MR. FONG & KELUARGA : HARTAWAN & DERMAWAN TIDAK MENGENAL BEZA AGAMA DAN KAUM.

Sebelum YAB Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2008, kami di Prihatin telahpun dari penubuhannya pada tahun 2005 meletakkan perpaduan dan integrasi kaum sebagai salah satu resipi keharmonian keluarga besar kami di sini. Jika kami menyokong inspirasi 1Malaysia saranan YAB Perdana Menteri, bukanlah itu bermakna kami penyokong tegar dan fanatik satu-satu pihak, itu adalah kerana inspirasi itu adalah sangat ISLAMIK dan kami ingin melihat Islam dilaksanakan secara makro ataupun mikro nya..

Mr. Fong ialah salah seorang dari ramai dermawan dari kalangan mereka yang berbangsa Tionghua yang telahpun menjadi sebahagian dari keluarga besar kami. Beliau tidak menjadikan Prihatin hanya sebagai tempat menderma, tetapi telah mengangkat kesemua sekali keluarga besar kami menjadi ‘keluarga angkat’ kepada keluarga besar beliau sendiri. Dalam foto di atas, Mr Fong ialah lelaki yang di sebelah kiri sekali dan di sebelah kanan foto, lelaki warga emas itu mesra kami panggil Kongkong (Atuk) sahaja.

Kami percaya, 1Malaysia tidak hanya meletakkan 3 jenis tanah liat berlainan warna di dalam 1 baldi sebaliknya menjadikan 3 warna tanah liat itu ter’adun menjadi SATU sehingga mampu ditempa menjadi tembikar yang cantik dan sangat kuat. Menurut Saiful Nang, salah seorang warga kami yang sering memberi ceramah motivasi beliau di banyak universiti tempatan, beliau mengenalpasti sebahagian besar pelajar hanya mampu duduk se’dewan atau se’kelas tetapi masih belum mampu untuk memecah kelompok. Yang Cina duduk dan berkawan dengan Cina, Melayu berkawan dengan Melayu, India berkawan dengan India. Tetapi tidak bagi Mr. Fong, sakit pening kami juga diberi perhatian beliau dan begitu juga kami yang sangat risau dengan keadaan kesihatan kongkong yang semakin lanjut usia.

Setiap kali sebelum Mr Fong menyambut Tahun Baru Cina di kampungnya, 1 majlis akan diadakan di kilang beliau di Puchong khas untuk Rumah Pengasih Warga Prihatin. Keprihatinan beliau juga sangat tinggi dengan penyediaan katering Islam yang menyediakan makanan halal untuk majlis itu. Begitu juga setiap kali hari raya aidlilfitri, beliau akan melawat Prihatin dan agak biasa setiap kali balik dari sembahyang sunat hari raya, kami pasti akan lihat mereka sekeluarga dahulu. Dan beliau akan datang bersama juadah halal seperti SATAY atau Kentucky dan buah-buahan secukupnya sebagai sajian kepada anak-anak.

Sebagaimana lazim menjelang aidilfitri, pagi semalam beliau datang lagi untuk menyerahkan wang Kera’ian aidilfitri beliau berjumlah RM2000. ALHAMDULILLAH.

Seperkara lagi, semua kayu kayan yang digunakan oleh pembangunan Rumah kami juga adalah ehsan beliau dari papan pallet yang biasanya beliau jual semula tetapi diberikan kepada kami secara percuma. Bukannya sekali tetapi sudah lebih kurang 5 tahun kami menggunakan kayu yang beliau berikan. Bukan itu saja, beliau turut menawarkan kami menggunakan 2 buah lori baru 3Tan beliau, siap dengan bahan bakar yang telah di isi penuh di setiap hujung minggu (sewaktu kami belum mampu memilikki lori sebelum ini). Tidak dikira lagi sumbangan kewangan beliau yang sangat konsisten kepada kami.

Biasa juga beliau dan anak-anak beliau membuat lawatan mengejut sekadar bertanya khabar. Sekian lama beliau berhasrat untuk menitipkan anak-anak beliau untuk bersama-sama tinggal di Prihatin. Apakan daya, rumah kami masih belum sempurna lagi untuk menggantikan rumah mewah kepunyaan beliau.

Mr. Fong ialah seorang pengusaha kilang cermin, Hen Glass di Puchong. Beliau berasal dari keluarga yang sangat susah dan bekerja tidak kira siang ataupun malam sehingga mampu mengumpulkan dana bagi membuka sebuah kilang kaca.

Kesusahan beliau, sebagai warga desa di Pagoh, Muar ketika mudanya itu tidak dirasai lagi oleh anak-anak beliau yang kini sebahagiannya berada di universiti. Itulah antara 1 sebab mengapa hartawan ini mahu menitipkan anaknya ke Prihatin. Beliau mampu lihat bagaimana terdidiknya akhlak anak-anak di Prihatin sehingga beliau sendiri berkenan untuk mengundur ke belakang untuk opsyen pendidikan akhlak kepada anak beliau berbanding penekanan terhadap akademik semata-mata. “Banyak pelajaran yang saya dan anak-anak perlu ambil dari perlaksanaan ‘Rumah’ ini”, ujar beliau selalu.

Tidak ada jurang pemisah antara Mr. Fong sekeluarga dengan kami di Rumah Pengasih Warga Prihatin. Marilah kita sama-sama mewujudkan semangat perpaduan dengan menolak perbezaan dan mera’ikan persamaan.

Ada juga beberapa Individu lain yang serupa yang Insyaallah akan kami ceritakan satu hari nanti. Mr Foo contohnya adalah seorang yang konsisten memasukkan dana sumbangan pembangunan RPWP berjumlah RM500 setiap awal bulan.

Oleh itu, apa yang kami suarakan terkadang dipandang negetif oleh sesetengah pembaca MELAYU yang mengatakan kami tidak sayang ‘bangsa melayu’ dan sebagainya. Islam itu sejahtera, lagi mensejahterakan (Islam, Taslim). Ia bukan milik satu-satu bangsa, ia adalah HADIAH Allah untuk seluruh ummat manusia. Kami takut jika ada rusuhan kaum, akan ada insan-insan PRIHATIN sebegini turut kita ‘SEMBELIH & KELAR’ tanpa usul periksa. Jika itu berlaku, Baikkah kita pada hakikatnya ? Subhanallah, mahasuci Allah daripada mengajarkan kezaliman kepada HAMBA hambanya.

Rumah Pengasih Warga Prihatin menjadikan Islam tinggalan RasulAllah berpaksi Kitab Allah & Sunnah Rasulnya. Maka berdasarkan itu juga, Islam menggalakkan semangat toleransi dan saling hormat menghormati antara MANUSIA (walaupun berlainan kepercayaan).

Assobiyyah tidak lansung ada dalam kamus perlaksanaan kami. Dalam bahasa mudahnya, Kami tidak partisan maupun perkauman. Tidak kiralah assobiyyah (taksub) atas dasar kaum, agama, maupun pecahan assabiyyah ‘dalam kelompok sebangsa’ samada berasaskan fahaman kepartian, agama, status sosial dan sebagainya. Ini memang telah disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam al-Quran dan disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam banyak hadis baginda:

“wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi ‘menerangkan kebenaran’ (itu tugas kita). Jangan sekali kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Kamu hendaklah berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa…”[QS al-Maidah,8]

“…sesiapa yang berperang di bawah panji ‘kebutaan’, marah kerana asabiyyah, menyeru orang lain agar bersikap asabiyyah, atau membantu golongan asabiyyah, lalu terbunuh, maka kematiannya adalah jahiliyah…”-[hadis riwayat Muslim, no1477]

“bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyyah, dan bukanlah dari kalangan kami mereka yang berperang atas assobiyah, dan bukanlah dari kalangan kami mereka yang mati dalam keadaan assobiyah”-[hadis riwayat Abu Daud].

Kepada ummat MELAYU yang masih bersikap assobiyyah, ISTIGHFARLAH, kembalilah kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah, khususnya dalam soal assobiyyah ini. Kepada sahabat kami berbangsa Cina atau India, jangan segan dan jangan malu untuk bersama kami dan berkerabat. Sekali kamu suka, 10 kali kami gembira.

Kami tidak ‘sekali-kali’ akan memperkatakan apa yang tidak kami iqra’ (kaji), kami laksanakan dan kami rasai sendiri ‘kebenaran dan kenikmatannya’. Ada terlalu banyak testimoni, namun kami terlalu sibuk untuk memaparkan kesemuanya. Sila ambil masa dan teliti sendiri sebahagian gambar kenangan dari link berikut.

https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10151997177632786.1073741826.176792972785&type=3

https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10150836724072786.517757.176792972785&type=3

Tidak akan ada ‘sebarang’ ilmu, kefahaman dan hidayah yang akan kita terima jika tiada sedikit pun usaha ke arah itu. Iqra’lah, kajilah, perhatilah, ambillah pelajaran sebanyak mungkin, biarpun dari sekeping ‘gambar’ yang kita lihat. Apatah lagi dari pelbagai kelaku manusia, haiwan dan kejadian alam di depan ‘mata’ kita sendiri. Semuanya itu bakal Allah tanya di kubur nanti.

Salam Perpaduan, Salam 1Malaysia. Selamat berPUASA.

Apresiasi oleh
WARGA PRIHATIN

P/S : Menjawab beberapa komen dari artikel di atas: Jika anda telah mengikuti semua komen, tidak perlulah baca,

• Untuk mereka yang masih berperasangka, kami tiada urusniaga suatu apa pun dengan Mr Fong. Kebetulan salah seorang sukarelawan kami nampak ada papan panjang yg sedang kami perlukan di kilang beliau, lalu bertanya utk membelinya dgn harga murah. Tidak disangka beliau begitu pemurah utk memberinya percuma, sejak itu hingga sekarang.

• Seperkara lagi, memang benar, beliau sangat mempercayai kami, hingga ada konflik besar antara sukarelawan kami dengan pak guard beliau, yang tidak yakin beliau sanggup beri kunci spare lori dan gate kilangnya utk kami masuk pd malam hari dan hujung minggu ketika kilang tutup, tiada pekerja. setelah diakui oleh Mr Fong sendiri, Alhamdulillah akhirnya Guard pun bekerjasama.

• Beliau dan partners juga sangat bermurah hati, sering membelikan air minuman, dan kadang2 makanan ketika melihat ada sukarelawan kami berpanas melakukan kerja meleraikan papan palet dan memuat ke atas lori. Amat sukar dipercayai, tetapi itulah kenyataan.

• Anak – anak Mr Fong akrab dengan anak-anak Warga Prihatin. Berjumpalah mereka di mana sahaja walaupun dikhalayak ramai, mereka akan berpelukan. Kasih Sayang tidak mengenal batas rupa. Yang hendak menampakkan Islam itu indah dan penuh dengan kasih – sayang adalah umat Islam itu sendiri.

• Mr Fong inginkan kesedaran pada anak – anaknya supaya menghargai kehidupan.

• Sedikit tentang isteri Mr Fong. Mrs Fong ini adalah anak kelahiran Sungai Pelek. Membesar bersama dan meraikan Syawal bersama rakan – rakan dan guru – gurunya yang beragama Islam. Seringkali berbasikal ke Bukit Bangkung menziarahi rakan – rakan Melayunya. Kalau kerepek di Bukit Bangkung itulah kegemaran beliau. Kebetulan kampung beliau dekat pula dengan cawangan kami di Sg Pelek.

• Beliau memang sangat merendah diri. Tidak pernah mahu di puji. Itu sememangnya ‘sifat pemberi’ yang Allah dan Rasul galakkan. Namun Warga Prihatin melaksanakan ‘sifat penerima’. Tugas kita menampakkan kebaikan orang agar jadi tauladan, bahan dakwah melalui uswah kepada orang lain.