Category Archives: Haji – Travel Log Haji SN

image_pdf

KEPILUAN TAWAF WIDA’ YANG MEMBERI ‘TANDA’

tawaf wida'

Berikut adalah kata-kata pesan dari Saiful Nang kepada jemaah RARECATION UMRAH 25 yang akan meninggalkan Mekah menuju ke Madinah kelmarin. Ada banyak pelajaran yang menyentuh hati dari perkongsian ini untuk sama-sama kita teliti dan hayatinya.

*************************

[1:12 PM, 12/15/2016] Siful Nang:

Selamat menjalankan tawaf wida’ semua…

Inilah tawaf yang paling sedih dan sangat cepat berlalu. Dan kita perlu tinggalkan Mekah selepas itu dan kembali dengan segala pelajaran yang kita kutip. Pada pusingan ke 7 dan semasa istilam itulah antara masa hati terasa sayu. Jika ada rasa itu… insyaAllah memang Allah itu lebih dekat di hati kita dari urat nadi kita.

Kepada semua yang lain…perjalanan ini bukanlah satu kembara pelancongan biasa. Kembara umrah ialah kembara mencari Allah dalam diri kita sendiri. Alhamdulillah sehingga semalam dah ramai yang meluahkan rasa hati mereka bahawa ini ialah satu perjalanan yang lain dari biasa. Lain kerana perjalanan ini dilimpahi berkah. Perjalanan ini diniat atas memberi laluan kepada asnaf dan yatim utk turut sama bersama kita.

Tatkala agensi umrah membuat keuntungan puluhan ribu RM utk setiap keberangkatan, anda semua redha membayar sesuatu yang sama tetapi membenarkan keuntungan yang kami ambil terus ditukarkan menjadi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk merasai pengalaman umrah ini.

Tiada perjalanan yang sempurna kecuali ia disempurnakan di dalam hati. Tinggal di tempat berhawa dingin juga jika hati sedang panas, kedinginan itu tak dirasa selain dari panas dalam hati. Berdiri di tengah panas dengan hati redha, kepanasan itu hanya sekadar membakar kulit tetapi tidak hati. Kita mencipta 5 bintang dalam hati.

Tiada perjalanan yang sempurna. Seperti sekeping puzzle yang hanya  sempurna apabila kita pasangkannya bersama. Barulah ia menjadi sempurna gambarnya. Bila kita bersama…barulah datang kesempurnaan. Walaupun bilik hanya berkipas, tetapi terasa dingin seperti dalam syurga.

Kami tidak sempurna, tetapi tuan-tuan yang menyempurnakan trip yang tidak sempurna ini menjadi sempurna dalam hati mereka yang redha.

Saya pernah pergi umrah dengan pakej sederhana. Saya juga pergi mengerjakan haji sebagai petugas dari pakej termahal sehingga yang termurah bersama muassasah. Saya sendiri lihat bagaimana pakej muassasah yang setiap hari beratur mengambil nasi bungukus…kehidupan mereka dan pengalaman haji mereka lebih mewah dalam kasih sayang dan persahabatan berbanding VVIP yang tinggal di hotel Intercon dengan bilik mengadap Kaabah. Saya belajar satu perkara…yang boleh diceritakan di dalam foto…bahawa syurga itu wujud dalam kalbu mukmin yang redha. Neraka itu datang dari kerungsingan dan keluh kesah.

Kita manusia tak mungkin sempurna, tetapi bila bersama-sama…kita boleh jadi jemaah yang sempurna.
Lihat foto-foto jemaah haji muassasah ini…mereka gembira dalam kekurangan yang ada. Kerana mereka bersyukur dan mengatakan….bahawa mereka tidak mungkin datang ke baitullah jika tiada jemputan.

d922e545-1394-4bc5-806d-c9e31b02892c 48ed4df9-204c-4b30-8787-8edccfce6906 045afe62-e10a-4803-8bae-a3b117a45c35 jemaah Muassasah

Bila saya jumpa Si Kaya di pakej mahal…ada yang berkata “Saya boleh pergi umrah setiap tahun yang saya mahu” ketika beliau memarahi petugas haji kami kerana kelewatan beg tiba di kamarnya. Itulah tahun ke-7 dia mengerjakan haji dengan menggunakan quota khusus dari menteri.
3089a9c1-cd2f-4542-ade3-046d508fa93c
Pada tahun berikutnya dia diserang angin ahmar…dan semenjak 2013 beliau tidak lagi mampu pergi mengunjungi Baitullah. Benarlah bahawa Allah memilih siapa yang dijemputnya bukan kerana wang ringgit

Saban hari saya di sana, saya memikirkan....betapa mereka ini lebih bertuah kerana hari-hari berada di baitullah. Namun saya sendiri yang mampu kewangan tidak sebertuah mereka ini.
Saban hari saya di sana, saya memikirkan….betapa mereka ini lebih bertuah kerana hari-hari berada di baitullah. Namun saya sendiri yang mampu kewangan tidak sebertuah mereka ini.

 

Saya memang orang yang angkuh...saya memang orang yang diva...saya memang orang yang sentiasa nak cari salah orang...saya memang orang yang sentiasa cari kesempurnaan dan menyalahkan orang lain jika ada kekurangan....
Saya memang orang yang angkuh…saya memang orang yang diva…saya memang orang yang sentiasa nak cari salah orang…saya memang orang yang sentiasa cari kesempurnaan dan menyalahkan orang lain jika ada kekurangan….

 

Bila hati redha...tempat ini lebih mewah dari Hotel 5 bintang. Pada ketika saya sendiri pernah merasa mengapa pakej saya semasa umrah dulu kurang itu dan kurang ini...saya tidak terus melihat kepada mereka di pakej lain...tetapi saya tersujud bersyukur bila melalui tempat ini...
Bila hati redha…tempat ini lebih mewah dari Hotel 5 bintang. Pada ketika saya sendiri pernah merasa mengapa pakej saya semasa umrah dulu kurang itu dan kurang ini…saya tidak terus melihat kepada mereka di pakej lain…tetapi saya tersujud bersyukur bila melalui tempat ini…

namun…Allah beri saya pelajaran besar. Haji dan umrah saya membawa saya melihat kepada golongan orang yang kurang bernasib baik. Dan saya terus insaf bahawa rupanya…saya terlalu melihat ke atas…dan kurang jalan merunduk ke bumi melihat apa yand di bawah. Saya terlampau jalan mendongak…sehingga saya tersadung tersungkur dan melihat bagaimana orang di bawah.

Ketika saya komplen makanan di Hotel Mubarak Madinah tidak sedap dan saya belanja di luar hotel untuk makanan yang lebih enak....dan setiba saya di Mekah saya terus jadi orang yang berterima kasih kerana melihat ada jemaah yang terpaksa makan dari sisa makanan orang lain
Ketika saya komplen makanan di Hotel Mubarak Madinah tidak sedap dan saya belanja di luar hotel untuk makanan yang lebih enak….dan setiba saya di Mekah saya terus jadi orang yang berterima kasih kerana melihat ada jemaah yang terpaksa makan dari sisa makanan orang lain.

Saya cuba cari kesempurnaan di dalam pakej yang mahal…rupanya kesempurnaan itu ada di dalam pakej yang murah sahaja. Saya cuba cari gelak tawa yang ikhlas dalam kalangan jemaah VIP tetapi saya jumpainya pada jemaah muasasah. Saya cuba cari persahabatan dari kalangan berada tapi saya jumpainya di kalangan mereka yang miskin.

Semua itu milik Allah. Dan saya tidak punya apa-apa.

Pengalaman mengerjakan umrah dan Haji mengajar saya semua itu. Dari situ saya berazam untuk memulakan langkah bagi memastikan lebih ramai anak-anak yatim dan asnaf boleh saya bawa ke sini bersama RPWP. Supaya Baitulllah ini mendidik kita untuk mula melihat ke dalam diri…bukan melihat orang lain.

Dari azam itu, saya pulang dengan menjual foto2 semasa di Mekah dan Madinah. Namun gagal juga menghantar seorangpun anak-anak yatim dan asnaf. Akhirnya…Allah tunjukkan jalan ini untuk menjadi lorong kepada anak-anak yatim dan asnaf untuk pergi bersama. Di sini nanti mereka belajar….dari alam…bila mereka buka mata mereka untuk melihat ke dalam diri dengan melihat ke bawah lebih berbanding mendongak ke langit.

Saya faham ada banyak kekurangan kami dalam mengendalikan pakej kali ini. Kami juga bersyukur kerana ramai yang meluahkan kesyukuran mereka kepada trip ini yang telah memberikan pendidikan rohani kepada mereka. Jika mahu dibanding mana lebih mewah, mana lebih makan, mana lebih selesa…ia adalah perlumbaan yang tiada kesudahan. Jika mahu diukur…sejauh mana kita berubah selepas kita mengunjungi rumah Allah…

InsyaAllah kita akan berubah menjadi insan lebih baik sekembalinya kita ke tanahair nanti.

Saya minta maaf atas segala kekurangan yang berlaku. Sampaikan salam saya kepada Rasulullah S.A.W

 

***************************

T.kasih SN… sebak pulak membacanya..

SETIAP GERAK DARI AMAL ANGGOTA KITA.. KATA KATA KITA.. GERAK HATI KITA.. bakal dicatat dan dikira.. yg baik mahupun yg buruk.. biar sebesar zarah sekalipun. Amal diukur dari niat.

CATATAN JUMRAH SEORANG FIRAUN

IMG_2172CATATAN JUMRAH SEORANG FIRAUN

Salam semua pembaca. Mungkin masih ada yang ingat saya masih lagi di Mekah menghabiskan baki musim haji yang tinggal. Alhamdulillah, saya telah kembali ke bumi Malaysia ini pada Sabtu yang lepas, 9 November 2013. Perjalanan agak baik sekali dan kepulangan telahpun dinanti-nantikan oleh keluarga dan sahabat-sahabat di kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

Bagi yang mengikuti travelog haji yang saya kongsikan kepada umum. Saya fikir anda pasti tertanya-tanya mengapa tiba-tiba coretan itu terhenti sehari selepas hari wukuf ataupun pada masa umat Islam di Malaysia merayakan Aidiladha. Sebahagian dari anda juga mungkin masih berteka teki mengapa catatan itu tidak diteruskan lagi dan sekadar digantikan dengan foto-foto berkapsyen ringkas. Lapangkan dada anda, mari saya ceritakannya supaya tidak jadi persangkaan yang bukan-bukan pula.

Pelajaran paling besar dalam ibadah haji yang saya lakukan selama sebulan di Tanah Haram akan saya ceritakan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Saya bermula melangkah ke bumi Saudi dengan perasaan bercampur baur. Menyaksikan pelbagai kebejatan yang terang-terangan di hadapan mata sambil mengurut dada memujuk diri “Ahhh.. Itu hanya ujian Allah”. Apabila sudah berulangkali ia berlaku, saya mula merasakan saya ini sama sahaja dengan Ramli, Ajis dan Sudin yang bertapa atas kubur askar Jepun yang mati dibunuh seraya berkata semuanya “Cobaan”.

Justeru, ia membuatkan saya memerhati dalam sudut yang lain. Mungkin selama ini cerita tentang Mekah dan Madinah lebih berbentuk hiperbolik (diganda-gandakan cerita baiknya) tetapi saya mula sedikit demi sedikit merungkai segala jenis kebejatan yang wajarnya BUKAN ISLAM tetapi dilakukan oleh ORANG ISLAM DI TANAH SUCI ISLAM. Saya amat yakin ada akhlak yang perlu diperbetulkan agar tidak berterusan menjadi fitnah kepada Agama dan Mulkiah Allah itu.

Pelacuran di Perkampungan, budaya pembaziran makanan, bermewah dan bermegah, mengherdik orang tua, serta amalan rasuah sudah menjadi sistem hidup yang tercela di sana. Bayangkanlah sehingga sogokan untuk pengkebumian jenazah di perkuburan Ma’ala juga berlaku secara terbuka. Seolah-olah saya menyaksikan wayang gambar yang menayangkan segala-gala itu dan masih mengurut dada seraya berkata “COBAAN”.

Saya bukan orang yang sabar. Dalam travelog dan catatan bergambar yang saya post melalui instagram juga di facebook rata-rata mempersoalkan tentang kebejatan yang tidak pernah diceritakan sebelum ini oleh mana-mana duyufurrahman (tetamu Allah) yang dating saban tahun.

Lantas, saya menjadi lupa dan terlalai yang sangat banyak. Mata yang ada, jari yang dimiliki keseluruhannya memfokus kepada mengkaji tentang orang lain tetapi melupakan diri sendiri. Gambar-gambar haji yang cantik telah menghimpun puja dan puji pembaca Page Saiful Nang yang semakin bertambah hari demi hari.

Malang sekali semua itu semakin melalaikan saya sehinggakan sehari sebelum wukuf di Arafah, saya sendiri sudah tidak tahan lagi dengan reaksi balas difensif segelintir mereka yang terus menerus menghentam perbuatan saya yang menceritakan sisi buruk masyarakat Mekah dan proses-proses haji. Lantaran dari itu, saya membuat posting panas seorang DIKTATOR yang memberi amaran segala percanggahan pendapat akan terus disekat (Ban) dari facebook saya.

00 disklaimer


MENGENALI FIRAUN SEPERTI MENGENALI DIRI SENDIRI.

Lantaran dari “Amaran Diktator” itu, saya kehilangan tulang belakang saya. Sahabat berdipan-dipan (halaqah) di RPWP sebulat suara mencabut silaturrahim mereka dengan saya kerana sikap togho (melampaui batas / sikap Firaun). Saya terbiar sendirian di tengah jutaan manusia tanpa sahabat yang telah 8 tahun berhalaqah melaksanakan hidup bervisi Surah dan bermisi Sunnah.

TIDAK ISLAM JIKA TIDAK BERJEMAAH.

Pada hari itu, saya dipisahkan dari Jemaah kerana tanpa sedar, saya menzahirkan Firaun dalam diri saya sendiri dengan satu proklamasi melalui “Amaran Diktator” itu. Sahabat dari RPWP hanya mengeluarkan 1 disclaimer yang menyatakan penentangan terhadap dasar tertutup yang saya umumkan itu lalu mereka terus senyap. Fungsi administrator serta akses-akses tertentu telah dinyahfungsikan semuanya.

 

Benar-benar pada malam hari Tasyrik yang pertama, hanya tinggal saya dengan Firaun yang saya bela dalam diri saya sendiri. Dalam hati manusia ada 1 rongga sahaja, jika kita masukkan Allah maka tiada tempat untuk taghut (pelampau) dan jika kita masukkan taghut maka tiadalah Allah di hati kita.

Seperti satu kejadian yang telah disengajakan terjadi, walaupun ia pastinya datang dari Allah sendiri. Selepas itu, saya masih tidak berhenti memerhati, hanya ianya saya rakam dalam catitan peribadi tanpa diceritakan pada orang lain lagi.

Pada ketika itu…

Apabila ditinggal BERSENDIRIAN…

Baru rasa janggal menjadi Islam TANPA JEMAAHNYA.

Barulah tercabut segala EGO saya…

Barulah rasa Allah itu BESAR dan MAHA BERKUASA.

Ini kerana sebelum itu, KEPALA SAYA YANG LEBIH DIBESARKAN sehingga menjadi satu proklamasi Firaun pula. Apakah bezanya bila Firaun berkata “AKULAH TUHAN” berbanding saya yang mengatakan “SAYA DIKTATOR DAN SEGALA TEGURAN AKAN DI BAN”. Beza pada teks tetapi konteksnya sama. NAUZUBILLAH.

Di Tanah Haram itu, Allah keluarkan sikap Firaun itu dari lubuk hati yang sebelum ini saya pun tidak perasan ianya ada. Mungkin jika ada hanya dalam keadaan “terdetik” tetapi tidak sampai ditasdik hati dan ditakrir dengan pena mahupun lisan. Ya.. Allah keluarkan kekotoran itu, Allah tinggalkan saya sendirian di dalam lautan manusia di tempat suci bernama MINA untuk melihat ke dalam diri dan bukan ke luar lagi.

Allah pasti merencana sesuatu yang besar. Sikap togho yang tersimpan dikeluarkan menjadi satu lembaga hitam bernama Firaun dalam susuk wajah Saiful Nang. Mengapa sekarang? Mengapa di Mina? Mengapa pada haji ini?

Hanya saya dan Allah yang tahu. Ketika itu, baru dapat rasakan diri ini perlukan Allah. Jika tidak, selamba sahaja kata diri ini diktator. Semasa jumrah berlaku, saya keluarkan Firaun itu dan saya lontarkannya sekuat hati dan jiwa. Saya lontarkan Firaun itu di Jumrah dan saya campakkan semua benih-benih kepala batu yang menjadikan saya insan melampau.

Tidak cukup sekali, saya ulanginya pada hari kedua dan seterusnya. Lontarnya keluar dan tiba-tiba saya jadi jelas tentang ritual jumrah itu. Nabi Ibrahim juga melontar syaitan-syaitan itu dari merasuk dirinya untuk lari dari pengorbanan kepada Allah. Seraya itu, saya tersentak yang saya lontar itu ialah syaitan dalam diri saya sendiri. Ya, saya kenalinya dan saya keluarkan syaitan itu lalu saya lontarkannya sekuat hati.

Pada lontaran terakhir, saya rasa benar-benar lega kerana saya tidak hanya melontar batu-batu secara ritual ke dalam jumrah itu sebaliknya saya mengeluarkan syaitan dalam diri untuk saya lontarkannya secara mutasyabihat.

Benarlah, Allah tidak jadikan yang ritual jika tiada yang aktual. Ia juga menjawab persoalan saya selama ini, mengapakah sebahagian mereka yang saya kenali telahpun mengerjakan haji beberapa kali tetapi masih pulang dengan perangai syaitan yang berganda pula jadinya.

Dari satu sudut lain, saya bersyukur sikap buruk yang terbenam jauh di dalam hati itu dikeluarkan dan dizahirkan di Tanah Haram dan menjadi asbab kepada sahabat halaqah saya di Prihatin untuk menolak kebatilan itu secara total lantas menjadikan saya keseorangan untuk memikirkan dan melihat keburukan dalam diri.

3 hari saya dibiarkan tanpa sepatah silah ataupun secarik mesej di dalam whatsapp kami. Selesai 3 hari, mereka kembali bersilaturrahim dan ketika itu rupanya, mereka memberikan saya sanction (tempoh bertenang) untuk melihat ke dalam diri. Rupanya sudah lama saya memerhati ke luar tetapi lupa melihat diri sendiri. Tempoh 3 hari itu berilhamkan pemisahan tempat tidur selama 3 hari bagi isteri yang nusyuz. Secara konteks, ia boleh digunakan dan ia telahpun digunakan.

Berdasarkan Surah 2. Al Baqarah 196, saya telah dibacakan perlanggaran yang telah saya lakukan lalu saya diwajibkan BERPUASA TIGA HARI dalam masa haji dan TUJUH HARI setelah pulang. SUBHANALLAH. Terus terang selama ini saya membaca ayat itu tanpa sebarang rasional kefahaman disebaliknya. Hari ini saya sendiri menjadi asbab untuk menjelaskan apa rahsia di sebalik ayat itu. Terlalu panjang untuk saya hurai di sini tapi anda cubalah bacanya sendiri. Saya yakin anda juga akan bersyukur jika mampu memahami ayat itu.

Itulah pelajaran terbesar yang saya lihat mampu untuk saya ceritakan. Janganlah salah sangka dengan artikel ini. Artikel ini tidak bermaksud saya tidak boleh selepas ini menceritakan kebenaran yang berlaku di bumi Mekah. Itu satu kebenaran dan kebenaran perlukan penyampaian walaupun ianya pahit.

Saya sedar ada golongan “haters” yang memang mencari asbab untuk menghentam. Silakan terus menghentam jika mahu kerana kebenaran tidak perlukan sokongan majoriti. Jika 1 dari 73 golongan sahaja yang sampai kepada Allah, pastinya ia bukan majoriti.

Jangan pula fikir kata-kata kesat tak berasas yang dilontar  ke dalam ruang komen fb saya tidak akan di remove dan di ban penulisnya jika ia terang-terang menyerang dan bukan berhujjah.

ZAM-ZAM DAN HAJI MABRUR

Sekembali dari Tanah Haram, saya berazam agar haji yang saya lakukan itu adalah haji mabrur. Tetapi bukan sekadar mengharap-harap tanpa kepastian. Pulangnya orang dari Mekah membawa ole-ole AIR ZAMZAM bukannya berbagai cenderahati dari kedai-kedai di sana.

AIR ZAMZAM itu adalah analogi ilmu dari cetusan sepanjang zaman. Datang ke Mekah bawalah ilmu dari pemerhatian, pertemuan, perbicaraan dengan umat dari seluruh dunia lalu kita rumuskannya supaya air zamzam itu mampu dikongsikan ke seluruh Malaysia tanpa mengurangkan apa yang ada di tangan. Jika difikir secara muhkammat (tersurat) ia pasti tidak logik, tetapi kita membacanya secara konteks dalam bacaan mutasyabihat (tersirat).

Bagi yang tak faham mengapa analogi air itu adalah ILMU kerana ILMU sama seperti air. Ia KEPERLUAN HIDUP manusia dan ia boleh kita rasai tetapi tidak boleh kita takungnya sendiri selain kita alirkannya. Hatta kolam juga ada aliran masuk bila hujan, jika terlebih akan melimpah juga. Pada waktu panas ia mengalir pula melalui wap air untuk disejat ke awan. Adakah itu adalah sifat-sifat ILMU?

Maka, bagi saya cara untuk mendapatkan MABRUR / KEBAIKAN dari haji itu ialah berkongsikan furqan hasil dari pengamatan bainat bersandar hudan dari pengalaman haji itu sendiri. Itulah analogi ZAMZAM (ILMU) yang dibawa pulang dan mampu memberikan kebaikan pada kebanyakan manusia yang MAHU.

InsyaAllah, saya akan terus sambungkan cerita ini supaya menjadi iktibar kepada yang lain. Saya tidak malu membukakan pekung saya pada orang lain. Kebaikan diri kadangkala saya kongsikan agar ada yang terbuka hati untuk mencontohi (bukan untuk riak). TETAPI tidak adil pula jika keburukan saya tidak dikongsikan jika ia boleh menjadi panduan bagi orang lain untuk tidak mengulangi keburukan yang sama.

Apapun, itu terpulang kepada cara anda memandang. Jika anda lihat ia satu pelajaran maka pelajaranlah jadinya. Jika anda lihat ini satu cerita negatif maka negatif jugalah yang anda dapat.

Alhamdulillah, saya tidak berani nak jamin syaitan yang direjam itu tidak meninggalkan benih dan telurnya di dalam hati saya. Tetapi jika syaitan itu menetas lagi, saya tahu sahabat saya di Warga Prihatin adalah sahabat yang tidak pernah menipu saya. Jika mereka mahu kenang kebaikan saya, pasti mereka menjaga hati saya dengan berlunak kata, tetapi saya bersyukur kerana mereka ini sejujur cermin di hadapan saya yang tidak pernah berbohong. Jika buruk, mereka tetap katakannya buruk.

Sesungguhnya hal ini membuka mata dan hati saya betapa besarnya ALLAH itu di mata mereka. Memang mereka tidak menafikan sumbangan saya pada rumah itu, namun mereka tidak gentar kehilangan saya jika ternyata saya lebih mengutamakan laba dunia, puji puja manusia sehingga menafikan perintah dan larangan Allah yang Maha Kuasa. Semuanya mereka nyatakan tanpa ada kompromi dan tanpa ada ketakutan.

Kerana ketakutan paling besar bagi mereka hanya pada ALLAH.
Bukan kepada “diktator” seperti Saiful Nang.

Inilah yang membuatkan saya amat sayang kesemua mereka dan merasakan saya tidak boleh hidup tanpa mereka, sekalipun jika saya kaya raya, biarpun ratusan ribu orang memuji dan memuja…

Hari ini kita terlampau sibuk menuding dan melabel orang lain yang Firaun. Kita juga sibuk mencari sejarah Firaun pada zaman Nabi Musa dahulu, rupanya Firaun itu barangkali hanya berada sangat hampir dalam diri kita sendiri, sangat hampir malah memiliki istana di dalam kalbu diri.

SAIFUL NANG
Warga Prihatin

Travel Log Haji SN – 4 – Siapa yang mampu Haji

00 tl 4

CATITAN KEMBARA PRIHATIN DI BUMI ANBIA’ : HAJI PELENGKAP ISLAM BAGI YANG MAMPU. SIAPAKAH YANG MAMPU?

Hari ini saya berdiri memerhatikan jemaah-jemaah haji yang datang dari serata dunia mengerjakan saie seperti biasa sambil menjalankan tugas saya di Tanah Suci Mekah ini. Namun begitu, keberadaan saya di sini telah menampakkan saya akan suatu perkara yang lebih besar untuk kita kenalpasti mengapa Islam yang ada hari ini tidak lagi gemilang seperti dahulu.

Saya melihat di sebelah kanan saya, mereka yang kurang keupayaan untuk bersaie sedang diusung dengan kerusi roda oleh para petugas khas malahan diantara mereka yang diusung itu tadi, ada yang tertidur lena diatas kerusi roda. Mungkin kerana keenakan hawa dingin ditambah pula rasa selesa terbuai diatas kerusi roda yang empuk semasa mereka bersaie. Kita pastinya tidak akan mampu merasai kepayahan Siti Hajar dengan Saie sambil Lena sebegitu.

Disebelah kiri saya pula, ribuan manusia yang datang dari merata dunia, pelbagai bangsa dan warna kulit, melakukan saie berlari-lari anak secara bersendirian, ada juga yang berkumpulan, malah ada yang berihram, dan ada juga yang tidak. Anda mungkin lebih tahu ibadah apa yang sedang dilakukan oleh mereka yang tidak memakai ihram itu dari saya. Atau mungkin mereka sedang bersenam agaknya, saya sekadar bersangka baik saja.

SENDIRIAN di sini saya memikirkan sama ada mereka yang dihadapan saya ini sebenarnya faham secara prinsip mahupun falsafah disebalik apa saja yang mereka lakukan di sepanjang menjalankan ibadah haji mereka. Mungkinkah mereka hanya buat saja sepertimana yang telah diajarkan oleh para ustaz mereka. Ataukah mereka hanya mengikut sahaja mutawwif mereka seperti seekor burung kakak tua yang diajar berkata-kata tanpa tahu pun apa maksudnya? dan mengapa ia diucapkan dan dijalankan ritualnya.

Haji merupakan rukun Islam ke-5, pelengkap kita sebagai umat Islam. Ia adalah untuk mereka yang berkemampuan kerana hakikatnya Islam itu hanya bagi mereka yang mampu sahaja. Bagi mereka yang tidak mampu, Islam kelihatannya kekurangan kerana Islam mereka hanya 4/5, tidak lagi 5/5. Namun, pada hari ini, kemampuan mengerjakan haji jelas dilihat berdasarkan keupayaan harta dan fizikal semata-mata sehingga ada yang mampu mengerjakan haji berkali-kali seumur hidup. Kemampuan harta dan kuasa menafikan kemampuan akal dan amal marhaen yang direbut kuota hajinya…!

Oleh itu, keberadaan saya disini telah membuka mata hati saya melihat hakikat kemampuan yang sebenar dalam ibadah haji. Ia bagi saya terletak pada kemampuan untuk berfikir mensyukuri nikmat akal dengan mengutip hujah-hujah selama berada didalam musim haji (musim hujjah). Hujah dan maklumat itu yang perlu dibawa pulang ke kampung halaman sebagai buah tangan yang sebenar, bukan lagi bertong-tong air zamzam, ataupun kurma semata-mata. Sekurang-kurangnya, kita tak risau pesawat kita jatuh kerana terlebih muatan.

Sepatutnya para jemaah haji MAMPU untuk menggunakan akal mereka mengutip hujah-hujah dan pelajaran daripada jemaah lain yang pelbagai bangsa dan budaya dari serata dunia. Mereka harus mampu berfurqan untuk membezakan antara yang haq dan bathil. Dengan itu, barulah percampuran BANGSA-BANGSA ISLAM BERSATU ini mampu menjadikan Islam bangsa yang hebat.

Ingatlah, kita dahulu telah ada PBB kita sejak Nabi Ibrahim a.s lagi bukannya Barat. Haji pula satu KONVENSYEN TAHUNAN ISLAM TERBESAR SEDUNIA. Inilah masanya pemimpin boleh mengenali masalah marhaen tanpa protokol. Selain itu, kemampuan berfurqan ditajamkan lagi dengan samarata sehingga kita mampu membaca dan memahami Al-Quran dalam maksud yang berbentuk muhkamad (tersurat) juga mutashabihat (tersirat) dengan serentak.

Hasil interaksi saya bersama jemaah haji, juga para ustaz dan mutawif yang sempat saya kenal di sini, kebanyakan mereka tidak mampu menampakkan hakikat haji sebagai hujjah dan mereka sekadar menjawab untuk kita IKUT SAHAJA tanpa banyak bicara. Bagaimanakah pula dengan Surah Al-Isra ayat 36 yang melarang saya mengikut-ikut tanpa pengetahuan? Tidakkah kenyataan ustaz ini bercanggah dengan arahan Allah?

Segala bentuk permasalahan dan hujah dari serata dunia sepatutnya dihimpunkan untuk dinilai semula dan kemudian disimpulkan (hakikat tahlul). Kesimpulan itu lalu dibawa pulang untuk diadakan penambahbaikan, agar negara-negara Islam tidak lagi berpecah dan pencapaian negara-negara maju dan yang miskin mampu disawasiahkan.

Ribuan terima kasih kepada mereka yang prihatin dan berpesan walau melalui komen agar saya memberikan tumpuan sepenuhnya pada ibadah haji saya disini. Namun, saya memilih untuk memerhatikan keadaan sekeliling dan berkenalan dengan mereka yang datang dari serata dunia untuk saya iqra-kan (kaji dan analisa). Saya sedang mengumpul hujjah dan fakta Islam dari haji saya agar memperoleh pelajaran darinya untuk dibawa pulang sebagai bekalan memperbaiki polisi hidup saya dan rakan rakan semua. Itulah hakikat haji dan itulah yang sedang saya lakukan di sini.

Inilah metodologi pengumpulan hujjah dan ianya juga satu ibadah bukan? Maka, tidak perlu jumud untuk berulang kali nasihatkan saya supaya tinggalkan kamera atau komputer dan fokus kepada ritual haji saja. Tanpa menggunakan akal yang Allah berikan untuk berfurqan dan juga tidak mentablighkan secara fatonah cetusan akal yang Allah berikan saya rasakan haji saya akan sia sia. Mungkin anda pandang enteng tentang itu, antara sebab cetusan idea sering sampai ke pemikiran saya juga kerana diilhamkan oleh Allah. Sebaik ilham itu datang saya tidak menunggu lagi dan terus saya kongsikannya, kerana ramai juga rakan hujjaz yang dapat manafaatnya di sini.

Berbalik semula pada isu kemampuan, kaji semula adakah kemampuan itu pada dasar harta dan upaya fizikal saja? ATAUPUN keupayaan furqan yang Allah berikan kepada kita setelah 4 rukun Islam itu kita fahami dan laksanakan. Ayuh kaji mengapa syarat sah wukuf ialah berakal dan mampu menyampai (Akil Baligh), tidak mabuk atau gila?

Kesimpulannya, saya melihat, ramai mereka yang mengerjakan haji namun hakikatnya Islam mereka hanya 4/5 sahaja kerana mereka masih belum mampu untuk untuk berfurqan dan mengutip hujjah antarabangsa. Tidak hairanlah mengapa ibadah haji adalah rukun Islam ke-5, kerana tentunya anda akan mampu berhujjah menegakkan Islam, membesarkan Allah setelah anda mampu untuk melengkapkan 4 rukun Islam yang lainnya.

Haji sebagai pelengkap BUKANNYA satu pilihan. Apabila hujjah itu mampu dirumus dan digunakan dan menjadi wadah islah kepada ummah setempat, MAKA itukan SAINS DI SEBALIK HAJI MABRUR yang bukan lagi satu teka teki.

Catitan dalam pencarian
SAIFUL NANG
Makkatulmukarramah, Saudi

Saiful Nang Travelog Haji – 3

Saiful Nang Travelog Haji – Hari Ke-3
00 tl 3
Hari ini sempat saya bertugas untuk merakamkan foto-foto candid pelanggan saya di ruang dalam masjid. Memang fotografi adalah larangan besar dalam masjid tetapi nampak gaya ia sudah ada kelonggaran bagi kamera-kamera kecil. Lalu saya bawa beberapa kamera kecil yang hebat untuk kerja-kerja itu. Anda sendiri boleh lihat siaran langsung dari Masjidilharam bagaimana berkelicap lampu-lampu denyar kamera di sana sini.

Sebelum ini saya banyak menceritakan tentang keganasan Jemaah haji dari Indonesia yang menggunakan formasi kayak jentera penyodok tanah untuk mara menghampiri Hajarulaswad. Sesiapa sahaja di laluan mereka akan ditolak ke hadapan atau ke tepi.

Beberapa hari ini, saya berkesempatan melihat mereka ini di tempat Saie pula. Saya lihat mereka ini agak kasar dan itu negatif tetapi dari sudut pandang yang lain, saya lihat mereka KUAT kerana mereka sangat bersatu. Benar mereka bersatu untuk kepentingan kelompok mereka tetapi mereka berjaya juga kerana penyatuan itu.

Dalam satu ketumbukan Jemaah mereka terdapat sekitar 100-200 orang sekali jalan. Jemaah haji Malaysia biasanya dalam kumpulan sekitar 20-30 orang sahaja. Itupun apabila sampai tempat Saie dah tinggal 10 orang (paling ramai).

200 orang Jemaah berarak bersama dengan mutawwif yang sehebat Sultan Al-Fateh jeritannya. Semasa bertalbiah, boleh kedengaran gema suara mereka di lapangan tawaf. Semasa di laluan Saie juga, mereka menguasai ruang bunyi dan juga ruang lalu.

Saya sempat berkenalan dengan sebahagian mereka semasa saya melalui kawasan-kawasan mereka berehat di lantai dua masjid. Saya bertanyakan mengapa Jemaah dari Indonesia sangat bersatu. Jawapan ringkas yang mudah untuk saya fahami ialah, jika mereka terpisah dari ketumbukan mereka, ongkos untuk mereka pulang ke hotel sangat tinggi. Mereka tidak datang ke Mekah dengan telefon bimbit yang ada kad sim tempatan, mereka hanya dipimpin oleh mutawwif mereka sahaja. Ada yang datang tanpa wang saku. Jika ada wang saku itu hanya cukup-cukup membayar dam.

Dari sisi yang lain, saya pula lihat Jemaah-jemaah kulit hitam dari Negara-negara Afrika juga tidak kurang hebatnya. Semasa Saie, mereka seakan sebuah ketumbukan perang yang laju, sihat, pantas dan lantang suaranya.

Dalam hati, saya terfikir yang mereka ini semua dari negara yang miskin. Kerana kemiskinan itu mereka bersatu. Tidak pula saya lihat negara kaya yang memiliki jemaah menyatu sebegitu.

Satu lagi hujjah saya kutip. Kita bersatu apabila susah dan kesenangan membuatkan kita menjadi terlalu berdikari sehingga kita tidak memerlukan sesiapa. Kesusahan membuatkan mereka saling bergantungan antara satu sama lain dan kekal bersatu.

Cerita di hadapan mata saya membuat saya memikirkan bagaimana dahulu Nabi dan sahabat-sahabatnya yang kaya raya melucutkan kekayaan mereka dan sama-sama meletakkan segala kekayaan itu dalam satu system Baitulmal. Sahabat yang kaya tetapi memilih menjadi fakir itu hanya bergantung kepada baitulmal untuk segala keperluan. Itu juga satu faktor penyatuan dalam Islam.

Catitan perjalanan

SAIFUL NANG
Makkatul Mukarramah

Travel Log Haji SN – Jurang Kaya Miskin

00 kaya miskin

Allah sudah tentukan, saya akan berada di tepi tempat saie dan tawaf setiap hari sehingga hari wukuf. Itu salah satu skop tugasan saya. Dalam pada memerhatikan pelanggan-pelanggan saya melakukan ritual ini, saya menjadi pemerhati di pinggir sahaja. Saya perasan satu perkara yang dahulu pernah saya lihat dari sisi negatif tetapi ada positifnya. Orang Indonesia, Sudan, Somalia, Lesotho dan beberapa lagi negara miskin sangat menyatu berbanding jemaah lain.

Perkara negatif yang mereka lakukan tetap negatif seperti menggunakan formasi “bulldozer” untuk laluan mereka di dalam kesibukan ruang tawaf dan saie. Di sebalik itu saya belajar bagaimana mereka mampu menyatu dalam 1 command dan mereka tidak berpecah dari kumpulan. Mungkin ada benar, bila dalam kesusahan, semua merasa perlu memerlukan antara satu sama lain. Jika terpisah pasti sukar mencari jalan pulang. Hari ini kita tak dapat menolak bahawa Islam sudah menguasai kelompok negara termundur dan paling banyak dibuli.

Semangat bersatu semasa susah ini patut jadi semangat untuk manusia menyatu. Islam sudah lemah dan susah, cuma sebahagian kita masih merasa sangat senang walaupun dikelilingi kesusahan. Tidakkah kita mahu jatuh susah dahulu untuk kita bersatu? Di sebalik itu, saya lihat gelandangan di kaki lima menara pencakar langit zamzam yang saya gauli lebih jaga menjaga antara satu sama lain. Si Kaya masih dengan “I I You You”.

Semasa saya tiba di Bilik Gerakan Sementara Tabung Haji Travel sebentar tadi, ada pegawai beritahu sekumpulan media cari saya tapi mereka dah balik. Saya tak ada pula ketika itu, tapi saya nak juga masuk TV pagi raya (hahahahha…) ucap selamat raya kepada seluruh rakyat Malaysia terutama orang-orang kampung, Kak Rosmah, Cik Bedah, Senah Janda, Pak Man Tiger, Din Landak, Peah Lontong, Tok Siak dan lain-lain (Ehemm…saya harap mereka baca posting ini atau ada sesiapa nak TAG mereka).

Sekiranya ada nasib, saya boleh di wassap di nombor 0172267533 (habis lah lepas ni ramai wassap aku).

Ok lah…itu sahaja.

SAIFUL NANG
Kesian Ayah saya miss turn pergi haji tahun ni.

Travel Log Haji SN – Tetamu Allah

00 tetamu allah

Atas permintaan ramai yang nak lihat kot-kot ibu bapa mereka terakam dalam kamera saya. Ini sekumpulan jemaah dari Malaysia. Saya ketika ini hanya dalam warm-up photographic session pada hari pertama kerana clients sebenar saya adalah pada pakej yang lain (Yang tu tak dapat nak publish tanpa izin. Yang ni pun kalau taukey marah saya kena hilangkan ia dari sini). Mungkin ada wajah yang anda kenali,

Travel Log Haji SN – Haram

 

00 haram

Maaf kepada semua pembaca. Saya terlalu ambitious sebelum ini untuk mencatat perjalanan haji saya kali ini. Walaubagaimanapun, saya terkandas disebabkan kerja-kerja yang perlu diutamakan. Status-status pendek sahaja mungkin boleh dikongsikan. Saya hanya sempat rakam audio travelog yang masih belum di transkrip kan. Travelog akan terus nanti.

Saya tak boleh bawa masuk kamera dalam Masjidilharam. Tetapi gambar ini hanya dari kamera saya selebar 2 inci tanpa display digital.

SN

Travel Log Haji SN – Warga Emas panjat bukit

00 lepas isya

Selepas Isya tadi. Manusia berpusu-pusu pulang ke penginapan masing-masing. Tahan hati melihat sebahagian warga emas bersesak-sesak mendaki bukit ini. Mereka adalah jemaah Muassasah yg menginap di penginapan bajet jauh dari masjid. Saya perhatikan juga, mereka lebih rajin ke masjid. Mereka keluar ke masjid waktu zohor, dan kembali selepas Isya.

Saya tidak lakukan sesuatu kerana upah pahala dari Allah tetapi redha Allah itu yg lebih besar dan didambakan. Saya hanya lakukan apa yg disuruh tinggalkan apa yang dilarang. Takutkan neraka dan segan tak layak ke syurga. Saya buat yang terbaik sampai holas dan selebihnya saya serah pada Allah untuk diadili. Saya sedang melihat sebahagian orang di sini sedang memberi markah akan ibadat saya. Mereka sedang cuba menjadi tuhan yg mengadili.

SAIFUL NANG
Al-Haram

 

Saiful Nang Travelog Haji – 2

00 tl2
Saiful Nang Travelog Haji – Hari Ke-2

Penulisan pena travelog saya teruskan. Dalam hati masih terasa bahang panas dalam hati yang dipendam dan tidak dikeluarkan. Perangai petugas Arab yang malas bekerja dalam urusan Muassasah yang menguruskan bas dari Jeddah ke Mekah menyebabkan kami terpaksa menunggu tanpa sebarang pembayang berapa lamakah lagi kami akan terus menunggu. Pertukaran syif jam 11 malam, maka tiada passport yang mereka mahu proses sekitar satu jam sebelum 11 malam itu.

Mereka tidaklah sibuk sangat, mereka menjalankan kerja itu sambil lewa dengan telefon bimbit sentiasa di telinga berbual dan ketawa tanpa rasa bersalah mebiarkan tetamu-tetamu Allah yang sudah sangat uzur terbiar.

Akhirnya, dari jam 6 petang kami mendarat di Jeddah, ketibaan kami di Mekah disambut dek azan Subuh. Dalam kepenatan itu, saya hanya sempat meletak beg di bilik sementara dan terus bersiap untuk mengerjakan umrah dalam rangka haji Tamattuk saya.

Padang tawaf sudah berubah kini. Mataf bertingkat yang dibina oleh jurutera-jurutera Malaysia telah tersedia bagi mereka yang menggunakan kerusi roda dan juga yang mempunyai keuzuran. Saya perhatikan, bagaimanakah manusia dari seluruh dunia mempraktiskan pelbagai kepercayaan mereka. Mengucup batu Hajarulaswad itu hanya sunat sahaja, tetapi mereka sanggup melakukan yang haram dengan sengaja. Hari ini, beberapa kali saya disiku, dipijak kaki dan diasak oleh sekumpulan Jemaah Indonesia yang menggunakan cara bulldozer (bertautan tangan bahu membahu dan menolak sesiapa sahaja di laluan mereka).

Saya terkuis keluar dari kekerasan lapangan tawaf lalu saya bertawaf di bahagian terluar sekali agar saya tidak menjadi sasaran mereka. Dalam hati, saya tak mampu menipu diri sendiri, adakah ini Islam? Atau Islamnya telah luput? Jika Islam, mengapa sampai jadi begitu sekali. Mengapa tiada kasih sayang? Mengapa perlu tolak menolak?

Sebelum masuk mengerjakan Saie, saya mengambil nafas sedikit berdiri dan memerhatikan gelagat manusia di lapangan tawaf itu. Di situ, saya belajar bahawa dalam pengembaraan mencari Tuhan di Bumi Anbia ini, saya melihat banyak perkara telah lari maksud utamanya walaupun ritual masih berjalan terus seperti dahulu. Jika dahulu haji mampu menyatukan manusia, hari ini haji di hadapan mata saya mampu membunuh tanpa ada rasa kasihan.

Usai Saie saya segera bertahlul dan terus meninggalkan Masjidilharam melalui pintu menghadap masjid baru. 150 meter dari pintu itu, sebuah papan iklan gergasi terpampang akan pembangunan masa hadapan Kota Mekah. Menakjubkan, akan banyak lagi pencakar langit, banyak lagi hotel mewah, banyak lagi kawasan bersejarah akan diroboh.

Semasa saya melalui tapak rumah Saidina Umar Al-Khattab r.a saya tersentap, ia dibangunkan menjadi sebuah hotel mewah. Kawasan hotel murah di sisi kawasan Saie telah bersih dirobohkan. Semua akan dibangunkan menjadi hotel mewah. Saya bertanya dalam diri sendiri, adakah satu hari nanti, haji itu hanya layak untuk orang yang sangat kaya sahaja? Adakah wukuf nanti akan menghimpunkan orang-orang kaya seluruh dunia?

Saya masih lagi mencari, di mana silapnya sehingga Islam pada hari ini dinilai dari angka yang mereka miliki dalam akaun bank dan bukan pada adab yang membentuk peradaban.

Salam haji

7 Okt 2013
Mekah

Saiful Nang Travelog Haji – 1

00 tl1

Buat sahabat-sahabatku di kampung. Catatan travelog saya di sini.

Malam semalam, saya diraikan dengan keraian penuh rasa kekeluargaan. Keluarga kandung saya dan juga keluarga saya di Rumah Pengasih Warga Prihatin meraikannya secara sederhana sahaja. Sempat juga jumpa rakan facebook Warga Prihatin yang agak aktif sekali, Abu Zafirah. Majlis dimeriahkan juga dengan kehadiran rakan-rakan sekerja, rakan kongsi yang sebahagian mereka baru pertama kali mengenali “shareholder” syarikat mereka iaitu anak-anak yatim dan asnaf RPWP.

Tahlil dipimpin oleh Anakanda Nik Harraz Nik Mat dan bacaan doa selamat dipimpin oleh Anakanda Haziq Amri Baharuddin. Apa lagi yang saya mahukan dari anak-anak ini selain dari doa mereka mengiringi saya.

Semasa memberikan ucapan, hati jadi sebak. Di hadapan saya ialah sahabat-sahabat saya yang sama-sama berlumpur dan bersimen membangunkan rumah ini sejak 8 tahun lalu. Sahabat itu juga yang basah bersama-sama semasa ribut yang menerbangkan kepingan zink yang kami pasang dan masih belum sempat kami pakukan dengan lengkap. Di hadapan juga sahabat yang menggalang ribut itu dengan badan sendiri memegang kepingan zink yang sedang berkibas-kibas ditiup angin kencang sebelum suara jeritan beliau didengari oleh sahabat lain yang membantu. Suasana pilu, kerana sahabat ini yang saya jumpainya setiap hari bakal saya tinggalkan selama sebulan. Bukannya tidak biasa pergi ke luar Negara, tetapi perjalanan kali ini tidak sama langsung dengan perjalanan yang lain. Perjalanan ini ialah perjalanan mencari Tuhan.

Majlis ringkas itu berakhir dengan solawat dan marhaban mengiringi saya dan keluarga ke kereta kami. Saat itu hati sayu melihat dari jendela kereta yang saya pandu. Mereka melambai dan saya bakal berjumpa lagi dengan mereka lebih kurang dalam 1 bulan lagi.

Pagi ini, saya dihantar oleh bapa dan keluarga saya ke Kompleks Tabung Haji. Saya tiada masalah, tetapi saya ingatkan mereka bahawa saya hanya seorang petugas musim ini. Tak perlulah ada bunga manggar, tak perlu ada tepung tawar, tak perlulah berkompang. Cukup sekadar menghantar saya sahaja dan mendoakanlah semuanya akan baik sahaja.

Anak, isteri, adik-adik, bapa dan ibu tiri saya menghantar sahaja. Walaupun mereka mahu menunggu, saya rasa itu bukan idea yang baik. Saya bukan seperti Jemaah haji yang lain yang pergi memasuki ruang perlepasan dengan lambaian. Semasa mereka masuk di ruang perlepasan, saya sudah berada di merata-rata tempat untuk merakamkan foto-foto Jemaah haji. Dalam hati rasa bersalah, tetapi saya minta ampun banyak-banyak kepada keluarga saya kerana saya bukan seperti yang lain. Sekiranya mereka tunggupun, takut saya tak terlayan dan tiba-tiba hilang dalam melaksana tugas tanpa sempat melampai selamat tinggal.

Penerbangan dengan Kapten Rosli agak berlainan. Kali pertama menaiki pesawat dengan pengumuman kapten yang membuat seluruh penumpang tak kering gusi. Tetapi keadaan berubah setelah mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Jeddah. Proses dan sistem imigrasi mereka ternyata tidak pernah berubah semenjak dahulu. Kemasukan mengikut pesawat demi pesawat. Jika pesawat sebelum kami ada 1 jemaah yang masih tersangkut, keseluruhan pesawat kami perlu menunggu.

Kesabaran mula tercabar ketika ini. Penantian sangat lama dengan tempat menunggu di lapangan terbang yang khusus untuk jemaah haji. Lapangan terbang itu dari pesawat kelihatan sangat gah dan tersergam indah malangnya tidak pada sistemnya. Kelihatan beberapa kelibat Jemaah tua yang Nampak seperti bermasalah. Arab oh Arab, mereka tak pernah berubah. Dalam umrah yang lalu, sampai saya bertengkar dengan pegawai immigresen di Riyadh kerana menyuruh saya keluar dari pesawat hanya kerana kesilapan cetakan tiket sedangkan rombongan saya yang lain masih ada di dalam pesawat. Selepas meninggikan suara dengan bahasa Inggeris yang agak “berabuk” itu, beliau baru belajar bercakap dengan baik.

Di sini, kami tidak dilayan seperti Jemaah ataupun tetamu Allah. Kami semua dilayan seperti kambing yang mahu masuk ke kandang. Cara pengendali haji memujuk kami hanyalah dengan menetapkan dalam hati dan tubuh yang berihram yang itu semua adalah ujian Allah kepada tetamunya. Tetapi, apakan daya kerana salah satu kesalahan undang-undang juga jika mengkritik pegawai-pegawai mereka ini. Sebab itu barangkali, mereka tak pernah menjadi lebih baik. Mereka hanya seperti Anjing-Anjing yang mengejar kambing biri-biri untuk masuk ke kandang.

Sehebat manapun mereka, peranan dalam cerita ini ialah mereka tetap anjing. Tetapi yang malangnya ialah kami yang jadi seperti kambing biri-biri yang dihalau dan terpaksa mengikut anjing-anjing itu. Saya mengurut dada untuk bersabar kerana di sisi Allah, baiklah jadi kambing biri-biri dari jadi anjing yang najis.

Jauh di sudut hati, saya sedih apabila warga emas selayaknya berpangkat ibu dan bapa saya diherdik oleh mereka ini. Tiada kemanusiaan, tiada penghormatan apabila mereka merasakan mereka adalah golongan pewaris nabi. Tanpa sedar, mereka lupa bahawa Nabi diutus kepada bangsa mereka kerena bangsa mereka adalah bangsa paling teruk atas muka bumi pada ketika itu. Mereka juga lupa, mereka telah kembali kepada perangai jahilliyah mereka sedang diri masih merasa maksum yang tak sudah.

Perjalanan bersambung lagi menuju ke Mekah. Tunggu sahaja sambungan semasa dalam perjalanan ke Mekah nanti. Apa lagilah cabaran yang bakal dilalui nanti.

SAIFUL NANG
6 Okt 2013