Cabul Pelajar OKU – Cikgu Pendidikan Khas Dipenjara 7 Tahun

PUTRAJAYA 23 Mei 2017 – Seorang guru sebuah sekolah pendidikan khas berusia 61 tahun kekal menjalani hukuman penjara tujuh tahun kerana melakukan seks oral dan mencabul kehormatan pelajarnya yang masih di bawah umur, empat tahun lalu.

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Sha’ari A. Samat menjalani hukuman penjara bermula hari ini selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi kedua-dua tuduhan.

Guru sebuah sekolah menengah di Kota Tinggi, Johor itu disabitkan melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di antara pukul 10 pagi dan 11 pagi, 1 Julai 2013 di tandas sekolah berkenaan.

Mangsa ketika itu adalah pelajar tingkatan tiga yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghadapi masalah pembelajaran kerana menghidap ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD).

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Mohtarudin Baki sebulat suara berpendapat tiada sebab untuk mengubah dapatan fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berpuas hati bahawa penjara tujuh tahun kerana melakukan seks oral dan tiga tahun kerana mencabul, tidak keterlaluan. Hukuman berjalan serentak. – Utusan