Dakwah jadi satu industri lumayan

PERKONGSIAN ilmu dapat menjadikan masyarakat Islam sebagai komuniti berilmu. – Gambar hiasan

 

Hampir sembilan tahun saya berkecimpung dalam industri dakwah. Saya menyebut industri dakwah kerana ia menjanjikan hasil pendapatan yang sungguh lumayan.

Malah, jika kena caranya, ia boleh menjadi satu bentuk perniagaan yang membawa keuntungan luar biasa.

Tidaklah terlalu luar biasa untuk menyaksikan ramai individu berhenti kerja dan menceburkan diri dalam industri ini sepenuh masa.

Ia menjadi satu sumber pendapatan untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Sasaran pendapatan ini menjadi satu proses keutamaan secara semula jadi.

Industri ini sungguh menarik dan sifatnya luar biasa. Pulangan Return on Investment (ROI) cukup tinggi. Cakap-cakap industri menggambarkan begitu. Ketika menjawat jawatan sebagai pengarah di sebuah universiti tempatan, saya mahu membawa seorang penceramah terkenal ke dalam kampus untuk bertemu dengan warga universiti.

Sungguh, saya terkejut apabila beliau tanpa teragak-agak menyebut yuran ceramahnya sebanyak RM4,000 untuk program yang dijadualkan selama dua jam. Sebagai lulusan perakaunan, otak saya terus mengira pendapatan bulanan beliau yang boleh mencecah RM60,000 sebulan. Itu jika hanya menerima sebanyak 15 undangan.

Wah… menarik! Dalam kes lain, saya terpegun mendengar kisah anak murid yang dilatih untuk menguruskan kedatangan penceramah ke kampus kami di Segamat, Johor.

“Prof… ustaz tanya saya, mampukah awak membawa saya ke Segamat?”

Malah, saya sendiri pernah berhubung dengan penceramah yang masih bertugas dengan salah satu universiti tempatan untuk hadir bertemu dengan siswi secara khusus bagi program selama sejam.

PENDAKWAH perlu menunjukkan contoh dan akhlak yang baik untuk berdakwah. – Gambar hiasan

 

Menjual agama

Menarik kata-katanya: “Saya tidak menjual agama tetapi kebiasaannya mereka membayar saya antara RM1,500 hingga RM2,000.”

Lalu saya nyatakan: “Kita tertakluk kepada beberapa peraturan kewangan kerajaan. Bayaran honorarium tertakluk kepada jawatan hakiki. Bayaran kepada Profesor, Profesor Madya dan pensyarah biasa berbeza-beza.

“Namun, atas kapasiti saya sebagai pengarah, Insya-Allah ada beberapa aspek lain yang boleh saya pertimbangkan tetapi jumlahnya tidak begitu tinggi.”

Beliau menolak untuk hadir. Tentu sekali, ia bukan soal boleh atau tidak. Terpulanglah. Namun, saya sendiri berpegang kepada ayat 86, surah Sad yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran al-Quran ini dan bukanlah aku daripada orang-orang yang mengada-ngada.”

Juga melalui surah al-Furqan melalui ayat 56 yang bermaksud:

“Katakanlah: Aku tidak meminta kepada kamu sebarang balasan bagi apa yang aku sampaikan kepada kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah.”

Alhamdulillah… hati saya terasa tenang dan damai. Malah, perjalanan dakwah saya pada setiap tempat berbeza keadaan. Ketika dalam satu perjalanan, saya pernah memberitahu kepada Roza…

Melalui ceramah dan kuliah, Allah SWT membawa saya bertemu dengan ramai orang dan mengunjungi banyak tempat. Kampung ini tidaklah terlalu jauh dari Shah Alam tetapi jika tidak bersebab, agaknya tidak sampai di sini.”

Saya terasa sayu dan sebak di dada. Tiba-tiba di penghujung ceramah, saya menuturkan kata-kata ini,

Jika tuan-tuan mendengar khabar saya meninggal, jika ada masa, mohon doakan saya dan laksanakan solat jenazah. Itu lebih penting buat saya.”

Kenapa? Entah… buku-buku terakhir yang ditulis, semuanya mengaitkan dengan masa berbaki yang semakin hampir. Reja kehidupan saya semakin mengecil.

Saya berusia 51 tahun. Jika genetik atau keturunan menjadi sandaran, maka saya mempunyai baki tujuh hingga lapan tahun sahaja. Kedua-dua ibu dan ayah berpenyakit diabetes serta mempunyai tekanan darah tinggi. Saya juga begitu.

Jika usia baginda Rasulullah SAW dijadikan asas, maka hanya sembilan tahun memisahkan kehidupan dunia dan alam kubur.

Merenung

Jika purata kematian kaum lelaki di negara ini (72 tahun) menjadi ingatan maka, saya mempunyai 21 tahun.

Adakah ia tempoh yang lama atau singkat? Jika saya merenung ke belakang, ia sepantas kilat. Jika melihat ke depan, ia kelihatan masa yang panjang. Namun, biarlah saya melihat ke belakang untuk merenung masa berbaki.

Allah… ya Allah… ajal maut di tangan Allah. Adik saya meninggal ketika berusia 35 tahun. Adik Roza juga begitu. Kematian… ia pasti tiba!

Ceramah dan kuliah saya sering mengingatkan soal kematian, sisa kehidupan dan perencanaan mengurus masa berbaki. Saya fikir, saya tidak perlukan sebarang bayaran untuk mengingatkan khalayak pendengar untuk satu isu yang sudah diketahui umum.

Salam sejahtera.