Brunei laksana hukum Hudud

00 sultan brunei

Utusan Melayu

BANDAR SERI BEGAWAN 22 Okt. – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara ini, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.

Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu, diwartakan, hari ini selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.

Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup di sini pada 10 Oktober lalu berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.

Peraturan lain yang bakal dilaksanakan termasuk hukuman sebat ke atas pesalah yang melakukan pengguguran dan minum arak.

“Dengan rahmat Allah, mudah- mudahan penguatkuasaan undang-undang ini akan memenuhi tanggungjawab kita kepada Allah swt.

“Saya berharap undang-undang ini boleh mengukuhkan pengaruh Islam di Brunei yang majoritinya didiami penduduk Islam,” katanya.

Negara yang kaya dengan sumber minyak itu dihuni kira-kira 400,000 penduduk dan 70 peratus daripada mereka merupakan penganut Islam dan selebihnya Kristian, Buddha dan agama lain.

Brunei sebelum ini menguatkuasakan gabungan dua sistem peraturan iaitu mahkamah berdasarkan undang-undang Britain untuk kes sivil dan undang-undang Syariah bagi kes peribadi dan isu keluarga.

Kerajaan Brunei turut melarang penjualan dan pengambilan alkohol serta menyekat aktiviti keagamaan dan perayaan agama lain daripada diadakan secara terbuka. – AGENSI

Artikel Penuh- © Utusan Melayu (M) Bhd
BANDAR SERI BEGAWAN – Kosmo
Sultan Hassanal Bolkiah yang memerintah Brunei, semalam memperkenalkan hukuman Islam termasuk merejam sampai mati penzina sekali gus menjadikan Brunei negara Asia Tenggara pertama yang melaksanakan undang-undang tersebut di peringkat nasional.Baginda berkata, Kanun Hukuman Jenayah Syariah yang baru diperkenalkan semalam selepas persediaan selama beberapa tahun itu akan dikuatkuasakan secara berperingkat enam bulan kemudian.

Undang-undang tersebut akan hanya dilaksanakan terhadap penganut Islam.

Ia merangkumi hukuman Islam termasuk merejam penzina yang sudah berkahwin, memotong tangan pencuri dan hukuman sebat ke atas penganut Islam yang melakukan perlbagai salah seperti minum arak dan menggugurkan anak.

“Dengan ini, Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggungjawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai,” titah baginda dalam satu ucapan.

Sultan Hassanal pertama kali mencadangkan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negara yang dihuni oleh 400,000 penduduk itu pada 1996.

“Brunei menonjolkan ciri-ciri sebuah negara feudal pada kurun ke-18 berbanding anggota penting rantau ekonomi dan sosial Asia Tenggara pada kurun ke-21,” kata Timbalan Pengarah Asia Pertubuhan Hak Asasi Manusia Human Rights Watch, Phil Robertson ketika mengulas perkembangan itu.

Beliau menyifatkan perubahan kepada undang-undang tersebut sebagai pencabulan hak, dibenci dan tanpa justifikasi.

Brunei telah mengharamkan penjualan dan perbuatan minum arak di tempat awam serta mengehadkan perkembangan ajaran agama lain.

Sultan Brunei sendiri melahirkan kebimbangan berhubung undang-undang syariah beberapa tahun lalu ketika kanun berkenaan dalam proses untuk disiapkan.

Namun, baginda berulang kali menyokong untuk mengukuhkan asas Islam bagi menghadapi pengaruh luar yang merosakkan termasuk internet.

Bagaimanapun, kerajaan Brunei dipercayai akan melaksanakan undang-undang syariah secara peringkat-peringkat seiring dengan cirinya sebagai sebuah negara yang aman, kata seorang felo pelawat di Pusat Pengajian Islam Omar Ali Saifuddien, Gibril Fouad Haddad.

“Adakah ia (undang-undang syariah) hanya simbolik? Saya tidak tahu,” katanya. – Agensi, Kosmo.