Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak

Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak

Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui sebuah akaun internet miliknya yang telah membuat muat turun beribu-ribu video dan imej lucah kanak-kanak. – Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23 dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak oleh Mahkamah Southwark Crown, London pada Khamis.Menurut laporan portal United Kingdom International Business Times, Nur Fitri telah disabit dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanakNur Fitri mengaku melakukan kesalahan tersebut sehingga tarikh November 2014 di mahkamah yang sama.Nur Fitri yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London mula belajar di Imperial College sejak  tahun lalu.

Pihak Polis Metropolitan berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun beribu-ribu video dan imej lucah kanak-kanak.

Polis telah bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

Ketika ditahan, polis mendapati Nur Fitri yang juga pemegang biasiswa Matematik memiliki 601 buah video dan imej lucah Kategori A iaitu kategori penyalahgunaan yang melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah kategori B dan C.

Secara keseluruhan, polis telah menemui lebih daripada 30,000 imej tidak senonoh dan video penderaan seksual kanak-kanak selepas memeriksa peralatan elektronik miliknya.

“Nur Fitri terlibat dalam aktiviti memiliki dan berkongsi beberapa imej yang ‘sangat ekstrim’ yang pernah kami lihat dalam jenayah bahan lucah kanak-kanak.

“Hukuman penjara yang dijatuhi mahkamah sememangnya sukar dielak memandangkan jumlah imej dan kandungan yang dimiliki Nur Fitri berada pada tahap membimbangkan,” kata salah seorang Pegawai Unit Jenayah Berat Metropolitan, Sara Keane.

Nur Fitri yang berasal dari Malim Nawar, Perak merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2009, Nur Fitri meneruskan pelajarannya di salah sebuah kolej persediaan antarabangsa di Malaysia sebelum ditawarkan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pelajaran di Imperial College di  London dalam jurusan Matematik.

Pada tahun 2011, Nur Fitri pernah bertanding dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam.

Turur dilaporkan portal tersebut, Nur Fitri akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik sahaja dibebaskan dari hukuman penjara.

11150689_10152777847205965_2187898035201404785_n

Untuk perkembangan terkini di jari anda, muat turun aplikasi Astro Awani di App Store atau Google Playstore.

Tag: Nur Fitri Azmeer Nordin, bahan lucah, kanak-kanak, Mahkmah Southwark Crown