alasannya tidak boleh ditebus dengan DAM. Sekalipun sakit, berusung dalam ambulan dengan alat bantuan hayat sekiranya tidak wukuf bermakna, tiada haji.

CAHAYA SIANG DAN KEGELAPAN MALAM DALAM WUKUF

Umrah boleh dilakukan setiap hari tetapi tidak untuk wukuf. Hanya 1 hari dalam 1 tahun sahaja. Kita harus berada dalam bahagian siang dan malam di Arafah untuk wukuf. Disunatkan semasa Wukuf membanyakkan solat berjemaah, Bertalbiah, Berdoa, Berzikir, Membaca al-Quran dan Solat sunat.

Secara berjemaah kita hubungkan kembali diri kita dengan Allah dan sunnah rasul melalui tarbiah solat bersama-sama SETAHUN SEKALI. Dalam solat kita wajib baca quran, sekurang-kurangnya 7 ayat Fatihah dan selawat. Jika nabi katakan solat di masjidilharam 100,000x fadhilatnya adalah kerana sejumlah itu yang datang berkumpul dalam perkongsian semasa haji widak baginda. Itulah perkongsian hujjah, hasil dari kerja haji sebagai ganjaran dari ritual itu.

Kemudian ramai-ramai kita berTalbiah untuk menyahut seruan Allah, meletakkan Allah sebagai MALIK (Raja) yang sebenar benarnya dan berikrar untuk tidak menduakanNya (syirik). Ramai ramai kita kemukakan Usul dan Hujah melalui konsep Doa dan Daie, saling berkongsi hidayah dan saling seru menyeru (dakwah). Banyakkan membaca quran, kita tadarus, tafakur dan tadaburkan bacaan itu bersungguh sungguh melalui hakikat zikir dan fikir.

Siang hari dalam Wukuf kita manafaatkan nikmat cahaya. Kita dedahkan dan kongsikan segala hujah dan masalah hidup ummat dengan nyata dan terbuka di padang yang sama. Kita kongsikan situasi kita sekarang dari segala sudut dari setiap pelusuk dunia. Kita rasakan sendiri kesukaran saudara kita dengan suluhan matahari cahaya Allah di siang hari. Di malamnya sama sama kita rasakan hakikat kegelapan di padang itu. Bagaimana rasanya hidup dalam kegelapan tanpa pedoman cahaya, lalu hidup kita dipenuhi jenayah dan rasukan hantu syaitan serta iblis merata rata.

WUKUF WADAH PERTEMUAN DAN PENYATUAN

Arafah diriwayatkan tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Siti Hawa selepas ratusan tahun terpisah bila mereka diturunkan dari syurga. Haji widak nabi juga berpuncak di Arafah di mana dikumpulkan lebih 100 ribu umatnya.

Dalam wukuf, baginda mewasiatkan agar hanya Kitab Allah dan Sunnah Rasul-rasulnya SAHAJA untuk kita pegang kemas untuk tidak sesat selamanya. Bukan kitab-kitab dari pendapat ratusan ulama yang saling bercanggah kita pegang erat sedangkan quran dan sunnah kita tinggalkan. Inilah FAKTOR UTAMA yang bakal menyatukan manusia semula.

Quran itu yang harus dibaca habis dahulu untuk dijadikan kayu pengukur untuk menilai hujah hujah lain dan bukan sebaliknya. Sekarang sudah terbalik, pelbagai kitab orang alim kita baca dahulu dan quran pula yang harus merujuk kepada kitab dan hujah yang berbagai bagai itu. Ironinya bila ada percanggahan, kita tergamak menolak fakta dari firman Allah yang jelas dengan sunnah Rasulullah s.a.w. hanya kerana tidak disertakan sanad manusia. Padahal asbab dan isunya mudah sahaja pun.

Perhimpunan di Arafah adalah kemuncak haji. Kemuncak segala hujjah yang mampu menghimpunkan orang Islam yang telah DISAMARATAKAN dalam ihram. Semua jemaah “sepatutnya” berada dalam khemah yang sama walaupun tidak selesa. Bukan ada khemah orang kaya dan ada pula khemah orang miskin. Hatta, minyak wangipun tak boleh dipakai. Rasakanlah semulajadi bau badan orang lain sepertimana orang lain menahan bau badan kita semasa kita berhimpun di Arafah. Pada ketika itu, semuanya sama sahaja.

HARI INI hakikatnya jauh berbeza. Sikaya sembahyang selesa depan tingkap bilik hotel mewah berharga USD5000 sehari (lebih RM 15,000). Bahkan atas dasar inilah mereka boleh ulang haji berkali-kali, menolak kuota simiskin yang sudah bertahun-tahun mempersiapkan diri. Banyak perlanggaran wajib haji juga dibuat kerana kemampuan membayar DAM. Jika dahulu mereka duduk dikemah yang sama di Arafah, berjalan kaki atau naik unta kurus demi seruan ini, sekarang tidak lagi. Sikaya dengan kereta dan kemah mewahnya, simiskin kekal dengan kesengsaraannya.

ARAFAH GAMBARAN MAHSYAR

Arafah juga diumpamakan seperti Padang Mahsyar yang lapang, di bawah matahari yang terang serta panas. Manusia dihimpunkan di hari kiamat (bangkit). Ya, kiamat itu bermaksud HARI KEBANGKITAN (kiam) semula. Islam yang telah ditegakkan oleh Ibrahim dan Ismail a.s. pernah jatuh lalu Nabi Muhammad SAW membangkitkannya kembali. Islam kini juga telah jatuh dan kita semua wajib bangkitkannya semula.

Selepas peristiwa Futuh Mekah, Nabi melakukan Haji WIDAK. Kemuncaknya ialah perhimpunan baginda bersama orang Islam yang telah DISAMAKAN kesemuanya dengan status HAMBA ALLAH. Disitulah nabi keluarkan hujah yang MENYIMPULKAN semua ummat harus kuat berpedomankan alquran dan sunnah. Tidak kira mereka anak penguasa, orang berpangkat yang kaya maupun hamba sahya, tua maupun yang muda, lelaki maupun perempuan, orang alim atau rakyat marhaen.

HUJJAH & MAKLUMAT, PAKAIAN & SISTEM YANG SATU

Kata dasar HAJI itu sendiri terkait dengan HUJJAH. Bulan haji juga bulan Zulhijjah, bulan maklumat. Setelah Nabi masuk semula ke Mekah, banyak hujjah-hujjah telah Nabi kumpulkan yang mematah dan menundukkan golongan Jahilliiyah untuk menggunakan hanya 1 sistem iaitu sistem Allah. Jika nak diperincikan lagi, pakaian IHRAM itulah satu simbolik KESATUAN SISTEM. Semua MAKLUMAT itu disimpulkan dan disampaikan dalam KHUTBAH TERAKHIR baginda itu.

Pakaian yang Bersih dan Indah ini ialah analogi Sistem. Sebab itu Allah turunkan wahyu untuk Nabi pakai pakaian yang INDAH dan CANTIK ke masjid. Adakah isteri Nabi pemalas sehingga ditegur Allah dalam wahyunya untuk membersihkan pakaian suaminya? Itulah sistem kehidupan, analogi pakaian kusut masai dan berbagai corak yang sedang dipakai oleh si Jahiliyah. Berlaku tidak situasi itu waktu ini? Sudah cukup 73 corak pakaian ihram belum waktu ini? atau jumlahnya sudah terlalu banyak sampai tidak terhitung lagi?.

Apabila semua sudah berihram, disitulah berlaku penyatuan sistem, pentauhidan kepada Allah yang SATU dan itulah kemuncak haji di mana ummatunwahidah berlaku. Adakah umat Islam hari ini pergi dan balik Haji saban tahun pulang ke Negara asal masing-masing dalam keadaan mereka BERSATU? Mengapa masih ada lagi tindas menindas antara negara Islam dan kita sebagai jiran Negara Islam masih boleh sekadar kata “OOoo I See” tanpa tindakan?

Di Malaysia ini sendiri hampir semua yang sedang tuding menuding, fitnah menfitnah dalam perebutan jawatan politik itu sudah haji belaka. Kebanyakan ustaz dan orang alim, bahkan AJK Masjid yang saling bercanggah pendapat itu juga haji kebanyakannya. Di mana kesan ihram? Di mana hujjah dan iktibar penyatuan dari Wukuf mereka? Apakah maklumat Haji yang mereka bawa pulang dan laksanakannya?

KESIMPULAN

Cukur kepala yang dimulai dari bahagian kanan dalam Tahlul itu analogi yang kita membuang pelbagai fahaman dari otak kanan (pencemaran sunnah) dan membaharui bacaan oleh otak kiri (quran), agar kedua duanya tumbuh semula ibarat bayi yang baru lahir. Semua Hujjaz seharusnya pulang dengan kopiah putih yang sama menutupi kepala. Semua memakai serban nabi sebagai analogi kesimpulan tentang sunnah-sunnah dakwah baginda.

Nabi s.a.w. bersabda, Haji itu ialah Wukuf. Intipati wukuf ialah kemuncak hujjah dan pemakluman yang menyatukan manusia (UMMATUNWAHIDAH). Jika ratusan tahun berlalu, haji berjalan hanya seperti satu perniagaan yang mendatangkan keuntungan TRILLION ringgit kepada kerajaan Saudi dan agen agen haji serata dunia semata mata, adakah Islam kini sudah mampu bersatu?

Maka, kaji semula mengapa wukuf kita tidak mampu menyatukan manusia. Ihram sama putih, khemah lain-lain, darjat pun tak sama, yang miskin terus miskin, yang kaya terus kaya, yang tertindas terus ditindas. Mungkin ada segelintir yang tidak setuju dan mengatakan kami menongkah arus kepercayaan anda dalam ritual wukuf. TETAPI sila ambil ini satu cabaran agar kita sendiri fikir-fikirkan pelajarannya.

Tidaklah wukuf menjadi SYARAT SAH HAJI yang paling utama jika ia bukan membawa mesej paling besar dalam Islam iaitu PENYATUAN UMMAH. Haji itu sahaja satu ritual penyatuan manusia. Itu kebajikan AKTUAL yang dituntut dari RITUAL Haji.

Jangan mimpikan HAJI MABRUR jika wukuf yang dijalankan tidak mampu menyatukan hati kita, keluarga kita, masyarakat, negara dan dunia Islam amnya.

Kocak minda
WARGA PRIHATIN