PASCA BAJET 2014

00 bajet 14PASCA BAJET 2014

Kami bukanlah pakar ekonomi untuk menjelaskan tentang bajet Negara. Tetapi sekadar memenuhi permintaan pembaca untuk mengulas atau memberi reaksi dari apa yang dibentangkan oleh PM dalam Bajet 2014. Sasaran ulasan kami hanyalah dari sudut pandang agama bagaimana bajet negara boleh membantu memperkukuh institusi keluarga serta pembangunan generasi sebagai calun watan negara dan agama.

Ingatlah, tanpa agama tiada kesejahteraan keluarga. Itulah formula kesejahteraan keluarga Ibrahim dan Muhammad SAW yang menjadi kiblat ikutan kita. Kesejahteraan keluarga itulah kunci kesejahteraan negara.

ULASAN LAZIM MENGENAI BAJET

Yang biasa menjadi isu besar dan pertikaian masyarakat ialah apabila bajet tidak favor kepada mereka. Contohnya memperkenalkan cukai baru ataupun pengurangan subsidi. Selama 5 tahun kebelakangan ini, kita acapkali tersogok sehingga terbiasa menantikan pengumuman yang memberi kelebihan kepada kita secara individu tanpa memikirkan sangat tentang kepentingan Negara. Semestinya nanti ada yang pertikaikan penulisan ini atas dakwa dakwi tentang rasuah dan salahguna kuasa untuk kepentingan peribadi. Bahagian itu semua orang tahu dan kami tidak akan bincangkan di sini.

Bila bajet diumumkan dan kita berada dalam kalangan mereka yang rugi, maka kita merungut dan silap-silap ada yang merusuh. Akan timbullah isu janji itu dan ini tidak ditepati.  Parti satu lagi akan api-apikan pula minyak yang sedang meruap. TETAPI apabila bajet menyebelahi mereka, semuanya senyap sahaja. Yang berdegar-degar mengkritik tentang BR1M RM500 adalah gula-gula pilihanraya juga senyap-senyap hulur I.C. nak ambil BR1M nanti.

SERUAN REALISTIK

Kita kena berpijak di bumi nyata. Laporan dari bank Negara menunjukkan ada kemelesetan dalam nilai matawang Negara. Hutang Negara juga meningkat kepada 55% KDNK. Walaupun ada seruan agar kita bertenang dengan penjelasan bahawa hutang kita jauh lebih rendah dari negara barat. Contohnya nisbah hutang berbanding KDNK Greece, Itali, dan Portugal semuanya melebihi 100%. Hutang USA, Jepun sendiri dikatakan melebihi 200% KDNK mereka. Nampak ada benarnya juga. Tapi yang itu biarlah pakar yang menentukannya.

Bagi kami, sekiranya Negara meneruskan polisi bajet pilihanraya ala bajet Santa Klaus dengan banyak memberi dan menaburkan wang kepada rakyat, kita perlu fikir juga dari manakah sumber kewangan Negara? Lebih penting lagi ialah ketelusan lapuran Audit Negara, sejauhmana bajet ini dan yang dulu-dulu itu telah dilaksana.

Kami berikan contoh analogi sebelum PRU 13. Sepanjang 4 tahun seorang lelaki mahu memikat seorang wanita. 4 tahun bercinta, semuanya indah-indah sahaja. Makan malam di hotel bintang lima, tak mainlah gerai kaki lima. Bila makan Si gadis baru nak seluk wallet, Si Gentlemen terus stop dan kata “Biar I yang bayar”. Habis kad plastic di leretkan. Si Gentlemen akan buat apa sahaja untuk memenangi hati Si Gadis.

Lepas 4 tahun, maka berkahwinlah Gadis dengan Si Gentlemen. Maka selepas itu barulah bermula “BAJET SEBENAR”. Si Suami ketika itu dah mula garu kepala hari-hari tengok bill Kad Plastik yang dileret masa nak memikat Si Isteri. Tak habis dengan itu, hari-hari dapat call “cinta” dari Bank Rakyat mengingatkan tarikh akhir bayar Personal Loan untuk kahwin.

Selepas PRU 13, itu sudah dikira berlaku satu perkahwinan dengan pemimpin yang ada sekarang. Ada 5 tahun untuk barisan kepimpinan sekarang membuktikan cara mereka dalam bajet kali ini mampu memulihkan ekonomi Negara sebelum habis penggal. Tun Mahathir pernah melakukan perkara ini. Pada pilihanraya pasca pemecatan DSAI, Tun mendapat reaksi negatif dari rakyat dan pilihanraya ketika itu menampakkan kemerosotan drastik sokongan terhadap beliau. Cara terbaik beliau ialah dengan memantapkan ekonomi Negara yang jatuh semasa kemelesetan ekonomi 1997 akibat manipulasi nilai matawang. Lalu kepercayaan rakyat kembali kepada beliau sehingga beliau turun takhta dengan gilang gemilang sekali.

DARI MANA PENDAPATAN NEGARA? Selain cukai pendapatan, hasil ekspot, GST adalah satu mekanisma pendapatan kepada kerajaan. Pemansuhan subsidi berperingkat juga memberi kelebihan kepada kerajaan sebanyak 47 Billion. Penyaluran subsidi melalui pengagihan hanya kepada yang perlu melalui BR1M mungkin perlu diperkemaskan lagi seperti insentif yang diberi terus ke dalam akaun bank pada setiap bulan. Maklum sahaja rakyat Malaysia dapat RM650 hari ini, esok dah tukar handphone baru dan lusa mereka buat demo harga minyak naik lagi.

Sekiranya penjimatan terhadap subsidi 47 Billion itu diagih terus kepada golongan sasar, bukan orang kaya ataupun warga asing, maka akan berlaku banyak penjimatan dari angka tersebut. Ditambah lagi dengan GST yang dikenakan kepada semua barangan jualan kecuali beberapa barangan keperluan dan perkhidmatan, ia akan menokok pendapatan Negara. Apabila pendapatan Negara meningkat, maka pastilah hutang Negara akan mampu dikurangkan.

APA ITU HUTANG NEGARA? Apabila Negara tidak cukup menggunakan wang dari hasil-hasil Negara seperti cukai pendapatan, GST, dan lain-lain sumber, mereka akan ambil dari kolam takungan wang rakyat. Wang yang anda simpan itu bukannya pihak bank, Tabung Haji, KWSP dan lain-lain institusi ambil dan simpan di dalam peti besi sahaja, tetapi wang anda dialirkan dan diniagakan. Kerajaan merupakan salah satu pengguna terbesar dana itu sekarang.

KAMI LIHAT SECARA RASIONALNYA, bajet 2014 adalah bajet untuk NEGARA yang kemudian akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan kemakmuran ekonomi. Cuma pendapatan Negara dan ketirisan yang berlaku di semua peringkat ada hubungkait yang sangat rapat. Hentikan ketirisan yang berlaku terutama sekali melalui rasuah ataupun pengambilan untung berlebihan. Jika dahulu di China, pengamal rasuah akan dihukum bunuh, itulah juga hukum Islam yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Kami rasa itu tidak keterlaluan disebabkan rasuah itu memusnahkan Negara. Jika kedaulatan peraturan negara itu di ibaratkan sebagi ibu hukum, maka Islam mengibaratkan hinanya rasuah seperti berzina dengan ibu sendiri. Wajarlah jika hukumannya MATI.

PENJIMATAN PERBELANJAAN KERAIAN yang tidak jelas kesannya dari sudut pembangunan negara malah banyak impak negetifnya juga perlu diambilkira. Pesta itu dan ini yang banyak sekali pembaziran dana dan moralnya. Merasa seriklah dengan pembuangan bayi 9 bulan selepas pesta itu dan ini, ambang sana ambang sini. Natijahnya semakin hari semakin punah akhlak generasi dan bertambah banyak mayat bayi terbuang di sana sini. Mustahil jika kita yang mencadang dan menganjur pesta-pesta itu dan ini tidak nampak impak negetif dari program sebegitu.

Jika dulu kita taja 7 pentas canggih untuk menyatukan manusia, kita taja 1500 artis untuk menghibur 50,000 belia, apakata kita gantikan sambutan itu dan ini dengan majlis ilmu. Jika pesta itu bertujuan untuk menyatukan rakyat, maka ia hanya menyatu sementara di padang sahaja. Ironinya kebanyakkannya orang Melayu yang suka menyatu di pesta itu. Maka semakin hari semakin me-layulah Melayu kerana dibuai dengan kelalaian dan pembaziran. Jika sambutan berunsur ilmu, mereka menyatu dengan satu faham dan penyatuan sebegitu lebih bersifat murni dan kekal. Penyatuan di dunia kita dapat, akhirat pun dapat.

JIKA DULU KITA BANYAK MEROSAK JIWA MANUSIA melalui program hiburan dan pesta membazir yang melalaikan, mari kita ubah strategi, kita bina semula apa yang telah selama ini kita rosakkan. Mari kita sasarkan pendanaan kita untuk tujuan pembangunan ummah dengan sebenar-benar dan sesungguh-sungguhnya.

BANYAK KONTROVERSI IBU BEKERJA. Jika masih ada keperluan samada fardhu kifayah ataupun fardhu ain (secara konsepnya) untuk ibu-ibu bekerja, cuba kita cari jalan membantu mereka. Belanjakan dana negara supaya para ibu sedemikian boleh terus aman bekerja, dan pada masa yang sama anak boleh dijaga di tempat kerja. Sediakan sarana yang kondusif dan penjaga yang terlatih di setiap premis kerja dan kejiranan untuk meringankan beban psikologi mereka dan anak-anak mereka. Di samping memantau kualiti, kita suntik dana khas untuk menaiktaraf taska dan nurseri agar anak terjaga, caj penjagaan pula boleh dikurangkan.

Paling menarik yang mahu kami komen ialah polisi bekerja ‘flexi-hour’ yang diberikan terutama kepada kakitangan wanita. Ini bagi membolehkan mereka menguruskan rumahtangga dan kerjaya dalam masa yang sama. Jika perkara ini terjadi, kami rasa kesesakan lalulintas juga akan berkurang separuh. Isu keselamatan seperti rogol, ragut, rompak dan sebagainya turut memerlukan perhatian serius untuk membantu wanita bekerja. Tambah pasukan keselamatan dan CCTV untuk melindungi mereka.

Bukan sekadar itu, seorang wanita hatinya biasa melekat di rumah. Semasa bekerja kadangkala hatinya memikirkan apa yang berlaku kepada anaknya di taska atau di nurseri. Jika mereka mampu untuk bekerja secara fleksibel, kami lihat ia akan memberi banyak kebaikan kepada majikan juga. Jika 8 jam mereka di pejabat dengan hati yang berbelahbagi, tidaklah ia menjadi satu jangka masa kerja yang produktif. Margin kesilapan juga akan tinggi jika hati tidak mampu fokus pada kerja. Oleh itu 5-6 jam yang fokus itu lebih produktif dari 8 yang berbelahbagi tadi.

ADA IBU YANG TERPAKSA BERHENTI KERJA, sedangkan suami tidak mampu. Ibu-ibu begini dikira rugi jika terus bekerja kerana kos transpot dan lain-lain serta penjagaan anak yang belum tentu sempurna saja pun sudah lebih dari gaji mereka. Jika penganggur barat menerima dana ihsan negara, mengapa tidak diberikan elaun kepada keluarga sebegini. Bagi yang berkemampuan, mungkin boleh melakukan kerjaya di rumah, mungkin boleh disediakan dana perniagaan untuk membantu. Bila jiwa mereka aman anak juga boleh di jaga dengan baik. Di situlah kemajuan dan kesejahteraan negara bermula.

Jika diperlukan juga khidmat mereka, berilah elaun khas dari dana negara untuk mereka yang suaminya kurang mampu. Boleh juga dibantu sediakan sarana yang perlu untuk mengurangkan belanja bulanan mereka.

MENUNTUT ILMU ITU WAJIB. Ia adalah cabang sabil yang utama untuk membangun ummah. Orang yang berhutang di jalan Allah itu adalah asnaf yang perlu dibantu jika mereka tidak mampu dan memudaratkan. Oleh itu, langkah menyenaraihitam mereka yang berhutang PTPTN adalah salah dari sudut agama. Apakata kita cuba hapuskan hutang itu dan salurkan dana tambahan untuk tujuan pendidikan. Itu tanggungjawab baitulmal negara sekiranya pihak keluarga tidak ada upaya. Jika negara tidak mampu secara total, mengapa tidak ditambah sedikit dana ke baitulmal dan biar baitulmal membantu dana pendidikan anak-anak dari keluarga yang tidak upaya. Itu adalah urusan agama dan Allah akan redha. Insyaallah rakyat berkualiti akan bertambah hari demi hari.

KESIMPULANNYA, Kami menilai baik bajet 2014 yang dibentangkan oleh PM dan kami berfikiran positif bahawa kita perlu berpuasa sedikit untuk kepentingan semua. Saranan kepada barisan kepimpinan juga, janganlah mengharap hanya rakyat yang berpuasa dan mengikat perut sedangkan anda masih bermewah-mewah dalam timbunan wang yang anda sendiri lupa nak kira banyaknya. Pada masa yang sama, kami harap pandangan di atas di ambil kira, biarpun tidak dalam bajet rasmi kerana pengurusan dana negara adalah dalam kuasa terajunya secara mutlak. Yang dibentang itu hanya bajet atau anggaran saja.

Secara aktual, langkah pertama dalam kondisi berpuasa ialah agar siapa pun kita, sama-sama ikat syaitan dalam diri kita. Ikat keinginan untuk berpoya-poya, bermewah, dan berhibur yang makan belanja berjuta dan berbiliun di ambang sana dan ambang sini. Dalam hakikat bulan puasa, bulan Ramadan, bulan panas, semuanya segala mencabar. Ekonomi dalam ramadh, akhlak ramadh, politik ramadh semua ramadh. Jadi carilah lailatulqadar, tunggulah nuzul quran, carilah petunjuk, tambahkanlah majlis ilmu, agar segalanya kembali fitrah semula.

Itu sahaja reaksi kami tentang bajet 2014. Ini bukan satu analisa ekonomi, ini hanya reaksi kami yang mewakili marhaen yang prihatin dengan nasib anak bangsa dan masa depan agama sahaja.

WARGA PRIHATIN