CATATAN JUMRAH SEORANG FIRAUN

IMG_2172CATATAN JUMRAH SEORANG FIRAUN

Salam semua pembaca. Mungkin masih ada yang ingat saya masih lagi di Mekah menghabiskan baki musim haji yang tinggal. Alhamdulillah, saya telah kembali ke bumi Malaysia ini pada Sabtu yang lepas, 9 November 2013. Perjalanan agak baik sekali dan kepulangan telahpun dinanti-nantikan oleh keluarga dan sahabat-sahabat di kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

Bagi yang mengikuti travelog haji yang saya kongsikan kepada umum. Saya fikir anda pasti tertanya-tanya mengapa tiba-tiba coretan itu terhenti sehari selepas hari wukuf ataupun pada masa umat Islam di Malaysia merayakan Aidiladha. Sebahagian dari anda juga mungkin masih berteka teki mengapa catatan itu tidak diteruskan lagi dan sekadar digantikan dengan foto-foto berkapsyen ringkas. Lapangkan dada anda, mari saya ceritakannya supaya tidak jadi persangkaan yang bukan-bukan pula.

Pelajaran paling besar dalam ibadah haji yang saya lakukan selama sebulan di Tanah Haram akan saya ceritakan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Saya bermula melangkah ke bumi Saudi dengan perasaan bercampur baur. Menyaksikan pelbagai kebejatan yang terang-terangan di hadapan mata sambil mengurut dada memujuk diri “Ahhh.. Itu hanya ujian Allah”. Apabila sudah berulangkali ia berlaku, saya mula merasakan saya ini sama sahaja dengan Ramli, Ajis dan Sudin yang bertapa atas kubur askar Jepun yang mati dibunuh seraya berkata semuanya “Cobaan”.

Justeru, ia membuatkan saya memerhati dalam sudut yang lain. Mungkin selama ini cerita tentang Mekah dan Madinah lebih berbentuk hiperbolik (diganda-gandakan cerita baiknya) tetapi saya mula sedikit demi sedikit merungkai segala jenis kebejatan yang wajarnya BUKAN ISLAM tetapi dilakukan oleh ORANG ISLAM DI TANAH SUCI ISLAM. Saya amat yakin ada akhlak yang perlu diperbetulkan agar tidak berterusan menjadi fitnah kepada Agama dan Mulkiah Allah itu.

Pelacuran di Perkampungan, budaya pembaziran makanan, bermewah dan bermegah, mengherdik orang tua, serta amalan rasuah sudah menjadi sistem hidup yang tercela di sana. Bayangkanlah sehingga sogokan untuk pengkebumian jenazah di perkuburan Ma’ala juga berlaku secara terbuka. Seolah-olah saya menyaksikan wayang gambar yang menayangkan segala-gala itu dan masih mengurut dada seraya berkata “COBAAN”.

Saya bukan orang yang sabar. Dalam travelog dan catatan bergambar yang saya post melalui instagram juga di facebook rata-rata mempersoalkan tentang kebejatan yang tidak pernah diceritakan sebelum ini oleh mana-mana duyufurrahman (tetamu Allah) yang dating saban tahun.

Lantas, saya menjadi lupa dan terlalai yang sangat banyak. Mata yang ada, jari yang dimiliki keseluruhannya memfokus kepada mengkaji tentang orang lain tetapi melupakan diri sendiri. Gambar-gambar haji yang cantik telah menghimpun puja dan puji pembaca Page Saiful Nang yang semakin bertambah hari demi hari.

Malang sekali semua itu semakin melalaikan saya sehinggakan sehari sebelum wukuf di Arafah, saya sendiri sudah tidak tahan lagi dengan reaksi balas difensif segelintir mereka yang terus menerus menghentam perbuatan saya yang menceritakan sisi buruk masyarakat Mekah dan proses-proses haji. Lantaran dari itu, saya membuat posting panas seorang DIKTATOR yang memberi amaran segala percanggahan pendapat akan terus disekat (Ban) dari facebook saya.

00 disklaimer


MENGENALI FIRAUN SEPERTI MENGENALI DIRI SENDIRI.

Lantaran dari “Amaran Diktator” itu, saya kehilangan tulang belakang saya. Sahabat berdipan-dipan (halaqah) di RPWP sebulat suara mencabut silaturrahim mereka dengan saya kerana sikap togho (melampaui batas / sikap Firaun). Saya terbiar sendirian di tengah jutaan manusia tanpa sahabat yang telah 8 tahun berhalaqah melaksanakan hidup bervisi Surah dan bermisi Sunnah.

TIDAK ISLAM JIKA TIDAK BERJEMAAH.

Pada hari itu, saya dipisahkan dari Jemaah kerana tanpa sedar, saya menzahirkan Firaun dalam diri saya sendiri dengan satu proklamasi melalui “Amaran Diktator” itu. Sahabat dari RPWP hanya mengeluarkan 1 disclaimer yang menyatakan penentangan terhadap dasar tertutup yang saya umumkan itu lalu mereka terus senyap. Fungsi administrator serta akses-akses tertentu telah dinyahfungsikan semuanya.

 

Benar-benar pada malam hari Tasyrik yang pertama, hanya tinggal saya dengan Firaun yang saya bela dalam diri saya sendiri. Dalam hati manusia ada 1 rongga sahaja, jika kita masukkan Allah maka tiada tempat untuk taghut (pelampau) dan jika kita masukkan taghut maka tiadalah Allah di hati kita.

Seperti satu kejadian yang telah disengajakan terjadi, walaupun ia pastinya datang dari Allah sendiri. Selepas itu, saya masih tidak berhenti memerhati, hanya ianya saya rakam dalam catitan peribadi tanpa diceritakan pada orang lain lagi.

Pada ketika itu…

Apabila ditinggal BERSENDIRIAN…

Baru rasa janggal menjadi Islam TANPA JEMAAHNYA.

Barulah tercabut segala EGO saya…

Barulah rasa Allah itu BESAR dan MAHA BERKUASA.

Ini kerana sebelum itu, KEPALA SAYA YANG LEBIH DIBESARKAN sehingga menjadi satu proklamasi Firaun pula. Apakah bezanya bila Firaun berkata “AKULAH TUHAN” berbanding saya yang mengatakan “SAYA DIKTATOR DAN SEGALA TEGURAN AKAN DI BAN”. Beza pada teks tetapi konteksnya sama. NAUZUBILLAH.

Di Tanah Haram itu, Allah keluarkan sikap Firaun itu dari lubuk hati yang sebelum ini saya pun tidak perasan ianya ada. Mungkin jika ada hanya dalam keadaan “terdetik” tetapi tidak sampai ditasdik hati dan ditakrir dengan pena mahupun lisan. Ya.. Allah keluarkan kekotoran itu, Allah tinggalkan saya sendirian di dalam lautan manusia di tempat suci bernama MINA untuk melihat ke dalam diri dan bukan ke luar lagi.

Allah pasti merencana sesuatu yang besar. Sikap togho yang tersimpan dikeluarkan menjadi satu lembaga hitam bernama Firaun dalam susuk wajah Saiful Nang. Mengapa sekarang? Mengapa di Mina? Mengapa pada haji ini?

Hanya saya dan Allah yang tahu. Ketika itu, baru dapat rasakan diri ini perlukan Allah. Jika tidak, selamba sahaja kata diri ini diktator. Semasa jumrah berlaku, saya keluarkan Firaun itu dan saya lontarkannya sekuat hati dan jiwa. Saya lontarkan Firaun itu di Jumrah dan saya campakkan semua benih-benih kepala batu yang menjadikan saya insan melampau.

Tidak cukup sekali, saya ulanginya pada hari kedua dan seterusnya. Lontarnya keluar dan tiba-tiba saya jadi jelas tentang ritual jumrah itu. Nabi Ibrahim juga melontar syaitan-syaitan itu dari merasuk dirinya untuk lari dari pengorbanan kepada Allah. Seraya itu, saya tersentak yang saya lontar itu ialah syaitan dalam diri saya sendiri. Ya, saya kenalinya dan saya keluarkan syaitan itu lalu saya lontarkannya sekuat hati.

Pada lontaran terakhir, saya rasa benar-benar lega kerana saya tidak hanya melontar batu-batu secara ritual ke dalam jumrah itu sebaliknya saya mengeluarkan syaitan dalam diri untuk saya lontarkannya secara mutasyabihat.

Benarlah, Allah tidak jadikan yang ritual jika tiada yang aktual. Ia juga menjawab persoalan saya selama ini, mengapakah sebahagian mereka yang saya kenali telahpun mengerjakan haji beberapa kali tetapi masih pulang dengan perangai syaitan yang berganda pula jadinya.

Dari satu sudut lain, saya bersyukur sikap buruk yang terbenam jauh di dalam hati itu dikeluarkan dan dizahirkan di Tanah Haram dan menjadi asbab kepada sahabat halaqah saya di Prihatin untuk menolak kebatilan itu secara total lantas menjadikan saya keseorangan untuk memikirkan dan melihat keburukan dalam diri.

3 hari saya dibiarkan tanpa sepatah silah ataupun secarik mesej di dalam whatsapp kami. Selesai 3 hari, mereka kembali bersilaturrahim dan ketika itu rupanya, mereka memberikan saya sanction (tempoh bertenang) untuk melihat ke dalam diri. Rupanya sudah lama saya memerhati ke luar tetapi lupa melihat diri sendiri. Tempoh 3 hari itu berilhamkan pemisahan tempat tidur selama 3 hari bagi isteri yang nusyuz. Secara konteks, ia boleh digunakan dan ia telahpun digunakan.

Berdasarkan Surah 2. Al Baqarah 196, saya telah dibacakan perlanggaran yang telah saya lakukan lalu saya diwajibkan BERPUASA TIGA HARI dalam masa haji dan TUJUH HARI setelah pulang. SUBHANALLAH. Terus terang selama ini saya membaca ayat itu tanpa sebarang rasional kefahaman disebaliknya. Hari ini saya sendiri menjadi asbab untuk menjelaskan apa rahsia di sebalik ayat itu. Terlalu panjang untuk saya hurai di sini tapi anda cubalah bacanya sendiri. Saya yakin anda juga akan bersyukur jika mampu memahami ayat itu.

Itulah pelajaran terbesar yang saya lihat mampu untuk saya ceritakan. Janganlah salah sangka dengan artikel ini. Artikel ini tidak bermaksud saya tidak boleh selepas ini menceritakan kebenaran yang berlaku di bumi Mekah. Itu satu kebenaran dan kebenaran perlukan penyampaian walaupun ianya pahit.

Saya sedar ada golongan “haters” yang memang mencari asbab untuk menghentam. Silakan terus menghentam jika mahu kerana kebenaran tidak perlukan sokongan majoriti. Jika 1 dari 73 golongan sahaja yang sampai kepada Allah, pastinya ia bukan majoriti.

Jangan pula fikir kata-kata kesat tak berasas yang dilontar  ke dalam ruang komen fb saya tidak akan di remove dan di ban penulisnya jika ia terang-terang menyerang dan bukan berhujjah.

ZAM-ZAM DAN HAJI MABRUR

Sekembali dari Tanah Haram, saya berazam agar haji yang saya lakukan itu adalah haji mabrur. Tetapi bukan sekadar mengharap-harap tanpa kepastian. Pulangnya orang dari Mekah membawa ole-ole AIR ZAMZAM bukannya berbagai cenderahati dari kedai-kedai di sana.

AIR ZAMZAM itu adalah analogi ilmu dari cetusan sepanjang zaman. Datang ke Mekah bawalah ilmu dari pemerhatian, pertemuan, perbicaraan dengan umat dari seluruh dunia lalu kita rumuskannya supaya air zamzam itu mampu dikongsikan ke seluruh Malaysia tanpa mengurangkan apa yang ada di tangan. Jika difikir secara muhkammat (tersurat) ia pasti tidak logik, tetapi kita membacanya secara konteks dalam bacaan mutasyabihat (tersirat).

Bagi yang tak faham mengapa analogi air itu adalah ILMU kerana ILMU sama seperti air. Ia KEPERLUAN HIDUP manusia dan ia boleh kita rasai tetapi tidak boleh kita takungnya sendiri selain kita alirkannya. Hatta kolam juga ada aliran masuk bila hujan, jika terlebih akan melimpah juga. Pada waktu panas ia mengalir pula melalui wap air untuk disejat ke awan. Adakah itu adalah sifat-sifat ILMU?

Maka, bagi saya cara untuk mendapatkan MABRUR / KEBAIKAN dari haji itu ialah berkongsikan furqan hasil dari pengamatan bainat bersandar hudan dari pengalaman haji itu sendiri. Itulah analogi ZAMZAM (ILMU) yang dibawa pulang dan mampu memberikan kebaikan pada kebanyakan manusia yang MAHU.

InsyaAllah, saya akan terus sambungkan cerita ini supaya menjadi iktibar kepada yang lain. Saya tidak malu membukakan pekung saya pada orang lain. Kebaikan diri kadangkala saya kongsikan agar ada yang terbuka hati untuk mencontohi (bukan untuk riak). TETAPI tidak adil pula jika keburukan saya tidak dikongsikan jika ia boleh menjadi panduan bagi orang lain untuk tidak mengulangi keburukan yang sama.

Apapun, itu terpulang kepada cara anda memandang. Jika anda lihat ia satu pelajaran maka pelajaranlah jadinya. Jika anda lihat ini satu cerita negatif maka negatif jugalah yang anda dapat.

Alhamdulillah, saya tidak berani nak jamin syaitan yang direjam itu tidak meninggalkan benih dan telurnya di dalam hati saya. Tetapi jika syaitan itu menetas lagi, saya tahu sahabat saya di Warga Prihatin adalah sahabat yang tidak pernah menipu saya. Jika mereka mahu kenang kebaikan saya, pasti mereka menjaga hati saya dengan berlunak kata, tetapi saya bersyukur kerana mereka ini sejujur cermin di hadapan saya yang tidak pernah berbohong. Jika buruk, mereka tetap katakannya buruk.

Sesungguhnya hal ini membuka mata dan hati saya betapa besarnya ALLAH itu di mata mereka. Memang mereka tidak menafikan sumbangan saya pada rumah itu, namun mereka tidak gentar kehilangan saya jika ternyata saya lebih mengutamakan laba dunia, puji puja manusia sehingga menafikan perintah dan larangan Allah yang Maha Kuasa. Semuanya mereka nyatakan tanpa ada kompromi dan tanpa ada ketakutan.

Kerana ketakutan paling besar bagi mereka hanya pada ALLAH.
Bukan kepada “diktator” seperti Saiful Nang.

Inilah yang membuatkan saya amat sayang kesemua mereka dan merasakan saya tidak boleh hidup tanpa mereka, sekalipun jika saya kaya raya, biarpun ratusan ribu orang memuji dan memuja…

Hari ini kita terlampau sibuk menuding dan melabel orang lain yang Firaun. Kita juga sibuk mencari sejarah Firaun pada zaman Nabi Musa dahulu, rupanya Firaun itu barangkali hanya berada sangat hampir dalam diri kita sendiri, sangat hampir malah memiliki istana di dalam kalbu diri.

SAIFUL NANG
Warga Prihatin