Category Archives: ZamZam – Siri Khas

image_pdf

Saiful Nang di program Nine11 Bernama News Channel (BNC)

Tips Parenting – MASJID YANG INDAH DI SYURGA RUMAHTANGGA

00 baiti jannati zam zamMASJID YANG INDAH DI RUMAHTANGGA

Dirikanlah MASJID yang indah di rumahtangga anda. Adakah anda faham maksud yang saya hendak terangkan?. Adakah anda faham apa maksud MASJID. Ia berasal dari perkataan “ MA” dan “SUJUD”. Maksud “ MA” adalah TEMPAT. Jadi MASJID bermaksud tempat sujud. Tempat sujud pula semestinya ada kaitan dengan solat dan kerja.

‘’Adakah anda mahu solat dalam keadaan sengsara?. Saya tahu jawapan anda pasti tidak mahu.

Saya akan menampakkan perbezaan antara masjid yang sengsara dan masjid yang tenteram. Kalau masjid yang sengsara semestinya kita akan ragu-ragu . Mahu solat atau tidak kerana di kawasan masjid terdapat banyak anjing liar berkeliaran di sekitar masjid atau ada pencuri contohnya. Manakala masjid yang tenteram, kita boleh solat dengan yakin dan khusyuk.

Kerja di rumah pula adalah cara kita sujud. Contohnya seperti Ayah sebagai ketua keluarga dan ibu ialah pelaksana. Sebagai Abal Hakam (orang yang menetapkan hukuman), ayah mesti memberi tunjuk ajar apa yang hendak dikerjakan dan menetapkan hukuman yang setimpal kepada ahli keluarga yang melakukan kesalahan. Ibu pula sebagai pelaksana mesti melakukan apa yang disuruh oleh suami atau ayah sepenuh kemampuan selagi tidak bertentangan dengan agama ISLAM.

Di dalam rumahtangga perlu ada banyak syuro dengan baik. Kita tak semestinya selalu menghukum. Sekali sekala biarlah ada sedikit hiburan seperti beriadah, bergurau, memberi sedikit benda yang akan menghiburkan hati ahli keluarga dan sebagainya.

CETUSAN ZAM-SAM
Anak Prihatin

ULASAN ADMIN:

PENULIS adalah seorang anak rijal darjah 3. Sejak darjah 1 mereka kami izinkan mendengr perbincangan keluarga besar seminggu sekali atau dua. Dari banyak artikel cetusan anak-anak kecil, kami pilih artikel ini hari ini bagi menjawab banyak persoalan terkumpul dari pembaca tentang asas falsafah rumahtangga yang dikaitkan dengan institusi masjid. Ini sesuai dengan pepatah “mendirikan rumahtangga” adalah ibarat “mendirikan masjid”.

FALSAFAH MASJID, WALI & SUJUD

Masjid dalam kontek rumahtangga adalah tempat di mana sekumpulan manusia bertempat tinggal, menjalani kehidupan bersama-sama dalam satu jemaah. Dalam jemaah pasti ada seorang imam yang memimpin, yang juga dipanggil WALI dalam keluarga iaitu BAPA. Apabila bapa tiada, abang, bapa saudara, datuk pun boleh juga memainkan peranan sebagai wali atau imam selaku ketua keluarga.

PERHATIKAN PERANAN WALI di sisi Allah – QS: 2. Al Baqarah 257. “ALLAH adalah WALI orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari KEGELAPAN kepada CAHAYA. Dan orang-orang yang ingkar, WALI-WALI (AULIYAK) mereka ialah THOGHUT, yang mengeluarkan mereka daripada CAHAYA kepada KEGELAPAN. Mereka itu adalah penghuni NERAKA; mereka KEKAL di dalamnya.” 

DARI AYAT DI ATAS, jelaslah tugas imam atau wali ialah menjadi MUROBBI. Mengeluarkan ahli keluarga daripada kegelapan kepada cahaya petunjuk. Memberikan pendidikan dan tunjuk ajar akan segala bidang kehidupan yang bertepatan dengan kehendak Allah SAHAJA. Jika SYURGA itu telah nabi SAW katakan sebagai taman-taman ilmu, maka WALI / IMAM harus menyalurkan ilmu secukupnya kepada ahli keluarga. Kemudian wali sendiri harus memastikan ilmu itu dilaksanakan dalam kehidupan harian. Perlaksanaan dan kepatuhan yang bersungguh-sungguh itulah menjadi tanda kita SUJUD sebagai HAMBA untuk menempa syurga.

Jika ilmu sebagai petunjuk kehidupan dari Allah yang bertindak sebagai SATU-SATUNYA Pelindung (WALI) itu tidak diberikan, maka ahli keluarga akan mencari rujukan dari BANYAK SUMBER (AULIYAK / WALI-WALI) lain yang membingungkan dan bersifat melampaui batas (thoghut). Antaranya dengan mencari ketenangan dari ajaran sesat, dadah, masuk kongsi gelap, membunuh diri dan sebagainya. Ini bakal menghumban mereka ke NERAKA yang kekal.

MAKMUM DALAM RUMAHTANGGA itu ialah isteri dan anak-anak. Mereka wajib dididik dengan kefahaman dan aturan hidup yang betul. Kemudian kesemua ahli keluarga berpegang kemas, MENGIKAT DIRI dengan kefahaman dan carahidup yang sama. Suami sendiri wajib terlebih dahulu menunjukkan uswah, menunjukkan kepatuhan terhadap hukum hakam Allah dengan melaksanakan semua aturan yang diajarkan kepada anak dan isteri. Janganlah suami mengikut tabiat ketam atau lembu.

ISTERI PULA HARUS MENUNJUKKAN AKHLAK MULIA dengan menzahirkan ketaatan yang murni kepada suami. Segala perintah suami harus dilaksanakan dengan senang hati, berkata manis, menunjukkan rasa penuh hormat apabila berbicara atau meminta sesuatu.

ISTERI WAJIB MEMINTA MAAF SERTA MERTA setiap kali melakukan kesalahan atau bila mendapati suami tidak redha atas sebab apa sekalipun.

APABILA BERLAKU PERSELISIHAN PENDAPAT atau mendapat teguran dari suami, isteri jangan sekali-kali menunjukkan rasa tidak puashati atau protes. Sekalipun teguran suami tidak tepat dengan apa yang berlaku, ambil saja teguran itu secara positif dengan tasdiq di hati (membenarkan) bahawa dia itu suami dan wali kita. Darinya kita dapat ilmu, pengatur, teman hidup, teman tidur dan teman sukaduka biar siapa pun dia. Bersyukurlah kerana ramai lagi orang lain yang tiada suami seperti kita.

KESABARAN ISTERI juga harus sentiasa disuburkan dalam jiwa mereka. Contohnya jika sesuatu teguran itu tidak tepat, di mana kita tidak melakukan kesalahan yang dikatakan, iktikadkan saja yang itu adalah satu ilmu. Jadikan apa yang diperkatakan suami itu sebagai satu maklumat bahawa suami kita tidak suka dan kita bertekad tidak akan melakukannya. Ini akan mempastikan rumahtangga sentiasa dalam keadaan tenang dan saling redha.

DALAM KES DI MANA TEGURAN SUAMI ITU TIDAK BENAR, contohnya anda tidak melakukan kesalahan yang ditegur, anda boleh menyatakan keadaan sebenar pada waktu lain yang lebih tenang. Ketika itulah anda boleh nyatakan memang anda tidak melakukan kesalahan itu, tapi anda tetap redha dengan teguran itu serta mengambilnya sebagai ilmu untuk tidak sekali-kali melakukannya di masa depan. Pasti suami anda akan lembut hatinya.

IBU HARUS ISTIQOMAH menunjukkan tahap redha dan patuh, sentiasa berkata manis, banyakkan senyum dengan suami. Tabiat ini akan membuatkan ibu sentiasa tenang, bermanis wajah dan lunak sentuhannya terhadap anak.

IBU HARUS BERSABAR, biarpun dalam keadaan yang tidak menyenangkan, dengan cara menahan diri dari menghempas dan mengherdik suami, terutamanya di depan anak. Yakinlah para ibu bahawa apa sahaja tabiat yang anda tunjukkan, pasti anak akan ikut tabiat itu. Jadi sediakanlah langkah syurga agar anak yang mengikut jejak ibu juga akan tergiring ke syurga.

FALSAFAH SYURGA DALAM RUMAH TANGGA

Ada banyak falsafah yang terkait dengan istilah syurga yang bakal kami jelaskan panjang lebar dalam siri sains istilah. Untuk topik ini suka kami jelaskan sedikit falsafah di sebalik syurga rumahtangga, “Baiti Jannati”. Sila perhatikan hurufbesar dalam firman Allah di surah 89. Al Fajr ini,

89:26. Dan tiada seseorang yang MENGIKAT seperti Dia mengikat.
89:27. “Wahai jiwa yang TENTERAM,
89:28. (Kembali) MERUJUKLAH kepada RabbMu, dengan REDHA, lagi diredhai!
89:29. Masuklah kamu di kalangan hamba-HAMBA-KU!
89:30. Masuklah kamu SYURGA-KU!”

PERHATIKAN ASAS UNTUK MENCIPTA SUASANA SYURGA yang terkait dengan unsur IKATAN. Sebagai hamba, kita ada ikatan (AKIDAH) daripada syahadah kita. Sebagai suami/ayah, kita harus mengikat diri dengan Allah, menggunakan aturan Allah dalam memimpin keluarga kita. Dengan ikatan itu kita akan yakin dan tenteram kerana Allah lebih tahu peraturan mana yang terbaik untuk kita.

INI SEMUA AKAN MEMBENTUK MATA RANTAI IKATAN antara suami dengan Allah, isteri dengan suami, dan anak dengan ibu. Bila semua ahli keluarga difahamkan dan sentiasa MERUJUK apa saja dengan ikatan aturan yang sama itu, maka semuanya akan REDHA, tenang dan tenteram tanpa selisih faham. KETENANGAN itu terbit kerana masing-masing saling redha meredhai, saling merujuk kepada ketetapan dan perintah yang sama dari Allah, bukan dari nafsu dan kehendak sendiri atau dari banyak sumber-sumber rujukan yang bersimpang siur dan mengelirukan.

SECARA ISTIQOMAH semuanya wajib meletakkan diri sebagai HAMBA ALLAH dengan merendahkan diri dan patuh kepada aturan Allah yang SENTIASA DIRUJUK. Ketenangan dapat dirasa kerana tiada siapa yang keras kepala untuk mengikut aturan ciptaan sendiri. Ketenangan yang terhasil dari rujukan ilmu Allah itulah sebenarnya SUASANA SYURGA RUMAHTANGGA.

APA YANG BERLAKU SEKARANG?

RAMAI AYAH SELAKU ABAL HAKAM atau wali dalam keluarga tidak memainkan peranan yang sewajarnya. Mereka sendiri tiada ilmu dalam memimpin keluarga. Segala yang Allah perintah diabaikan. Segala larangan Allah seperti arak, judi, riba, rasuah, curi, rompak, tipua, zina dan berbagai-bagai lagi tabiat haram dilanggar. Tabiat jahil atau ingkar wali seperti inilah yang bakal ditiru anak dan isteri.

YANG MENCIPTA SYURGA dan menyelamatkan keluarga itu ialah cahaya atau ILMU ALLAH. Jika wali tiada ilmu dan rujukan yang tepat, atau sengaja mengingkari aturan Allah, pasti neraka yang kita rasa. Analogi anjing telah disebut oleh anak ini adalah untuk mengaitkan dengan tabiat menjelir lidah, samada di panggil atau dihalau. Islam tidak, kafir pun tidak. Ciri-ciri kehaiwanan ini selalu diumpamakan kepada mana-mana warga yang acuh tak acuh di RPWP, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-A’raf 7:176, 179.

ADA PULA KES ABAL HAKAM YANG PATUH KEPADA ALLAH, malangnya Ibu atau isteri pula tidak mahu patuh. Berbicara dengan suami pun sentiasa dalam keadaan tegang dan suka merusuh. Sifat keibuan tidak dipupuk lalu anak membesar dalam SENTUHAN YANG KAKU KASAR dan suasana menderhaka sang ibu terhadap bapa.

JIKA BAPA DAN IBU SUDAH MEMAPARKAN CERMINAN YANG INGKAR, sudah pasti anak yang melihat tabiat itu akan copy dan membentuk tabiat yang sama. Janganlah nanti bapa cari bomoh atau ustaz untuk meminta air penawar bagi anak yang terjebak dengan dadah, degil dan menderhaka jika bapa sendiri masih melanggar perintah Allah setiap masa. Janganlah ibu mahu tuntut janji Allah agar anak masuk syurga dengan cara mematuhi ibunya jika ibu sendiri adalah isteri yang kasar kaku dan amat derhaka.

APABILA CERMINAN TABIAT YANG BAIK DARI AWAL GAGAL DILAKSANA, maka anak akan mengambil uswah yang hina dan membentuk habitat atau karakter anak derhaka. Bagaimana menanganinya? Tunggu artikel khusus yang akan kami kongsikan kemudian INSYAALLAH.

Kudap Kudap
WARGA PRIHATIN

TIPS PARENTING – BAGAIMANA MENDIDIK ANAK MENGUKIR SENYUM

00 senyum texTIPS PARENTING – BAGAIMANA MENDIDIK ANAK MENGUKIR SENYUM

Senyum itu sedekah.
Senyum itu wajib bagi Allah.
Kita senyum mendapat pahala atau syurga.
Allah maha berkuasa.
(CETUSAN ZAMZAM)

Admin terkejut apabila anakanda Abdah, darjah 1 menghulurkan secebis kertas sambil tersenyum dan berkata, “Ayah.. Abdah ada tulis artikel… bacalahhh..!”. Itulah dia 4 rangkap tulisan anak yang menyentap jiwa kami. Lalu kami ambil peluang ini untuk memberi penghormatan kepada beliau.

Apa yang membahagiakan kami ialah apabila anak nisak sekecil ini mengutarakan perbendaharaan kata yang sarat dengan makna tersirat.. Senyum, Sedekah, Wajib, Allah, Pahala, Syurga dan sebagainya.

UNGKAPAN SENYUMAN ITU SEDEKAH amat menarik sekali. Ingin kami ringkaskan hakikat bahawa senyum adalah gambaran suka, lega, gembira, redha dan sejahtera. Ia adalah sesuatu yang sangat positif dalam kehidupan manusia. Bahkan saintis mengatakan senyuman redha boleh memanjangkan usia. Pegangan kami tentang sedekah ialah apa sahaja amalan atau pekerjaan yang benar dan baik bagi mensiddiqkan perintah Allah dan Rasul.

Di samping Tirmidzi meriwayatkan Nabi SAW adalah insan yang paling banyak tersenyum, baginda juga menyarankan agar umatnya sentiasa mengukir senyum. Kerana itulah dari segi falsafah akidahnya, mengukir seyum itu dikira ibadah yang berbentuk sedekah. Mengamalkannya dikira sebagai kita telah mengikat diri secara halus demi membenarkan saranan Allah dan rasul. Ada terlalu banyak hadis tentang saranan senyum ini, antaranya,

Rasulullah SAW bersabda, “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Firman Allah yang berikut ini pula menjelaskan bahawa senyuman itu gambaran kecukupan dan jiwa sejahtera. Wajah masam pula adalah gambaran jiwa yang kacau, hati yang suram dan gelap.

80:37. Setiap lelaki, pada hari itu, ada hal yang mencukupi baginya.
80:38. Beberapa muka pada hari itu bersinar,
80:39. Tertawa, bergembira.
80:40. Beberapa muka pada hari itu berdebu,
80:41. Ditutupi kegelapan,

Kesimpulannya jika Islam itu sejahtera, maka senyuman itu adalah salah satu tandanya. Setiap orang pasti akan senyum apabila mendapat apa yang dicari, apabila hatinya gembira, jiwanya tenang. Ketenangan itu pula adalah ciri syurga Allah yang terhasil dari rujukan yang tepat dalam kehidupan. Manusia yang sudah berjaya menemui fenomena cahaya yang menghasilkan syurga Baiti Jannati dengan formula Allah ini pasti akan mengikat kuat (berakidah) dengannya. Demikianlah maksud firman Allah yang berikut dalam surah Al-Fajr

89:26. Tiada seseorang yang mengikat seperti Dia mengikat.
89:27. Wahai jiwa yang tenteram,
89:28. Merujuklah kepada Rabb kamu, dengan redha lagi deredhai!
89:29. Maka Masuklah kamu di kalangan hamba-hamba-Ku!
89:30. Masuklah kamu ke Syurga-Ku!”

Kerana itu golongan sufi mengatakan, “jika kamu ingin melihat wajah Allah… lihatlah pada senyuman manusia”. Manusia-manusia yang sentisa senyum inilah ahli syurga yang saling membentuk suasana syurga dalam rumahtangga.

BAGAIMANA MENDIDIK ANAK UNTUK SENYUM?

Ini adalah satu hidayah siroot yang memerlukan satu proses sabil yang istiqomah (IHDINASSIROOT AL-MUSTAQIM). Ibu bapa, rakan sekeliling adalah cermin ajaib kepada anak-anak kita. Apa yang kami sarankan ialah agar sentiasa zikirkan keperluan senyum itu setiap masa sehingga ia memenuhi ruang lingkup atau alam rumahtangga kita.

Segalanya telah diajarkan Allah dan diuswahkan rasul. Jika kita ingin anak jadi serius dalam urusan kerja, maka ajaklah mereka bekerja dan tunjukkan mereka caranya. Jika kita ingin anak menjadi rajin, pembersih, berjimat cermat atau apa sahaja juga harus kita tunjukkan kepada mereka. Ingat! Jika kita selalu melanggar perkara haram, menipu, mencuri, ambil rasuah, beri rasuah, memukul isteri, mengingkari suami atau apa sahaja tabiat yang melanggar peraturan, itu juga bakal di copy oleh anak kita.

Begitu juga dengan senyuman, kami sarankan agar anda mulakan sekarang jika belum. Cuba amalkan mengukir senyum paling manis setiap kali bertemu atau bersua wajah dalam keadaan sedar dengan anak. Amalkan ini terutama tatapan wajah yang pertama di pagi hari. Ini akan menjemput anak-anak untuk turut senyum. Anggapkan sahaja kita sebagai cermin ajaib bagi mereka. InsyaAllah walaupun anak kita sedang marah, sakit hati, atau memang dia telah memiliki karakter bermasam muka, lambat laun ia akan menjadi juara senyum. Itulah syurga dalam keluarga.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis”. (Hadis Riwayat Muslim)

Semuga bermanafaat

WARGA PRIHATIN

Cetusan Zamzam 7 : RUMAH 1000 MAKNA

00 rumah falsafah.jpg text

Cetusan Zamzam 7 : RUMAH 1000 MAKNA

Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya kami telah diwakafkan di sebuah rumah yang mewah kasih sayang. Di Rumah Pengasih Warga Prihatin kami diletakkan oleh bapa-bapa dan ibu-ibu kami dengan RELA HATI tanpa timbul sedikitpun perasaan ragu di dalam hati. ‘Adakah makan, pakai anaknya terjaga, sihat ke tidak?’ dan macam-macam lagi jenis soalan yang terbit dalam minda.

Bapa-bapa dan ibu-ibu yang berada sepenuh masa juga telah menjaga kami seperti anak sendiri. Tidak mengharapkan sebarang balasan atau gaji. Malahan, mereka semua sanggup berkorban harta, jiwa dan raga demi membangunkan RPWP bagi menegakkan kembali syariat Islam dalam diri kami. Mereka juga sanggup bergadai nyawa bagi memastikan anak-anak tinggal di dalam rumah yang kondusif.

Kesemua gerak kerja di RPWP dapat membentuk sahsiah anak-anak di sini. Pada hari pertama kami menjejakkan kaki di RPWP, kami telah pun didedahkan dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan. Melihat perpustakaan di RPWP yang masih lagi dalam pembinaan jelas menggambarkan bahawa kami diajar supaya menjadi seorang yang berjimat-cermat. Kami lihat perca-perca kayu yang dikutip lebihan dari pembinaan struktur rumah ini dijadikan sebagai hiasan di dinding-dinding perpustakaan. Keadaan ini telah mencipta anak-anak yang kreatif.

Selain itu, baju-baju terpakai yang kami terima tetapi tidak mengikut standard pemakaian kami (tidak menutupi aurat) tetap kami manfaatkannya. Walaupun sebiji butang, sebiji cangkuk akan kami ambil dan kami gunakan untuk pakaian kami yang telah tertanggal butangnya, atau baju yang tercabut cangkuknya. Semua perkara ini memerlukan ketelitian dan kehalusan agar tidak berlaku sebarang pembaziran.

BAGAIMANA GERAK KERJA MEMBENTUK SAHSIAH ANAK-ANAK DI RPWP?

Tanpa kami semua sedari dalam kesibukan bapa-bapa serta ibu-ibu dalam pembangunan rumah ini sahsiah anak-anak juga terbentuk. Jika anak-anak membuat kerja bersama-sama bapa-bapa dan ibu-ibu sudah pasti arahan yang diberikan tidak berhenti-henti ibarat sungai yang mengalir. Jadi kami semua harus ‘alert’ dengan arahan yang dikeluarkan agar pekerjaan yang dilakukan tidak menimbulkan kesalahan.

Ketika memotong kayu contohnya, pasti ada ukuran yang tertentu. Jika kita salah mendengar arahan yang diberikan pasti kerja-kerja pambinaan menjadi susah dan kayu jadi membazir. Selain itu, bergegas ketika membuat sesuatu pekerjaan mendidik kami jadi cergas ibarat kuda yang berlari kencang. Jika semua perkara dilakukan dengan pantas pasti kerja akan selesai dengan cepat. Tetapi kami juga harus memastikan arahan yang didengar dilaksanakan dengan betul walaupun bergerak pantas.

Iqra’ (baca/kaji) keadaan ketika melakukan pekerjaan juga amat dititikberatkan. Iqra’ sekeliling supaya kita dapat furqan (beza) antara yang positif dan negatif. Jika perkara tersebut negative sudah tentu kita akan berusaha untuk mengelak dan mencantas perkara terebut dari berlaku. Manakala, perkara yang positif pula sudah tentu kita berusaha melakukannya, malahan kita dapat melakukan islah (pembaharuan).

NOTICE, NOTE, NOTIFY SIKAP SEMASA BEKERJA.

Bapa dan ibu dapat mengenali karakter anak-anak ketika bekerja. Samada anak-anak seorang yang ringan tulang, malas, suka mengambil kesempatan serta seorang yang membuat pekerjaan secara sambil lewa. Apabila sudah mengenalpasti (notis) permasalahan anak, bapa dan ibu pasti mencatitnya (note) lalu mereka memaklumkan (notify) dan mencari kaedah yang sesuai untuk mencantas sikap buruk yang dilakukan oleh anak-anak ketika membuat kerja dari peringkat awal lagi.

Memupuk sikap datang bekerja tepat pada masanya atau ‘punctual’ boleh disemai ketika bekerja. Jadi, ketika membuat pekerjaan, kami telah ditetapkan dengan taqwim (jadual) kami sendiri. Jika ada yang melanggar taqwim yang telah ditetapkan kami pasti akan ditegur. Hal ini kerana, bapa-bapa dan ibu-ibu ingin mendidik kami semua menepati masa kerana ‘masa itu emas’.

Kita boleh lihat contoh masyarakat yang berada di negara Jepun, mereka seorang yang menepati masa. Itu juga adalah antara faktor mengapa Jepun adalah sebuah negara yang maju. Secara automatik, jika kita seorang yang menepati masa, pasti kita akan menjadi seorang yang berdisiplin.

Dalam pembentukan rumah ini terdapat pelbagai konsep yang telah diimplementasikan. Antaranya ialah konsep apitan. Kayu-kayu yang bengkok atau lemah diapit dengan kayu yang lurus. Besi-besi terpakai yang pendek disambung menjadi panjang sehingga terbinalah rumah yang kami diami ini.

Konsep apitan ini juga diaplikasi dalam pembentukan anak-anak. Mereka yang bermasalah tidak kira dari segi akedemik mahupun akhlak diri akan diapit oleh para sahabat yang lain. Hasilnya, anak-anak akan maju kehadapan bersama-sama tanpa meninggalkan sahabat yang lemah di belakang.

Dari besi-besi yang disambung agar dapat digunapakai, juga konsep bagaimana batu, pasir dan simen digaul bersama air turut memberi banyak pelajaran dalam kehidupan. Ini memberi erti bahawa kami juga harus hidup dengan konsep ‘unity’ atau berjemaah (kumpulan). Kami tidak boleh melakukan sesuatu yang besar seorang diri. Kekuatan yang ada pada setiap orang digabungkan dan membentuk Jemaah yang kuat. Kami pasti akan melakukan kerja bersama-sama agar kerja menjadi mudah. Sehinggakan jika ada salah seorang sahabat yang cedera pasti yang lain akan terasa sama sakitnya. ‘Cubit paha kiri, paha kanan terasa’.

Lebih kurang 8 tahun pembinaan rumah ini dibuat bersama secara gotong-royong, Susah senang diharungi bersama. Bayangkan jika kami melakukan pekerjaan seorang diri apakah yang berlaku?. Sehingga hari ini pasti kami tidak dapat tinggal dalam rumah yang penuh dengan kasih sayang serta dilimpahi banyak ilmu.

Ini adalah serba sedikit sikap yang terbentuk ketika bekerja. Kami bersyukur dan seronok kerana dapat merasakan nikmat bekerja secara berjemaah. Itu memberikan kami sedikit kelebihan dari berbagai sudut kemahiran hidup berbanding rakan-rakan kami yang lain. Bila ada kerjatangan disekolah, atau ketika berkumpul dirumah nenek membuat persiapan raya atau kenduri kendara, kami tidaklah kekok dan berat tulang lagi berbanding dengan saudara-saudara sebaya kami yang lain. Perkara ini tidak akan terjadi jika kami tidak didedahkan untuk melakukan kerja.

Bila ada pakcik bertanya kepada rakan-rakan kami ketika dimasjid adakah anda didera di RPWP? Kami jawab tidak, memang kami yang suka hendak tolong ibu bapa dan kami seronok bekerja bersama mereka bila cuti sekolah. Pendapat kami, Janganlah sekali-kali menganggap apabila menyuruh anak bekerja adalah satu penderaan. Jika ingin melihat anak-anak berjaya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan, bawalah mereka bekerja. Nescaya lahirlah generasi sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh.

Cetusan Zam-zam
ANAK PRIHATIN

P/S: UNTUK MAKLUMAN PEMBACA

ARTIKEL ini cetusan anak 15 tahun yang baru selesai PMR. Anak yang rajin, tawadduk dan pintar. Cemerlang dalam bidang akademik dan juga agama. Juga telah lebih 3x menghabiskan bacaan terjemahan al-Quran.

Memang benar seperti yang dinyatakan, anak-anak yang masuk ke RPWP bukan semuanya yang baik-baik saja. Konsep apitan sangat diperlukan. Yang lemah tidak boleh ditinggalkan sepertimana amalan dalam sistem persekolahan. Mereka harus saling belajar dan mengajar, saling nasihat menasihati ibarat cermin ajaib. Kami gunakan konsep `energy transfer’ dari ‘power of the pack’ (konsep islah secara berjemaah).

Dalam satu sudut, rimas juga kami bila anak-anak riuh rendah ikut bekerja selepas musim peperiksaan. Ada juga jemaah masjid yang mengatakan ayah-ibu RPWP mendera anak kerana mereka lihat program kemahiran kerjatangan anak-anak ini beramai-ramai. Manisnya ialah, anak-anak sendiri yang menjawab sinis, bukan ayah-ayah yang paksa, tapi kami yang SUKA BEKERJA.

ALHAMDULILLAH.

TidBid 29 – Bedtime Story

00 BEDTIME

TID BIT : Bed Time Story Cipta Anak Sehebat Sultan Muhammad Al-Fatih?

Nampak gaya bercerita kepada anak semasa mereka sedang mahu tidur itu seperti cara orang Nasrani pula kan? Baguskah jika kita buat juga? Atau kerana orang Nasrani Kristian dah buat, kita tak boleh nak buat? Orang nasrani juga datang dari ajaran nabi Isa yang telah dipesongkan. Cetusan asal mereka juga dari Allah. Mudahnya apa sahaja yang baik semuanya dari Allah. Yang jadi buruk itu kerana salahnya olahan manusia.

Mari kita lihat kebaikan dalam amalan bedtime story ini. Jangan ambilnya secara jumud dengan bercerita hanya semasa tidur. Pokok ceritanya ialah BERCERITA dengan cerita-cerita yang mempunyai kandungan motivasi, aspirasi dan nilai murni.

Sultan Muhamad Alfateh juga dari kecil sudah dibawa ibunya ke tebing menghadap Kota Constantinople dan baginda secara konsisten mengatakan kepada Al-Fateh bahawa Al-Fateh akan menawan kota itu satu hari nanti. Kata-kata aspirasi itu dah jadi seperti ulangan–ulangan saban hari sehingga terpahat dalam hati Al-Fateh kemahuan yang sangat kuat untuk meroboh tembok Kota Byzantine itu.

Walaupun pokok ceritanya ialah “BERCERITA” tetapi masa yang paling sesuai untuk bercerita ialah pada saat semuanya tenang sekali. Pada waktu sebelum tidur, ia adalah waktu yang paling sesuai. Anak dah buang air, basuh kaki, gosok gigi dan pakai baju tidur dan bersedia di katil mereka. Si Ibu pula sudah bersiap sedia juga untuk menidurkan anak. Dalam keadaan pemberi dan penerima sedang bersedia, di situlah keberkesanan penceritaan itu berlaku.

Jadikan memori cerita waktu tidur anda sebagai cerita yang anak terbawa dalam mimpi sebagai salah satu “halo effect”. Pilihlah cerita yang memberi tauladan dan sampaikanlah kepada mereka harapan anda kepada mereka dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

APA PILIHAN SELAIN DARI BERCERITA?

Bergantung kepda umur dan situasi anak itu sebelum tidurnya. Bukanlah semestinya kita berada di sisi anak dari kecil sampai besar. Falsafah disebalik bercerita sebelum tidur ini ialah menanamkan satu inspirasi ke minda anak dalam keadaan tenang untuk mereka bawa halo effect nya ke dalam tidur SECARA ISTIQOMAH.

Bagi anak yang sudah meningkat dewasa, AMALAN bertemu ibu bapa bagi meminta izin untuk tidur juga boleh dijadikan ganti kepada amalan bercerita ini. ketika itu ambillah peluang menanamkan sesuatu keminda anak. Dakapan dan kucupan mesra sebelum mereka berpisah untuk masuk tidur boleh dijadikan penguat kepada penerimaan mereka.

Di RPWP, kami telahpun praktikkan perkara ini dan ternyata kami mendapat satu perbandingan ketara di antara anak-anak yang melalui proses bedtime story atau izin sebelum tidur ini pada kebanyakan malam berbanding dengan anak-anak yatim yang baru masuk menjadi penghuni. Anak yang biasa dengan bedtime story ini sangat mudah dibentuk dan sangat mendengar kata. Seolah-olah aspirasi dan harapan kita kepada mereka telah sebati masuk dalam hati mereka dalam satu tempoh yang lama dan berterusan.

Ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian, kerosakan akhlak anak-anak sudah susah nak dibendung pada waktu ini. Jika dahulu kita dengar anak dara umur 17 tahun selepas SPM hamil luar nikah, tetapi sekarang anak dara sunti kita berumur tak sampai 10 tahun pun dah ada yang hamil. Yang belum sampai 10 tahun pun dah merasai seks walaupun belum cukup umur untuk hamil. Nauzubillah.

Tanamkanlah pada anak-anak ini harapan anda dan gunalah sepenuhnya waktu tenang sebelum tidur anak anda untuk anda sampaikan harapan itu.

Dalam kajian kami, memasangkan alunan ayat quran semasa anak hendak tidur mampu memberikan ketenangan kepada anak-anak dan mudah mereka tidur lena. Dari kajian kami pula, habit itu hanya sekadar menenangkan untuk tidur TETAPI tidak mampu memberi pelajaran. Seruan kami ialah, jika anda mahu pasangkan alunan bacaan quran itu, pastikan juga anda jabarkan maksudnya sekali dan ceritakan kepada anak anda pelajarannya. Lebih baik sepotong ayat yang anda jabarkan dari seluruh juzuk anda putarkan yang langsung tidak difahami oleh anak itu.

Sering Allah ulang-ulangi … “Pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran”. “Kami ulang-ulangi berbagai perumpamaan (contoh dan misal) supaya manusia ambil pelajaran”. Falsafahnya ialah cerita dan ulangan (istiqomah).

Amalan ini ibarat menanam dan membaja sebiji benih kedada anak kita sehingga ia menjadi pokok (akidah) yang bakal terus menerus menghasilkan buah (fikiran).

Surah 14. Ibrahim

24. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit,

25. pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu zikirkan (tadarus, tafakur, tadaburkan).

Bermakna Allah gesa kita ceritakan kisah-kisah lama sebagai pelajaran kepada anak-anak kita. Ajar mereka iqra dengan sekurang-kurangnya 3 kali ulang. Apabila mereka sudah ada momentum, mereka sendiri akan menghabiskan bacaan kitab suci itu lebih laju dari kita. Lalu segalanya insyaAllah akan bergolek dengan sendiri selepas itu… MUDAH BUKAN?

Gunakanlah kebijaksanaan anda untuk memanafaatkan kaedah BED-TIME STORY dan Tausiah ringkas dalam amalan izin masuk tidur ini bagi menghasilkan anak yang hebat serba serbinya, InsyaAllah. Syaratnya anda harus ISTIQOMAH… laksanakan polisi IHDINA AL-SIROOT AL-MUSTAQIIM… amalkan siroot (jalan) yang telah dihidayahkan itu dengan istiqomah… itu saja!.

Kudap Kudap
WARGA PRIHATIN

Surat Pembaca – Sains Haji 7, zamzam

00 zamzam.ULASAN

KAMI amat bersyukur dengan kehadiran insan-insan berilmu yang prihatin dan berfikiran tajam dalam menambah baik cetusan dalam artikel kami. Malang sekali kehadiran mereka hanya di hujung komen yangmana ramai diantara kita sudah tidak lagi berkesempatan menjenguk semula. Oleh itu, Hanya orang yang mengulangkaji saja yang perasan dengan ulasan berkualiti itu.

Atas desakan ramai, telah kami syurokan dan Insya Allah akan kami sedut beberapa komen membina yang mampu menambah kefahaman kita kearah tajdid minda bilamana perlu. Inilah praktik hujjah secara berjemaah yang ingin kami pupuk. Kerana kami bukanlah insan mulia dan sempurna.

Segala cetusan kami hanya hadir dari celah debu dan simen sewaktu bekerja berjemaah membangun rumah ini, juga dari celah kemelut sejarah kehidupan yang telah kami analisa dalam keluarga kami sendiri. Semuga metodologi mengatasi keperitan dari kesilapan silam keluarga kami boleh dikongsikan oleh keluarga anda dimana perlu.

P/S: Teks asal ada diruang komen asal artikel ini. Kami telah edit minor ejaan, punctuation & paragraf yang TIDAK MENGUBAH MAKSUD untuk mana-mana yang perlu bagi memudahkan pembacaan.

ABU ZAFEERAH : SUCI DALAM DEBU

Subhanallah – usai menghabiskan semua bacaan pada malam ini. Bermula dari Sains Haji 1 hingga terkini berkait AIR ZAM-ZAM. Senyum dahulu kalau mahu saya simpulkan. Takutnya berkajang lagi komen saya nanti.. Sungguh! Kali ini falsafahnya menuntut saya mengulangi bacaan seberapa kerap yang boleh. Ini bukan bacaan biasa lagi – penuh dengan perincian syariat dan panduan kepatuhan pada hukum Allah..

Mahu mengambil falsafah penyucian diri saja sudah jelas HAJI mabrur diibaratkan seperti kembali lahir sebagai bayi yang bersih dari sebarang dosa. Begitu tinggi mertabat haji untuk sama-sama kita fikirkan, hadamkan. Bincangkan kenapa ia begitu penting dengan segalanya berpusat kepada keluarga Ibrahim. Allah menjemput kita ahlul albab untuk berfikir dan beruntunglah mereka yang sentisa berfikir kerana di sisi Allah pencerahan ILMU sedang berlaku.

Rasulullah sendiri ketika hidupnya menyampaikan ILMU dan syariat. Baginda tidak mengharapkan sahabat-sahabat terus memahami falsafah dan membuat analisis yang detail kerana ketika itu Baginda rasul masih ada untuk menjelaskan sejelas-jelasnya setiap keperluan asbab hukum dan arahan Allah.

Kita yang jauh dari zaman Rasulullah ini yang diharapkan baginda – semoga ummat selepas kamu lebih memahamii dari yang sebelum kamu! Alhamdulillah – kita sedang dalam pencarian ILMU dengan pentafsiran yang memerlukan penglibatan semua pihak dan kegigihan setiap dari kita memahami keperluan IMAN!

Sebagai masyarakat awwam – mulakan dengan memahami kepentingan AWWALUL MUSLIMIIN – yang membentuk ikrar kita untuk merasakan kehangatan patuhnya keluarga Ibrahim pada Allah. Lalu diletakkan martabat keluarga Ibrahim dalam TAHIYYAT kita. Ambillah peluang mengkaji solat. Saya sendiri sudah dihenjak-henjak ingin mencari ILMU berkaitan rahsia disebalik semua ini. Allah mahu kita celik, bukan sekadar TAKLID BUTA. Dari mula kenal solat sampai dah jadi bapak budak – masih dengan solat yang sama! Tidak ada penambaikan ILMU – moga kita bukan dikalangan orang-orang yang RUGI!

Melihat mukjizat ZAMZAM sebagai fungsi air dalam kehidupan – dikeluarkan untuk menghilangkan KEHAUSAN tangisan Ismail hingga memaksa berlakunya HUKUM SAIE kepada Siti Hajar – tertarik dengan analogi yang menunjukkan keperluan IBU berkejaran (SAIE) mencari ilmu (AIR). ITU sudah cukup membuat saya berfikir jauh. Sungguh peranan ibu tidak dapat lari dari kepentingannya membentuk anak.

Kalau ibu zaman sekarang JAHIL, kalau memberi puting tiruan itu pun dikira mengajar anak MENIPU… selebihnya fikirkanlah sendiri.

ZAMZAM bukan sekadar menjentik kronologi kepentingan ILMU yang mengalir dalam tubuh. Kita perlu kembali memikirkan kenapa ianya mesti dirujuk kembali kepada Ismail sehingga segala falsafah QURBAN melingkari seluruh keluarga Ibrahim.

Saya cuma mahu menjentik hidung dan kocak sedikit kepala saya. ILMU ini tidak berhenti di sini – masih jauh untuk diteroka hingga kita betul-betul faham. Sehingga yaqin dan pasti sebagaimana yaqinnya Ismail kepada ayahnya! Anak menyerahkan kepala untuk disembelih kerana perintah Allah.

Anak zaman sekarang lain sudah jadinya. Mereka sembelih betul-betul ayah dan ibu mereka. Bukan lagi bersifat majazi! Semuanya kerana perintah nafsu dan serakah! Asbab ganja, dadah dan gila joli dengan kehidupan dunia! Mahukah kita disembelih hidup-hidup oleh anak kerana mereka mahu memenuhi NAFSU dunia mereka??..

Jika kita disembelih untuk membeli kemewahan dunia pada mereka.. Memenuhi kehidupan dengan hiburan, menyembelih anak dengan akses internet tanpa had.. tanpa sebarang pemantauan ke mana hala tuju jari mereka membawa mereka.. Tau-tau ada bayi luar nikah dah disembelih anak sendiri! – maka kembalilah merujuk – SIAPA yang kita sembelih selama ini!

BERKORBAN cinta pada anak bukan menyediakan keperluan material semata-mata. Tapi berkejaranlah (SAIE) setiap hari ke majlis ilmu, ke masjid. Bersegera mencari solusi anak-anak. Berlarilah untuk mendapatkan jawapan dan penyelesaian. Berlari itu tanda USAHA.. tanda KESUNGGUHAN.. tanda ADA TUJUAN..(tak pernah kita lihat orang sekarang saja-saja nak berlari! – berjalan itu normal.).

Itulah gerak kerja kita.. usai solat fardhu subuh.. sesudah melafaz ikrar dan mengakui kiblat kita pada panduan keluarga Ibrahim.. berpagi-pagi kita berkejaran di dunia.. Kalau bermatlamatkan IBADAH – habuanya sentiasa ada. Kalau asbabnya DUNIA.. maka habuan kita pun dunia. Bagai diingatkan Allah.. siapa yang mengkehendaki DUNIA pasti Allah akan beri.. pilihlah mana yang kita mahu!

Saya cuma mahu kocak-kocak dengan ulasan seringkas mampu. Hasil kesimpulan dari artikel yang telah dikongsi.. Semoga kita mampu mengkoreksi diri, apa tuntutan Allah disebalik solat kita.

Wallahu’alam – Mohon Warga Prihatin audit butir komentar saya.. Andai ada yang salah.. betulkanlah semahunya..

Terima kasih, Tahniah WP kerana berjaya buat saya tak lena malam ni.

KOMEN : MUHAMMAD ADAM FALIQ – Umur 16 tahun

Coretan yang menarik tentang ZAM ZAM. AIR ini menjadi simbolik terpancar tentang usaha seorang anak ( Nabi Ismail ) yang tertekan dan ingin turut sama membantu meringankan ibunya ( Siti Hajar ). Kesannya, AIR tersebut bukan sahaja menjadi manfaat buat keluarga tersebut, malah Allah kekalkannya untuk manfaat seluruh manusia sehinnga ke hari ini.

Peristiwa ini benar-benar menunjukkan kepentingan ILMU ibu yang dicurahkan pada anak. Seterusnya, anak tersebut mampu menghasilkan cetusannya sendiri untuk manfaat masyarakat.

Subhanallah.. Semoga Allah membantu kita dalam usaha mencontohi model keluarga terbaik sepanjang zaman ini.

KOMEN : PACKEER MOHAMED NORZAINI

Terima Kasih kepada team Warga Prihatin yang menyampaikan ilmu tentang falsafah haji secara bersiri. Ini sesuai dengan bulan zulhijjah dan Raya Haji yang bakal kita sambut tak lama lagi.

Sebagai kesimpulan daripada artikel ini, kita renung semula diri kita dengan membandingkan keluarga kita dengan keluarga model Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Jika setiap diri, setiap keluarga berazam dan bertekad untuk berhijrah ke arah membentuk keluarga seperti itu, nescaya sedikit demi sedikit kita akan menyaksikan perubahan yang besar secara menyeluruh dalam masyarakat kita nanti, Insyaa Allah.

Suntikan semangat daripada team warga prihatin ini wajar kita gunapakai semaksimumnya. Wallahua’lam.

Tid Bit Parenting 28 : ZINA ANAK SEKOLAH – SATU BENCANA

 

ZINA
Tid Bit Parenting 28 : ZINA ANAK SEKOLAH – SATU BENCANA

Di dada akhbar, kaca televisyen mahupun di media massa kini dipenuhi dengan pelbagai kes dan masalah. Masalah kini yang kerap berlaku dalam kalangan kita ialah masalah pembuangan bayi yang tidak dapat dikira berapa jumlahnya. Sehinggakan terdapat tempat-tempat yang dibina khas untuk wanita yang melahirkan anak luar nikah serta bayi yang dilahirkan oleh orang tidak bertanggungjawab. Paparan dan tayangan yang dibuat oleh penjaga kami di RPWP setiap hari sangat menakutkan dan menyedarkan kami.

Inilah salah satu kesan dan akibat yang berlaku disebabkan oleh kebejatan akhlak dalam kalangan generasi muda sekarang ini. Hal ini juga berlaku disebabkan batas pergaulan antara rijal (lelaki) dan nisa’ (perempuan) yang tidak diambil kisah atau dipandang remeh oleh ibu bapa. Amatlah penting perkara ini diberi perhatian kerana masa tidak mampu diundur semula tatkala perkara yang kita tidak pernah jangka itu sudah berlaku.

Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

BAGAIMANA MENGATASINYA?

“Janganlah kamu mendekati zina”. Itulah salah satu perintah Allah SWT yang tercatat dalam Al-Quran. Walau bagaimanapun, sama ada kita sedar mahupun tidak, kenyataannya setiap hari kita melanggar suruhan Allah walaupun kita tahu itu merupakan satu perintah yang mesti kita patuhi.

Apa yang ingin kami tekankan di sini ialah larangan Allah supaya TIDAK MENDEKATI ZINA. Sebenarnya kita ini dahulunya ibarat kera yang tidak cantik dan memerlukan bunga. Kita tidak cantik kerana sistem kehidupan yang teruk. Bunga itu ibarat pemberian Allah iaitu sistem kehidupan yang elok untuk kita pakai. Malangnya kita renyuk dan bazirkan saja. Sekarang ini kita sudah sampai tahap yang Allah katakan seumpama ‘babi’ atau lebih dikenali sebagai haiwan yang ‘melampaui batas’.

Inilah hakikat yang Allah ceritakan dalam Surah Al-Maa’idah(5), 60. Katakanlah, “Mahukah aku beritahu kamu balasan di sisi Allah yang lebih buruk daripada itu? Sesiapa yang dilaknat Allah, dan dimurkai-Nya, dan menjadi antara mereka beruk dan babi, dan (bagi) penyembah Thaghut – mereka itu lebih buruk tempatnya, dan lebih jauh sesat daripada jalan yang betul.”

Manusia zaman sekarang sudah melampaui batas, seolah-olah tidak pernah merasa dosa melakukan zina setiap hari. Yang penting masing-masing dapat memuaskan nafsu dalam diri. Oleh itu, janganlah kita mendekatkan diri kepada zina sekiranya kita tidak mahu hal sedemikian berleluasa.

MENDEKATI ZINA SAJA DILARANG, APATAH LAGI MELAKUKANNYA.

Berdasarkan Surah An-Nur (24), ayat 31; ingin kami rungkaikan isi yang terdapat di dalam ayat tersebut. Bagi memelihara diri daripada didorong perkara maksiat, jagalah pandangan kita. Terutama seorang wanita, namun tidak terkecuali kepada kaum laki-laki juga. Tatkala kita berjalan, tundukkanlah pandangan kita, bukannya mendada. Janganlah kita menunjukkan aurat kita tidak kira di mana-mana pun kita berada.

Melalui pemerhatian kami di sekolah, khususnya pelajar perempuan kini, tatkala sesi persekolahan tamat, tudung yang digunakan bagi menutup perhiasan tubuh badan dah dicabut hilang entah ke mana. Alasannya, panaslah.. tak selesalah.. dan sebagainya. Terlalu ramai juga pelajar menyimpan gambar dan video porno dalam smartfone mereka dengan bangganya. Sesetengah mereka malah menyimpan gambar lucah mereka sendiri walaupun mereka bertudung. Sesiapa yang belum melakukan seks mereka gelar kolot.

Percampuran bebas dalam kelas atau sewaktu aktiviti luar sangat merimaskan. Sewaktu cikgu tidak masuk kelas, kami diminta buat kerja sendiri. Dapatkah bayangkan apa jenis kerja sendiri itu? Pelajar lelaki dan perempuan akan bebas bertepuk tampar, raba-meraba dan bergelak ketawa, mengilai-ngilai dan terjerit jerit tanpa segan silu. Tudung, baju kurung dan kain diselak-selak sesuka hati.

Bayangkan bagaimana rupanya jika kita yang bertudung menyelak baju dan menampakkan susuk peha dan punggung yang hanya bertutupkan kain tipis itu. Ramai juga yang suka menyelak tudung menampakkan belahan dada dari leher baju yang besar dan tidak berbutang… Astaghfirullah.

BAGAIMANA MENUTUP AURAT?

Spesifikasinya harus mengikut Al-Quran dan sunnah, itu PERINTAH daripada Allah. Itu yang ibu bapa RPWP ajarkan kami. Aurat berkait rapat dengan aura (tarikan). Auralah faktor utama yang mampu menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan dan perbuatan sumbang.

Jagalah etika pemakaian dan pakailah pakaian yang menutup aurat agar tidak menimbulkan aura. Jika bertudung ikutlah spesifikasi tudung contohnya sampai menutup dada. Pilihlah kain, ukurlah baju sesuai dengan saiz tubuh kita. Jangan terlalu tipis dan ketat seperti apa yang dipesan nabi sehingga kita berpakaian tapi nampak macam telanjang. Begitu juga cara berjalan, adab bercakap, cara bersolek dan sebagainya.

Sesungguhnya ibadah itu ialah mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Menjaga aurat itu juga suatu ibadah besar yang dapat menyelamatkan diri kita. Selagi ia diperlukan dan kita tetap melakukannya maka ada ganjaran daripada menahan panas dan tidak selesa (bagi yang belum biasa). Kami juga peringkat awalnya begitu, namun alah bisa tegal biasa. Yang penting kita tahu dengan tepat surah mana dan ayat mana datangnya perintah Allah itu. Setiap datang dugaan, ibu bapa ajarkan kami untuk ingat ayat itu sebagi motivasi. Bukan menghafalnya menjadi tangkal azimat untuk selamat tapi kita terus membuka aurat.

Dengan menutup aurat, kita akan terselamat kerana tidak menarik perhatian lelaki buas dengan menunjukkan perhiasan yang terdapat pada diri kita. Ironinya kita sendiri selaku anak nisa’ yang selalu sengaja membesar-besarkan aura itu untuk menarik perhatian dan menjemput pelbagai gejala.

Dengan kaedah memerhati dan mengkaji alam sekeliling, kita akan mampu membaca tanda. Hanya melihat cara berjalan, cara berpakaian, cara bercakap sahaja dapat menggambarkan siapa kita sebenarnya. Oleh itu wajiblah kita sentiasa berjaga-jaga. Walaupun kita merasakan perkara ini sesuatu yang dianggap kecil, namun masalah yang besar sebenarnya datang dari perkara yang kecil yang tidak diatasi dari awal.

Akhir kata, sentiasalah istighfar diri kita dan perkuatkan istighfar dengan taubat iaitu agar kita istiqomah dalam melaksanakan islah. Dengan istighfar (sentiasa memohon ampun) dapat dijadikan hudud, lebih-lebih lagi percampuran sumbang antara rijal dan nisa’. Bersama-samalah kita menuju ke arah kebaikan agar dapat melahirkan insan yang berkualiti pada masa hadapan.

Cetusan zam zam
WARGA PRIHATIN

ULASAN ADMIN

Artikel ini ditulis oleh anak nisa’ Tingkatan 3 dan dinilai oleh rakan sebayanya. Beliau yang baru habis peperiksaan PMR telah lebih 3 kali habis bacaan terjemahan Quran. Adalah anak yang sangat berakhlak dan menjaga adab… Alhamdulillah.

Antara perkongsian mingguan kami dengan anak anak ini ialah apa yang mereka lihat di sekolah dan apa pelajaran yang mereka dapat. Gejala sosial yang melampau dan isu ke arah murtad adalah paling banyak. Kami pula kongsikan apa yang kami jumpa di luar dan apa batas atau langkah hudud yang harus kami ambil agar mereka kenal masalah itu dan tidak mendekatinya.

Antara yang mampu menyedarkan bahaya gejala sosial pada mereka ialah kes buang bayi. Ramai di antara mereka yang menangis apabila kami tayangkan ratusan video dan gambar bayi terbuang. Kami juga sentiasa tayangkan ratusan gambar kemalangan ngeri hasil rempit. Begitu juga kes gadis hilang, rogol yang berbagai jenis tidak kira tua muda yang berlaku setiap hari. Smartfone adalah antara punca banyak gejala. Kerana itu kami haramkan mereka menggunakannya sejak dahulu. Biarlah mereka dikatakan kolot tidak mengapa.

Akhlak anak bukanlah suatu yang terjadi dengan saja saja, yang berjaya dibentuk bukan juga terjamin selamanya. Hari ini mereka baik, esok lusa belum tentu. Oleh itu kami galakkan mereka hidup berjemaah agar sistem hidup beragama boleh dilakukan bersama sama. Mereka diminta sentiasa saling nasihat menasihati dan ingat mengingati perkara yang hak. Seboleh bolehnya kami mahu mereka menghayati semua perintah Allah hingga dapat mereka rasa nikmatnya.

Bagaimana? Ada yang menangis atau hantuk kepala menyesal bila rambut mereka terlihat bukan muhrimnya, walaupun secara tidak sengaja. Ada yang menangis kerana puasa sunat mereka dibatalkan dengan paksa. Ada yang menangis kerana tidak diizinkan ikut kerja dan sebagainya… Alhamdulillah..

Sepanjang pengkajian kami memang tepat telahan anak ini. Gejala sosial di sekolah sudah masuk tahap BENCANA bukan sekadar gejala. Jikalah tidak kerana sekatan sistem pendidikan pasti kami tidak izinkan mereka ke sekolah. Biarlah kami sendiri ajar mereka.
Kajian kami menunjukkan sebanyak mana pun pendidikan kita beri kepada mereka, namun hakikatnya cabaran di luar sana terlalu berat dan menekan jiwa. Kerana itu kami berhabis habisan BERKORBAN DIRI dan HARTA menyiapkan sarana agar lebih ramai anak anak dapat dididik untuk menambah kekuatan mereka melawan godaan bersama sama. Fahamilah, Kami tolak permohonan mereka yang memohon bukan kerana kami tidak mahu, tapi prasarana tempat belum siap.

DISCLAIMER:

Kepada yang tidak senang dengan gambar ini kami pohon maaf. Kami tidak dapat memenuhi permintaan anda untuk menukarnya kerana kelemahan sistem FB ini, sekali gambar di upload ia tidak boleh ditukar gambarnya, kecuali tulisannya sahaja.

Yang kami harap bukan untuk anda menilai methodologi penyampaian (ini masalah umum pembaca Melayu), tapi kaji isi penyampaian atau mesej dari anak ini.

Jika beliau tingkatan tiga, pastinya mangsa adalah anak-anak yang sebaya atau lebih muda. Yang nak dipaparkan ialah umur anak di gambar itu (13 th), tempat atau lokasi (awam), waktu (siang). Lihat saiz dan isi beg anak perempuan itu, agak-agak ada berapa keping kertas atau buku?

Gambar ini pun bersepah di internet termasuk di fb sendiri. Rekod kami menunjukkan seks ANAK SEKOLAH INI sudah bermula dari DARJAH SATU… Kita tiada masa nak berkelahi pasal gambar lagi…

Jika kita nak cerita isu neraka, kena tahan hati masuk menjenguk isi neraka. Rasulullah dulu ceritakan terus bagaimana buah dada di gantung, manusia telanjang dibakar, rambut digantung, lidah dipotong, kemaluan disula… dan berbagai lagi.

Semua dinampakkan gambaran sebenar, tetapi ia sebagai tarbiah bukan nak melayan nafsu. Jika anda tunjukkan gambar begini kepada anak anda bersama mesej dan dengan tarbiah yang jelas, insyaallah ia akan jadi vaksin. Kuman yang dimatikan virulence nya. Jika tidak, anak anda akan melihat ribuan lagi gambar lebih teruk dari ini dengan nafsu buas. Itu baru menjadi viral dalam dirinya.

Naskah Al-Quran di Prihatin : Beginilah rupanya bila kita mengkaji Ayat-Nya.

9847_10152235775757786_1819683916_n

9837_10152235784277786_429844003_n  76105_10152235784542786_905156038_n 599723_10152235837242786_742934478_nBagi anda yang sewenang wenang menuduh Warga Prihatin menulis sebagai fantasi, sambil santai dan goyang kaki. Gambar ini mungkin boleh memberikan anda sedikit gambaran bagaimana telitinya kami mengkaji. Semua ini kami lakukan setelah masing masing puas bertalaqqi dengan orang yang ada nama dan degree. Memang benarlah kata Allah, jika ada perselisihan kembalilah kepada alQuran dan Sunnah. Surah 4 An-Nisa’ 59.

Kami mula mengkaji sekitar 25 tahun dahulu. Sebahagian kami telah bermula jauh lebih awal dari itu. Belum ada lagi istilah ‘cut and paste’ waktu itu, sepertimana pakar ‘KEYBOARD WARRIOR’ yang ‘cut and paste’ macam sekarang. Kami buat indeks sendiri kerana belum ada lagi al-Quran digital waktu itu.

Mengapa anak anak kami berfikiran kritis, boleh menulis seawal umur 7-10 tahun adalah kerana kami ajar mereka memahami dan mengkaji, bukan sekadar nak lulus periksa dan dapat degree, bukan sekadar melagukan dan menghafal buta buta sahaja. Kami tidak ajar mereka untuk dapat 20 A seperti kebanyakkan dari kita. Kami ajar mereka belajar untuk cari jalan bagaimana nak guna ilmu yang mereka pelajari, bagaimana nak menetapkan polisi diri. Kini, kami juga boleh belajar dari mereka yang sudah mampu memberi cetusan jernih tanpa penjajahan minda yang dipengaruhi buruan harta, tahta dan wanita macam kita yang sudah masing masing tua.

This is a real process of Reading: Notice, Take Note and Notify…

Tidak sekali kali berniat untuk membangga diri. Sekadar untuk berkongsi, khasnya dengan anda yang bertalu talu tanya bagaimana kami mampu didik anak anak kami sebegitu rupa. Inilah salah satu jalannya. Jadi kami paparkan agar anda ikut berbuat sama, jangan cepat melatah dan menuduh tanpa mengenali dan meneliti. Itulah adab dan akhlak berlalaqi yang tidak pernah akan kita rasai jika belajar mencari ilmu hanya dengan muka buku, tanpa kenal mengenali siapa murid siapa guru.

ISU MEMBUKUKAN ARTIKEL PRIHATIN

Penerbit buku yang tidak habis habis menawarkan royalti untuk kami bukukan, jilidkan artikel kami, berhentilah kerana kami mengkaji dan menulis bukan untuk tujuan royalti. Imej sabda Nabi s.a.w. itu kami shoot dari mukaddimah naskhah alquran yang melarang kita menulis walaupun Hadis baginda. Harap ia juga boleh membantu anda mengapa kami menolak sebarang pembukuan. Kami dapati kaedah terbaik ialah dengan berdipan dipan mesra, bertalaqqi, belajar dan mengkaji secara berdepan dan berjemaah. Setiap diri, berdamping dengan penuh minat dengan alQuran dan mengkaji secara berjemaah AKA bersahabat dengan sama rata.

KAJIAN JATUH BANGUNNYA ISLAM

Kajian kejatuhan Islam di Nusantara ini telah kami urut teliti lebih 100 tahun ke belakang. Alhamdulillah kami nampak jelas mengapa dan bagaimana Islam berjaya dihapuskan oleh musuh dari nenek moyang kita sejak lama dulu lagi di Nusantara ini.

Kami kaji juga bagaimana pembangunan Islam bermula dari Bapa manusia, Nabi Adam a.s. diteruskan oleh Nabi-nabi Idris, Nuh, Hud, Salleh dan lain lain sehingga terzahirnya Suhuf oleh Bapa Agama ini, Ibrahim a.s. Ia berkesinambungan dengan turunnya kitab-kitab Allah sehingga turunnya Al-Quran, kitab terakhir kepada baginda Rasulullah s.a.w. yang telah berjaya menyempurnakan kefahaman dan perlaksanaannya. Legasi itu diteruskan pula Siroot dan Sabilnya secara jihad oleh para sahabat dan Ahlulbait, Khulafak Ar-Rashidiin, dan penerus Tabiit Tabiin selepasnya hingga sampai ke Nusantara ini.

TUDUHAN MELULU

Anda yang menuduh kami Syiah atau Wahabi harap berhenti. Kami sudah tolak semua itu sejak dulu lagi. Itu semua sudah tidak ASLI kerana fahamannya terbit selepas baginda Rasulullah s.a.w. pergi mengadap Ilahi.

Anda yang menuduh kami sebagai PEMUDA KAHFI, gerakan MLM, Al-Zaytun atau seumpamanya juga harus hati hati. Jangan hanya kerana kami guna terjemahan alquran yang yang kebetulan sama macam mereka maka anda cop kami serupa. Jika kami telah membuat kajian 100 tahun ke belakang bermakna Pemuda Kahfi juga tidak terlepas dari kajian kami. Amalan mereka amat jauh berbeza. Kefahaman dan polisi keIslaman mereka hanya 8% persamaannya berbanding dari kami. Perhatikan beberapa ciri ciri mereka yang sangat berbeza dengan kami.

PEMUDA KAHFI mensasarkan untuk menumbangkan negara dan megambil alih pemerintahan melalui agama. Mereka menganggap orang selain mereka semuanya kafir belaka. Segalanya halal bagi mereka termasuk ibu bapa sendiri. Solat, puasa, bahkan segala yang haram adalah halal bagi mereka kerana kononnya Islam belum ada kuasa, dan kononnya hukum belum berjalan. Pendirian kami pula berbeza, jika kita ingin orang lain menerima Islam, kita sendiri harus mampu melaksanakan hukum hakam itu di dalam diri dan keluarga kita sepenuhnya sehingga kelihatan hasil murninya untuk dicontohi orang lain. Kami didik anak anak didik kami agar sangat menghormati orang tua walaupun mereka berbeza agama.

PEMUDA KAHFI bersifat sembunyi dalam GUA. Anda tidak kenal individu dan markas mereka yang sentiasa berubah setiap 3 bulan. Kerja mereka hanya merekrut ahli dan mengumpul dana orang ramai dengan meyakinkan doktrin mereka. Kami pula amat terbuka samada segi individu maupun tempat kami. Anda boleh buka web kami dan lihat sendiri, bahkan anda boleh datang sendiri. Jumlah kami 20 co-founders tidak pernah bertambah, malah berkurang sejak 8 tahun dahulu. Begitu ramai yang ingin turut serta juga tidak dapat kami terima kerana kami ingin buktikan satu MODEL yang Islam itu boleh dibangun dengan jumlah yang kecil sahaja. Sesiapa yang berminat harus berusaha dengan jemaah sendiri di tempat masing masing. Kami boleh kongsikan modulenya sahaja.

Kami harap tips tentang pemuda Kahfi ini dapat menjernihkan pemikiran anda yang tidak habis habis mencari salah dan suka menfitnah. Hentikanlah tohmahan dan fitnah melulu kerana fitnah itu lebih teruk dari membunuh. Ketahuilah, Sejak 8 tahun dulu, kami dipantau oleh Cawangan Khas PDRM peringkat tertinggi tanpa henti. Pihak ADUN, Jawatankuasa masjid, ketua Kampung, rukun Tetangga, Jabatan Agama Islam, bahkan jabatan Perdana Menteri juga turut memantau. Salah seorang penyumbang tetap kami juga seorang bekas pegawai tinggi Polis bergelar Datuk. Yang menganugerahkan TOKOH MAULIDURRASUL juga seorang pegawai tinggi Bukit Aman bergelar Datuk. Alhamdulillah kesemua mereka amat berpuashati kerana hasil usahakami katanya sangat murni.

AYUH KITA SAMA SAMA SALING BAHU MEMBAHU, KEMBALI KEPADA ALQURAN & SUNNAH, ZIKIR DAN FIKIRKAN DENGAN SERIUS. HENTIKAN PERSELISIHAN.

Hasil kajian kami mendapati, Salah satu penyebab umat berpecah, cabang dan bidaah bercambah adalah kerana terlalu banyak yang mengaku pandai secara individu dan SUKA SANGAT menulis kitab yang sering dijadikan ketetapan oleh awam, menetapkan itu ini melalui BUKU peribadi (fixed).

Tulisan kami bukan satu ketetapan dan ia akan sentiasa kami upgrade, bilamana kami dapat input terbaru dan terbaik. Nothing is fixed. Yang kekal fixed adalah alQuran & Sunnah. Itulah KITAB yang telah DITETAPKAN. Oleh itu jangan takut menegur kami, tapi sebaiknya BERADAB atau melalui inbox sebab anda juga tidak kenal siapa KAMI (bukan AKU). Kami tahu PASTI apa yang kami buat dan apa yang kami kata. Cuma mungkin kami belum pandai menyampaikannya dengan sempurna dan berkesan mengikut bahasa dan selera yang anda suka.

Semuga anda semua ikut meneliti, jangan hanya duduk mengaji. InsyaAllah anda akan merasa nikmatnya dan hujungnya nanti kita dan KELUARGA boleh duduk bersama memperbetulkan diri dan ummah ini ke arah mendekati Ilahi. Hidup sejahtera yang sebenar benarnya dalam ISLAM.

Disklaimer
WARGA PRIHATIN

Parenting Tips 20 – BERHALA ANAK

 

00 berhala finalParenting Tips 20 – BERHALA ANAK

Adakah anda sekalian mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan berhala? Mesti anda terfikir bahawa berhala itu patung yang dibina dan diukir oleh tangan masyarakat Arab Jahilliyah lalu disembahnya. Anda semua mesti tahu cara menyembah patung tersebut bukan? Tentulah caranya dengan meng`hala’kan wajah dengan khusyuk menghadap ber’hala’.

BEGITULAH adanya. Banyak perkara yang dicipta, diukir dan diada adakan oleh manusia yang kemudiannya menjadi sembahan manusia lain sekarang ini. Ada yang berbentuk benda, seni, budaya atau cara hidup dan sebagainya.

Berhala juga dipanggil IDOL. Menyembah juga boleh dimaksudkan dengan meminati atau menyukai sesuatu samada individu, harta benda, pangkat, cara hidup dan lain-lain. Ia boleh menjadikan sembahan kita terhadap Allah jadi menurun atau berbelah bagi.

Dalam isu cara hidup, idola yang salah boleh membuat kita terpesong dari peraturan hidup dan undang-undang agama kita. Impak menyembah berhala boleh menyebabkan kelalaian daripada melakukan apa yang disuruh Allah. Akibatnya, kita akan kerap melakukan apa yang dilarang, melampaui batas dan melakukan sesuatu yang tidak fitrah di sisi Allah.

Sebagai anak, kami ingin petik fenomena yang dapat kita lihat di kalangan rakan sebaya kami sekarang. Contohnya, ramai rakan rakan kami yang taksub dengan idola mereka mengenakan pakaian dan cara hidup yang melampau. Ia jelas melanggar aturan Allah, khususnya yang perempuan. Di sekolah mereka pakai tudung kerana peraturan sekolah. Di luar? “MasyaAllah”. Bila ditegur guru atau ibu bapa, mereka mengherdik dengan bermacam cara.

Ramai juga yang sangat taksub dengan telivesyen, permainan video dan gajet-gajet yang canggih. Sebahgian lagi menyukai lagu, artis, pemain bola dan sebagainya dengan berlebih-lebihan. Bilik penuh ditampal gambar idola idola itu. Semua ini menyebabkan banyak kerja mereka tertangguh. Sebagai contoh, mereka mudah melambat atau meninggalkan terus solat fardu, tidak menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, emak dan sebagainya. Ini kerana `HALA’ tuju minda mereka hanya tertumpu kepada perkara tersebut.

Contoh yang paling menyedihkan lagi adalah apabila ada di kalangan rakan yang kami kira sudah berakal sampai sanggup mengherdik, merentap baju dan tudung emak sampai hampir koyak. Bahkan ada yang sanggup menumbuk dan menampar badan emak dengan kuat untuk mendapatkan gajet yang dihajati. Selain dari emak tidak mampu kerana himpitan hidup sebagai ibu tunggal, beliau juga belum layak menggunakan i-fone canggih contohnya kerana banyak gejala boleh mengalir melalui gajet itu.

Tapi kerana BERHALA itu, kita sanggup menolak perintah Allah untuk buat baik pada ibu bapa dan guru. Tabiat bertangguh dan lalai pula adalah salah satu contoh amalan syaitan. Jadi siapakah yang sedang menguasai diri kita? Syaitan ataupun Allah?

Intihanya, perlulah diingatkan kita jangan sampai taksub atau obsess yang terlampau dengan sesuatu perkara selain apa yang diperintahkan Allah. Harta, gajet yang menyeronokkan bahkan apa saja perhiasan dunia ini gunakanlah sekadar keperluan. Jangan sampai melalaikan dan menjauhkan kita dari apa yang Allah perintahkan. Ini adalah kerana semua itu akan kita tinggalkan apabila kita meninggalkan dunia yang fana ini. Harta hendaklah diletakkan di tangan bukan di hati supaya senang untuk kita melepaskannya.

Konklusinya, untuk mengelakkan diri kita daripada menyembah berhala maka letakkanlah Allah di dalam kalbu kita. Sembahyanglah, `Sembah Yang’ SATU, sembah Allah Yang Maha Esa, jangan diperbanyakkan SEMBAHAN. Jika kawan kawan baca terjemahan Quran nanti anda akan jumpa banyak cerita tentang berhala ini. termasuk menyembah individu macam Firaun, menyembah orang alim dan ahli kitab, menyembah anak & harta, dan sebagainya.

Untuk rakan-rakan semua, mari kita teliti ke dalam diri kita, sejauh mana telah ujudnya `berhala’ dalam diri kita. Berapa banyak idola dan minat kita yang telah keterlaluan sampai mengatasi minat dan kepatuhan kita terhadap ibu bapa, terhadap guru, kerja sekolah dan yang paling penting terhadap ALLAH?

Cetusan Zamzam
ANAK PRIHATIN.

P/S:
Penulis adalah Anak Asnaf Berumur 12 tahun. Telah 3x habis baca terjemahan Quran. Mumtaz Sekolah Agama, baru selesai UPSR. Cita-cita nak belajar ilmu Wahyu dan Hadis untuk bantu Prihatin Cegah Gejala Sosial.

Parenting Tid Bit 19 : Malaikat Bukan Satu Misteri Agama

MALAIKAT 2Parenting Tid Bit 19 : Malaikat Bukan Satu Misteri Agama. Adaptasikannya Dalam Konsep Pendidikan Akhlak

Sejak kecil kita diajarkan bahawa setiap manusia yang lahir di dunia ini ada malaikat yang sentiasa mengawasi dan mencatit amalan baik dan buruk mereka. Pada masa yang sama juga kita semua tahu bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Allah tidak lupa, yang dulu sekarang dan akan datang. Mengapa Allah masih perlukan Malaikat? Perlu catit dan melapur pula tu? Ini lah mekanisma PENGATURAN alam.

“Alhamdulillahi Robbil Alamiin”- “Segala puji bagi Allah Pengatur alam”. Kita membaca Fatihah setiap hari yang menuntut kita memuji Allah dengan keberkesanan pengaturan Allah ke atas alam ini. Namun Kami juga yakin bahawa tidak ramai yang menyedari yang sesungguhnya Allah, zat yang mengatur sekalian alam ini sedang mengajarkan kepada kita bagaimana kita harus berbuat untuk menjadi seorang pengatur di atas dunia ciptaanNya. Dalam isu ini bagaimana fungsi malaikat itu harus diterjemahkan dalam sistem kehidupan keluarga Islam.

Coretan ini adalah melalui kisah dan pengalaman kami didalam mendidik diri dan adik-adik agar mungkin menjadi sumber inspirasi bagi yang merasakan kehausan ILMU RUMAH TANGGA. Melalui “konsep malaikat”, anak-anak di RPWP diajarkan unuk saling memerhati, menjaga, dan menasihati antara satu sama lain terutama sekali ketika mereka berada di luar kawasan seperti di sekolah, di padang riadah, di masjid, di majlis jemputan dan sebagainya.

Melalui konsep ini, setiap anak akan menjaga tingkah laku mereka kerana mereka tahu bahawa selain memerhatikan sahabat yang lain, mereka juga diperhatikan. Penjaga kami juga menggunakan seluruh sumber lain yang ada dengan mendapatkan maklum balas mengenai tingkahlaku mereka melalui guru-guru mereka, cctv dan sebagainya. Bahkan penjaga kami sendiri yang memberikan rotan kepada guru untuk menghukum sekiranya kami melakukan kesalahan.

Hasil sehari pemerhatian anak-anak kemudiannya harus dilengkapi dengan proses maklum balas dimana hasil salah laku mesti ditegur atau dihukum sewajarnya. Perbuatan yang baik pula mesti dinampakkan dan diberi ganjaran atau pujian agar menjadi suntikan semangat kepada pelaku dan jadi contoh kepada yang lain.

Ketika proses maklum balas dari peranan kemalaikatan ini, setiap anak dengan sendirinya akan mengakui kesalahan masing-masing kerana andai mereka tidak mengaku, pasti akan ada teman-teman mereka yang akan melaporkan kesalahan mereka. Secara tidak langsung, ia mengajar anak-anak Prihatin untuk bersikap lebih telus.

Kitab amalan anak-anak akan di tutup di hujung waktu Asar, sebelum Maghrib. Hasil sesi maklum balas yang dilaksanakan dalam syuro harian anak-anak malam hari itu kemudiannya akan dilapur dan dibincang dalam syuro bapa tengah malamnya. Hasil rumusan dari syuro bapa akan menjadi sumber inspirasi ibu-ibu untuk disampaikan dalam ikrar pagi anak-anak itu pada keesokannya. Proses ini diamalkan setiap hari di Rumah Pengasih Warga untuk memastikan akhlak penghuni didalamnya sentiasa berada didalam keadaan yang baik dan terkawal. Maka, seluruh fungsi kekeluargaan berjalan setiap hari tanpa cuti.

Bukan sahaja anak, para bapa dan ibu di sini juga tidak lari dari konsep “peranan malaikat” ini. Hanya dengan mengamalkan konsep ini, kami sendiri sedang merasakan nikmatnya hidup berkeluarga walaupun diantara kami kebanyakannya tidak memiliki pertalian darah sama sekali. Rasa kasih dan sayang yang lahir dalam hidup berkeluarga tidak akan datang dengan bergolek dengan sendiri tetapi melalui pelbagai proses antaranya seperti saling memerhati, menegur, dan beristighfar (mengakui kesalahan sendiri).

MAT SALEH DAH TAHU DAH BENDA NI, MEREKA MUNGKIN LEBIH ADVANCE “ISLAM”NYA SEBAB ITU MEREKA KELUARKAN IDIOM “YOU HATE A GOOD FRIEND FOR TELLING YOU THE TRUTH BUT YOU LOVE BAD FRIENDS WHO TELL YOU LIES”.

00 malaikatNikmat yang kami rasai di sini dan bapa-bapa juga ibu-ibu kami rasai ialah satu suasana ketelusan tanpa prejudis. Jika buruk dikatakan buruk, jika baik dikatakan baik. Pahit, panas telinga, panas hati itu dah biasa tetapi konsep BERUBAT memang ubat yang baik itu semua pahit-pahit (lagi-lagi ubat tradisional) dan yang manis-manis tu semua bawa kencing manis sahaja.

Begitulah Allah mengajarkan kita tentang sistem kawalan dalam keluarga. Berapa ramaikah anak-anak zaman sekarang menyimpan rahsia? Ada tak peranan malaikat yang jaga tepi kain mereka? Berapa ramai pula adik beradik lain yang subahat? yang saling lindung melindungi atas kerjabuat negatif? Si Kak Ngah pergi dating boyfriend dan ponteng sekolah, Si Kak Long tolong coverkan. Kerana Kak Long punya giliran nanti, Kak Ngah pula yang tolong coverkan. Lagi teruk, sampai boleh buat projek bawah tangga, Si kakak cover adik, Si adik cover kakak (Nauzubillah). Maaf, kami bercakap dari fakta kes-kes yang merujuk kepada institusi kami bukannya cakap kosong.

Perlulah diingat, Malaikat tidak makan (nasi dan rasuah). Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, berilmu, bukan dari api macam syaitan dan batu api. Jadi, Malaikat menjalankan tugasnya dengan kefahaman, TANPA KEPENTINGAN, tanpa prejudis, sucihati dan tidak mengapi-apikan berita. Amalan KITA sekarang pula LAIN SEKALI. Tiada isu jika adik beradik melindungi kesalahan adik beradik yang lain dari pengetahuan pengatur mereka (kecuali mereka juga terjebak sama dan terpaksa melindungi untuk dilindungi). Jika ada lapuran pula atas dasar dengki dan irihati..!

Inilah konsep dan prinsip dalam kehidupan yang saling bergantung dengan fungsi kemalaikatan dalam keluarga dan masyarakat yang banyak Allah nyatakan dalam Quran namun kita tidak dapat `menyedut’ sistem itu untuk dilaksana agar teratur keluarga kita.

Sila baca bersama Parenting Tips 17 dan Siri Sains Fatihah 1-7.

Hasil Cetusan ZamZam ke-2
ANAK PRIHATIN

Tid Bit Parenting 17 – Rahsia Besar Cermin Ajaib & Pendidikan Anak

00 cermin ajaib
Sediakan cermin yang cukup besar di depan, belakang, kiri dan kanan untuk melihat semua bahagian tubuh kita. Lebih besar cermin, lebih jelas analisa tubuh kita. Bersihkan juga cermin agar tidak kabur sebelum kita guna. Tanpa cermin, hidung di hadapan mata kita sendiri pun tak akan kita lihat, apatah lagi yang dibelakang. Jika ada sesiapa yang angkuh dengan berkata “Aku tahu siapa aku, orang lain tak boleh masuk campur” itu bermakna mereka ini tak mungkin akan kenali diri sendiri sebaik-baiknya.APA PULA CERMIN AJAIB?Cermin kaca itu untuk melihat tubuh badan dan wajah kita. Cermin ajaib pula untuk memperlihatkan perangai dan kerjabuat kita. Itulah cermin yang berkata-kata dan boleh memberikan ulasan sebenar tentang diri kita. Konsepnya sama saja, mesti cukup bersih, cukup besar dan berada di setiap sudut di mana saja kita berdiri.

Cermin ajaib milik ratu jahat musuh kepada `Snow White’ pun sentiasa bercakap benar dan tidak gentar untuk menyatakan sesuatu yang benar walaupun gerun dengan kuasa yang dimiliki oleh ratu sihir itu.

Dalam era kemajuan teknologi kita sekarang, tahukah anda yang kita semua juga boleh menggunakan khidmat cermin ajaib ini? Namun, tidak semua daripada kita sedar akan kebaikan yang boleh diperoleh daripada penggunaan cermin ajaib ini.

Melalui cermin ajaib, anda boleh mengawasi segala tingkah laku anak anda, tingkah laku sahabat anda, malah anda boleh mengetahui segala hal yang berlaku di sekitar anda. Melalui cermin ajaib juga, anda boleh melihat semula perkara-perkara lalu yang telah berlaku. Dengannya anda boleh membuat perubahan untuk tidak mengulangi masalah yang sama pada masa yang akan datang. Pendek kata, pelbagai perkara yang positif boleh diperoleh apabila anda mempunyai cermin ajaib anda sendiri.

CERMIN AJAIB DARI RAKAMAN VIDEO

Di Prihatin, kami turut mempunyai cermin ajaib kami yang tersendiri. Setiap aktiviti yang berlaku akan dirakam menggunakan beberapa kamera video. Baik daripada aktiviti mesyuarat para bapa di bilik cat, mesyuarat para ibu di dapur, aktiviti pembelajaran anak-anak, mahupun aktiviti harian seperti menyambut tetamu, latihan apresiasi seni di dewan, bacaan ikrar anak-anak pada waktu pagi, majlis doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil mingguan anak-anak, bahkan aktiviti latihan kompang, silat, riadah, gotong royong dan banyak lagi aktiviti lain juga turut dirakam.

Mengapa perlu dirakam?

Tujuannya adalah bagi memudahkan kami untuk menyorot kembali hal-hal yang telah dilaksanakan. Jika ada kesalahan dimana-mana bahagian, kami boleh membuat islah (penambahbaikan) dan mengelakkan sebarang kesilapan daripada berulang. Sebagai contoh, semasa sesi latihan pidato anak-anak, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka mempunyai masalah pergerakan bahasa tubuh dan intonasi yang betul semasa menyampaikan pidato. Melalui penggunaan kamera perakam, individu yang bermasalah boleh mengenal pasti kesalahannya sendiri dan mudah untuk membuat islah. Contoh lain, semasa bacaan Surah Yasin dan tahlil, sebutan makhraj huruf boleh dibetulkan dengan tepat apabila individu tersebut boleh mengenal pasti kesalahan yang dilakukan berbanding dengan teguran secara lisan yang diberikan oleh individu yang lain.

CERMIN AJAIB DARI GURU, RAKAN & JIRAN

Baru-baru ini PDRM di hentam hangit kerana mengambil langkah meredah sekolah untuk membenteras pelbagai gejala gengsterism. Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa hampir semua sekolah menghadapi masalah gangsterism yang parah. Di kalangan mereka ada pangkat ayahanda, ada pangkat kak long dan abang long. Mereka malah digunakan oleh institusi gangsterism di luar untuk pelbagai aktiviti salah. Kononnya anak sekolah tidak akan dihukum gantung, habis berat sekadar buang sekolah. Maka berleluasa lah macam macam gejala di sekolah.

Tahukah anda, bahawa pengasuh, cikgu, rakan dan jiran anak-anak anda juga satu wasilah cerminan kepada tingkahlaku anak anda?

Fenomena sekarang ramai yang melenting dan melompat malah bersilat bila cikgu atau pengasuh melaporkan tingkahlaku buruk anak-anak mereka. Tambahan jika kesalahan anak telah di hukum oleh pihak sekolah. Ramai sekali yang buat lapuran polis dan ambil lawyer. Tidak kurang yang guna kuasa tukarkan guru dari bandar jauh ke desa. Ini bukan provokasi, tapi ini realiti. Jika anda belum terbaca di mana-mana, segeralah bertanya rakan guru di mana mana.

Ironinya, Ratu Sihir yang jahat itupun tak hempaskan cermin ajaibnya apabila cermin itu sentiasa memberitahu yang `Snow White’ lah ratu tercantik di dunia ketika itu. Ini lagi teruk kesnya dari ratu sihir tu. Takkanlah bila dah jadi terang-terangan depan mata, baru nak percaya? Bahkan itupun selalu masih nak salahkan orang lain..!.

CERMIN AJAIB DARI CCTV

Ada 65 CCTV terpasang di seluruh tingkat dan kawasan RPWP. Ini termasuk 4 unit yang di bawah kawalan PTZ (kawalan fokus dan pusing). Segala kerja buat yang dilakukan di setiap pelusuk kompleks ini boleh diperhatikan dan dirakam. Ini boleh mengelakkan berlakunya hal-hal yang tidak diingini sebaik saja tanda-tanda dapat dikesan.

Kita tidak mampu untuk mengawal pergerakan anak kita di setiap sudut, jadi dengan menggunakan bantuan kemera litar tertutup, kita boleh menghidu segala kerja buat yang dilakukan oleh anak-anak dan ahli keluarga kita supaya kita dapat mengawal situasi sekeliling dengan mudah.

Salah satu CCTV kawal jauh Prihatin ada fungsi `night vision’ dan mampu zoom sehingga jarak 2 km. Sering kali kami hubungi ketua kampung dikala kami kesan ada aktiviti khalwat di taman permainan dan celah-calah bangunan. Ini kami kesan berlaku setiap kali selepas kelas tuisyen malam di balairaya, atau suka suka mereka berkhalwat di awal pagi. CCTV Kami merakam bagaimana mereka keluar dari pintu belakang, sorong motosikal sampai jauh baru start injin, atau menyusur lorong untuk bertemu mat rempit yang datang menjemput. Malangnya tiada tindakan serius dari pihak berkenaan.

Sesekali sekala kami sendiri halau mereka yang sedang berpeleseran ini. Sedihnya mereka ini anak-anak bawah 15 tahun kebanyakannya. Ada pula di kalangan gadis seumur 13 tahun yang hempas cermin dengan bertempik kuat dengan kata-kata yang jijik di depan gate RPWP di kala maghrib. Boleh anda bayangkan bila mendengar gadis sunti berkata kepada beberapa rakan gadisnya di depan anak-anak rijal kami,“pantat aku, ikut akulah, apa orang kampung nak sibuk?”… MASYAALLAH. Itulah realiti..!

Pengalaman yang kami rasakan cukup pahit bila mengetahui seorang gadis 16 tahun yang kami rawat telah menghimpun dalam diari sendiri 285 jantan yang pernah menidurinya. Itu anak seorang USTAZAH dan bapa seorang Polis. Boleh anda bayangkan anak insan biasa macam kita?

Rupanya pengalaman itu belum cukup berat.! Anda mungkin turut membaca tawaran di Facebook, seorang gadis Melayu yang secara terbuka menawarkan khidmat seks ke seluruh dunia untuk mencapai azam meniduri 100,000 lelaki. Ini bukan lagi “Gila Babi”. Babi gila pun tak akan buat macam ini. Sedangkan Lelaki lagikan Allah tetapkan quota, binatang jantan pun ada quota untuk jumlah betina. Inikan seorang gadis mencari jantan seramai itu. Boleh anda bayangkan betapa teruknya manusia?

CERMIN AJAIB DARI “SPY SOFTWARE APPLICATION”

DI PRIHATIN, penggunaan laman web di media sosial juga akan turut diperhatikan menggunakan aplikasi khas bagi menjejaki segala aktiviti anak-anak, baik yang dewasa, mahupun yang muda. Kita sedia maklum dengan pengaruh budaya kuning yang berleluasa di media sosial. Baru baru ini kami ceritakan ada di kalangan anak darjah 1 yang sudah melihat aktiviti seksual samada live atau melalui video. Semua kita mengakui bahawa isu ini sangat sukar untuk dibendung jika kita tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Dalam kita sibuk solat Aidilfitri baru-baru ini, dua beradik yang berbaju Melayu telah ditangkap di sebuah siberkafe kerana melayari laman web lucah dan melakukan “aksi lucah yang melampau” pada pagi Hari Raya. Ini menunjukkan ibu bapa mereka telah gagal untuk memantau segala aktiviti anak mereka.

Di Prihatin, anak kami sendiri bernama Muhamad Dinie yang dalam pengajian Sarjana Muda “Computer Artificial Inteligent” telah berjaya membuat integrasi aplikasi pengintipan komputer secara halus bagi membendung gejala maksiat internet di kalangan anak-anak kami di IPT. Dinie juga menguruskan aplikasi CCTV monitoring melalui handfone agar pemantauan boleh dibuat di mana saja. Alhamdulillah sekilas sahaja tabiat pelik yang dikesan telah kami panggil dan basuh semula minda anak anak itu. Inilah kesungguhan dalam usaha menangani gejala sosial.

Kami tidak boleh menceritakan detail tentang aplikasi ini secara terbuka kerana jika landak tahu di mana dan apa rupa perangkap sampai bila bila kita tidak akan dapat tangkap. Insyaallah jika diizin Allah anda akan dapat peluang mengetahuinya secara langsung dalam program “Parenting Workshop” yang banyak dicadangkan oleh follower prihatin bila tiba masanya nanti.

MENGENAL TANDA DARI CERMIN

Di Prihatin, Walaupun belum ada kes yang serius, tetapi sekurang-kurangnya pemantauan secara remote itu telah menghentikan TANDA-TANDA GEJALA yang sedikit mahu menular di kalangan anak-anak Prihatin. Dalam bab itu, bapa-bapa Prihatin memang sangat-sangat CEKAP MENGESAN TANDA. Mungkin kerana banyaknya kes-kes kebejatan sosial yang dirujuk kepada Prihatin menunjukkan kerosakan akhlak itu ADA TANDA-TANDANYA. Jika anak dah mula `steady chatting’ dengan lelaki dan mula nak hantar gambar, itu tandanya zina boleh berlaku.

Sila baca artikel MENGENAL TANDA untuk mengetahui lebih lanjut.

Cantas tanda-tanda ini sebelum ia merebak tanpa kawalan. Nafsu itu seperti api, lagi ditiup lagi jadi marak. Maka, bila api kecil mula tercetus, bapa-bapa dan ibu-ibu Prihatin akan berhadapan dengan anak-anak itu untuk menyiram AIR bagi memadamkan NAFSUnya. Ya, Air itu adalah sifat ilmu yang mengalir. Ia satu keperluan untuk semua manusia hidup dan ia tidak boleh dipegang tetapi boleh dirasai. Mudahnya dalam terma muda mudi… “KENA BASUH”.

Ramai sangat kes-kes GEJALA AKHLAK ini datang merujuk. Kami dah tak larat nak tadah. Ibu bapa di luar yang nampak tabiat luar biasa anak, contohnya bertudung walaupun di rumah rupanya nak sorok `love-bite’. Anak tiba-tiba berubah dari baju dan seluar ketat jadi baju kurung atau jubah labuh rupanya nak sorokkan kehamilan. Tak pasal-pasal anak beli baju dan seluar dalam fancy, bahkan G-String sekalipun juga boleh dijadikan TANDA…

Biar kita CEMBURU dengan mereka dan ambil tahu apa mereka buat daripada tiba-tiba menerima kejutan yang bukan-bukan. Nanti ada Sang Bapa yang gatal selalu nak cari video lucah dalam internet tapi kena stroke tak pasal-pasal bila tengok anak sendiri yang sedang beraksi lucah dalam internet.

SIFAT KHUSUS CERMIN AJAIB

Cermin itu bersifat telus dan tidak mengancam. Ia tidak akan mencela tetapi menegur kita secara lembut untuk menampakkan dan membuang sifat kotor yang terlekat pada diri kita tadi.

Ia juga tidak bersifat pilih kasih. Siapa sahaja yang berdiri dihadapannya tidak pernah ditolak baik yang kaya mahupun yang miskin. Ia tetap akan menonjolkan diri sebenar individu yang berdiri dihadapannya dan yang paling utama, cermin sentiasa bersifat telus dan tidak pernah menipu. Jika putih baju yang dipakai, maka putihlah yang akan kita lihat didalam cermin.

Tuntasnya, Cermin bukan sahaja boleh memantulkan paras fizikal kita, lebih penting lagi kita dapat melihat sifat sebenar seseorang menerusi cermin ajaib. Jika tidak, masakan ada ungkapan “kau cermin diri kau baik-baik, baru boleh sedar diri”. Bukan itu sahaja, kita juga dapat memantau keadaan sekeliling dan dalam pada masa yang sama membantu kita membuat islah dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak sihat daripada berlaku. Persoalannya kini sudahkah anda mendapatkan khidmat cermin ajaib anda?

Jadilah cermin terbaik kepada anak anda
Jadilah cermin terbaik kepada sahabat anda
Jadilah cermin terbaik kepada isteri anda
Jadilah cermin terbaik kepada jiran anda, masyarakat dan pemimpin anda…

Jadilah orang yang selalu MENCERMIN DIRI SETIAP HARI. Bersihkanlah diri sentiasa agar mampu dijadikan cerminan orang lain. Sentiasalah kita berusaha mencantikkan akhlak dan bukan mencantik rupa semata-mata.

Maaf jika ada yang terkasar bahasa. Kami ini anak anak yang baru mencuba.

Cetusan Zam-Zam
ANAK PRIHATIN

Parenting Tips 11: Membangunkan Anak Dari Tidur


PARENTING TIPS 11: TIPS MEMBANGUNKAN ANAK DARI TIDUR

Salah satu daripada masalah besar ibu bapa ialah kesukaran mengejutkan anak dari tidur.

Tips kali ini memberikan contoh secara langsung bagaimana amalan terbaik membangunkan anak dari tidur. Kali ini ia berbentuk video, sebagai memenuhi permintaan ramai yang ingin melihat secara live amalan parenting kami. Maaf kualiti agak rendah sebab ini rakaman video lama dan ia adalah kandid, bukan filem/drama.

Dr Masjuki, Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin yang mesra kami panggil AYAH adalah seorang yang tegas, tipikal seorang bapa gaya orang JAWA. Jika KESEMUA anak-anak beliau yang telah kami paparkan mempunyai jatidiri dan semangat juang yang tinggi adalah kerana beliau mampu turunkan jatidiri beliau dengan lancar. Soalnya apakah amalan atau tabiat beliau dalam membentuk dan mendidik anak sejak bayi? Ini yang menarik untuk sama-sama kita perhatikan.

Abu Rijal yang mesra dipanggil Ijal, adalah anak bongsu beliau yang berumur 5 tahun ketika rakaman video ini. Seumur ini Ijal sudah menghafal Surah-surah Juz Amma, sudah masuk pertandingan tilawah peringkat daerah dalam katagori tadika. Kini beliau sudah masuk pertandingan azan, Nasyid dan sebagainya. InsyaAllah akan kami upload sedikit klip hafazan dan rakaman kandid interaksi beliau dengan Ayah, termasuk bagaimana beliau dirotan juga kemudian nanti.

Sepertimana 7 orang anak-anak Ayah yang lain, Ijal yang kini darjah 4 juga petah berbicara, berwajah ceria, berani atas pentas dan agak cemerlang akademiknya. Ayah hanya tegas dan agak garang ketika anak-anaknya buat salah. Tapi ketika anak dalam keadaan patuh kita boleh lihat bagaimana Ayah membelai dengan penuh kasih sayang. Oleh itu hukuman paling berat dan ditakuti anak-anak Ayah ialah HUKUMAN MASA, iaitu bila Ayah tak izinkan mereka masuk bilik Ayah untuk bermesra. Sikap Ayah terhadap kami rakan-rakan co-founders yang berkerja sama-sama dengan beliau juga begitu.

Sebelum Ayah jatuh dan patah kaki dahulu, pejabat beliau di tingkat 3 RPWP. Beliau banyak melakukan kerja pejabat di waktu malam kerana siang terpaksa melakukan banyak kerja kasar membina bangunan. Lihat bagaimana setiap malam Abu Rijal bawa bantal dan selimut naik ke tingkat 3 untuk tidur atas lantai menemani Ayahnya.

BAGAIMANA AYAH BERHALUS MENGEJUT DAN MEMBANGUNKAN IJAL?

Ayah sangat minat dan mendalami bidang Psikologi dan mendapat distinction sewaktu di Universiti. Pesan Ayah, Jangan sekali-kali sergah anak atau menengking sewaktu mengejutkan mereka. Ini boleh mematikan jiwa mereka. Kita cuma perlu rapatkan diri, body contact, seakrab mungkin dengan anak sejak kecil, biar anak rasa hangat tubuh kita, berlaku energy transfer dan mereka akan sentiasa mengenang dan respek dengan kita.

Sebenarnya kebanyakkan Parenting Tips yang kami kongsikan adalah hasil uswah dari Ayah yang telah kami berjaya copy dalam mendidik anak-anak. Alhamdulillah kami merasa sangat beruntung.

Video ini telah lama kami gunakan untuk memberikan tunjuk ajar kepada semua para penjaga anak-anak di RPWP agar tidak sekali-kali mematikan mood anak di awal subuh ketika membangunkan mereka. Jika ini berlaku, anak-anak akan memulakan harinya dengan buruk dan tertekan pada hari itu. Pelajaran akan susah diterima, akal tidak akan berkembang.

PERHATIKAN VIDEO INI: AYAH MEMBANGUNKAN IJAL DALAM 2 EPISOD.

Episod Pertama ialah untuk menyedarkan dia akan sampainya waktu untuk bangun. Ayah lakukan sampai pasti ada tindakbalas dari Ijal, dalam video ini Ijal angkat badan memeluk Ayah. Ini menunjukkan bahawa dia telah sedar. Ayah beri respond semula kepada Ijal walaupun sekadar satu ciuman mesra. Kemudian Ayah biarkan semula seketika, siap selimutkan lagi dan beberapa minit kemudian Ayah ulangi lagi untuk membangunkan Ijal sepenuhnya.

Setelah Ijal bangun, Ayah iringi dengan pelukan dan ciuman. Bergantung kepada tahap sedar, Ayah iring juga dengan sedikit kata kata semangat, pujian dan kasih sayang. Kemudian setelah Ijal siap mandi dan beruniform, beliau naik semula bertemu Ayah untuk dapatkan izin ke sekolah pula. Perhatikan kali ini bagaimana Ayah melayan komunikasi Ijal, termasuk interaksi badan (body language). Menarik bukan?

Perhatikan juga bagaimana setiap kali Ijal respond pelukan Ayah dengan turut menepuk belakang Ayah. Lihat bagaimana Ijal menjawab soalan Ayah dan mengajukan soalan-soalan balas. Tindak balas ini harus dijadikan tanda yang mesej kita samada secara body language atau verbal telah sampai dan diproses oleh anak dengan baik.

Teknik ini kalau ibu yang buat mungkin kurang berkesan, kecuali ibu tunggal yang tiada pilihan, atau ketika si bapa tiada di rumah. Waktu ini ibu tentu sedang sibuk sediakan sarapan. Jadi bapalah yang kena buat. Sebab tu bapa pun kena belajar bangun awal. Sayang tu sayang jugalah. Sebagai bapa, kalau Ayah dah buat baik-baik Ijal tak mau bangun, nanti Ayah berdehem mengerang sikit, melompatlah dia bangun.

Bagi anda yang tidak yakin sebelum mencuba, ingatlah, tips ini bukan untuk kita lakukan sepanjang masa dan usia. Ia hanya satu pendekatan awal sebelum anak masuk darjah 1. Dalam video ini Ijal bangun jam 7.00 sebab Tadika mula 8.00am. Ijal dan rakan-rakan di RPWP telah bangun SENDIRI seawal 5.30 am, solat subuh berjemaah sejak darjah 1 lagi tanpa lagi Ayah panggil pun.

Sekarang ni kesemua mereka ada ikrar jam 6.30 pagi. Isnin Khamis pula kena bangun awal sikit sebab nak sahur untuk puasa sunat. Mana kami ada masa nak layan macam ni pada kesemua 65 anak yang residen, sampai besar? Jadi bila anak dah terbiasa, hari-hari mereka akan bangun sendiri sekarang. Mudah bukan? Lebih mudah lagi jika anak anda yang besar telah terlatih begini dan ketika anda semakin sibuk mencari nafkah, mereka pula lakukan pada adik-adiknya. Maka suburlah jiwa anak-anak anda kerana MEWAH DENGAN BELAIAN.

Ayah sendiri ada seorang anak Down Syndrome. Kami kagum bagaimana Ayah dan Mak Ibu boleh latih Nurhani sampai mampu menjaga kakaknya yang OKU tanpa sebarang masalah, berbanding dengan anak-anak OKU lain yang kami jaga. Semuanya bermula dari awal.

Amalan seterusnya setelah anak membesar ialah meneruskan ciuman, dakapan dan kata nasihat sewaktu mereka minta izin pergi dan bersalam waktu balik sekolah/Universiti. Ini Ayah teruskan sehingga kesemua anak-anaknya besar panjang. Menurut Ayah, setiap kali Ayah pulang lewat sewaktu berniaga dahulu, Ayah akan masuk bilik anak-anak dan kucup mereka yang sedang tidur, kadang-kadang betulkan selimut mereka (rujuk Parenting tips 2). Berkali-kali setiap hari kami memerhatikan adegan peluk cium Ayah dengan anak-anaknya.

Alhamdulillah kami bersyukur mendapat uswah itu secara live dan first hand. Kami sendiri bangga dan seronok bila sesekali dapat juga rasa peluk cium dengan Ayah. Waktu itu kami yang selama ini bingung mengurus keluarga menitis air mata kerana terlalu bersyukur mendapat tunjukajar secara lansung untuk mendidik anak-anak dari Ayah. Tak percaya? Tengok sendiri klip video raya baru-baru ni.

SELAMAT MENCUBA.

Kudap Kudap
WARGA PRIHATIN

http://prihatin.net.my/2013/08/31/tips-parenting-prihatin-3-kucup-anak/

http://prihatin.net.my/2013/08/09/takbir-eidul-fitri-prihatin/

http://prihatin.net.my/2013/08/08/linangan-air-mata-kasih-aidilfitri/

Abu Rijal Berjinak dengan Tilawah Alqur’an sejak Tadika.

Rakaman Pertandingan Tilawah Alquran Abu Rijal, Anak Rumah Pengasih Warga Prihatin. Anak 5 tahun ini berjaya mengalahkan anak-anak Tadika 6 tahun di peringkat Parlimen dan berjaya mendapat tempat ke 3 di peringkat Daerah.

Maaf rakaman video terputus kerana menggunakan digital canon lama saja dan batteri pula habis. sambung semula guna handfone. Kualiti memang tidak baik. InsyaAllah bakal menjadi benih generasi Anak Permata Negara.

Parenting Tips 10 : Ajar Anak Bekerja. Elak Sindrom Anak Malas

kerja BAnak terbentuk mengikut acuan kita. Jika kita tidak didik anak bekerja mereka akan jadi MALAS dan tidak kreatif. Jika kita tidak rajin menegur sejak awal, mereka akan jadi degil. Jika kita jarang senyum pada mereka mereka akan membentuk wajah yang sentiasa masam dan macam macam lagi.

Ada orang sayang anak, mereka biarkan anak jadi raja. Anak tunjuk itu kita beli, anak tunjuk ini kita beli. Anak nak itu dapat, anak nak ini dapat. Berbeza dengan pendekatan yang kami jalankan. Walaupun kami sayang anak kami, walaupun ada yang mampu berikan apa yang anak mahukan tetapi kami bertindak untuk berundur ke belakang mengikut cara dan uswah orang-orang Jawa dahulu yang MENDIDIK anak berbanding MEMBELA (ternak) anak.

Jika kita nak TERNAK anak, kita akan pastikan mereka cukup makan, pakai juga cukup gembira BERSUKARIA. Jika bela lembu, hujungnya kita boleh sembelih dan makan tanpa ada rasa bersalah atau kasihan kepada lembu itu. Tetapi, takkan anak mahu kita lakukan sama sahaja dengan lembu? Ironinya, lembu pun boleh di didik untuk membajak sawah.

(JANGAN MARAH KAMI SEBAB SELEPAS FATIHAH, KITA ADA SURAH lEMBU).

Tulisan Arab, bahasa quran telah di`Melayu’kan melalui tulisan Jawi / Jawa. Sejarah “Wali Songo” juga membawa peranan pendidikan gaya Jawa “Totok” walaupun bukan semua 9 Wali itu dari suku Jawa. Ia datang dari jaluran Islam yang dipraktis secara istiqomah. Setelah roboh legasi Kota Melaka, Wali Songo antara sekumpulan ulama akhir sebelum kegemilangan Islam berkubur dengan pemansuhan Sistem Islam berKhalifah dan ditukar kepada sekular pada tahun 1924. Selepas itu Islam tiada kemudi dan terpisah-pisah.

Pendidikan bukan sekadar di sekolah. Amat mudah kerja ibu bapa jika semuanya dilonggok ke sekolah untuk mendidik anak mereka. Jika anak jadi rosak, tuding jari pada sekolah. Diri sendiri tak mahu muhasabah melihat kelemahan diri.

Anak-anak kami dari mula faham bahasa sahaja telah kami berikan tugas. Bayarannya hanya pujian, pendidikan dan kasih sayang sahaja. Contohnya Anakanda Jannah dan Siti Hajar yang baru berusia 3 tahun, setiap hari kita tugaskannya untuk menyusun kasut dan selipar saja. Bersesuaian dengan umur mereka. Untuk yang besar sedikit seperti Anakanda Ain Mardiyah & Damia, pada usia 7 tahun mereka dah boleh mula menolong kemasan rumah dan dapur. Anak yang sebesar Sarah Sofiah, NurHani, Fatini pula dah mula menolong memasak. Nik MohdHarrazi, Hakim, Irfan dan mereka yang berada di sekolah menengah dah mula turun tangan dalam pembinaan rumah, bengkel kereta, kerja kayu, welding dan banyak lagi.

Dengan cara itu, mereka mampu membina “Sense of Belonging” , “Sense of Engineering” dan kreativiti tangan secara semulajadi sejak awal.

Dalam gambar yang di ambil semalam ini ialah Mohd Raimie Masjuki Pencinta Damai. Beliau sedang bercuti dari pengajian di UITM. Masih mengekalkan CGPA tertinggi sehingga kini. Waktu ini beliau mengerjakan kerja-kerja mengecat kereta untuk dijual. Cuti sebelum ini, beliau dilatih secara intensif untuk mengecat kereta. Walaupun cara Jawa ni agak kasar sikit, sebagai pelajaran yang menyerikkan bagi kesilapan atas kecuaian yang berulang, tapi hasilnya nyata. Sepanjang cuti sahaja, Raimie atau mesra kami panggil Uda mampu menyiapkan kereta yang dengan hasil lebih dari RM25k sebulan (Jika dia bekerja sendirilah). Oleh kerana Uda bekerja dengan Prihatin, satu sen pun beliau tak ambil upah, HANYA kerana “sense of belonging” dalam mengutamakan pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin yang membelanjakan RM35-45 Ribu sebulan.

Bukan itu saja, Uda juga mahir dalam bidang welding, konkrit bahkan cekap mengendalikan KESEMUA mesin ringan dan jentera berat yang digunakan di Prihatin. Beliau juga antara MC, DJ, pemuzik, pemain kompang, vocal utama selawat dan marhaban, multimedia, serta sound engineering terbaik yang mengurus high level PA & Video System milik Prihatin menggantikan peranan bapa-bapa. Sekali sekala ada orang sewa PA System atau panggil jadi DJ, semua bayaran diserah kepada Prihatin juga.

Bukan Uda sahaja, Mohd Abid, Muhamad Dinie, Hani, Harraz, Hakim, Irfan, Syafaat Yazid, Afiq Aisar dan ramai lagi. Semuanya tidak terjadi begitu sahaja. Mereka memerhatikan ibu dan bapa mereka bekerja sama dengan penuh semangat berkasih sayang dan mereka juga ikut bekerja.

Masalah utama ibu bapa moden sekarang, Mereka menyuruh anak mereka mengemas, mereka sendiri menyepah. Mereka suruh anak bekerja tapi mereka sendiri PEMALAS.

CUBA mulakannya dari kecil dan mereka akan membesar dengan kerajinan yang semulajadi. Boleh juga anda cuba dengan anak dara dan bujang anda, cuma mungkin liat sedikit sehingga mampu membentuk habit yang dah jadi habitat dalam diri mereka ini. Anda akan bahagia nanti anak anda jadi seperti anak di Prihatin, anak-anak jadi rungsing kalau tak diberi kerja.

Jika dahulu, kami pengasas-pengasas terpaksa lakukan kesemua kerja dan anak masih kecil memerhatikan kita sambil menolong sedikit sekali sekala di sana sini. TETAPI hari ini, jika kami nak buat majlis keramaian, kami HANYA PERLU CAKAP SAHAJA kerana selebihnya anak-anak yang uruskan. Dari PA system, dekorasi, susunan meja, memasak, persembahan, montaj video dan banyak lagi. Kami bapa-bapa pengasas yang 20 ini hanya pasang badan pakai baju cantik-cantik untuk sambut tetamu.

Bukannya kami tak mahu lakukannya…tetapi anda boleh bayangkan jika kami nak turun tangan buat kerja-kerja sahaja terus anak-anak besar datang sambar dan berkata “Ayah-ayah mandi dan pakai baju cantik-cantik, biar kami buat semua ni”. Kami hanya senyum melihat hasil yang terbentuk dari penerapan kerjatangan pada anak-anak.

Inilah juga faktor yang meyakinkan kami bahawa PRIHATIN tidak akabn berkubur setelah kami semua ‘tiada lagi’ di mukabumi ini. Mereka inilah juga yang kami harapkan untuk menemani hidup anak-anak anda, terutama yang sudah mula prihatin dengan kerjabuat Prihatin dan belum dapat kami terima masuk anak-anak untuk di didik. Allah itu Maha Adil dan menapati JANJI.

Rupanya tak susah kalau kita ada ANAK RAMAI pun jika semuanya kita biasakan dengan kerjatangan. YANG SUSAH jika dari kecil anda RAJAkan anak-anak sehingga jika anda ada anak 4 orang sahaja pun dah cukup pening kepala kerana di rumah anda ada 4 orang raja…

Itu tak termasuk kalau ISTERI PUN NAK JADI RAJA JUGA…!

Kudap-kudap
WARGA PRIHATIN

Parenting Tips : Sains Ikrar (baiah) Anak-anak

 

IKRAR (Baiah) ANAK-ANAK.

by Saiful Nang

Inilah konsep yang kami terapkan kepada anak-anak kami setiap hari. Ini dari salah satu unit keluarga Prihatin. Kami akan bawakan video baiah anak-anak kami setiap pagi secara berjemaah. InsyaAllah kami akan bawakan juga baiah isteri kepada suami dan juga baiah SAHABAT antara kami seluruh co-founder yang 20 orang ini. Penyatuan atas baiah ini bukan sekadar satu retorik tetapi bermula dari lafaz begini, kami 20 orang ini sanggup menyatu dan disatukan kerana terikat dengan baiah atas NAMA ALLAH.

Ada sains yang besar dalam baiah…dan ada kerosakan besar yang berlaku dalam sebahagian baiah / ikrar / akujanji yang kini orang senang-senang langgar. Jika lihat BAIAH RUKUN NEGARA sahaja, rasanya dah ramai yang langgar TANPA ada kesan apa-apa.

Ada masa nanti, kami terangkan lanjut bagaimana BAIAH adalah satu pendekatan yang mampu dilurut sainsnya dalam PENYATUAN MANUSIA.

Video kali ini saya memenuhi permintaan beberapa pembaca yang nak rakaman video bagaimana mendisiplinkan anak-anak. Ikrar ini telah dimulakan semenjak mereka mula pandai bercakap. Dan si Lela (yang kecil) mesti berada dalam lingkungan dengar semasa ikrar kakak-kakak mereka dibacakan.

Ikrar ini salah satu pendekatan harian yang diamalkan di Rumah Pengasih Warga Prihatin pada setiap hari. Orked & Seri tidak berikrar di Prihatin kerana ikrar di Prihatin biasanya berlaku pada jam 6.30 pagi sebelum anak-anak ke sekolah. Selepas ikrar akan berlaku TAUSIAH (pesan-pesan kepada anak-anak) dan hujung hari akan dibuat ROLL-CALL (seperti yang anda pernah lihat videonya dahulu).

IKRAR adalah satu frame halatuju kehidupan anak yang perlu dilafazkan. Sama sepertimana lafaz akad nikah juga perlu dilafaz sehingga difaham oleh orang barulah sah. Lantas, mendisiplinkan anak akan jadi lagi mudah.

Nanti saya cuba dapatkan video IKRAR anak-anak Warga Prihatin pula. Ok, itu anak-anak…nanti saya insyaAllah cuba rakam dan kongsi ikrar isteri-isteri kepada suami masing-masing pula. Setiap hari, anak saya akan berikrar kepada isteri saya (ibu mereka) dan isteri saya pula akan berikrar dengan saya.

Jika masuk Silat pun ada baiah, masuk geng kongsi gelap pun ada ikrar, nak jadi sahabat pun ada ikrar, nak jadi doktor pun ada ikrar…nak jadi ANAK YANG BAIK takkan tak ada ikrar? Betul tak?

Kalau setuju, sila share. Jika tak setuju, sila PM. Terima kasih semua.

SAIFUL NANG

Syafaat & Afiq – Mahasiswa Prihatin dari Buruh Kasar Tanpa Gaji

Jika semasa matrikulasi, mereka tidak dapat memasuki sebuah matrikulasi berdua, tetapi kali ini, kedua-dua sahabat baik ini mampu mendapatkan satu kursus di sebuah universiti yang sama di Universiti Teknikal Malaysia. Alhamdulillah

SYAFAAT DAN AFIQ KINI DI UNIVERSITI

Hari ini hari sunyi kami semasa bekerja di Prihatin. Hilang sudah kelibat lincah Afiq, hilang juga kerajinan tangan Syafaat. Rindu pula kami dengan kekalutan Afiq kadangkala semasa mendapat instruction yang bertimpa-timpa. Rindu juga dengan kepantasan Syafaat semasa menerima instruction sebelum instruction itu habis tetapi action pula jadi salah.
Apapun, kami redha melepaskan mereka yang sebelum ini bergelumang debu dan konkrit basah bersama-sama kami. Mereka teruskan jihad KEBAJIKAN kepada jihad PENDIDIKAN dengan memasuki universiti untuk menyambung pengajian.

WANG ZAKAT & SADAQAH

Kemasukan anak-anak kami tahun ini ke program ijazah ada 3 orang, 2 lelaki dan 1 perempuan. Alhamdulillah setakat ini azam dan cita-cita kami dalam jihad pendidikan terhadap anak-anak termakbul sudah. Sejak 2005, kesemua anak-anak yang kekal di bawah jagaan kami sehingga SPM, berjaya masuk ke Universiti.

Syukur Alhamdulillah kerana sejak akhir-akhir ini, kami mula menerima sumbangan dari rakan facebook yang mula tampil memberikan sumbangan zakat secara langsung kepada asnaf-asnaf dalam jagaan kami. Ini berlaku hasil maklumat dari facebook yang kami mula aktifkan semula sejak  kira-kira 2 bulan yang lalu, Sejak itu ramai yang mula datang melihat sendiri apa yang mereka anggap sebagai sesuatu yang hampir mustahil boleh berlaku di zaman ini. Malah ada yang datang setakat di pintu gate sahaja, dengan alasan mahu mempastikan kisah rumah yang mereka lihat di facebook itu benar-benar ujud rumahnya, itu saja.

Di sini pula kami meneruskan berpuasa secara hakikat, jauh sekali dari bermewah-mewahan sehingga separuh sudip simen yang jatuh ke bumi, yang nilainya mungkin sekitar 10sen  pun, PASTI kami akan korek dan digunakan semula. Ini kerana kami sedar bahawa kos pembinaan kompleks yang sedang rancak dijalankan, urusan pendidikan jangka pendek dan jangka panjang, formal dan informal, kos rawatan kesihatan dan kos kehidupan harian anak-anak yang bakal ditanggung adalah terlalu besar.

Hampir kesemua anak-anak kami telah menunjuk azam untuk belajar setinggi mungkin, jika boleh minta di izinkan untuk ke tahap double degree atau PhD. Mereka pula sanggup meneruskan bakti bapa-bapa pendokong RPWP untuk meneruskan usaha setelah selesai pengajian masing-masing nanti. Maksudnya, bukanlah keinginan belajar setinggi itu untuk meraih gaji besar atau pangkat tinggi. Mereka seakan-akan sudah tidak terliur dengan pangkat dan harta lagi, kerana setiap hari mereka melihat pendokong RPWP dari golongan bijak pandai dan berpangkat bekerja berat dan kotor bersama mereka.

Di samping itu, kami wasiatkan juga kepada mereka untuk cuba mengukuhkan pembinaan akhlak dan sahsiah adik-adik di bawah mereka. Bukan itu saja, yang lebih penting lagi, kami ingatkan mereka bahawa apa yang kami lakukan kepada mereka tidak terhenti di sini kerana mereka harus mampu memberi rahmat kepada alam ini.

Mereka semua jelas dan berjanji untuk mengenalpasti anak-anak setiap penyumbang kepada sarana pendidikan mereka di RPWP dan di Universiti untuk di bimbing akhlaknya, sama-sama berkasih sayang dan membentuk jaringan perniagaan dan membentuk komuniti kehidupan terbaik sesama mereka. Khususnya setelah kami dan ibu bapa yang menyumbang di peringkat awal ini sudah meninggal dunia dan anak-anak mereka pula menjadi anak yatim.

Mereka seronok melihat sahsiah dan akhlak mereka dan adik-adik dinilai tinggi oleh pihak sekolah dan masyarakat, sehingga ramai yang tidak dapat kami terima kemasukan anak mereka untuk dididik waktu ini, namun tetap menghulurkan sumbangan ikhlas semampunya. InsyaAllah, doakan kami sihat dan mampu menambah tabungan agar pembinaan kompleks ini segera siap dan kami ada cukup sarana untuk mengizinkan lebih ramai anak-anak lain ikut serta dengan program Home Schooling dan Tahfiz agar mereka boleh mesra sebagai saudara, dengan satu identiti akhlak al-karimah dengan lebih awal.

Afiq (kiri) dan Syafaat (berbaju kuning) sering berebut tempat terhadapan di dalam syuro harian bapa-bapa pengasas Prihatin. Mereka bertahan untuk menyertai syuro itu walaupun adakalah berakhir jam 6 pagi dan mereka perlu berada di site semula kurang lebih 9 pagi.
Afiq (kiri) dan Syafaat (berbaju kuning) sering berebut tempat terhadapan di dalam syuro harian bapa-bapa pengasas Prihatin. Mereka bertahan untuk menyertai syuro itu walaupun adakala berakhir jam 6 pagi dan mereka perlu berada di site semula kurang lebih 9 pagi.

APA BIASA ANAK KITA BUAT SEMASA MUSIM CUTI SEKOLAH / SEMESTER YANG PANJANG?

Kami ada kes-kes yang merujuk penyelesaian kepada kami tentang masalah anak sudah jadi gadget addict yang boleh jadi bahaya sangat jika dibiarkan. Kebanyakan dari penelitian dan pemerhatian kami, pada usia anak kita seperti Afiq & Syafaat (19 Tahun) ini, mereka banyak menghabiskan masa degan bersosial melalui facebook, window shoopings, menghadiri gathering, melancong ke luar negara, lepak-lepas kopi di Uptown atau Bangsar. Tetapi tidak pula pada Syafaat & Afiq serta kesemua anak-anak kami yang sedang bercuti panjang.

Selepas program matrikulasi mereka selesai dengan pencapaian yang sangat membanggakan kami, mereka lantas berikrar untuk mewakafkan diri mereka selama tempoh cuti pengajian sebagai pekerja ala buruh kasar tetapi lagi teruk lagi dari itu. Di mana yang teruk? Ini kerana MEREKA SEMUA,

  • lakukannya tanpa gaji
  • bekerja sehingga 20 jam sehari
  • sukarela mengambil alih semua kerja yang berat dari kami atas faktor usia yang muda serta mereka lebih kuat dan sihat berbanding kami yang sudah tua dan sakit-sakit.
  • tiada cuti, termasuk di setiap hujung minggu dan cuti umum.
  • bukan saja buruh, malah ikut syuro bersama bagi merancang kaedah terbaik pembangunan kompleks juga turut meneliti setiap lapuran akhlak dan akademik anak-anak lain.

Sepanjang tempoh itu, Afiq & Syafaat teruskan tugas sehingga hari-hari akhir sebelum ke universiti. Keseronokan mereka bekerja sehinggakan persiapan untuk ke universiti juga mereka anak tirikan.Akhirnya, baju-baju terpakai sumbangan orang ramai juga yang menyelamatkan keadaan. Itulah semacam satu trend yang berlaku kepada KESEMUA anak-anak siswazah kami, Syukur Alhamdulillah.

Malam terakhir sebelum berangkat, kami sangat sebak apabila Afiq tawaf seluruh tapak binaan yang bakal ditinggalkan sambil merintih; “Bagaimana ayah-ayah Co-Founders yang sudah tua dan sakit-sakit ini akan membancuh dan menarik simen konkrit dengan tali dan baldi ke tingkat-tingkat  atas apabila mereka sambung belajar nanti?” Sekarang bolehkah anda bayangkan betapa sukarnya kami semua menahan tangisan di malam itu? Itulah Syafaat & Afiq. Kami berdoa agar mereka mampu menyambung usaha Warga Prihatin membimbing generasi anak-anak cucu kita nanti.

Inilah cara yang Afiq sedihkan bagaimana cofounder yang lain yang sudah semakin uzur akan lakukan kerja menaikkan konkrit dengan baldi ini ke tingkat 2 dan 3 pula. Ini baru tingkat satu sahajapun sudah separuh nyawa sehingga ada konkrit hampir nak keras dahulu sebelum dinaikkan. Akhirnya konkrit yang dah tak boleh nak tunggu kami terpaksa kami ratakan untuk tambakan lantai.
Inilah cara yang Afiq sedihkan bagaimana cofounder yang lain yang sudah semakin uzur akan lakukan kerja menaikkan konkrit dengan baldi ini ke tingkat 2 dan 3 pula. Ini baru tingkat satu sahajapun sudah separuh nyawa sehingga ada konkrit hampir nak keras dahulu sebelum dinaikkan. Akhirnya konkrit yang dah tak boleh nak tunggu kami terpaksa kami ratakan untuk tambakan lantai.

Lihatlah foto-foto di bawah ini dan cuma anda lihat perbezaannya dengan gambar yang kami ambil semasa di universiti pagi semalam. Syafaat yang asalnya berkulit cerah juga kini sudah menjadi hitam seakan-akan disalai di tengah panas matahari.

Jiwa Syafaat sangat berani mencuba pelbagai idea. Beliau diwakafkan oleh bapa dan ibunya yang juga salah seorang pengasas RPWP
Jiwa Syafaat sangat berani mencuba pelbagai idea. Beliau Pemenang Anugerah Khas “Kepimpinan & Sahsiah” Peringkat Sekolah Menengah 2 tahun berturut-turut. Diwakafkan oleh bapa dan ibunya yang juga salah seorang pengasas RPWP sejak umut 13 tahun.
Inilah Afiq, kanan sekali. Beliau membiasakan diri dengan kerja keras 20 jam sehari sepanjang hampir 4 bulan mereka bercuti sebelum melanjutkan ke program ijazah sarjana muda ni UNITEKNIKAL
Inilah Afiq, kanan sekali. Beliau membiasakan diri dengan kerja keras 20 jam sehari sepanjang hampir 4 bulan mereka bercuti sebelum melanjutkan ke program ijazah sarjana muda di UNITEKNIKAL Melaka.

Di dalam foto di atas ini, Afiq sedang mendengar dengan teliti kepada makluman yang disampaikan oleh Ayah Yazid (bapa kepada Syafaat) dan Ayah Hatta / Baharuddin (bapa kepada Afiq) semasa dalam proses menyiapkan kolam tadahan air sedalam 13 kaki di RPWP.

BAPA & ANAK

Afiq sendiri mengakui bahawa contoh paling besar sekali yang membuatkan mereka semua sepakat untuk memberikan segala-gala yang ada itu adalah dari uswah yang ditunjukkan oleh bapanya dan ibu sendiri. Ayah Hatta & Ayah Yazid memang dikenali dengan kerajinan tangan mereka. Jika ayahnya sudah sekian lama istiqomah memberikan khidmat tak berbelah bahagi kepada RPWP, InsyaAllah anak-anak akan menjadi lebih baik lagi.

Jika anda datang ke Prihatin, bumbung masuk setinggi lebih 30 kaki dipasang oleh Syafaat & Afiq sebagai welder merangkap kerja-kerja "spiderman".
Jika anda datang ke Prihatin, bumbung masuk setinggi lebih 30 kaki ini dipasang oleh Syafaat & Afiq sebagai welder merangkap kerja-kerja “spiderman”. Tinggi atau tak? Jika rasa ini rendah, sila lihat foto berikutnya,
Inilah gaya Syafaat menyiapkan kimpalan logam semasa pemasangan struktur bumbung hadapan Rumah Pengasih Warga Prihatin
Inilah gaya Syafaat menyiapkan kimpalan logam semasa pemasangan struktur bumbung hadapan Rumah Pengasih Warga Prihatin
Bercomot-comot dan berkotor-kotor begini. Afiq (kanan sekali) bersama sebahagian pengasas bersama RPWP selepas membanting tulang bulan puasa baru ini yang berakhir tanpa kami sedari selepas mendengar azan Subuh. Lalu kami teruskan berpuasa walaupun sempat jika dikira bersahur dengan air-air minuman yang ada di sekitar kawasan pembinaan.
Bercomot-comot dan berkotor-kotor begini. Afiq (kanan sekali) bersama sebahagian pengasas bersama RPWP selepas membanting tulang bulan puasa baru ini yang berakhir tanpa kami sedari selepas mendengar azan Subuh. Lalu kami teruskan berpuasa walaupun sempat jika dikira bersahur dengan air-air minuman yang ada di sekitar kawasan pembinaan.

 

Tatkala ramai mahasiswa menggunakan masa bercuti untuk bermain game komputer, melancong ke luar negara, melepak bersama kawan-kawan, Syafaat dan Afiq memilih menjadi buruh kasar pembinaan di RPWP setiap hari (hanya 2 hari cuti raya) dengan kerja sekitar 20 jam sehari.
Tatkala ramai mahasiswa menggunakan masa bercuti untuk bermain game komputer, futsal, jamming, merempit, melancong ke luar negara, melepak bersama kawan-kawan, Syafaat dan Afiq memilih menjadi buruh kasar pembinaan di RPWP setiap hari (hanya 2-3 hari cuti raya) dengan kerja sekitar 20 jam sehari.

Apapun, kami di sini mengucapkan selamat membawa diri dengan baik-baik kepada Syafaat & Afiq. Ingatlah yang kita ada “Allah” yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan jangan sekali-kali permainkan Allah dengan mempermainkan segala titah perintah Allah yang telah kami ajarkan sewaktu berkampung dengan buruh-buruh abdi yang lain di sini..

Kami jarang jumpa anak sebesar itu sanggup melupakan impian zaman remaja mereka bersama dengan kami mendirikan sarana fizikal RPWP itu sendiri. Kami harap dengan penceritaan ini, InsyaAllah mampu membuka mata sebahagian khalayak pembaca, jauh lebih baik lagi kiranya ia mampu mendidik anak-anak lain bagi mengurangkan syndrome kemalasan, berkeliaran, bahkan meminta yang bukan-bukan biarpun tahu ianya tiada manfaat bahkan sesetengahnya sangat membebankan ibu bapa.

Sesungguhnya, jika kita berjaya mendapat hidayah, sirot yang mudah dimaksudkan sebagai RUBUBIAH atau ATURAN ALLAH, lalu kita istiqomahkan perlaksanaannya, maka akan InsyaAllah mampu menghasilkan UBUDIAH atau HAMBA ALLAH yang benar-benar mengambil Allah sebagai Raja (Malik) dan rela untuk mengabdi dan meminta pertolongan hanya dari Allah. Ubudiah seperti ini saja yang akan mampu memperlihatkan kesan sujud mereka di MULKIAH atau TEMPAT / RUMAH / PERSEKITARAN yang sejahtera berdasarkan acuan Allah. Jika Ubudiah yang tercipta dari Rububiah yang benar ini menempati Rumah maka akan mampu menjadikan RUMAHKU SYURGA KU, Jika Ubudiah ini menempati sebuah negara maka akan mampu menjadikan negara itu sebuah DARUSSALAM (Negara yang sejahtera).

Inilah 3 unsur yang menjadikan Allah sangat diagungkan seagung agungnya. Inilah hakikat 3x TAKBIR. Allahuakbar (Aturannya), Allahuakbar (Ubudiahnya) dan Allahuakbar (Mulkiahnya).

Terima kasih untuk Afiq & Syafaat atas bakti yang telah ditabur . Teruskan belajar bersungguh-sungguh dan jangan kita lupa jalan pulang ke sini.

Alhamdulillah

WARGA PRIHATIN