Category Archives: Kemalangan Jalanraya

image_pdf

KRONOLOGI KEMALANGAN YANG PERLU KITA AMBIL PELAJARAN

KRONOLOGI KEMALANGAN YANG PERLU KITA AMBIL PELAJARAN

Kami kongsikan kronologi kemalangan yang menyayat hati ini buat pelajaran kita di jalanraya, khususnya dalam menghadapi perjalanan sepanjang perayaan ini. Kronologi kemalangan yang diceritakan sendiri oleh Afiq Datuk Manaf ini terlalu pilu untuk kita hayati.

Terlalu banyak sudah kita dengar kes kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berhenti di lebuh raya, khasnya di gelap malam. Hati-hatilah ketika memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya yang gelap. Jangan ambil mudah. Pastikan anak-anak berada dalam kenderaan atau di tempat yang selamat.

Apabila berhenti pada kawasan kemalangan, pastikan kenderaan kita diletakkan cukup jauh ‘selepas’ dari lokasi kemalangan dan tidak mengganggu lalu lintas. Pesan pada anak-anak dan semua penumpang yang tidak terlibat agar tidak berkeliaran.

Afiq adalah anak seorang VIP yang memilih untuk hidup berdikari seperti anak orang biasa. Beliau berjiwa sangat prihatin terhadap kebajikan kaum keluarga dan terhadap insan lain. Walaupun hidup senang, beliau memilih untuk bersusah payah bermain kotor bersama Warga Prihatin dalam usaha menjaga kebajikan anak-anak syurga. Itulah pengalaman kami sendiri sepanjang bersamanya.

* * * * *
PENCERITAAN DARI M.AFIQ MANAF, [02.07.2015 01:50]

Salam ayah dan sahabat. Mohon maaf tak dapat beri laporan dalam telegram sepanjang di Kelantan. Internet takde. Saya dah selamat sampai di rumah Sentul.

Esok pagi akan ke IPD Maran untuk beri statement. Kerana hari jumaat pagi kena balik ke Sabah melawat mertua.

Selepas kemalangan malam tu, jenazah diangkat ke hosp Jengka jam 2.30am. Jam 3.30 sampai di hosp. Jam 7.30pagi baru selesai urusan forensik dan polis di bilik mayat.

Lebih kurang jam 9.00am bermula urusan mandi jenazah dan kapan. Saya dan bapa mangsa berpeluang mandi dan kapankan jenazah. Keadaan jenazah tidak berapa teruk dari luaran. Hanya tumit dan buku lali sebelah kiri nampak tulang.

Yang lain hanya lebam2 seluruh badan. Cuma keadaan dalaman agak teruk, bahagian tulang sebelah kiri semua patah. Rusuk, pinggul, paha dan tangan patah. Sebelah badan arwah di tindih lexus.

Alhamdulillah. Jam 10.30 van jenazah bergerak ke kuala krai bersama keluarga yang lain. Manakala saya terus ke IPD Maran untuk serah kenderaan.

Sampai di IPD Maran jam 11.30am dan minta izin dari polis untuk beri statement selepas selesai semua urusan kebumi. Terus bertolak balik dari Maran tumpang sepupu yang memang balik juga untuk melawat mak saudara.

Dalam perjalanan, jam 1.30tgh hari. Dapat berita mak sedara telah meninggal. Saya sampai di Kuala Krai lebih kurang 4.30pm, lewat 1 jam dari jenazah. Urusan pengebumian selesai jam 6pm. Kedua2 jenazah, nenek dan cucu di kebumikan dalam satu liang lahad. Suasana teramat hiba dan semua keluarga terkejut dengan apa yang terjadi.

Terima kasih ayah dan sahabat atas doa dan sokongan. Banyak memberi kekuatan buat saya. Saya betul2 terganggu dengan apa yang berlaku. 2 nyawa melayang depan mata.

Sebenarnya jarak saya dari kereta yang melanggar tak sampai 1meter. Rasa sejuk satu badan dan saya betul2 trauma. Allah saja yang tahu rasa bersalah dan sedih atas semua ni.

KRONOLOGI PERISTIWA MALAM KEJADIAN.

Jam 11.30 sebelum melalui kawasan kemalangan pertama, saya perasan lorry dari arah bertentangan dim lampu. Saya perlahankan kenderaan. Masa saya sampai, ternampak 1 Myvy hitam langgar divider tengah. Kereta berpusing, melintang jalan. Walaupun pasang hazard light, tapi menghadap ke bukit. Kawasan tu gelap. Selepas tu baru saya tahu kereta ni bergesel dengan lorry sebelum langgar divider.

Saya kereta pertama yang sampai. Masa lalu di sebelah, driver lorry sedang bantu driver myvi dan jerit minta tolong pada kami meminta air untuk padam api yang tengah menyala di bahagian enjin myvi. Saya berenti lebih kurang 70 meter dari lokasi myvi.

Saya, bapa arwah (Noraidi) dan adik sepupu terus lari ke arah myvi untuk sama selamatkan driver. Saya bawa pemadam api dari kereta saya untuk padam. Api berjaya padam dan driver myvi kami dapat tarik keluar. Kami semua ke tepi jalan. Selepas tenangkan driver myvi, kami masing2 ambil tempat di tepi jalan untuk beri isyarat supaya semua perlahankan kenderaan untuk elak myvi.

Masa tu kereta viva berenti agak ke depan kereta saya dan beberapa kereta lain turut berhenti depan viva. Semua ambil tempat tepi jalan dengan torchlight dan lampu handset untuk bagi isyarat. Paling jauh lebih kurang 200mtr ++ sebelum kereta myvi. Saya dan sepupu paling dekat dengan myvi (sebab orang pertama berhenti).

Kami berjaya perlahankan lebih 20 kereta dari melanggar myvi. Lebih kurang 10min, secara spontan saya cakap dengan sepupu untuk alih kereta saya ke depan lagi sebab tengok setengah kereta agak laju. Sepupu bapa arwah terus ke kereta untuk alihkan. Masa tu arwah yang berada tepi longkang masuk balik dalam kereta. Kereta di alih ke depan kereta viva. Jarak lebih kurang 100meter dari myvi atas jalan.

Bapa arwah sempat pesan pada arwah supaya duduk dalam kereta sebab kereta semua laju. Bapa arwah baru turun, tutup pintu sebelah driver dan berjalan ke belakang kereta. Rupanya arwah juga ikut turun dari pintu sebelah kiri belakang, ikut menuju ke belakang.

Waktu yang sama, saya dengar semua yang beri isyarat tepi jalan menjerit. Ada satu lexus datang dengan laju menuju ke arah myvi. Tanpa brek. Dekat dengan myvi, lexus mengelak ke kiri dan betul2 menuju ke arah saya. Hanya berselisih lebih kurang 1meter dari saya… terus meluru ke arah viva dan langgar bahagian belakang.

Bunyi amat kuat macam meletup. Viva melantun lalu melanggar kereta saya dan berpusing. Lexus terus terbalik 4 tayar ke atas dan terseret masuk ke dalam longkang.

Saya tak tahu arwah ada di luar kereta. Saya menuju ke arah viva. Hanya suara menjerit yang kedengaran. Debu naik dan suasana kelam. Tiba2 terdengar suara sepupu saya dari kereta saya memanggil nama arwah. Saya dan sepupu pusing keliling Lexus. Ternampak kaki terjulur dari dalam longkang dan arwah ditindih lexus. Di situ gelap.

Orang dah mula ramai membantu. Tapi semua ke arah viva. Saya menjerit minta tolong semua sambil maklumkan ada budak bawah lexus.

Masa masuk ke bawah, saya nampak arwah masih bergerak dalam keadaan terlangkup. Saya sempat pegang untuk periksa nadi dan ajar mengucap. Dalam beberapa minit arwah sudah tak bergerak. Saya naik balik ke tempat myvi sebab ramai orang bantu untuk keluarkan mangsa 3 dewasa 2 kanak2. Masa tu terlihat mangsa yang meninggal 5 tahun diangkat. Kepala berlubang dan otak jatuh semasa diangkat. Allah saja tahu perasaan saya masa tu.

Selepas 10 min baru orang cukup ramai untuk angkat lexus dan keluarkan arwah. Semasa bawak keluar arwah memang sudah meninggal. Suasana memang bingit sebab ada mangsa yang tersepit dekat viva… Ibu kepada anak yang meninggal.

Polis hanya sampai 45min selepas tu. Ambulan dan bomba dekat 1 jam setengah baru sampai. Dan trak polis hanya sampai jam 2.30am untuk angkat jenazah.

Walaupun sedih dengan apa terjadi. Saya dan keluarga tetap bersyukur, semua dalam kereta saya hanya berselisih dengan maut. Jarak saya sangat dekat… kereta pula baru dialihkan tak sampai 1 minit sebelum kejadian. Sepatutnya kereta saya yang mana ada keluarga sepupu di dalamnya berada di tempat tu. Alhamdulillah.

Inilah apa yang berlaku pada malam kejadian. Maaf lambat maklum pada ayah dan semua. Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua. Alhamdulillah.

* * * * * *
Berikut ini beberapa komen yang kami petik dari posting pertama.

https://www.facebook.com/wargaprihatin/photos/a.201867952785.170933.176792972785/10153992840377786/?type=1

ZETI WANISHA : Assalamualaikum… sy kakak Afiq. Sbnrnya ibubapa kami telah bertolak ke Kuala Krai utk melawat ibu saudara kami yg sedang nazak pd tghr Isnin. Afiq septtnya bertolak balik naik flight, tp sbb memikirkan sepupu kami (ibubapa kepada mangsa kemalangan) kerosakan kereta, Afiq bertindak membawa mereka balik bersama… semlm dua jasad selamat dikebumikan dlm 1 liang lahad di sini (ibu saudara kami iaitu nenek kepada mangsa kemalangan & mangsa). Terima kasih atas keprihatinan dan ucap selamat utk kami semua.

ANNA FAZANA : Walaikumussalam. Al fatihah dan salam takziah kpd yg telah pergi. buat Afiq.. moga Allah beri ganjaran Syurga yg tertinggi buatnya krn sifat ehsan dan keperihatinannya dlm melakukan kerja amal jariah. Moga ni juga dikira jihad fisabillahnya dlm mencari redha Allah. Amiin.

NUR SURIA AHMAD : Takziah tuk keluarga akak.. moga tabah.. ini lah dikatakan takdir.. mcm mana pon ttp blaku.. insyaAllah mrk pergi di bulan mulia.. tmpt mrk kat sana pon insyaAllah mulia juga..ameen.. smoga afiq trima ngan redha.. ini takdir bukannya sbb dia..

NORAZILA IBRAHIM : terima kasih untuk Afiq sepupuku yg amat baik hati dan prihatin.. Al-fatihah utk mertua n anak saudara ku.. semuga arwah dtempatkan di kalangan org2 yg beriman.. Aamiin

MONA HAMID : Tujuan mereka utk melawat ibu mertua yg sedang sakit… Setelah mereka kehilangan anak di waktu mlmnya, mereka kehilangan ibu mertua bagi noraidi pada siangnya pula… En Noraidi adalah kawan satu pejabat dgn sy… Innalillah… Semuga mereka tabah menghadapi ujian ini…

TUAN TANAH : Mereka dlm perjalanan utk ke Kg Bukit Batu, Kuala Krai Kelantan. Ini kg ambo ni SN… ptg keesokannya, nenek kpda arwah yg tgh nazak tu pula mninggal.. Al fatihah.. Ujian hebat buat ibu arwah. Kehilangan anak n ibu sekaligus..! Moga dia tabah..

INNALILLAHI WAINNA ILAIHI ROOJIUN.
ALFATIHAH BUAT ARWAH

Mohd Akmal Razid bin Noraidi (CUCU)
Mek Esah binti Sulaiman (NENEK)
Juga kepada arwah mangsa lain yang tidak kami ketahui.

WARGA PRIHATIN

 

KEMALANGAN DI DUKE : BAIKNYA HUKUM SYARIAH BERBANDING SIVIL

10600456_818954281514159_9043462600113871921_n


KEMALANGAN DI DUKE : MENGAPA PILIH SIVIL BERBANDING SYARIAH?
1) Semua lapisan masyarakat Malaysia melahirkan kesedihan terhadap insiden kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di Lebuhraya Duke semalam. Kemalangan yang menyebabkan kematian suami isteri beserta seorang bayi berumur 7 bulan.
2) Yang menjadi kemarahan awam adalah apabila dilaporkan bahawa kemalangan tersebut adalah disebabkan berlaku perlumbaan haram antara 6 buah kereta Myvi di tempat kejadian. Apa yang perlu kita fikirkan juga adalah bagaimana nasib 2 orang lagi anak mangsa yang masih lagi kecil untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa tanggungan ibu bapa disisi.
3) Jika diteliti undang-undang Sivil, diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun. Serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.
4) Akan tetapi, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya samada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjayah tersebut hanya diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa. Melainkan perlu melalui tuntutan file di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.

 

5) Ia sangat berbeza dengan ketetapan yang telah ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam, sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu ‘amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (Ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan.

6) Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (Dalam konteks kes ini) adalah diyaat mukhaffafah (Diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyaat.

7) Walaubagaimanapun para ulama’ berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Diantaranya ialah:

a. Wang Emas – 1,000 dinar
b. Wang Perak – 10,000 dirham
c. Lembu – 200 ekor
d. Kambing – 2,000 ekor
e. Persalinan – 200 persalinan lengkap.

Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyaat penuh.

8 ) Cuba bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai 3 orang, maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam kadar 3 kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar adalah lebih kurang RM1.2 juta.

9) Disinilah dapat kita teliti rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ia bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat membela waris mangsa dengan sewajarnya. Oleh kerana itulah PAS bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan Undang-undang Syariat ini kerana ia jelas membawa rahmat dan kesejahteraan kepada alam keseluruhannya.

Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff – Ketua Penerangan DPPK K. Terengganu

Nahas Duke: PAS Mahu Pemandu Myvi Bayar RM1.2 Juta!

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta Myvi yang terlibat dalam perlumbaan haram di Lebuh Raya Duke di sini hingga mengakibatkan tiga sekeluarga maut akibat berlaku kemalangan jalan raya perlu membayar sebanyak RM1.2 juta kepada waris mangsa.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff berkata, bayaran itu berdasarkan undang-undang Islam bagi jenayah pembunuhan tanpa niat.
‘Undang-undang Sivil hanya memperuntukkan pesalah dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.
“Bagaimanapun, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya sama ada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Ia sangat berbeza dengan ketetapan ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam menyelesaikan kes ini,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Muhammad Mizan berkata, berdasarkan undang-undang Islam, penjenayah kes terebut perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar `diyaat asal’iaitu dalam kiraan kasar adalah kira-kira RM1.2 juta.
Justeru, katanya, undang-undang Islam lebih baik daripada undang-undang sivil kerana bukam sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah, tetapi membela waris mangsa dengan sewajarnya.
“Oleh kerana itulah PAS bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan Undang-undang Syariat ini kerana ia jelas membawa rahmat dan kesejahteraan kepada alam keseluruhannya,” katanya.

KUALA LUMPUR: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah membebaskan pemandu wanita Produa Myvi yang terbabit dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di atas lebuhraya DUKE kelmarin.

Pemandu tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan dan ujian air kencing dilakukan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, pemandu wanita berusia 35 tahun itu telah ditahan semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

VIDEO: Tangisan Sayu Salah Seorang Anak Mangsa Maut Kemalangan di DUKE

BACA: Luahan Hati Dan Rayuan Adik Mangsa Kemalangan Ragut Tiga Nyawa di Atas DUKE

BACA: Familia Myvi Club (FMC) Nafi Ahli Mereka Punca Kemalangan Sebaliknya Salahkan Pajero

“Pihak kami ada menerima tiga laporan polis dari tiga orang pemandu Produa Myvi yang terlibat dalam kemalangan tersebut dalam tempoh 24 jam.”

“Keterangan semua pihak sudah dirakam termasuk seorang saksi kejadian dan siasatan akan mengambil kira semua keterangan berkenaan.

“Kami memandang serius kes kemalangan ini dan siasatan dijangka selesai minggu depan,” katanya dipetik Harian Metro.

Dalam kejadian semalam tiga sekeluarga termasuk seorang bayi enam bulan maut selepas kereta yang dipandu mereka terbabas akibat dirempuh oleh dua buah kereta Myvi yang sedang berlumba dia atas DUKE.

Fairuz Nizam Husain, 35, disahkan terbunuh di tempat kejadian manakala isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan anak mereka yang berusia enam bulan Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – Siakapkeli.my

Gambar Kemalangan Maut Myvi Langgar Pajero 2 Mei 2015

Kanak-kanak maut dirempuh MPV

Maut dirempuh MPV

sitinor@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas dirempuh sebuah MPV dan diseret sejauh 50 meter dalam kejadian di Kampung Tapang, di sini, 3.00 petang tadi.

Kejadian berlaku ketika Muhammad Farhan Nazim melintas jalan dari rumahnya.

Bagaimanapun, dia yang menunggang basikal dirempuh MPV jenis Nissan Grand Livina sebelum diseret sejauh 50 meter ke bahu jalan sebelah kiri.

Pemandu MPV itu turut melanggar gerai burger di bahu jalan, sebelum melarikan diri.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Mat Isa berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:18 PM

Mayat budak lelaki berusia 10 tahun yang maut dirempuh MPV dipayungkan rakannya.

Innalillahiwainna ilaihiroojiun.
Semuga ibubapa lebih peka dan memerhati gerak geri anak-anak. Selalu-selalulah nasihatkan mereka agar lebih berhati-hati dan tidak berkeliaran.

Lagi budak maut terjatuh

asmah_rusman@hmetro.com.my
Ampang: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut terjatuh dari tingkat lapan kediamannya di Taman Nirwana Kampung Pandan, 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, mangsa tinggal bersama ibu bapa, dua adik beradiknya dan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Menurutnya, ketika kejadian ibu bapa mangsa bersama kakak dan abangnya tiada di rumah kerana ke tempat kerja dan sekolah.

“Pembantu rumah terbabit meninggalkan kediaman itu untuk membeli telur di kedai sebelum kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik pulang dia mendapati orang ramai berkumpul dan melihat mangsa parah terbaring atas jalan,” katanya.

Khairuldin berkata, siasatan awal dipercayai mangsa tersedar dari tidur dan memanjat basikal yang terletak di balkoni tingkat lapan sebelum terjatuh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan pembantu rumah kini sedang disoal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:06 PM

LOKASI kanak-kanak terjatuh (dalam bulatan).

LOKASI kanak-kanak terjatuh (dalam bulatan).

Penduduk kampung gempar helikopter terhempas

31 Disember 2014
image.jpg2

Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ketika misi menghantar barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Rambai di Tanah Merah, hari ini. – Foto Bernama Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ketika misi menghantar barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Rambai di Tanah Merah, hari ini. – Foto Bernama

TANAH MERAH – Penduduk Kampung Rambai di sini gempar apabila sebuah helikopter jenis Ecureuill AS 355F2 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas pada kira-kira 6.30 petang, selepas berlegar-legar di ruang udara kampung itu.

Beberapa saksi yang ditemui berkata, helikopter itu dilihat terbang rendah dan berlegar-legar sebanyak dua pusingan, sebelum kedengaran seperti ada letupan sedikit, dan terus menjunam ke darat.

Anggota misi kemanusiaan dari Kuala Lumpur, Mohd Zulhasnan Abdullah, yang ketika itu sedang mengagih-agihkan bekalan di kampung itu berkata, beliau dan pasukannya menyangkakan pada mulanya helikopter itu terbang rendah kerana mahu menurunkan bekalan makanan.

“Melihat keadaan itu (helikopter terbang rendah), orang kampung rasa seronok dan berkumpul untuk melihatnya.

“Tiba-tiba helikopter jadi tak seimbang dan jatuh menjunam betul-betul di depan mata kami. Bila melihat keadaan itu, kami dan orang kampung berpusu-pusu pergi sana dan kami membawa keluar empat orang — tiga lelaki dan seorang wanita,” katanya ketika ditemui di kampung itu, di sini hari ini.

Mohd Zulhasnan berkata, beliau dan rakan-rakannya mendapati tiga orang lelaki cedera parah di bahagian kepala manakala seorang wanita hanya cedera ringan dan mengadu pening.

“Kami, dengan bantuan orang kampung, memasukkan dua orang mangsa lelaki pertama ke dalam kereta Perodua Alza, manakala dua lagi dimasukkan dalam Triton milik saya untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu, dan memberitahu Bernama bahawa kesemua di dalam helikopter itu selamat dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

“Alhamdulillah dua juruterbang dan dua kru terselamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung Saifulizam Mohamad, 40, berkata, walaupun ketiga-tiga mangsa lelaki cedera parah, mereka masih dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, selepas orang ramai berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa dari bangkai helikopter itu, ketiga-tiga lelaki itu dibaringkan di halaman rumah beliau, manakala wanita itu masih boleh berjalan sendiri.

“Sebab saya ada bertanya kepada lelaki itu, berapa orang di dalam helikopter, dan beliau menjawab empat. Saya cuba nak pastikan sama ada beliau masih sedar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Zaisa Mohd Zin, 31, berkata, beliau berasa pelik apabila melihat helikopter itu terbang rendah berhampiran kawasan rumahnya, menyebabkan beliau terasa ingin merakam kejadian itu.

“Tapi dalam saya cuba nak capai handphone, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman, dan saya lari keluar, melihat helikopter itu sudah terhempas di darat.

“Tapi nasib baik kebetulan ada beberapa orang doktor yang sedang berada di kampung kami tengah membantu agih-agihkan makanan di madrasah berhampiran. Saya tengok mereka sempat memberi rawatan awal, termasuk memberi oksigen menggunakan topeng,” katanya. – Bernama