Category Archives: ZamZam – Siri Khas

image_pdf

Suratan atau Kebetulan : Kisah Orked (5 tahun) serah seluruh simpanan dan duit rayanya untuk kos perubatan asnaf.

jiwaprihatin
Sejak 2 hari lepas, seantero negara digegarkan dengan kisah viral anak kepada jurugambar terkenal Malaysia (Saiful Nang) yang bernama Orked menyumbangkan 100% tabungan dan duit raya untuk perubatan seorang asnaf. Ayahanda Orked dan bondanya yang merupakan seorang Pensyarah Kanan di UPM, Dr. Intan Salwani (Ph.D, Cambridge) sama-sama menahan hati meletakkan anakanda tercintanya di sebuah rumah anak yatim dan asnaf. Rumah itu ialah rumah kami, Rumah Pengasih Warga Prihatin.

Puluhan mesej-mesej menerjah ruang inbox kami bertanyakan tentang fundamental dan kaedah pendidikan kepada anak ini kerana apabila ditanya kepada Saiful Nang sendiri, beliau hanya menjawab “Itu semua pendidikan di Prihatin”.

ORKED BUKAN KES TERPENCIL DI PRIHATIN.

Mak ayah anakanda kami Si Orked ni bukanlah calang-calang orang. Cucu kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Y.Bhg Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon. Neneknya pula pendidik. Atuk dan nenek sebelah bapanya adalah petani Jawa yang miskin tetapi sangat rajin lagi sangat beradab. TETAPI kelebihan itu digandakan dengan lingkungan rakan-rakannya yang sama-sama kami bentuk keprihatinannya.

Lihat dalam foto ini sahaja, sebahagian dari anak-anak kami yang merupakan rakan baik Orked. Hanya kebetulan cerita Orked dikeluarkan oleh ayahnya di facebook beliau yang sangat ramai peminat. Jika kami secara ringkas kenalkan, dari kiri sekali bernama Ain. Ain Mardiyah merupakan anak kepada seorang ustaz dan Ain diwakafkan ke rumah ini bersama-sama ibu bapanya menjadi sukarelawan yang mewakafkan harta dan dirinya sepenuh-penuhnya sebagai pekerja tanpa gaji (kebajikannya semua di bawah RPWP).

Diikuti oleh Dania (bertudung ungu), anak seorang bankers Affin Investment yang juga telah bersama pembinaan RPWP darihari pertama lagi. Bapa dan ibunya sanggup menyerahkan segala-galanya untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin. Hatta, selepas mereka meletak jawatan di tempat kerja mereka, kedua ibu bapa Dania mewakafkan diri melakukan tugas pembinaan dan penjagaan anak yatim dan asnaf di RPWP. Bapanya dari berkulit cerah sehingga hitam, dari kulit tangan lembut kini dah kematu dek kerja berpanas, berat, bermain dengan konkrit, batu dam bahan-bahan binaan. Jika bapanya sanggup lakukan sebegitu, anaknya pula Dania memberikan 100% yang anak kecil ini ada untuk perubatan Mak Sofiah mereka.

Di sebelah Dania pula ialah Abdah. Kisah ayah dan ibunya pernah kita jadikan satu cerita viral yang boleh anda rujuk di pautan ini http://prihatin.net.my/2013/07/13/yazid-majid-the-unsung-hero-cerita-ketaatan-isteri-anak-anaknya/

Sebab itu Abdah mampu juga memberikan segala yang ada di tabungan kepada Mak Sofiah.

Seterusnya Orked (bertudung coklat cerah) dan kami rasa anda dah baca cerita itu. Jika belum, masih boleh menyertai sekitar 350,000 orang yang telah membacanya di pautan ini http://prihatin.net.my/2013/08/21/testimonial-pendidikan-anak-dengan-konsep-sibghatullah-di-rumah-pengasih-warga-prihatin/ dan juga di fb kami.

Seterusnya Kamarina (Kak Q) yang menghidap autism, Alisya (tudung merah jambu) dan Ali Imran keseluruhannya memberikan 100% simpanan mereka. LEBIH CANTIK LAGI IALAH KEPUTUSAN UNTUK MEREKA BERIKAN 100% ITU DATANG DARI PERBINCANGAN DI KALANGAN MEREKA SENDIRI (Patutlah kami nampak selepas program takbir raya yang lepas, mereka duduk dalam bulatan untuk satu meeting pendek sekitar 5 minit). Rupanya, keputusan SYURO mereka itu adalah untuk sumbangan 100% itu.

BUKAN SATU KEBETULAN DAN TIDAK TERJADI TANPA SENGAJA.

Konsep pendidikan di Prihatin, kami menggunakan teknik USWATUNHASANAH. Jika anak-anak ini, idola terdekat mereka ialah ibu bapanya sendiri. Mereka melihat ibu bapa mereka berkorban harta, mereka juga berkorban harta tanpa disuruh. Mereka lihat ibu bapa mereka melakukan syuro setiap hari, mereka juga lakukan syuro juga. Mereka lihat ibu bapa mereka yang kaya dan miskin semuanya saling bahu membahu mengangkat batu, konkrit, kayu, besi untuk membangun sarana di Prihatin, mereka juga tanpa disuruh melakukan kerja-kerja pada kemampuan mereka. Yang jutawanpun letak anak bukan main tinggal sahaja, tetapi mereka sama-sama membangunkan rumah kami ini bersama-sama

Ramai ibu dan bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka ke sini. Kami terima tidak kurang 30 permintaan dalam tempoh 2 hari ini sahaja. Mereka sanggup bayar walaupun dengan harga yang tinggi. Kami cuma katakan, kami masih belum bersedia. Dan kami yakin juga, ramai ibu dan bapa diluar sana juga masih kurang bersedia.

Jika benar, sanggupkah mereka bersama-sama dalam pembangunan sarana di Prihatin. Sanggupkah mereka juga ditegur seperti mana kami menegur anak mereka? sanggupkah mereka berkorban masa untuk beri komitmen pembangunan akhlak dan sahsiah anak-anak yang lain di sini?

Mungkin ia tidak semudah itu meninggalkan anak kesayangan kita pada tangan orang lain tanpa memberi komitmen (atau sekadar komitmen wang ringgit sahaja) tetapi mahukan akhlak anak terbentuk seperti akhlak sahabat dan anbiya. Kerosakan telah berlaku banyak diluar, harta sepenuh bumi pun tak mampu memperbaikinya.

KONSEP SIBGHATULLAH

Sibghah Allah ini seperti satu rendaman dalam lingkungan yang kita mahukan anak-anak kita menjadi. Malah mereka akan lakukan lebih baik lagi. Nabi Sulaiman telah mengikuti Nabi Daud A.S berperang dari usia kanak-kanak lagi. Walaupun tidak ikut berperang, Nabi Sulaiman a.s mampu untuk memerhati segala kerjabuat bapa dan tenteranya berperang. Segala silap laku dan strategi mampu baginda lihat dari sudut pemerhati. Sampai ketika baginda dewasa, ketika itu segala kehebatan dan kebijaksanaan baginda sehingga jin pun sanggup tunduk pada baginda.

Kami “rendamkan” anak kami dalam lingkungan yang kami kawal. Lingkungan ilmu setiap masa (bukan jadi ulat buku). Setiap yang terjadi akan ada syuro mereka untuk membincangkannya. Hatta, isu tadika juga mereka bincangkan dalam syuro mereka. Kami tak ajar mereka syuro, tetapi mereka mengikuti sistem abang dan kakak yang besar bersyuro, ibu-ibu bersyuro, bapa-bapa juga bersyuro.

PEPATAH ORANG PUTIH BERKATA : DON’T TEACH YOUR CHILDREN WHAT TO DO, THEY WILL NOT DO.  SHOW THEM HOW YOU DO IT AND THEY WILL COPY”

Gamaknya, orang putih lagi cekap pula konsep sibghatullah ini. Untuk jadi insan hebat, pendidikannya bermula 100 tahun sebelum kelahiran (hadis). Masakan kita mampu lawan jika kami pun baru mulakannya pada anak-anak ini seawal dalam kandungan. InsyaAllah, anak-anak ini nantilah yang bakal melahirkan zuriat-zuriat hebat yang bakal menerajui dunia.

Diharap dengan sedikit perkongsian ini mampu memberi idea kepada anda semua. Untuk kami ceritakan keseluruhan pendidikan parenting kami di sini, mungkin akan makan ribuan mukasurat 🙂

Salam prihatin
WARGA PRIHATIN

Bagaimana membuat anak kecil mampu berdakwah dengan berkesan

jannahYa Allah ampuni kami jika apa yang kami buat ini boleh menghapus amal kami. Jauhi kami dari sebiji sawi sekalipun rasa riak. Kami Sekadar ingin menanamkan minat manusia terhadap RUBUBIAH Mu Ya ROB.

Jika pahala itu hilang tidaklah kami berdukacita kerana bukan pahala yang kami cari, tapi janganlah ditarik nikmat redha dari Mu ya Allah. Kami sangat menginginkan REDHA MU, Teramat sangat menginginkannya.

DAKWAH MELALUI USWAH

Dulu kami tidak perasan sangat kesan `sampingan’ seperti ini, KAMI Cuma buat saja apa yang kami pakat-pakat bincang yang terbaik untuk menyelamatkan anak didik, anak jagaan dan anak-anak kami sendiri. Kami hanya gembira melihat hasil dari apa yang kami buat, apa yang kami didik, apa yang kami aturkan untuk anak-anak kami..

Tapi sejak akhir-akhir ini, banyak kami terima maklumat profile rakan kami di jadikan contoh kepada anggota jabatan & pekerja syarikat. Profile anak-anak kami di jadikan contoh para pelajar sekolah, malah ada yang di PINNED di fb Rasmi Universiti supaya ramai yang perasan. Banyak ibu bapa tag dan share kisah anak-anak kami untuk mendidik anak-anak mereka.

Pagi ini kami Share satu post kisah ‘Akhlak Prihatin’ seorang anak bernama Orked yang Subhanallah menerima 5,624 Likes, 2,360 share, 603 komen dan Alhamdulillah, 201,856 Views hanya selepas 19 jam (belum pun sampai sehari). Itu tidak termasuk 236 Likes, 3,290 Views, 95 share di fb Warga Prihatin ini.

Anda boleh lihat sendiri Artikel ringkas itu di portal kami bertajuk “Testimonial Pendidikan Anak dengan konsep `Sibghatullah’ di Rumah Pengasih Warga Prihatin”

http://prihatin.net.my/2013/08/21/testimonial-pendidikan-anak-dengan-konsep-sibghatullah-di-rumah-pengasih-warga-prihatin/

atau di fb melalui link berikut,

Salah seorang dari anak didik kami. Kisah Orked kini jadi tauladan kepada ramai. Anak jutawan fotografi terkenal, Saiful…

Posted by Warga Prihatin on 20hb Ogos 2013

Dicelah celah itu juga kami terjumpa gambar ini. Alhamdulillah, rupanya ini juga telah memberi banyak kesedaran tanpa di paksa paksa terhadap orang tua. Anak ini belum pandai berkata2, tapi pakaiannya mampu membuat orang berkata-kata. Adakah ini hakikat isa yang mampu berdakwah sejak kecil? Menampakkan sesuatu kepada si Buta? Mengubati hati orang yang Sakit? Menghidupkan orang yang MATI?

Subhanallah, Pernah kami lihat gambar ini satu ketika dulu namun kami tidak perasan. BERDETIK JUGA ADAKAH INI ANAK KAMI SECARA SEKALI IMBAS. Kami sensitif kerana warna bajunya serupa namun kerana POSTING gambar tidak dari kalangan Warga Prihatin dan gambar sudah di edit, kami tidak menjangka itu anak anak jagaan kami. Hari ini terlihat komen dan disebutkan nama anak dan Warga Prihatin sekali… Subhanallah 3x.

Kesimpulannya ialah, rupanya kaedah paling berkesan dalam urusan dakwah ialah USWAH. Rasulullah dahulu awalnya di baling batu sehingga berdarah dahi, patah gigi. Baginda juga sering diludah, dibaling pasir atas kepala, bahkan diperintah BUNUH oleh Abu Jahal sehingga terpaksa lari malam dan tinggalkan kampung halaman. Caci cerca tak perlulah nak diceritakan.

Namun apabila baginda berjaya menzahirkan USWAH terbaik hasil BIMBINGAN ALLAH, semua yang tidak peduli datang mencari, yang mencaci yang memusuhi datang berlutut, yang tidak mahu beriman sanggup bayar jizyah, pemerintah yang sombong turut mengguna pakai sistem Islam anjuran baginda dan lain-lain lagi.

Benarlah Firman Allah. Surah 33. Al Ahzab21.

“Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan hari akhirat(kiamat) dan dia banyak menyebut Allah.

Nota: Rahmat Allah adalah berupa petunjuknya. HAKIKAT Hari kiamat ialah hari BANGKIT nya Islam (KIAM). Hari AKHIRAT ialah hari berakhirnya kekejaman, kebuntuan, kejahilan, kegelapan dan kebejatan Akhlak manusia. Jika kita gagal atau tidak peduli untuk ikut meng KIAM kan Islam sewaktu hayat kita, PASTI kita akan sengsara di hari KIAMAT yang satu lagi. Begitu jugalah dengan hakikat AKHIRAT.

Surah 98 AL BAYYINAH (BUKTI),
Ayat 1. Tidaklah Orang-orang yang kafir, dari kalangan ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ikut menginfak (munfik) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata.

Hasil Iqra’ dari kami golongan yang asalnya jahil, buta huruf dan bingung ini ialah, manusia kini ketandusan USWATUN HASANAH ketandusan contoh untuk ditiru. Baru kami sedar rupanya itulah SATU-SATUNYA kaedah berdakwah paling berkesan. Iaitu menunjukkan kebenaran dengan sabar melalui perlaksanaan, bagi membuktikan kaedah kita itu terbaik. Tidak perlu marah dan kecewa jika ia ditolak oleh bijak pandai sebelum bukti nyata berjaya di nampakkan.

Selama ini dakwah kita banyak disalur melalui ceramah politik, tulis buku, kitab, cerpen dan artikel berjela jela, buat seminar, bengkel dan forum. Hakikatnya ramai yang berkata pun tidak mampu menunjukkan bukti, dan kita terkapai-kapai bingung semula. Yang menganjurkan wakaf tidak ikut wakaf, yang mengajak orang bersedekah masih kedekut, yang menyuruh orang berpuasa masih pakai ferarri, yang suruh berbaik dengan isteri masih menampar anak isteri, menambah isteri dan macam macam lagi.

Taqobbalallahuminna wa minkum (Semuga di makbulkan Allah dari (doa) kami dan doa kalian).

Wajalana waja’alakum minal Eidiin Wal Faaiziin. (Dan dijadikan kami dan dijadikan anda dari kalangan orang yang kembali (kepada fitrah agama) dan orang yang berjaya).

Perkongsian kesyukuran
WARGA PRIHATIN.

Testimonial Pendidikan Anak dengan konsep Sibghatullah di Rumah Pengasih Warga Prihatin

Kami petik artikel ini dari laman facebook salah seorang pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin sendiri. Ini adalah satu testimonial besar tentang kelainan sistem pendidikan yang kita perkenalkan dengan konsep SIMBGHATULLAH. Alhamdulillah, jika itu datang dari Allah, pasti hasilnya yang baik sahaja.

Hayati artikel di bawah ini yang dibaca secara viral oleh 250,000 pembaca hanya dalam tempoh 5 jam sahaja di Facebook beliau. Subhanallah

orked
HADIAH HARIJADI ANAKKU

Anak pertama saya bernama Orked. Lahir pada 20 Ogos 2008. Permata hidup saya dan isteri. Masih teringat panggilan telefon dari isteri mengatakan Orked jatuh dari walker dan dikejarkan ke hospital dan menerima 5 jahitan di dahi cukup buat jantung terasa nak gugur. Anak ini mahu kami jadikan istimewa sekali.

Sudah 5 tahun berlalu, saat kelahiran Orked. Dalam hati saya telah saya fikirkan biarlah anak ini membesar menjadi pembela dan serikandi agama, nusa & bangsa. Semenjak umur 2 bulan, Orked diletakkan di bawah penjagaan ibu-ibu, bapa-bapa dan adik beradik asnaf dan yatim di RUmah Pengasih Warga Prihatin setiap hari dan hanya pulang ke rumah pada malam hari sahaja. Saya menerima tentangan dari beberapa orang rapat saya mempersoalkan mengapa saya korbankan kehidupan anak itu di tempat anak yatim dan asnaf yang serba kekurangan itu?

Saya tetap berpegang, untuk anak ini belajar menjadi yang istimewa. Jika pembentukannya sama seperti orang lain, masakan ia mampu jadi pembela luarbiasa kelak. Tiada Barbie Doll, Hello Kitty, Dora, Barney dan apa-apa lagi ikon kanak-kanak yang menjadi aksesori permainan Orked. Hanya mainan terpakai sahaja yang ada.

Zaman kanak-kanak Orked dan rakannya seperti telah berakhir dengan cepat. Orked kata dia nak jadi “Kakak Besar”. Dalam roll call dan juga ikrar harian, Orked sering memberitahu yang ia mahu cepat-cepat besar dan menjadi seorang yang hebat pada masa akan datang. Orked kadangkala nak jadi seorang Doktor, kadangkala nak jadi seorang Pensyarah seperti ibunya dan adakala nak jadi seorang usahawan seperti bapanya. Tetapi apapun cita-citanya, apabila ditanya apa yang mahu dibuat dengan kerja-kerja itu, Orked menjawab Orked mahu TOLONG ORANG SUSAH.

JIWA SUKARELAWAN

Terus terang, ia bukan perkara mudah untuk saya sendiri mendapatkan sedikit jiwa sukarelawan yang sanggup bersusah payah untuk orang lain ini. Ia terbentuk dari ibu dan juga ayah saya. Saya akui juga tidak mudah untuk saya didik isteri saya untuk mendapatkan jiwa sukarelawan seperti sekarang. Ia berlaku peringkat demi peringkat. Rupanya, anak saya mendapatkannya dengan mudah semenjak dari kecil lagi melalui lingkungannya di Prihatin.

Hadiah Harijadi ke-5 ini, Orked hanya minta diizinkannya untuk menyerahkan kesemua duit raya dan tabungannya itu kepada Mak Sofiah Wali (salah seorang ibu asnaf di Prihatin) bagi menampung kos pembedahan lutut beliau.

Sebagai bapa, saya tersentuh dengan izin yang diminta itu. Apa lagi yang saya mahukan dari seorang anak? saya ada harta yang cukup, saya mampu berikan anak saya kemewahan tetapi jiwa murni atas niat membantu orang lain sehingga berhabis-habisan itu satu perkara yang paling indah dalam hidup saya.

Saya mampu bawa Orked ke Disneyland setiap tahun, saya mampu bawa Orked melancong ke luar negara, saya mampu bawa Orked membeli belah pakaian berjenama, saya mampu belikan koleksi Mattel Barbie Doll, saya mampu bawa Orked ke Kidzania setiap minggu, saya mampu bawa Orked makan makanan terbaik di Kuala Lumpur tetapi jiwa luhur begitu tak mungkin saya dapati pada diri anak kecil itu jika saya berikan kesemua yang saya sebutkan itu.

Orked hanya mengikuti rombongan berziarah Warga Emas di Melaka, Perak dan Selangor sementara rakan yang semampu bapanya sedang bercuti di Disneyland. Orked pakai pakaian dari kotak-kotak yang disumbangkan oleh orang ke Prihatin sebagai pakaian yang disukai (jika dibelikan yang elok dan baru, dia jadi malu kerana tak sama dengan rakan lain), Orked makan nasi kawah beras hancur bersama anak-anak yatim dan asnaf yang daif ketika rakan semampunya sedang menikmati makanan di McDonald’s dan A&W. Memang sebagai bapa saya kena tahan hati dengan semua itu.

Orked berkawan dengan orang-orang kurang bernasib baik dan saya bersyukur, itulah sumber keprihatinan Orked. Lingkungan Orked bukan kemewahan harta, permainan, baju berjenama tetapi kasih sayang dan ilmu.

Sebesar 5 tahun juga, Orked sudah kenal nilai wang ringgit. Tetapi saya bersyukur kerana Orked lebih menilai kemanusiaan berbanding nilai ringgit itu untuk dirinya. Orked saya didik menabung dari umur 3 tahun dan saya berikan Orked inspirasi untuk dia kumpulkan wang bagi membeli sesuatu yang dia mahukan. Orked mahukan sekeping puzzle besar 1000 potongan yang berharga lebih RM100. Saya mampu belikannya tetapi saya mahukan Orked merasakan sendiri itu adalah hasil simpanannya sendiri.

Benar, saya mampu mendidik anak saya menabung dan berjimat, tetapi saya lebih bersyukur kerana pelajaran yang terbesar bukan hanya sikap menabung itu. Saya terlupa ajarkan Orked sesuatu yang lebih berharga sehingga ia terjadi sendiri di hadapan mata saya. Selepas izin diberi, Orked dan sekumpulan kawan sebayanya di Prihatin membawa wang tabungan masing-masing dan membuat penyerahan kepada Mak Sofiah yang akan menjalani pembedahan keduanya minggu hadapan.

Ketika itu saya sedar, dan saya senyum dan tidak salahlah saya meletakkan anak saya membesar di Rumah itu. Sebuah rumah yang kelihatan kekurangan sarananya tetapi kaya dengan kasih sayang. Antara impian peribadi dan kasih sayang, mereka pilih kasih sayang. Saya mahu Orked begini. Jikalah Orked memilih untuk kemahuan peribadi berbanding kasih sayang, saya rasa hampir pasti saya dan isteri akan mengakhiri hayat di rumah jagaan orang-orang tua. Tetapi jika Orked meletakkan kasih sayang melebihi kepentingan peribadi, saya dan isteri mampu tarik nafas lega.

Air mata mengalir melihat proses kedewasaan anakku yang baru berusia 5 tahun pada hari ini. Hanya satu hadiah harijadi yang diminta sebelum harijadinya. Bukannya permainan mahal, bukannya kek bertingkat, bukan juga trip ke Disneyland tetapi HANYA keizinan untuk memberikan keseluruhan tabungannya kepada orang yang lebih memerlukan. Walaupun tindakan itu terpaksa mengorbankan impiannya sendiri.

Saya hanya mampu ajar Orked menabung, tetapi di Prihatin, Orked belajar tentang nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Kita kadangkala lupa, dunia jadi huru hara apabila “Kasih sayang” menjadi lebih murah berbanding “agenda peribadi”.

SAIFUL NANG
Daddy Orked.

Video Orked Akad Tabungannya kepada Mak Sofiah
Posting Tentang Mak Sofiah Wali 1
Posting siapa Sofiah Wali 2

Video Doa & Akad Anak RPWP waktu serah Duit Raya untuk Pembedahan Mak Sofiah


Tidak di sangka rupanya sewaktu anak-anak memerhatikan 10 pendokong RPWP mengakadkan sedekah INFAK, 10% dari pendapatan bulanan mereka untuk membangun RPWP di setiap hujung bulan, anak-anak ini telah menanam azam untuk melakukan sendiri akad itu apabila ada peluang. Oleh kerana itu Orked menangis-nangis minta di ajar lafaz akad dan telah berjaya membacakan sendiri akad beliau semasa menyerahkan duit rayanya sebagai DERMA perubahan Mak Sofiah.

Bukan jumlah RM yang harus kita nilai, namun benih sifat KEPRIHATINAN & KEIKHLASAN yang tertanam di jiwa mereka yang bagi kami TERSANGAT MAHAL. Kami tidak ajarkan mereka tetapi mereka belajar dari pemerhatian mereka saban hari. MasyaAllah.

Alhamdulillah.

 

Sofiah Wali – Doa Anak Diterjemah Melalui Serahan `Duit Raya’

Mak Sofiah yang sedang demam dan beberapa hari tidak keluar rumah masih mampu melemparkan senyuman manis berkat semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak sewaktu menyerahkan `duit raya' mereka untuk membantu kos pembedahan & perubatan beliau.
Mak Sofiah yang sedang demam dan beberapa hari tidak keluar rumah masih mampu melemparkan senyuman manis berkat semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak sewaktu menyerahkan `duit raya’ mereka untuk membantu kos pembedahan & perubatan beliau.

HARAKAH RAMADHAN ANAK-ANAK PRIHATIN

Jika sebelum ini kami berkongsikan cerita tentang Allayarham Khairi Zainal, salah seorang pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin yang hanya menerima bantuan Pusat Zakat selepas kira-kira 4 bulan permohonan. Dalam kata lain, setelah 1 bulan Allayarham meninggal dunia baru kami menerima panggilan dari Lembaga Zakat. Seperti tidak merasa bersalah, kesal mendengar kematian penerimanya, tanpa ucapan maaf atau mungkin bertanya bagaimana saat sakit hingga kematian arwah, bahkan itulah panggilan terakhir PPZ.

Cerita ini berterusan dengan Puan Sofiah Wali yang juga antara personaliti yang kami lakarkan namanya dengan tinta emas kerana pengorbanan beliau yang sangat dalam walaupun dalam keadaan kesakitan tulang disebabkan Arthritis yang akut. Walaubagaimanapun, disebabkan jangkitan kuman, beliau terapaksa menjalani pembedahan kedua bagi membuang jangkitan kemudian pembedahan ke-tiga adalah untuk memasukkan tulang lutut palsu bagi menggantikan tulang yang telah dijangkiti.

Sofiah Wali dikenali oleh anak-anak sebagai Mak Sofiah. Masakannya sedap dan beliau seorang yang sangat ringan tulang. Dapur akan sunyi tanpa kehadiran Mak Sofiah dengan suara beliau melayani anak-anak sekecil 6 bulan yang sedang bermain ruang makan umum.

Beberapa bulan lepas, Mak Sofiah sudah tidak mampu bergerak. Hidup beliau hanya di sekitar tempat tidur dan ruang tamu di atas kerusi roda. Untuk ke bilik air, beliau terpaksa di papah. Jika sebelum ini, Mak Sofiah layan kesakitan beliau dengan membanyakkan kerja-kerja di dapur sehingga beliau melupakan kesakitannya tetapi tidak kini. Beliau terlantar dan apabila kami tanyakan, beliau katakan “Semuanya OK”.

Sebak hati kami mengetahui dari suami beliau yang juga pesakit tulang belakang, rupanya beliau merahsiakan kos perubatan yang bakal kami tanggung jika beliau meneruskan dengan pembedahan ke2, ke3 dan ke 4 nanti. Sebak kerana seorang ibu yang sangat berjasa begitu sanggup terlantar pasrah menantikan takdir seterusnya hanya kerana tidak mahu menyusahkan atau menjadi bebanan kewangan terhadap Prihatin. Atas dasar itu juga, Ramadhan tahun ini, kami melancarkan Harakah Ramadhan yang khusus untuk Sofiah Wali. Pada kami, beliau adalah aset kami yang tiada galang gantinya.

ANAK-ANAK MEMERHATI & MEMBENTUK GENERASI PRIHATIN

Sebak kami bertambah apabila anak-anak kami dari seumur 3 tahun hingga yang besar datang kepada kami dan menyatakan yang mereka berniat untuk menyerahkan segala duit raya mereka pada tahun ini kepada Mak Sofiah.

Hati kami tersentuh dengan ketulusan & keprihatinan mereka. Apabila kami tanyakan apa yang membuatkan mereka mahu menyerahkan apa yang mereka ada, lalu mereka sebulat suara menjawab, mereka mendengar perbincangan Malam Raya bapa-bapa dan ibu-ibu Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin. Lalu mereka berbincang sesama mereka dan tidak mahu ketinggalan dalam memberikan sumbangan itu.

Mak Sofiah yang sedang demam dan beberapa hari tidak keluar rumah sedang menahan rasa terharu dengan kesungguhan doa dan sokongan anak-anak RPWP.
Mak Sofiah yang sedang demam dan beberapa hari tidak keluar rumah sedang menahan rasa terharu dengan kesungguhan doa dan sokongan anak-anak RPWP.

Semalam, mereka buktikan kata-kata mereka. Ada yang menghulurkan sebanyak RM20, ada yang RM70, ada RM80 dan sehingga terbanyak melebihi RM200. Agak pelik juga bagi yang memberi lebih dari RM50 kerana kebanyakan anak-anak kami mendapat kurang dari RM50 kerana ramai yang tidak balik kampung berayapun dan mereka tidak kami galakkan meminta duit raya. Bila ditanya pada mereka dari mana datangnya lebihan itu? Mereka menjawab, itu dari simpanan belanja sekolah yang kami puasakan.

Untuk makluman, salah satu pendidikan ritual kami yang paling berkesan selain solat, puasa Ramadhan, doa, tahlil dan hafazan alQuran ialah PUASA SUNAT Isnin dan Khamis.

MasyaAllah. Itu satu perkara yang sangat indah bagi kami. Titisan airmata kesyukuran itu membasahi bumi Prihatin mengenangkan keindahan akhlak anak-anak itu yang kami sendiri tidak sedar mereka terbentuk dari contoh-contoh yang mereka lihat. Sabrina Khairuddin salah seorang anak yang diwakafkan di Prihatin menyatakan, beliau melihat sendiri pengorbanan “bapa-bapa co-founder” yang bertungkus lumus dan berhabis-habisan TENAGA, MASA DAN WANG siang dan malam untuk membangunkan Prihatin. Tanpa disuruh-suruh, mereka berbincang sesama sendiri dan menyatakan niat Harakah Ramadhan mereka pada malam raya itu juga.

Lantas, kami berpelukan dengan anak-anak ini tanda kesyukuran yang amat sangat. Daripada kes-kes yang dirujuk, juga atas penyelidikan kami, banyak gejala anak yang tidak mengikut apabila disuruh jika tidak diupah. Di musim raya ini ramai rungutan tentang anak-anak yang berkeliaran keliling kampung dan taman tanpa adab sopan beraya, ada yang tidak masuk rumah pun, bahkan ada yang tidak kita kenalpun terus terang meminta `duit raya’ di pintu pagar saja (lihat artikel raya yang hilang). Sementara ramai anak anak yang mahu kutip duit raya untuk beli PSP, Game console dan macam-macam yang lain, kami pula mendapat anak-anak yang secara sukarela mahu menyerahkan segala yang mereka ada, semata-mata untuk membela insan yang berjasa.

Suatu yang lebih manis apabila seorang anak kami bernama Dhiya yang baru berusia 1 tahun lebih kelam kabut mencari permainan-permainan terpakai beliau dan memberi gesture untuk menyerahkannya kepada Mak Sofiah. Anak sekecil itu juga mahu memberi walaupun yang mereka faham ialah ingin menggembirakan Mak Sofiah dengan permainan yang mereka PALING SAYANGI (bukan yang mereka mahu buang atau yang tidak mereka gemari).

Senyuman semangat yang tersuntik kepada Mak Sofiah selepas menerima serahan derma `Duit Raya' dari anak-anak RPWP sebagi membuktikan azam mereka yang diluahkan pada malam raya lepas. Alhamdulillah
Senyuman semangat yang tersuntik kepada Mak Sofiah selepas menerima serahan derma `Duit Raya’ dari anak-anak RPWP sebagi membuktikan azam mereka yang diluahkan pada malam raya lepas. Alhamdulillah

Sebelum ini pernah Salah seorang jemaah pengasas kami menyatakan cita cita anaknya yang bertadika di Prihatin. Anak 5 tahun itu bercita-cita untuk belajar sungguh-sungguh dan menjadi kaya supaya dapat membantu rakan-rakan Asnafnya di Prihatin kerana mereka semua orang susah. Anak bertuah ini mengumpul kesemua wangnya dan tidak sabar-sabar sampai tahap menangis setiap kali bertanya ibunya bilakah beliau berpeluang menyerahkan `duit rayanya’ kepada Mak Sofiah. Setelah 3 hari menunggu, hari ini beliau tersenyum gembira (lihat di gambar) kerana cita citanya untuk menjadi insan prihatin telah tercapai. Beliau adalah anak yang bernama ORKED, anak yang suka bekerja sama dengan rakan sebaya dan suka menolong ibunya juga. Alhamdulillah, Semalam dengan bersungguh-sungguh walaupun merangkak ORKED minta izin mengakadkan `derma’ beliau, walaupun terpaksa dibimbing namun beliau tetap mahu membacanya sendiri sepertimana beliau lihat bapa-bapa mengakadkan INFAK pendapatan bulanan mereka disetiap hujung bulan.

Anak-anak kecil ini tidak faham sangat tentang jumlah sebenar kos pembedahan Mak Sofiah yang memakan belanja RM10,000 setiap kali pembedahan tidak termasuk kos rawatan susulan dan ubat ubatan. Mereka juga tidak tahu RM30,000 – 45, 000 kos bulanan yang terpaksa disediakan untuk makan pakai, bil utiliti, kos persekolahan, perubatan, bahkan belian bahan binaan untuk membangun RPWP yang kami sediakan untuk mereka. Namun kami pernah ceritakan kisah beberapa anak kami yang telah turut menyerahkan RM2,000 hadiah JUARA KHAT NUSANTARA, RM1,500 kerana memenangi AgroRace di Melaka, RM350 hadiah Emas pelajar terbaik peringkat sekolah dan macam macam lagi dengan sukarela.

Muhamad Abid dan kumpulannya, anak-anak RPWP menyerahkan hadiah kemenangan Agro Race, tunai RM1,500 untuk pembangunan RPWP.
Muhamad Abid dan kumpulannya, anak-anak RPWP menyerahkan hadiah kemenangan Agro Race, tunai RM1,500 untuk pembangunan RPWP.

RUPANYA HAMPIR KESEMUA MEREKA AMAT TERKESAN DENGAN APA YANG MEREKA PERHATIKAN SETIAP HARI DI RPWP DAN TIDAK SABAR-SABAR UNTUK MEREKA DAPAT TURUT MENYUMBANG SEADANYA. INSYAALLAH, INI MEYAKINKAN KAMI RPWP TIDAK AKAN TERKUBUR SETELAH KAMI ‘TIADA’ NANTI.

Muhammad Abid menyerahkan hadiah TUNAI RM2,000 selaku Johan Pertandingan Khat Peringkat Nusantara untuk pembangunan RPWP.
Muhammad Abid menyerahkan hadiah TUNAI RM2,000 selaku Johan Pertandingan Khat Peringkat Nusantara untuk pembangunan RPWP.

Melihat pencapaian ini, kami secara tidak sedar telah menikmati hasil pembentukan peradaban anak melalui muafakat yang kami telah tunjukkan sepanjang 8 tahun kami berkerjasama dalam projek amal ini. Setiap bulan anak-anak memerhati sekitar 10 orang pengasas yang berpendapatan di luar mengakadkan penyerahan 10% sedekah atau INFAK pendapatan bulanan. Mereka juga memerhati setiap malam kami bergotong royong, setiap kesilapan kami saling tegur menegur dengan hati terbuka dan berbagai cara hidup harian kami. Alhamdulillah kami kurang mendidik dengan tulisan atau mulut, tapi kami biar anak anak ini belajar melalui TAULADAN.

Begitulah rupanya bagaimana Nabi Sulaiman a.s. belajar dari Daud a.s., Ismail belajar dengan Ibrahim a.s. bahkan bagaimana sifat al-Amin yang Rasulullah SAW pelajari dari ibunya Aminah dan bimbingan akhlak yang baginda terima semasa hidup bersama Ibu Angkat baginda Halimah dan berniaga bersama bapa saudara baginda Abu Talib telah menjadikan baginda sangat berakhlak, prihatin dan bijaksana. Rupanya apa yang Allah nyatakan di dalam al-Qur’an tentang fungsi ibu bapa angkat vs ibu bapa kandung dalam proses pembentukan akhlak dan peradaban anak-anak BUKAN LAH `SAJA-SAJA’.  Semua itu adalah hidayah yang harus kita urut dan laksanakan KESEMUANYA untuk mendapat kualiti terbaik dari cetakkan itu.

Bila cerita ini kami beritahu kepada tetamu kami yang kebetulan melihat situasi ini, mereka juga menitiskan air mata dan sama-sama terpanggil dan ikut menyumbang seadanya dengan rasa gembira dalam sedu sedan tangisan. Kata salah seorang dari mereka “Saya dahulu sangat bakhil, tetapi anak-anak kecil ini rupanya yang memberi saya satu tamparan kesedaran bahawa harta saya tak bawa saya ke mana-mana. Mereka lebih pemurah dan lebih KAYA dari saya”.

Mendengar itu, kami tersenyum dan hati kami berkata… Syukur Alhamdulillah.

Harakah

WARGA PRIHATIN

Ada sedikit klip video ringkas yang merakam saat indah itu. Insyaallah akan kami paparkan sedikit masa nanti.  Sementara itu Anda mungkin berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan yang terkait dengan artikel ini seperti berikut,

Sofiah Wali – Pengorbanan Melewati Batasan

Puisi Pilu Buat Allahyarham Khairi – Al-fatihah

Abid Anak Prihatin.

Kisah Kesusahan Hidup Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin jadi iktibar untuk anak-anak Prihatin

Amanah Ramadhan & Puasa Dr. Haji Masjuki, Pengasas RPWP

HAJI LUTFI LOKMAN – IKON USWATUN HASANAH ERA MODEN

YAZID MAJID – THE UNSUNG HERO : CERITA KETAATAN ISTERI & ANAK-ANAKNYA

 

Erti Peluk Cium Warga Prihatin di Aidilfitri

PENTERJEMAHAN SEMANGAT PERSAUDARAAN DI AIDILFITRI

Suasana pilu, sayu, gembira dan sedih di saat perpisahan sebelum pulang ke desa menyambut raya di kalangan Warga Prihatin. Suatu yang sukar di gambarkan dengan kata-kata, eratnya ikatan kasih seerat dakapan dan genggaman tangan.

Sebagai SAMPLE KOMUNITI, inilah gambaran persaudaraan dalam ISLAM, inilah fitrah kasih sayang yang harus kita kembalikan (Eid Fitri), inilah asal usul budaya ISLAM yang harus kita perhati semula di kampung masing masing, yang masyarakatnya sangat kenal mengenal, berkerjasama, berkasih sayang dan tolong menolong (itupun sudah tidak banyak berlaku)..

Masih ada lagikah tabiat berkasih sayang, ramah mesra, tolong menolong seperti ini dalam masyarakat bandar kita? masih kita fikir penyatuan ummatun wahidah, Muslim ibarat sebatang tubuh itu mustahil di capai? anda lihat dulu video ini…

Koleksi video Pendidikan Rumah Pengasih Warga Prihatin. KAMI paparkan buat renungan masyarakat, khusus untuk merenung situasi Akhlak semasa, agar sama-sama dapat menzikirkan dan mencari hidayah untuk memperbaikinya.

Nurhani Membentuk Jiwa Prihatin

nurhaniAnakanda Nurhani Masjuki terpaksa mengorbankan privacy beliau, selaku anak pengasas dan pengetua RPWP.

Beliau terpaksa berkongsi ayah kandung bersama anak-anak asnaf yang lain, juga sama-sama makan minum, belajar, bersekolah bersama mereka tanpa sedikitpun double standard. Beliau juga turut sabar membantu ibu menjaga kakaknya seorang OKU DownSyndrome.

Seperti anak-anak yang lain, Nurhani tidak terlepas dari ikut berpuasa sunat isnin khamis. Di sekolah Nurhani sibuk dengan tugasan pengawas dan ko-kurikulum. Pelbagai program pendidikan yang padat di RPWP juga tidak menggugat beliau.

Nurhani tetap unggul di bidang akademik. Beliau telah memenangi ANUGERAH EMAS (Tahap tertinggi peringkat sekolah beliau), juga turut memenangi anugerah Markah tertinggi beberapa subjek di Sekolah Kebangsaan dan sekolah agama.

Bukan itu saja, Lebih Istimewa lagi apabila beliau mengikuti jejak ayah dan abang-abangnya. Beliau telah menyerahkan hadiah KEJAYAAN ANUGERAH EMAS berjumlah RM300 serta hadiah basikal baru yang dikurniakan oleh pihak PIBG itu kepada RPWP untuk digunakan oleh anak-anak asnaf yang lelaki.

Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang Doktor perubatan, pengkhususan bidang sakit puan bila tiba waktunya nanti. SYABAS anakanda Nurhani. Doa kami tetap mengiringi mu.

Pelajaran :
Mengurangi kelebihan dan kemewahan hidup, MENGGALAKKAN anak bergaul dengan para asnaf dan anak yatim walaupun dalam serba kekurangan sambil memerhatikan kerukunan hidup jemaah ibu bapa pendokong berjaya memberi kesedaran dan motivasi tertinggi untuk pembinaan akhlak dan sahsiah anak-anak.

ALHAMDULILLAH.

Hasil pemerhatian

WARGA PRIHATIN