Category Archives: Hudud

image_pdf

DAP kekal dalam Pakatan tapi tamatkan kerjasama dengan Hadi,

Lim Guan Eng (paling kiri) bersama pemimpin kanan DAP lain yang bermesyuarat malam tadi. Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu memutuskan kekal dalam Pakatan Rakyat tetapi menamatkan kerjasama dengan presiden PAS. – Gambar The Malaysian Insider, 24 Mac, 2015.Lim Guan Eng (paling kiri) bersama pemimpin kanan DAP lain yang bermesyuarat malam tadi. Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu memutuskan kekal dalam Pakatan Rakyat tetapi menamatkan kerjasama dengan presiden PAS. – Gambar The Malaysian Insider,

Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan meneruskan kerjasama bersama Pakatan Rakyat (PR) tetapi menegaskan ia sudah hilang keyakinan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu kesal dengan tindakan “tidak jujur dan tidak bermaruah” Hadi yang bekerjasama dengan Umno melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Oleh itu, ia membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi dan akan mengadakan perbincangan dengan PKR bagi menentukan masa depan PR.

“DAP tidak boleh bekerjasama dengan presiden PAS seperti Hadi yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

“DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin PR dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

“Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan PR dalam keadaan terawang-awang.

“DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR membincangkan nasib PR pada masa depan,” menurut resolusi mesyuarat itu yang dikeluarkan hari ini.

Lim mendakwa, Umno menghasut PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014, semasa sidang Parlimen, dengan menjanjikan sokongan daripada kerajaan persekutuan.

DAP dengan itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan.

“Beliau juga harus menjelaskan peranan ahli Dewan Undangan Negeri Umno Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud.

“Najib juga harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan Hadi,” katanya.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, semua 37 ahli Parlimen DAP akan menolak rang undang-undang persendirian berkaitan hudud itu, yang dijadual dibentangkan Hadi.

“DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.

“Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud, tetapi untuk Dasar Bersama,” katanya.

DAP juga memberi tiga contoh Hadi mengambil tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah.

Pertama apabila beliau mengkhianati keputusan bersama Majlis Pimpinan PR dalam mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PR untuk jawatan menteri besar Selangor.

“Ia sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan kerajaan PR Selangor,” kata Lim.

Kedua ialah kegagalan Hadi menepati kata-katanya sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu, bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 bakal dibincangkan pada Majlis Pimpinan PR.

Dan ketiga, ialah permohonan Hadi ke Parlimen pada 18 Mac membentangkan usul rang undang-undang persendirian tanpa terlebih dahulu membentangkannya kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

DAP dalam resolusi mesyuaratnya turut menegaskan semula komitmennya kepada PR sebagai gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.

“PR berhasrat membina Malaysia baharu berdasarkan nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, demokrasi, integriti dan martabat manusia.”

DAP juga mengulangi pendirian yang semua parti komponen PR harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.

Mesyuarat tergempar CEC malam tadi berlangsung hampir empat jam dan membincangkan masa depan parti itu di dalam PR susulan keputusan PAS meneruskan agenda hudud dengan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen. – 24 Mac, 2015.

Hadi Tak Jujur – DAP Putuskan Hubungan

11:15AM – 24 Mar 2015

DAP mengumumkan bahawa parti itu kini memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana tidak lagi dapat dapat bekerjasama dengan presiden PAS yang disifatkan “tidak jujur”.Setiauasaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada malam tadi.

Katanya, parti itu sedar bahawa keputusan berkenaan akan meletakkan Pakatan Rakyat dalam keadaan terumbang-ambing.

“DAP tidak dapat bekerjsama dengan seorang presiden PAS seperti Hadi Awang yang tersebut bertindak dengan tidak jujur dan tidak bermaruah seperti ini.

“DAP sudah hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan dan kerjasama dengannya,” kata Lim lagi.

Keputusan itu dibuat antara lainnya selepas mengambil kira pendirian Hadi dalam meneruskan pelaksanaan hudud.

Selain itu ia juga bersabit dengan kontroversi yang timbul dalam projek Langkah Kajang – untuk melantik presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. – MALAYSIAKINI

Untuk membaca komen-komen secara langsung sila klik link berikut;

http://www.malaysiakini.com/news/293005

DAP sudah hilang kepercayaan kepada Hadi – Guan Eng

  • Lim Guan Eng
  • Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pihaknya tidak boleh bekerjasama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang susulan tindakannya yang tidak jujur dan bermaruah.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak untuk memutuskan kerjasama politik itu dalam PR sejak 2008 dalam PR kerana DAP sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Abdul Hadi.

“Oleh kerana Hadi adalah pemimpin Pas dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

“DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib PR pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

– SH

Artikel Berkaitan

Sokong Terengganu laksana hudud – Biro Agama UMNO

  • Ahmad Roslin Jaafar
  • Ahmad Roslin Jaafar

KUALA TERENGGANU – Biro Agama Umno Bahagian Kuala Terengganu menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang bersedia mengikut jejak Kelantan dalam pelaksanaan hukum hudud.

Pengerusinya, Ahmad Roslin Jaafar yang turut menyokong apa yang sedang diusahakan Kerajaan Kelantan ketika ini, turut berharap apa yang dibawa itu benar-benar mengikut tuntutan al-Quran dan hadis.

Menurutnya, sebagai negeri pertama yang ingin melaksanakan hudud, Kerajaan Kelantan sudah tentu menjadi perhatian negeri-negeri lain sebelum mereka melaksanakan di negeri masing-masing.

“Kalau Pas laksanakan dengan baik setelah bentang di Parlimen, sudah tentu negeri lain akan ikut. Melaka sebelum ini juga turut memberitahu bahawa tidak mustahil negeri itu melaksanakan undang-undang hudud.

“Di Terengganu, Menteri Besar setuju dengan hukum hudud dan kita berdiri teguh di belakang beliau berhubung isu itu.

“Kalau Kelantan bawa apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis, kita sokong 100 peratus apa yang Menteri Besar katakan, dan harap umat Islam turut sokong tanpa mengira fahaman atau parti kerana ini hukuman syariat Islam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, Terengganu sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, proses ke arah itu akan diperhalusi termasuk melihat bagaimana ia dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu, Ahmad Roslin berkata, Umno tidak pernah sesekali menolak hudud sebagaimana pandangan segelintir pihak yang pesimis terhadap BN.

Jelasnya, apa yang ditolak Umno adalah hudud Pas kerana parti itu sebelum ini dilihat seolah-olah cuba mempolitikkan isu tersebut setiap kali menjelang pilihan raya.

“Kita bersetuju dengan hukum ALLAH dan kita lihatlah nanti dalam pembentangan sama ada mengikut apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Sekarang ini, tidak bentang lagi,” katanya.

Jawapan Hilal Asyraf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad

Picture by http://walas-ca.deviantart.com/

Untuk melihat artikel asal dan komen-komen pembaca sila klik:
https://dl.dropboxusercontent.com/u/17508782/langitilahi-7734.html

Assalamu’alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, diizinkan saya mengarang warkah ini. Semoga Allah SWT memandu kita semua ke arah kebenaran, dan sentiasa meletakkan kita agar sentiasa lurus berada di atas jalanNya.

Ini adalah warkah jawapan saya kepada Tun Dr Mahathir yang menyuakan beberapa soalan kepada saya di dalam blognya pada link berikut: http://chedet.cc/blog/?p=718

Sukalah saya mendahulukan terima kasih saya, sebagai seorang rakyat biasa, kerana Tun Dr Mahathir sudi memberikan respon kepada nota saya. Yang nyatanya saya sangka, tidak sampai kepada Tun. Hal ini kerana ramai lagi orang lain memberikan respon kepada ucapan Tun berkenaan Hudud tersebut. Apa-apa hal pun, saya berbesar hati atas keterbukaan Tun ini, dengan izin Allah SWT.

Saya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak bin Kaprawi. Tahun ini berumur 23 tahun mengikut tahun masihi. Ya benar, saya taraf cucunda Tun, yang nyata usianya sudah menjengah 90 tahun dalam tahun hijrah. Saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiy of Yarmouk, Jordan dalam pengkhususan Usuluddin. Jika tiada aral melintang, saya akan menamatkan pengajian saya di semester ini. Saya juga, mengasaskan website ini(LangitIlahi.Com), dan menulis beberapa buah buku.

Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,

Maafkan saya atas intro yang panjang. Kini saya pergi menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh Tun di dalam blog Tun. Namun suka saya meminta maaf, jika saya tidak mampu menjawab seringkas yang dipinta. Tetapi saya berusaha keras untuk meringkaskan penulisan saya.

 

Soalan 1 –  Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini yang mana satukah yang diutamakan?

Izinkan saya memperbaiki statement – “punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, Fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama.”

Sebenarnya, ‘punca’ ajaran agama Islam adalah Al-Quran dan Hadith sahaja. Selebihnya, seperti fatwa, ajaran ulama’ atau guru-guru, itu adalah perkara yang terbit dari kefahaman mereka terhadap Al-Quran dan Hadith.

Bila ditanyakan yang mana satukah yang patut diutamakan, maka saya jawab:

Al-Quran dan Hadith. Kedua-duanya diutamakan, pada taraf yang sama. Kerana kewujudan Hadith, yakni sunnah nabawiyah, adalah sebagai ‘penjelasan’ kepada ayat-ayat Al-Quran. Kerana itu Allah SWT berfirman:

“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?” Surah An-Nahl ayat 44-45.

Begitulah juga dinyatakan di dalam Surah An-Najm ayat 2-4. Surah Al-Hasyr ayat 7.

Dan berkenaan Al-Quran, nyata Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah Al-isra’ ayat 9-10.

Juga wujud penegasan ini dalam banyak tempat yang lain di dalam Al-Quran, contohnya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 1-2, An-Nisa’ ayat 174-175, Surah Al-Maidah ayat 15-16 dan lain-lain.

Tun Dr Mahathir yang saya harapkan berada dalam rahmat Allah,

Soalan 2 –  Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?

Berkenaan soalan ini, pertamanya izinkan saya jelaskan berkenaan percanggahan hadith dengan Al-Quran. Sesungguhnya Tun yang saya kasihi, apabila Allah SWT telah berfirman di dalam ayat-ayatNya di atas berkenaan Rasulullah SAW itu tindakannya adalah wahyu, maka tiadalah hadith yang sohih, bercanggahan dengan ayat-ayat Al-Quran.

Sekiranya kita menjumpai ta’arudh(perlanggaran, percanggahan) ini, di antara hadith sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan. Tetapi antaranya disebabkan:

  1.  Silap dalam periwayatan hadith
  2. Ayat Al-Quran itu sudah di’nasakh’(mansuh)kan hukumnya, tetapi tidak di’nasakh’(mansuh)kan bacaannya.
  3. Atau Rasulullah SAW melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan.

Begitu.

Jadi bila ditanya kepada saya, mana yang patut diutamakan, maka saya akan jawab:

Al-Quran dan hadith. Bersama-sama.

Kalau berlaku pencanggahan antara Al-Quran dan hadith, maka nyatakan hadithnya, dan nyatakan ayat Al-Quran yang mana, kemudian kita periksa mengikut ilmu asbabul nuzul(sebab-sebab turunnya ayat Al-Quran), dan periwayatan hadith.

 

Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,

Soalan 3 – Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.

Benar. Dan perlu diketahui bahawa Imam Al-Bukhari(Abu ‘Abdullah Muhammad bin Isma’il Al-Bukhariy) menamakan Kitab Sohih Bukhari itu dengan “Jami’ Musnad As-Sohih Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”.  Al-Mukhtasar ini bermaksud “ringkasan”. Imam Al-Bukhari memasukkan sekitar 7,000 hadith ini ke dalam kitab tersebut kerana 7,000 hadith ini mencukupi pada pendapatnya, untuk manusia memahami bagaimana mahu berurusan dengan Islam sebagai cara hidup.

Dan Imam Al-Bukhari sendiri menyatakan: “Aku keluarkan untuk (isi)kitab ini daripada 600,000 hadith, dan aku jadikannya sebagai hujjah antara aku dan Allah SWT.”

Berkata Ibrahim ibn Mu’qol: “Aku mendengar Muhammad bin Ismail berkata: Tiadalah aku masukkan ke dalam kitabku As-Sohih ini melainkan yang sohih. Dan aku tinggalkan(tidak masukkan) banyak hadith sohih yang lain agar tidak menjadi panjang(kitab itu tidak menjadi terlalu tebal)”

Berkata Imam Al-Bukhari: “Tiadalah aku keluarkan(yakni meriwayatkan) di dalam kitab ini melainkan yang sohih, dan apa yang aku tinggalkan dari hadith sohih yang lain ada banyak.”

Kerana itu apabila Imam Al-Bukhari menamakan kitabnya “As-Sohih Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”, maka itu menjadi dalil bahawa dia berpendapat hadith-hadith tersebut sudah cukup bagi manusia mengamalkan dan memahami Islam yang sebenar. Tetapi tidaklah dia menutup peluang orang lain untuk meriwayatkan hadith sohih yang lain.

Ini saya dapati dari Kitab Al-Wadhih Fi Manahij Al-Muhaddithin karangan Dr Yaasir Asy-Syimaali.

 

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,

Soalan 4 – Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain. Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?

Kalau yang Tun maksudkan di sini adalah ‘sama taraf kesohihan’nya, maka itu bergantung kepada Al-Jarah Wa Ta’dil terhadap hadith tersebut. Menggunakan teknik Jarah Wa Ta’dil ini, maka periwayatan akan dikaji semula untuk melihat kesohihannya. Baik sohih dari segi sanad perawi, mahupun sohih dari segi matan(sebutan hadith) itu.

Tetapi kalau Tun mahu tanya fasal ‘Syarat Sohih Hadith’ yang dikenakan oleh perawi-perawi ini sebelum memasukkan ke dalam kitab mereka, maka telah diakui zaman berzaman bahawa syarat yang dikenakan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim adalah paling ketat sekali.

Imam Bukhari mengenakan syarat-syarat berikut:

  1. Memenuhi Syarat hadith Sohih yang disepakati Ulama’
  • Sanadnya bersambung.
  • Perawinya adil(soleh, bertaqwa, dipercayai)
  • Perawinya dobit(tidak nyanyuk, tidak lupa)
  • Tidak ada syaz(hadith yang diriwayatkan tidak bertentangan)
  • Tidak terdapat ‘illlah(yakni kecacatan/kesamaran yang menyebabkan hadith itu tidak diterima)

2. Subbut Al-Liqa’ (terbukti perawi itu telah bertemu dengan perawi sebelumnya)

3. Melihat tahap penguasaan murid di sisi syaikhnya(apakah murid yang bagus penguasaannya, atau tidak)

4. Hendaklah perawi itu masyhur sebagai yang tekun menuntut ilmu hadith.(maksudnya, perawi itu memang dikenali sebagai yang rajin menuntut hadith)

Manakala imam-imam yang lain, ada yang membenarkan hadith dho’if wujud di dalam kitabnya. Ini bukanlah hendak menyatakan Imam-imam tersebut kurang mulia atau kurang hebat daripada Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim. Tetapi hendak menyatakan, tujuan penulisan kitab mereka adalah berbeza. Dan perlu diketahui bahawa ulama’-ulama’ yang memasukkan hadith-hadith sedemikian, mereka memasukkannya dengan amanah. Yakni menyatakan para perawinya agar boleh diperiksa orang terkemudian selepas mereka.

Dan untuk isu mana yang lebih patut diambil sebagai rujukan, setakat ini sememangnya ulama’-ulama’ telah menjadikan Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim sebagai rujukan utama. Biasa akan dikatakan – “Perawi ini melepasi syarat asy-syaikhain”. Itu bermakna, perawi itu melepasi syarat yang dikenakan Bukhari dan Muslim.

Namun untuk mengambil hadith-hadith daripada Imam lain, tiada masalah selagi mana ianya memenuhi syarat hadith sohih.

Perkara ini Tun, dibahaskan dengan amat-amat detail dalam ilmu Jarah Wa Ta’dil(kritikan dan pujian) terhadap hadith-hadith, di dalam Kitab Ar-Rijal(kitab yang menceritakan perihal perawi-perawi, sejarah mereka, kedudukan mereka dalam dunia periwayatan hadith) dan sebagainya.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,

Soalan 5 – Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan, seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit, kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.

“Lebih tepat” itu pada saya sangat subjektif. Sebab, tidak semestinya apa yang dicatit itu betul. Dan tak semestinya juga yang diingati itu lebih tepat dari apa yang tercatat.

Sebab itu Tun, dalam isu pengumpulan, pembukuan Al-Quran dan Hadith, adalah amat-amat-amat ketat saringannya.

Bukan semata-mata dia hafal, dia sebut, maka terus dimasukkan ke dalam catitan. Terus dibukukan. Bahkan, jika kita menelaah kitab-kitab Manahij Al-Muhaddithin(Sistem Para Perawi Hadith), kita akan menjumpai perkara seperti jarah wa ta’dil yang menilai sanad dan matan hadith, kitab Ar-Rijal yang menilai perawi-perawi hadith, syarat hadith sohih,  dan sebagainya, yang jelas menunjukkan ini semua disaring penuh ketat dan teliti.

Kalau Tun nak kata ingatan manusia boleh terganggu dengan ‘lupa’ dan sebagainya, saya akan kata, sebab itu wujud sistem Jarah Wa Ta’dil, Kitab Ar-Rijal, Syarat-syarat hadith sohih, dan sebagainya, untuk memastikan apa yang disampaikan itu terjaga.

Sebentar lagi saya akan nyatakan bahawa hadith juga dicatit. Ada juga yang dihafal. Sama seperti Al-Quran. Ada yang tercatat di pelepah kurma, batu dan sebagainya. Ada juga yang tidak ditulis, tetapi dihafal. Namun sistem pengumpulan yang amat ketat itulah yang menjaga dari apa yang tidak sohih itu terlepas.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Soalan 6 – Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai kepada Al-Bukhari?

Sebenarnya Tun, hadith itu ditulis dari zaman Rasulullah SAW lagi. Bukan semata-mata hafalan dan ingatan. Di zaman Rasulullah SAW, antara yang dikhaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pencatit hadith baginda adalah: ‘Abdullah ibn ‘Amru Radhiallahu’anhuma.

Dinamakan penulisan Hadith ‘Abdullah ibn ‘Amru ini sebagai Sohifah As-Soodiqoh.

Antara lain yang wujud adalah Sohifah ‘Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu.

Dan wujud di dalam Sohih Bukhari dalam Kitabul ‘Ilm bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh agar ditulis pesanan dan ajaran baginda kepada seorang yang berasal dari Yaman.

Dan amat masyhur kita mengetahui bahawa baginda mempunyai penulis surat, dan dihantar surat itu kepada raja-raja di zaman baginda. Ini dinyatakan di dalam Kitab Jaami’ Bayan Al-‘Ilm karangan Ibn Abdul Barr.

Jadi jelas di zaman Rasulullah SAW, hadith-hadith baginda ditulis. Tanpa dinafikan, ada juga yang dihafal.

Kita mendalami ilmu hadith ini dengan memahami bahawa Al-Quran adalah wahyu daripada Allah SWT makna dan lafaz. Manakala hadith adalah maknanya daripada Allah, sedang lafaznya adalah lafaz Rasulullah SAW. Maka, ada sahaja yang meriwayatkannya berdasarkan makna sahaja. Itu pun, semua ini melalui jarah wa ta’dil yang kita nyatakan tadi.

Di zaman Sohabah(para sahabat) pula, wujud tulisan Zaid ibn Thabit RA yang mengumpulkan hadith-hadith berkenaan Fara’idh. Khotib Al-Baghdadi(Abu Bakr Ahmad ibn `Ali ibn Thabit ibn Ahmad ibn Mahdi) juga pernah meriwayatkan daripada Basyir ibn Nuhaik bahawa Basyir berkata: “Aku menulis untuk Abu Hurairah setiap hadith yang aku pelajari daripadanya. Kala aku hendak berpisah dengannya, maka aku membacakan apa yang aku tulis. Kemudian aku nyatakan bahawa ini semua adalah hadith yang aku ambil daripadanya. Abu Hurairah menjawab: Ya.” Khotib Al-Baghdadi, dalam kitabnya, Taqyid Al-Ilm.

Terdapat juga sohifah Jabir ibn Abdullah. Dan para sahabat yang hidup jelas memperturunkan hadith-hadith yang didapati daripada Rasulullah SAW kepada masyarakat di mana mereka hidup.

Dan ini semua tidak mati di situ sahaja. Di Zaman Tabi’in, wujud juga penulisan Hadith, bahkan jadi lebih meluas lagi kerana telah terbukanya banyak wilayah di tangan Islam. Ketika zaman inilah, Khalifah Abdul Aziz ibn Marwan(meninggal pada tahun 85H) mula menyeru agar dikumpulkan hadith secara rasmi. Kemudian usaha ini juga diteruskan oleh Khalifan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.

Perkara ini dijelaskan secara detail di dalam kitab-kitab Manahij Al-Muhaddithin. Ini bukanlah maklumat yang boleh kita biarkan begitu sahaja, atau memandangnya dengan sebelah mata semata-mata.

Kemudian, apabila ingin membicarakan perihal Imam Al-Bukhari, bagaimana dia menuntut hadith, dia nyata adalah seorang yang mengembara. 16 tahun dia keluar mengembara bertemu dengan perawi-perawi untuk mengumpulkan hadith-hadith, dalam rangka mengumpulkan yang sohih. Dia bukannya duduk diam di dalam perpustakaan semata-mata, atau menunggu seseorang datang kepadanya menyampaikan buatnya hadith.

Dan sekali lagi saya nyatakan, Imam Al-Bukhari bukannya sekadar dengar, dan terus catit masukkan ke dalam Kitabnya. Dia menyaringnya pula. Ada pula hadith-hadith yang lebih kurang sama, diletakkan sebagai bukti bahawa makna yang dibawa oleh hadith-hadith itu sohih, saling sokong menyokong satu sama lain.

Bahkan, untuk tambah meyakinkan lagi, Imam Al-Bukhari telah memanggil para ulama’ di zamannya untuk menilai Kitab Jami’ Musnad As-Sohih miliknya itu. Antara ulama’ yang menilai adalah ‘Ali ibn Al-Madini, Ahmad ibn Hanbal, Yahya Ibn Mu’in dan lain-lain. Mereka memperkemaskannya lagi dan menjadi saksi bahawa apa yang dikumpulkan itu adalah sohih.

Dan bukanlah Imam Al-Bukhari itu terus mati selepas menyelesaikan kitabnya. Dia masih hidup. Didatangi para ulama’, dan keluar ke negeri demi negeri membawa kitabnya. Sekiranya wujud kesalahan dan kecacatan, semestinya kitabnya telah tertolak lebih awal kala kehidupannya.

 

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi,

Soalan 7 – Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari mengguna akal dan berfikir?
Guru saya di dalam bidang Aqidah, bernama ‘Ala Hilat, pernah berkata bahawa Allah SWT menyediakan ayat musytabihat di dalam Al-Quran, sebagai tanda penghormatan Allah SWT kepada akal yang diciptakanNya buat manusia. Ayat musytabihat adalah ruang yang diberikan Allah SWT agar manusia berfikir, menjana pemikirannya sendiri.

Tetapi adalah perlu kita fahami bahawa, tiadalah pemikiran akan timbul sendiri tanpa bantuan. Dan tiadalah pemikiran akan menghala kepada arah yang betul sekiranya tidak mendapat panduan.

Kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Muhkamat. Yang qat’ie, jelas tidak boleh diubah dan diperbahaskan perlaksanaannya. Hal ini boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran ayat 7.

Allah SWT juga beberapa kali menyebut ayat Al-Quran seperti:

“Apakah mereka tidak mendalami/memikirkan Al-Quran?” Surah Muhammad ayat 24.              “Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Rum ayat 21.

Maka tidaklah Islam melarang kita menggunakan akal kita. Tetapi perlulah kita letakkan akal kita atas landasan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam kitabNya, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW daripada hadith yang sohih yang sampai kepada kita.

Jika Islam melarang kita menggunakan akal, maka tiadalah ulama’-ulama’ terdahulu terfikir untuk mengumpulkan Al-Quran dan mengumpulkan hadith. Tiadalah cendekiawan Islam membuat penemuan-penemuan yang menghidupkan ketamadunan dunia.

Tetapi perlulah pada kebebasan berfikir itu, wujud limitnya. Kerana pemikiran manusia itu terbatas.

Sebagaimana limit yang diletakkan kepada kita, agar tidak membicarakan akan dzat Allah SWT.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda: “Sesungguhnya syaitan mendatangi salah seorang dari kamu, lalu berkata: Siapakah yang telah menciptakan ini ? Siapakah yang telah menciptakan itu ? Hingga syaitan berkata kepadanya: Siapakah yang menciptakan Rabbmu? Jika sudah sampai demikian, maka hendaklah ia berlindung kepada Allah dengan mengucapkan isti’adzah dan berhenti.” Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Kerana jelas, makhluk jika mampu memikirkan bagaimana ‘bentuk’ Tuhannya, adalah satu kecacatan kepada Maha Besarnya Tuhan itu. Tidakkah Tun rasa demikian? Ini salah satu bentuk keterbatasan akal manusia. Tidak mampu menjengah kepada perkara-perkara ghaib. Maka Al-Quran dan hadith memandu. Islam benarkan kita terbang seperti layang-layang, tetapi mestilah bertali agar tidak jadi layang-layang yang lepas pergi begitu sahaja, Tun.

Maka begitulah saya melihat Islam mendidik kita berfikir, Tun.

Penutup: Inilah jawapan Saya, Tun Dr Mahathir, yang saya kasihi kerana Allah SWT.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi.

Pada hemat saya Tun, kalau saya diizinkan memberikan buah pandangan, saya kira lebih afdhol dari Tun memfokuskan soalan ini kepada saya, dan membukanya agar diperbincangkan ulama’ luar dan dalam negara. Saya cadangkan Tun menulis soalan-soalan ini di dalam bahasa Inggeris. Pastinya akan mendapat sambutan dan perhatian ulama’ international. Jika Tun mahu tahu, nama Tun masih disebut-sebut. Ada rakyat Jordan yang menyangka bahawa Tun masih Perdana Menteri kami.

Saya ini, ini sahajalah yang saya mampu beri. Mahu kata pakar, tidak sepakar mana. Saya pun tidak expect Tun akan tanya saya hal sebegini. Sedang ulama’-ulama’ yang lebih pakar, pastinya mungkin ada yang mampu memuaskan hati Tun.

Apa-apa hal pun Tun, inilah jawapan saya. Saya yakin, do’if dan kerdil, ditonton masyarakat Malaysia, kala berhadapan dengan Tun. Nyata, saya hanya cucunda Tun yang berumur 23 tahun, belum lagi menamatkan ijazahnya. Namun saya kekal dengan jawapan saya ini setakat ini. Saya percaya dengan ilmu yang saya perolehi ini, sebagaimana yang saya tulis.

Nota saya yang sebelum ini hanya berniat untuk menyatakan, bagaimana kelirunya masyarakat dengan kata-kata Tun tempoh hari. Saya, berdasarkan ilmu yang sedikit, yang ada pada saya ini, juga penjelasan saya tadi, jelas bahawasanya Hukum Hudud bukan satu ‘rekaan’ ulama’ Fiqah. Ianya memang datang daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bila Tun bicara berkenaan ‘hukum yang keras’ tiada di dalam Al-Quran, saya nyatakan adanya potong tangan di dalam Al-Quran. Berkenaan dengan rejam, wujud di dalam hadith sohih, namun kedudukan rejam ini saya menjumpai pelbagai pandangan. Sebat ada di dalam Al-Quran. Apa-apa hal pun, Tun kemudiannya bicara berkenaan bagaimana ruginya kita jika amal hudud, orang melayu Islam akan tak ada tangan dan sebagainya.

Tun minta tidak dicap sebagai anti-hadith, dan Tun jelas mengakui betapa hadith diperlukan untuk menjelaskan bagaimana untuk bersolat. Maka saya bawakan hadith sohih berkenaan potong tangan, yang jelas tiada diskriminasi. Hatta anak kepada Nabi pun, jika mencuri dan sampai hadnya, maka akan dikenakan hukumannya.

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!” Hadith Riwayat Bukhari.

Inilah penjelasan kepada ayat berkenaan potong tangan yang wujud di dalam Al-Quran pada ayat 38 Surah Al-Maidah. Saya sudah nyatakan di dalam nota saya, saya ‘tidak arif berkenaan bagaimana hudud itu perlu dilaksanakan.’ Tetapi saya amat pasti bahawa, hudud bukan semata-mata rekaan ulama’ fiqah.

Sekiranya orang menyatakan nota saya adalah satu bentuk salah faham kepada bicara Tun, maka semestinya Tun perlu memberikan penjelasan. Sebab apa yang saya nampak, kenyataan Tun tempoh hari mengundang salah faham yang nyata besar. Kerana nyata, Tun diikuti ramai orang. Suara saya, hanya pasir di tengah suara rakyat yang lain. Dan adalah menjadi kegembiraan saya, apabila Tun memberikan respon. Walaupun saya kira, respon Tun sepatutnya berbentuk umum, kerana ada lagi beberapa orang menulis kritikan yang sama, bahkan ada yang lebih keras, kepada Tun.

Jadi, setakat ini sahajalah daripada saya. Terima kasih kerana sudi menyantuni penulisan saya, membaca nota saya yang terdahulu. Sebarang kesilapan, saya minta maaf. Sebarang kecacatan bahasa dalam penulisan saya, mungkin ada yang dianggap kasar, maka saya minta maaf.

Di kesempatan ini, saya sampaikan salam dua sheikh saya, pakar ilmu hadith daripada Yarmouk, bernama Dr Mehmed Thowalbeh dan Dr Sa’id Bawa’anah. Mereka kata, jika Tun ingin bertanya lebih banyak, mereka sedia membantu. Mereka juga mencadangkan sebuah buku untuk ditelaah Tun, bertajuk: Manahij Al-Muhaddithin karangan Ali Qudhoh.

Jika Tun sudi, sampaikan salam saya kepada ‘nenda’ Tun Dr Siti Hasmah. Dan doakan agar saya selamat melayari bahtera perkahwinan, tarikhnya sekitar sebelum Ramadhan tahun ini.

Sekali lagi, terima kasih, dan minta maaf, daripada saya, Hilal Asyraf, ‘cucunda’ Tun yang masih banyak perlu belajar lagi, semestinya.

Semoga Allah redha, dan membuahkan dari penulisan ini manfaat. Bukan sahaja untuk kita berdua, tetapi juga buat masyarakat.

Sekian.

 

~ seorang hamba,

HilalAsyraf

http://langitilahi.com

http://www.facebook.com/pages/Hilal-AsyrafOfficial/245964752094643

Koleksi buku-buku saya: http://www.facebook.com/media/set/?set=a.148097505256828.31728.116637538402825&type=3

About The Author

Hilal Asyraf

Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Kini merupakan pelajar University of Yarmouk, dalam bidang Usuluddin. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi.

Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 2

Thursday, May 20, 2010

 Gambar Peringatan – “The Taliban Shari’a court in Pakistan ordered the right hands of three local tribesmen to be cut off as punishment for an alleged theft – Pakistani police from the tribal region of Orakzai, near the Afghanistan border, have confirmed the incident. After the amputations, the men were transported to a hospital for treatment. The resultant blood loss following the amputations has put the men in danger of losing their lives. Orakzai, in northwest Pakistan’s semi-autonomous tribal area, has recently been the centre for action in an anti-Taliban sweep by the Pakistan military, which is trying to eradicate Islamist extremism.”

UNDANG-UNDANG JENAYAH MENGIKUT SYARIAH DALAM KONTEKS SISTEM FEDERALISME
Oleh: Muhammad Fathi Yusof

Selain dari kes yang telah diputuskan di mahkamah, terdapat juga konflik hubungan Negeri-Persekutuan yang melibatkan pembahagian kuasa perundangan mengikut Jadual Kesembilan ini, khususnya berkaitan dengan kuasa kerajaan negeri untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah berasaskan undang-undang Islam.

Isu ini timbul buat kali pertama apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan dengan sebulat suara Enakmen Jenayah Syariah II, 1993 pada 25 November 1993. Peraturan ini dibuat berasaskan kuasa kerajaan negeri untuk ‘mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan terhadap prinsip-prinsip Islam yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut Islam’. Selanjutnya pada tahun 2002, Dewan Undangan Negeri Terengganu pula meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 bagi menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam.

Namun begitu enakmen-enakmen ini belum dapat dilaksanakan kerana beberapa faktor antaranya akibat dari halangan perundangan dan tidak mendapat restu dari kerajaan Persekutuan. Pada dasarnya enakmen-enakmen ini adalah sah dan boleh berkuatkuasa sebagai undang-undang negeri. Namun demikian ia terdedah kepada cabaran dan pertikaian oleh pihak yang terlibat kerana ia bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Muhammad Imam (1), selagi tidak ada kerjasama daripada kerajaan Persekutuan, undang-undang ini sukar untuk berkuatkuasa secara lancar kerana ia bercanggah dengan prinsip pembahagian kuasa perundangan federalisme dan boleh dianggap ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan. Percanggahan ini berlaku kerana beberapa sebab, di antaranya:

(a). Enakmen ini mengadakan kesalahan-kesalahan (2) yang sebahagian besarnya bertindan dengan kesalahan-kesalahan yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dan kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan. Ini juga bercanggah dengan butiran 1, Senarai Negeri yang menghadkan kuasa membuat undang-undang jenayah Islam setakat mana ia tidak ‘berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’.

(b). Enakmen ini juga meluaskan tahap hukuman (3) melebihi apa yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan iaitu Akta (Bidangkuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965. (4)

(c). Enakmen ini turut berkuatkuasa ke atas orang-orang bukan Islam yang bebas memilih sama ada mahu diadili mengikut enakmen ini atau tidak.(5) Peraturan ini bercanggah dengan bidangkuasa kerajaan negeri untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengan hukum Islam untuk orang-orang Islam sahaja. (6)

(d). Ia juga menyebabkan penubuhan mahkamah-mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ke atas bukan Islam (7). Peruntukan ini bertentangan dengan bidangkuasa mahkamah Syariah yang tercatat di dalam undang-undang (8) dan Perlembagaan Persekutuan (9).

Menurut Prof. Ahmad Ibrahim,(10) selagi tidak ada tindakan dari Parlimen, Enakmen Jenayah Shariah II Kelantan 1993 tidak dapat berkuatkuasa secara sah kerana ia ultra vires perlembagaan dan bercanggah dengan undang-undang Persekutuan. Beliau mencadangkan dua tindakan yang boleh dilakukan oleh Parlimen iaitu, pertama, meluaskan kuasa kerajaan Negeri Kelantan melalui Perkara 76A serta meminda atau memansuhkan Akta 1965; atau kedua, meminda Senarai Negeri dengan meluaskan bidangkuasa perundangan negeri-negeri. Ahmad Ibrahim turut mencadangkan agar peruntukan berkaitan dengan bukan Islam dimansuhkan dari enekmen berkenaan kerana ia boleh dicabar melalui kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11).

Walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam urusan agama Islam, ini tidak bermakna Parlimen tidak boleh membuat undang-undang berkaitan dengan Islam. Parlimen boleh membuat sebarang undang-undang yang berkait dengan Islam selagi perkara tersebut di dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama. Adalah tidak benar untuk mendakwa bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa ekslusif untuk membuat undang-undang dalam semua perkara berkait dengan Islam. Keadaan ini berlaku kerana Perlembagaan hanya menghadkan kuasa kerajaan negeri di dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang keluarga, wakaf, zakat dan jenayah-jenayah syariah, sedangkan hukum Islam adalah luas mencakupi segala bidang kehidupan. Kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang berkait dengan Islam bagi perkara yang tidak termasuk di bawah kuasa kerajaan negeri, umpamanya di dalam urusan muamalat Islam seperti bank Islam, sistem kewangan Islam dan sebagainya.(11)

==================================================

(1) Mohammed Imam, Islamic criminal law in Malaysia: federal-state jurisdictional conflict, Current Law Journal, [1994] 1: xxix
(2) Lihat Bah. II dan III Enekmen Jenayah Syariah II 1993 Kelantan yang memasukkan kesalahan seperti mencuri, membunuh, merompak dan liwat sebagai kesalahan jenayah.
(3) Lihat fasal 64 enakmen berkenaan yang memasukkan hukuman mati, rejam, penjara dan sebat yang jauh dari yang dibenarkan oleh Akta (Bidangkuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965.
(4) Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, atau, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau enam kali sebatan atau kombinasinya
(5) Lihat fasal 56(2) Enakmen berkenaan yang menyatakan orang-orang bukan Islam tidak dihalang untuk diadili mengikut peruntukan enekmen itu.
(6) Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan
(7) Bah. VI Enakmen berkenaan menubuhkan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas
(8) Akta (Bidangkuasa Jenayah) Mahkamah Syariah 1965
(9) Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan
(10) Ahmad Mohamad Ibrahim, Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur, 1997, hlm 52.
(11) Mohammed Imam, Making Laws Islamic in Malaysia: A constitutional perspective, Current Law Journal July 1994 Jil 3 hlm xxv.

Rujuk juga:-

1. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 1
2. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 3
3. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 4
4. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 5

Mahathir – Hukum Hudud hanyalah ciptaan ahli-ahli Fiqh

Saturday, June 23, 2012

Siri penerangan umum dan pembuka minda supaya tidak ditipu lagi oleh Nik Ajis mengenai Hukum Hudud ciptaan PAS dan penyokong Anwar peliwat dan penzina tegar yang melakukan perkara-perkara yang dikutuk oleh Allah swt dan Nabi Muhamad saw dalam bilik berkunci tanpa 4 saksi saranan ahli-ahli Fiqh PAS itu.

1. Yang dikatakan ‘Hukum Hudud’ dengan hukuman-hukuman yang ditetapkan itu sebenarnya adalah diambil oleh agamawan-agamawan Islam dahulu kala hingga sekarang dari kitabullah Torah, Injil dan al-Quran serta hadith2.

2. Kitabullah Torah untuk pengikut Nabi Musa as (Bani Israel /Yahudi) ini wujud 1,900 tahun sebelum wahyu (al-Quran) pertama Allah swt kepada Nabi Muhamad saw (iaitu 3,240 tahun dahulu), manakala kitabullah Injil bagi pengikut Nabi Isa as pula wujud lebih kurang 600 tahun sebelum turunnya al-Quran (iaitu 2030 tahun dahulu).

3. Hukuman potong tangan terhadap kesalahan mencuri ada dinyatakan di dalam kitab suci Torah bani Israel/Yahudi, kitab suci Injil bani Nasara/Kristian dan kemudiannya dalam al-Quran.

4. Hukuman terhadap kesalahan zina (adultery/fornication) mengikut kitab Torah dan Injil adalah rejam sampai mati (stoning to death) tetapi hukuman rejam ini tidak diwahyukan oleh Allah swt dalam al-Quran. Jadi, ayat rejam ini tiada dalam al-Quran, kecuali al-Quran versi pengikut Syiah. Walau bagaimanapun hukuman rejam terhadap penzina ini tidak dipraktiskan lagi oleh Bani Israel/Yahudi dan Bani Nasara/Kristian sebelum Nabi Muhamad saw berhijrah ke Madinah lagi.

5. Agamawan-agamawan Islam tetap mahukan hukuman rejam dikenakan terhadap penzina (muhsan) dengan alasan sunnah Nabi (mengikut Hadith) kerana nabi Muhamad sendiri menjatuhkan hukuman rejam terhadap pasangan Yahudi yang berzina berlandaskan kitab Taurah mereka.

6. Hadith rujukan Nabi Muhamad menjatuhkan hukuman rejam terhadap penzina Yahudi berlandaskan kitab Torah ialah…

(a). Hadith Sahih Bukhary Volume 4, Book 56, Number 829:
Narrated ‘Abdullah bin ‘Umar:

The Jews came to Allah’s Apostle and told him that a man and a woman from amongst them had committed illegal sexual intercourse. Allah’s Apostle said to them, “What do you find in the Torah (old Testament) about the legal punishment of Ar-Rajm (stoning)?” They replied, (But) we announce their crime and lash them.” Abdullah bin Salam (former Rabbi who embraced Islam) said, “You are telling a lie; Torah contains the order of Rajm.” They brought and opened the Torah and one of them solaced his hand on the Verse of Rajm and read the verses preceding and following it. Abdullah bin Salam said to him, “Lift your hand.” When he lifted his hand, the Verse of Rajm was written there. They said, “Muhammad has told the truth; the Torah has the Verse of Rajm. The Prophet then gave the order that both of them should be stoned to death. ‘Abdullah bin ‘Umar said, “I saw the man leaning over the woman to shelter her from the stones.”

(b) Hadith Sahih Bukhary Volume 9, Book 93, Number 633:
Narrated Ibn ‘Umar:

A Jew and Jewess were brought to the Prophet on a charge of committing an illegal sexual intercourse. The Prophet asked the Jews, “What do you (usually) do with them?” They said, “We blacken their faces and disgrace them.” He said, “Bring here the Torah and recite it, if you are truthful.” They (fetched it and) came and asked a one-eyed man to recite. He went on reciting till he reached a portion on which he put his hand. The Prophet said, “Lift up your hand!” He lifted his hand up and behold, there appeared the verse of Ar-Rajm (stoning of the adulterers to death). Then he said, “O Muhammad! They should be stoned to death but we conceal this Divine Law among ourselves.” Then the Prophet ordered that the two sinners be stoned to death and, and they were stoned to death, and I saw the man protecting the woman from the stones. (See Hadith No. 809, Vol. 8)

7. Dalam al-Quran wujud wahyu-wahyu Allah menuntut Nabi Muhamad sendiri menjatuhkan hukuman mengikut hukuman2 yang ditetapkan dalam Torah dan Injil. Antara ayat2 itu ialah….

Ayat 44 al-Maaidah – “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Taurat, didalamnya ada petunjuk dan nur (cahaya), sedang Nabi2 yang tunduk (kepada Allah) menghukum dengan Taurat itu, terhadap orang2 Yahudi dan (begitu pula) ulama dan ketua2 agama, sebab mereka menghafal Kitab Allah dan mereka itu menjadi saksi atas demikian itu. Sebab itu janganlah kamu takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu dan janganlah kamu jual ayat2Ku dengan wang yang sedikit. Barang siapa yang tiada menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang2 yang kafir;

Ayat 45 al-Maaidah – “Kami telah perlukan kepada mereka dalam Taurat, bahwa sesungguhnya jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka ada pula qisasnya. Barang siapa bersedekah (mema’afkan) qisas itu, maka demikian itu penutup bagi dosanya. Barang siapa yang tiada menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang2 aniaya”; dan

Ayat 47 al-Maaidah – “Hendaklah ahli Injil menghukum menurut yang diturunkan Allah dalam Injil itu. Barang siapa yang tiada menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka mereka itu orang2 fasik”.

8. Hukuman Qazaf, iaitu tuduhan terhadap wanita muhsyanat (wanita yang baik) berzina tanpa dikemukakan 4 saksi haruslah disebat adalah rentetan dari tuduhan zina terhadap isteri Rasulullah yang amat muda itu, Aishah dengan Safwan bin Muatal semasa balik dari medan perang. Sila rujuk Asbabul Nuzul ayat2 dari surah an-Nur ini.

9. Di Malaysia agamawan-agamawan yang mengaku mereka Islam juga menyifatkan perbuatan zina adalah sama juga dengan perbuatan liwat. Jadi apabila seorang ahli politik yang kegemaran utamanya suka meliwat (dan berzina) didakwa meliwat oleh mangsa peliwat sendiri dalam bilik berkunci, ‘agamawan-agamawan’ ini juga mahukan 4 saksi yang menonton aksi liwat ini sebagai saksi. Kalau tidak dapat didatangkan 4 saksi, maka sipeliwat akan terlepas dari didakwa manakala si mangsa peliwat pula akan didakwa dan dihukum sebatan atas kesalahan Qazaf..

10. Allah swt menganugerahkan aqli untuk kita berfikir, tetapi wujud lagi manusia yang malas berfikir.

Oleh : Elly Nina Ahmed

Hukum Hudud tidak disebut dalam Al-Quran ?
1. Semenjak 2 hari ini, ruangan alam maya di Malaysia mungkin sibuk dan hangat mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir apabila ditanya mengenai hukum hudud.

2. Perlu ditekankan bahawa, kenyataan Tun Dr. Mahathir itu adalah untuk menjawab soalan seorang peserta seminar.

3. Terdapat dua isu utama yang disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir iaitu, hukum hudud tidak disebut dalam Al-Quran dan pentingnya konsep keadilan dalam undang-undang islam.

4. Didalam Al-Quran, perkataan hukum hudud yang merujuk kepada kesalahan-kesalahan jenayah tidak ada disebut. Diulang sekali lagi, perkataan hukum hudud yang merujuk kepada kesalahan jenayah tidak pernah disebut.

5. Perkataan hudud disebut dalam AL-Quran sebanyak 14 kali yang menyentuh perkara berikut :-

(a). berkenaan hubungan suami isteri di dalam bulan puasa (disebut 1 kali) – pada surah 2 ayat 187

(b). berkenaan perceraian (disebut sebanyak 8 kali) – 4 kali pada surah 2 ayat 229, 2 kali pada surah 2 ayat 230 dan 2 kali pada surah 65 ayat 1.

(c). berkenaan faraid (disebut sebanyak 1 kali) – pada surah 4 ayat 13

(d). berkenaan perkara umum (3 kali) – pada surah 4 ayat 14, surah 9 ayat 97 dan surah 9 ayat 112.

(e). berkenaan adat zihar (1 kali) – pada surah 58 ayat 4.

….semuanya berjumlah 14 kali.

6. Dalam kesemua sebutan perkataan hudud di 14 kali tersebut, tiada satupun yang merujuk kepada kesalahan jenayah (mencuri, berzina, tuduhan berzina, merompak, murtad dan ditambah dengan minum arak dan pemberontakan).

7. Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir bahawa dalam Al-Quran tidak disebut hukuman hudud terhadap jenayah-jenayah tersebut secara literal.

8. Ini sama juga dengan kenyataan Hadi Awang apabila beliau mengatakan bahawa dalam Al-Quran tidak disebut negara islam. Sudah semestinya perkataan islam banyak kali disebut, tetapi tidak ada satupun yang merujuk kepada negara islam secara literal. Tetapi konsep keseluruhan sistem perundangan dan pentadbiran menurut pandangan Al-Quran ada. Yang tiada adalah perkataan negara islam.

9. Oleh itu, ada kebenaran bahawa perkataan hukum hudud utk jenayah tertentu tidak disebut dalam Al-Quran seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr. Mahathir.

10. Dalam isu kedua pula, Tun Dr. Mahathir menekankan betapa pentingnya keadilan dalam undang-undang islam.

11. Ini adalah benar kerana keadilan amat dituntut. Sebab itulah, Tun Dr. Mahathir mengatakan bahawa undang-undang hudud PAS bukanlah undang-undang islam kerana ianya tidak adil. Undang-undang hudud PAS hanya dikenakan keatas orang islam sahaja maka disini timbul konflik keadilan dimana satu kesalahan yang sama dilakukan oleh dua orang yang berbeza agama akan menerima hukuman yang berbeza. Ini tidak melambangkan keadilan sedangkan Islam menitikberatkan keadilan.

12. Kenyataan Tun Dr. Mahathir mengenai konsep keadilan ini adalah konsisten dengan kenyataan beliau pada tahun 1993 apabila menjawab surat Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz. Pada masa itu lagi Tun Dr. Mahathir telah membangkitkan konsep keadilan ini dan mengapa undang-undang hudud PAS tidak berketepatan dengan perinsip keadilan dalam Islam.

Oleh: CheWal …aku menulis bukan kerna nama…

Mulut Melayu – Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 1

Thursday, May 20, 2010

Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 1

Gambar Hiasan – “Torah of the Jews (Old Testament in the Christian Bible) Deuteronomy 22:23-24 – Sexual intercourse between a man and a woman engaged to another man both should be stoned to death”

Hukum hudud dalam al-Quran bermaksud hukum-hakam Allah secara umum termasuk semua suruhan dan laranganNya. Hukum hudud yang menyeluruh ini lebih penting dan lebih aula daripada hudud yang sempit dan terbatas yang bermaksud hukuman-hukuman bersyarat ketat, sukar untuk dilaksanakan dan dianggap tuntutan paling akhir dalam agama untuk dilaksanakan. Ini kerana hukum hudud yang menyeluruh ini adalah pokok ajaran Islam.

Ulama-ulama berbeza pendapat tentang banyak perkara mengenai hukum hudud. Antara perbezaan pendapat mereka yang jelas ialah:-

1. Mereka berbeza pendapat tentang maksud hukum hudud., dan

2. Mereka berbeza pendapat tentang bilangan kesalahan yang mesti dikenakan dalam hukum hudud.

Ulama zaman dahulu menamakan hudud terhadap semua dosa atau perkara yang haram. Ini kerana hudud itu secara umumnya bermaksud batasan agama, suruhan buat baik dan larangan buat jahat (al-amr bilma’ruf wa an-nahy ‘anilmungkar)

Bagaimanapun, pada zaman akhir-akhir ini, pengertian terhadap hudud berubah di mana para ulama menyempit dan mengkhususkan maksudnya kepada hukuman yang dibataskan (al-mahdud) dan disebut secara jelas (qat’iyah) dalam al-Quran dan dipanggil hukuman yang telah ditetap atau hukuman nas (al-‘uqubah al-muqaddarah / al-‘uqubah an-nasiyah)

Ini bererti hukum hudud itu ada dua:-

Pertama, hukum hudud yang umum bermaksud semua dosa atau perkara haram yang ditegah oleh Islam seperti meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa dalam bulan Ramadan, memaki-hamun, mencarut, menghina, mengumpat, menipu dan lain-lain.

Kedua, hukum hudud yang khusus bermaksud kesalahan-kesalahan yang ditetapkan hukumannya dalam al-Quran seperti hukum hudud berzina, hukuman mencuri, minum arak, qazaf (tuduhan isteri berzina atau tuduhan terhadap wanita mukminah berzina), murtad dan hukuman hirabah (merompak, memerangi Allah, RasulNya).

Ibn Taimiyah dalam kitab as-Siasah asy-Syari’iyah dan Abu Ya’la dalam kitab al-Ahkam as-Sultaniyah adalah di antara beberapa ulama dahulu yang membahagikan hudud kepada dua bahagian itu.

Adalah jelas bahawa hudud itu pada ulama zaman silam bukan semata-mata hukum hudud seperti yang kita sering baca dalam Harakah atau mendengar huraian-huraian para ustaz dan ulama PAS. Ini kerana hudud itu adalah semua suruhan dan larangan Allah.

Dalam pada itu perkataan atau istilah hudud seperti yang difahami oleh orang awam tidak wujud dalam al-Quran kerana semua ayat al-Quran yang menyebut tentang hudud adalah bermaksud batasan agama secara keseluruhannya.

Untuk mengetahui betapa kecil hukum hudud berbanding hukum-hakam Islam yang lain memadai disebutkan dalam al-Quran terdapat 10 ayat yang membincang mengenai hukum hudud berbanding 500 ayat yang membincangkan keseluruhan hukum.

Ini bererti ayat yang menyebut hukum hudud hanya 1 daripada 500, ataupun 0.17 peratus dari keseluruhan ayat al-Quran yang berjumlah kira-kira 6,000 ayat itu.

Perhatikan ayat 187 daripada surah al-Baqarah [Lembu Betina/The Cow (2:187)] :


“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah Hudud (batas-batas larangan) Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”

Hudud dalam ayat di atas itu ialah berkaitan dengan larangan supaya tidak mencampuri isteri pada siang hari bulan Ramadan.

Perhatikan pula ayat 229 daripada surah al-Baqarah [Lembu Betina/The Cow (2:229)] :


Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan Hudud (aturan-aturan hukum) Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan Hudud (aturan-aturan hukum) Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah Hudud (aturan-aturan hukum) Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar Hudud (aturan-aturan hukum) Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Dalam ayat di atas disebut hudud sebanyak empat kali, tetapi semua tidak bermaksud hudud yang difahami sekarang, tetapi ia berkaitan dengan batasan yang tidak boleh dilanggar jika berlaku perceraian di antara suami isteri.

Begitu juga ayat 230 daripada surah al-Baqarah [Lembu Betina/The Cow (2:230)] : yang membincangkan tentang hudud yang dibenarkan bagi suami isteri sesudah bercerai tiga kali untuk kembali hidup serumah semula jika isteri itu berkahwin dengan orang lain terlebih dahulu.


Ayat ini bermaksud:
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan Hudud Allah dan itulah Hudud Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

Ayat 13 daripada surah an-Nisa’[Wanita/The Woman (4:13)] :-

Segala hukum yang tersebut adalah Hudud (batas-batas syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar..”

Ayat di atas membincangkan tentang hudud yang bermaksud syariah dan hukum-hakam secara umum seperti yang dihuraikan oleh ulama-ulama.

Ayat 97 daripada surah at-Taubah [Pengampunan/The Repentance (9:97)] ini juga merupakan syariah dan hukum-hakam agama secara umum.

“Orang-orang A’raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui Hudud (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”.

Ayat 112 daripada surah at-Taubah [Pengampunan/The Repentance (9:112)],

ayat 4 daripada surah al-Mujadilah [Wanita Yang Bersoal Jawab/The Pleading Woman (58:4)]

“Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum (Hudud) Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

dan ayat 1 daripada surah at-Talaq [Talak/The Divorce (65:1)] juga bermaksud demikian.

“Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum (Hudud) Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).”

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. disebut hudud dalam dua maksud, iaitu hudud yang umum dan hudud yang khusus.

Walaupun hukum hudud (khusus) ditetapkan dalam Al-Quran tanpa menamakan hukum hudud, tetapi kriteria untuk membolehkan dilaksanakan hukum tersebut tidak ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Sebaliknya Allah menetapkan kriteria untuk mengelak daripada melaksanakan hukum hudud secara tidak tepat atau menyempitkan lagi pelaksanaannya, iaitu dengan mewajibkan empat orang saksi dalam kes jenayah zina dan dua saksi dalam kes mencuri dan lain-lain.

Begitu juga kriteria yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, baginda tidak melaksanakan hukum hudud kecuali melalui pengakuan pesalah sahaja. Selain itu baginda juga sentiasa mencari jalan supaya tidak melaksanakan hukum hudud seboleh-bolehnya seperti kes yang melibatkan seorang lelaki yang dianggap oleh Rasulullah memadai lelaki itu bersembahyang jemaah dengan baginda sebagai sudah bertaubat.

Abdullah bin Omar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. selepas melaksanakan hukuman hudud terhadap Ma’iz, baginda berdiri dan berkata: “Jauhi kekotoran yang ditegah oleh Allah ini dan sesiapa yang terlibat melakukannya, hendaklah menutup dengan tutupan Allah serta bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang mendedahkan jenayahnya, kita akan melaksanakan hukuman Allah ke atasnya

Rasulullah melaksanakan hukuman hudud ke atas Ma’iz selepas dia datang berjumpa baginda dengan membuat empat pengakuan terhadap jenayah yang dilakukannya. Baginda berusaha untuk menjauhkan Ma’iz daripada tuduhan (jenayah) dan baginda memberitahu tentang jalan keluar yang menyebabkan tidak cukup syarat untuk mensabit jenayah. Tetapi lelaki itu berkeras juga mahu dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Usaha yang serupa dilakukan oleh baginda terhadap jenayah hudud yang dilakukan oleh seorang wanita yang bernama al-Ghamidiah.

Abu Burdah bercerita, kami sahabat Muhamad berbincang antara satu sama lain jika Ma’iz dan al-Gamidiah tidak datang membuat pengakuan kali ke empat dan baginda sudah tentu tidak menuntut melaksanakan hukuman ke atas mereka.

Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu Hazzal – merupakan orang yang menggesa Ma’iz supaya membuat pengakuan kepada baginda: “Lebih baik bagi kau jika kau menutupnya saja”

Dalam sebuah hadis lain ada menceritakan tentang seorang sahabat membawa seorang lelaki yang dituduh melakukan jenayah zina untuk dilaksanakan hukum hudud oleh Rasulullah, tetapi baginda menegur sahabat itu dengan berkata bahawa adalah lebih baik baginya menutup saja perkara keji itu daripada diberitahu kepada baginda dan orang ramai.

Jadi jika kita teliti secara mendalam terhadap kes hukum hudud pada zaman Rasulullah, Khalifah Rasyidun dan para sahabat lain, kita mendapati bahawa kriteria pelaksanaannya adalah ditentukan melalui ijtihad berdasar kepada suasana masa dan tempat yang berlaku jenayah-jenayah yang dianggap perlu dikenakan hukum hudud.

Sebagai contoh para sahabat melaksanakan hukum hudud bermacam-macam mengikut ijtihad masing-masing. Salah satu contohnya Khalifa Umar bin al-Khattab membatalkan pelaksanaan hukum hudud pada tahun berlakunya kesusahan di Madinah.

Menurut ijtihad sesetengah sahabat yang lain pula melaksanakan hukum hudud boleh berdasarkan kepada qarinah, iaitu berdasarkan bukti seperti kehamilan seorang wanita. Tetapi sesetengah sahabat yang lain menolak qarinah kerana mereka percaya mani lelaki boleh masuk ke dalam faraj wanita tanpa melalui persetubuhan contohnya ketika mandi dalam bilik mandi awam yang digunakan secara bergilir antara lelaki dan perempuan.

Dengan itu tidak hairan jika berlaku perbezaan pandangan yang sangat luas di kalangan ulama berhubung hukum hudud termasuk mengenai jumlah dan cara melaksanakannya.

Perbezaan pandangan ini telah berlaku kerana kelainan fahaman para ulama terhadap nas dari al-Quran, bermacam-macam contoh pelaksanaan yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat.

Hakikatnya hukum hudud merupakan bahagian yang amat kecil dari hukum-hakam Islam. Selain itu ia dikenakan syarat yang amat ketat oleh Allah dan tidak pernah dilaksanakan oleh Rasulullah kecuali melalui pengakuan.

Bagaimanapun, hukum hudud ini menjadi perkara besar di negara Malaysia ini dan dianggap perlu diberi keutamaan berbanding perkara-perkara pokok yang dituntut oleh Islam sebagaimana digembar-gemburkan oleh PAS.

Apa yang dianggap lebih pokok yang perlu diberi keutamaan bukan sahaja merujuk kepada akidah, ibadat, menyebarkan pendidikan agama Islam sehingga tersebar luas dalam masyarakat dsb., tetapi juga untuk memerangi kemiskinan umat Islam melalui pelbagai rancangan pembangunan ekonomi.

Ini adalah kerana hukum hudud tidak dilaksanakan jika kemiskinan berlaku secara berleluasa dalam masyarakat. Tetapi malangnya tindakan kerajaan melancarkan pelbagai rancangan pembangunan ekonomi untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam masyarakat tidak diakui oleh PAS.

Malah PAS menganggap, menurut kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak Islamik.

Oleh demikian adalah keterlaluan ulama PAS menuduh kerajaan sekarang tidak melaksanakan hukum hudud sebagai menolak hukum Allah. Ini kerana tindakan kerajaan adalah jelas serupa seperti tindakan kebanyakan negara-negara Islam adalah tepat dengan kehendak Allah yang meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk melaksanakan hukum hudud.

Selain itu ia sesuai juga dengan pelaksanaan Rasulullah s.a.w. di mana baginda menunjukkan beberapa jalan keluar untuk mengelakkan atau mengubah hukum hudud kepada hukuman yang lebih ringan, iaitu takzir.

Satu lagi ialah Kerajaan Malaysia bertindak sedemikian kerana pelaksanaan hukum hudud adalah masaalah ijtihad dan bukan masaalah menolak nas al-Quran.

Untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa undang-undang hukum hudud PAS adalah yang terbaik dan menurut al-Quran, Kerajaan PAS negeri Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar Datuk Nik Aziz telah meluluskan undang-undang hukum hudud khas untuk orang Islam negeri Kelantan melalui Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud) Negeri Kelantan 1993. Walaupun Enakmen itu telah diluluskan oleh DUN dan mendapat perkenan al-Sultan Kelantan, namun hingga ke hari ini Datuk Nik Aziz tidak menggazetkan tarikh mula pemakaiannya. Tanpa menggazetkan Tarikh Kuatkuasanya, Enakmen itu tidak berkuatkuasa dan tidak sah hingga ke tarikh ini. Persoalaan sekarang ialah jika dulu Zaid Ibrahim pernah memfailkan untuk mencabar kasahihan (validity) dari segi undang-undang Enakmen Hudud Kelantan itu, tapi kini Zaid Ibrahim berada dalam kumpulan sama, maka Datuk Nik Aziz sepatutnya memberanikan hatinya semula untuk menggazetkan tarikh pelaksanaan Enakmen Hudud Kelantan itu.

Semasa Datuk Seri Hadi Awang menjadi Menteri Besar Trengganu, beliau dengan sombongnya menunjukkan yang beliau lebih berani dari Datuk Nik Aziz dengan mengazetkan tarikh mula pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 (En. 4/02) untuk dipakai kepada setiap orang Islam negeri Trengganu. Akibah darinya, dalam pilihanraya umum 2004 itu, gaji, elaun, kereta, kediaman Menteri Besar dsb. tidak lagi dinikmati olehnya.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, penggubalan sesuatu undang-undang di negeri itu adalah terletak kepada pejabat Penasihat Undang-undang Negeri (Bahagian Penggubalan Undang-undang) sebagaimana cara dan kehendak peruntukan yang dikehendaki oleh Legislative. Tugas PUN ini adalah termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri sendiri. Tetapi jika sesuatu kehendak Legislative itu bercanggah dengan undang-undang Persekutuan, maka perkara itu dimaklumkan kepada Legislative kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, mana-mana peruntukan dalam Enakmen negeri yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan, maka peruntukan itu tidak terpakai. Jadi tidak terperanjatlah kita mendapati Nik Aziz dan Hadi Awang mendapatkan khidmat berbayar dari orang luar Kerajaan untuk mendrafkan rang undang-undang Hudud negeri masing-masing itu.

Perbelanjaan-perbelanjaan untuk menggubal Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud) Negeri Kelantan 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 (En. 4/02) amatlah tinggi memakan belanja beratus ribu ringgit, kos ini termasuklah upah mendraf, elaun-elaun kehadiran mesyuarat yang dibayar kepada EXCO dan ahli-ahli mesyuarat lainnya untuk mengkaji draf sehingga proses terakhir, kos percetakan dsb. Ini adalah kes pembaziran wang rakyat di mana akhirnya rakyat Trengganu sendiri tidak tahan dan menghukum Datuk Seri Hadi Awang.

Kedua-dua pemimpin politik PAS itu sebelumnya telah pun sedar (aware) bahawa Rang Undang-undang hukum hudud negeri-negeri itu tidak harus diwujud/diluluskan pada peringkat Dewan Undangan Negeri-negeri lagi kerana:-

1. bertentangan dengan Senarai 1 & 2, Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Persekutuan yang wujud mengenai kesalahan-kesalahan jenayah dan hukuman-hukumannya yang berkuatkuasa iaitu Penal Code [Akta 574] yang terpakai kepada sesiapa sahaja (tanpa mengira keturunan dan anutan agama) yang melakukan kesalahan jenayah di Malaysia. Undang-undang ini turut menyenaraikan juga kesalahan dan hukuman terhadap zina (dengan keizinan wanita itu) sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 375(c), 375(d), 375(e) ataupun 375(f). Kesalahan jenayah di bawah Seksyen 375 ini boleh dijatuh hukum penjara tidak kurang 5 tahun tetapi tidak lebih 20, dan hendaklah dikenakan sebatan sebagaimana dinyatakan di Seksyen 376;

2. bertentangan dengan Undang-undang Persekutuan iaitu Akta Mahkamah-mahkamah Syariah (Bidangkuasa Penghakiman Jenayah) 1965 [Akta 355] yang menghadkan kuasa Mahkamah Syariah menjatuh hukuman atas kesalahan-kesalahan jenayah Islam seperti zina, berkhalwat, minum arak, tidak berjumaat, tidak berpuasa, perkara bertentangan akidah dsb. tidak boleh lebih daripada tiga tahun penjara, denda lima ribu ringgit dan sebatan enam kali.

Andainya PAS inginkan juga undang-undang ‘Hudud’ dijalankan terhadap orang-orang Islam di Malaysia, langkah yang harus mereka lakukan ialah dengan salah seorang MP PAS yang berani mengemukakan ‘rang undang-undang persendirian’ (‘private bill’) Hudud ini di Parlimen serta mencadangkan pindaan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Hukum Hudud dilaksanakan di setiap negeri / wilayah persekutuan di Malaysia. Sebagaimana yang telah diwar-war oleh Datuk Nik Aziz sendiri masa kini dengan mengatakan kepimpinan DAP dan PKR sudah bersatu hati dengan mereka untuk mencapai matlamat bersama, maka inilah tindakan atau cara terbaik untuk mencapai cita-cita murni PAS!. Jika dikira bilangan Ahli-ahli Parlimen PAS, PKR, DAP dan MP UMNO yang beragama Islam, sudah tentulah sudah melebihi jumlah dua pertiga dan berhak meminda Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana yang telah berlaku di DUN Kelantan dan DUN Trengganu dulu, kesemua ADUN UMNO yang beragama Islam telah menyokong Enakmen Hudud negeri masing-masing.

Tapi persoalan yang besar ialah sanggup ke PAS berbuat demikian?

Rujuk juga:-

1. Hukum HUDUD hanyalah ciptaan ahli-ahli Fiqh
2. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 2
3. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 3
4. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 4
5. Hukum ‘HUDUD’ – Bahagian 5

Hudud – Jawapan Tun Dr Mahathir kepada cucunda Hilal Asyraf

Wednesday, March 14, 2012

Arahan hukuman rejam terhadap penzina terdapat dalam kitab Taurat dan Injil tetapi tidak terdapat dalam al-Quran. Sila rujuk hadith-hadith mengenai pelaksanaan hukuman rejam terhadap penzina Bani Israel di Madinah mengikut kitab Taurat mereka – mungkin Hilal Asyraf dapat mengesahkan fakta ini
1. Saya ucap berbanyak terima kasih kepada adik Hilal Asyraf (mungkin cucu lebih tepat kerana saya sudah mencecah 87 tahun Masehi – iaitu 90 tahun mengikut Hijrah) kerana membuat teguran terhadap ucapan saya di UNIMAS baru-baru ini.

2. Sebelum saya menjelaskan maksud saya di dalam ucapan itu, saya harap adik Asyraf dapat menjawab secara ringkas (Ya atau Tidak) beberapa soalan yang ingin saya tanya kepada adik.

3. Soalan :

i) Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini yang mana satukah yang diutamakan?

ii) Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?

iii) Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.

iv) Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain. Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?

v) Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan, seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit, kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.

vi) Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai kepada Al-Bukhari?

(Di sini jangan mula cap saya sebagai anti-hadith. Saya pegang kuat kepada hadith asalkan ia tidak berbeza, bercanggah dan menafi ayat-ayat Al-Quran. Saya sedar saya tak mungkin tahu bagaimana sembahyang jika saya pegang semata-mata kepada ayat-ayat dalam Al-Quran. Menuduh seseorang itu anti-hadith seperti menuduh seseorang itu kafir adalah cara mereka yang tidak dapat pertahan kefahaman dan pendapat mereka).

vii) Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari mengguna akal dan berfikir?

Saya menunggu jawapan daripada adik Hilal Asyraf supaya dapat saya betulkan diri saya.

chedet

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud.

Assalamu’alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, pada hari ini saya telah menulis status berkenaan mantan perdana menteri yang kita kasihi, apabila dia berkata berkenaan Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah, dan bukannya datang daripada Al-Quran.

Apa yang suka saya ketengahkan di dalam isu ini adalah kenyataannya – Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah. Tiada daripada Al-Quran.

Maka, saya rasa sangat kelakar, untuk seorang mantan perdana menteri yang memerintah sebuah negara ‘Islam’ untuk jangka masa lebih dua dekad, bahkan masih hidup hingga ke hari ini, untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Kita ketepikan dahulu persoalan ‘Bagaimana Sepatutnya Hudud Dilaksanakan’. Sebab nampaknya, persoalan ‘Apakah Hudud Itu Daripada Allah’ pun tidak diketahui rupanya.

Tiada Di Dalam Al-Quran? Tiada Di Dalam Hadith? Rekaan?

Saya hanya seorang pelajar Usuluddin, tahun akhir, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Saya tidak mendalami syariah(peraturan) Islam sebagaimana pelajar Fiqh. Saya hanya ‘budak Usul’, atau ‘budak akar’ di dalam bidang agama ini. Justeru, saya belajar akan Aqidah, Tafsir Al-Quran, dan Hadith.

Sebab itu, saya mahu bahaskan tentang “Apakah benar Hukum Hudud itu rekaan ulama’ Fiqah?”. Saya tidak layak untuk membahaskan “Bagaimana Melaksanakan Hukum Hudud.” Semestinya, saya serahkan yang itu kepada yang lebih arif. KERANA SAYA TIDAK TAHU. Saya ulang, kerana saya tidak tahu. Apa yang saya tidak tahu, saya tak akan pandai-pandai sentuh.

Maka, di sini buktinya bahawa Hukum Hudud itu wujud di dalam Al-Quran dan Hadith, bukannya rekaan Ulama’.

Ini hukum mencuri:

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al-Maidah ayat 38. Ini dalil hukum hudud untuk mencuri. Jelas, ini adalah Al-Quran.

Diriwayatkan pula di dalam Sohih Bukhari Hadith no 1516 Jilid 3:

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!”

Kemudian hukum zina pula:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” Surah An-Nur ayat 2.

Hukum Rejam untuk penzina yang telah berkahwin:

“Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansar RA, bahawa seorang lelaki dari Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah SAW menyuruh supaya orang itu direjam. Sesungguhnya dia telah berkahwin.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, no 1817, Jilid 4, Bab Zina.

Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith.

Kemudian hukum murtad pula:

“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, Hadith no 6922. Jelas, ini adalah hadith yang sohih.

Kemudian hukum Qazaf(menuduh orang lain berzina):“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” Surah An-Nur ayat 4.

Sekali lagi, jelas, ini adalah daripada Al-Quran. Daripada Hadith yang Sohih.

Justeru, amatlah dangkal untuk seseorang itu sebenarnya menyatakan Hukum Hudud Adalah Rekaan Ahli Fiqah dan bukannya daripada Al-Quran.

Hukum Hudud Tidak Adil. Merugikan Orang Islam.

Dinyatakan juga oleh Mantan Perdana Menteri tersebut bahawa, Hukum Hudud ini tidak adil. Dia berulang kali menyebut bahawa Islam menekankan keadilan. Kononnya Al-Quran sendiri menyatakan akan keadilan. Hukum dengan adil. Seakan-akan, melaksanakan hudud bukan satu keadilan, bahkan merugikan orang Islam.

Katanya, kalau orang Islam kena potong tangan, dan orang bukan Islam tak kena potong tangan, bukankah itu tidak adil dan merugikan?

Sebenarnya, dari segi perlaksanaan Hukum Hudud, perlaksanaannya adalah sangat ketat. Bukan semua kecurian dihukum dengan hukuman potong tangan. Perkara ini, pelajar yang mendalami Fiqah lebih arif.

Dan sebenarnya, amatlah saya terkilan dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri kita itu. Kerana, seakan-akan, bangsa Melayu, orang islam ini kaki mencuri pula. Bukankah kita adalah bangsa yang disematkan adab dan sopan, dan mencuri bukanlah perkara kebiasaan di dalam adat kita sendiri (atau sebenarnya iya?). Maka mengapa perlu takut sebenarnya akan hukum ini? Ramai orang Islam akan ketiadaan tangan? Pada saya itu alasan yang sangat dangkal.

Dr Asri Zainal Abidin adalah antara ulama’ yang saya suka penjelasannya akan perlaksanaan hudud. Boleh rujuk kepada video-video beliau. Saya second apa-apa sahaja fatwa beliau berkenaan hudud.

Setakat ilmu saya, perlaksanaan hududlah yang paling adil sekali dalam peraturan dunia. Semestinya kerana Allah SWT yang memberikan hukum ini kepada kita adalah Yang Maha Adil. Kerana itu hukumNya juga adalah adil. Bahkan, pada hemat saya, dengan melaksanakan hukum ini, Ummat Islam akan menjadi Ummat yang paling layak dicontohi kerana disiplin dan ketelusan mereka. Yang menjadikan kita takut dengan Hudud ini adalah daripada penerangan yang salah, dan dimomokkan pula dengan perlaksanaannya yang dikatakan barbarik, ganas, tidak berperasaan. Tidak. Hakikatnya tidak.

Apa-apa hal pun, untuk lebih detail berkenaan BAGAIMANA HUKUM HUDUD ITU PERLU DILAKSANAKAN, saya serahkan kepada rakan-rakan saya dalam bidang syariah untuk menjelaskannya. Jelas, Dr Asri Zainal Abidin banyak membahaskannya.

Penutup: Saya Tidak Perlu Menjadi Pembangkang atau Perdana Menteri Untuk Memberikan Teguran Ini.

Saya tidak perlu menjadi Pembangkang untuk menegur Mantan Perdana Menteri ini sambil menjelaskan pula perkara ini di khalayak ramai. Pada saya, ulama’-ulama’ Kerajaan perlu bertegas memberikan penjelasan akan hal ini.

Saya juga tidak perlu menjadi Perdana Menteri, untuk membetulkan statement – Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah dan bukan daripada Al-Quran.

Kalau semua orang perlu menjadi Perdana Menteri baru boleh tegur Perdana Menteri atau Mantan Perdana Menteri, maka dalam sejarah Malaysia ini tinggal 3 orang sahaja yang layak memberikan teguran.

Dan, memandangkan saya adalah pelajar Usuluddin yang mendalami Aqidah, suka saya menekankan satu perkara penting di sini: ”Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran, hukumnya adalah kafir.” Sebenarnyalah.

“Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. “ Surah Al-Maidah ayat 44.

“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Maidah ayat 45.

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” Surah Al-Maidah ayat 49.

Saya dididik oleh guru Aqidah saya, Dr Ala’ Hilat, untuk tidak menghukum orang lain kafir. Saya tidak sesekali menyatakan Mantan Perdana Menteri kita itu kafir. Tetapi saya mahu tegaskan bahawa, menolak apa-apa daripada Al-Quran, adalah kafir. Guru saya kata, jika kita nampak orang sujud kepada pokok, katakanlah mungkin dia tidak tahu. Kemudian perjelaskanlah.

Maka saya menganggap, Mantan Perdana Menteri saya, sepanjang 22 tahun dia memerintah dan sehingga kini dia hidup, tiada siapa menjelaskan hal ini kepadanya. Dia TIDAK TAHU.

Maka saya jelaskan di sini secara ringkas.

Saya juga ingin menegaskan bahawa, sekiranya kita bukan AHLI di dalam bidang agama, maka janganlah bicara sembarangan. Bertanyalah jika benar tidak mengetahui. Mintalah penjelasan. Apatah lagi sekiranya kita seorang public figure yang mempunyai ramai pengikut fanatik yang mengikut kita dengan membuta tuli, dan sanggup mempertahankan kita walau apa yang kita sebut itu salah.

Sampai di sini sahaja nota do’if saya.

Mantan Perdana Menteri saya berbicara akan hal ini di khalayak ramai. Maka di sini nota ini saya persembahkan di khalayak ramai.

Sesiapa mahu sokong pendapat Mantan Perdana Menteri kita itu, boleh fikir 10 kali lepas baca nota ini.

Saya mahu kata di sini bahawa, sesiapa yang mampu sampaikan nota ini kepada Mantan Perdana Menteri saya itu, dia patut sampaikan.Saya tak tahu cara mana saya boleh sampaikan biar betul-betul sampai kepada dia.Sekian.

~ Seorang hamba,

Hilal Asyraf
http://langitilahi.com
Kenyataan Tun Dr. Mahathir mengenai Hudud

adalah berdasarkan pemahaman saya terhadap kenaytaan Tun Dr. Mahathir baru-baru ini. Sekiranya pemahaman ini adalah sama dengan apa yang cuba disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir, saya berpendapat ianya tidak salah. Cuma mungkin boleh membawa kepada kekeliruan sekiranya tidak difahami dan dijelaskan dengan betul.

1. Berkenaan dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir baru-baru ini, terdapat 3 perkara utama :-

Pertama : Hukum hudud tidak ada dalam Al-Quran
Kedua : Hukum hudud adalah rekaan ahli feqah
Ketiga : Undang-undang hudud yg direka ini (merujuk kpd hudud pas) tidak adil

Perkara pertama dan kedua adalah berkait. :-

Perkara pertama

2. Bagi saya apa yang dimaksudkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah, perkataan hukum hudud yang merujuk kepada jenayah seperti mencuri, berzina dan lain-lain tidak disebut dalam Al-Quran. Tun tidak mengatakan bahawa hukuman untuk mencuri tidak ada, tetapi penggunaan perkataan hukum hudud yang merujuk kepada jenayah tersebut tidak ada dalam Al-Quran.

3. Dalam Al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 14 kali. Sila rujuk dalam posting sebelum ini (Klik) untuk penciriannya.

4. Dalam kesemua ayat yang mana Allah menyebut perkataan hudud ini, tiada satupun yang merujuk kepada jenayah seperti mencuri, berzina dan lain-lain.

5. Inilah yang dimaksudkan apabila hukum hudud ini tidak disebut dalam Al-Quran. hukuman untuk mereka yang mencuri, berzina dll ada dalam Al-Quran, tetapi perkataan hudud tidak disebut dalam ayat-ayat mengenainya.

Perkara kedua

6. Apabila Tun mengatakan bahawa hukum hudud ini direka oleh ahli feqah, ianya bermaksud hukum hudud ataupun kanun jenayah shariah ini digubal atau direkebentuk oleh ahli feqah. Ini bukan bermakna hukuman-hukuman dalam kanun jenayah seperti hukuman potong tangan dan sebat 100 kali itu direka oleh ahli feqah tetapi ianya adalah satu bentuk penggubalan atau kompilasi oleh ahli-ahli feqah yang diambil daripada Alquran dan hadith maka terbentuklah apa yang disebut oleh kita sebagai hukum hudud.

7. Sebagai contoh, dalam kanun jenayah syariah atau hukum hudud ada dimasukkan hukuman rejam tetapi hukuman rejam tidak ada di dalam Al-Quran. Hukuman rejam adalah dari hadith. Maksudnya dalam pembentukan atau penggubalan hukum hudud ini ianya bukan diambil dari AL-Quran semata-mata tetapi juga dari hadith. Oleh itu, hukum yang dipanggil hudud ini digubal atau direkabentuk atau dalam perkataan Tun direka oleh Ahli Feqah.

8. Ini yang dimaksudkan oleh Tun bahawa hukum hudud ini direka oleh ahli feqah. ianya merujuk kepada penggubalan undang-undang yang dipanggil hukum hudud oleh ahli feqah yang diambil dari Al-Quran dan Hadith dan dijadikan satu dokumen undang-undang yang dipanggil hukum hudud.

9. Sebagai contoh atau analogi. Hadi Awang mengatakan bahawa negara islam tidak ada di dalam Al-Quran. kenyataan Hadi Awang ini merujuk kepada perkataan negara islam tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi didalam Al-Quran ada diterangkan konsep-konsep kenegaraan, pentadbiran dalam islam, sistem ekonomi islam dan pelbagai cabang-cabang yang boleh dikkumpulkan untuk menjadi satu rangka konsep negara islam.

10. Samalah juga kalau saya katakan bahawa Negara Islam adalah direkabentuk atau digubal oleh ahli Feqah berdasarkan kepada Al-Quran dan Hadith. Negara Islam tidak disebut dalam AL-Quran, ianya dirangka oleh ahli feqah yang menggabungkan kesemua unsur yang disebut dalam Al-Quran dan Hadith. Samalah dengan hukum hudud dalam kanun jenayah syariah yang disebut oleh Tun Dr. Mahathir.

11. Dalam kenyataan Tun juga sebenarnya, Tun menyebut mengenai hukuman-hukuman dalam AL-Quran seperti mencuri dipotong tangan, berzina disebat 100 kali yang mana menunjukkan Tun mengakui akan kewujudan hukuman tersebut dalam Al-Quran. Apa yang Tun persoalkan adalah, dalam penggubalan undang-undang hudud oleh PAS, PAS tidak bersikap adil apabila membezakan bentuk hukuman diantara orang islam dan bukan islam. Sepatutnya, kalau orang islam mencuri hukumannya potong tangan maka kalau orang bukan islam mencuri hukumannya juga mestilah potong tangan. Ini membawa kepada perkara ketiga yang disebut oleh Tun.

Perkara Ketiga

12. Perkara ini Tun merujuk kepada konsep keadilan. Tun mengakui hukuman yang ditulis dalam Al-Quran seperti memotong tangan dan sebagainya, tetapi yang dipersoalkan adalah undang-undang ini perlu digunakan keatas seluruh rakyat tanpa mengira agama.

13. Dalam hudud PAS, ia mengatakan bahawa undang-undang hudud PAS ini hanya terpakai kepada umat islam. bagi orang kafir, mereka tidak perlu mengikut undang-undang hudud dan boleh mengikut undang-undang sivil. Disinilah berlaku ketidak adilan. Bagaimana boleh satu jenayah yang sama dilakukan oleh dua orang yang berbeza dari segi agama dihukum dengan dua bentuk hukuman yang berbeza. Ini dinamakan tidak adil dan kita tahu bahawa keadilan amat penting dalam islam.

Wallahu’alam.

Posted by CheWal at 11:48 March 02, 2012

http://chewal.blogspot.com

Sila klik jawapan kedua dari Hilal Asyraf terhadap soalan-soalan Tun di atas
Jawapan Hilal Asyraf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Posted by: Hilal Asyraf Posted date: March 14, 2012

Sila rujuk juga di sini…

Hukum Hudud Bahagian 1

 

SATU KAJIAN SKEMA TAAKULAN AKHLAK DALAM KALANGAN PELAJAR MELAYU

Jumaat, 29 Oktober 2010

oleh

DR. ASWATI BINTI HAMZAH
Tesis yang diserahkan untuk memenuhi keperluan
bagi Ijazah Doktor Falsafah
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
Januari 2007
PENGHARGAAN

Segala puji kehadrat Allah S.W.T yang amat pemurah lagi amat penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad S.A.W. Berkat keizinan, limpah kurniaNya, memberikan hidayah, segenap kekuatan dan pertolongan yang telah diberikanNya sehingga dapat menyempurnakan amanah untuk melengkapkan tesis ini. Rakaman setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti Sains Malaysia kerana telah membiayai keseluruhan pengajian pengkaji dan memberi tempat untuk pengkaji melanjutkan pengajian di peringkat ini.

Setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Prof Madya Dr. Abdul Rashid Mohamed, dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, penyelia utama Dr. Abdul Ghani Kanesan Abdullah dan penyelia bersama Prof. Madya Dr. Khadijah Zon atas tunjuk ajar dan dorongan yang tidak ternilai harganya. Sekalung penghargaan kepada bekas penyelia Profesor Aminah Ayob dan Prof. Madya Dr.Mohd. Daud Hamzah, yang banyak memberikan dorongan, keyakinan dan bimbingan bagi melaksanakan kajian ini.

Rakaman penghargaan kepada semua guru saya di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan terutama, Prof. Madya Dr. Ishak Ramly, Prof. Madya Dr. Hashimah Hashim, Prof Madya Dr. Mokhtar Ismail, Prof Madya Dr. Munirah Ghazali, Prof Madya Dr. Anna Christina, Dr. Hashimah Mohd Yunus, Prof Madya Dr. Zurida Ismail dan Dr.Abd Halim Ahmad yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan dan membantu saya. Semua kakitangan bukan akademik PPIP yang memberi sokongan dan bantuan dalam semua aspek.

Penghargaan dan terima kasih juga kepada Prof. Madya Dr. Mustapa Kassim, Prof. Maznah Ismail yang sentiasa memberi dorongan untuk saya meneruskan kajian ini. Sekalung budi dan terima kasih tidak terhingga kepada Prof. Madya Dr. Chang Lee Hoon, UM, Dr. Siraje UIAM, Professor Dr. Hassan Langgulung, UIAM,Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud,ISTAC, Allahyarham Professor Muhammad Al-Mahdi pengasas Khalifah Project yang banyak memberi nasihat dan meluangkan masa untuk perbincangan ilmiah.

Sekalung budi untuk Dr.Ahmad Marzuki Haji Zainuddin pengarah Pusat Pendidikan dan Pembangunan Manusia UIAM, Dr. Mohamad Mat Husin, UKM, Allahyarham Dr, Jamaluddin bin Osman, Penggawa Desa Siswa Bakti untuk pentadbiran ujian. Penghargaan istimewa dihulurkan kepada Dr. Chin Heng Yeap, Pusat Perkembangan Kurikulum yang telah memberi tunjuk ajar dan bimbingan tanpa mengira waktu khususnya dalam peringkat awal kajian dan pembinaan alat ukur kajian.

Terima kasih dan sekalung budi kepada pegawai-pegawai bahagian pinjaman antara perpustakaan USM, kakitangan perpustakaan Tun Seri Lanang, dan perpustakaan pendidikan UKM, Perpustakaan utama UM, UIAM yang banyak membantu untuk mendapatkan rujukan. Kepada pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang memberi keizinan melibatkan sekolah dan pelajar dalam pengutipan data kajian.

Akhir sekali kepada semua sahabat dan rakan seperjuangan terutama Puan Sarimah Kassim sekeluarga yang banyak menjaga dan membantu saya sepanjang tempoh ini.

Tesis ini khusus untuk
Abah; Hamzah Kusiran,
yang sentiasa mengirimkan doa dan kasih sayang
Emak; Tusiah Kajar,
yang sentiasa merestui dan bersabar dengan kerenahku
adik beradik,
Abang Fuad, Asmilah, Fauzi, Asmidah, Fairus, Fikri,
Firdaus, Zaleha, Khadijah dan Afiqah
yang sentiasa dekat dengan kasih sayang
dalam semua keadaan,
semua guru, sahabat yang dikasihi, handai taulan
yang menjadi pendorong dan penggerak selama ini.

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa
Januari 2007
JADUAL KANDUNGAN
Muka surat

JADUAL KANDUNGAN
SENARAI LAMPIRAN
SENARAI JADUAL
SENARAI RAJAH
SENARAI SINGKATAN

BAB 1 PENGENALAN

1.0 Pendahuluan
1.1 Latar belakang masalah
1.1.1 Dekadensi akhlak dalam kalangan orang Melayu
1.1.2. Faktor-faktor yang mempengaruhi dekadensi akhlak dalam kalangan orang Melayu
a. Faktor luaran
b. Faktor dalaman

1.2 Pernyataan masalah

1.3 Objektif penyelidikan.

1.4 Persoalan kajian

1.5 Hipotesis kajian.

1.6. Signifikan kajian

1.7. Definisi istilah.
1.7.1 Skema
1.7.2 Akhlak
1.7.3 Moral
1.7.4 Taakulan
1.7.5 Skema Taakulan Moral
1.7.6 Skema Taakulan Akhlak
1.7.7 Orang Melayu
1.7.8 Pelajar Melayu
1.7.9 Skema Taakulan Akhlak Pelajar Melayu
1.7.10 Elemen Penyaring

1.8 Batasan Kajian

1.9 Kesimpulan

BAB 2 SOROTAN KAJIAN

2.0 Pendahuluan

2.1 Teori-teori perkembangan moral
2.1.1. Teori psikoanalisa.
2.1.2 Teori pembelajaran sosial atau teori kognisi sosial
2.1.3 Teori perkembangan kognitif
2.1.4 Doktrin moral keagamaan dan unsur kerohanian (spiritual)
2.1.5 Taakulan moral
2.1.6 Kajian-kajian taakulan moral di Malaysia.
2.1.7 Ringkasan, kritikan dan cadangan

2.2 Teori Skema Taakulan Moral oleh Neo-Kohlbergian
2.2.1 Latar belakang pembentukan Teori Skema TaakulanMoral oleh Rest, pencirian teori dan kajian-kajian yang berkaitan dengannya
2.2.2 Tren kajian kumpulan neo-Kohlbergian.
2.2.3 Teori skema dan pengukuran pemikiran moral
2.2.4 Peranan skema dalam membantu proses pemikiran individu dan perkaitannya dengan peranan skema moral dalam membantu pemikiran moral
2.2.5 Elemen kepercayaan agama dalam teori skema taakulan moral
2.2.6 Kesimpulan

BAB 3 FALSAFAH PEMBENTUKAN SKEMA AKHLAK DARI PERSPEKTIF PSIKOLOGI ISLAM



3.0 Pendahuluan

3.1 Akhlak Islam, ruang lingkup makna, orientasinya dan konsep Ad-Din.

3.2 Binaan akhlak Islam, ciri-ciri istimewa akhlak Islam.

3.3 Akhlak Islam sebagai menifestasi konsep Ad-Din

3.4 Konsep kecemerlangan akhlak dan penyusutan akhlak (moraly decayed) dalam Islam.
3.4.1 Aspek kecemerlangan akhlak
3.4.2 Memahami gabungan iman, amal dan ihsan sebagai syarat pembentukan kecemerlangan akhlak.
3.4.3 Pandangan kecemerlangan akhlak dari sudut sufi sunni.
3.4.4 Penyusutan akhlak (morally decayed) dalam Islam

3.5 Menifestasi konsep ad-Din dan akulturasi budaya Melayu dalam pembentukan Skema Akhlak orang Melayu

3.6 Agama Islam di kalangan orang Melayu.
3.6.1 Penanaman nilai-nilai Islam dan amalannya dalam masyarakat Melayu
3.6.2 Ajaran Islam dan sistem nilai akhlak orang Melayu.
3.6.3 Perubahan masa dan impak globalisasi terhadap sistem dan nilai akhlak orang Melayu.
3.6.4 Ringkasan bahagian tinjauan bacaan.

3.7 Kesimpulan

BAB 4 PENGKONSEPAN KAJIAN

4.0 Pendahuluan

4.1 Konsep taakulan moral oleh Kohlberg

4.2 Konsep taakulan skema moral oleh Rest dan neo-Kohlbergian

4.3 Konsep akhlak

4.4 Taakulan dalam Islam

4.5 Skema taakulan akhlak

4.6 Konsep skema taakulan dalam ujian pengecaman taakulan akhlak(upsta)

4.7 Konsep orientasi keagamaan

4.8 Konsep sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial

4.10 Kesimpulan

BAB 5 KAEDAH KAJIAN

5.0 Pendahuluan

5.1 Tatacara menjalankan kajian
5.1.1 Prosedur menjalankan kajian.
5.1.2. Rekabentuk Kajian
5.1.3 Subjek Kajian
5.1.4 Variabel kajian

5.2 Pengesahan konsep kajian

5.3 Alat ukur kajian

5.4 Prosedur penentuan keesahan alat ukur

5.5 Pentadbiran ujian dan pengumpulan data

5.6 Proses penganalisisan data

5.7 Pembinaan alat ukur

5.8 Konsep pengukuran taakulan berperingkat dalam temu bual penghakiman Moral Judgement Interview (MJI)

5.9 Konsep pengukuran taakulan dalam ujian pengenalpastian isu (Defining Issue Test (DIT)
5.9.1 Item-item DIT dan taburannya
5.9.2 Konsep-konsep yang terlibat dalam perubahan DIT1-DIT2
5.9.3 Indeks kemoralan
5.9.4 Konsep skema taakulan UPSTA
5.9.5 Kriteria untuk setiap jenis skema taakulan
5.9.6 Konsep orientasi agama dalam UOK – Rasional modifikasi ORTHO pada UOK
5.9.7 Konsep sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial USPSK
5.9.8 Gagasan hak asasi manusia
5.9.9 Item-item adat resam dan budaya
5.9.10 Item-item pendidikan dan sosial
5.9.11 Item-item politik dan kenegaraan

5.10 Kesimpulan

BAB 6 ANALISA DATA DAN DAPATAN KAJIAN

6.0 Pendahuluan

6.1 Analisa deskriptif mengikut umur, oreintasi agama dan sikap serta pegangan pelajar terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu
6.1.1. Taburan subjek mengikut umur
6.1.2. Pembahagian subjek mengikut kategori orientasi agama
6.1.3. Pembahagian kategori sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.

6.2 Analisa cross tab dan ujian Khi serta taburan hubungan subjek mengikut umur, orientasi agama serta sikap dan pegangan subjek terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.
6.2.1 Cross tab dan ujian Khi umur dan orientasi agama
6.2.2 Cross tab umur dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial
6.2.3 Cross tab orientasi agama dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial

6.3 Analisa item-item ijian Pengecaman Skema Taakulan Akhlak (UPSTA)
6.3.1 Analisa Faktor Konfirmatori Konstruk Skema Taakulan Akhlak
6.3.2 Faktor 1(konstruk 1) dan item-item muatannya
6.3.3 Faktor 2 dan item-item muatannya
6.3.4 Faktor 3 dan item-item muatannya
6.3.5 Faktor 4 dan item-item muatannya
6.3.6 Kebolehpercayaan item mengikut subskala
6.3.7 Penentuan jenis-jenis skema taakulan
6.3.7.i Proses penentuan kategori skema

a. Meneliti purata kadar pemeringkatan item (PKPI, item’ rating mean) dan taburan skor setiap faktor skema taakulan
b. Membina struktur pengkategorian skema

i. Penentuan kategori skema taakulan istiqamah
ii. Penentuan kategori skema taakulan pengetahuan taqlid
iii. Penentuan kategori skema
vii taakulan taqlid
iv. Penentuan kategori skema taakulan taqlid dekaden
v. Aplikasi rumus dan analisis

c. Mengesahkan kategori skema yang dibentuk berdasarkan ujian ujian statistik

i. Ujian korelasi di antara kategori skema taakulan yang dibentuk dengan variabel umur, orientasi agama serta sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.
ii. Ujian khi dan cross-tabulation di antara kategori skema taakulan yang dibentuk dengan variabel umur, orientasi agama serta sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.

6.4 Pengujian Hipotesis Kajian
6.4.1 Hipotesis H01: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jenis jenis skema taakulan akhlak pelajar berdasarkan kumpulan umur yang berbeza.
6.4.2 Hipotesis H02 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jenis-jenis- jenis-jenis skema taakulan akhlak pelajar berdasarkan orientasi agama yang berbeza.
6.4.3 Hipotesis H03 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jenis-jenis skema taakulan akhlak pelajar berdasarkan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.
6.4.4 Hipotesis H04 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jenis-jenis skema taakulan akhlak dengan interaksi dua hala orientasi agama dan umur pelajar
6.4.5 Hipotesis H05 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara jenis-jenis skema taakulan akhlak dengan interaksi dua hala antara umur dengan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.
6.4.6 Hipotesis H06 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara skema taakulan akhlak berdasarkan interaksi dua hala antara orientasi agama dengan perbezaan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.
6.4.7 Hipotesis H07 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara skema taakulan akhlak dengan interaksi tiga hala antara umur pelajar, pilihan orientasi agama dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu.

6.5 Kesimpulan dapatan bahagian kuantitatif.

6.6 Analisis kualitatif.
6.6.2 Mengenal pasti maklumat mendalam jenis skema taakulan akhlak dalam kalangan pelajar Melayu
6.6.3 Elemen-elemen penyaring (filter) yang digunakan oleh pelajar Melayu dalam pembentukan skema taakulan akhlak mereka
6.6.4 Ciri-ciri khusus setiap jenis skema taakulan akhlak yang dihasilkan oleh pelajar Melayu

6.7 Kesimpulan dan rumusan keseluruhan analisis data dan dapatan kajian

BAB 7 PERBINCANGAN DAN RUMUSAN

7.0 Pendahuluan

7.1 Perbincangan Dapatan Berkaitan Tiga Alat Ukur, UOK, USPSK, UPSTA

7.2 Perbincangan Dapatan dan Rumusan
7.2.1 Jenis skema taakulan akhlak yang berbeza dalam kalangan pelajar Melayu
7.2.2 Jenis skema taakulan akhlak mengikut umur yang berbeza dalam kalangan pelajar Melayu
7.2.3 Jenis skema taakulan akhlak bagi pilihan orientasi agama yang berbeza dalam kalangan pelajar Melayu
7.2.4 Jenis-jenis skema taakulan akhlak dalam kalangan pelajar Melayu bagi kecenderungan sikap dan pegangan yang berbeza terhadap standard kelaziman orang Melayu
7.2.5 Perbezaan jenis skema taakulan akhlak oleh interaksi antara variabel-variabel bebas
7.2.6 Elemen-elemen penyaring yang digunakan oleh pelajar Melayu dalam pembentukan skema taakulan akhlak mereka
7.2.7 Ciri-ciri khusus untuk setiap jenis skema taakulan akhlak yang dihasilkan oleh pelajar Melayu

7.3 Signifikan dapatan kajian

7.4 Implikasi kepada bidang pendidikan

7.5 Cadangan Penyelidikan lanjutan

7.6 Rumusan Kajian

BIBLIOGRAFI

LAMPIRAN

SENARAI PENERBITAN

SENARAI LAMPIRAN

Lampiran A Surat-surat kebenaran.

Lampiran B Tahap-tahap perkembangan moral Kohlberg

Lampiran C Konseptualisasi perkembangan moral oleh Rest.

Lampiran D Contoh Taburan item DIT mengikut teori skema.

Lampiran E Alat ukur kajian (asal dan adaptasi)

Lampiran F Perincian makna ISTIQAMAH
Lampiran G Ringkasan Soal Selidik Hasil Analisis Faktor Kaedah Konfirmatori Putaran Varimax
Lampiran H Transkripsi temu bual
Lampiran I Ayat-ayat al-Quran.
Lampiran J Ringkasan analisis kes.
Lampiran K Hasil ujian univariate dan Post –hoc
SENARAI JADUAL

Jadual

1.1 Jumlah jenayah keganasan dan jenayah harta benda yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 1997-2004

1.2 Jumlah kes sumbang mahram mengikut pecahan Kaum tahun 1997 hingga 2002.

1.3 Profil penagih mengikut bangsa dan jenis kes antara Januari hingga Disember 2004

1.4 Rentetan kes disiplin berat yang melibatkan pelajar Melayu di sekolah menengah

1.5 Kes salah laku melanggar tatasusila adat dan agama dalam kalangan pelajar IPT dari tahun 2002 hingga 2003

3.1 Perbandingan teori-teori moral berpandukan elemen-elemen kemoralan yang dicadangkan oleh Thomas,1997

5.1 Senarai tentatif sekolah-sekolah dan IPTA yang terlibat dalam kajian.

5.2 Nilai alpha untuk UOK, USPSK dan UPSTA

5.3 Analisa ciri-ciri yang ketara direkodkan dalam temu bual rintis

5.4 Proses pentadbiran pengumpulan data

5.5 Perubahan-perubahan dalam aspek pengiraan indeks kemoralan melalui alat ukur DIT dan elemen-elemen yang berkaitan.

5.6 Jadual Penentu Ujian pembentukan item dan taburan item mengikut skema untuk kelima-lima teks moral yang telah dipilih.

5.7 Taburan skema dan nombor item mengikut teks moral

5.8 Tema dan item UOK

5.9 Matris pembentukan item-item item USPSK

6.1 Taburan subjek mengikut kumpulan umur

6.2 Taburan subjek mengikut kategori orientasi agama

6.3 Taburan subjek mengikut kategori sikap dan pegangan

6.4 Cross tab umur dan orientasi agama

6.5 Cross tab umur dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial
6.6 Cross tab orientasi agama dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial

6.7 Struktur faktor dan pemuatan faktor kaedah konfirmatori Putaran varimax (nilai muatan .3,N 688)

6.8 Item-item yang termuat dalam faktor 1

6.9 Item-item yang termuat dalam faktor 2

6.10 Item-item subfaktor B1 tersebar dalam teks 5

6.11 Item-item subfaktor B2 tersebar dalam teks 4 dan teks 5 berada pada julat .209 – .520

6.12 Muatan item-item dalam subfaktor B3 tersebar dalam teks 4 dan teks 5

6.13 Item-item yang termuat dalam faktor 3

6.14 Item-item yang termuat dalam faktor 4

6.15 Taburan item mengikut faktor komponen dan pekali kebolehpercayaan crochnbach alpha setiap skema

6.16 PKPI mengikut Komponen faktor Skema Taakulan

6.17 Taburan skor mengikut komponen skema taakulan

6.18 Contoh rawak min PKPI subjek untuk 4 faktor skema

6.19 Jadual frekuensi dominan mengikut skema

6.20 Taburan bilangan subjek termasuk dan skor mengikut kategori skema taakulan

6.21 Taburan bilangan subjek termasuk dalam proses aplikasi rumus

6.22 Kecenderungan dominan subjek secara rawak

6.23 Taburan subjek mengikut kategori taakulan setelah ditentukan kecenderungan skema selepas analisis terhadap ringkasan kes

6.24 Korelasi antara kategori skema taakulan dan purata kadar pemeringkatan item (PKPI)

6.25 Keputusan ujian Khi antara umur, orientasi agama serta sikap dan pegangan dengan kategori taakulan

6.26 Cross tab Umur dan kategori taakulan

6.27 Cross tab orientasi agama dan kategori taakulan

6.28 Cross tab sikap dan pegangan dan kategori taakulan

6.29 Keputusan ujian Univariate kategori umur*orientasi agama*sikap dan pegangan terhadap kategori skema taakulan

6.30 Ringkasan pengujian hipotesis kajian

6.31 Matris jenis skema yang diaktifkan oleh empat subjek kategori taakulan istiqamah

6.32 Jenis-jenis skema yang diaktifkan dan elemen penyaring yang digunakan dalam temubual mendalam

6.33 Taburan gabungan skema subjek

7.1 Bilangan subjek dalam kategori skema taakulan mengikut umur

7.2 Bilangan subjek dalam kategori taakulan mengikut sikap.

SENARAI RAJAH

Rajah

2.1 Model segitiga Lewin perkaitan unsur-unsur membentuk tingkahlaku moral

2.2 Model perkembangan moral keagamaan Musa Garba 1999

2.3 Model penyelesaian masalah moral menurut Azizah Ahmad 1995

3.1 Peringkat dalam proses pemeringkatan pemerolehan ilmu (pemaknaan pengetahuan/being informed) dalam Islam

3.2 Dimensi peranan akal manusia.

3.3 Unsur-unsur yang menyumbang kepada pembentukan Skema Taakulan Akhlak Islam

3.4 Konseptual kajian; elemen-elemen yangberhubungan dengan pembentukan skema akhlak pelajar Melayu

4.1 Model Mental pengaktifan Skema oleh Bock dan Narvaez 2002

4.2 Cadangan model mental skema taakulan aklak pelajar Melayu berdasarkan Teks 1 UPSTA

5.1 Prosedur menjalankan kajian.

5.2 Kerangka kajian dan cadangan perkaitan antara variable-variabel

6.1 Kontinuum Skema taakulan akhlak

6.2 Proses pengumpulan dan analisa data temu bual Kualitatif

6.3 Proses pengumpulan dan analisa data temu bual kualtitatif

7.1 Pola keseluruhan Gabungan Taakulan akhlak pelajar Melayu

7.2 Model mental pengaktifan skema subjek Taqlid dekadensi (gabungan tiga skema)

7.3 Model mental pengaktifan skema subjek Istiqama (gabungan dua skema)

7.4 a Pembentukan skema taakulan akhlak dari perspektif psikologi Islam hasil analisis terhadap keseluruhan maklumat literatur dan hasil dapatan kajian.

ABSTRAK

Akhlak orang Melayu diasaskan kepada akulturasi budaya Melayu dan ajaran Islam. Bagaimanapun, arus permodenan dan globalisasi yang melanda era ini secara tidak langsung telah menyebabkan budaya dunia dan globalisasi ala barat menular ke dalam sistem akhlak orang Melayu. Fenomena ini membawa impak yang besar dalam budaya hidup seharian orang Melayu sehingga membawa kepada keruntuhan sistem nilai dan akhlak dalam pelbagai lapisan masyarakatnya. Kesannya semakin ramai umat Melayu dilaporkan terlibat dengan pelbagai sekuen dekadensi akhlak dan gejala ini membimbangkan semua pihak. Oleh itu, matlamat utama kajian ini ialah untuk mengumpul maklumat yang dapat digunakan untuk memahami pembinaan skema akhlak orang Melayu. Faktor-faktor yang menyumbang kepada pembentukan skema akhlak; umur, orientasi agama dan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu menjadi tumpuan kajian. Kajian juga memberi perhatian kepada paradigma keakhlakan Islam yang menekankan aspek kerohanian. Tiga jenis alat ukur dibina berasaskan paradigma ini,

pertama; Ujian Pengecaman Skema Taakulan Akhlak digunakan untuk mengecam kualiti taakulan akhlak yang diperincikan kepada skala satu hingga empat iaitu skema istiqamah, skema berpengetahuan taqlid, skema bertaqlid dan skema taqlid dekaden.

Kedua; Ujian Orientasi Agama untuk mengakses orientasi agama pilihan pelajar-pelajar, dan ketiga, Ujian Sikap dan Pegangan Terhadap Standard Kelaziman Sosial orang Melayu untuk melihat kecenderungan sikap dan pegangan terhadap kelaziman sosial yang dimiliki oleh pelajar Melayu.

Subjek kajian terdiri daripada 732 pelajar Melayu, yang terbahagi kepada 396 pelajar sekolah menengah dan 336 pelajar Institut pengajian tinggi awam. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Bahagian kuantitatif melihat kesan perbezaan umur, pilihan orientasi keagamaan dan kecenderungan sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu terhadap kualiti taakulan. Data dikumpulkan daripada ketiga-tiga ujian di atas dan dianalisis menggunakan ujian Univariate pada darjah signifikan 0.05. Dapatan menunjukkan interaksi antara kumpulan umur, ( F = 9.775, DF 1, sig 0.002 ) dan kecenderungan dalam sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu ( F = 9.093, DF 2, sig 0.000) memberikan perbezaan yang signifikan terhadap kualiti taakulan akhlak pelajar Melayu. Bahagian kualitatif memberikan maklumat terperinci berhubung skema taakulan akhlak pelajar. Analisis menunjukkan empat jenis skema taakulan akhlak skema istiqamah, skema berpengetahuan taqlid, skema bertaqlid dan skema taqlid dekaden muncul dalam kalangan pelajar. Pelajar Melayu daripada kumpulan umur yang berbeza dan kualiti taakulan yang berbeza menunjukkan pengaktifan gabungan skema taakulan. Pelajar yang mempunyai skema pada skala yang tinggi mengaktifkan lebih banyak ciri-ciri akhlak Islam berbanding dengan kumpulan yang mempunyai skema skala rendah. Keseluruhannya dapatan kajian ini menjelaskan elemen-elemen yang mempengaruhi pembentukan skema akhlak pelajar Melayu. Kecenderungan pelajar dalam sikap dan pegangan terhadap standard kelaziman sosial orang Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti taakulan akhlak mereka.

A STUDY OF AKHLAK REASONING SCHEMES
AMONG MALAY STUDENTS
ABSTRACT

The combination of traditional values and Islamic thoughts form the strong foundation of the Malay akhlak (moral). However, the advents of modernisation and globalisation have indirectly brought global culture and western globalisation into the Malay moral systems. The phenomena have a great impact on the Malay culture; contributing towards the degradation of the value and moral systems among various levels of the Malay society. Consequently, more Malays are involved in various decadent activities that, inevitably, raised concerns among many parties. The main objective of the study is to investigate the formation of akhlak schemes among the Malays. Contributing factors in the formation of the akhlak reasoning schemes, i.e., age, religious orientations, attitudes and beliefs towards the Malay social standards are the main focus of the study. The study also looks at the Islamic akhlak paradigm that emphasizes on spiritual aspects. Three instruments based on the paradigm are created.

First, the Akhlak Reasoning Scheme Defining Test is used to identify the quality of the akhlak reasoning that is described on the scale of one to four. They are the istiqamah scheme, the knowledgeable scheme, the follower scheme and the decadent scheme. Second, the “Religious Orientation Test” is used to assess the students’ religious orientations and third, the Attitudes and Beliefs towards the Malay Social Standard Test, assesses the students’ propensities on attitudes and beliefs towards the Malay social standard.

The subjects comprise a group of 732 Malay students, where 396 are secondary school students while 336 are from the Public Higher Learning Institutions. Both the quantitative and qualitative approaches were used in this study. The quantitative analyses examine the effect of age differences, religious orientation choice, and the propensity of attitude and belief towards the Malay social standard on the reasoning quality. The data collected from the three tests above were analyzed using the Univariate test at 0.05 level of significance. The results show the age group, (F = 9.775 DF 1, sig 0.002) and propensity of attitude and belief towards the Malay social standard (F = 9.093 DF 2, sig 0.000) have significant effect on the Malay students reasoning schemes. The qualitative analyses provide detailed information on the students’ akhlak reasoning schemes. The analyses show that four different types of reasoning schemes: istiqamah, knowledgeable and passive imitation, passive imitation and passive imitation decadency exist among the students. Malay students of different age groups and reasoning qualities demonstrate a mixture of reasoning schemes. Students who score higher on the reasoning schemes initiate more Islamic akhlak features compared to those with lower scores.
Overall, findings from the study describe the elements that influence the formation of the Malay students’ akhlak reasoning schemes. Significantly, the students’ age, and propensities on attitude and belief towards the Malay social standard play an important role in determining their akhlak reasoning quality.

BAB 1
PENGENALAN

1.0 Pendahuluan

Pembentukan masyarakat berakhlak dan mempunyai kerohanian yang tinggi merupakan salah satu agenda utama negara. Hasrat ini telah diuar-uarkan melalui wawasan 2020 yang antara lainnya berhasrat untuk melahirkan masyarakat yang kukuh dengan sifat-sifat kerohanian dan mempunyai moral yang progresif dan dinamik. Aspirasi ini telah termaktub dalam sistem pendidikan negara sejak sekian lama seperti yang dinyatakan dalam

Laporan Kabinet Mengkaji Semula Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979:
…mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan dapat berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan kepada punca-punca akhlak yang mulia…
(Pusat Perkembangan Kurikulum, 1988 m.s 35 ).

Punca-punca akhlak yang mulia tidak dapat dipisahkan daripada aspek keagamaan seperti yang dinyatakan oleh ahli falsafah barat; Hutcheon (1999):

agama ialah pembentuk nilai, sikap dan tingkah laku yang paling berkesan;

…it is clear that ritualized religious faith has been a powerful shaper of individual values, attitudes and behaviour in every culture group in everytime and place …(ms. 8)

Bagaimanapun, menurut Sidek Baba (2001), sehingga ke era globalisasi ini senario amalan akhlak serta nilai yang dilaporkan dalam kalangan masyarakat Malaysia menampakkan ‘jurang’ ketidaklangsungan antara harapan, peranan dan keupayaan kita dalam melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan bermoral tinggi. Golongan muda sebagai contoh tidak memperlihat atribut sosial yang mulia seperti tidak mempunyai sifat dan perangai yang bersopan dan sensitif terhadap nilai sosiobudaya (Hussein Hj. Ahmad ,1993). Kes-kes keruntuhan akhlak yang dilaporkan oleh media dan perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berwajib menggambarkan wujudnya krisis nilai akhlak dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Sebagai contoh, masalah disiplin dan keruntuhan akhlak dianggap sebagai perlakuan tidak bermoral kerana berbentuk pelanggaran peraturan dalam norma masyarakat (Tan Bee Chu, 2001).

Gejala keruntuhan akhlak ini sering dikaitkan dengan fenomena kemerosotan nilai atau keadaan susutan nilai akhlak. Fenomena ini disebut juga sebagai gejala dekadensi akhlak. Dari sudut bahasa, ‘dekadensi’ bermaksud kemorosotan nilai atau kemunduran nilai berbanding dengan nilai yang sebelumnya (Kamus Dewan, 1993). Dari sudut kemasyarakatan pula, dekadensi menggambarkan keadaan susutan nilai dari norma dan sistem nilai yang sempurna yang telah diamalkan dan diterima pakai oleh masyarakat tersebut (Syed Hossein Nasr, 1975).

Nilai akhlak dalam kalangan masyarakat Malaysia terbentuk daripada akulturasi nilai-nilai kerohanian yang mutlak dan suci yang telah termaktub dalam ajaran agama, terutamanya agama Islam sebagai agama rasmi negara, juga nilai-nilai yang baik dari semua agama lain; di samping nilai-nilai tradisi yang tidak bercanggah dengan sistem nilai ini. Sistem nilai inilah yang menjadi panduan kepada kelakuan, tatatertib, maruah dan perbuatan lahiriah yang mencerminkan akal budi, keimanan, dan kepercayaan masyarakat Malaysia. Oleh itu akhlak masyarakat Malaysia dapat diertikan sebagai perlakuan baik buruk mengikut suruhan dan larangan agama serta amalan tradisi masyarakat negara ini.

Gejala dekadensi akhlak berlaku dalam semua kaum di negara ini. Menurut Ismail Ibrahim (1996), orang Melayu terutamanya sedang bergelut untuk mempertahankan adat tradisi Melayu yang sebenar. Hal ini amat ketara terutamanya dalam kalangan generasi muda Melayu yang sedang melalui proses perubahan budaya dan nilai yang umumnya mengikuti model budaya dan nilai barat. Golongan muda Melayu kini terlibat dalam ajaran-ajaran agama baru daripada pelbagai sumber terutamanya kumpulan-kumpulan black metal yang kononnya memberikan formula ketenangan fikiran kepada mereka melalui muzik rock. Realiti yang terpapar dari senario gejala sosial di atas menampakkan konflik antara penghayatan nilai-nilai Islam yang baik dengan tingkah laku golongan Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang agama secara berterusan dan tidak meletakkan nilai baik buruk, dosa pahala di bawah anjuran syariat Islam.

Mengambil fenomena di atas dan mengaitkannya dengan psikologi moral, kemoralan dapat dilihat menerusi tiga komponen iaitu penaakulan moral, emosi moral dan tingkah laku moral. Ketiga-tiga komponen moral ini saling berkait dan berhubungan yang akhirnya diterjemahkan dalam tingkah lakuan moral. Justeru kajian deskriptif eksploratori ini memfokus untuk memperihal pembentukan skema taakulan akhlak pelajar Melayu secara komprehensif.

1.1 Latar Belakang Masalah

Penaakulan akhlak merupakan satu aktiviti kognitif yang melibatkan pertimbangan akhlak untuk mencapai keputusan akhlak. Kajian dalam bidang moral sering cuba mengaitkan penaakulan moral dengan tingkah laku moral.

Oleh itu, dekadensi akhlak yang berturutan dapat dijadikan petunjuk kepada keperluan untuk mengumpul maklumat terperinci konflik susutan nilai dalam proses penaakulan akhlak dalam kalangan generasi muda Melayu.

Masyarakat dunia kini sedang melalui fenomena ‘kemerosotan moral’ (moral decline) ‘dekadensi moral’ (moral decadent) dan juga ketidakpastian moral (moral uncertainty) (Smith, 2000). Suasana ini sangat berkait rapat dengan penjajahan pemikiran dan pendominasian budaya barat secara berterusan terhadap seluruh warga dunia melalui wahana globalisasi dan imperialisme budaya (Abd. Rahman Embong, 2002). Corak pemikiran dan budaya barat ini mengekal dan mengembangkan fahaman sekular yang membuat pemisahan secara terang-terangan antara agama dan aspek kehidupan yang lain. Perkembangan ini dikatakan menjadi punca kepada keruntuhan dalam aspek kejiwaan manusia dan keruntuhan nilai yang amat ketara (Osman Bakar, 1997). Walaupun terdapat kebangkitan gerakan-gerakan yang mengajak manusia kepada perkara-perkara kebaikan, suasana pembangunan dunia hari ini dapat diibaratkan sebagai dunia tanpa agama, ilmu dan iman seperti patung tidak bernyawa (Yusuf Al-Qadhrawi, 1999).

Krisis ini tidak terlepas dalam mempengaruhi kehidupan warga Malaysia dan orang Melayu khususnya. Pertembungan antara nilai agama dengan nilai moden dalam arus globalisasi telah meletakkan masyarakat Melayu dalam dilema krisis nilai yang genting. Krisis nilai ini telah meresap ke seluruh aspek kehidupan baik dari aspek pemikiran, tindakan dan amalan dalam kehidupan seharian. Masyarakat Melayu mengalami transformasi sosial dan nilai yang melibatkan perubahan dalam amalan hidup beragama dan tafsiran terhadap agama.Kehidupan masyarakat mengalami fenomena ketidaktentuan, kehidupan yang bercirikan ketidakpastian, kehidupan berisiko akibat perubahan-perubahan drastik yang amat sukar difahami. Perubahan ini membawa cabaran kepada akhlak dan erti hidup sebagai manusia Islam yang dilingkari persekitaran yang kosong spirituil (Abd. Rahman Embong, 2002).

Natijahnya di Malaysia menurut Syed Othman Al-Habshi (2002) dan Ismail Ibrahim (1999), umat Melayu Islam sering dilabel sebagai mendominasi masalah masyarakat hari ini walaupun mereka beragama, beriman dan sepatutnya mempunyai akhlak yang mulia. Mereka terlibat dalam pelbagai masalah sosial seperti penyalah gunaan dadah, sumbang mahram, rogol dan lain-lain berbanding masyarakat bukan Islam. Fenomena pesongan tingkah laku dan keruntuhan akhlak dalam kalangan individu sering dikaitkan dengan kerendahan tahap taakulan mereka dalam membuat pertimbangan ketika berdepan dengan masalah kehidupan seharian (Abdul Rafie Mahat, 2001).

Dalam hal taakulan moral (moral reasoning), perkembangan kemahiran taakulan moral ini dapat membantu individu memiliki kekuatan pemikiran moral; memahami nilai moral sebagai landasan mencorakkan pemikiran idealisme mereka (Abd. Rahim Abd Rashid, 2001). Kemahiran taakulan moral sangat penting peranannya dalam menonjol keterampilan tingkah laku moral seseorang kerana terdapat hubungkait yang sangat rapat antara taakulan moral dan tingkah laku moral (Rothman, 1980). Sehubungan dengan ini, ahli akademik menyarankan tentang keperluan pelajar kita untuk mempunyai keupayaan dalam membuat taakulan moral dengan mengemukakan hujah dan fakta-fakta moral yang relevan ( Abd.Rahman Md. Aroff, 1999 ).

1.1.1 Dekadensi akhlak dalam kalangan orang Melayu

Walaupun Malaysia masih belum mencapai status negara maju, masalah sosial, dan kejatuhan akhlak yang berlaku di Malaysia tidak terlepas daripada trend dan ciri-ciri masalah sosial yang berlaku di negara-negara maju (Rahimah Abd. Aziz & Mohamad Yusoff Ismail, 2000). Umumnya, masyarakat Malaysia menghadapi konflik kelunturan nilai-nilai moral dan tradisi di samping menghadapi cabaran pertumbuhan budaya-budaya baru (sub-culture) yang semakin meresap dalam masyarakat hari ini (Lutpi Ibrahim, 1993). Konflik ini mencetuskan pelbagai isu pelanggaran norma, adat dan undang-undang negara dalam pelbagai bentuk seperti perlakuan jenayah yang melibatkan semua peringkat masyarakat.

Realiti keruntuhan akhlak ditunjukkan dengan peningkatan statistik keskes jenayah yang dilaporkan dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini seperti dalam Jadual 1.1 di bawah.

Jadual 1.1: Jumlah jenayah keganasan dan jenayah harta benda yang dilaporkan di Malaysia dari tahun 1997-2004

Statistik di atas menunjukkan pertambahan jumlah kes jenayah keganasan dan harta benda yang dilaporkan dalam tempoh lapan tahun (1997-2004). Peningkatan yang ditunjukkan dalam statistik di atas mungkin dapat dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti pertambahan komposisi penduduk, kemerosotan ekonomi dalam tempoh tertentu dan juga kepesatan pembangunan ekonomi serta fizikal di Malaysia.

Bagaimanapun, dari sudut yang berbeza, informasi yang tersirat di sebalik statistik di atas ialah gambaran fenomena keruntuhan akhlak masyarakat Malaysia. Peningkatan statistik jenayah di atas berkaitan dengan peningkatan perlakuan-perlakuan yang terpesong daripada nilai akhlak dan norma masyarakat. Pesongan tingkah laku yang sebegini berkait rapat dengan kemoralan seseorang individu atau kemoralan kumpulan tertentu (Armon,1998). Oleh itu berdasarkan statistik tersebut dapat diandaikan bahawa bertambahnya jumlah kejadian jenayah dalam kalangan masyarakat Malaysia juga berkaitan dengan faktor dekadensi moral dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Apabila isu-isu pelanggaran norma dan penyusutan nilai akhlak dikaitkan dengan masyarakat Melayu pula, isu kejatuhan akhlak bukanlah satu perkara baru. Gejala sosial yang meresap dalam masyarakat Melayu melibatkan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur dan status sosial mereka. Dalam kalangan pemimpin negara misalnya sering terlibat dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa begitu juga dengan kakitangan awam kerajaan seperti pihak polis, kastam dan guru. Di samping itu terdapat juga bentuk penipuan yang diselindungkan dengan label ‘skim cepat kaya’ dalam kalangan golongan korporat.

Dalam lingkungan kekeluargaan pula ibu bapa terlibat dengan kes-kes penderaan kanak-kanak dan kejadian-kejadian sumbang mahram, merogol anak atau saudara sendiri (Jabatan Kebajikan Masyarakat 1999; 2002). Berikut pula adalah contoh isu moral di media yang menceritakan penglibatan masyarakat Melayu dalam gejala sosial. Jadual 1.2 menjelaskan perangkaan penglibatan mereka dalam kes-kes sumbang mahram mengikut pecahan kaum di seluruh negara dari tahun 1997 sehingga suku pertama tahun 2002.

Sumber : Agensi Dadah Kebangsaan 2004

Jadual di atas menunjukkan perangkaan penglibatan berterusan golongan remaja Melayu dalam masalah ketagihan dadah. Di samping terlibat dengan isu penyalahgunaan dadah, remaja Melayu juga bergelumang dengan gejala seks rambang, pembuangan bayi, kegilaan yang melampau terhadap muzik moden dan liar seperti rock, black metal, raggae dan rap (Rahimin Affandi, 1999). Mereka juga dikatakan semakin hilang rasa hormat terhadap golongan tua dan bersikap lebih individualistik dan materialistik (Saedah Siraj, 2002). Sikap sebegini menjadi faktor kepada penglibatan dalam masalah disiplin berat sehingga membawa kepada perlakuan samseng, menyerang guru, dan membunuh kawan sendiri. Jadual 1.4 menunjukkan rentetan kejadian masalah disiplin berat yang menggemparkan negara, yang rata-rata melibatkan pelajar Melayu di sekolah menengah.


Selain itu pelajar Melayu di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga dilaporkan semakin berani melakukan perbuatan yang melanggar tatasusila, adat dan agama seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Jadual 1.5 menunjukkan perangkaan kes salah laku melanggar tatasusila adat dan agama dalam kalangan pelajar IPT.

Kesemua data yang dipaparkan di atas menjelaskan penglibatan orang Melayu yang amat ketara dalam perlakuan pelanggaran akhlak. Fenomena ini mengundang beberapa persoalan seperti apakah benar globalisasi dan era teknologi maklumat serta pembangunan dari barat telah membawa pengaruh yang begitu besar dalam aspek nilai dan moral golongan Melayu di negara ini?

1.1.2 Faktor-faktor yang mempengaruhi dekadensi akhlak orang Melayu.

Sehingga kini norma akhlak yang menjadi pegangan masyarakat Melayu hasil daripada gabungan elemen-elemen budaya Melayu tradisi adalah tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Malah nilai-nilai Islam dapat dilihat dengan ketara dalam pelbagai aspek kehidupan, pemerintahan dan perundangan Malaysia (Jas Laile Suzana Jaafar, 1999).

Era mutakhir ini telah memperlihat campur aduk antara budaya dan nilai tradisi yang dicengkam oleh perkembangan budaya barat sekular yang berleluasa dalam segenap aspek kehidupan orang Melayu. Benarkah konflik budaya dan krisis nilai ini telah menjalar ke dalam corak pemikiran moral dan masyarakat Melayu sehinggakan mereka seolah-olah hilang identiti diri dengan terlibat secara berterusan dalam perlakuan-perlakuan sumbang dan tidak beretika itu? Adakah hal ini dapat dikaitkan dengan penyusutan bentuk-bentuk pengetahuan akhlak (skema taakulan akhlak) masyarakat Melayu daripada sistem nilai masyarakat yang dipegang kukuh dalam perlembagaan dan perundangan negara?

Mengikut Mohd Shahir Haji Abdullah (1996) akhlak masyarakat Melayu kini menggambarkan satu krisis nilai yang membawa kepada ‘era kejatuhan akhlak’ dan lunturnya sifat kemanusiaan walaupun pada masa yang sama terdapat kemajuan pesat dalam bidang teknologi dan intelektual. Kemerosotan akhlak generasi muda Melayu, peningkatan gejala sosial dan kegelinciran nilai agama yang membawa kepada murtad melambangkan nilai Melayu Islam semakin merosot (Nasharudin Mat Isa, 2002).

Keadaan yang semakin menjadi-jadi ini amatlah membimbangkan semua pihak dan mencetuskan persoalan untuk mengenal pasti maklumat yang dapat membantu memahami fenomena ini dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Mungkinkah corak pemikiran akhlak orang Melayu sekarang telah terpengaruh dengan corak pemikiran barat sekular.

Dalam meneliti fenomena ini, terdapat dua faktor yang dikenal pasti membawa impak besar dalam isu dekadensi akhlak dalam kalangan masyarakat Melayu (Aminuddin Ruskam et al 2000).

Pertamanya; faktor luaran yang secara jelasnya melibatkan faktor persekitaran sosial yang tidak membina seperti pengaruh media massa dalam menyebarluaskan budaya hidup glamor, budaya hiburan, nilai-nilai hidup materialistik.

Kedua; faktor dalaman yang melibatkan kekeliruan minda, kerapuhan pegangan agama dalam kalangan masyarakat umum khususnya generasi muda dan sikap negatif terhadap jaringan komunikasi dalam masyarakat.

a) Faktor luaran

Unsur utama dalam faktor luaran ialah persekitaran sosial. Menurut Eliade, M. dalam Lutpi Ibrahim (1993) persekitaran sosial dapat mengajar seseorang ke arah kebaikan atau sebaliknya menjadi penggalak kepada kemaksiatan. Impak faktor persekitaran ini dikaitkan dengan kemunculan era globalisasi yang dikatakan membawa gelombang perubahan besar dalam kehidupan masyarakat dunia hari ini. Hal ini telah dibayangkan tiga puluh tahun lalu oleh Alvin Toffler dalam bukunya Future Shock (1970). Toffler (1970) menjelaskan bahawa perubahan pesat yang dialami tidak sahaja melanda dalam aspek teknologi, pengetahuan, gaya hidup, kemajuan ekonomi, malahan yang membimbangkan ialah keruntuhan institusi keluarga akibat perubahan nilai-nilai baru yang membawa kepada kejutan budaya. Hal ini berlaku kepada masyarakat maju juga dalam kalangan masyarakat membangun (Toffler, 1970).

Impak globalisasi seperti global village, “berfikir secara global bertindak
secara lokal”, “world class, strive for excellence”,
telah mula kelihatan dalam masyarakat Malaysia. Pelbagai ideologi serta konsep baru yang menjanjikan berlakunya rombakan besar dalam sistem nilai masyarakat seluruhnya telah dirasai kehadirannya (Abd. Rahman Embong, 2002). Ideologi-ideologi baru dan asing ini menyerap masuk dalam sistem budaya hari ini melalui pelbagai cara terutamanya dalam bentuk hiburan seperti televisyen, internet, filem-filem dari luar negara, bahan-bahan bacaan dan lainnya (Ismail Ibrahim, 1999).

Kebimbangan ini juga telah dinyatakan dalam perkara 1.53 Rancangan Malaysia Ke Lapan:

Pembangunan ekonomi dan pembandaran memberikan kesan ke atas norma institusi sosial dan kebudayaan. Globalisasi mempunyai impak dan mungkin mengancam keutuhan struktur kekeluargaan dan komuniti tradisional serta mempengaruhi nilai-nilai budaya dan norma dalam intergrasi sosial. Pembinaan nusa bangsa haruslah memastikan mempunyai daya tahan untuk melalui perubahan ini. Jika tiada keupayaan ini, untuk menghadapi perubahan sosial, perubahan gaya hidup dan struktur kekeluargaan timbul pelbagai masalah gaya hidup dan struktur kekeluargaan.
(Jabatan Perdana Menteri, 2001 : ms.20)

Umum diketahui bahawa perkembangan pesat dalam ICT telah membawa kemudahan perkhidmatan jaringan antarabangsa (internet) dari segi maklumat dan kebebasan memuat dan melalui portal-portal percuma. Di samping itu kebebasan mengakses dan memilih maklumat melalui laman-laman web terus diberi ruang. Senario ini telah melahirkan sikap mementingkan kebebasan individu dan menolak amalan dan cara hidup masyarakat yang sedia ada. Kebebasan dalam dunia tanpa sempadan ini dikhuatiri akan melahirkan masyarakat yang bersifat abstrak dan tidak mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap perkara yang dikongsi. Impak yang kritikal ialah berlakunya pencairan prinsip-prinsip agama, adab dan norma-norma kehidupan sesuatu komuniti yang melenyapkan nilai-nilai etika dan estetika sesuatu bangsa (Hanipah Hussin, 2001). Hal ini sudah pasti menjadi cabaran besar dalam institusi pendidikan untuk memupuk dan mempertahan nilai akhlak dan moral yang mampu menangani gelojak nilai dalam era globalisasi.
b) Faktor dalaman

Faktor dalaman merujuk kepada kekurangan daya tahan minda dan agama untuk menolak elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai akhlak timur dan Islam. Amalan pendidikan kita yang cuba memupuk nilai kerohanian dan akhlak yang mulia secara berterusan nampaknya tidak mampu memberikan daya tahan yang mapan dalam kalangan orang Melayu.

Walaupun amalan pendidikan telah dilaksana menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertunjangkan pembentukan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (Nik Aziz Nik Pa, 1996) tetapi masih tidak dapat memberikan kekuatan minda kepada pelajar Islam untuk menolak pengaruh akhlak barat. Mata pelajaran agama Islam juga telah sekian lama diajar dan dipelajari di sekolah-sekolah dan dijadikan wadah utama yang menekankan aspek pembangunan rohani dan penyemaian nilai-nilai yang terpuji. Begitu juga kebangkitan era pendidikan Islam di Malaysia sejak 80-an (Chandra Muzaffar, 1987) yang memperlihatkan pertumbuhan pesat penubuhan sekolah-sekolah agama di bawah naungan pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), sekolah-sekolah di bawah majlis Agama Islam negeri, semua ini masih tidak mampu menyuburkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam peribadi orang Melayu.

Demikian juga, masalah sosial seperti perlakuan sumbang dan tidak beretika dalam masyarakat Melayu kini sering dikaitkan dengan ceteknya pengetahuan dan ketidakkukuhan pegangan asas kerohanian mereka (Amran Kasimin, 1993; Fatimah Salleh & Khadijah Zon, 2002). Kekurangan ini sering dikaitkan dengan ketidakupayaan amalan pendidikan dalam meneruskan penghayatan dan kebatinan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Hal ini mungkin berpunca daripada 2 sebab;

i. pendedahan berterusan kepada corak pemikiran barat, dan
ii. kurang keberkesanan pendekatan yang digunakan dalam pendidikan moral dan agama Islam dalam memupuk nilai-nilai kerohanian.

Pendedahan kepada paradigma pemikiran moral barat dapat dilihat dari sudut pengajaran dan pembelajaran di Malaysia yang lebih cenderung kepada pendekatan progresif dari barat yang popular pada awal abad ke 20. Pendekatan progresif ini merupakan satu pendekatan holistik yang menyarankan ciri-ciri seperti sifat terbuka dalam kalangan pelajar, perkembangan semula jadi pelajar, pembelajaran interaktif dan juga menanam sifat atau keupayaan membuat pertimbangan yang bermoral dalam situasi seharian melalui pengalaman bersosialisasi di sekolah ataupun di luar sekolah. Pendekatan ini menolak nilai-nilai tradisi dan agama yang dilihat sebagai tidak holistik, bersifat sempit dan ortodoks. Falsafah kemoralan barat ini mengasingkan sesuatu yang bersifat agama dengan sesuatu yang bersifat sekular (Ghazali Othman & Yusfarina Mohd Yusof, 2001).

Fenomena di atas telah mengakibatkan pendedahan berterusan paradigma pendidikan barat; meliputi makna dan ruang lingkup kemoralannya kepada generasi hari ini. Tradisi intelektual barat moden mengandaikan bahawa persoalan etika (falsafah akhlak dan moral) dapat digarap melalui kekuatan akal manusia yang tinggi (Mohd.Farid Mohd Shahran, 1999). Fahaman ini melanda seluruh pelusuk dunia sehinggakan ruang lingkup dan makna moraliti meminggirkan aspek spirituil (Khaleefa, 1999; Sarah Mohd Jiwa, 2001). Dengan kata lain corak pemikiran moral barat menolak perkaitan yang logik antara moral dengan agama seperti kata Downey,”…the basis of any set of moral principle is independent of religious beliefs…”. (1982, m.s.7)

Bentuk-bentuk kemoralan barat ini menyelinap masuk dalam pendekatan-pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Sebagai contoh, pendekatan moraliti kognitif, yang memperlihatkan pendekatan formalis strukturalis yang dipelopori oleh Kohlberg paling meluas digunakan dalam pengajaran moral di sekolah-sekolah di Malaysia (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2001). Pendekatan ini menitikberatkan pencapaian penguasaan moral dalam tahap-tahap perkembangan kognitif tertentu yang dianggap bersesuaian dengan tahap umur individu (Kohlberg, 1982). Pendekatan ini dapat memberikan kemahiran menganalisis sesuatu isu moral dan sosial dengan lebih komprehensif. Pendekatan pengajaran dan penilaian yang dianjurkan oleh aliran ini menggalakkan individu membuat taakulan moral yang subjektif dan fleksibel. Taakulan moral beroreintasikan kebebasan individu dan menjauhkan individu daripada pegangan terhadap nilai-nilai moral keagamaan selaras dengan aliran pemikiran moraliti barat (Colby & Damon, 1992; Walker, 1998; Musa Garba, 1999). Walaupun pendekatan ini dilihat dapat memberi kemahiran meneliti masalah moral yang baik namun nilai moral yang ditekankan tidak ada kena mengena dengan konsep ketuhanan, sebaliknya hanyalah suatu tanggungjawab moral yang bersifat kemasyarakatan (Musak Mantrak, 1996). Pendekatan ini dikatakan sebagai bersifat liberalisme dan sekularisme dalam amalan pendidikan (Faisal Hj Othman, 1988). Tambahan lagi, pengasingan pembelajaran moral dan agama Islam yang berlaku dalam kurikulum pendidikan di Malaysia sekarang, dilihat sebagai satu kekurangan kepada pelajar Melayu dari aspek kemahiran meneliti dan memahami taakulan akhlak. Tegasnya pendekatan ini mengakibatkan pelajar berada dalam kancah kecelaruan fikiran apabila berhadapan dengan situasi-situasi moral kerana mereka tidak didedahkan pada kemahiran dan strategi taakulan moral (Awang Had Salleh, 1993).

Di samping itu pelajar Melayu juga dikatakan mudah hilang pegangan pada nilai-nilai agama dan unsur kerohanian berpunca daripada asas penghayatan mereka yang tidak kukuh terhadap pengetahuan agama (Abd. Kadir Ariffin, 2003). Persoalan ini sering dikaitkan dengan masalah kelemahan amalan pendidikan agama Islam dalam menyemai nilai-nilai yang baik di sekolah. Hal ini berkait dengan struktur dan binaan sukatan pelajaran agama yang lebih berorientasikan peperiksaan dan amat menumpukan penguasaan isi kandungan dan kehendak-kehendak sukatan pelajaran sahaja (Ghazali Othman & Yusfarina Mohd. Yusof, 2001; Azma Mahmood et.al, 2002).

Justeru, hal ini mengakibatkan kurangnya tumpuan kepada pendidikan akhlak yang menjadikan pelajar Islam mudah mengalami kekeliruan ketika membangunkan pengetahuan akhlak. Di samping itu mereka juga berada dalam dilema sama ada untuk terus berpegang kepada nilai agama ataupun memilih nilai-nilai baru yang wujud di persekitaran mereka ketika berhadapan dengan masalah-masalah sosial. Kekurangan kemahiran dan pengamatan intelektual yang kurang tajam menjadikan mereka mudah goyah dan tidak dapat membuat pertimbangan yang jelas dan tepat apabila berhadapan dengan perkembangan semasa, akibatnya, akhlak pelajar Islam menjadi semakin merosot (Abd. Kadir Ariffin, 2003).

Lebih jauh dari ini wujud pula gejala penolakan terhadap setiap nilai tradisi bangsa dan umat serta kecenderungan untuk menerima segala nilai baru tanpa mengambil kira sama ada nilai yang baru itu sesuai dengan nilai-nilai asasi agama Islam yang menjadi anutan mereka atau tidak (Faisal Hj.Othman, 1988). Jelasnya sistem pendidikan agama Islam masih tidak berupaya memberi tindakbalas yang wajar terhadap perubahan-perubahan sosial yang berlaku hari ini. Fenomena ini melahirkan golongan umat Islam yang tidak mempunyai kekuatan peribadi, tidak mempunyai arah dan tujuan yang jelas untuk dilalui dan direntasi (Yusuf Al-Qadhrawi, 1996).

Kedua-dua fenomena di atas menjelaskan bahawa amalan pendidikan dan etika moral yang digunapakai dalam sistem pendidikan selama ini sememangnya kurang menekankan dimensi spirituil dan hanya mementingkan kekuatan akal manusia semata-mata (Mohd Farid Mohd. Shahran, 1999).

Sedangkan kekuatan akal manusia mempunyai batasan yang terhad dalam membuat perhitungan dalam hal-hal moraliti ini. Walaupun manusia mempunyai akal fikiran yang dapat menentukan nilai-nilai kebaikan dan keburukan dalam kehidupan sehariannya, nilai dan undang-undang yang dibuat oleh akal fikiran manusia itu tidak mutlak dan tidak sempurna selain tidak dapat memenuhi maslahat manusia. Hal ini disebabkan oleh fikiran manusia yang terbatas dan manusia selalu dipengaruhi oleh nafsu (Tajul Ariffin Noordin, 1996). Selain itu hal ini jelas dilihat dalam gelojak nilai yang melanda generasi muda Melayu yang terikut-ikut dengan kebergantungan terhadap kekuatan logik akal mereka.

Aliran liberalisme dan sekularisme yang masih menjiwai dasar pendidikan di Malaysia didapati masih tidak mampu untuk menyepadu dan mengharmonikan antara ilmu, budi pekerti, jiwa yang luhur dan amal yang mulia dalam diri manusia (Faisal Hj.Othman, 1988). Pendidikan moral yang tidak berpaksikan kepada agama tidak membawa apa-apa makna pembatinan dan moral kepada guru dan pelajar. Malahan mewujudkan suasana yang bercorak relatif, tidak pasti, ragu-ragu (syak) dan meneka-neka (zann) yang mengakibatkan ilmu yang dipelajari tidak mantap dan hilang makna. Sifat relativisme ini akhirnya membawa para pelajar kepada hala tuju yang salah dan merosakkan pelajar (Ghazali Othman & Yusfarina Mohd Yusof, 2001).

Selain kekurangan dalam amalan pendidikan dan paradigma pemikiran barat yang menyerap masuk ke dalam sistem nilai orang Melayu terdapat juga gerakan-gerakan Islam yang bersifat fundamentalis seperti golongan Syiah yang membawa pendekatan ajaran Islam yang berbeza (Chandra Muzaffar, 1987). Tafsiran agama yang berbeza ini membawa kecelaruan terutama kepada golongan yang dilanda kejahilan untuk memahami dan menghayati agama Islam itu sendiri (Nasharuddin Mat Isa, 2002). Kesan yang ketara dapat dilihat melalui wujudnya keadaan umat Islam yang tercari-cari pautan keimanan dan akhirnya terdorong kepada gejala ajaran sesat baik yang bersifat keagamaan atau sebaliknya.

Mungkinkah kesemua elemen di atas telah meletakkan umat Melayu dalam konflik dan kecelaruan nilai; menerima cabaran tidak sahaja dari nilai globalisasi dan pegangan kerohanian yang rapuh, malah daripada pemikiran Islam yang bersifat agresif dan fundamentalis? Dalam usaha memahami persoalan ini, kita seharusnya berbalik kepada penghayatan peranan ajaran Islam yang menjadi nilai dominan (dominant value) kepada orang Melayu (Abd. Kadir Ariffin, 2003). Apatah lagi tujuan penurunan Islam kepada seluruh umat adalah membawa petunjuk kepada akal manusia dalam menangani persoalan-persoalan berkaitan kebaikan dan kelebihan yang perlu kepada seseorang untuk menjadi muslim yang soleh (Abdul Halim Mahmud, 1995). Jelasnya sistem nilai Islam mempunyai impak yang besar dalam pembangunan struktur pengetahuan akhlak (skema taakulan akhlak) orang Melayu. Islam meletakkan agama sebagai payung kepada semua aspek kehidupan dan menjadi tunjang kepada akhlak dan moraliti (Bello, 2001; Syed Muhammad Naguib Al-Attas, 1990). Oleh itu pemikiran akhlak dan moral orang Melayu seharusnya dilihat berasaskan kepada kepercayaan agama yang merentasi domain yang lebih luas selari dengan falsafah ad-Din dalam Islam (Islam: satu cara hidup; Islam: a way of life). Justeru kajian ini akan meneroka maklumat-maklumat yang berkaitan dengan amalan dan penghayatan konsep ad-Din dalam pembentukan skema taakulan akhlak (struktur pengetahuan akhlak) orang Melayu yang beragama Islam dengan tujuan memahami fenomena dekadensi akhlak dalam kalangan orang Melayu.

1.2 Pernyataan Masalah

Kajian mengenai pemikiran moral atau pemikiran akhlak dalam kalangan orang Melayu Islam masih baru dan tidak banyak. Namun dengan cabaran globalisasi dan proses kebaratan pemikiran orang Islam yang cuba diterapkan kepada penduduk dunia melalui monopoli media gergasi dunia dan lain-lain maka kajian untuk menentukan corak pemikiran akhlak orang Islam amat wajar dilakukan. Walaupun banyak kritikan atau pemerhatian telah dibuat mengenai pengaruh barat ke atas pemikiran orang Islam tetapi kajian empirikal mengenainya masih kurang terutamanya dalam konteks Malaysia.

Sehingga kini hanya satu sahaja kajian empirikal peringkat doktor falsafah oleh Jas Laile Suzana Jaafar (1999) cuba meneliti taakulan dan pemikiran moral orang Melayu. Beliau melaporkan bahawa taakulan moral orang Melayu dipengaruhi oleh adat resam dan kepercayaan terhadap ajaran agama Islam. Seterusnya, terdapat dua kajian berbentuk latihan ilmiah yang mengkaji taakulan moral orang Melayu oleh Azizah Ahmad (1995) dan Zamzuri Mahmood (1997). Kajian Azizah Ahmad (1995) melaporkan bahawa bentuk pemikiran moral pelajar Islam berdasarkan ketauhidan kepada Allah. Beliau mendapati terdapat hubungan terus antara agama dan tahap kemoralan pelajar apabila cuba menyelesaikan masalah moral. Dapatan Azizah Ahmad (1995) melaporkan pula bahawa subjek berpendidikan agama meletakkan panduan syariat sebagai pilihan teratas dalam penyelesaian masalah mereka (misalnya mencuri dan membunuh tidak dibenarkan oleh syariat). Pengesahan pemilihan ini seterusnya membawa kepada pilihan-pilihan tertentu berlandaskan syariat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kajian oleh Abdul Halim Tamuri dan Zarin Ismail (2001) pula hanya meneliti definisi konsep akhlak dan moral dalam kalangan pelajar Melayu. Dapatan kajian mereka melaporkan pelajar membuat perkaitan antara konsep ketauhidan dan akhlak dalam definisi akhlak mereka. Mereka juga mengesan terdapat kecelaruan perspektif dalam menentukan konsep dan makna akhlak dalam kalangan pelajar Islam. Manakala Mohd. Daud Hamzah (2000) pula mendapati pelajar Melayu di universiti mencapai skor yang tinggi bagi nilai kerohanian yang dikatakan berkait rapat dengan pegangan agama mereka.

Dapatan kajian di atas memberi petunjuk awal bahawa pegangan agama sebagai pengaruh utama pada seseorang Melayu untuk melalui dan mencapai skema taakulan moral yang paling rasional. Maklumat-maklumat ini dilihat selaras dengan pengelompokan jenis-jenis pemikiran moral Islam oleh Musa Garba (1999) yang meletakkan pemikiran moral berorientasikan keimanan terhadap kewujudan Allah (Allah conscious morality) memayungi semua bentuk pemikiran moral yang lain. Unsur keimanan dalam dapatan kajian Azizah Ahmad (1995) dan unsur kerohanian dalam kajian Mohd Daud Hamzah (2000) mengukuhkan hujah Al-Ghazali berkenaan aspek spirituil dan rohani yang bersifat abstrak dalam isu akhlak. Menurut Al-Ghazali (1982) aspek ini dapat dikenal pasti dan diteliti melalui pemerhatian kepada aktiviti-aktiviti yang melambangkan kewujudan aspek-aspek ini dalam diri individu. Kohlberg (1963) dalam Lapsey (1996) juga berpendapat kepercayaan dan keimanan yang teguh dalam sesuatu agama akan mengesahkan kemoralan seseorang dan memandu moralitinya kepada satu dimensi yang objektif. Dalam hal ini maklumat-maklumat daripada kajian di atas yang meletakkan hubungan agama dan moraliti dalam kalangan orang Melayu menjadi contoh kepada ciri tahap taakulan moral ke tujuh oleh Kohlberg (lihat lampiran tahap-tahap perkembangan moral oleh Kohlberg (1963) dalam Lapsey (1996), yakni tahap taakulan yang bersifat metaetika dan berkaitan dengan kosmos metafizikal (Lapsey, 1996).

Terdapat ciri lain seperti perbezaan kumpulan umur yang dapat melengkapkan penerokaan maklumat terhadap skema taakulan akhlak pelajar Melayu. Aspek perbezaan umur ini dilaporkan memberikan kesan kepada perbezaan taakulan moral dalam kajian Jas Laile Suzana Jaafar (1999) dan Zamzuri Mahmood (1997). Terdapat kepelbagaian kumpulan umur yang terlibat dalam pelbagai perlakuan perlanggaran akhlak. Hal ini memberi gambaran bahawa umur menjadi salah satu faktor penyumbang kepada taakulan moral. Kesemua kajian yang melibatkan subjek Melayu di atas menggunakan alat terpiawai skala moral Kohlberg (1976) untuk membuat klasifikasi taakulan akhlak subjek kajian mereka. Alat ini dilaporkan mempunyai kekurangan untuk merekod bentuk-bentuk pemikiran akhlak dan mengukur taakulan akhlak orang Melayu (Jas Laile Suzana Jaafar, 1999).

Isu penaakulan moral ini harus dikaji memandangkan meningkatnya masalah-masalah keruntuhan moral dalam kalangan orang Islam khususnya golongan terpelajar di Malaysia pada masa ini. Justeru itu kita perlu memahami bagaimana skema penaakulan akhlak atau moral oleh orang Islam kini agar kita dapat mengenal pasti punca dan akibatnya kelak. Yang lebih penting kita juga perlu mempunyai cara menilai pemikiran akhlak orang Islam dari perspektif agama Islam sendiri agar corak penaakulan akhlak itu dapat diukur dengan lebih tepat bukannya menggunakan alat ukur yang dibina oleh orang bukan Islam (barat) seperti alat ukur Kohlberg (1976) dan lain-lain yang kerap digunakan. Sehubungan itu kajian ini akan membina alat ukur yang lebih sesuai dengan pegangan agama Islam dan budaya orang Melayu iaitu gabungan iman, amal dan ihsan yang berasaskan hujah-hujah ketauhidan kepada Allah yang diterjemahkan dalam bentuk ad-Din; hablul min Allah dan hablul min an-nas.

Berdasarkan premis di atas fenomena hubungan antara umur, kepercayaan agama dan taakulan akhlak mungkin terdapat dalam pembentukan skema taakulan akhlak (struktur pengetahuan akhlak) orang Melayu. Aspek kepercayaan agama yang menjadi pegangan hidup atau sebaliknya mengalami kelunturan mungkin mempengaruhi aspek taakulan akhlak mereka. Selain itu terdapat juga kemungkinan wujudnya kecelaruan antara pengaruh unsur-unsur selain unsur agama Islam dan budaya Melayu dalam skema taakulan akhlak mereka. Hal-hal yang berkisar dalam persoalan-persoalan ini akan cuba diterokai dalam kajian ini.

PDF

Hukum Hudud Bukan Potong Tangan Semata-mata

Hukum Hudud Bukan Potong Tangan Semata-mata
Pelaksanaan hukum hudud boleh mengurangkan statistik jenayah berdasarkan pengalaman di negara-negara yang melaksanakan undang-undang tersebut. Pengerusi Pertubuhan Multaqa dan Pendakwah Malaysia (Murshid) Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata melalui hudud, masyarakat akan disedarkan bahawa hukuman bukan sekadar memotong tangan, bahkan ada kebaikannya di sebaliknya.

“Hukum hudud bukan sahaja terhad kepada jenayah berat kerana ia turut melibatkan undang-undang rumah tangga, kewangan, kemasyarakatan. Jika dilaksanakan ia menjadikan masyarakat berada di puncak kebaikan. Kekuatan Islam akan terungkai apabila melaksanakan hukumnya. Kesempurnaannya juga dapat ditonjolkan dengan teratur,” katanya, semalam.

Dr Zaharuddin Abdul Rahman-Hukum Hudud Bukan Potong Tangan Semata-mata
Katanya, stigma potong tangan tidak lagi menjadi ketakutan masyarakat apabila melaksanakan hudud kerana proses untuk menjatuhkan hukuman tidak semudah itu. “Kalau penerangan jelas, orang akan ambil tahu. Tapi kalau ada juga yang melakukan jenayah, itu adalah orang yang paling jahat. Sekiranya seseorang didakwa melakukan jenayah tetapi tiada pembuktian yang kukuh, hukuman yang boleh dikenakan adalah hukuman takzir seperti hukuman yang mahkamah laksanakan sekarang.

Jadi tidak perlu potong tangan,” katanya. Bagaimanapun, katanya pelaksanaan hukum hudud memerlukan kesepakatan dan kuasa dua pertiga Ahli Parlimen bagi meluluskan pelaksanaannya. “Ahli Parlimen yang beragama Islam saya yakin lebih dua pertiga merentasi parti politik. Pelaksanaannya nanti akan memerlukan ilmu agama dari kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang,” katanya. -Sharian

Tak Tahu Tentang Hudud, Jangan Cakap – TG Haji Hadi

Tak Tahu Hukum Hudud, Jangan Cakap - TG Haji Hadi
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan supaya mana-mana pihak yang tidak mengetahui tentang hukum hudud supaya berhenti bercakap mengenainya kerana ia boleh menjejas orang lain yang sememangnya tidak memahami undang-undang Islam itu.

Beliau berkata mereka perlu sama sekali berhenti bercakap soal hukum itu kerana bimbang ia boleh mencelarukan lagi keadaan sedia ada.
“Ini bukan sahaja menimbukan kekeliruan malah ia merosakkan…Kalau tak tahu jangan cakap sepatutnya…Saya tak tuju kepada sesiapa. Mereka cakap pasal hukum hudud dan tak tahu apa…pada hal hukum hudud merupakan salah satu dari undang-undang jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semalam, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata umat Islam perlu berhati-hati mengeluarkan pendapat mengenai hudud kerana dikhuatiri jika tersilap lafaz ia boleh menjejaskan akidah dan syahadah mereka. Pada 11 Mei PAS telah membuat pusingan-U apabila mengambil keputusan menangguhkan rancangan mereka untuk membentangkan rang undang-undang itu dalam sidang Dewan Rakyat.

Pas juga telah bersetuju dengan cadangan penubuhan satu jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Kelantan untuk meneliti semula pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan. Selain itu, Abdul Hadi berkata Pas akan mengadakan sesi dialog bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di negeri Kelantan itu.
“Pas akan anjur dialog…sebenarnya dulu dah ada dialog dan kami bertanggungjawab memberikan penerangan supaya mereka faham mengenai hukum hudud ini,” katanya. -Astroawani

Hudud: Keindahan hukum Islam yang tidak diceritakan

Hudud: Keindahan hukum Islam yang tidak diceritakan

Januari 11, 2013

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

hukum3Soalan: Sebelah pihak mahu melaksanakan hukum hudud, sebelah pihak pula tidak mahu. Lagi satu berkaitan rejam. Seorang tokoh mengatakan rejam itu bukan hudud.

Jawapan:

Pertama sekali apabila kita menyebut tentang hudud, ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan tentangnya. Pertama, adakah kita tahu apa itu hudud dan apa itu hukum-hukum Allah SWT, ataupun ringkasnya kedudukan hudud didalam syariat Islam.

Ada beberapa topik yang perlu kita selesaikan. Pertama, hudud itu apa?

Yang digambarkan dan digembar-gemburkan, hudud itu adalah potong tangan, rejam orang sampai mati, pancung, sebat dengan rotan, salibkan seperti dalam peristiwa al-hirabah, itu yang digambarkan tentang hudud. Kita tidak menceritakan kefahaman yang benar kepada masyarakat tentang hudud. Begitu juga kepada orang-orang bukan muslim tentang apakah itu hukum had di sisi Allah SWT.

Para ulama apabila memberikan takrifan hudud mereka mengatakan,

عقوبة مقدرة شرعا على معصية يُغلَّب فيها حق الله

Maksudnya: “Satu hukuman yang muqaddar (telah ditentukan i.e. kaedah pelaksanaan, jumlah, dll) di sisi syarak, ke atas sesuatu maksiat yang dilakukan, tertumpu kepada perkara yang membabitkan hak Allah.”

Inilah yang membezakan antara hudud dan ta’zir. Di sana ada hak Allah, dan di sana ada hak manusia. Hak manusia ini juga yang membezakan antara hudud dengan qisas. Qisas lebih banyak membabitkan hak-hak manusia seperti hidung dibalas hidung, mata dibalas mata, iaitu dengan membalas balik dan diseimbangkan di antara hak manusia.

Adapun hukum hudud membabitkan hak Allah. Apa kaitan mencuri dengan potong tangan? Secara logiknya jika boleh barang itu dikembalikan semula kepada tuannya dilihat lebih bagus. Tetapi di dalam hudud hukuman tetap mesti dilaksanakan dan ianya tidak boleh dimaafkan. Tidak boleh diselesaikan dengan cara lain, hukuman tetap dikenakan ketika mana hal tersebut telah sampai kepada pemerintah. Apabila sampai kepada pemerintah, pemerintah wajib melaksanakan hukuman tersebut. Sebab sabda Nabi SAW,

تَعَافَوْا الْحُدُوْدَ فِيْمَا بَيْنَكُمْ فَإِذَا أَبْلَغَتِ الحُدُوْدُ السُّلْطَانَ فَلَعَنَ اللهُ الشَّافِعَ وَ الْمُشَفَّعَ

“Saling memaafkanlah di antara kalian, namun jika urusannya telah diangkat kepada pemerintah maka Allah melaknat orang yang memberi syafaat (menyelesaikan tanpa melaksanakan hukuman) dan yang diberi kemaafan).” (riwayat An-Nasa-i, pada kitab: Memotong Tangan Pencuri, Bab: “Batasan Tempat Menyimpan” no: 4885)

Kedua-duanya dilaknat oleh Allah; yang mencuri dan yang dicuri barangnya juga dilaknat kerana berusaha untuk tidak melaksanakan hukum tersebut. Tujuan hukum hudud yang paling jelas adalah untuk menjaga maqasid syariah iaitu untuk menjaga lima perkara yang asas; agama, jiwa, harta benda, nasab keturunan, dan untuk menjaga akal.

Contoh hukum hadd dan kaitannya dengan maqasid syariah; 1) Mencuri hukumnya potong tangan, hukuman mencuri adalah bertujuan untuk menjaga harta. 2) Zina bagi orang bujang hukumnya sebat dengan seratus kali sebatan, tujuannya adalah untuk menjaga nasab keturunan. Adapun bagi penzina yang sudah berkahwin, hukumnya rejam.

Rejam termasuk dalam hukum had (hudud)

Rejam termasuk dalam hukum had. Umar Al-Khatthab RA menyebut di dalam riwayat Imam Al-Bukhari secara jelas,

عَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ يَقُولُ قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ جَالِسٌ عَلَى مِنْبَرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ فَكَانَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ قَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا فَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ وَإِنَّ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أَحْصَنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ الْحَبَلُ أَوِ الِاعْتِرَافُ

Dari Abdullah bin ‘Abbas, dia berkata, Umar bin Al Khaththab berkata, -dan beliau duduk di atas mimbar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam-, “Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan membawa kebenaran, dan menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadanya. Kemudian di antara yang diturunkan kepada beliau adalah ayat rajam. Kita telah membacanya, menghafalnya, dan memahaminya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melaksanakan rajam, kitapun telah melaksanakan rajam setelah beliau (wafat). Aku khuwatir jika zaman telah berlalu lama terhadap manusia, akan ada seseorang yang berkata, ‘Kita tidak dapati (hukum) rajam di dalam kitab Allah’, sehingga mereka akan sesat dengan sebab meninggalkan satu kewajiban yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya rajam benar-benar ada di dalam kitab Allah terhadap orang yang berzina, padahal dia telah menikah, dari kalangan laki-laki dan wanita, jika bukti telah tertegak, atau terbukti hamil, atau pengakuan.” (riwayat Bukhari, Muslim, dan lainnya)

Hukum rejam adalah bagi penzina yang telah berkahwin. Banyak hadis-hadis bahkan hal ini telah dinukilkan secara ijma’ oleh para ulama kecuali beberapa ilmuwan kontemporari yang mereka melihat agak kurang sesuai hukum rejam dilaksanakan pada ketika ini maka mereka mengalihkan rejam itu daripada hukuman had kepada hukuman ta’zir. Dengan alasan-alasan seperti iman orang pada hari ini tidak kuat, tidak mampu membaling batu dengan cepat sampai mati. Dengan alasan-alasan sedemikian rupa dan suasana. Perkara seperti ini tidak kena, sebab ini adalah hukum had (ketetapan Allah) yang tidak boleh diubah. Firman Allah SWT,

تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللّهِ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.” (surah Al-Baqarah: 229)

Ini adalah ketetapan yang datang dengan kadarnya daripada syara’. Sebab itu ulama-ulama terdahulu telah ijma’ di dalam masalah ini dan tidak ada khilaf di kalangan mereka.

3) Seterusnya hukum al-hirabah (merompak) juga bertujuan menjaga harta dan nyawa. Merompak berbeza dengan mencuri. Mencuri dilakukan secara senyap manakala rompakan dilakukan secara terbuka seperti kes ragut, samun dan sebagainya. Allah SWT menyatakan hukumannya di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Maa-idah,

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan orang yang membuat kerosakan di muka bumi, mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang atau dibuang dari negeri. Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka mendapat siksaan yang besar.” (surah Al-Maa-idah, 5: 33)

Ini kerana merompak boleh mendatangkan hal yang bahaya kepada orang yang dirompak sehingga boleh terjadi kematian. Kita tidak boleh merasa teruk atau merasa kejam akan hukuman tersebut. Haram berada di hati umat Islam walau sedikit pun perasaan merasa kejam akan undang-undang Islam.

Bayangkan sekiranya sekumpulan orang dapat menangkap peragut, apa yang mereka akan buat kepada peragut tersebut? Kita telah lihat sendiri bagaimana orang membelasah peragut dan kita sendiri tidak sanggup melihatnya. Seperti yang boleh dilihat dari rakaman-rakama video, mereka sepak kepala, patahkan tangan peragut, dan membelasah dengan cara yang lebih teruk lagi. Itu bukan cara Islam tetapi lebih kejam daripada binatang.

Islam menyuruh hukuman dijatuhkan dengan cara yang terhormat, bukan dengan cara yang menghinakan. Islam menjatuhkan hukuman dengan cara yang menginsafkan manusia, tetapi cara yang digunakan pada hari ini sekadar membuat orang takut. Apabila hukuman tersebut tidak menginsafkan dan tidak mendekatkan manusia dengan Allah SWT, mereka mungkin akan melakukan jenayah dengan cara yang lain agar tidak ditangkap.

Ketika dilaksanakan hukum had, dibacakan ayat Al-Quran tentang hudud, diperdengarkan kepada manusia tentang kesalahan pelakunya yang melanggar perintah Allah SWT dan Allah berkehendak agar dilaksanakan hukuman ini. Dan setelah hukuman dilaksanakan didoakan semoga Allah mengampunkan dosanya. Malah mayat orang yang dihukum bunuh dimuliakan yakni diuruskan dengan baik, tidak boleh dihina, dicaci, dicerca dan seumpamanya. Ini adalah kerana dia telah sanggup menjalani hukuman dan semoga Allah menerima taubatnya.

4) Hukum had bagi peminum arak yang dilaksanakan oleh Nabi adalah sebatan 40 rotan, pada zaman Umar beliau RA menambah 40 rotan lagi. Hukum hududnya adalah sebatan 40 kali rotan, manakala ta’zirnya adalah 80 kali rotan. Mengapa Umar menambah bilangan sebatan? Bukan saja-saja tetapi di sana ada hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda yang maksudnya, “Sesiapa meminum arak maka pukullah dia, kemudian jika dia meminumnya lagi maka pukullah dia, kemudian jika dia meminumnya lagi, pukullah dia lagi, kemudian jika dia meminumnya lagi maka bunuhlah dia.” Tidak ada manfaat lagi hidupnya di muka bumi.

Hasil dari hadis ini, Umar bin Al-Khatthab RA berijtihad bahawasanya jika seseorang itu tidak mendengar, masih meminum arak, maka dinaikkan sedikit kadar sebatan. Asal kadar sebatan hudud yang ditetapkan adalah 40 kali sebatan. Lebih daripada 40 sebatan itu kembali kepada pemerintah di mana ia dipanggil hukum ta’zir.

5) Hukum qadzaf yakni menuduh seorang muslim yang lain berzina. Firman Allah SWT,

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang suci (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang-orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian yang mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (surah An-Nuur: 4)

Ini adalah di antara hukum had yang Allah SWT tetapkan dan untuk mensabitkannya bukanlah senang. Bukan orang mencuri terus ditangkap dan tangannya perlu dipotong pada keesokan harinya. Perlu melihat barang apa yang dicuri. Kalau dia mencuri kereta BMW, tidak dipotong tangannya sebab kereta BMW tersebut bukan disimpan dalam almari. Kereta itu diletakkan di luar rumah, tidak kira ia dikunci atau tidak. Barang yang tersimpan rapi di dalam almari atau peti besi itulah yang dikira dan termasuk dalam hukum ini. Itu pun dikira dengan kadar dinar emas.

Kemudian perlu dilihat pada saksi dan banyak lagi perkara yang dibahaskan oleh para ulama, antaranya jika tiada saksi tetapi ada qarinah, adakah dijatuhkan hukum hudud ataupun ta’zir. Ada yang mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana hudud mempunyai ketetapan maka hukum berpindah kepada ta’zir. Inilah cara Islam. Bukan apabila ditangkap sahaja pesalah terus dipotong tangannya.

Berlaku di Saudi di mana seorang lelaki membunuh seorang lelaki lain yang ada isteri dan anak. Ketika lelaki A itu membunuh lelaki B, isteri kepada lelaki yang dibunuh itu sedang mengandungkan anak. Hukum bagi kesalahan ini adalah qisas. Firman Allah SWT berkaitan qisas,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالأُنثَى بِالأُنثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاء إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ . وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَاْ أُولِيْ الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, qisas diwajibkan atasmu berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh. Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka, barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya, hendaklah mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Rabbmu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” (surah Al-Baqarah, 2: 178-179)

Apabila telah sabit kesalahan, betapa Islam mengajar bahawa mengampunkan kesalahan itu lebih baik. Maka ditunggu bayi si mangsa yang masih di dalam kandungan itu sehingga dia lahir dan kemudian sehingga anak itu besar untuk menanyakan kepadanya apakah dia memaafkan kesalahan orang yang membunuh bapanya.

Sekiranya didapati ada seorang sahaja di kalangan ahli keluarga mangsa yang memaafkan, walaupun semua yang lain tidak memaafkan, hukumnya tetap selesai dan dianggap kesalahan itu telah dimaafkan. Subhanallah, indahnya hukum Islam. Kemaafan itu lebih didahulukan daripada balasan.

Keindahan ini yang tidak diceritakan kepada masyarakat umum. Kalau kita pada hari ini boleh buat program khas untuk menceritakan tentang apa itu NKRA, apa itu 1Malaysia, apa itu Islam Hadhari, apa itu Negara Kebajikan dan sebagainya supaya masyarakat memahami misi dan wawasan kita, maka seharusnya kita menceritakan juga kepada masyarakat tentang kebaikan dan hikmah di sebalik hukuman had ini.

Jangan satu pihak sibuk hendak melaksanakan, manakala satu pihak mengatakan belum sesuai untuk dilaksanakan. Seharusnya kita berganding bahu dan bersama-sama memikirkan apa tindakan yang perlu kita lakukan agar suatu hari hukum ini dapat dilaksanakan. Ia tidak boleh diabaikan dan dihentikan usaha ke arahnya setelah merasakan ianya belum sesuai dilaksanakan, kerana hukum ini adalah hukum Allah SWT.

Kita kena usahakan dan memberikan alternatif sebagai contoh dengan menubuhkan badan tertentu yang tidak berkepentingan kerana ini adalah urusan Islam, bukan urusan parti. Undang-undang ini tidak boleh ditegakkan melalui parti-parti, sebaliknya melalui keseluruhan orang Islam itu sendiri tidak kira ianya dari parti mana.

Mereka yang mengatakan hudud tidak sesuai ini akan dituduh sebagai anti-hudud, walaupun mereka mengatakan mereka tidak tolak hukum Allah cuma ianya belum sesuai dilaksanakan. Satu pihak lagi mengatakan hudud kena dilaksanakan sekarang, tetapi apa penjelasan kalian kepada masyarakat dan apa usaha kalian ke arah pelaksanaan hukum ini? Dan apa keutamaan yang perlu didahulukan dalam keadaan sekarang di mana kelab malam masih banyak, rumah urut semakin banyak, arak dijual di merata tempat dan macam-macam perkara lagi yang belum selesai.

Sedangkan pada zaman Umar Al-Khatthab, Umar tidak memotong tangan orang yang mencuri ketika musim kemarau. Ini menunjukkan pelaksanaan hukum ini diraikan mengikut suasana. Sekiranya suasana tidak menutup pintu-pintu yang membawa kepada kemaksiatan, hukuman masih belum boleh dijatuhkan.

Maka kefahaman agama harus diberi keutamaan. Tutup ruang-ruang untuk melakukan maksiat dan jenayah. Sebab itu hukuman ini banyak dilaksanakan setelah hijrah Nabi SAW di mana pada ketika itu orang telah faham tentang Islam. Ini perkara-perkara yang perlu dititik beratkan. Penjelasan yang paling penting dalam tempoh yang seperti ini. Jika tiada penjelasan dan masing-masing berkeras dengan pendirian masing-masing, ianya hanya membawa kepada perpecahan dan pergaduhan yang tidak kunjung sudah sesama umat Islam.

Oleh kerana itu kita tidak boleh prejudis dan mempunyai kecenderungan kepada parti apabila berbicara tentang agama. Seharusnya kita mengulas tentang agama kerana kepentingan agama semata-mata, tidak ada alasan untuk kita berpolitik untuk isu seperti ini.

Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

http://www.youtube.com/watch?v=u8Sz79o43AA

Erik Paulsen Lawyers For Liberty menulis 20 Soalan mengenai Hudud PAS

Artikel perbandingan. Jawapan khusus dari Warga Prihatin akan menyusul di artikel lain.

1. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan terdapatnya perbezaan besar di antara golongan berada dan papa, di antara golongan paling kaya seperti Syed Mokhtar, Mokhzani Mahathir, Vincent Tan, Ananda Krishnan dengan mereka yang miskin, papa dan tiada tempat tinggal? Ia menjadi jelas apabila Indeks Pekali Gini (yang mengukur tahap ketidaksamaan dalam agihan pendapatan) menunjukkan Malaysia sebagai negara yang ke-3 paling tidak adil agihan pendapatannya di Asia.

2. Bolehkah hudud dilaksanakan dalam keadaan orang-orang kaya dan berkuasa biasanya terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang? Bilakah kali terakhir seorang VVIP didapati bersalah dan benar-benar menjalankan tempoh pemenjaraannya? Seterusnya, bolehkah hudud wujud apabila VVIP orang Islam masih duduk dalam Lembaga Pengarah Genting Berhad, memiliki saham dalam syarikat bir San Miguel atau mempunyai rangkaian kelab Hard Rock Café di dalam negara?
3. Adakah hudud (seperti undang-undang Syariah sekarang) diamalkan secara terpilih dan mempunyai kesan tidak seimbang terhadap golongan lemah dan miskin, manakala orang-orang kaya dan berkuasa dapat melepaskan diri daripada hukuman? Sebagai contoh, hanya orang Islam biasa dan buruh Indonesia yang akan disebat kerana minum arak, atau adakah akan terdapat menteri Umno, ahli kerabat diraja dan anak-anak mereka, serta para pelancong beragama Islam dari Timur Tengah juga yang akan disebat?
4. Dengan begitu banyak rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah sekarang ini dan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak-anak yang ditinggalkan suami), tidakkah pihak berkuasa mengambil kira apa yang akan berlaku jika mereka tersalah jatuh hukum seseorang yang tidak bersalah untuk dipotong tangan atau kakinya atau pun merejam dengan batu sehingga mati seorang wanita yang tidak bersalah?
5. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan untuk orang Islam, manakala orang bukan Islam tertakluk kepada undang-undang yang berbeza? Adakah adil, jika dua orang ditangkap di Kelantan atas sebab kecurian motosikal, seorang beragama Islam dipotong tangannya, sedangkan seorang lagi yang bukan Islam dipenjara selama setahun?
6. Bolehkah hudud hanya dilaksanakan di Kelantan sahaja, manakala negeri-negeri lain di negara ini melaksanakan undang-undang jenayah sedia ada? Adakah adil jika dua orang lelaki Islam yang ditangkap kerana kecurian motosikal, satu di Kelantan dan satu lagi di Selangor; lelaki di Kelantan itu dipotong tangannya, sedangkan lelaki di Selangor dipenjara selama setahun?

7. Bolehkah hudud wujud beriringan dan selaras dengan undang-undang jenayah sedia ada yang jauh lebih menyeluruh daripada kesalahan hudud yang terhad, walaupun ditambah dengan kesalahan-kesalahan takzir, qisas dan diyat? Adakah adil jika seorang lelaki Islam ditangkap kerana kecurian motosikal di Kelantan dan tangannya dipotong manakala seorang lelaki Islam yang ditangkap kerana pecah amanah (sama ada di Kelantan atau sebaliknya) untuk jumlah yang jauh lebih besar daripada kos motosikal itu pula dipenjarakan selama setahun?

8. Adakah adil jika dua lelaki yang ditangkap kerana rogol di Kelantan, seorang lelaki Islam hanya dihukum di bawah takzir mengikut budi bicara hakim, manakala lelaki bukan Islam dipenjarakan sekurang-kurangnya lima tahun dan juga disebat di bawah undang-undang jenayah yang sedia ada?
9. Adakah adil bagi mangsa rogol Islam untuk didedah kepada kemungkinan pertuduhan zina atau qazaf (tuduhan palsu zina) jika dia gagal memberikan keterangan atau saksi yang mencukupi? Apa yang berlaku dalam keadaan seorang wanita atau gadis hamil kerana dirogol sama ada dengan kekerasan atau pun rogol bawah umur? Adakah ianya akan diambil sebagai bukti muktamad kejadian zina jika dia, meskipun mangsa rogol, tidak dapat menyangkal tuduhan kerana beban bukti yang tidak seimbang?
10. Adakah adil, jenayah rogol, suatu kesalahan yang lebih serius daripada zina, hanya diklasifikasikan sebagai kesalahan takzir yang boleh dihukum mengikut budi bicara hakim manakala orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina akan direjam dengan batu sehingga mati?

11. Adakah adil, kerana tidak ada kesalahan hudud untuk penipuan secara besar-besaran, penyelewengan, pecah amanah, rasuah (contohnya skandal “peminjaman” NFC dan penyelewengan RM250 juta dana kerajaan) manakala seseorang yang mencuri motosikal akan mendapati tangannya dipotong?

12. Adakah adil jika hanya lelaki Islam sahaja yang biasanya dianggap berkelayakan untuk memberi keterangan manakala keterangan wanita dan orang bukan Islam tidak diterima atau mempunyai nilai yang lebih rendah? Mengapa harus orang bukan Islam terutama wanita melibatkan diri dalam undang-undang jenayah Islam yang memang memperlakukan keterangan orang bukan Islam atau wanita sebagai bersifat lebih rendah nilainya daripada orang lelaki Islam?
13. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Bagaimana jika pelaku orang Islam mendesak untuk memakai hudud (kerana beban pembuktian yang lebih tinggi dan kurangnya nilai keterangan orang bukan Islam), manakala mangsa bukan Islam tidak ingin berserah kepada bidang kuasa perundangan Islam?
14. Bidang kuasa manakah yang terpakai – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku bukan Islam dan mangsanya orang Islam? Bagaimana jika mangsa Islam menuntut hanya hudud yang dapat memberikan keadilan dan hukuman yang setimpal?
15. Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Bolehkah pelaku orang Islam meminta diadili di bawah undang-undang jenayah sedia ada kerana dia tidak mahu tangannya dipotong? Atau dia boleh memilih hudud kerana beban pembuktian yang lebih tinggi, yang membolehkan dirinya melepaskan diri daripada hukuman?
16. Bagaimana hudud akan dapat berfungsi jika ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam? Bolehkah pihak berkuasa memaksa orang bukan Islam untuk membantu dalam penyiasatan atau memberi keterangan di Mahkamah? Adakah keterangan mereka bernilai?
17. Adakah adil jika orang bukan Islam yang membantu dan bersubahat dengan orang Islam yang melakukan kesalahan untuk dilepaskan, manakala orang Islam itu pula tertakluk kepada hukuman rejam dan sebat dalam kes-kes zina dan syurb (pengambilan alkohol)?
18. Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Adakah ianya tidak tergolong sebagai penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan? Bagaimana jika Israel mahu mengenakan hukuman undang-undang Yahudi yang sama, yang terdapat dalam Taurat (yang berkongsi asas  hukuman yang sama dalam Al-Quran) terhadap rakyat Palestin yang menentang pemerintahan mereka?
19. Adakah pihak berkuasa prihatin terhadap kemungkinan kematian ataupun sebarang komplikasi lain yang mengancam nyawa akibat pemotongan anggota badan? Siapakah yang akan bertanggungjawab?

20. Bagaimanakah hukuman ini dijalankan? Siapakah yang akan memotong, menyalibkan dan membaling batu sehingga mati itu? Adakah dilakukan oleh pegawai-pegawai Mahkamah, “profesional” terlatih, saksi, mangsa-mangsa jenayah atau ahli keluarga mereka atau orang ramai? Adakah hukuman ini dilakukan di khalayak ramai atau secara rahsia? – 15 Disember, 2014.

* Eric Paulsen ialah pengasas bersama dan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty.

Erik Paulsen daripada kumpulan Lawyers For Liberty menulis mengenai Hudud: 20 Soalan Untuk PAS dengan mengajukan 20 soalan yang paling kerap ditanya. Saya tidak menjawab bagi pihak PAS dan saya tiada mandat untuk berbuat demikian. Jawapan saya ini berdasarkan pemahaman saya kepada undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang saya tekuni sejak lebih 20 tahun lepas.

Sebelum itu, harus difahami hudud bukan satu-satunya undang-undang jenayah Syariah yang terkandung dalam ajaran Islam. Selain hudud, qisas dan takzir juga menjadi sebahagian daripada undang-undang jenayah syariah yang menjadi perintah agama Islam.

Undang-undang jenayah Syariah boleh dilaksanakan dalam apa jua keadaan kerana ia bersifat universal. Ia kalis zaman dan tempat kerana mengandungi 3 bentuk: hudud, qisas dan takzir. Ketiga-tiganya saling melengkapi. Hukuman hudud dipindah kepada takzir. Jika berlaku apa-apa sebab yang membolehkan ianya digantung pelaksanaan maka ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sumber yang lazim diambil adalah penggantungan pelaksanaan hukuman sariqah (mencuri) pada zaman Sayyidina Umar pada musim kemarau dan kebuluran. Dengan membawa persoalan sama ada boleh atau tidak undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dalam keadaan wujud perbezaan besar antara orang kaya dan orang miskin adalah seolah-olahnya merendahkan dan menghina orang miskin itu lazimnya melakukan jenayah sariqah dan merendahkan martabat orang kaya kononnya orang kaya selalu dapat membeli pihak hakim dan pendakwa dengan wang ringgit mereka bagi mengelakkan hukuman tersebut. Dalam tradisi Islam, kemuliaan seseorang bergantung kepada sifat takwa yang dimilikinya, sebab itu yang lebih afdal untuk menjadi imam solat adalah seorang yang pandai dalam ilmu qiraat walaupun beliau seorang yang miskin atau berjawatan rendah.

Sebagai seorang peguam, seharusnya saudara lebih faham hukuman hanya dapat dijatuhkan apabila cukup bukti. Tiada statistik dikemukakan orang kaya dan berkuasa boleh terlepas daripada pelaksanaan undang-undang. Jika ada sekali pun, mungkin penulis itu merujuk kepada persepsi yang ada sekarang dalam pelaksanaan undang-undang sivil. Kerana itu, saya yakin jika undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan maka VVIP yang menduduki jawatan syarikat bir juga tidak terlepas daripada hukuman jika ianya memenuhi elemen kesalahan syurb (minum arak). Selain itu, hendaklah difahami berjudi tidak termasuk dalam kesalahan hudud seperti yang digambarkan dan ianya tertakluk kepada kesalahan takzir.

Undang-undang syariah tidak membezakan siapa sahaja yang berbuat kesalahan sama ada beliau orang berkuasa dan kaya atau orang itu miskin dan lemah atau pelancong yang beragama Islam. Sesiapa yang melakukan kesalahan di dalam wilayah yang berbidang kuasa hendaklah didakwa dan kehendak ini adalah jelas terkandung dalam Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan [“KJS”]. Para hakim dan pendakwa di dalam sistem Mahkamah Syariah dipandu bukan saja dengan peraturan yang ada bahkan mereka juga mempunyai nilai nurani yang tinggi dalam menjalankan tugasnya.

Berkaitan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak yang ditinggalkan suami) pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertindak secara proaktif dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk membantu ibu tunggal yang teraniaya ini. BSK ini akan membantu menyediakan kemudahan logistik kepada ibu tunggal ini dalam penguatkuasaan terhadap suami atau bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab nafkah ini.

Berkaitan kekhuatiran akan berlaku salah hukum seperti silap memotong tangan atau merejam adalah pandangan yang tersasar kerana ukuran itu dibuat menggunakan neraca pembuktian sistem jenayah sivil. Di dalam Hukum Syarak, pembuktian ke atas kesalahan hudud dan qisas hendaklah melampaui sebarang bayang-bayang keraguan (beyond any shadow of doubt) dan bukan setakat melampaui keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt).

Menurut KJS juga, terdapat 2 peringkat perbicaraan yang mana terdapat 3 hakim membicarakan di peringkat Mahkamah Bicara Khas dan terdapat 5 hakim di peringkat Mahkamah Rayuan Khas. Komposisi hakim juga terdiri daripada ulama yang alim hukum fiqh dan prosedur jenayah dan bekas atau hakim Mahkamah Sivil yang setara dengan hakim Mahkamah Tinggi Malaya/ Borneo ke atas.

Oleh kerana begitu ketat kaedah pembuktian dan penelitian keterangan hakim yang berpengalaman maka mustahil untuk berlaku kesilapan. Bahkan, menurut tatacara yang terpakai, hukuman yang dikenakan itu masih boleh dibatalkan sejurus sebelum hukuman itu dilaksanakan jika ada sebarang keraguan baru ke atas sabitan kesalahan tersebut.

Undang-undang jenayah Syariah ini bersumberkan hukum agama Islam. Oleh itu, orang Islam akan terikat dengannya manakala orang bukan Islam mempunyai pilihan untuk memilih dihukum dengan hukuman ini atau di bawah hukuman sivil. Hal ini disebut secara nyata di dalam KJS.

Bagaimanapun, ianya masih tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka ianya adil kepada orang Islam kerana dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah ini maka ianya memenuhi keperluan beragama bagi orang Islam. Manakala, bagi orang bukan Islam sedikit pindaan kepada kerangka undang-undang yang ada akan membolehkan juga orang bukan Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Undang-undang jenayah syariah ini adalah sebahagian daripada undang-undang Islam dan menurut Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal berkaitan undang-undang jenayah Syariah ini hanya boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Maka, Kelantan adalah perintis kepada perlaksanaan hukuman ini sebagaimana kehendak majoriti rakyat Kelantan. Jika ada negeri lain ingin melaksanakannya maka terpulang kepada rakyat negeri tersebut untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri yang mempunyai komitmen sama. Maka, itulah akhirnya yang berlaku dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Yang tidak adil adalah jika kedua-dua pesalah itu ditangkap di Kelantan atas kesalahan sariqah, seorang dipotong tangan dan seorang lagi dihukum penjara.

Penulis mempersoalkan kenapa dalam kes sariqah seperti mencuri motosikal seorang itu dipotong tangan tetapi dalam kes pecah amanah seseorang itu hanya dihukum penjara. Ini salah tanggapan. Jika cukup elemen sariqah dalam kes pecah amanah maka tangan pesalah itu juga boleh dipotong juga menurut hukum Syarak. Namun, bukan semua kesalahan pecah amanah itu mempunyai elemen yang mencukupi bagi sabitan di bawah kesalahan sariqah.

Salah tanggapan untuk menyatakan kesalahan rogol dan zina adalah sama. Para ulama menyatakan rogol adalah kesalahan zina bil jabr. KJS pula hanya memperuntukkan kesalahan zina tanpa termasuk kesalahan rogol. Oleh kerana kerangka undang-undang sekarang mengecualikan orang bukan Islam daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka orang bukan Islam itu tidak akan dihukum atas kesalahan zina. Bagi kesalahan rogol pula, orang bukan Islam atau orang Islam kedua-duanya akan dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Salah tanggapan untuk menyatakan mangsa rogol akan terdedah kepada kesalahan qazaf (tuduhan palsu zina) kerana kesalahan rogol berada di luar bidang kuasa KJS. Begitu juga berkaitan kehamilan sebagai bukti zina. Saya percaya Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan bersetuju memansuhkan peruntukan ini dan pindaan akan dibuat dalam sidang DUN Kelantan yang akan datang.

Undang-undang adalah adil dan saksama. Hukuman rejam ke atas pesalah zina yang muhson adalah sabit mengikut sunnah dan amalan sahabat. Inilah pandangan jumhur para ulama. Pensabitan jenayah zina amat ketat iaitu hendaklah disaksikan oleh tidak kurang 4 saksi lelaki adil yang menyaksikan sendiri jenayah zina itu berlaku seumpama seorang menyaksikan batang celak dimasukkan ke dalam bekas celak. Selain itu, sabitan juga boleh dibuat dengan pengakuan pesalah itu sendiri. Bagi sabitan atas pengakuan, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum hukuman dilaksanakan. Maka tidak tepat untuk menyatakan hukuman zina muhsan itu tidak adil. Begitu juga adalah tersasar untuk membandingkan kesalahan zina dengan rogol kerana rogol berada di luar daripada bidang kuasa KJS.

Tidak adil semata-mata untuk membandingkan kesalahan pecah amanah atau rasuah dengan jenayah sariqah. Kesalahan itu pula mempunyai elemen berbeza yang perlu dibuktikan. KJS hanya memperuntukkan kesalahan yang bertentangan dengan ‘precepts of Islam’ sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di sisi hukum Syarak, hukuman yang dikenakan tidak berdasarkan besar atau kecil jumlah yang terlibat, tetapi berdasarkan jumlah minima harta yang terlibat dinamakan sebagai nisab. Kadar nisab yang ditetapkan ulama adalah jumlah yang senilai dengan harga emas semasa sebanyak 4.45 gram.

Hukumannya pula hanya ada satu iaitu hukuman potong anggota badan jika berlaku sabitan tanpa diambil kira besar atau kecil jumlah. Mungkin ahli kriminalogis boleh mengkaji falsafahnya kenapakah ditetapkan sebegitu sama ada disebabkan kelakuan pencuri yang akan tetap mencuri tanpa mengira jumlahnya tetapi melihat kepada peluang untuk mencuri.

Perbezaan nilai keterangan saksi wanita dan bukan Islam berbanding kesaksian lelaki Islam itu adalah kehendak hukum syarak. Hikmahnya, para wanita dan orang bukan Islam tidak mempunyai liabiliti dan beban untuk menjadi saksi. Menjadi saksi bukanlah satu kelebihan (privillege) tetapi beban yang harus ditanggung. Tiada mana-mana saksi yang dapat bersenang-senang di dalam kandang saksi menghadapi soal balas yang bertubi-tubi daripada peguam. Oleh itu, Islam sebenarnya memuliakan wanita dengan mengangkat beban saksi daripada bahu mereka. Harus diingat juga, perbahasan ini adalah dalam konteks kes jenayah dan bukan kes mal (sivil) kerana kes mal mempunyai beban bukti dan keterangan yang lebih rendah berbanding dengan kes jenayah. Begitu juga tahap penerimaan kesaksian wanita dan bukan Islam juga adalah berbeza dalam kes mal dan jenayah.

Berkaitan bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Isu ini sebenarnya dijawab Hakim Gopal Sri Ram semasa membuat keputusan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang didakwa rentetan kes liwat pertama bekas timbalan perdana menteri dahulu. Mahkamah menyatakan orang itu boleh didakwa di mana-mana mahkamah yang berbidang kuasa.

Namun jika kedua-dua mahkamah itu mempunyai bidang kuasa maka suspek tersebut hanya boleh didakwa sekali saja. Inilah pemakaiannya bagi orang Islam. Bagi orang bukan Islam, KJS memberikan pilihan kepadanya sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah syariah atau sivil. Namun, dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang orang bukan Islam hanya tertakluk kepada kuasa mahkamah sivil. Justeru, usaha melobi boleh diteruskan supaya orang bukan Islam dapat memilih untuk dibicarakan di mahkamah Syariah.

Jika mangsa itu orang Islam dan suspek bukan Islam maka dalam kerangka Perlembagaan yang ada suspek akan dibicarakan di mahkamah sivil. Ini kerana bidang kuasa ditentukan berdasarkan si pesalah dan bukan si pengadu.

Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Ini juga dinyatakan suspek hanya boleh didakwa sekali saja kerana jika didakwa dua kali, ianya akan menjadi ‘double jeopardy’. Oleh itu, bergantung kepada pihak pendakwa untuk memutuskan di mahkamah mana suspek akan didakwa.

Hudud tetap akan berfungsi meskipun buat masa kini orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Saya sendiri pernah melihat orang bukan Islam memberikan keterangan dalam kandang saksi di Mahkamah Syariah. Tidak timbul soal keterangan mereka tidak bernilai kerana kesaksian mereka dianggap sebagai ‘bayyinah’.

Orang bukan Islam yang bersubahat untuk melakukan jenayah tidak harus dilepaskan. Dalam konteks perundangan yang ada sekarang pun, pengusaha pusat judi diberikan panduan untuk tidak membenarkan orang Islam memasuki sebarang premis perjudian dan boleh diambil tindakan ke atas mereka melalui tindakan menarik balik lesen jika mereka melanggar peraturan tersebut. Begitu juga dalam konteks minum arak, peraturan boleh digubal untuk tidak membenarkan mana-mana pengusaha kedai arak menjualnya kepada orang Islam. Bagi orang Islam yang minum arak pastinya tertakluk kepada hukum Islam yang terpakai ke atasnya.

Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Jawabnya, pernahkah kita terfikir kesalahan yang dibuat itu juga sama primitif dengan hukumannya! Perbuatan zina, hirabah (rompakan menggunakan kekerasan), syurb (minum arak), sariqah (mencuri), qatl (membunuh) dan lain-lain adalah jenis kesalahan yang sudah dibuat penjenayah sejak berabad yang lampau.

Sekiranya kesalahan primitif ini tidak diubati dengan hukuman yang sama primitif, tentulah jenayah tersebut akan tetap berleluasa. Kita sering membaca keratan akhbar betapa seorang mencuri itu akan tetap mencuri setelah beliau keluar penjara. Sewaktu mengendalikan satu kes jenayah di mahkamah majistret beberapa tahun lalu, saya pernah mendengar permohonan mitigasi daripada seorang suspek yang mengaku salah atas kesalahan mencuri.

Apabila pendakwa mengemukakan fakta sabitan lampau, saya amat terkejut kerana pesalah itu sudah mempunyai 9 sabitan lampau berkaitan kes curi dan secara langsung saya terfikir dalam Islam paling kerap seorang pesalah boleh mencuri hanyalah 3 kali kerana selepas itu beliau sudah kehilangan 2 tangan dan 1 kaki. Pada saya inilah hakikat perikemanusiaan sebenar. Manakala, bandingan dengan pelaksanaan undang- undang Taurat ke atas Palestin itu adalah sangat jauh? Bolehlah pula saudara Paulsen jelaskan apakah butiran undang-undang Taurat tersebut?

Pemotongan anggota badan akibat hukuman hudud atau qisas itu mempunyai kaedah ditetapkan dan akan dipantau pakar perubatan yang akan ditauliahkan sendiri oleh sultan. Kebanyakan komplikasi yang berlaku disebabkan jangkitan kuman, maka luka akibat itu perlu dipastikan tidak berlaku jangkitan kuman.

Mengikut kehendak syarak, hukuman itu perlu disaksikan orang ramai. Namun, berapakah jumlah orang ramai yang boleh menyaksikannya itu tertakluk kepada perintah mahkamah. Begitu juga tempat hukuman juga ditetapkan perintah mahkamah. Mengikut makluman, kerajaan Kelantan juga mendrafkan kaedah bertulis mengenai tatacara sebat, potong anggota badan, salib dan rejam. Yang akan melaksanakannya pula adalah profesional terlatih sebagaimana amalan sebat di penjara sivil sekarang yang dijalankan pegawai penjara yang dilatih – 22 Disember, 2014.

* Dr Zulqarnain Lukman ialah peguambela & peguamcara dan peguam syarie (Selangor dan Wilayah Persekutuan).

Tidak adil menilai hudud ikut Global Peace Index

DR. ZUHDI MARZUKI | 08 Mei 2014.

1. Saya berpandangan tidak adil untuk menjadikan ranking The Safest Countries yang lazimnya berdasarkan Global Peace Index untuk menilai keberkesanan Undang-undang Islam (Hudud) untuk mencegah jenayah. Indeks tersebut berdasarkan banyak parameter bukan sekadar kadar jenayah (criminal rate).

2. Termasuk dalam parameter indeks keamanan global itu ialah kadar insiden keganasan, insiden konflik dalaman, hubungan harmoni dengan negara jiran, jumlah perbelanjaan pertahanan, jumlah anggota pasukan keselamatan, sumbangan terhadap misi keamanan PBB dan lain-lain.

3. Kalau berdasarkan parameter ini memanglah Arab Saudi dan Pakistan tertinggal ke belakang, kerana negara ini dijadikan medan untuk menghadapi terroris oleh kuasa besar sendiri. Hubungan Pakistan dengan India sampai sekarang hampir mustahil boleh distabilkan. Oleh sebab itu mengambil indeks ini untuk menilai keberkesanan Islam dan hukumnya untuk mengekang jenayah adalah tidak tepat.

4. Sepatutnya lebih sesuai diambil secara spesifik kadar jenayah yang berlaku dalam 100,000 penduduk sesuai dengan tujuan hukum jenayah Islam (hudud) adalah berkaitan dengan jenayah.

5. Kalau diambil kadar jenayah (criminal rate) negara-negara yang dikatakan paling selamat itulah yang tertinggal, sebagai contoh kadar rogol berdasarkan statistik 2009:

a. Sweden berada di kedudukan kedua dengan 53.2 kes per 100,000 penduduk
b. New Zealand di kedudukan ketiga dengan 30.9 kes
c. Ireland di kedudukan kelima dengan 22.3 kes
d. Iceland di kedudukan keenam dengan 21.6 kes

6. Keempat-empat negara ini berada di kedudukan teratas dalam Global Peace Index dari segi negara paling selamat diduduki. Negara-negara Islam termasuk yang melaksanakan sepenuh atau sebahagian hukum Islam adalah antara paling rendah kes rogol, contohnya Sudan kadarnya 2.9 dan Maldive 3 dalam 100,000 penduduk.

7. Berhubung dengan jenayah bunuh dengan niat pula, berdasarkan indeks kadar jenayah global, kadar bunuh di Arab Saudi adalah 0.8 kes bagi 100,000 penduduk dan UEA juga 0.8, lebih rendah daripada New Zealand 0.9, Sweden 1.0, Australia 1.0, Ireland 1.2, Kanada 1.6, Finland 2.2 dan US 4.8.

8. Bagi kejadian rompakan pula, kejadian rompakan di Arab Saudi (statistik tahun 2000) hanya 2.9 kes bagi 100,000 penduduk, Pakistan (tahun 2000) 0.1 kes, Qatar (tahun 2004) 2.6 kes dan Brunei (tahun 2006) 0.5 kes, berbanding dengan US (tahun 2006) 146.6 kes, Sweden (tahun 2006) 94.2 kes, Australia (tahun 2002) 81.8 kes, New Zealand (tahun 2006) 59.7 kes, Ireland (tahun 2006) 55.7 kes, Switzerland (tahun 2006) 54.6 kes dan Finland (tahun 2006) 32.3 kes.

9. Jelas sekali berdasarkan angka-angka itu dari segi kadar jenayah dan kejadian jenayah-jenayah tertentu negara-negara yang melaksanakan secara sempurna atau sebahagian hukum jenayah syariah lebih berjaya dari negara-negara Scandinavia yang dibanggga-bangggakan. Pakistan selalu dijadikan sebagai model buruk perlaksanaan hukum jenayah syariah, sedangkan semua maklum negara itu adalah negara yang politiknya tidak stabil dan banyak berlaku konflik dalaman disebabkan pengaruh kuasa-kuasa dunia yang terlibat dalam politik serantau.

10. Jumlah penduduk Pakistan pula lebih dari 180 juta, justeru amat dangkal untuk membandingkan dengan negara yang jauh daripada konflik dan tidak menjadi medan percaturan kuasa-kuasa dunia seperti di Sweden, Switzerland, Finland dan Iceland, apatah lagi penduduk mereka yang begitu sedikit seperti Iceland hanya 300,000, Finland 5 juta, Switzerland 8 juta dan Sweden 10 juta. Dalam keadaan konflik dan penduduk yang begitu ramai, Pakistan masih dapat mengatasi beberapa negara ini dalam aspek-aspek jenayah.

Copyright © 2014 Harakah.

Awang asks Aisyah to apologise and repent

| March 22, 2015
Awang asks Aisyah to apologise and repent

Otherwise putusan aisyahresenter will be viewed as pro-DAP and liberal, say Utusan editors

KUALA LUMPUR: Aisyah Tajudin, featured in the controversial BFM video on hudud, should apologise and repent for insulting Islam, editors of the Umno-owned Utusan Malaysia said today in their weekly column.

Awang Selamat, the collective pseudonym for the paper’s editors, said that if Aisyah did not, she would be viewed as supporting the ideology of the DAP, which opposes Islamic law and hudud criminal justice, and trying to win support from liberals.

The columnist said the satirical video, in comparing hudud and nasi lemak, was extremely rude (biadap).

If she did not understand Islam, she should remain quiet, Awang said.

The radio station must take full responsibility for the matter, even though it had taken down the video and had made a public apology. Aisyah should do likewise, Awang said, adding that she could not fault those who criticised her or made threatening comments.

She had brought it upon herself, Awang said. Neither she nor BFM could wash their hands of the matter

Terengganu sedia ikut jejak Kelantan laksana hudud

  • Ahmad Razif Abdul Rahman
  • Ahmad Razif Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU – Terengganu sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, proses ke arah itu akan diperhalusi termasuk melihat bagaimana ia dilaksanakan di Kelantan.

“Jika masyarakat faham dan bersedia, Terengganu tiada masalah untuk melaksanakannya,” katanya.

Dun Terengganu telahpun meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu pada 2002.

Menurut Ahmad Razif, enakmen itu akan diperhalusi dan pelaksanaannya dibuat secara beransur-ansur.

“Biar masyarakat faham dahulu dan kita tidak menimbulkan kontroversi, insya-ALLAH. Penerimaan bukan Islam juga perlu diberikan perhatian supaya perlaksanaan dapat dibuat dengan lancar,” katanya.

Ahmad Razif berkata, buat masa ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus pada integriti iaitu daripada aspek ingin membawa Islamisasi di Terengganu.

“Integriti juga konsep Islam, kita berikan penekanan pada perkara ini dahulu,” katanya.

Menurutnya, pendekatan yang diamalkan Terengganu kini adalah tarbiah iaitu mendidik masyarakat ke arah memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

“Sebab itu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta melaksanakan dari segi konsep tarbiah dan mendidik, iaitu konsep memberi nasihat terlebih dahulu sehingga rakyat faham.

Begitu juga dengan pelaksanaan hukum di Terengganu, apa yang perlu dilakukan ialah secara berhemah dan berperingkat supaya rakyat lebih faham kerana jika tidak, ia akan menimbulkan banyak kontroversi serta rasa tidak puas hati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah dan menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, setelah lebih 20 tahun undang-undang itu diluluskan pada 1993.

Ahmad Razif berkata, sebagaimana wakil rakyat Umno Kelantan menyokong pelaksanaan undang-undang Islam itu, beliau mengharapkan Pas akan turut mendapatkan sokongan di peringkat parlimen kelak.

“Kita sedia maklum, kalau mengharapkan sokongan ahli Parlimen Umno sahaja, tidak cukup. Jadi dia (Pas) kena pastikan PR turut menyokong. Kalau PR sendiri tidak menyokong, saya tidak tahulah.

“Jadi saya harapkan pihak Pas tarbiahkan dahulu rakan-rakan PR supaya mereka menyokong, seperti Umno menyokong pelaksanaan hudud,” katanya selepas pelancaran Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT) di Wisma Darul Iman, semalam.

Rumah Asnaf & Anak Yatim | Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akhlak | Kajian Pembangunan Tamadun Islam Moden