Faktor persekitaran sumbang zina

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

TIDAK akan mengandung atau tidak mendapat penyakit kelamin adalah perkara biasa antara tanggapan sempit remaja yang menjadi faktor menyebabkan mereka rela melakukan zina.

Ini dibuktikan apabila kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (MPFS) pada 2004 mendapati 2.4 peratus remaja terbabit dengan hubungan seks luar nikah, manakala 13.6 peratus remaja tahu pusat pengguguran, 21.2 peratus remaja mengenali rakan hamil luar nikah dengan 10 peratus daripadanya menggugurkan kandungan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam kajiannya pada 2005 pula menunjukkan bukti lebih mengejutkan apabila kira-kira 50 peratus remaja yang terbabit seks luar nikah ialah golongan terpelajar iaitu penuntut daripada empat universiti.

Turut membimbangkan, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 1,215 kes HIV membabitkan mereka berusia 13 hingga 19 tahun pada 1986 hingga 2008, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 65 kes buang bayi dicatatkan dari Januari hingga Ogos 2010.  Ketua Sub Unit Seksualiti, Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Hamizah Mohd Hassan berkata, sebilangan remaja tidak berasa bersalah melakukan seks luar nikah kerana menganggap perbuatan itu turut dilakukan rakan lain selain ingin membuktikan cinta.

“Banyak faktor penggalak mereka melakukan salah laku seksual, misalnya faktor biologi iaitu lebih mudah terangsang melakukan seks kerana hormon mendadak tinggi, kurang pengetahuan mengenai seks, tiada pegangan agama dan nilai murni, tanggapan salah mengenai seks luar nikah dan kurang kawalan serta perhatian ibu bapa,” katanya ketika membentangkan kertas kerja dalam Muzakarah Pakar ‘Menangani Zina dan Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dr Hamizah yang mengendalikan pusat mesra remaja LPPKN, kafe@Teen berkata, daripada aduan remaja di klinik berkenaan, rumusan mendapati faktor persekitaran sangat menyumbang salah laku seksual.

“Selain tempat hiburan 24 jam menjadi lokasi remaja berlibur, tempat sunyi juga mendorong mereka melakukan hubungan seks. Ada remaja menjadikan tangga kecemasan sebagai tempat berasmara. Remaja juga mudah bertukar bahan pornografi sesama mereka hasil kecanggihan teknologi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengkaji semula polisi dan undang-undang, mengetatkan penguasaan undang-undang, menyokong agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit selain memberi perhatian khusus kepada penyalahgunaan bahan pornografi, penapisan Internet, bahan yang dipaparkan di media serta pusat hiburan.

Daripada sudut sosiologi, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Abd Hadi Zakaria berkata, masalah sebenar yang hendak ditangani ialah pembuangan bayi dan zina.

“Kalau kita jawab secara mudah, jika kita dapat tangani zina, tidak ada bayi dan kes buang bayi. Pendekatan pihak Barat membenarkan ‘semua boleh,’ tetapi Islam jelas menekankan zina dan buang bayi tidak boleh. Bagaimanapun, Islam membolehkan kita memelihara anak tidak sah taraf dengan syarat tertentu seperti tidak layak menerima harta pusaka,” katanya.

Menurutnya, zina mudah berlaku apabila lelaki dan wanita berduaan di tempat sunyi selain program yang menemukan atau terdapat percampuran lelaki dengan perempuan.

“Pasangan yang ingin melakukan hubungan seks akan mencari kesempatan. Dalam satu kes berlaku di luar bandar, seorang remaja lelaki yang sudah berhenti sekolah rajin ke surau. Dalam perjalanan pulang, dia akan singgah ke rumah teman wanitanya, pelajar tingkatan empat yang tinggal dengan nenek. Teknik digunakan ialah masuk ke rumah berkenaan dari lantai papan, terus ke bilik gadis itu,” katanya.

Beliau berkata, senangnya memperoleh kondom dan alat cegah kehamilan di kedai 24 jam turut menyumbang terjadi zina berikutan remaja menggunakannya bagi mengelakkan hamil.

“Kita juga perlu mengawal stigma anak tak sah taraf. Remaja membuang bayi luar nikah kerana ingin menutup malu. Apa dosa anak yang lahir daripada tidak sah taraf? Mengapa hendak buang sedangkan Islam sendiri membenarkan memelihara anak tidak berdosa itu,” katanya.