RAHSIA SOLAT #9: RAHSIA AL-FATIHAH

10945488_10153552879552786_4244050757287554018_n
Solat adalah amalan wajib bagi setiap individu muslim dan mukmin. Matlamatnya ialah mengajak kepada kebaikan (makruf) dan mencegah perbuatan keji dan mungkar. Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu tahu apa ciri-ciri atau perincian yang berkaitan dengannya.
Surah Al-Fatihah adalah satu satunya surah yang wajib dibacakan sebagai rukun qauli di setiap solat. Secara general, kerangka besar surah al-Fatihah menerangkan perincian kepada matlamat solat dalam bentuk reflektif: Allah memberitahu kita bukan secara terus, tetapi dengan memberi kita perincian yang paling baik untuk kita membangun agama dan melayakkan diri kita sebagai HAMBANYA yang diredhai. Dengan itu maka kita akan fahami bahawa apa sahaja yang berlawanan dengan ciri-ciri kebaikan yang dijelaskan dalam al-Fatihah itu adalah “perbuatan keji dan mungkar yang harus dicegah”.
Inilah kerangka disiplin yang diperlukan untuk membentuk akhlak terbaik sebagai makhluk dan hamba yang Muslim. Tanpa memahami maksud yang mendalam dari Fatihah, maka solat kita akan jadi sia-sia kerana tidak mampu mengaplikasikan disiplin yang tersirat dari mesej yang tersurat dalam surah itu.
MESEJ BESAR DALAM FATIHAH
1. Surah ini dimulai dengan BASMALAH yang menunjukkan kepada kita betapa pentingnya setiap perbuatan dimulai dengan nama Allah; untuk Allah, kerana Allah dan dengan cara yang Allah tunjukkan. Hadith pun ada menjelaskan bahawa setiap pekerjaan baik sekalipun, jika tidak dimulai atau diniatkan atas nama Allah (dengan basmalah), maka ianya adalah tertolak.

 

ALLAH tegaskan dalam al-Quran bahawa ‘DIA hanya ciptakan jin dan manusia untuk mengabdikan kepadaNYA’. Wajarlah bagi kita kita selaku hamba abdi Allah ini melakukan apa sahaja atas NAMA Allah, untuk dan kerana Allah semata-mata. Jika selain dari itu, maka itulah perbuatan yang keji dan mungkar yang harus dicegah secara pekej melalui hakikat di sebalik ibadah solat.

Asas Basmalah ini sudah ditunjukkan dari wahyu pertama lagi (surah 96 al-Alaq). Itulah dia permulaan al-Qur’an yang mengajak kita iqra’ dengan nama ROB kita iaitu Allah. Itulah ASAS BISMILLAH. Mengapa Allah sebut BISMIROB dan tidak terus disebut BISMILLAH? Kerana ada tuntutan iqra’, kajian yang melibatkan PENGATUR (Rabb) dan segala ATURAN (Rububiyah) Nya.

Ini menjelaskan lebih lanjut bahawa asas bismillah itu terkait rapat dengan segala macam ATURAN atau RUBUBIYAH Allah selaku pengatur (RABB) kita. Himpunan Rububiyah yang semuanya terkandung dalam al-quran itulah yang sarat dengan RAHMAT Allah yang bersifat AR-RAHMAN . Itulah maksud sebenar AR-RAHMAN, sifat Allah yang dijelaskan lagi dalam surah AR-RAHMAN ayat 1-4.

Dengan berbuat atas nama Allah, menggunakan semua aturan (rububiyah) yang diberikan olehNya maka kita akan menikmati kasih sayang (RAHIM) dan redha Allah sebagai matlamat utama ibadah kita. Itulah AR-RAHIIM, yang juga sifat utama bagi Allah. Jika basmalah itu kita lakukannya secara berjemaah, maka pasti juga kasih sayang sesama kita juga akan terbit. Itulah fitrah hubungan sesama Muslim.

Demikian hebatnya hikmah basmalah. Berbuat atas NAMA Allah dengan menggunakan segala RAHMAT iaitu berupa petunjuk dan aturannya. Hasilnya ialah kita redha dan cinta kepada Allah dan Allah juga redha dan cinta kepada kita. Budaya redha meredhai dan berkasih sayang itu juga akan terbit di kalangan jemaah sesama kita. Itulah hakikat syurga (Surah 89 Fajr: ayat 27-30).

2. Kemudian kita susuli dengan BERTAHMID kepada Allah yang MENGATUR (Rabb) kita dengan RUBUBIYAH (aturan) NYA di alam ini. Secara reflektif, ia adalah satu penafian agar jangan sampai kita ambil kredit untuk setiap hasil baik dari amalan kita itu. Segalanya harus dipulangkan kepada Allah, PENGATUR kita. Ini kerana kita telah melakukannya kerana Dia, untuk Dia, atas nama Dia dan dengan kaedah atau MANUAL yang dirahmatkan atas kita.

Maka kita dapat faham di sini bahawa sebarang kerja yang mengharapkan pujian ke atas diri kita adalah satu perbuatan keji dan PERLU DICEGAH. Kita tidak boleh mengambil kredit kerana kita ini hanyalah hamba yang melakukannya atas perintah TUAN kita. Tanpa perintah dari Allah kita tidak akan melakukannya. Tanpa petunjuk (RUBUBIYAH) Allah yang menjadi MANUAL yang paling tepat dan berkesan untuk menjayakan amal kita, pastinya kerjabuat kita tidak akan berjaya.

3. Seterusnya kita terus meninggikan Allah, sesuai dengan pujian dalam bertahmid tadi dengan mengisytiharkan sifatNYA yang MAHA PEMURAH (Ar-Rahman) dan MAHA PENYAYANG (Ar-Rahiim). Kita buktikan ikrar itu dengan cara istiqomah mematuhi segala rububiyah (aturan) yang dihadiahkan kepada kita melalui sifat AR-RAHMAN itu untuk terus menikmati kasih sayang Allah melalui sifat AR-RAHIMNYA.

4. Jadikan Allah sebenar-benar MALIK (Raja) dalam diri kita yang dijunjung segala titah perintahnya sepanjang masa dan hari, bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Pengisytiharaan perhambaan ini penting untuk sentiasa mengingatkan kita tentang kedudukan kita, siapa kita berbanding Allah.

5. Buktikan yang Allah itu sebenar-benar RAJA yang berkuasa atas kita, sehingga HANYA kepada Allah sahaja kita MENGABDI dan MEMINTA PERTOLONGAN. Di sini juga dinampakkan tentang konsep berjemaah (NAHNIAH), di mana penggunaan dhomir (kata ganti nama) KAMI digunakan. Islam takkan tertegak secara individu.

Di dalam Al-Quran juga dinampakkan orang yang bersifat keakuan (ANANIAH) ini adalah togho seperti Firaun. Jemaah itu penting kerana di situlah berlakunya saling tolong menolong, pesan memesan dan tegur menegur. Hanya Allah sahaja yang selayaknya TUNGGAL. Jika kita selaku HAMBA hendak berlagak KEAKUAN, kelak kita akan jadi ‘the next firaun’.

6. PERTOLONGAN yang kita pinta dari Allah adalah berupa PETUNJUK kepada JALAN (siroot) yang seharusnya kita amalkan dengan ISTIQOMAH. Ini adalah doa kita kepada pengatur kita, iaitu agar ditunjukkan matlamat / jalan yang lurus menuju kepadaNYA. Itulah matlamat yang harus diistiqomahkan dalam keadaan lurus dan itulah yang paling kita perlukan, iaitu agar hidup kita sentiasa dipandu dengan rujukan yang betul. “Inna ila robbikar ruj’a”.

7. Itulah jalan (SIROT) yang apabila kita amalkan dengan ISTIQOMAH akan menghasilkan kebaikan dan kesejahteraan hidup yang sangat NIKMAT. Iaitu semakin hari kita semakin dilimpahi rahmat berupa petunjuk yang semakin luas, jelas dan pasti, juga menikmati kasih sayang Allah dan sesama manusia apabila kita istiqomah mengamalkannya. Tanpanya kita akan dimurkai, semakin jauh dari petunjuk dan semakin lupa kepada aturan Allah. Akhirnya kita akan kebingungan dan tersesat jalan.

Ayat terakhir al-Fatihah ini adalah ayat furqan, membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Dinampakkan perbandingan contoh orang yang hidupnya dalam nikmat kerana istiqomah mengikuti jalan yang lurus, berbanding golongan yang sesat dan dimurkai. Allah dengan sifat ArRahman dan ArRahim memerintahkan agar kita sentiasa ikuti rububiyah yang memberikan hasil baik, dan hindari yang keji.

KESIMPULAN

Berdasarkan huraian di atas, dinampakkan betapa signifikannya surah ini untuk dipanggil penghulu kitab (ibu kitab), kerana ia menampakkan kerangka besar matlamat hidup kita. Itulah jalan yang sepatutnya dilalui, dengan perinciannya ada di dalan surah-surah lain yang akan dibaca selepas Fatihah itu.

Manusia ini secara tabi’enya bersifat lupa. Kita sering lupa hakikat yang kita ini hanyalah HAMBA. Surah al-Fatihah ini adalah kerangka dasar pembentukan jiwa seorang HAMBA terhadap Allah selaku Pencipta dan Pengatur hidup kita. Kerana itu juga ia menjadi ibu doa atau pokok segala seruan Allah kepada kita.

Diperintahkan kita membaca berulang-ulang, minima 17 kali sehari dengan penuh kefahaman dan penghayatan, juga mengamalkan segala prinsip di sebalik ayat-ayatnya dalam kehidupan kita sepanjang hari di dalam dan di luar solat.

Dengan memahami dan mengamalkan prinsip di sebalik surah ini, kita semua akan bersatu-hati dan satu faham atas nama Allah yang SATU. Kita juga akan mampu menikmati hidup yang teratur di mana ahli jemaah masing-masing mematuhi aturan yang telah ditetapkan. Hasilnya ialah nikmat hidup yang sejahtera laksana syurga, saling berkasih sayang sesama keluarga, masyarakat, negara mahupun dunia.

Dengan memahami prinsip Fatihah, tidak akan ada lagi yang akan beramal atas nama peribadi, atau atas nama selain Allah. Setiap individu akan mengikut kefahaman dan aturan yang sama. Itu akan menggurangkan gejala selisih faham, adu-domba, pecah belah dan ingin menunjuk-nunjuk kerana kita semua sama-sama beramal atas satu nama, iaitu nama Allah.

Inilah yang kami terapkan kepada anak-anak agar solat mereka mampu menundukkan diri sebagai hamba Allah yang sejati dan setiap hari meletakkan hanya Allah sebagai raja yang menguasai diri mereka. Dengan ini, apa sahaja titah perintah Allah dari ayat yang akan dibacakan selepas Fatihah itu akan InsyaAllah mudah mereka patuhi sebagai manual kehidupan yang perlu di istiqomahkan.

Kembangkanlah cetusan ini dari sumber lain untuk memantapkan kesan solat kepada anak-anak kita. Bacalah berulang kali jika kurang memahaminya pada bacaan pertama. Namun jika anda tidak mampu mencerna, abaikan sahaja.

Boleh juga rujuk Rahsia Fatihah siri 1-7 dari web kami www.prihatin.net.my

Alhamdulillah,
WARGA PRIHATIN

RUJUKAN: