Category Archives: Kemalangan Udara

image_pdf

Najib arah siasatan penuh nahas helikopter

11:58PM – 4 Apr 2015

Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih petang tadi.

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Perdana menteri menjelaskan bahawa mengikut prosedur beliau tidak boleh mengesahkan identiti mangsa selagi belum disahkan oleh pihak forensik.

“Namun berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai, tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas malam ini.

Najib yang nyata sedih dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.

“Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara. Ramai kenalannya di dalam dan luar negara,” katanya mengenai Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata Najib sambil menambah kata, Jamaluddin juga terus banyak memberi nasihat dan pandangan kepadanya walaupun tidak lagi menjadi duta.

Najib, yang dilihat cuba menahan sebak dalam sidang media itu, berkata: “Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku.”

Selain semasa di universiti, Najib berkata beliau dan Jamaluddin, yang juga ahli Parlimen Rompin, turut seiring ketika pembabitan awal dalam Umno dan seterusnya dalam dunia pentadbiran kerajaan.

Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai ‘Chief of Staff’ di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

“Secara peribadi beliau telah bersetuju meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat untuk berkhidmat dalam kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara,” katanya.

“Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya,” kata Najib.

Perdana menteri berharap keluarga mereka tabah dan bersabar menempuh dugaan ini dan ketentuan Ilahi.

“Saya dan semua rakan berdoa apa yang telah berlaku itu, sekiranya telah disahkan nanti, kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.

– Bernama

Saksi dakwa lihat helikopter meletup di udara dan dibumi

KEADAAN bangkai helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, petang tadi.

SEMENYIH: Seorang saksi yang juga penduduk kampung mendakwa melihat sebuah helikopter meletup di udara sebelum terhempas di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening, di sini, petang tadi.

Pengawal keselamatan, Roslan Harun, 53, berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 4.30 itu, beliau sedang berehat di rumahnya.

Roslan Harun – saksi nahas

“Mula-mula pak cik dengar bunyi kipas kuat…nampak helikopter meletup dan terbakar di udara. Selepas itu helikopter mula jatuh ke bawah.

“Tiba-tiba, pak cik dengar letupan kali kedua, mungkin waktu itu, ia sudah berada di darat. Hujan juga ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Kawasan kejadian itu juga sudah ditutup kepada orang awam sejak jam 6.30 petang.

 

Nahas Helikopter – Jamaluddin Jarjis antara 6 yang terkorban

Jamaluddin Jarjis antara terkorban

Harian Metro – 4 April 2015

00 nahas helikopter jj

Semenyih: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tan Sri Jamaluddin Jarjis antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, petang tadi.

Beliau berkata, Jamaluddin berada di dalam helikopter berkenaan ketika nahas berlaku.

Sementara itu, Pengarah Bomba Negeri Selangor, Othman Abdullah berkata, keenam-enam mayat mangsa nahas helikopter sudah ditemui dan akan dibawa keluar dalam masa sejam.

Helikopter jenis AS365 Dauphin terhempas berhampiran Jalan Sungai Lalang-Kampung Pasir Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, seorang saksi Roslan Harun, 53, yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat api marak di kawasan kebun kelapa sawit.

Menurutnya, dia tidak dapat menghampiri lokasi kejadian dan berada kira-kira 200 meter dari serpihan badan utama helikopter berkenaan.

“Ketika kejadian hujan lebat dan saya terus menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu.

“Saya kemudian keluar dari lokasi nahas untuk menunjukkan jalan kepada pihak berkuasa untuk masuk ke sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian nahas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 8:50 PM

SEORANG daripada mangsa yang terkorban. FOTO ihsan bomba

ULASAN: WARGA PRIHATIN

WANITA AUSTRALIA DICABUL PRAMUGARA MAS DISELAR DI MEDIA SOSIAL SELEPAS TEMURAMAH TV

WANITA AUSTRALIA DICABUL PRAMUGARA MAS DISELAR DI MEDIA SOSIAL SELEPAS TEMURAMAH TV

MAS – MENGUTIP SEMULA JALUR GEMILANG YANG REBAH

ANAK KECIL CO-PILOT BERADA DI SAF HADAPAN UNTUK SOLAT JENAZAH AYAHNYA

ANAK KECIL CO-PILOT BERADA DI SAF HADAPAN UNTUK SOLAT JENAZAH AYAHNYA

Anak Kapal MAS Ditahan Di Perancis Kerana Berkelakuan Tidah Senonoh

Anak Kapal MAS Ditahan Di Perancis Kerana Berkelakuan Tidah Senonoh

MH370 Dalam Kenangan – Doa untuk team SAR yang mengharungi ombak ganas

MH370 Dalam Kenangan
DOA UNTUK TEAM SAR MH370 – OMBAK GANAZ LAUT HINDI

INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROOJIUN.
ALLAHUMMAGHFIRLAHUM WARHAMHUM WA’AFIHI WA’FU’ANHUM

Selama 17 hari mengikuti perkembangan misteri MH370 dengan penuh debaran, akhirnya semua misteri itu terjawab apabila diumumkan petang semalam dengan LINANGAN AIR MATA PILU.

Rasa sugul dan sedih yang teramat sangat masih menyelubungi sanubari sampai saat ini. Walaupun parlimen pagi ini menangguhkan hari berkabung sehingga pesawat atau serpihannya ditemui dan disahkan, namun hati kita sebenarnya sudah cukup sugul dan secara spiritnya sudahpun berkabung.

Sama-sama kita hayati juga klip kesedihan semua kerabat yang kehilangan insan tersayang yang telah admin kumpulkan, agar dapat kita sama-sama menghayati kesedihan mereka.

DENGAN VIDEO INI admin mengajak pembaca menghayati keperitan yang telah dan bakal dihadapi oleh pasukan SAR selepas ini melalui klip situasi laut lepas yang tidak dijelajahi manusia itu.

Subhanallah, tidak dapat dibayangkan betapa sukarnya perwira kita akan melakukan usaha mencari dan menyelamat dengan kedalaman 5-7 km, dan ombak setinggi 30-50 kaki itu (3-5 tingkat bangunan). Suhu pula dikhabarkan sangat dingin dan angin kencang.

Selagi seluruh bukti tidak ditemui, seharusnya kita masih meneruskan doa agar ada keajaiban dari Allah. Seterusnya, sama-sama kita pohonkan agar pasukan penyelamat dan mencari akan dimudahkan usaha mereka dan dijauhkan dari bencana.

Semuga musibah ini dapat memberikan kita semua pelajaran yang sebanyak-banyaknya. Tiadalah apa sahaja yang berlaku itu sia-sia di sisi Allah bagi mereka yang berakal.

Ucapan setinggi-tinggi ‘Takziah’ kepada ahli keluarga yang terlibat. Kita semua, masyarakat dunia turut merasai kehilangan dan kesedihan ini bersama anda semua. Kita sedang menyaksikan pemergian mereka secara tertangguh. Bagi mereka yang mengenali mana-mana mangsa mari kita ampunkan semua dosa dan hutang piutang jika ada. Kita doakan juga semuga Allah mengampuni semua dosa mereka.

Sesungguhnya inilah keuntungan buat merekakerana pemergiannya diiringi doa dan keampunan dari manusia seluruh dunia.

Amin, Amin, Amin Ya Robbal Alaamiin…

#PRAY4MH370 #PrayForMh370 #MH370 #DoaUntukMH370 #doakanMH370

https://www.youtube.com/watch?v=zfRjnEraCdM

Bomoh – Antara khilaf agama & kecelaruan politik

ULASAN KHUSUS : ISU BOMOH DALAM MISTERI MH370 – ANTARA KHILAF AGAMA & KECELARUAN POLITIK

Kesedihan keluarga dan para penumpang yang kehilangan terpisah secara misteri dengan insan tersayang semakin memuncak hingga ke hari ini. Kejatuhan saham MAS cukup menyedihkan. Kita semua dalam keadaan berkabung kerana kehilangan aset, maruah dan nyawa. Kehadiran Raja Bomoh VIP melakukan ritual TELEK di KLIA, satu tempat yang sangat terkawal keselamatannya di depan wartawan pula memberi tekanan kepada maruah agama Islam di mata dunia.

Sudahlah berita yang baik tidak diminati oleh media luar, dihidang pula dengan “bahan” yang boleh memburukkan imej Islam, maka lajulah berita tentang bomoh ini sampai ke seluruh dunia dalam sekelip mata. Seluruh masyarakat dunia mengejek dengan turut melakunkan aksi mentera.

Berita Raja Bomoh yang diputar hebat oleh pelbagai pihak telah membuat beliau marah. Tidak pasti apa dan siapa yang menjadi ‘backup’ di belakang beliau sehingga berani mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman sedemikian rupa. Seorang menteripun beliau berani ajak bertarung secara jantan, bahkan mahu ditampar seperti beliau menampar seekor buaya tembaga sehingga mati. Ditambah pula dengan ancaman tindakan mahkamah, tuntutan gantirugi 10, 20, kemudian 100 juta pula diminta.

Kami mengikuti perkembangan Raja Bomoh dengan hati-hati termasuk kesemua ulasan dan komentar yang berbagai rupa. Kami kira sudah cukup dengan pelbagai ulasan dari pelbagai peringkat. Malangnya semakin hari semakin ramai yang mendesak agar kami turut memberi ulasan mengikut sudut pandang yang lebih luas. Ulasan WP biasanya agak berlainan kata mereka.

Tidak pasal-pasal Malaysia ditempelak oleh masyarakat dunia, khasnya dunia Islam atas kecelaruan dari upacara Raja Bomoh ini. Apapun kita bersyukur atas tindakan pihak Penguatkuasa JAIS yang menempatkan pegawai mereka di KLIA untuk mencegah sebarang upacara yang sama berulang lagi. Kita yakini semua yang berlaku itu ada hikmahnya.

BICARA AKHLAK & BOMOH

Isu bomoh ini telah menambah runtuhan akhlak umat masa ini. Samada yang mengeji dan yang dikeji tidak jauh bezanya. Puak A mengatakan Puak B yang membayar aksi bomoh di KLIA. Puak B pula kata ada bukti yang puak A juga ada menggunakan khidmat bomoh yang sama untuk tujuan politik. Maka beredarlah video upacara ‘menelek’ siapa bakal menang di PRK Kajang oleh Raja Bomoh yang sama. Namun itulah dia tabiat politik dan politiking.

Sebelum ini sudah banyak sekali kita baca berita tentang penggunaan khidmat bomoh oleh ahli politik. Dikatakan ramai ahli politik ada bomoh peribadi masing-masing. Ada yang sampai peringkat berbunuhan sesama sendiri. Kecelaruan pada orang awam tentang bomoh lebih teruk lagi. Berbagai berita kita baca di mana anak sanggup membunuh bapa, adik sanggup bunuh abang, pernikahan dibatalkan di saat akhir, hanya dengan mendengar kata tukang telek/bomoh sahaja. Tidak termasuk lagi kes seperti anak gadis dirogol oleh sang bomoh..!.

Dalam isu Raja Bomoh VIP dan menteri ini kami melihat satu situasi akhlak yang amat menyedihkan. Maruah dan kedaulatan seorang menteri muda dipijak-pijak secara terbuka oleh seorang bomoh yang ‘belum cukup tua’ dan belum boleh di gelar pikun atau nyanyuk lagi. Terlalu rendah akhlak kita di mata umum. Kematangan akal fikiran dan keteguhan akidah jauh sekali.

Yang paling menyedihkan ialah sikap bongkak dan riak dalam pembomohan ini. Upacara yang jika sekalipun dirasakan betul itu tidak seharusnya dibuat secara terbuka di hadapan khalayak ramai. Semua kehebatan diceritakan depan pemberita yang seramai itu. Selebihnya kita fikirlah sendiri kewajaran dan kewarasannya. Yang pasti Allah tidak suka hambanya takbur dan ‘menunjuk-nunjuk’.

KONFLIK AKIDAH – ANTARA LOGIK/MAGIK – ANTARA SAINS KASYAF, RUKYAH & FALAK

Aqidah adalah bicara ikatan tasdiq hati. Ia dizahirkan melalui lafaz aqad/ikrar yang mengikat hati dan akal kita dengan Allah. Selagi kita masih nampak keesaan Allah dan bergantung dengannya, selagi itu aqidah kita akan kemas terikat. Tidak akan tergamak kita menduakan Allah, seolah-olah sudah hilang kepercayaan dan kebergantungan kita padaNya. Sandaran kepada bomoh ini boleh menghapus akidah, menjurus kepada syirik (menduakan Allah) NAUZUBILLAH.

Cerita kekebalan dan kehebatan diri, cerita boleh nampak perkara yang ghaib, seperti apa yang ada di sebalik dinding, atau tahu perkara yang belum terjadi itu sahaja sudah menyalahi fitrah. Mukmin seharusnya merendah diri, mengakui hanya Allah yang maha hebat dan perkasa. Allah juga telah tetapkan bahawa hanya Allah yang tahu akan perkara yang ghaib. Hari ini, ada seakan-akan seorang manusia yang mengetahui yang ghaib seperti “Tuhan”.

Nabi SAW sendiri tidak kebal. Dibaling batu luka juga dahinya, patah juga giginya, mengalir darah sampai ke kaki. Tapi bagaimana pula 313 orang boleh menang mengalahkan 1000 orang musuh di perang Badar? Itu kerana Baginda kobarkan semangat bala tenteranya, diberikan kefahaman tujuan dan strategi perang yang meyakinkan serta disusun saf mereka dengan rapi. Walau pun menang, tetap ramai yang gugur syahid. Tidaklah mereka itu kebal. (QS:8/65)

Sayidina Hamzah r.a. bapa saudara baginda juga gugur di perang Uhud, malah dikelar-kelar dengan kejam sekali oleh musuh. Mengapa tidak digunakan sahaja khidmat bomoh “ISLAM” yang kebal, yang kekuatannya jika ditampar buaya tembagapun boleh maut. Jika ia benar dari Islam, pastinya Nabi yang akan tahu dan amalkan dahulu berbanding kita. Tetapi tidak, jika dibaling dengan batu sehingga luka di dahi ia tetap luka dan sakit. Jika diracun bakal maut. Itulah bentuk telekan yang Nabi SAW ajarkan.

Dalam masa kita akur ketetapan Allah dalam quran bahawa Nabi pun tidak tahu perkara yang ghaib, tetapi banyak juga kita dengar seolah-olah baginda tahu perkara ghaib pula. Contohnya, banyak perkara akhir zaman telah baginda firasatkan, banyak hadis tentang keadaan syurga dan neraka, bahkan futuh Mekah itu sendiri pun sudah baginda rukyahkan sebelum ianya berlaku (QS:48/27). Tapi bagaimana?

Secara sainsnya, ada beberapa sudut pandang dalam hal ini. Pertamanya baginda adalah insan yang dibimbing wahyu. Keduanya baginda sepertimana nabi-nabi lain menggunakan sepenuh-penuhnya FORMULA yang diwahyukan untuk MENGATUR TINDAKAN. Contohnya jika perpecahan itu melemahkan, baginda atur umat agar melakukan perintah Allah untuk bersatu. Kemudian baginda sandarkan kepada janji Allah untuk memberikan kekuatan hasil dari penyatuan itu.

Banyak lagi kehebatan yang kita lihat sebagai metafizik telah berlaku kepada para nabi Allah. Sebenarnya kisah metafizik yang diceritakan dalam quran itu adalah suatu imbasan mutasyabihat yang sangat strategik. Kita akan menjadi manusia yang jahil, lemah dan zalim jika hanya suka duduk memuja, mengharapkan magik dan metafizik sahaja. Malanglah kita yang tidak rajin meneliti dan memahami konteks mutasyabihatnya lalu bersangka-sangka yang para nabi itu mempunyai kuasa magik semata-mata.

Rugilah jika kita tidak ambil pelajaran dari contoh kisah metafizik yang sekalipun mungkin telah berlaku secara fizik itu untuk menukarkannya menjadi satu kehebatan mutasyabihat secara strategik lalu berjaya menikmati realiti fiziknya. Selama ini kita hanya mampu berbangga dengan kehebatan Allah dari semua unsur metafizik itu saja. Yang Allah mahu ialah memuja kehebatan ‘strategi’ melalui falsafah mutasyabihat dari kisah metafizik yang sekadar menjadi sandaran pelajaran itu, bukan metafiziknya.

Jika berterusan demikian, samalah kita dengan jahiliyah sejak dahulu yang tidak habis-habis mengatakan para nabi itu adalah tukang tenung, ahli sihir atau orang gila yang penuh dengan metafizik. Sedangkan para nabi sebenarnya sedang menyampaikan FORMULA bagaimana harus berbuat untuk kita turut jadi hebat dari semua kisah-kisah itu.!

Bertelekan dan berdipan-dipan di majlis ilmu (mutasyabihat syurga) yang para nabi lakukan itu adalah satu bentuk syuro untuk mengatur siyyasah. Mereka bukan hanya menelek dengan melihat air dalam mangkuk saja. Ia adalah aktiviti berjemaah untuk berpadu kepakaran, menganalisa segala input, mengatur tindakan dan MENELEK kesannya. Semuanya berdasarkan wahyu dan tindakan berjemaah mengikuti kehendak wahyu itu. Di situlah hadirnya kebenaran segala yang ditelek oleh mereka.

Contohnya apabila Musa a.s. bertelekan memukul tongkat di laut sebelum terbelahnya lautan. Itu adalah analogi tongkat sebagai ‘petunjuk’ yang akan membelah lautan manusia di peringkat awalnya. Sebahagian akan menerima petunjuk itu sebagai golongan kanan, sebahagian lagi mendustakan sebagai golongan kiri.

Di celah belahan dua kelompok manusia itulah Musa a.s. berjalan mengikut petunjuk dari tongkatnya lalu dikejar Firaun. Dengan kehebatan petunjuk itulah Allah yakinkan Musa a.s. serta pengikutnya bahawa lautan manusia yang terbelah tadi pasti akan bercantum semula untuk mengikuti langkah baginda. Akhirnya Firaun yang angkuh itu lemas kerana ditinggalkan pengikutnya. Bolehkah anda lihat fenomena itu sedang berlaku sekarang?

Bacaan Rasulullah SAW tentang al-Masih Dajjal, al-Mahdi, Isa a.s. dan peristiwa-peristiwa akhir zaman juga seolah-olah menampakkan unsur telek dan tenungan. Sebenarnya itu adalah fenomena membaca tanda dan mengatur strategi. Firasat itu berdasarkan iqra’ baginda setelah mengkaji unjuran perkembangan peradaban manusia. Apa saja tabiat yang umat amalkan, maka itulah akibat yang bakal diterima. Ini adalah iqra’ wahyu, satu FORMULA bagaimana berlakunya suatu kejadian. Bukan satu firasat kosong. Kerana itu ianya boleh diubah dengan doa/dakwah, dengan bimbingan wahyu yang jelas difahami maksud dan perlaksanaannya.

Semua kitab samawi juga berdasarkan pelajaran yang diambil dari unjuran testimoni serta pengalaman baik dan buruk masa lalu. Semuanya bakal menjanjikan samada kejayaan ataupun kehancuran, bergantung sejauhmana umat memahami, meyakini dan melaksanakan perintah dari kitab mereka. Telekan ke atas kronologi / testimoni itulah yang baginda kaji dan jadikan satu ‘bacaan’ apa bakal berlaku di masa depan. Itulah asas ilmu kasyaf, rukyah dan falaq yang sebenar. Bukan mengikuti falaq dari sumber was wis dan hasad dengki (QS: 113-114)

KAITAN AYAT QURAN & BOMOH, SIHIR, TUKANG TENUNG / TELEK

Alangkah sedihnya melihat kejahilan generasi kita tentang quran dan isu bomoh ini. Asal sahaja Si Bomoh ada baca quran dalam jampi mentera mereka, maka dikatakan itu yang hak dan benar. Kesan magik dan metafizik dijadikan ‘ukuran kebenaran’ pula. Kami ingin tegaskan prinsip itu telah BERLELUASA menipu kita tetang kebenaran.

Mari fikirkan sejenak. Adakah unsur syariat/syarak dari wahyu yang dibacakan itu yang memberikan hasil? ataukah sebenarnya unsur pujaan berupa syair, sihir, syirik dan tahyul yang menghasilkan kesan metafizik dan magik itu?

Jika begitu bagaimana pula dengan bomoh Siam, dukun Indonesia, bomoh orang asli, bahkan David Coperfield dan ramai lagi magician yang jauh lebih magiknya dari kita? Adakah mereka ini semuanya turut membaca mentera ayat suci alquran? Jadi, apa bezanya mereka dengan kita? Di mana nak kita kaitkan mentera quran yang memberikan hasil yang sama itu? Sila baca firman di bawah nanti untuk jawapannya.

Sebenarnya bahasa apa sekalipun boleh dijadikan mentera. Apa sahaja yang kita puja akan menghasilkan tenaga aura metafizik dan magik itu. Ada yang berupa busut, keris, cincin, kain kuning, kain hitam, kayu tas, buluh, rotan dan berbagai lagi. Terbitan metafizik itu adalah sejenis ‘makhluk’, satu fitrah alam kurniaan Allah. Terbitan itu telah Allah tetapkan melalui fenomena kajiaura dan metafizik. Semua itu adalah jadian dan pinjaman dari Allah. Tentunya Allah adalah sebaik-baik dan sehebat-hebat pemilik metafizik.

Bagaimana mekanisma quran itu menjadi syifak dan menyembuhkan penyakit?

QS: 10. Yunus 57. “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Nabi SAW sabdakan bahawa kebanyakkan penyakit itu bermula dari hati. Ia terbit dari hati yang resah dan bingung akibat kejahilan. Kehidupan secara jahiliyah itu mencorak penyakit kepada kita. Lalu Allah datangkan pelajaran untuk menenangkan dan menambah keyakinan dalam jiwa manusia. Petunjuk itulah yang menjadi rahmat yang meyakinkan lalu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit lainnya melalui pembetulan tabiat manusia.

Jika kita baca kuat-kuat dan ulang-ulang syair dan lafaz wahyu menjadi mentera tanpa memahami, adakah apa-apa pelajaran dari bacaan kita? Jika tidak, mampukan wahyu itu memberi ketenangan jiwa yang bersifat interinsik/dalaman dan kekal? Mampukah mentera itu membetulkan kesilapan yang telah menjadikan kita sakit dari carahidup/habit yang jahil? Mampukah mentera itu memberi kekuatan jiwa melalui keyakinan dan keimanan dari pelajaran hasil bacaan kita tadi? Wahyu berikut mungkin boleh membantu…

QS: 69. Al Haaqqah 38-43

Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat. Sesungguhnya Al Quran itu adalah benar-benar wahyu Rasul yang mulia, dan bukanlah ia perkataan seorang ‘PENYAIR’. Sedikit sekali kamu BERIMAN kepadanya. Dan bukan pula perkataan BOMOH / TUKANG TENUNG. Sedikit sekali kamu mengambil PELAJARAN daripadanya. Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam.”

52. At-Thuur 29. Maka tetaplah memberi peringatan, dan disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah kamu seorang BOMOH / TUKANG TENUNG dan bukan pula seorang gila.

Ada kalanya bomoh menyampaikan berita yang mengandungi kebenaran, namun di waktu yang sama diselit beberapa amalan syirik kepada kita tanpa disedari. Contohnya, mensyaratkan puasa sunat, baca zikir tertentu atau menyembelih haiwan tertentu. Itu semua adalah ibadah yang hanya layak dilakukan kerana Allah dan atas perintah Allah, bukan kerana bomoh dan jin mereka. Inilah unsur syirik dalam ibadah ciptaan bomoh yang tidak kita sedari.

Uswah dari Nabi Ayub a.s. dalam menghadapi penyakit harus kita ambil pelajaran. Baginda tetap bertawakkal kepada Allah, menolak tawaran pihak yang mahu dan mampu kononnya menyembuhkan penyakit yang dideritai sekian lama itu. Mampukah kita mengikut sunnah itu?

Allah berfirman: “Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan asma-ul husna itu dan tinggalakanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam penggunaan nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”(QS. Al-A’raaf : 180)

Biasanya bomoh akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Dakwaan itu biasanya bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh golongan jin dan bijakpandai yang mencuri-curi berita lalu diadun dengan ratusan kebohongan untuk membuat manusia mempercayai ramalan tersebut. hadis berikut menjelaskan…

Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang para dukun atau bomoh, maka baginda menjawab: mereka itu TIDAK BERGUNA SEDIKITPUN”. Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah kadangkala mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar ia terjadi”. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (bomoh) dan mereka mencampuradukkan dengan seratus pembohongan.” (al-Bukhari & Muslim daripada Ai¬syah r.ha)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Sesungguhnya para malaikat turun ke al-Anan iaitu awan, lalu mereka saling bercakap-cakap tentang masalah yang diputuskan di langit dan syaitan-syaitan mencuri-curi dengar apa yang diperkatakan, maka syaitan berjaya mendengarnya lalu syaitan menyampaikan kepada para bomoh dan mereka pun menokok tambah dengan seratus pembohongan dari mereka sendiri” (HR Al-Bukhari daripada Aisyah r.ha).

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”. (HR Muslim )

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (HR Abu Daud )

BERBOMOH MEMBAWA KEPADA SYIRIK

Jika Tauhid bermaksud ‘MengESAkan’ Allah S.W.T., maka makna syirik pula ialah ‘MENDUAKAN’ keESAan Allah. Syirik adalah dosa yang paling besar daripada dosa-dosa besar lainnya. Ia tidak akan diampuni Allah. Segala amalan lalu juga akan terhapus. Firman Allah S.W.T.:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (Al-Nisa’ / 4 : 48 )

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang sebelummu: “Jika kamu mempersekutukan, niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi. ( Al-Zumar : 65 )

وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ
Barang siapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. (Al-Hajj / 22 : 31)

AMALAN PERBOMOHAN TELAH DITETAPKAN SEBAGAI TANDA AKHIR ZAMAN.

Para ulama seumpama bintang di langit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara akan hilang pedoman dan langit menjadi suram tidak berseri. Ini bermakna kewafatan seorang ulama itu adalah merupakan suatu musibah yang besar pada umat Islam. Di antara tanda-tanda Kiamat adalah hilangnya ilmu dan tersebarnya kebodohan. Hal ini telah dijelaskan dalam himpunan banyak kitab hadis akhir zaman, antaranya oleh Syeikh Banjari. Antara hadis dan firman yang terkait ialah,

Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama’, maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain”. (Riwayat Muslim Daripada Abdullah bin ‘Amru fin al ‘Ash)

Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

Hendaklah kalian memiliki ilmu sebelum ilmu itu diangkat dan dilenyapkan, lenyapnya ilmu dengan wafatnya orang yang mengajarkannya. Seseorang tidak akan mungkin dilahirkan dalam keadaan ilmu, kerana sesungguhnya ilmu itu didapatkan dengan belajar.”

Perhatikan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90-91 ini:.

Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, berhala, menelek nasib adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu mudah-mudahan kamu beruntung. Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan daripada melakukan solat, Adakah kamu hendak berhenti dari melakukan perkara-perkara keji itu atau kamu masih berdegil“.

KESIMPULAN:

Boleh jadi buku nanti jika kami teruskan ulasan ini. Kesimpulannya, kembalikan sunnah ‘BASTOTAN FIL ILMI WAL JISMI’ “Dengan Ilmu yang luas, tubuh jadi perkasa” (QS:2/247). Unsur magik itu menggunakan kekuatan luaran, sedangkan tauhid menerbitkan kekuatan dalaman. Itulah hadiah Allah untuk para mukmin. Ilmu dan Iman itu yang mahu diwariskan oleh para anbiyak kepada kita. Tanpanya maka lakulah kelentong sang bomoh. Jadi ulam Dajjal saja kita ini dan lemahlah semuanya. Ini bermakna sudah hilang / berakhirnya zaman kehebatan Islam hasil dakwah baginda SAW. Ya, amalan berbomoh inilah salah satu tanda berakhir zaman kegemilangan agama.

Mari teruskan berdoa untuk #MH370 #PRAY4MH370 #PrayForMh370 #DoaUntukMH370 #doakanMH370

Maafkan kami kerana ulasan ringkas jadi panjang sebab ini isu akidah menyentuh amalan harian yang sangat penting.
WARGA PRIHATIN

TV3 lebih mementingkan RM dari kepentingan sosial

00 BYE BYE TV3MENGAPA KLIP BERITA MH370 DIPADAM SEMUANYA?

Ramai pembaca yang bersungut kerana klip video update berita tentang MH370 yang kami paparkan kini semuanya telah tidak dapat ditonton. Kami sahkan memang ianya telah dipadam atas arahan pihak TV3.

Pembaca yang merasa hairan mengapa tergamak dipadam klip berita yang tidak melibatkan unsur komersial dan ekploitasi, tiada edit tambahan dan logo tv3 pun tidak di’usik’ ini?.

Ada golongan yang tiada kesempatan untuk mengikuti perkembangan semasa atas sebab tugas dan sebagainya. Mereka ini perlukan sumber berita yang ‘seharusnya sohih’ dari saluran rasmi. Ini bukan bahan hiburan yang boleh dikomersialkan? Mengapa berita tragedi sedih begini pun tidak diizinkan? Apa sebenarnya yang tv3 cari? Apa sebenarnya matalamat tv3 dalam bersiaran?

PENGALAMAN BERSAMA TV3

Sejak 1995 lagi pengasas RPWP dan jemaahnya telah bekerjasama dengan TV3. Banyak sekali program jemaah telah dijadikan bahan berita dan rencana khas tv3 untuk menarik penonton. Tiada satu pun program yang melibatkan personaliti dan jemaah itu yang dibayar atau menerima sebarang royalti kerana kesemuanya bermatlamatkan kepentingan agama dan masyarakat umum belaka. Semua rakaman itu masih tersimpan hingga kini.

Sesetengah rancangan bersama tv3 memerlukan kami tidak tidur malam, pernah berkampung di kompleks tv3 sejak 6 pagi hingga 12 tengahari untuk mengisi slot khas sepanjang pagi. Bila ada klip penggambaran luar, kami terpaksa membuat persiapan khas yang melibatkan persediaan pakaian, tempat, PA system, jamuan dan sebagainya. Semua rakaman menjadi hak tv3 tanpa sedikitpun royalti maupun sumbangan kos persediaan dari tv3.

Sejak RPWP ditubuhkan banyak juga kami kesan rakaman video kami yang diguna oleh TV3 samada untuk klip iklan khidmat sosial, motivasi dan sebagainya. Kami juga mengesan banyak topik rencana dan fakta dapatan hasil R&D kami yang digunakan untuk mengisi program khas seperti Nona, Wanita hari ini dan slot dakwah. Ada olahan fakta yang kami 100% pasti didapati dari video dan artikel kami, samada secara langsung mahupun tidak.

Sebenarnya bukanlah tv3 ini ada kualitinya sangat di mata masyarakat. Jolokan tv ‘3 suku’ itu sudah menjadi biasa dan sangat popular pun. Sepatutnya tv3 bersyukur kerana Warga Prihatin masih ‘sudi’ memetik berita dari tv3 berbanding dari begitu banyak channel berita lain seperti Bernama, RTM, Astro Awani dan sebagainya. Bukan klip itu dijadikan filem, movie dan dijual pun!..

Ramai juga yang mendesak kami menjelaskan kepada masyarakat perkongsian mereka tentang LAPUKNYA program yang disajikan oleh tv3 ini, namun kami simpan sahaja permintaan itu atas dasar kita ambil yang baik, kita tapis yang buruk. Contohnya, Drama Melayu yang sudah tidak menggambarkan ciri Melayu dan Islam sama sekali. Walaupun untuk berlakun boleh ke ‘beromen’, berseksi seksa keterlaluan begitu? Paling ramai lagi yang bertanya apakah rasional paparan begitu banyak drama filem Filipina yang menjijikkan tidak habis-habis? Ia merosakkan umat terutama anak-anak. Sudahlah bahasa tidak difahami, mesej langsung tiada, pakaian pulak dedah sana buka sini, dah macam filem lucah rupanya?

00 lucah tv3.jpeg2
Contoh kedua ialah rungutan tentang unsur lucah oleh pembaca berita dan para pengacara. Penonton merasa hairan bagaimana boleh terjadi pengacara yang sedang merungkai gejala sosial tetapi pakaian dan gaya gedik mereka sendiri pun ‘macam sial’ aura lucahnya. Gaya dan pakaian para tetamu yang dijemput juga kadang-kadang lebih kepada menggalakkan maksiat, bukannya memadamkan gejala itu.

Ibubapa yang sedang tertekan dengan gejala sosial anak-anak juga ramai yang merungut. Tatkala masyarakat kelam kabut untuk mencegah gejala itu, tv3 pun ikut melapurkan dan konon ingin ikut mencegah. Malangnya tv3 sendiri lebih banyak menekankan program hiburan melampau tanpa memikirkan sensitiviti dan tekanan mendidik yang dihadapi oleh para ibubapa. Program agama hanya alah kadar dan untuk tutup mata sahaja, semuanya bercampur aduk dengan begitu banyak program maksiat.

PANDANGAN KAMI

Pandangan kami tentang siri filem dan drama Filipina, Indonesia dan lain-lain filem yang berbentuk ‘sampah’ itu hanyalah kerana di sebelah petang atau waktu-waktu tertentu itu kurang penonton. Oleh itu tv3 hanya sajikan apa sahaja bahan tangkap muat asalkan MURAH. Soal kesan baik buruk kepada masyarakat itu tiada dalam peduli mereka.

Tentang program maksiat dan hiburan yang berunsurkan lucah itu tidak lain adalah untuk menarik perhatian penonton. Lumrah bagi nafsu manusia itu memang sukakan hiburan. Untuk menaikkan rating penonton, mereka terpaksa gunakan sajian seperti itu. Soal anak gadis akan dinoda, soal bayi akan terbuang, soal anak muda jadi liar itu bukan urusan mereka. Yang penting dapat banyak sponsor dan tv3 boleh untung.

Tentang klip berita yang dipadam ini juga mudah sahaja analisisnya. Jika tv3 ikhlas untuk berbakti kepada masyarakat, mereka seharusnya gembira sebab kami tolong sebarkan bahan berita itu untuk maklumat umum. Mereka tidak habis-habis mencegah masyarakat agar jangan dengar berita yang tidak sah, konon berita mereka yang paling sohih. Mereka mahu kita semua terpacak depan tv jika mahu mendapatkan berita terkini, tinggal kerja, tinggalkan urusan keluarga.

Kita semua tahu yang sebenarnya tiada masalah dengan klip berita biasa. Tindakan bermula bila Warga Prihatin mula mengajak masyarakat memerhati dengan mata hati ulasan teknikal “bersulam tauhid” oleh Kapten Norudin mengenai misteri MH370 ini. Klip itu yang pertama dipadamkan. Tidak susah untuk mencari sebab meengapa yang lain turut dipadam bukan?

Tidak mengapalah, kerana banyak lagi saluran berita lain untuk kita tatap. RPWP sudah tutup terus channel tv3.

Kami tidak langsung berniat untuk bermusuh. Pendirian kami tidak ada siapa yang baik semua dan buruk semua. Lumrah orang yang mengejar duit akan hanya nampak duit. Yang mengejar nama akan hanya nampak nama dan pujian semata-mata. Kami juga ada rakaman dan bukti apa yang kami dakwa.

Ada orang menang kerana dia kaya dan banyak harta, boleh ambil lawyer dan guna kuasa atau pengaruh yang ada. Jangan lupa lebih ramai lagi yang menang kerana mereka hanya ada KEBENARAN DAN BUKTI NYATA. Kebenaran itu ada pada Allah dan Allah hanya berserta dengan orang yang BENAR.

Kita orang kerdil dan miskin memang ibarat timun yang nak melawan durian. Tapi jangan lupa doa orang teraniaya. Masih ingat bagaimana rakyat bangkit apabila penganiayaan sudah melampau batas? Contohnya apabila anak yatim di herdik dan dihina seperti di link berikut,

https://www.facebook.com/wargaprihatin/posts/10152479050497786

Walaupun kami hanya ada sekitar 78,000 FOLOWER, namun posting ini mendapat respond seperti berikut,

27,168 SHARE,
21,695 LIKES,
6,181 KOMEN dan
1,821,696 VIEW

Bakinya kami serah kepada minda waras anda untuk mencerna dan menimbang. Semuga pengurusan tv3 masih ada hati dan masa untuk memperbaiki polisi hidup dan amal mereka sebelum semuanya ‘terlambat’.

Tumpuan kita ialah untuk teruskan berdoa agar misteri MH370 ini segera berakhir dengan baik.

#PRAY4MH370 #PrayForMh370 #MH370 #DoaUntukMH370 #doakanMH370

WARGA PRIHATIN.

Rakaman Black Box Adam Air 574 Sejurus sebelum terhempas

Maut boleh menemui kita dalam pelbagai cara. Mari kita dengar rakaman teriakan Allahuakbar oleh krew di saat-saat akhir dari kotak hitam pesawat Adam Air Flight 574 yang telah nahas pada tahun 2007 ini.

Rakaman kotak hitam ini telah di padankan dengan animasi nahas penerbangan dalam program Air Crash Investigation oleh National Geografi.

Kami harap klip video boleh dijadikan satu pengajaran untuk menyedarkan kita agar segera kembali berserah dan mendekatkan diri kepada Allah.

Sementara itu marilah teruskan berdoa agar MH 370 tidak menerima nasib yang sama InsyaAllah.

http://youtu.be/oLrDCK8GVzI

#prayforMH370

Wawancara Menarik MHI dengan Kapten Norudin Abdul Majid – WAJIB TONTON

Wawancara Menarik MHI dengan Kapten Norudin Abdul Majid – WAJIB TONTON

Sepertimana sewaktu menghadapi tragedi Tsunami di Jepun, setiap malam kami bincangkan bersama perkembangan terkini, menilai pelbagai rumusan dan momokan teori mengenai tragedi misteri MH370.

Kami juga ada rujukan hidup yang sangat komprehensif tentang kebergantungan kita kepada Allah dan kebesaran kalimah Allahuakbar dari seorang pesara juruterbang pejuang. Untuk menguji minda, kami cuba pautkan dengan klip pendek tentang teriakan kalimah itu oleh krew pesawat Adam Air Flight 574 yang nahas tahun 2007. Malang sekali ramai yang bukan sahaja tidak sedar, malah ‘mengejek’ animasi video yang dipadankan dengan rakaman suara dari kotak hitam pesawat itu.

http://youtu.be/oLrDCK8GVzI

Dapatan kami sama tepat dengan pencerahan oleh Kapten Norudin ini. Sebelum ini TV3 ada menemuramah seorang lagi pesara Juruterbang yang memberikan kesimpulan yang seakan-akan sama, namun dengan lontaran yang agak ‘reserved’, tidak terus terang seperti ini.

Ulasan yang bercirikan tauhid dari ketiga-tiga juruterbang ini sangat membahagiakan kami. Kapten Norudin dengan berani mengatakan, perlaksanaan perintah Allah telah dengan angkuh didustakan oleh manusia yang merasakan telah cukup hebat dengan ilmunya. Kami perhatikan scenario alam maya ini, yang angkuh itu kebanyakannya hanya tahu sedikit, yang sudah ‘masak’ ilmunya mendiam diri dan semakin tuntuk. Itulah ‘resmi padi’ pada sifat manusia.

Alhamdulillah janji Allah itu benar. Kami yang mengkaji tentang rahsia al-Kahfi amat yakin bahawa Allah tidak tinggalkan kita dari sumber cahayaNya yang asal dan benar. Allah yang telah menurunkan ketetapan dalam kitab itu, dan Allah juga yang memeliharanya melalui rijalul ghaib, para penjaga agama. Mereka sekadar ‘tidur’ dari bertutur kata dan tindak tanduk mereka. Mereka tidak termakan kebatilan yang dibuat manusia atas dasar sunatullah, sunnah alam, kerana situasi tidak membenarkan.

Tragedi MH370 ini telah sedikit sebanyak membuka mata manusia yang selama ini bukan sekadar menutup ‘sebelah mata seperti Dajjal’ malah sudah sampai tahap menutup kedua-dua belah mata terhadap petunjuk dan arahan Allah. Kita sering lihat perintah Allah dinafikan mentah-mentah.

ANTARA YANG MENARIK DARI ULASAN KAPTEN NORUDIN INI IALAH,

• Umat Islam khususnya di Malaysia sudah kehilangan halatuju. Sudah sekian lama ungkapan “Allah sebagai pencipta dan pemilik peraturan” hanya di bibir, tidak ada di hati kita.
• Manusia di seluruh dunia (termasuk kita) terlalu bongkak dengan ilmu dan teknologi yang mereka ada.
• Apabila teknologi berakhir, di situ Kuderat Allah bermula.
• Jika kita sudah keterlaluan merasa pandai, akan sampai masanya Allah ‘perbodohkan’ kita. Kita lihat sekarang manusia seluruh dunia sedang merasa bodoh dan buntu. Di sinilah baru kita berselera untuk mencari Allah.
• Kita seharusnya yakin dan berani menjadi KETUA / koodinator misi ‘find & rescue’, bukan melantik pakar luar.

Tumpuan kita kini ialah untuk mengumpul aura perhambaan, seru seluruh manusia, tidak kira fahaman dan kelompok untuk merendahkan diri kepada Allah. Kita seru agar seluruh manusia zahirkan, buktikan penyerahan itu dengan tulus ikhlas, dengan hati yang murni dan jujur agar terasa hingga ke ‘langit’ bahang aura penyerahan dan pengharapan itu.

Kita selalu ajukan kempen tutup lampu, kempen naik basikal dan tinggalkan jentera bermotor, kempen cegah denggi dan sebagainya. Alangkah baiknya jika kerajaan ‘meminjam’ ketulusan manusia untuk ajukan kempen ‘bertudung labuh’, kempen berhenti maksiat; minum arak, zina, judi, rasuah dan fitnah dengan azam yang mendalam.

Sungguh-sungguh bertudung labuh (bukan selendang dan baju ketat) bagi wanita dan perhimpunan solat hajat bagi lelaki itu bagi menzahirkan aura penyerahan kita sebagai hamba yang sedang memohon pertolongan daripada Allah.

Jika untuk meraikan Taipusam kita sanggup sarung pakaian dan kalung mereka, untuk tahun baru kita sanggup sama-sama gaul mee mereka, untuk mengadap Raja kita sanggup pakai dan ikut protokolnya, semua itu demi untuk menzahirkan rasa ‘hormat’ kita pada mereka, kenapa tidak boleh kita lakukan itu untuk memenuhi protokol Allah?

Oklah, ada masa nanti Insya Allah kami rencanakan apa berita besar yang kami terima dari seorang pesara Juruterbang tentang kehebatan Kalimah ‘Allahuakbar’ dalam arena penerbangan. Bagi yang meminta ulasan tentang isu bomoh, black hole, bermuda triangle dan sebagainya juga harap bersabar. Tidak semua cetusan dan analogi boleh dipaparkan buat masa ini demi menjaga ‘hati-hati’ orang-orang yang terlibat. Kadangkala terpaksa melukakan ‘hati Allah’ demi menjaga ‘hati manusia’.

Buat masa ini kita fokus saja untuk berdoa dengan penyerahan sepenuh-penuhnya bagi mengharapkan pertolongan Allah agar misteri MH370 segera terjawab.

#PRAY4MH370 #PrayForMh370 #MH370 #DoaUntukMH370 #doakanMH370

http://youtu.be/Yln3PsHilPU
Maaf kami terpaksa kecilkan sais video untuk mempercepatkan proses muat naik. Suara wawancara lebih penting dari visual.

MH370 – Berita terkini

doa untuk mh370BERITA TERKINI KEHILANGAN PESAWAT MH370 MAS

INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROJI’UN.

Masya Allah.. Salam Takziah kepada Malaysia dan kesemua warga dunia yang menjadi penumpang pesawat terlibat serta ahli keluarga mereka. Mari kita SEMUA kembalikan segala rujukan untuk kejadian ini kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha mengetahui. Segala kejadian yang berlaku adalah atas kehendak Nya belaka.

Sejak awal pagi kami menerima pelbagai berita berkaitan bencana ini melalui News Feed, inbox, Whatsapp dan sebagainya. Banyak berita yang sama yang berulang-ulang kali dihantar oleh pengirim yang berbeza. Ironinya sebahagian besar dari berita tersebut tidak tepat, bahkan ada yang seolah-olah dipermainkan seperti satu lawak dan aktiviti menyakat ala April fool. Ia bukan saja datang dari orang biasa, malah dari orang ternama dalam bidang hiburan dan ahli politik juga.

MENUDING JARI

Peristiwa yang sama, iaitu Nahas Pesawat MAS di Tanjung Kupang pada tahun 1977 dahulu kini berulang kembali. Ia turut mengorbankan kesemua penumpang termasuk pemimpin negara bertaraf menteri. Atas asbab yang sama, ramai pula yang membuat andaian bahawa nahas kali ini juga disebabkan oleh pengganas.

Sementara keluarga mangsa dan seluruh negara dalam keadaah sugul dan dukacita, masih ada yang tergamak melakukan lawak jenaka dan lebih ramai lagi yang melakukan pelbagai andaian dan tohmahan liar tanpa memikirkan sensitiviti keluarga mangsa.

Ini adalah satu musibah besar yang meragut banyak nyawa, bukan masa melawak dan menunjukkan ketidakprihatinan kita dengan menuding jari kepada pilot, menyalahkan pihak senggaraan pesawat, pihak MAS, pihak kerajaan dan sebagainya.

Pesawat yang sama boleh digunakan selama 25 tahun, sedangkan yang ini hanya berusia 11 tahun. Ia seolah-olah masih ‘dara lagi’, demikian ulasan pakar di TV sebentar tadi. Soal kehabisan minyak semasa penerbangan juga agak mustahil kecuali ada tembakan dan kebocoran tangki. Kredibiliti juruterbang juga tidak boleh diperlekehkan kerana gandingan juruterbang berusia 53 dan 27 tahun itu amat ideal sekali. Oleh itu sukar untuk kita membuat andaian itu dan ini melainkan menyerahkan kepada pakar dan pihak berkuasa.

BENARKAH MATI KEMALANGAN ITU SYAHID KECIL?

Secara logiknya, sesiapa sahaja yang mengalami musibah seperti ini akan menerima simpati yang sangat mendalam dari masyarakat. Kami yakin anda bersetuju dengan hakikat bahawa siapa juga yang menjadi mangsa akan mudah menerima maaf dari apa sahaja dosa yang telah mereka lakukan terhadap manusia. Semuanya atas dasar simpati dan atas dasar kita sendiri mohon dijauhkan dari menerima musibah yang sama dengan mangsa.

Selain dari perkiraan teknikal dalam bentuk pengesanan lokasi, secara logiknya pesawat itu memang telah sah terhempas. Perkiraan paling tepat ialah dengan mengukur jumlah bahanapi yang boleh digunakan berbanding jangkawaktu kehilangan pesawat itu dari menara kawalan. Apapun, berita terkini TV masih gagal mengesan secara sah tentang nahas dan kedudukan bangkai pesawat melainkan menggunakan anggaran berdasarkan bahan berita serta lokasi terakhir perhubungan dengan menara kawalan.

Andaian ini disokong oleh beberapa berita tidak rasmi yang beredar di laman media sosial termasuk dari keluarga mangsa yang bekerja dengan pasukan keselamatan dan mempunyai hubungan rapat dengan sumber berita. Kononnya sengaja tidak didedahkan kepada awam demi mengelakkan situasi panic.

Antara berita tidak rasmi yang menyokong kesimpulan ini ialah dari beberapa petugas pelantar minyak yang mengatakan telahpun melihat nahas itu dan cuba membantu. Mereka tidak dapat banyak melakukan sesuatu kerana kekurangan peralatan dan kedudukan laut di mana pesawat terhempas itu terlalu dalam, dianggarkan lebih 3 km dalamnya.

Ulasan pakar penerbangan di TV3 tadi menyatakan dengan kedalaman lautan itu, adalah amat sukar untuk melihat bangkai pesawat jika ianya tidak terapung. Sekalipun pesawat tidak hancur, ia boleh tenggelam secepat kurang dari 10 minit selepas jatuh ke permukaan lautan.

Kita masih berdoa agar segala berita sedih itu tidak benar selagi ia masih berupa andaian dan perkiraan fizikan dan matematik belaka. Ada baiknya kita letakkan harapan agar ia sekadar di hijak dan dipesongkan ke laluan lain dan mendarat di mana-mana agar dapat peluang kita menemui pesawat dan semua penumpang dan krewnya.

Apapun, jikalah benar ia terhempas seperti yang dijangka, mari sama-sama kita maafkan segala dosa mangsa yang berkaitan dengan kita keseluruhannya. Kita doakan juga agar Allah juga akan mengampuni dosa mereka.

Bagi yang tidak berkesempatan, kami ada bukakan katagori khas untuk mengumpulkan berita terkini termasuk klip rakaman video dari berita TV untuk mengetahui berita mutakhir mengenai nahas ini. SEKARANG INI PUN BEBERAPA RAKAMAN VIDEO BERITA JUGA SEDANG DALAM PROSES UPLOAD.

Silalah klik link group khas ini dari masa ke semasa untuk mengikuti berita terkini.

http://prihatin.net.my/category/article/news/pesawat-mas-mh370-hilang/

Sekali lagi kita ucapkan TAKZIAH dengan lafaz “INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROJIUUN”.

WARGA PRIHATIN
#prayforMH370