Minda Jumaat – Sains Ashabul Kahfi 1

00 gua.editedKami mengambil peluang sempena jumaat ini untuk menjawab pertanyaan mengapa setiap menjelang jumaat ramai yang suka update status mengajak rakan taulan membaca surah al-Kahfi. Dalam artikel ilmiah ini ingin kami kaitkan hubungan Jumaat sebagai penghulu hari, dan surah al-Kahfi yang dimusyhafkan ditengah-tengah alquran itu.

FALSAFAH JUMAAT

Hari jumaat adalah penghulu segala hari. Sebutan hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis itu adalah representasi bilangan dari 1 sampai 5 dalam bahasa Arab. Namun hari Jumaat tidak melambangkan angka 6. Ia disebut Jumaat yang membawa maksud JEMAAH.Ini memperkukuhkan seruan Nabi saw dalam hadis baginda yang menyeru umatnya hidup dalam jemaah jika mahu selamat dan terus hidup dalam kesejahteraan Islam. Seruan baginda yang bermaksud “Tiada Islam tanpa Jemaah itu amat berat sekali kesannya”. Surah al-Jumaah, Syura, As-Saf semuanya menggambarkan keperluan berjemaah.Dalam seruan solat jumaat, Allah perintahkan kita tinggalkan jual beli. Datang berhimpun di masjid tempat ia bermustautin untuk mendengar taklimat mingguan. Itulah haji kecil yang berlaku setempat. Di situ, pada hari itu setiap warga rijal harus update maklumat tentang agama, masyarakat dan negaranya. Setahun sekali maklumat ini dihujjahkan ke peringkat dunia dalam musim Haji. Itu strategi JUMAAH.

SURAH AL-KAHFI (GUA)

Gua adalah terkenal sebagai tempat persembunyian. Ia menjadi tempat di mana hazanah purba tersimpan, tempat manusia berkahwat, tempat nabi saw bertahnuth, tempat pertapaan dan sebagainya.Sinopsis surah ini menggambarkan situasi di mana terdapat kisah pemuda gua (ASHABUL KAHFI) yang tertidur selama 300+9 tahun. Apabila mereka sedar wang mereka sudah menjadi wang purba dan tidak laku lagi. Surah ini juga menampakkan bagaimana Allah menyedarkan hambanya dari lamunan yang sangat panjang.

Kalau dahulu quran ini melebihi nilai emas sepenuh bumi, namun hari ini ia tiada nilai di mata kita, melainkan seperti wang lama saja (QS 18/19). Di dalam ayat ini terdapat kalimah WAL-YATALLATTOF (dan hendaklah ia berlemah lembut/berhalus). Kalimah ini biasanya diwarnakan dengan warna merah. Itulah inti alqur’an dari segi kedudukan kalimahnya di tengah-tengah musyhaf al-quran.

Sabda Nabi saw “Barang siapa memelihara 10 ayat yang awal dalam surah al-Kahfi maka dia akan terselamat dari Dajjal” – HR MUSLIM.

Secara kasarnya, fungsi Dajjal ialah untuk memesongkan/membengkokkan hidayah dan petunjuk Allah yang sangat lurus dan mudah, sehingga umat tidak kenal lagi akan hazanah ilmu tersebut. Islam jadi susah difaham dan diikuti, umat sukar disatukan setelah didajalkan.

Jadi jika kita memelihara kefahaman alquran, terus menerus berprinsip dengan pelajaran dari surah ini serta melaksanakan perintah Allah, pasti kita akan terselamat dari fitnah dan hasutan Dajjal. Perhatikan ayat berikut,

QS 18. Al Kahfi
1. Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya Al Kitab dan Dia tidak mengadakan KEBENGKOKAN dalamnya;
2. Sebagai BIMBINGAN yang lurus, untuk MEMPERINGATKAN siksaan yang sangat pedih dari sisi Allah dan memberi BERITA GEMBIRA kepada orang-orang yang beriman, yang MENGERJAKAN amal saleh, bahwa mereka akan mendapat pembalasan yang baik,

FALSAFAH JUMAAT DAN KAITANNYA DENGAN AL-KAHFI

Memelihara (hafiz) ayat 1-10 yang dimaksudkan nabi saw bukanlah dalam bentuk bacaan bibir semata-mata. Ia bermaksud agar kita sentiasa menjaga prinsip hidup kita agar jangan sampai terlena. Segala perintah Allah wajib kita perhalusi dan sebarkan ia kepada setiap warga. Apabila kita leka, maka Dajjal akan membuatkan kita terlena oleh dunia dan apabila kita sedar kita sudah jauh dari landasan, dari jalan yang lurus.

Ilmu agama ini harus dipelihara ketulinan dan keberkesanannya secara berjemaah. Pada malamnya kita harus membaca surah Yaasin yang membawa gerakan meneliti situasi ilmu dan kedaulatan agama secara beramai-ramai. Fokus utama ialah melihat penyakit masyarakat yang disebabkan kejahilan atau pemesongan agama yang mematikan jiwa. Inilah fungsi surah Yaasin yang diguna Isa untuk menghidupkan semula manusia.

QS 36. Yaasiin :
6. Agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapak-bapak mereka belum pernah diberi peringatan, karena itu mereka lalai.
69. Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan tidaklah layak (bersyair) baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah zikir dan iqra’ yang sangat jelas.
70. supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup dan supaya dibenarkan/betulkan perkataan ke atas orang-orang yang ingkar.

Alquran itu perawat hati. Hari ini ramai umat yang sakit dan mati hatinya. Maka bacaan Yaasin malam jumaat itu harus mampu menyembuhkan hati mereka. Rumusan dari bacaan Yaasin itulah yang seharusnya dibawa sebagai Khutbah kepada jemaah dalam solat jumaat. Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat sabda baginda. Inilah kaedah solat baginda yang sangat strategik dalam membangun ummah namun sudah tidak kita ketahui lagi.

Tidak mudah untuk kami kongsikan dengan jelas apa yang dimaksudkan kerana kita telah terlena begitu lama. Hari ini kita sangka kita sudah cukup Islam, tetapi jika kita check semula terlalu banyak spesifikasi Muslim sudah tiada pada kita. Jasad dan raga kita nampak Islam, bibir dan hati kita mengaku Islam dan beriman, tetapi Roh Iman dan amal Keislaman yang sebenar sudah lama tiada dalam kehidupan kita.

Allah perintah jangan ikut sesuatu tanpa ilmu (QS 17/36) majoriti kita beramal tanpa ilmu. Allah kata jangan suka ikut-ikut kebanyakan manusia (QS 10/36) bahkan itulah tabiat kita. Amal ibadat kita ikut-ikut, malah trend dan budaya Kuffar juga kita kaut semuanya. Allah larang kita solat tanpa tahu apa yang kita lafaz dalam solat macam orang mabuk (QS 4/43), namun 99% kita solat tidak tahu makna apa yang kita baca.

Jangan salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku kerana memang itu pusingan alam. Dajjal itu sudah ada sejak zaman Adam lagi. Mereka adalah bala tentera Syaitan dan Iblis. Jarak masa Muhammad saw dengan Isa a.s. itu hanya 600 tahun, dan Dajjal telah mampu hapuskan semua isi dakwahnya. Kita sudah berapa ribu tahun dari zaman Nabi saw?

QS 18. Al Kahfi 18. Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur, Dan kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka.

Semasa kita terjaga dari tidur di tempurung gua, anjing Dajjal (munafik) yang kita takuti sedang tercongok di pintu gua. Apa yang dibimbangi nabi saw itu ada asasnya, dengan halusnya penelitian dan iqra’ baginda. Ini kerana lahirnya baginda adalah di saat umat telah jahil semula. Semua ibu-ibu Quraisy telah membudayakan MAID, NURSERI dan IBU SUSUAN. Masyarakat jahiliah itu sangat mengejar harta dan pangkat. Petunjuk dan aturan hidup hasil dakwah Musa dan Isa a.s. sudah tidak diketahui dan diperduli perlaksanaannya.

Jelaslah benar apa yang baginda kata tentang tanda akhir zaman, tanda kefahaman dan perlaksanaan sistem Islam telah berakhir itu benar belaka. Pengakhiran itu dinamakan Akhirat dunia, akhirat zaman. Tugas kita ialah untuk berusaha mencari ilmu, berkerja keras untuk berganding bahu, untuk berjemaah membangunkan semula (kiam). Semuga kebangkitan (kiamat) itu segera berlaku. Jika sudah jatuh dan masih tidak mahu bangkit, maka kita akan ke dalam tanah lah jawabnya.

KESIMPULAN:

Sebenarnya kita sangka kita hidup dan membangun dalam Islam, namun hakikatnya kita hanya tidur lena dan dibalik-balikkan ke kiri dan kekanan sahaja. Kedudukan kita masih di situ dan sedang tidur lena. Hari ini kita sedang digula-gulakan dengan agenda Dajjal. Kita juga sudah BERADA DI TAHAP MAKSIMA KEJATUHAN INI DAN TIDAK MUNGKIN AKAN JATUH LEBIH RENDAH LAGI KECUALI TERTANAM MENGUBUR DIRI KE DALAM BUMI.

Jangan tipu diri yang kita sangat yakin yang kita sedang berada di jalan yang lurus. Jangan terlalu yakin yang kita telah cukup ilmu dan bekalan hidayah untuk melaksanakan amanah agama. Jangan terlalu yakin yang anak cucu kita bakal bertahan dengan apa yang kita tinggalkan.

Jangan lagi membesar diri untuk menolak tawaran ilahi. Sudah cukup banyak projek yang menggunakan kejahilan kita dan jelas telah gagal kesemuanya sekali. Jika ilmu kita cukup tepat dan berkualiti, jika bijak pandai kita memainkan fungsi, pasti kita tidak jadi begini.

TIDAK ISLAM jika kita tiada islah, iaitu menjadi semakin baik. itu sabda Nabi saw. itulah hakikat AMAL SOLEH. Apatahlagi jika jadi semakin teruk hari demi hari macam apa yang kita sedang alami ini. Semuga cetusan ini memberi sedikit gambaran bacaan al-kahfi yang bagaimanakah yang Nabi saw ingin kita baca di setiap jumaat ini, sehingga ia menjamin keselamatan hingga jumaat yang lagi satu.

Kahfi adalah bicara yang tersembunyi, bicara rahsia agama ini dan bicara kupasan secara berjemaah. Anda kena guna akal dengan serius untuk mencerna. Jika tidak, baca komek saja jawabnya agar kita boleh meneruskan kartun Islam yang melata.

Berkali-kali Allah perintah agar kita guna akal untuk memahami Alquran. AFALA YAKQILUUN.. AFALA YAKQILUUN.. Allah kata. Malang sekali kita yang mabuk ni kata jangan guna akal membaca quran. Pedas sedikit, namun kami harap ia boleh membangkitkan kita yang sedang lena. InsyaAllah bersambung lagi jumaat depan dengan al-Kahfi ke2.

Cetusan Jumaat
WARGA PRIHATIN