Category Archives: Jenayah Agama

image_pdf

VALENTINE – 72 DICEKUP TERMASUK WANITA BERSAMA SUAMI ORANG

valentine 2.jpg mixVALENTINE – 72 DICEKUP TERMASUK WANITA BERSAMA SUAMI ORANG
16 Februari 2015

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih dicekup dalam keadaan tidak berpakaian oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) sempena Ops Mawar Merah, di sini kelmarin.

Dalam serbuan petang Sabtu itu, lelaki berstatus suami orang dari Larkin dicekup dengan kekasihnya dari Kota Tinggi dalam keadaan hanya berlapik kain cadar sebaik pintu bilik mereka diketuk penguat kuasa.

Difahamkan lelaki berusia 28 tahun bekerja sebagai buruh itu telah menjalin hubungan cinta dengan kekasihnya berusia 22 tahun sejak setahun yang lalu.

Dalam serbuan lain, di Taman Bukit Mewah, di sini pasangan berusia 22 tahun dan 23 tahun dari Terengganu turut ditahan.

Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan bekerja di Singapura manakala wanita berkenaan baru tiba dari Terengganu jam 8 malam, Khamis lalu.

Mereka mendakwa telah bertunang dan akan melangsungkan perkahwinan Mac ini memaklumkan bertemu bagi membincangkan masalah keluarga yang tidak merestui hubungan tersebut.

Ketika serbuan lelaki yang lengkap berpakaian sebaliknya wanita berkenaan mengenakan baju kelawar tanpa pakaian dalam.

Pasangan tersebut antara 72 individu berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun, termasuk empat warga asing yang dicekup di sekitar hotel bajet di bandaraya ini.

Menurut Penolong Penguatkuasa Jaij, Hafiz Abd Rahman berkata, operasi tersebut digerakkan sempena hari kekasih yang dirai setiap 14 Februari.

“Semua yang ditahan itu diambil tindakan mengikut Seksyen 27(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan Seksyen 29 enakmen sama kerana kesalahan berkhalwat serta berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“Kita turut menyiasat empat warga asing yang dijumpai bersama pasangan yang beragama Islam dan akan menyerahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

NORSHIKIN MOHD SALLEH
Sinar Harian

HARI INI DALAM SEJARAH – KES LIWAT II: HUKUMAN PENJARA ANWAR KEKAL LIMA TAHUN

00 anwar ke penjara.jpg SMALL

HARI INI DALAM SEJARAH
KES LIWAT II: HUKUMAN PENJARA ANWAR KEKAL LIMA TAHUN

PUTRAJAYA – TERKINI : Hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal bermula hari ini. Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh orang ramai berikutan keputusan itu. Ada yang seronok dan ada yang mengamuk.

Berita TV memaparkan suasana agak tegang di perkarangan Istana Kehakiman. Unit Anggota Simpanan Persekutuan turut dikerah untuk mengawal keadaan, khususnya ketika kenderaan yang membawa Anwar Ibrahim dipandu keluar dari situ.

Berikut adalah beberapa reaksi yang tersiar di akhbar SINAR HARIAN. Semuga semua pihak, termasuk keluarga dan penyokong Anwar dapat bertenang dan mencari hikmah di sebalik semua ini. Kita hanya mengulangi sejarah atau menciptanya. WAMAKARU WAMAKARALLAH, WALLAHUKHOIRULMAAKIRIIN.

NASIHAT BEKAS MB SELANGOR

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihati keluarga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya isteri serta anak-anaknya supaya tabah menerima keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat II yang diumumkan hari ini.

Kata Abdul Khalid menerusi laman mikro Twitternya, beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah ujian dari  ALLAH terhadap Anwar dan keluarganya.

“Saya berdoa kepada ALLAH semoga keluarga Anwar diberi kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi posting tersebut.

Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara yang dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu menolak rayuan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Bagimanapun, mahkamah ditangguhkan sejam bagi pihak pendakwaan mengemukakan hujahan berhubung hukuman terhadapnya.

Arifin membacakan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

PENYOKONG SAIFUL SYUKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH

PUTRAJAYA –  Alhamdulillah, syukur di atas keputusan yang memihak kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan,” demikian reaksi penyokong Saiful selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah terhadap tuduhan meliwat hari ini.

Jurucakap tersebut Zulkarnain Mahdar, 48, berkata, keputusan tersebut jelas membuktikan bahawa Mohd Saiful berada dipihak yang benar sekaligus menepis dakwaan Saiful mereka-reka cerita mengenai kesnya tersebut.

“Kami yakin ini keputusan daripada ALLAH, yang hak tetap hak, yang batil tetap batil.

“Akhirnya ALLAH membuka kebenaran tersebut,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sementara itu menurut seorang lagi penyokong Mohd Saiful yang juga Presiden Pertubuhan Suara Aspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan, 42, berkata, beliau berharap dengan keputusan tersebut Mohd Saiful Bukhari akan tampil dengan lebih berani ketika berhadapan dengan masyarakat.

“Keputusan ini akan beri semangat baharu kepada Mohd Saiful Bukhari,” katanya.

KERAJAAN TEGASKAN MAHKAMAH NEGARA BEBAS

Kelihatan polis melakukan permantauan keselamatan di luar Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini.
Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN

SHAH ALAM – Kerajaan mengeluarkan satu kenyataan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mensabitkan kesalahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu beliau.

Kenyataan itu memetik seorang jurucakap kerajaan sebagai berkata, hakim-hakim dalam kes ini membuat keputusan setelah menimbang semua bukti secara berimbang dan objektif.

Katanya, Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas dan sebelum ini terdapat banyak juga keputusan yang membawa hukuman terhadap tokoh kerajaan.

“Laporan polis terhadap Anwar Ibrahim dibuat seorang individu secara peribadi – pekerja dan pembantu peribadi Anwar, bukan oleh kerajaan. Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, dia berhak membawa kesnya ke mahkamah.

“Dalam kes ini, semua proses dilaksanakan dengan lengkap dan komprehensif, yang memakan masa beberapa tahun. Proses itu kini selesai dan kami menyeru semua pihak terbabit supaya menghormati proses undang-undang dan keputusan penghakiman,” katanya.

SAIFUL SUJUD BERSERAH

SHAH ALAM – “Berkat doa, istiqamah dan sabar selama tujuh tahun, pada hari ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar, dan saya seorang saksi yang ‘credible’,” kata bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata, dia dan keluarganya menghormati keputusan yang diputuskan mahkamah hari ini.

“Seawal tujuh tahun dulu, dari mula saya membuat laporan polis hinggalah ke saat ini, apa yang saya mahukan sebagai pengadu dan rakyat di negara ini adalah aduan saya keatas perlakuan Anwar Ibrahim keatas saya disiasat dan diadili, tidak lebih dari itu.

“Juga sebagai hamba ALLAH yang tidak sempurna ini, saya menjalankan tanggungjawab, menegakkan kebenaran agar saya tidak disoal diakhirat nanti,” katanya yang dipetik blog peribadinya http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Katanya, yang pasti, apa yang penting kini, saya dan keluarga kehadapan.

“Saya berdoa semoga ALLAH SWT terus memberi perlindungan, rezeki dan kemudahan dalam segala urusan saya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya secara langsung atau tidak langsung selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya,” katanya.

SEDIKIT VIDEO SUASANA DI PERKARANGAN MAHKAMAH

SUASANA awal penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan pada sesi keputusan rayuan akhir Liwat II di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini.
https://www.youtube.com/watch?v=XMjCcEUdDYo

SUASANA Awal Penyokong Saiful pada sesi keputusan rayuan akhir Liwat II di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya hari ini.
https://www.youtube.com/watch?v=KPnWdyqGHPg

 

PELAJARAN BESAR DARI PENGALAMAN HIDUP SUFIAH TIPS PARENTING – BAGAIMANA PERKIRAAN MATAMATIK ALLAH

Sufiah Yusof (duduk, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.Sufiah Yusof (duduk, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya.

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Selepas 10 tahun menyepi, Sufiah Yusof, 31, yang dahulu merupakan kanak-kanak pintar Matematik dan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun tetapi menggemparkan dunia apabila menjadi pekerja seks, muncul dalam rancangan Nona terbitan TV3 bagi berkongsi pengalaman hidupnya.

Sufiah yang tidak memaklumkan tempat tinggalnya kini, turut berkongsi kisah hitam yang ditempuhi pada 2008 apabila terpaksa menjadi pekerja seks di flat murah yang didiaminya di Salford, Manchester untuk menyara kehidupan selama beberapa tahun.

Mengakui tertekan kerana di­buru wartawan pada masa itu, dia memberitahu dapat menanganinya dengan baik.

“Memang betul, saya terlibat dengan industri seks selepas gagal dalam perkahwinan dengan pelajar undang-undang, Jonathan Marshal pada 2004. Mereka (wartawan) cuba memberi dadah dan menyuruh saya menanggalkan pakaian supaya dapat me­rakamkan secara rahsia aksi saya di atas katil.

“Walaupun anda tidak bersetuju dengan pekerjaan saya tetapi cara itu adalah tidak adil sama sekali. Malah, ketika saya menjadi buruan media, ia adalah satu keadaan yang tidak masuk akal dan setiap hari saya me­nerima pelbagai e-mel berbentuk ugutan.

“Ia sengaja diperbesarkan dan ini agak menakutkan saya yang masih remaja ketika itu,” katanya dalam rakaman temuramah rancangan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika di­tanya mengenai keluarganya, Sufiah menjelaskan, mereka jarang berhubung dan hubungan mula renggang sewaktu usianya mencecah 15 tahun akibat tiada inspirasi dan nilai persaudaraan yang sama.

“Saya selesa dengan cara hidup sekarang dan tinggal dengan rakan-rakan. Semakin dewasa, saya lebih memahami dan semua orang tidak mempunyai nilai dan aspirasi yang sama.

“Setiap orang bebas membuat pilihan selain mampu menangani setiap permasalahan dengan pilihan yang dibuat. Saya tidak bermaksud masyarakat setuju dengan apa yang saya lakukan kerana mereka bebas menjalani kehidupan yang dimahukan,” katanya.

Sufiah memberitahu, dia bersetuju temuramah itu disiarkan kerana sudah lama tidak bercakap dengan media dan mahu laporan lebih baik berkenaannya dikongsi bersama masyarakat.

“Saya faham ketika itu ramai yang mengambil berat dan memberi sokongan walaupun tidak mengenali saya.

“Ketika menjadi buruan pada 2008, saya tahu terdapat rakyat Malaysia yang prihatin dan amat menghargainya,” katanya.

GAMBAR : Sufiah Yusof (duduk, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya
SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/sufiah-kongsi-pengalaman-hidup
SITI ROHAIZAH ZAINAL  |  09 Februari 2015

*  *  *  PELAJARAN BESAR: *  *  *

Sejak mula lagi isu Sufiah ini telah kami ambil sebagai pelajaran besar bagi anak-anak RPWP dalam menangani masalah bencana sosial. Dalam video ceramah ini dapat dilihat sedutan tayangan ketika Sofiah baru memulakan kerjayanya sebagai ‘pekerja seks’.

Kami jadikan tindakan Sufiah itu sebagai ancaman kepada anak-anak. Mengapa Sufiah jadi begitu? Apa silap ibubapa Sufiah? Apa yang buat beliau angkuh untuk melakukan dosa itu dengan sengaja? Berapa lama sufiah akan LAKU di pasaran? Siapa akan ambil Sufiah jadi isteri? Berapa lama boleh kekal? dan macam-macam lagi. Ini semua ada elemen perkiraan atau matamatik Allah.

Kami katakan kepada mereka bahawa kecerdasan dalam bidang akademik tanpa disulam dengan kecerdasan sahsiah dan akhlak akan menghancurkan hidup mereka.

Di AIP & RPWP, Kami menekankan akhlak dan aqidah terlebih dahulu. Apabila anak-anak telah faham dengan yakin tentang fungsi diri sebagai hamba Allah di bumi ini, maka apa sahaja misi hidup yang lain akan mudah mereka selesaikan atas dasar basmalah.

Sufiah mungkin cerdas dalam kiraan metamatik di dunia akademik, namun terbukti beliau lemah dalam perkiraan metamatik akhirat. Contohnya; Matamatik didunia mengatakan 100-1=99. Namun matamatik akhirat mengatakan 100-1=0.

Allah suruh kita patuhi SEMUA PERINTAH dan menjauhi SEMUA LARANGAN Nya secara KAFFAH (TOTAL) selagimana hayat dikandung badan. Bukan ikut sebahagian dan langgar sebahagian.

QS:2. Al Baqarah 208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Walaupun seumur hidup kita patuh dan baik, akan tertolak kebaikan itu HANYA dengan 1 keingkaran yang nyata terhadap perintah Allah. Itulah yang terjadi pada syaitan sewaktu diperintahkan untuk sujud kepada Adam.

Jika kita hidup dalam Iman dan Islam, barulah berpeluang untuk mati dalam Iman dan Islam. Untuk hidup dalam Islam pula, kita harus KEKAL BERTAQWA dengan MENJAGA TAQWIM atau program keIslaman yang telah Allah tetapkan.

QS:3. Ali ‘Imran 102. “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Serahdiri (Muslim).”

Demikian juga halnya dengan dosa setinggi gunung, jika kita sempat bertaubat dengan sungguh-sungguh, dengan taubat Nasuha dan cukup syarat taubatnya lalu diterima Allah, maka seluruh dosa itu juga akan terampun.

QS: 4. An Nisaa’

17. Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

18. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.

Ini semuanya adalah contoh-contoh bagaimana perkiraan akhirat itu amat penting dalam pendidikan sahsiah anak-anak. Ini juga yang membuatkan anak-anak kasyaf dan mampu mencongak kesan dan akibat hasil dari satu-satu tindakan mereka.

MOTIVASI & KESIMPULAN

Jangan kita hancurkan kebaikan yang ada pada diri dengan cuba-cuba melakukan dosa yang nyata.

Jangan kita lengahkan taubat dengan meneruskan perbuatan dosa ketika peluang masih ada. Peluang itu tidak semestinya terbuka sentiasa. Taubat ketika ajal sudah tiba akan ditolak Allah dan kita akan rubi selama-lamanya.

Ambil pelajaran dari kesilapan ibubapa Sufiah. Kesilapan ibubapa tetap akan mempengaruhi atau membuka jalan untuk anak-anak melakukan dosa. Oleh itu sebagai ibubapa, jagalah jauhilah perbuatan keji. Jagalah akhlak. Bertaubatlah dan ajaklah anak-anak bertaubat sama.

by Warga Prihatin

Pedofil Akan Berkerumun Ke Kelantan Jika Hudud Dilaksanakan – Datuk Noor Farida Ariffin

 

Hanya kerana hukum Islam yang cuba dibawa PAS ke negeri Kelantan yang dikatakan masih samar, terutamanya membabitkan kesalahan seksual, jurucakap kumpulan 25 Melayu profesional G25 Datuk Noor Farida Ariffin berkata struktur masyarakat masih belum sesuai untuk pelaksanaan hukum Islam tersebut.

Farida berkata, sarjana Islam berpendapat terdapat banyak syarat yang perlu diambil kira sebelum hudud dilaksanakan.

“Kita perlu ada masyarakat yang adil, perbezaan antara kaya dan miskin yang sedikit, tetapi di sini antara Melayu pun ada jurang,” katanya, ketika forum “Malaysia, Kebebasan Ekonomi, dan Globalisasi” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersempena kelahiran Tunku Abdul Rahman ke-112 di Kuala Lumpur hari ini.

“Masalahnya ustaz-ustaz kampung menyebarkan mesej hudud itu undang-undang Tuhan dan kita tidak boleh persoalkan,” katanya.

Noor Farida berkata, mengambil contoh kesalahan zina,  undang-undang hudud Kelantan menolak penggunaan bukti saintifik seperti sampel DNA dan cap jari, sebaliknya hanya menerima bukti 4 saksi mata kejadian zina tersebut.

“Disebabkan mereka menggunakan bukti kurun ke-12 sebagai pembuktian untuk kes zina, menolak bukti saintifik.

“Mereka menegaskan hanya itu caranya untuk membuktikan berlakunya kejadian zina… ini tidak masuk akal,” katanya.

“Pemimpin PAS naik kereta, kapal terbang, tetapi tidak terima bukti saintifik.”

Malah, Nabi Muhammad katanya turut menganjurkan umatnya berkenaan kepentingan menuntut ilmu itu begitu tinggi.

“Nabi sendiri bersabda, tuntutlah ilmu walau ke negeri China. Jika hudud dilaksanakan di Kelantan, pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan.”

“Di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa, inilah dia hudud PAS,” katanya.

PAS dikatakan akan membentangkan Rang Undang-undang hudud dalam sesi Dewan Rakyat akan datang walaupun pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat lain mahu ajak berbincang terlebih dahulu. Sumber: The Malaysian Insider

* * *  ULASAN  * * *

Kita fikir hentaman umum terhadap keceluparan Marina Mahathir cukup untuk dijadikan pelajaran. Rupanya ada lagi jurucakap kumpulan 25 Melayu profesional G25, Datuk Noor Farida Ariffin yang berani mengajukan pendapat yang sama. Subhanallah, alangkah beraninya mereka semua…!!

Tidakkah lebih baik jika kita yang mengaku Islam ini ramai-ramai cuba sedaya upaya untuk menerapkan hukum tuhan dalam diri dan keluarga kita dengan ikhlas dan redha. Janganlah kita lihat hudud hanya pada sudut enakmen jenayah semata-mata. Hudud itu amat luas. Ia bermula dari pendidikan sebelum penguatkuasaan.

Kami menyeru agar kita tidak mengikuti hujah dan uswah buruk wanita ini. Meletak diri dalam Group profesional, tetapi gelagat dan komentar seperti orang jahil yang cetek akalnya. Tidak pasti untuk apa dan untuk siapa sebenarnya dia bersusah payah berhujah di seminar sana sini.

Bukankah jauh lebih baik jika group ini membincangkan cadangan balas apa sahaja yang terbaik untuk memastikan tadbir urus Hudud yang baru mula nak dilaksanakan itu dapat dijalankan dengan lebih sempurna dan adil. Mengapa harus ‘menganjing’ hukum tuhan sampai begitu sekali.

Inilah hasil dari mentaliti umat yang sudah diracun 100% mindanya dengan pendidikan barat. Nak belajar sains di sana pun terpaksa bermustautin, terpaksa hidup cara barat dan ‘menyerap’ mentaliti barat. Yang dah beranak, maka anak pun sekolah di barat sementara ibubapa sambung belajar. Semuanya ‘percuma’. Mengapa percuma? kerana memang mereka mahu kita ikut mereka. Mereka mahu kita jadi jurucakap dan talibarut mereka. Pulang dari barat mula mendabik dada mengaku cerdik pandai.

Kita harap makcik ini pujuk diri sendiri untuk tunduk patuh dengan aturan hidup yang telah ditetapkan oleh al-Kholiq. Yang jelas nampak diingkarinya sampai seusia ini ialah tuntutan menutup aurat yang jelas ada dalam quran dan hadis. Keingkaran yang tak nampak macam zina, mabuk, judi, rasuah, riba’ dan lain-lain tu sila muhasabah sendirilah.

Al-quran itu bicara kebenaran dan kesucian untuk membentuk akhlak manusia. Bila diri sendiri sudah patuh perintah alQuran dari ‘Al-Kholiq’, barulah kita jadi hamba yang ‘berakhlaq’. Bila keingkaran diri sudah dibersihkan dengan mematuhi alQuran, barulah layak kita cerita dan kongsikan buah fikir tentang hukum hakam yang bersih itu. Allah SANGAT BENCI orang yang cakap tak serupa bikin (QS:61/2-3).

Mana mungkin tangan yang kotor boleh memelihara kesucian benda yang bersih.
Mana mungkin orang yang ingkar boleh mengajak orang lain patuh.

INGATLAH… INGKAR DALAM BAHASA ARAB BERMAKNA ‘KAFIR’.

Kami ulas isu ini untuk mengingatkan pembaca agar jangan mudah terpengaruh dengan hasutan orang yang jahil, ingkar dan degil seperti ini. Umat hari ini sudah cukup tenat kerana terlalu lama menggunakan hukum-hakam ciptaan sendiri. Kita perlu segera kembali kepada undang-undang sang pencipta. Generasi kita sudah lama binasa.

Tidak mengapa jika ada kelemahan dan kekurangan Hudud di sana sini di peringkat awalnya. Sebagai umat Islam, kewajiban kita ialah untuk menyokong pemerintah yang ‘sudi’ melaksanakan hukum Sang Pencipta. Tidak kira kita ‘sebulu atau tidak’ pada sudut politik, tetapi tiada kompromi dalam sudut agama.

Sekurang-kurangnya jika kita mati esok, sokongan kita itu insyaAllah dapat menjawab soalan kita dalam kubur nanti. Bakinya kita serahkan kepada golongan yang memang ‘berlumba-lumba menawarkan diri’ untuk memikul beban berat sebagai pemimpin ini. Mereka tidak sedar sebaik sahaja dilantik, sebelah kaki sudah berada dalam neraka.

Untuk Mak cik ini, kasihanilah diri anda yang sudah ‘cukup dewasa’ dari segi usia. Dengarlah perintah Allah: “Selamatkan dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”. Janganlah jadi manusia yang keras kepala (macam batu) terhadap perintah Allah.

Jika belum berilmu, banyakkan mendengar dan belajar dari bercakap. Jika belum mampu melaksanakan semua perintah Allah, banyakkan bermuhasabah diri, beristighfar dan memohon ampun. Jangan ditambah dosa dengan menghasut orang lain pula. Menghasut itu tabiat syaitan. Jangan jadi kerabat syaitan dengan mengikuti tabiatnya.

KESIMPULAN

Jangan jadi jumud dengan Islam. Sebelum dilaksanakan undang-undang Hudud,  pemerintah harus kerja keras menyedarkan masyarakat melalui program pendidikan dalam segala sudut sebelum melaksanakannya. Selain dari Kanun Jenayah itu, masih ada Takzir, Diyat dan Qisas dalam pekej perlaksanaannya. Pelajarilah secara kaffah (QS:2/208). Carilah ilmu. Banyakkan bertanya dari cerdik pandai sebelum mengaku diri sebagai ‘cerdik pandai’ yang ‘tak cerdik tetapi memandai-mandai’.

Jangan tunggu mati lalu minta orang doakan kita “Kembalilah ke Rahmatullah”. Jangan main agak-agak dan hidup bersangka-sangka. Syurga neraka itu boleh ditempah tiketnya. Kembalilah kepada Rahmat Allah itu sekarang. Rahmat itu berupa petunjuk Al-Quran untuk dilaksanakan sewaktu hidup(QS; 55/1-4).

“YAASIN, WALQUR’ANILHAKIIM”. (“Hai manusia (yang pelupa dan berdosa), Demi al-Qur’an Yang Menghakimi (Hakim yang bijaksana dan penuh hikmah)”.

Yakinlah kita semua untuk menjadi wakil Allah dibumi untuk BERHUKUM dengan HUKUM ALLAH. Jadilah HAKIM yang bijaksana dengan ALQURAN yang penuh HIKMAH. Ini surah Yasin yang Allah perintah kita bacakan pada orang hidup (QS: Yaasin 36/69-70) agar mampu bangkit untuk kembali melaksakan perintah Allah. Itulah hakikat kembali ke Rahmatullah. Namun, kita kini hanya bacakan Yaasin setelah mati dan tidak boleh buat apa-apa lagi. Malanglah kita…

Biasanya orang yang ‘fobia’ dengan hukum hakam, fobia dengan penguatkuasa ialah orang yang BERSALAH. Begitu jugalah orang yang takut dengan undang-undang Islam… TITIK.!!

WARGA PRIHATIN

‘Tak nak balik! Tak nak jumpa mak!’

'Tak nak balik! Tak nak jumpa mak!'
Shahida enggan mengikut anggota MBMB ketika ditemui di Taman Bunga Merdeka jam 3.20 pagi semalam.

MELIHATKAN seorang remaja yang cuba mengeraskan diri ketika ditarik anggota penguatkuasa, membuatkan saya sedar betapa beruntungnya mempunyai keluarga yang ‘peduli’.

Menyaksikan dia menangis dan menjerit-jerit kerana tidak mahu ‘diangkut’ oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat saya bersyukurnya kerana tidak mengikut nafsu amarah dan fikiran dangkal untuk melarikan diri dari rumah sepertinya setiap kali merajuk dengan keluarga ketika masih di bangku sekolah rendah.

Tangan genggam gam

Jeritannya memecahkan kesunyian dinihari di kawasan Taman Bunga Merdeka, memancing perhatian bukan sahaja anggota penguatkuasa yang menyertai operasi malah orang awam berada di kawasan berhampiran Pusat Beli Belah  Dataran Pahlawan dan Menara Taming Sari di Banda Hilir pada jam 3.20 pagi.

Remaja dikenali sebagai Shahida (bukan nama sebenar), berusia 17 tahun itu pada mulanya tenang menjawab setiap soalan diajukan anggota penguatkuasa JKM diketuai Noor Hayati Zaman, sambil tangan menggenggam sebungkus plastik kecil dipercayai mengandungi gam.

Namun dia mula menangis dan menjerit enggan mengikut penguatkuasa sebelum diserahkan kepada keluarga apabila diberitahu remaja di bawah umur dilindungi Akta Kanak-kanak dan perlu diselamatkan daripada bergelandangan. Keadaan itu membuatkan kepala saya ligat berfikir, apa sebenarnya masalah yang menghantui dirinya.

“Tak nak balik! Tak nak jumpa mak!”

Itu antara ayat yang diulang, disulam tangisan sepanjang berjalan dan ‘diheret’ ke lori Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama tujuh lagi gelandangan termasuk tiga remaja bawah umur dan seorang wanita kurang upaya (OKU) berusia 38 tahun yang mengaku sebagai kakak angkat Shahida.

Sebagai pemerhati, saya mengharap dia dan keluarga menemui penyelesaian yang baik apa jua pun masalah pun dihadapi.

Berkongsi selimut, bertilam rumput

Operasi bersepadu MBMB turut disertai penguatkuasa Imigresen, Pejabat Kesihatan Melaka Tengah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu kemudian ke Padang Dataran Pahlawan sebelum menemui pasangan sebuah kolej di negeri ini yang tidur berkongsi selimut.

Suasana sepi di kawasan lapang bertukar riuh ketika pemeriksaan terhadap pengunjung di situ bagaimanapun langsung tidak mengganggu lena kedua-dua remaja berusia 19 tahun berkenaan.

Malah walau bertilamkan rumput dan berbumbung langit, pasangan yang nyenyak berselubung hanya menyedari kehadiran penguatkuasa di kawasan padang itu selepas dikejutkan seorang pegawai MBMB.

Rasa kasihan menyelubungi diri apabila gadis yang berasal dari negeri di sebelah utara itu mendakwa datang ke Melaka untuk menguruskan penangguhan pengajian berikutan masalah keluarga serta terpaksa ‘squatting’ di asrama beberapa hari sebelum rakan-rakan tidak lagi membenarkan dia menumpang di asrama dikhuatiri diketahui pihak kolej.

Disebabkan tidak punya cukup wang dia terpaksa tidur di padang berkenaan sementara menunggu jam 9 pagi untuk pulang ke kampung menaiki bas dari Melaka Sentral.

Apabila melihat tindakan teman lelaki yang lagaknya seperti hero membawa sehelai sahaja selimut untuk bekalan tidur mereka memercikkan rasa geram di hati. Tindakan mereka juga pasti boleh membangkitkan rasa marah sesiapa sahaja apabila tidur bersama-sama sedangkan tiada ikatan sah antara kedua-duanya.

Namun tindakan bersahaja dengan hujah pembelaan yang boleh dianggap sebagai ‘after thought’ antaranya tidak melakukan apa-apa mampu mencuit hati setiap kami. Teman wanitanya bagaimanapun diselamatkan JKM yang berjanji akan menghantarnya ke terminal bas sebelum jam 9 pagi.

Operasi yang disertai  60 anggota selama hampir lima jam bermula 12 tengah malam itu turut menahan empat pasangan termasuk pasangan dari institut pengajian tinggi (IPT) di Alor Gajah, di tiga hotel bajet di sekitar Banda Hilir, yang disyaki berkhalwat.

Pelajar wanita berusia 19 tahun dan teman lelakinya yang berusia 21 tahun kemudian diserahkan kepada JAIM untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN

REMAJA KELIRU IDENTITI – MUROBBIAH & ANAK DIDIK RPWP DI TV AL-HIJRAH

MAKSIAT BERKUMPULAN – TUJUH REMAJA DICEKUP DI HOTEL

7 remaja gangbang.jpg mix

MAKSIAT BERKUMPULAN – TUJUH REMAJA DICEKUP DI HOTEL
2 Januari 2015

ALOR SETAR – Perkenalan di aplikasi sosial WeChat membawa kepada pertemuan sulit sekumpulan remaja di sebuah hotel pada malam tahun baharu, semalam.

Tujuh remaja berkenaan bagaimanapun dapat dicekup 33 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) ketika Operasi Tahun Baharu bermula 12 tengah malam sehingga 5 pagi di sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, tujuh remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun itu dipercayai menyewa sebuah bilik hotel sama.

Difahamkan, mereka juga membawa tilam tambahan dipercayai untuk tujuan maksiat. Menurutnya, empat daripada mereka adalah lelaki manakala selebihnya wanita. Hasil soal siasat mendapati sebilangan mereka memiliki rekod buruk.

“Salah seorang daripada mereka merupakan bekas penghuni pusat pemulihan akhlak. Dia yang berusia 17 tahun mendakwa sudah bekerja di sebuah pusat snuker dan telah dibuang keluarga,” katanya.

Syeikh Mohd berkata, ada di antara mereka sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan dua daripada mereka didapati sudah tidak bersekolah.

“Seorang remaja perempuan pula mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki bukan Islam. Ada juga yang mengakui sudah melakukan hubungan seks sebanyak berbelas kali,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, dua remaja perempuan turut ditahan bersama seorang remaja lelaki yang sedang tidur dalam serbuan di sebuah hotel.

Ketika diserbu, seorang remaja perempuan mendakwa berkongsi bilik beramai-ramai dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 1988, manakala remaja berkenaan dilepaskan dengan jaminan.

WARTAWAN SINAR HARIAN

MAKSIAT TAHUN BAHARU – ISTERI ORANG DAN PELAJAR IPT ANTARA 18 YANG DITAHAN

belaian tahun baru.jpeg2.jpg mixMAKSIAT TAHUN BAHARU – ISTERI ORANG DAN PELAJAR IPT ANTARA 18 YANG DITAHAN
2 Januari 2015

BUTTERWORTH – ”Kami datang hanya untuk berseronok sempena malam tahun baharu,” kata seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya ketika serbuan oleh penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah hotel bajet di Jawi dalam Operasi Mencegah Maksiat Sempena Tahun Baharu 2015 semalam.

Remaja berkenaan yang juga merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sanggup datang dari Melaka semata-mata untuk bertemu dengan kekasihnya di sini.

Akhirnya, niat remaja ini untuk berhibur bagi menyambut tahun baharu tidak kesampaian apabila bilik hotel bajet yang disewa di Berapit diserbu dalam operasi ini.

Gadis yang berusia awal 20-an ini merupakan antara 18 individu ditahan dalam operasi yang diadakan.

ENGGAN BUKA PINTU BILIK

Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, operasi yang bermula pada jam 2.30 pagi dan berakhir jam 6 pagi semalam melibatkan pemeriksaan di beberapa hotel bajet di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Dalam operasi ini, pihak kami turut mendapat bantuan daripada anggota dari Cawangan Pencegahan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan ketika operasi dijalankan ada juga beberapa pasangan yang enggan membuka pintu bilik dan memberikan kerjasama yang sepatutnya.

“Kebanyakan pasangan yang diperiksa memberikan pelbagai alasan untuk mengelakkan dicekup anggota penguatkuasa namun, tidak berhasil kerana gagal menunjukkan sijil pernikahan,” katanya kepada Sinar Harian.

ISTERI ORANG ANTARA DITAHAN

Dalam pada itu, serbuan yang dijalankan juga berjaya menahan seorang wanita yang merupakan isteri orang, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan bekas pelajar yang masih bujang serta seorang duda.

“Secara tidak langsung dengan adanya operasi ini mampu mengekang gejala maksiat dalam kalangan masyarakat.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

BERITA SINAR HARIAN

Hudud akan memecah-belahkan masyarakat – Marina

marina-mahathir-m
KUALA LUMPUR
– Aktivis sosial, Datuk Paduka Marina Mahathir menentang usaha melaksanakan hukum Hudud di Kelantan kerana tidak sesuai dengan masyarakat berbilang agama.

Menurutnya, beliau berharap hukum tersebut tidak dilaksanakan kerana “Walaupun hukum Hudud hanya untuk warga muslim, tetapi kita hidup di dalam suasana masyarakat yang bercampur-campur, jadi kelak semua orang akan terlibat.”

Beliau yang juga merupakan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyatakan, mengikut apa yang diketahuinya, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan hukum Hudud ini dilaksanakan.

Bahkan, Marina mendakwa, sekarang bukannya masa untuk Malaysia melaksanakan undang-undang seperti itu.

“Mengikut perlembagaan, setahu saya memang tidak boleh, saya harap ini bukan masanya untuk undang-undang Hudud macam ni,” ujarnya lagi.

Marina mendakwa, beliau tidak sampai hati untuk melihat penganut agama Islam dikenakan hukum Hudud jika ia dilaksanakan kelak selain menyatakan dengan perlaksanaan hukum Hudud itu akan memecah-belahkan masyarakat.

Dalam pada masa yang sama, Marina turut tidak menolak bahawa perlaksaan hukum Hudud ini mempunyai kaitan dengan politik yang dimainkan oleh PAS.

“PAS sudah membuat janji pada masa dahulu. Sekiranya tidak dilaksanakan, nanti orang kata PAS tidak ikut janji.

“Tetapi, PAS kena berjanji benda yang betul-betul, yang membawa kebaikan kepada masyarakat pada amnya dan bukannya pada satu-satu kumpulan sahaja,” katanya semasa ditemui media di Institut Pengurusan Wanita.

Kenyataan Kelantan sebelum ini Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob menyatakan, akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember.

Ia bagi mengemukakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan (EKJS II) berkaitan hukum Hudud.

Jelasnya lagi, pindaan tersebut perlu dibuat untuk melayakkan Kelantan membawa usul rang undang-undang persendirian EKJS II ke sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan seterusnya melaksanakan hukum Hudud di negeri itu.

LELAKI SUDAH BOLEH BERNIKAH DENGAN TRANSGENDER? HATI-HATI DENGAN DOKTRIN AGAMA DARI INDONESIA

Kiyai dedah kahwinkan lelaki dengan transgender

Kiyai dedah kahwinkan lelaki dengan transgender

Di Malaysia, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan sahaja tidak diterima, malah membicarakan subjek itu saja sudah dianggap tabu.

Tetapi di Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia, siapa sangka sudah ada ustaz yang tampil menikahkan seorang lelaki dengan seorang transgender.

Abdul Muiz Ghazali, pensyarah agama di Institut Studi Islam Fahmina (Isif), yang beroperasi di Cirebon, Jawa Barat, tampil membuat pengakuan itu kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Dalam wawancara di Petaling Jaya, menjawab “ya” dan disusuli ketawa kecil, beliau mengaku menjadi jurunikah untuk seorang lelaki dengan pasangan transgendernya.

Bekas pengasuh di sebuah ‘pesantran waria’ (wanita pria atau transgender) di Yogyakarta itu mendedahkan, beliau menikahkan pasangan berumur 40 dan 43 tahun, yang datang kepadanya, setelah mereka saling mencintai.

Muiz, lulusan pengajian Islam di Universiti Islam Negeri (UIN) dan sekolah pondok itu berkata, oleh kerana pernikahan itu tidak diiktiraf oleh undang-undang republik itu, beliau menyediakan sendiri surat nikahnya.

“Kita ada catatan pernikahan yang kita buat sendiri, sekiranya ada masalah boleh jumpa saya semula.

“Saya yang akan menceraikannya nanti (jika pernikahan itu gagal mencapai kebahagiaan) disaksikan komuniti (LGBT), kerana soal nikah cerai itu harus ada pengakuan dari masyarakat,” katanya.

Muslim yang larang’

Mengimbau kenangan pada 2012 itu, Muiz menjelaskan, walimatul urus itu berlangsung sederhana.

“Cuma perlukan selembar kertas (persetujuan) dan juga komuniti kita,” katanya, yang berkali-kali menegaskan bahawa beliau seorang “heteroseksual” (kecenderungan seksual berbeza jantina).

Malah, Muiz berkata, perkahwinan itu berlangsung tanpa ritual setempat seperti acara merenjis tepung tawar dan tanpa mengenakan pakaian tradisi seperti kebiasaannya.

“Kita tidak perlu pakai benda tinggi-tinggi atas kepala, baju-baju budaya,” katanya sambil membuat isyarat tangan di kepala.

“Nikah (cara) itu cuma budaya. Kita tidak perlukan pelbagai ritual, hanya kertas dan komuniti kita. Ia melibatkan sumpah setia. Pernikahan ini kita harus ingat adalah perjanjian.”

Tampil bersongkok dan bersarung seperti kebiasaannya, ustaz muda yang turut memakai rantai kayu itu, sering menegaskan keperluan kasih sayang dalam sesebuah hubungan rumah tangga.

Ditanya berhubung larangan perkahwinan sama jantina, Muiz memilih berbeza pendapat.

“Islam tidak pernah melarang bernikah berlainan jantina. Tetapi umat Islam ya, mereka yang larang, agama tidak,” katanya yakin.

Seks dan gender dalam al-Quran

Beliau memetik ayat ke-14, surah Ali-Imran yang menyebut bahawa Allah menjadikan kecintaan terhadap apa-apa yang diingini sebagai kesenangan hidup.

“Merujuk surah ini, terdapat perkataan manusia yang boleh mencintai apa-apa yang dingini, jika perempuan mencintai perempuan (contohnya), ya, sudah kelihatan sejenis di sini, itu teks Al-Quran.

“Yang ada dalam al-Quran itu orang yang dianggap lelaki bukan dari jenis kelamin (aspek biologi),” katanya.

Menurut beliau, syarat nikah lelaki dan perempuan dalam Islam bukan daripada aspek biologi semata-mata, tetapi juga gender.

Bahasa Arab, termasuk Al-Quran menggunakan dua perkataan berbeza untuk menggambarkan lelaki dan perempuan – satu daripada segi biologi dan satu lagi gender.

Muiz bagaimanapun menjelaskan permintaan untuk bernikah sama kelamin tidak banyak kerana komuniti transgender sendiri tidak besar di negara seberang itu.

Beliau juga menjelaskan terdapat juga ustaz atau kiyai lain yang menikahkan pasangan gay selainnya.

Menceritakan pengalaman hidupnya, Muiz mengakui tidak menerima kewujudan golongan itu sebelum ini.

Transgender juga bertuhan

Tetapi, tambahnya, beliau berubah fikiran setelah membuat kajian sendiri, bahkan menyamar sebagai orang gelandangan untuk mendekati golongan transgender yang melacur di jalanan.

Membuka baju batik, songkok dan kain sarung, Muiz tampil berseluar pendek dan berbaju koyak rabak supaya golongan itu tidak takut didekati.

“Apa yang dipakai oleh mereka saya akan turut pakai,” katanya yang kemudian menyimpulkan bahawa setiap manusia memerlukan tuhan, termasuk juga golongan transgender.

“Dari situ saya berpendapat bahawa transgender memerlukan tuhan cuma tidak jumpa jalan, misalnya dilarang ke masjid. Jadi saya ingin mendampingi mereka melalui agama,” ujarnya.

Beliau kemudian membawa golongan itu ke pasentren waria bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan agama.

“LGBT adalah golongan yang terbuka, jika ada masyarakat boleh membuka ruang untuk mereka mengapa kita tidak boleh.

“Tergantung kepada kita terlebih dahulu, adakah kita mahu membuka diri atau tidak,” ujarnya sambil ketawa.

hari ini sudah tidak lagi menganggap zina itu sebagai satu dosa besar

hari ini sudah tidak lagi menganggap zina itu sebagai satu dosa besar

PERIHAL ANJING & MENGANJING DALAM ISLAM

PERIHAL ANJING & MENGANJING DALAM ISLAM

MOHD SARIMI B. CHE SHARIF – MODEL KEPRIHATINAN KEPADA ANAK YATIM DAN ASNAF.

MOHD SARIMI B. CHE SHARIF – MODEL KEPRIHATINAN KEPADA ANAK YATIM DAN ASNAF.

BAIK BURUKNYA KEPUTUSAN MEMINDAHKAN MAKAM RASULULLAH

BAIK BURUKNYA KEPUTUSAN MEMINDAHKAN MAKAM RASULULLAH

MAS & ARAK – APABILA SYARIAH SUDAH DIPOLITIKKAN

MAS & ARAK – APABILA SYARIAH SUDAH DIPOLITIKKAN

 

Rumah Asnaf & Anak Yatim | Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akhlak | Kajian Pembangunan Tamadun Islam Moden