Category Archives: Sekolah Alam

image_pdf

Sekolah Alam 7 KONSEP UPAH DALAM BASMALAH WALIMATUL URUS

SEKOLAH ALAM 8 – BAH 1 : Talut & Jalut – Melintasi Maksiat Untuk Mengambil Pelajaran

Sekolah Alam ke 8 – sekilas ulasan

00 sek alam 8.SEKILAS NOTA SEKOLAH ALAM 8Alhamdulillah, kami baru sahaja kembali semula ke Kajang Selangor selepas 4 hari dalam Kembara Sekolah Alam yang ke-4 kami di Pantai Timur. Ramai juga antara anak-anak bahkan sebahagian dari kami sendiri yang tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke Pantai Timur.

Perjalanan bermula dari Kajang pada jam 11 malam 25 Mac 2014. Kali ini agak berbeza sedikit dari Sekolah Alam sebelum ini yang mana hampir keseluruhan pengurusan bagasi diuruskan oleh anak-anak sendiri. Anak-anak diberi tugasan untuk menguruskan bagasi menggunakan sistem yang mereka fikirkan terbaik sehingga bagasi akan tiba ke dalam bilik sebelum pemiliknya masuk.

Juga berbeza kerana kami berjalan dengan 2 unit bas yang diiring oleh 2 marshall menggunakan kenderaan pacuan 4 roda. Perjalanan agak lancar melalui Gua Musang, merentasi malam dan kabus tebal. Rombongan hanya berhenti solat subuh di Kuala Krai, dan kami tiba dengan selamatnya pada pagi hari berikutnya. Sepanjang perjalanan itu hanya berteman riuh rendah komunikasi radio antara 4 kenderaan yang berada dalam rombongan ini. Warga yang kepenatan membuat persiapan mengambil peluang berehat dalam perjalanan itu buat mengumpul tenaga.

Ketibaan kami di Kelantan disambut mesra oleh host kami yang juga salah seorang dari pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin iaitu keluarga Cikgu Mejar Awang Abdullah dan isteri beliau Puan Nik Azlina.

Ketibaan kami turut disambut oleh Cik Linda yang merupakan pemilik kepada Citara Linda Katering (www.facebook.com/CitarasaLindaKatering) yang hadir untuk memberikan sumbangan beberapa kampit beras berkualiti tinggi, sumbangan wang tunai dan menawarkan khidmat memasak kambing golek untuk malam esoknya. Alhamdulillah, kami doakan Cik Linda akan terus berjaya dalam perniagaan serta mendapat jodoh yang baik dan bahagian hidup di dunia dan akhirat. Amin.

Kedudukan rumah Cikgu Awang setentang benar dengan madrasah tahfiz milik Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mantan Menteri Besar Negeri Kelantan Darul Naim. Di rumah Cikgu Awang juga, anak-anak nisa’ kami menginap. Anak-anak rijal pula mengambil tempat di ‘inap desa’ sebaris dan sepelaungan sahaja dari Madrasah Tok Guru.

Selepas semua membuat kemasan yang patut dan semua team pemandu, pembantu pemandu, pengiring-pengiring dan ibu-ibu yang bertungkus lumus sepanjang perjalanan mula mendapat rehat sekadarnya, kami dipelawa oleh CEO Elham-Q Agro Farm untuk melawat ladang kambing beliau di Jelawat, Bachok.

Kami bersetuju dan membawa anak-anak untuk merasai suasana ladang dengan melawat kawasan penternakan kambing itu. Banyak yang ditanyakan oleh anak-anak tentang penternakan kambing, dari cara mengukur umur kambing sehingga pemasaran kambing itu sendiri.

Pengalaman baru buat anak-anak bila berada dalam sebuah ladang kambing sebesar itu tanpa bau busuk. Najis ternakan itu dibersihkan secara berkala dan dirawat dengan Efektif Mikro-organism (EM). Tidak seperti ladang penternakan yang biasa kami lihat dengan bau yang busuk dan hanyir sekali.

Seronok juga apabila melihatkan anak-anak dari sekecil 3 tahun menghalau kambing untuk minum dan terus menghalau kambing masuk ke kandang. Itulah pengalaman anak-anak ini menjadi pengembala dan dalam masa yang sama menerokai pelbagai pengetahuan melalui pengalaman dan pembelajaran laduni.

Kami pulang selepas mengakadkan pemberian seekor kambing dari Elham Q Agro Farm kepada Rumah Pengasih Warga Prihatin. Alhamdulillah, ini kambing yang kedua kami perolehi selepas Siti Haslinda Abdullah (yang sebenarnya tidak mahu namanya disebut, tetapi kami yang sebut tidak mengapa dan ia tidak menjejaskan pahala beliau).

Malam hari pertama berlalu dengan anak-anak, ibu-ibu dan bapa-bapa menjalankan perkongsian pemerhatian dalam “pack” masing-masing selepas makan malam. Selepas itu kami merencana apa yang bakal dijalankan esok harinya.

HARI KEDUA, kami mulakannya dengan solat Subuh berjemaah di Masjid TGNA di Pulau Melaka. Sempat juga kami beramah mesra sedikit dengan TGNA. Kami bukan menyokong mana-mana parti tetapi kami lihat, wajarlah TGNA sangat dihormati oleh kawan dan lawan beliau sendiri.

Seorang bekas Menteri Besar yang mentadbir melebihi 20 tahun dan seorang ahli politik yang tidak pernah kalah semenjak pertama kali bertanding dalam politik seharusnya memiliki segala jenis kemewahan hidup. Namun, Tok Guru masih tinggal di belakang masjid dengan sebuah rumah kampung yang sangat sederhana. Kereta pun sekadar Honda Odyssey dan sebuah Proton Savvy yang kami lihat di garaj. Orangnya juga mudah didekati tanpa protokol walaupun semasa beliau menjadi Menteri Besar dahulu.

Melihat pembangunan sekitar Masjid TGNA, dengan pantas anak-anak kongsikan furqan mereka tentang model pembangunan Islam yang menjadikan masjid sebagai satu pusat komuniti yang kompak. Mereka jelas dapat mengaitkan struktur dan fungsi masjid seperti di artikel Al-Kahfi yang mereka baca baru-baru ini. Di Pulau Melaka, Masjidnya berfungsi dengan baik, dihidupkan dengan aktiviti solat berjemaah, disulami dengan kuliah bahkan ada sekolah, deretan kedai dan perumahan.

Penghormatan kami kepada Tok Guru melangkaui kepercayaan politik beliau. Kami melihat Tok Guru sebagai satu ikon manusia yang berpuasa nafsunya sehingga ke penghujung hayat beliau. Sehari selepas kami meninggalkan Kelantan, Tok Guru pula membuat istighfar umum meminta maaf kepada semua. Kami doakan semua urusan Tok Guru dipermudahkan.

Usai solat Subuh, kami sempat merakamkan foto bersama Tok Guru sebelum meninggalkan rumah beliau. Kemudian, kami berangkat ke Pelabuhan LKIM di Jeti Tok Bali. Di samping mendedahkan anak-anak dengan aktiviti nelayan di sana, kami juga ingin membeli ikan-ikan untuk barbeque pada malam hari kedua ini.

Banyak pelajaran yang boleh dikutip. Antaranya fakta bahawa 50% nelayan dikuasai oleh warga Thailand dan selebihnya oleh warga Melayu, Cina dan India. Ia seakan-akan satu ketidakseimbangan. Namun begitu, jelas terlihat akan kerajinan tekong dan awak-awak Thailand semasa memunggah ikan naik ke darat dari perut kapal. Program berakhir dengan satu jamuan sarapan pagi. Menarik juga bila anak-anak mula mengenal pelbagai jenis ikan di jeti itu.

Selepas itu, destinasi berikutnya ialah Kraftangan Kelantan yang dihoskan oleh En. Abd Aziz. Anak-anak diajar dan mencuba sendiri untuk mencanting batik dengan lilin panas, mewarna dan menggunakan peralatan khusus. Turut diterangkan tentang penggunaan bahan terbuang menjadi kraftangan dengan pendapatan yang lumayan.

Selepas urusan di Kraftangan, kami berangkat menunaikan solat Jamak & Qasar di Majid Kampugn Sireh, Kota Bharu. Di situ juga kami ambil peluang untuk menikmati makanan sarapan (sepatutnya) tetapi hanya sempat dimakan sebagai makanan tengahari yang juga agak terlewat di masjid itu. Alhamdulillah ada banyak yang boleh kita pelajari.

Lawatan seterusnya di Wat Photivihan, dekat Tumpat. Ini adalah sebuah kuil Buddha yang menempatkan berhala Buddha Berbaring yang terbesar di Asia Tenggara. Agak menarik juga kisah ini dan ia boleh dijadikan medium yang baik dalam penyatuan umat manusia untuk hidup bertoleransi dan berkerjasama.

Kehadiran kami secara mengejut itu disambut baik pula oleh sami Wat itu, yang dikenali sebagai Tok Raja. Beliau merupakan penjaga kuil itu bersama seorang lagi sami lain. Kesabaran dan pelayanan tetamu dan sifat keterbukaan mereka sangat baik sekali. Tok Raja sangat penyabar melayani segala pertanyaan oleh anak-anak sepanjang lawatan. InsyaAllah kami akan kongsikan perinciannya nanti.

Usai lawatan di Wat Photivihan itu, kami pulang ke rumah inap. Malam ke dua itu telah diadakan majlis tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan mereka yang bersedekah, TGNA, MH370 dan lain-lain. Makanan malam itu ialah barbeque ayam, ikan dan kambing. Di majlis itu Warga Prihatin beramah bersama dengan rakan FB dan kaum kerabat yang hadir.

HARI KETIGA, kami telah bertolak dari awal pagi lagi ke arah Kemaman. Kami membuat satu hentian untuk makan tengahari dan bersilatutrrahim bersama Cikgu Khatijah Muhamad serta suaminya Cikgu Yusuf. Makan tengahari nasi dagang yang mereka hidangkan benar-benar membuat kami termimpi-mimpi sehingga hari ini. Lebih tidak mampu kami lupa ialah kesungguhan pasangan insan prihatin ini dalam menerima kami sebagai tetamu mereka.

Destinasi seterusnya ialah ke Kampung Gong Baru, Gong Tok Nasek, K. Trengganu yang dinobatkan sebagai KRT terbaik Terengganu dan juga tenunan songket yang terkenal. Anak-anak belajar tentang kehalusan orang dahulu dalam kesenian ini. Program kami bertembung dengan kehadiran pelajar-pelajar Universiti Malaysia Terengganu yang kebetulan sedang menjalankan projek anak angkat dan CSR di kampung itu. InsyaAllah furqon anak-anak di sini juga akan kami ceritakan nanti.

Dari jam 6 pm, kami harus bergegas. Sekitar 8.30 malam kami dijadualkan membuat tahlil di Kemaman. Alhamdulillah dengan bantuan beacon dan Marshall, kami berjaya sampai tepat pada waktunya. Terima kasih JPJ yang meluluskan permohonan beacon light Marshall kami.

Sepanjang di Kemaman, banyak pelajaran yang dapat kami kutip dari penceritaan kisah Allayarham Haji Ali, seorang usahawan yang sangat cekal, rajin dan pemurah. Beliau mempunyai diterminasi yang sangat tinggi dalam kehidupan sehingga mampu menjadi seorang ikon yang disegani di Chukai Kemaman.

Begitu juga kisahnya dengan latarbelakang Cikgu Ishak bersama Ibu Izan yang telah menjemput kami bersarapan di rumah mereka. Dapat kami curi perhati bagaimana keluarga besar ini mampu untuk membesarkan 12 orang anak menjadi orang yang elok-elok semuanya. Mereka yang turut menghadirkan pengerusi Cakna Anak Yatim Kemaman telah menyambut kami dengan majlis ramah mesra yang sangat menyentuh jiwa.

Program kami berakhir dengan lawatan ke Zoo dan taman Rekreasi Kemaman. InsyaAllah kesemua itu akan kami kongsikan ceritanya dalam artikel-artikel susulan nanti. Program Sekolah Alam 8 secara rasminya berakhir selepas itu dan kami semua bertolak ke Kajang pada akhir hari ke-4 dan selamat tiba pada awal hari berikutnya.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini melalui pertolongan dengan tangan, semangat mahupun harta yang mereka ada.

Alhamdulillah

Catitan Kembara Sekolah Alam-8
WARGA PRIHATIN

Sekolah alam ke 7 – Bah 1 – Rewang bukan merewang

00 sek alam 7 .1NOTA KEMBARA SEKOLAH ALAM KE-7
SABAK BERNAM BAH. 1 – ‘REWANG’ BUKAN ‘MEREWANG’

Alhamdulillah, kali ini kami bersama anak-anak keseluruhannya dapat menikmati perjalanan ke Sabak Bernam. Tujuan berziarah ialah untuk memperlihatkan kepada anak-anak tentang majlis Walimatulurus secara Islamik dan segala yang berkaitan dengannya.

Perjalanan kami padatkan seperti biasa dengan pelbagai pemerhatian alam yang tidak putus-putus. Anak-anak pula terbahagia kepada dua kumpulan besar dalam 2 buah bas yang berlainan. Anak-anak tahap 2 sehingga sekolah menengah dalam 1 bas, sementara yang lain dalam 1 bas lagi bersama para penjaga dewasa.

ULANGKAJI KEMBARA ALAM 4

Perjalanan kali ini melalui jalan yang pernah dilalui semasa Projek Sekolah Alam ke-4 kami di Tanjung Karang. Anak-anak diberikan tugasan untuk mengendalikan ulangkaji sepanjang perjalanan. Bukan dengan hafalan tetapi bilamana mereka melihat satu perkra, akan teringatlah di dalam benak mereka apa yang pernah muhadir jelaskan sebelum itu.

Pembahagian mengikut kumpulan umur memberi ruangan untuk anak-anak yang lebih besar untuk mendapatkan input yang lebih tinggi bahasa dan pemahamannya. Anak-anak di bawah 10 tahun pula kami berikan pendedahan tentang cara berfikir yang kritis agar mereka mampu memerhati dan mencerap pelajaran walaupun tanpa buku dan tanpa kelas.

Kami jelas tentang kelemahan sistem sedia ada dalam pendidikan arus perdana. Walaupun semua misi pendidikan sangat baik bagi mencipta daya pemikiran yang kognitif di kalangan pelajar, namun ia tidak berlaku sebegitu. Anak-anak kita di sekolah pada hari ini dengan mudah mampu mendapatkan keputusan 9A tetapi apabila memasuki bidang pekerjaan sebenar, anak-anak kita juga yang tertinggal ke belakang kerana tidak mampu menyelesaikan masalah.

REWANG – KAITAN DENGAN JAWA & ISLAM

Salah satu dari fokus kembara kami kali ini ialah kepada pembelajaran melalui pemerhatian konsep rewang orang Jawa yang menjadi tunjang kepada perpaduan masyarakat. Sememangnya Islam itu berasaskan kerjasama berjemaah, Ummatun wahidah.

Kami pernah bercerita kepada anak-anak yang sehingga hari ini kami kekalkan di kalangan mereka budaya rewang ini. Mereka juga sangat teruja apabila kami mahukan mereka memerhatikan tentang budaya ini di kampung semasa majlis walimatulurus di sana.

Dalam budaya REWANG, sekadar bunga duit RM1 sebagai ‘penanggah’, RM5 untuk ketua penanggah dengan tuala “good morning” dan juga rokok penanggah boleh menjadi satu bayaran yang lebih bernilai dari bayaran penanggah professional katering pada hari ini. Pada malam hari perkahwinan sehingga semuanya selesai, tuan rumah akan melantik seorang wakil dari kalangan ahli masyarakat yang datang untuk rewang. Secara tradisinya, tuan rumah tidak boleh lagi masuk campur selepas itu, iaitu selepas wakil jemaah mengambil alih pengaturan.

Ada juga kes apabila tuan rumah terlampau banyak ‘songel’ sehingga ahli rewang terasa hati dan terus meninggalkan kenduri. Jika itu berlaku, tuan rumah akan merendah diri untuk meminta maaf kepada setiap ahli masyarakat untuk mendapatkan mereka kembali meneruskan rewang.

Semuanya berlaku dalam semangat kekeluargaan yang sangat tinggi. Majlis keramaian memang satu yang ditunggu-tunggu kerana itu seperti satu asbab kepada penyatuan masyarakat. Bukannya untuk upah dan bayaran, tetapi sekadar mengeratkan silaturrahim. Anak dara dan anak bujang diacu-acukan oleh ibu-ibu dan bapa-bapa yang memerhatikan mereka semasa rewang. Bapa Si Dara pula boleh lihat calon-calon menantu mengikut kerajinannya.

Setibanya kami di sana, kami mula merasakan kemeriahan yang ada. Namun anak-anak bertanya, dimanakah rewangnya? Mereka mencari-cari penanggah-penanggah yang memakai bunga duit dan tuala “Good Morning” seperti yang pernah kami ceritakan. Namun semua itu sudah tidak berlaku lagi.

Penanggah rewang berganti dengan penanggah beruniform katering yang menyediakan hidangan-hidangan secara buffet. Dalam tradisi rewang, tetamu hanya perlu duduk sahaja dan semua hidangan akan disediakan terus dengan sopan di atas meja. Akan ada barisan penanggah yang ke depan ke belakang bergiliran menghantar hidangan serta mengutip dan membasuh pinggan kotor.

Tuan rumah tempat kami berziarah ini merupakan guru vateran dan orang yang sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan. Cikgu Hajjah Hashimah & Cikgu Haji Nasir merupakan insan prihatin yang meletakkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Hidup mereka sederhana dan majlis perkahwinan anak mereka itu juga berlaku secara sangat sederhana. Tiada busana-busana dan pelamin ribuan RM untuk menghiasi pengantin, tiada solekan tebal ala-ala Oprah Winfrey ataupun Opera Cina dengan khemah-khemah sederhana tanpa renda-renda puluhan ribu RM.

Disebabkan aktiviti kemasyarakatan yang menjadikan mereka ini sibuk, maka mereka kurang terlibat dengan aktiviti kenduri kendara di kampung itu. Walaupun begitu, aktiviti kemasyarakatan di dalam kampung itu tetap sangat memberi kesan kepada masyrakat sekeliling. Disebabkan itu juga, mereka agak gusar dan risau sekiranya kenduri mereka itu tiada yang nak datang rewang. Alternatifnya ialah katering.

Bukannya sesuatu kesalahan menggunakan katering, cuma dari kajian sosiologi yang pernah kami lakukan ke atas komuniti Jawa yang pernah kami tuliskan selepas hari raya tahun lepas, kami dapati budaya rewang menjadi salah satu unsur penyatuan yang sangat penting.
http://prihatin.net.my/2013/08/19/budaya-islamik-jawa-beraya/

Sekalipun anak-anak tidak merasa kemeriahan rewang, tetapi kami berikan tugasan kepada anak-anak yang akhirnya mereka dapat wujudkan juga suasana rewang antara mereka. Kami harap mereka faham maksud kami agar dapat menghidupkan budaya yang baik ini dalam generasi dan kelompok mereka.

MEMULIAKAN TETAMU

Setelah tidak dapat rewang menyediakan / memasak makanan, maka kami CUBA WUJUDKAN KEMERIAHAN REWANG dengan cara sendiri. Sebagai kelompok warga yang sudah biasa menguruskan majlis, kami bahagikan tugasan untuk membantu sajian dan membersihkan pinggan mangkuk, mengawal lalulintas, menjaga parkir, memasang dan mengendalikan sistem siaraya, deejay, persembahan kompang, selawat dan nasyid, dan yang paling mendapat remark baik dari orang kampung ialah pasukan penyambut tetamu berpayung hijau yang ‘unik’.

Dengan cara itu, kami dapat merasakan kemeriahan rewang dapat dizahirkan semula. Setiap tetamu yang hadir kami cuba untuk payungi mereka dalam keadaan panas mahupun redup, khususnya yang membawa bayi.

Budaya menyambut tetamu dengan payung yang telah kami amalkan sejak hari pertama itu sebagai satu simbolik kasih sayang dan penghormatan kepada tetamu dengan penghormatan VVIP keseluruhannya tanpa mengira darjat dan pangkat. Itu sudah menjadi tradisi sekiranya RPWP datang bertandang atau terlibat dalam pengurusan majlis perkahwinan. Biar panas, biar hujan bahkan ribut sekalipun kami akan tetap jalankan tugas, demi memuliakan tetamu.

Majlis perkahwinan Warga Prihatin yang berlangsung 2011 sebelum ini turut memberikan gambaran serupa dengan Majlis Walimatulurus yang ini. Pengantin tidak bersolek tebal-tebal untuk duduk di pelamin, bahkan ikut berdiri dengan payung yang kami sediakan di jalan masuk ke rumah, bersama-sama ibu bapa mereka menyambut tetamu di terik mentari.

Alhamdulillah, walaupun tiada pancaragam, tiada karaoke, tiada kuda kepang dan penyanyi seksi, ramainya kehadiran tetamu tidak pernah dapat kami bayangkan. Tetamu bertali arus sampai jam 12 malam sebelumnya, bersambung jam 8 pagi di hari majlis sampai ke petang. Subhanallah.. akan kami kongsikan di bahagian seterusnya nanti.l

SIKAP TETAMU & PEMANDU – SATU PEMERHATIAN

Tugasan yang paling mencabar ialah pengawalan trafik di bawah terik mentari. Di sini kami lihat, bagaimana sebahagian tetamu dan pemandu yang sukar diatur. Sebahagian mereka tidak boleh bertolak ansur, sombong dan bongkak dalam menerima aturan lalulintas yang kami susunkan. Mereka mahukan keselesaan, tetapi mereka tidak mahu “bayar” harga keselesaan itu dengan menurut pengaturan kami.

Tidaklah kami sengaja menjaga lalulintas di sepanjang sekitar 1 km itu untuk menyusahkan orang, tetapi sekiranya ada 2 hala berselisih tanpa ada yang mahu mengalah, sampai bilapun tidak akan ada penyesaian. Ini kerana jalan kampung itu kecil sahaja, cukup-cukup untuk dua kenderaan kecil berselisih. Kiri kanan dibatasi dengan parit dan kebun sawit. Jika ada kenderaan diletak di bahu jalan, maka ia akan jadi satu hala.

Tidak kurang juga ada yang memandu kereta mewah berjenama Mercedes yang bila kita sapa dengan senyuman terus tidak diendahkan. Ironinya, ada yang tidak langsung sudi menurunkan tingkap untuk menyambut salam dan teguran yang diberi, padahal tujuannya untuk kami tunjukkan yang nombor pendaftaran kereta beliau telah hampir terjatuh.

Begitulah akhlak ‘orang kita’ sekarang. Dari bahasa badan kelihatan ada juga yang melihat tukang payung dan jaga parkir ini sebagai makhluk bertaraf bawahan. Mungkin sudah terbiasa mengherdik ‘mat gian’ yang sering menjadi ‘pengatur parkir’ mereka di bandar untuk meminta seringgit dua. Ataupun ada kejutan budaya dari miskin dahulunya lalu kini dah jadi kaya, lalu jadi bongkak melupakan adat budaya dan tatasusila.

Kasihan mereka kerana tidak mengetahui yang memayungi dan menjaga kenderaan mereka itu ada yang doktor, jurutera, guru senior, pensyarah Universiti bahkan ustaz dan individu bergelar Datuk juga. Anak-anak asnaf yang nampak macam gelandangan dan memayungi serta menyajikan makanan mereka itu juga ada yang penerima anugerah tetap sebagai pelajar terbaik akademik dan sahsiah di sekolah.

Kerana itu, kami juga sebenarnya seperti mereka, iaitu manusia yang wajar dihormati, bukan kerana pangkat dan darjat, tetapi kerana kita semua hanyalah HAMBA YANG ESA. Apapun tidak semuanya melayani kami begitu rupa. Ramai juga yang ramah dan sangat berbudi bahasa. Yang baik kita kekalkan, yang buruk kita tegur dan ambil pelajaran.

Pengalaman mengendalikan trafik dan keamanan ini memberikan kesedaran kepada kita betapa sukar dan serbasalahnya tugas anggota keselamatan, khasnya PDRM dan RELA. Di tengah terik mentari anggota polis mengorbankan diri mengawal lalu lintas yang ada ketikanya tidak boleh dikawal dengan besi dan cahaya. Tidak mustahillah terjadinya isu besar isteri pemain bola sepak muda yang biadap dengan pak guard yang jauh lebih tua.

Itulah sebahagian dari ‘PEMBELAJARAN ALAM’ yang besar, melalui PENGALAMAN yang dapat di ‘ALAMI’ sendiri oleh mereka yang ikut MENGALAMINYA.

Sekian dahulu perkongsian kami. Salam ukhwah
WARGA PRIHATIN

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN 2..

Satu keperluan ke arah reformasi kepolisian

BAGAIMANA MENGISLAMKAN INSTITUSI KEPOLISIAN

Sepertimana rumah Kebajikan dan Pertubuhan NGO yang lain, RPWP sentiasa dilawati oleh para pegawai Polis dari pelbagai cawangan dan pangkat. Peringkat awal dahulu, ramai yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat, khususnya bimbang tentang adanya sebarang aktiviti bawah tanah di RPWP. Kita harus terima hakikat, cemburu itu tandanya PDRM sayangkan negara.

Setelah disahkan RPWP tiada anasir subversif, maka kini kedatangan mereka lebih kepada kajian umum tentang situasi semasa masyarakat dan negara. Sebahagian lain datang untuk mendapatkan hasil kajian dan pembangunan kami, untuk dijadikan pedoman dalam menangani masalah jenayah, dadah dan pelbagai gejala sosial dalam negara.

Beberapa orang pesara pegawai tinggi Polis termasuk berpangkat Datuk adalah antara pendokong tetap RPWP. Pengerusi Rukun Tetangga yang menganugerahkan “Tokoh Mulidurrasul dan Maal Hijrah” kepada pengasas RPWP juga dari pegawai tinggi Bukit Aman berpangkat Datuk.

Kelmarin RPWP diziarahi lagi oleh 2 orang pegawai tinggi dari Bukit Aman. Kali ini kami rasa ingin kongsikan sesuatu yang mungkin boleh dijadikan pelajaran oleh pembaca, khususnya kalangan murobbi, iaitu penanggungjawab dari kalangan ibu bapa, para guru, ketua masyarakat dan pemimpin negara. Mereka ini sangat berilmu dan tertarik dengan falsafah yang diamalkan di RPWP. ALHAMDULILLAH.

Oleh kerana hadirnya mereka sewaktu tengahari, maka dapatlah mereka bertemu dengan sebahagian anak-anak yang pulang sebelum meneruskan persekolahan sebelah petangnya. Selepas urusan rasmi selesai, para pegawai ini meneruskan dengan pelbagai soalan yang berkaitan dengan RPWP. Kami juga bawa mereka untuk melawat ke seluruh kawasan kompleks RPWP.

Berikut ini kami cuba kongsikan secara ringkas buah-buah fikiran di sepanjang perbincangan dengan mereka.

FORMULA PENYATUAN & KERJASAMA

Antara perkara utama yang seolah-olah menjadikan mereka takjub ialah soal pokok yang menjadi masalah utama dalam dunia, iaitu isu penyatuan. Apakah yang menjadi tunggak perpaduan yang mampu menyatukan seluruh jemaah RPWP, termasuk para pengasas, kaum ibu dan anak-anak jagaan sejak hari pertama. Bukan setakat bersatu hati dan wawasan, malah menyatukan tenaga dan dana untuk RPWP.

Seorang darinya kongsikan bahawa beliau ada 15 orang adik beradik seibu dan sebapa. Beliau menampakkan bahawa dalam keluarga sendiripun begitu susah untuk bersatu dengan satu faham. Ini turut beliau perhatikan berlaku dalam banyak keluarga-keluarga lain di kalangan rakan taulan beliau. Fenomena ini turut dilihat dalam organisasi, masyarakat, negara bahkan dunia. Dari hasil kajian dan pemerhatian, kami sendiri bersetuju 100% akan fenomena ini.

Antara yang ingin kami kongsikan di sini ialah formula penyatuan yang dimulakan dari pembentukan 1 faham. Perpecahan di kalangan ummah adalah berpunca dari hati dan pemikiran. Jika kefahaman dalam pemikiran kita bercanggah, di situlah berpuncanya gejala perpecahan.

Untuk mengatasi masalah itu, kami menggunakan pendekatan al-quran dan sunnah. Ramai juga yang berkata menggunakan pendekatan itu, tetapi mengapa ternyata mereka sentiasa gagal? Jawapan kami adalah kerana mereka tidak berpaut pada kedua unsur itu secara kaaffah dan bersungguh-sungguh. Kami lihat orang yang melaungkan penyatuan melalui alquran dan sunnah itu sendiripun tidak memahami kedua-duanya dengan cukup mendalam dan tidak sanggup mematuhinya dengan sempurna. Masing-masing ambil yang secocok dengan mereka sahaja.

Ajakan mereka hanya sekadar retorik sahaja, tidak serius dalam usaha memahami dan mengajak manusia untuk menyatu dengannya. Ajakan mereka tidak disulam dengan ilmu. Sebahagian besar dari golongan yang mengajak itupun ada yang tidak pernah baca alquran dan memahami terjemahannya.

Atas dasar itu maka kami wajibkan semua co-founder dan anak-anak membaca terjemahan quran sekurang-kurangnya 3 kali ulang. Setiap saranan, cadangan, aturan maupun hukuman yang ingin dilakukan adalah bersandarkan kepada tuntutan apa yang difahami dari alquran itu secara adil dan praktikal. Segalanya harus pula dipersetujui dengan sebulat suara, secara NAHNIAH, bukan ANANIAH (keakuan).

Apabila visi itu jelas didapati dari alquran, dan segala keputusan dibuat secara bersama melalui syuro, maka semua yang terlibat akan jadi mudah untuk menerima dan mematuhinya. Ini berbeza dengan organisasi lain di mana setiap yang ingin dilakukan itu adalah berdasarkan visi individu, kemudian memaksa yang lain untuk menerima dan mematuhinya. Di situlah mudahnya terbit individu diktator.

MENGAPA PRIHATIN TIDAK BUKUKAN FORMULA PENYATUAN

Seperti pelawat lain, soalan di atas menjadi terlalu biasa ditanyakan. Kami memang ingin kongsikan formula penyatuan ini, tetapi bukan dengan cara menulis buiku. Kami telah BERSATU berpandukan kepada doktrin alquran yang SATU. Hasil kajian kami menunjukkan hebatnya alquran itu ialah kerana ia mengandungi konsep dan prinsipal yang sangat meluas. Kesemua 6236 ayat itu boleh diterapkan dengan mudah dan berkesan kepada siapa sahaja, organisasi dan institusi apa sahaja, di mana saja dan pada zaman bila-bila juga.

Kerana itu kami rasakan tidak ada keperluan untuk kami bukukan apa yang kami telah berjaya laksanakan. Ini kerana apa yang kami lakukan mungkin nampak jelas dalam urusan membina keluarga dalam sampel komuniti kami, tetapi mungkin berbeza penerapannya jika ingin diterapkan dalam urusan membentuk sebuah keluarga kecil oleh sepasang suami isteri di rumah lain. Perlu penyesuaian di situ.

Begitu juga kemungkinan keraguan atau khilaf berlaku jika apa yang kami bukukan dari praktis kami di RPWP ini disalin atau ditiru bulat-bulat oleh orgasisasi lain seperti syarikat, pertubuhan NGO, pengurusan kerajaan, negara dan sebagainya. Sedangkan apa yang ada dalam quran dan sunnah itu perlu disesuaikan mengikut matlamat pembaca dan penggunaannya.

Kerana itu jika kita ambil langsung dari buku sedia ada, iaitu quran dan sunnah, maka ia lebih asli dan mudah disesuaikan. Kami tiada masalah untuk membantu menyesuaikan penerapannya dalam kalangan individu atau organisasi yang berbeza.

Ini juga selari dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, haram menulis apa sahaja penjelasan wahyu yang keluar dari mulut baginda. Hanya alquran sahaja yang layak ditulis dan dihafal. Apa yang kami lihat di situ ialah agar kita memahami, menghafal dan mengambil prinsip dari quran secara terus untuk disesuaikan dengan keperluan hidup dan zaman kita. Hadis sekadar contoh huraian perlaksanaannya sahaja.

Dalam alquran, kami dapati doktin kehidupan yang bersifat universal, yang sesuai untuk digunapakai oleh pelbagai bangsa, geografi dan di sepanjang zaman itu terletak di ayat-ayat misal atau MUTSYABIHAT. Ayat-ayat langsung atau MUHKAMAT adalah isi ketetapan yang sentiasa sama bentuknya. Tiada perubahan sampai bila-bila, tidak mengira zaman mana dan bangsa apa sekalipun pengamalnya.

Contoh mutasyabihat salah satunya ialah, bila Allah dan rasul sarankan tentang kuda. Itu bermaksud MISALAN kenderaan yang pantas, pintar dan gagah. Zaman nabi mungkin membandingkan keldai dan kuda, zaman moyang kita mungkin basikal dan motosikal, tapi zaman kita mungkin kereta kancil berbanding BMW. Amat tidak berfaedah jika penjelasan sunnah tentang kuda itu kita hafal dan ikuti secara jumud, lalu kita semua beli kuda dan menunggangnya di lebuhraya.

Contoh muhkamatnya pula ialah, tentang spesifikasi pakaian wanita. Yang ini tiada masalah untuk kita hafal dan ikut hadis nabi bulat-bulat kerana ia berbentuk perintah yang jelas secara langsung (muhkamat), bukan berbentuk MISAL (mutasyabihat). Kerana itu pakaian nisak mengikut kehendak Allah itu masih kekal sama dari dahulu sampai sekarang. Malangnya yang sudah jelas (muhkamat) itu pula yang kita ubah-ubah. Yang mutasyabihat (MISAL) pula yang kita ikut bulat-bulat.

PENERAPAN DISIPLIN

Para pegawai ini melihat tahap disiplin dan jatidiri yang agak tinggi pada keseluruhan warga yang sempat ditemui dan berbual bicara. Mereka ingin tahu apakah rahsianya? Ini kerana di PDRM, mereka ambil 6 bulan untuk membentuk disiplin anggota sebelum berkhidmat. Mereka akui bahawa hasilnya hanya disiplin yang bersifat luaran. Amat sukar untuk menerapkan disiplin secara dalaman kerana rekrut yang juga datang dari pelbagai latarbelakang.

Jawapan kami tetap sama. Pertamanya kami pastikan kesemua warga sanggup membenarkan kebenaran wahyu dan sunnah. Warga mesti sanggup mematuhinya tanpa dakwa dakwi. Itu syarat utama untuk mereka hidup bersama dengan kami. Setiap perintah wahyu dan sunnah wajib didaulatkan oleh setiap warga. Ia tidak sukar jika kita memahami sudut praktikal dari wahyu dan sunnah itu. Masalah kita hanya nampak wahyu pada potong tangan dan rejam untuk ditolak, atau poligami untuk diterima sahaja. Akhirnya ramai yang semakin hari semakin takut dengan wahyu.

Kemudian kami nampakkan kepada warga dari surah mana ayat mana dari alquran yang telah mereka baca itu, datangnya idea dan perintah yang harus mereka mendisplinkan diri dengannya. Apabila mereka telah membaca sendiri dan memahaminya dengan bantuan penjelasan jemaah, maka mereka akan mudah mendisiplinkan diri dengan perintah itu. Walaupun sekali sekala mereka terlupa atau melanggar dengan sengaja, maka dengan mudah jemaah boleh menghukum dan mereka juga boleh menerimanya dengan rela.

Disiplin tidak boleh lari dari kesamarataan zahir dan batin. Kerana itu kami menggalakkan anak-anak mengikuti sebarang badan berunifom seperti kadet polis, ROTU, PBSM, silat dan sebagainya. Kesemua itu mampu mendisiplinkan anak-anak dan mengajar mereka hidup berperaturan (rububiah) dan berpengatur (murobbi). Ia turut mengajar anak tentang teknikal, taktikal, strategi dan ketahanan mental. Perhubungan antara skuad dengan komanden kawad, pelatih dengan guru silat dan sebagainya boleh mendidik anak tentang aplikasi silah, solah dan solawat dalam berjemaah.

Yang paling penting ialah mendisiplinkan warga melalui pendekatan keadilan dan kesamarataan. Setiap warga tidak kira pangkat dan usia akan makan makanan yang sama, memakai warna dan jenis pakaian yang sama, menaiki kenderaan dan mendiami rumah yang sama. Semua warga juga turut mematuhi arahan dan disiplin yang sama di samping melaksanakan tugasan secara kerjasama.

Kerana itu juga anda lihat setiap kali berprogram kesemua warga akan memakai uniform yang sama. Latihan kawad kami ajar kepada anak-anak seawal tadika lagi, paling tidak seminggu sekali. Anak-anak dibahagikan kepada kelompok kecil dan setiap satu mempunyai ketua sendiri. Semua warga diwajibkan menjaga warga lain tanpa prejudis, tanpa rasa takut dan pilih kasih.

KAEDAH CEGAH JENAYAH

Ini bukanlah perkara mudah untuk kita lakukan dengan jayanya jika kita tidak mampu mencerap apa sahaja formula dari quran, yang telah Allah bukukan sebagai manual hidup kita. Kami telah lama mengaku kalah dengan cara ciptaan sendiri, melainkan yakin dengan keberkesanan manual dari Allah sahaja. Ada beza yang jelas antara PENCEGAHAN (PREVENTION) dengan PENGAWALAN (CONTROL) jenayah.

Selama ini Polis hanya menggunakan pendekatan cegah jenayah secara LUARAN, iaitu melalui kaedah penangkapan dan pengurungan. Bagi kami, pendekatan itu hanya berlaku SETELAH jenayah berlaku. Jadi apa yang dilakukan itu hanya MENGAWAL jenayah daripada terus-terusan berlaku sahaja. Ia berbeza dengan kami yang menggunakan kaedah DALAMAN, iaitu pendekatan tarbiah, kaedah pendidikan dan pencegahan. Kami sunguh-sungguh inginkan supaya jenayah itu TIDAK SAMPAI berlaku.

Alhamdulillah kami telah buktikan kaedah “Penjara Di Tepi Masjid” yang Nabi SAW laksanakan itu amat berkesan. Kami pernah merawat gadis 15 tahun yang telah ‘melunjur’ bersama 285 jantan silih berganti dalam masa 2 tahun. Alhamdulillah beliau pulih dalam masa beberapa minggu tanpa gari dan pintu berkunci. Kami juga merawat penagih tegar yang sudah 16 tahun menagih dan 6 kali dipenjarakan, tanpa menggunakan kaedah kimia, jampi mentera, tanpa pil methadone maupun rokok.

Kami juga ada kes anak yatim yang kami ambil dari lokap polis, yang mengaku telah terjebak dengan jenayah seksual, dadah, rompak dan curi kenderaan sejak tingkatan 1. Kami sanggup jadi penjamin anak itu, Alhamdulillah kini anak itu amat baik sekali. Ada juga anak yatim yang terabai sejak ayahnya masih ada, yang mengakui pernah tinggal sebilik serta meniduri teman wanitanya selama 2 minggu di rumah ibu bapa gadis. ironinya ia berlaku dengan pengetahuan dan izin ibubapa mereka. Lihatlah, seteruk ini lemahnya ibubapa memainkan peranan menjaga anak dara mereka..!

Melalui rahsia Fatihah, kita seharusnya mampu menyingkap bagaimana Allah mengatur alam ini sebelum kita mampu menirunya. Bagaimana harus kita fahami dan menerapkan BASMALLAH, LILLAH, BILLAH melalui fungsi Murobbi (rabb yang menguasai), malaikat (yang menyampai dan mencatat), nabi (penerima berita), serta rasul (penyampai dan pelaksana risalah). Perhatikan bagaimana Allah menyediakan alam yang baik melalui uswah para rasul untuk kita letakkan diri dan keluarga kita di alam kehidupan itu, agar kita turut jadi baik.

Demikian juga pelbagai peranan dalam institusi malaikat yang secara ghaib menyampaikan berita, mencatit amalan manusia dan melapurkannya kepada Allah (Rabb) setiap hari tanpa rasa takut dan pilih kasih. Kemudian dipanjangkan sistem pengaturan alam itu kepada fungsi nabi dan rasul sebagai utusan yang membawa risalah buat mengatur manusia agar sejahtera semuanya. Konsep Allah melihat dan mendengar kami terjemahkan melalui 65 cctv terpasang dan terakam 24jam di kompleks ini. Bahkan dalam bas kami pun ada 4-8 cctv.

SARANAN RPWP UNTUK MASYARAKAT & PDRM?

Soalan ini kami jawab dengan saranan agar masyarakat tidak terlalu takut atau membenci polis. Jika ini berterusan maka masyarakat sendiri yang akan rugi. Wang rakyat diguna untuk membayar gaji dan sarana kepolisian, namun tugas mereka tidak efektif kerana tiada sokongan masyarakat. Dari komunikasi yang berterusan antara kami dengan PDRM, bukanlah semua polis itu baik, namun tidak semuanya jahat.

Seperti anggota masyarakat yang lain, kami juga ada banyak komplain tentang kepincangan institusi kepolisian. Belum ada dari sebegitu banyak kes-kes kecurian yang kami lapurkan dan kami dapat semula. Bahkan ada kenderaan kami yang dicuri oleh sindiket besi buruk, yang kami sendiri temui ‘bangkainya’ sejurus selepas lapuran dibuat dan kami serahkan segala bukti termasuk geran, bil belian besi buruk kepada pihak balai, namun tiada tindakan dibuat sampai kini.

Atas sebab itu juga, ramai penduduk yang tidak mahu bekerjasama membuat lapuran apabila berlaku kes jenayah. Ada sampai 6 kecurian motosikal berlaku dalam masa sebulan tanpa sebarang lapuran dibuat. Memanglah sekali kecurian, harapan mendapatkan kembali terlalu tipis. Namun kami pujuk masyarakat agar membuat lapuran supaya PDRM dapat maklumat tentang indeks jenayah setempat. Dengan itu mereka boleh menyusun semula rondaan atau program pencegahan.

Rumah kami menggunakan besi terpakai yang dibeli dari kedai besi buruk. Banyak kali juga kami terserempak kereta peronda yang tanpa segan silu mengutip ‘zakat’ terang-terangan dari pusat ini. ini kerana kami yakin mereka ada membeli dan menyimpan besi buruk yang tidak sah dari sudut undang-undang.

Kami ada menjalankan perniagaan kecil-kecilan membaiki dan menjual kenderaan terpakai. Sebahagiannya kenderaan lama hasil wakaf orang ramai. Pernah juga kami diganggu oleh ‘pengutip zakat’ sepertimana nasib peniaga kenderaan terpakai yang lain. Pelbagai ancaman dan gaya bahasa yang tidak bermoral sekali dilontarkan. Kononnya terima lapuran kami menyimpan kenderaan curi.

Yang baiknya pula, kami dibela oleh pasukan lain yang lebih tinggi dengan meminta kami panggil beliau jika ada mana-mana anggota ‘pengutip zakat’ seperti ini datang lagi. Atas dasar lapuran dari golongan yang sakit hati, maka pasukan yang ikhlas ini telah tanpa pengetahuan kami menyelinap secara senyap selama 4 hari menyelidiki kesemua stok kenderaan kami. Mereka sahkan tiada satupun barang curi dari stok kami. Kerana itu mereka sanggup mempertahankan kebenaran biarpun terpaksa bertembung dengan anggota lain. Tidakkah zalim jika kita ‘cop’ PDRM keseluruhannya buruk?

Tatkala rumah kami terbakar, POLIS adalah yang sampai paling awal. Mereka antara yang simpati dan menganjurkan bantuan. Kami juga pernah disaman hanya kerana sebelah lampu belakang van kami tidak menyala. Namun kami juga pernah diiring (eskot) oleh kereta peronda, dari jalan bandar sampai tol sungai besi selepas mereka menahan kenderaan kami yang tamat tempoh cukai jalan. Mereka tidak mahu ada anggota lain yang ambil peluang ‘mengutip zakat’ ke atas kami. Wajarkah anggota sebaik ini kita bunuh hanya kerana bencikan PDRM?

Dalam hal mengkaji situasi jenayah dan gejala sosial melibatkan anak-anak juga begitu. Kami banyak berkongsi maklumat terkini tentangnya. Kita perlu kemaskini apakah perkembangan modus operandi penjenayah atau gejala sosial terhadap anak-anak. PDRM pula perlu tahu indeks jenayah yang ada pada kita. Jika perlu kita beri maklumat tentang dadah, maksiat dan jenayah lainnya untuk tindakan mereka. Bila jenayah sudah berkurangan, anggota pula boleh anjurkan CSR, mendekati masyarakat, bergotongroyong dan sebagainya. Indah bukan?

Terlalu banyak lagi kebaikan PDRM yang boleh dikongsikan. Kami sarankan agar PDRM boleh memainkan peranan sebagai institusi yang bercirikan malaikat, bersifat berkecuali dan tidak berkepentingan diri. Alangkah baiknya jika orang ramai, khasnya ketua masyarakat boleh menjadikan polis sebagai rakan karib, duduk santai bermuzakarah bersama mereka di balai sebagai rakan kongsi. Kita isi kebosanan mereka bertugas di sunyi malam dengan kopi panas dan biskut, kita cari jalan untuk mensejahterakan masyarakat dan anak-anak kita.

Pepatah inggeris mengatakan “you pay peanut, you got monkey”. Seperti di negara Eropah, pihak kerajaan mungkin boleh menaikkan lagi moral polis, guru dan pegawai penguatkuasa lain dengan menyediakan gaji yang cukup sehingga mereka tidak lagi berselera untuk mengutip ‘zakat secara tidak sah’ seperti yang sering berlaku sekarang.

Pengisian rububiah Allah perlu ditanamkan agar anggota faham dan ikhlas menjalankan tugas menjaga keamanan negara dengan sebenar-benarnya. Segera singkir yang masih ambil rasuah atau salahguna kuasa. Dengan demikian setiap anggota akan berbangga dengan PDRM kerana tapisan yang tinggi ini. InsyaAllah dengan ini anggota PDRM kita akan sangat bermotivasi dan berprestasi tinggi. Seperti di negara eropah, Polis sangat friendly dan ikhlas. Khidmat mereka sangat menyenangkan rakyat.

KESIMPULAN

Kami di RPWP bina SAMPEL komuniti kemudian pengalaman itu kami kongsikan untuk pedoman bersama memperbaiki komuniti luar iaitu komuniti tempat anak-anak kita bercampur di masa hadapan.

Apa yang kami kongsikan di RPWP adalah sebahagian dari Program Sekolah Alam kami. Ia adalah sarana “Pendidikan Islam Sepanjang Hayat”. Tidak akan cukup dengan program 6 bulan untuk mendisplinkan manusia, kerana ia harus dilakukan secara istiqomah, dari buaian hingga ke liang lahad. Secara harian, ia seperti rukun solat fardhu, 5 kali sehari dalam hidup kita.

Mari kita sama-sama berusaha menjadikan institusi kepolisian itu suatu yang bersifat natural dan penuh bermakna. Jangan hanya cari polis bila anak dirotan guru, anak dirogol, tertangkap kes dadah, curi, gaduh, bunuh dan sebagainya. Kita akan saling menyukai dan aman sejahtera jika berkerabat dengan polis sebelum jenayah menjelma. Begitu juga dengan guru. Kita dan anak kita akan sejahtera jika selalu berjumpa sebelum masalah menjelma. Itu nasihat kami pada anak kami, berkerabatlah dengan guru.

Janganlah kita provokasikan isu politik dalam institusi kepolisian, kerana institusi seperti polis, tentera, bomba, guru dan sebagainya ini tetap dianggotai oleh orang yang sama biar siapapun yang memerintah.

Anjuran perdamaian dan reformasi dari
WARGA PRIHATIN

PEMAKLUMAN : TRIP SEKOLAH ALAM KE-7 PANTAI TIMUR.

sek alam 7 pengumumanPEMAKLUMAN : TRIP SEKOLAH ALAM KE-7 PANTAI TIMUR.

Sebenarnya, trip sekolah alam berjarak jauh ini dahulu kami lakukan setahun dalam 2 atau 3 kali sahaja disebabkan kekangan bajet. Sebelum ini kami banyakkan trip yang dekat-dekat sahaja. Alhamdulillah, kini sudah ada bas sebuah, bajet dapat dikurangkan hampir separuh. Pe’nombor’an trip ini kami tanda dari selepas kami memiliki bas sendiri. Jika nak dikira dari dahulu kita lakukan, mungkin ini trip yang entah ke berapa puluh kalinya.

Alhamdulillah, anak-anak masih lagi memberikan input pemerhatian yang tidak putus-putus. Tidak sempat pula kami tuliskan semuanya serentak untuk kami kongsikan kepada umum. Yang Tanjung Karang pun belum habis, Trip ke-3 di Baling juga masih banyak belum dikongsi semua.

Minggu lepas sahaja ada 2 trip jarak dekat secara ad-hoc yang anak-anak menggunakan sebagai input alam. Trip Sekolah Alam ke 5 mereka beraktiviti malam minggu memberi makan dan berkomunikasi dengan gelandangan di Kuala Lumpur. Hari berikutnya ada trip ke 6, hanya berhampiran sahaja dengan RPWP iaitu di Sungai Long. Lokasinya ialah tapak cadangan untuk komplek sekolah alam kami, sebuah hutan pinggir bandar dengan air sungai yang belum dicemari oleh sisa manusia.

TRIP KE 7: KL – KB – KT – KEMAMAN – KL

Itulah perancangan laluan kami. Pada 27 Mac kami telahpun mengajukan mohon perkenan Kebawah Duli Tuanku Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan Darul Naim untuk kami mengadap baginda. Baginda Sultan merupakan idola anak-anak sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang berikhtihar memartabatkan Islam. Kami juga harap, permohonan mengadap ini akan diperkenankan Kebawah Duli Tuanku. InsyaAllah. Jika ada pembaca yang rapat dengan baginda mungkin boleh turut membantu meyakinkan baginda.

Selain dari itu, trip ini akan menelusuri jejak kehidupan beberapa tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang khabarnya sedang sakit pada ketika ini. Maklumlah, homestay tempat kami menginap di Kota Bharu nanti hanya 50 meter dari Rumah Tok Guru. Mungkin kalau dapat bertemu pemimpin-pemimpin budiman mana yang sudi, kami lebih dari berbesar hati. Pemimpin adalah pemimpin. Kami tidak mengira parti politik. Seperti sebelum ini YB Dr. Shafie ADUN Bangi dari parti PAS yang sangat prihatin kepada kami dan kami sangat hormati. Begitu juga kami hormati YB Haji Sulaiman Abd Razak ADUN Permatang yang menolak segala protokol untuk bertemu kami, beliau akrab seperti saudara bahkan turut menghulur bantuan yang beliau mahu kami rahsiakan.

Jika dapat berjumpa MB Kelantan atau MB Terengganu, juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, kami juga sangat berbesar hati. Sekurang-kurangnya, anak-anak Warga Prihatin ada pelbagai input untuk diperhatikan dan dipelajari.

MISI LAWATAN

Misi untuk anak-anak kali ini ialah meneliti sejarah tokoh dan apakah disiplin di sebalik ketokohan tokoh-tokoh ini. Bagaimanakah zaman kanak-kanaknya, bagaimana ibu bapanya, bagaimana pembelajarannya dan sebagainya.

Di samping itu juga, anak-anak akan dibawa untuk melihat kerajinan-kerajinan tempatan seperti batik, songket, gasing, wau, keris dan sebagainya. Ini semua akan memberikan anak-anak bahan untuk mereka sintesiskan menjadi pelajaran yang baik dalam hidup mereka.

Pengalaman menunjukkan bahawa satu trip 3 hari dalam program sekolah alam adalah lebih baik dari 3 bulan belajar di dalam kelas. Ia banyak mencetus kaedah penjanaan benih pembelajaran “dari dalam ke luar (inner out)” serta “dari bawah ke atas (bottom up)” berbanding kaedah penghafalan dalam kelas. Ini adalah antara rahsia mengapa para nabi dan cendiakawan Islam zaman dahulu matang pada usia jauh lebih muda. 1 tahun sistem pembelajaran ALAM boleh menandingi 5-6 tahun pembelajaran KALAM. Itulah yang menjadi panduan kepada kami.

PINTU WAKAF & SEDEKAH

Seperti biasa, tidak mahu kami mengecewakan sekalian pembaca budiman seperti sebelum ini. Ramai yang ingin turutserta dalam projek ini walaupun tanpa jasadnya berkelana bersama, maka kami bukakan pintu wakaf SEKOLAH ALAM 7 ini secara rasminya. Sekurang-kurangnya, ada ruang yang kami sediakan untuk anda bersama-sama kami melalui ganjaran sedekah walaupun jasad belum dapat bersama.

BAGI MEMENUHI PERMINTAAN BEBERAPA PEMBACA YANG ASYIK BERTANYAKAN PELUANG UNTUK IKUT SERTA, MAKA KALI INI KAMI BUKAKAN PELUANG ITU KEPADA BEBERAPA ORANG (FIRST COME FIRST SERVED BASIS). JIKA KAMI TIDAK DAPAT MEMBELI BAS KE DUA, MUNGKIN KAMI AKAN CUBA MENYEWANYA. SILALAH HUBUNGI WAKIL KAMI. Apapun, segala pelajaran hasil dari pemerhatian alam itu nanti akan kami kembalikan kepada keluarga wakif atau penyumbang yang berhak menerimanya dengan penuh barakah, InsyaAllah.

Berikut ini adalah sedikit idea untuk anda mencongak apa bentuk pendanaan yang diperlukan untuk trip kali ini.

– Belanja perjalanan untuk 2 buah bas (1 bas sendiri + 1 bas sewa) dan 3 buah kenderaan marshall, berupa Van dan 4×4 dianggar berjumlah sekitar RM8000.

– Kos makan minum ala kadar sepanjang perjalanan pergi, balik dan di lokasi selama 4H3M untuk sekitar 100 peserta dianggarkan RM5000.

– Seperti biasa, penginapan 3 malam kami hanya dengan penginapan bajet sahaja. Kami akan sewa 2 buah homestay, satu untuk rijal dan satu untuk nisa’. Jika tidak cukup, sukarelawan pengiring bertugas biasa tidur atas bas atau di masjid sahaja. Anggaran sewaan homestay selama 4H3M di lokasi KB dan Kemaman ini dianggar berjumlah sekitar RM3000 keseluruhannya.

Wakaf boleh dalam pelbagai bentuk, samada berbentuk dana, makanan, penginapan, bahanapi kenderaan dan sebagainya.

Namun begitu, prinsip RPWP sejak dahulu memang tidak meminta-minta dengan paksa. Kami tidak meletakkan tabung anak yatim di sana sini. Menyuruh anak kami jual tisu atau bawa tempurung dan resit dengan meminta sedekah di merata tempat jauh sekali. Jika ada yang memberi gula-gula atau duit dengan cara melontarkan ke tanah sepertimana biasa kita lihat di majlis-majlis terbuka juga kami larang anak kami ikut mengutipnya.

Kami membuka pintu sedekah ini untuk memenuhi permintaan beberapa pembaca yang ingin ‘menitipkan’ amalan mereka melalui usaha kami. Allah melarang kita ‘menghalang manusia dari jalan Allah’. Ia juga menamampakkan bahawa sedekah di sisi Islam adalah satu ibadah yang amat besar basmallahnya. Ia perintah dari Allah bagi penerima (amil) dan pemberi, bukanlah ia sesuatu yang menghinakan.

Begitu juga dengan Program Kembara Sekolah Alam ini, ia tidak bergantung kepada dana wakaf semata-mata. Seperti sebelumnya, di mana kami pernah buka wakaf tanah, wakaf kren, wakaf bas, wakaf kembara alam, misi bantuan kemanusiaan dan lain-lain. Kami tetap meneruskan pembelian dan program yang dirancang samada ada yang mewakaf atau tidak.

Kami bukakan pintu wakaf dan sedekah ini sekadar untuk memberi peluang kepada insan-insan prihatin yang tidak berkesempatan untuk berjihad bersama kami dalam jihad pendidikan membentuk generasi ini. Ia juga untuk memberi peluang lebih luas kepada yang masih tercari-cari di mana dan apakah amal anak Adam yang boleh terus menerus dijadikan bekalan amalan selepas matinya, yang jelas halatuju serta bersifat kekal dan lebih pasti hasilnya.

Islam itu berdasarkan misi NAHNIAH dengan berjemaah, bukan bersifat individualistik atau ANANIAH. Dengan membuka pintu wakaf ini juga kami harap lebih ramai yang akan merasakan RPWP ini adalah milik kita bersama. Anak-anak RPWP juga kami wakafkan kepada umum tanpa prejudis. Demi kepentingan generasi, kami minta mereka untuk InsyaAllah hidup bersama anak-anak lain, khususnya wakif dan munfiq yang dikenalpasti. Kami minta mereka berkongsi bekalan pendidikan yang terkumpul melalui semua yang kami usahakan selama ini.

Alhamdulillah, setakat ini, sekadar kerja-kerja mengurus jenazah, tahlil dan doa, atau untuk menceriakan pelbagai majlis dengan kompang, nasyid, gotong royong membantu golongan yang memerlukan dan lain-lain itu memang sudah menjadi lumrah bagi anak-anak RPWP sejak hari pertama lagi.

WAKAF BAS SEKOLAH ALAM KE 2

Selain dari wakaf Kembara Sekolah Alam ini, WAKAF BAS SEKOLAH ALAM juga masih di buka untuk kita dapatkan bas yang ke 2. Kami harap ia dapat menjawab pertanyaan dari mereka yang sering tertanya-tanya. RPWP telah membiayai lebih separuh dari kos pembelian unit bas yang pertama, bakinya telah didanai oleh sumbangan wakaf, Alhamdulillah. Dengan adanya bas milik sendiri, segala program boleh dijalankan dengan lebih murah dan lancar, tanpa terikat dengan jadual pihak ke 3. Lebih banyak program ad-hoc juga boleh disertai dengan adanya bas sendiri.

Dengan itu Jika ada yang berminat untuk mewakaf, bolehlah hubungi kami di talian berikut;

Puan Werda (Mak Long) – 013-5858789 (call, sms & whatsap)
Puan Irawanti – 013-5858460
Inbox ke Page FB “Warga Prihatin” atau email ke: prihatin@live.com
Anda juga boleh buka menu ‘alamat’ di website kami www.prihatin.net.my

Bagi yang ingin mengenali dan bersilatulrahim dengan kami di lokasi juga dialu-alukan. Silalah berhubunglah dengan nombor di atas. InsyaAllah jika tiada aral, kami akan adakan sessi bersilaturrahim di sekitar Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan pada malam 26 dan 27hb. dan di Kemaman pada malam 28hb. Datanglah bersama-sama keluarga untuk berkongsi buah fikiran bersama anak-anak RPWP dan juga penjaga-penjaga mereka.

Anda juga boleh tolong kami forwardkan / share posting ini kepada saudara mara, kenalan yang mungkin mampu membantu misi anak-anak untuk bertemu pemimpin-pemimpin negeri serta sebarang peluang pemerhatian alam yang unik di pantai timur mampu jadi kenyataan.

Terima kasih

WARGA PRIHATIN
Pengelola & Pengasas Program Sekolah Alam

Sekolah Alam ke 4, Bah 7 – Mutasyabihat rumput dan lalang perosak padi

sek alam 4 bah 7PEMERHATIAN SEKOLAH ALAM ke-4
Bahagian 7

MUTASYABIHAT RUMPUT & LALANG PEROSAK PADI

Semasa melalui sawah padi yang telah berusia sekitar 50 hari, anak-anak bertanya kepada kami adakah selepas di tanam padi itu ia hanya perlu tunggu hari untuk dituai sahaja. Apakah kerja petani selain dari itu.

Ustaz Shauki yang menjadi pembantu murobbi dalam bas itu, yang kebetulan juga seorang anak pesawah padi dari Utara menjawab. Pelbagai proses lagi yang perlu dikerjakan oleh pesawah selepas padi di tanam. Antaranya ialah MENCABUT LALANG dan MERUMPUT. Itulah kerja-kerja membuang apa saja tumbuhan liar yang tumbuh selain dari padi. Selepas itu harus dilakukan juga kerja meracun serangga perosak dan mencegah serangga perosak atau pemakan padi seperti burung dan sebagainya.

PERIHAL LALANG DAN RUMPUT

Lalang dan rumput ini sebenarnya tidak mengganggu padi secara langsung. Tetapi tumbuhnya mereka dicelah pokok padi akan menyebabkan air, baja dan nutrien yang dibekalkan oleh petani akan dikongsi sama untuk menyuburkan lalang-lalang ini.

Lalang ini walaupun subur namun ia tidak mendatangkan hasil. Kesuburan pokok padilah yang boleh mendatangkan hasil yang kita harapkan. Jika dibiarkan lalang dan rumput itu, kelak nanti kuantiti padi akan berkurangan dan gred padi akan jadi teruk. Banyak padi hanya tinggal kulit sahaja dan kurang isinya (padi angin).

Apabila dibuka perbincangan di dalam bas itu, anak-anak membuat rumusan bahawa padi yang dijaga tanpa gangguan dari lalang dan rerumputan akan mendatangkan hasil yang baik. Kemudian Secepat kilat anak-anak segera mengaitkan dengan pribahasa tentang padi. Itulah sifat padi yang semakin tunduk bila ia semakin padat berisi.

Selepas itu masing-masing mula mengambil peribahasa itu sebagai analogi kepada sikap manusia yang baik, iaitu dikaitkan dengan pengisian ilmu seperti santan padi itu sendiri. Jika kita ada banyak ilmu di dada ataupun banyak harta di dalam bank, sebaiknya kita ikut resmi padi, semakin tunduk. Padi yang mendongak adalah petunjuk kepada padi yang kosong kurang berisi (padi angin).

Selain dari itu, turut dikaitkan dengan peribahasa yang merujuk kepada sifat Lalang. Jangan lah kita jadi ‘seperti lalang’, gambaran sifat orang yang tiada pendirian dan meliuk lentok mengikut tiupan angin sahaja.

Peribahasa “Ku tanam padi, lalang yang tumbuh’ turut mengaitkan kepada pekerjaan yang tidak mengeluarkan hasil yang diharapkan. Sesubur mana pun lalang yang menyerupai daun padi, ia hanya mengeluarkan bunga yang berbau busuk dan tidak banyak manfaat kepada kehidupan manusia. Lebih gemuk lalang, lebih banyak ia merosakkan padi dan ubi.

Ini juga analogi kepada gambaran sifat manusia. Lebih menarik lagi jika kita kaji akibat dari keberadaan unsur lalang dalam kelompok padi. Apabila sifat lalang yang tiada pendirian ini turut berada di dalam kelompok manusia dengan sifat yang baik, ia akan mudah menyebabkan manusia baik juga menjadi rosak.

KESIMPULAN

Ulasan menarik dari anak sebulat suara mengkhabarkan bahawa, percampuran antara sikap baik dan jahat hanya akan merosakkan yang baik berbanding membaikkan yang jahat.

Allah ajar cara menangani masalah percampuran ini secara alam melalui program Pemerhatian Sekolah Alam ini. Pelajaran besar darinya ialah, jangan kita izinkan keberadaan atau Jangan bekerjasama dalam satu saf dengan golongan lalang yang tidak mendatangkan hasil dan tidak berpendirian ini. Sebaliknya bekerjasamalah dengan golongan yang bersifat padi, dada “penuh” tetapi menunduk.

Setitik najis apabila bercampur dengan sebaldi air tidak menjadikan najis itu bersih tetapi akan menjadikan air yang bersih itu jadi kotor. Buanglah sifat lalang dalam diri kita. InsyaAllah apapun yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil yang lumayan.

“Dan orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang”. (QS: 9. At Taubah 102).

Kehidupan harian kita sekarang terlalu banyak mencampur adukkan program dan amalan yang baik dengan yang buruk. Jam sekian keudara program dakwah di tv. Sejurus selepas itu kita papar program maksiat yang sangat menjolok mata. Pengacara TV yang mewawancara isu akhlak dan agama itu sendiri pun tidak menutup aurat. Maghrib kita ajak anak ke surau, lepas isyak kita bawa anak tengok wayang atau konsert. Wang gaji kita juga bercampur aduk dengan hasil penipuan perniagaan dan rasuah.

Seterusnya, kami tinggalkan anda untuk muhasabah diri dan sama-sama turut memikirkan pelajarannya.

DISKLAIMER

Ini hanya cetusan anak-anak sahaja. Jika anda rasa ia tiada kaitan dengan anda, atau anda tidak setuju dengan rumusan anak-anak ini sila jaga adab dalam meraikan perbezaan pendapat. Kami tidak paksa anda BACA, SHARE atau LIKE artikel ini. Namun kami tiada pilihan melainkan terpaksa keluarkan anda dari jemaah pembaca page ini.

Kami yakin ramai yang bersetuju kerana kita tidak mahu orang yang tidak tahu menjaga adab, suka mencarut dengan perkataan ala samseng macam orang sawan di ruang komen. Anda akan merosak suasana musyawarah dalam ruangan ini jika dibiarkan.

49. Al Hujuraat 11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

8. Al Anfaal 37. supaya Allah memisahkan yang buruk dari yang baik dan menjadikan yang buruk itu sebagiannya di atas sebagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahannam. Mereka itulah orang-orang yang merugi.

Cetusan dari anak-anak
Ditulis oleh
WARGA PRIHATIN

Sekolah Alam ke 4, Bah.6 – Cina suka bola keranjang, Melayu suka bolasepak

sek alam 4 bah 6PEMERHATIAN SEKOLAH ALAM ke-4
Bahagian 6

CINA SUKA BOLA KERANJANG vs MELAYU SUKA BOLASEPAK

Ini mungkin perkara kecil sahaja namun ia menimbulkan persoalan dari anak-anak di dalam bas di sepanjang perjalanan Sekolah Alam ke 4 di Tanjung Karang baru-baru ini. Mereka bertanya. Soalan mereka ialah, mengapa di perkampungan dan Sekolah Cina permainan utamanya mesti bola keranjang. Inilah yang mereka perhatikan sepanjang merentasi jalan tepian bendang dari Sekinchan sehingga ke Tanjung Karang, banyak rumah-rumah Cina terpasang bulatan keranjang itu walaupun tanpa padangnya.

Mulanya kami menjawab, mungkin kerana Sekolah Cina ada ruangan yang terhad untuk mereka membina padang bola. Namun agak kurang tepat juga jawapan tidak pasti sebegitu.

Anak-anak melihat sekitar petang selepas hari mula redup, anak kampung Melayu pula dah mula berkumpul bermain bolasepak. Itu bukan permainan tradisi kita tetapi dah jadi satu kebiasaan pula dengan orang Melayu dewasa ini.

Ini bukan satu perbandingan yang konkrit namun kami mencari asal usul mengapa bola keranjang dan mengapa tidak bolasepak. Perbincangan kami turut menyingkap hidayah-hidayah dari Al-Quran yang pernah kami kaji dan juga oleh anak-anak di dalam bas tentang hadis pesanan nabi untuk ajarkan anak berenang, memanah dan berkuda.

Wak Amin, tuan rumah homestay kami… yang memang kaki menembak di kampung itu turut mengulas sunnah tersebut dengan menyatakan atas sebab itu juga homestay beliau turut dilengkapi dengan kolam renang. “Jika dahulu adanya memanah, maka pesanan nabi memanah… jika ketika itu adanya senapang, mungkin pesanan nabi ialah untuk ajar anak menembak pula”.

Atas dasar itu, maka kami terus mengambil perbandingan sisi tentang memanah untuk menjawab persoalan budaya bola keranjang Cina ini.

Dalam sunnah memanah ini anak-anak membuat sintesis mudah bahawa pesanan Nabi SAW itu mahukan kita sentiasa mengajar anak-anak generasi agar menjadi tepat dalam sasaran apapun yang kita kerjakan. Dalam sunnah berenang pula, analogi yang dirumus ialah agar anak-anak belajar bertenang dan mampu mengapungkan diri untuk mengharung lautan manusia. Kemudian dijelaskan bahawa sunnah memacu kuda adalah analogi kepada tuntutan agar kita mampu bertindak tangkas dan pantas, termasuk dalam mengurus kenderaan yang kita kenderai.

Kaitannya dengan bola keranjang ialah bicara TARGET. Anak Cina dibiasakan dengan sukan yang mempunyai target yang memerlukan tumpuan dan disiplin untuk memasukkan bola ke dalam gelung kecil dari jarak yang jauh. Permainan bolasepak juga sama, ia melibatkan sasaran tetapi agak besar juga sasaran itu.

Kami melihat itu sebagai satu perbandingan yang mampu anak-anak kupaskan. Kami tambahkan sedikit bahawa pembinaan karakter dan psikologi manusia ini terkait banyak dengan apa yang mereka jadikan permainan semasa awal umur mereka dan semasa mereka membesar.

Fokus yang jitu mampu mencapai target. Walaupun bolasepak juga permainan yang terkait dengan target, tetapi ia tidak boleh dimainkan sendirian. Agak unik dan menarik apabila kita lihat anak Cina masih boleh berlatih untuk “aim” walaupun ketika mereka berada sendirian di halaman rumah mereka pada setiap petang. Mereka tidak perlukan suasana ‘pesta’ berkumpul dan bertepuk sorak beramai-ramai yang boleh melekakan untuk bermain bola sepak.

Hari ini, kita juga mampu lihat bagaimana orang Cina lebih tepat dan fokus dengan apa yang mereka mahukan berbanding dengan orang Melayu yang sering lari fokus. Ada yang baru nak naik sedikit niaganya, dah alah dengan godaan wanita muda bergetah lantas berkahwin lagi 1, 2 dan 3 kononnya mengikut sunnah. Baru sahaja perniagaan nak laku, kereta Wira dah bertukar jadi Jaguar. Itu belum masuk trend yang memasukkan bajet kereta mewah dalam pinjaman perniagaan sebelum perniagaan itu bermula pun. Habit ini banyak kami perhati berlaku di kalangan sebahagian dari kami juga sebelum ini.

Ada buruk, ada baiknya… untuk majukan diri kita, baik kita nampakkan mana kelemahan kita dan kaji apakah pula kelebihan orang lain untuk ditauladani.

Pemerhatian oleh Anak-anak
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN

Sekolah Alam ke 5 – Gelandangan dan pengemis : SATU PILIHAN ATAU TAKDIR?

sek alam 5 gelandanganSekolah Alam ke 5 – Gelandangan dan pengemis : SATU PILIHAN ATAU TAKDIR?

Bermula kira-kira jam 10.30 malam minggu yang lepas, kami bawa anak-anak keluar untuk sesi selingan Sekolah Alam khusus. Anak-anak diminta untuk mengambil pelajaran, melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana sedih dan pilunya kehidupan manusia-manusia gelandangan dan pengemis di sekitar bandaraya metropolitan Kuala Lumpur.

Untuk sesi kali ini kami hanya pilih anak-anak yang sudah berakal dan diiringi oleh beberapa murobbi dewasa. Sebelumnya anak-anak telah turutsama dalam kerja persiapan, membungkus makanan untuk diagihkan kepada golongan tersebut.

Untuk mengelakkan pendedahan yang ‘terlampau’ maka rondaan malam itu hanya berkisar di beberapa lokasi ‘terpilih’ sahaja. Anak-anak dapat melihat sendiri kesusahan, kesengsaraan, kelaparan dan ketidakselesaan mereka-mereka yang bergelimpangan tidur di kaki lima, di taman-taman, di pinggir sungai, di bawah jambatan mahupun di luar perkarangan masjid.

Penerangan yang diberikan oleh pihak penganjur menunjukkan gejala gelandangan dan pengemis ini begitu berleluasa di kota yang pesat membangun ini. Bilangan mereka semakin bertambah hari ke hari. Difahamkan ada sekitar 6,000 gelandangan di Kuala Lumpur sahaja. Kami difahamkan sejak 2008 pihak tertentu berusaha mengedarkan makanan dan keperluan harian. Ada pihak tertentu yang mengeluarkan peruntukan dana yang besar, ada pula yang menjadi sukarelawan tetap untuk menguruskan pengagihannya.

PEMERHATIAN ANAK-ANAK

Secara ringkasnya dirumus bahawa memang ada golongan miskin dan tertekan yang wajib dibantu. Namun kebanyakan daripada golongan ini kelihatan cukup sifat, masih bertenaga dan kelihatan seperti insan biasa yang lain. Tambah menyedihkan, segelintir mereka hidup berpasangan, bergelandangan bersama anak-anak kecil yang selayaknya tinggal di rumah yang berbumbung.

Pemerhatian unik yang dilapurkan oleh anak-anak kami ialah bahawa sebahagian dari kumpulan gelandangan ini kelihatan sangat canggih. Ada yang dilihat menyebarkan berita ketibaan bekalan makanan dengan walkie talkie kepada rakan-rakan mereka. Ramai juga yang kelihatan seperti dari golongan ‘berada’, memakai pakaian mahal, malah ada yang memakai telefon, jam dan gajet elektronik yang mahal.

Antara gelagat yang diperhatikan ialah akhlak ramai dari gelandangan ini yang tidak beradab. Tidak ada basa basi dalam menerima pemberian orang ramai. Sebahagian tidak berkata terima kasih pun. Hormat kepada pemberi jauh sekali. Apabila diwawancara ada yang mengelak dan ‘menarik muka’. Bila ditawarkan mahukah mereka diberi tempat di rumah perlindungan, cepat saja mereka menjawab ‘tidak mahu’.

Beberapa gelandangan yang kelihatan waras sempat diwawancara oleh anak-anak kami. Antara alasan bergelandangan yang mereka beri ialah kerana berkelahi dengan ibu bapa, kaum keluarga lalu melarikan diri keluar rumah untuk hidup bebas. Mereka sanggup menjadi gelandangan kerana tidak mahu terkongkong dengan peraturan ibubapa dan keluarga. Ada juga anak dara Melayu yang bertudung bersama golongan itu.

Beberapa dari anak-anak kami sempat mencuri pandang, ternampak begitu banyak jarum-jarum dadah, bahkan sempat melihat di celah lorong itu beberapa urusniaga jual beli dadah yang kebetulan berlaku di depan mata mereka.

Seorang anak kami pernah menjadi mangsa keganasan ragut oleh sekumpulan berlima dan bersenjata sewaktu berjalan kaki menuju ke Stesen Bas Klang di awal pagi seperti perasan kelibat salah satu peragut itu di situ. Lokasi jenayah tidak jauh pun dari balai polis Jalan Bandar. Orang awam hanya melihat sahaja jenayah itu berlangsung. Tersungkur-sungkur anak kami mempertahankan beg galas berisi komputer dan kamera yang dirampas secara berdepan pada pagi itu. Beliau terpaksa mengalah apabila peragut mengeluarkan pisau dan mencabar anak kami untuk ke ‘markas’ mereka jika tidak puas hati.

FURQON ANAK-ANAK

Ada juga yang komen mengatakan furqon atau pelajaran dari anak-anak yang selalu kami kongsikan itu sebenarnya adalah dari kami sendiri. Jangan bimbang, kami akan susuli ulasan anak-anak dengan klip rakaman video selepas ini.

Antara furqon anak-anak menyatakan keadaan gelandangan itu amat menyedarkan mereka betapa perlunya seseorang itu kepada tempat berteduh yang sempurna, samada milik sendiri atau disewa. Untuk hidup sempurna kita harus ada rumah yang berperaturan dan berpengatur. Itulah hakikat Bait, Ahlul Bait, Baitullah, bahkan Kaabah yang menjadi kiblat solat juga berasaskan rumah.

Melihatkan ramai gelandangan yang bertubuh sasa dan sihat-sihat belaka, maka anak-anak menampakkan tidak wajar mereka bergelandangan dan diberi makan secara percuma. Ini akan membuatkan mereka semakin malas dan menggalakkan pertambahan bilangan mereka dari hari ke hari.

Keadaan gelandangan yang tidak berumah akan membuatkan mereka terbiar dan tidak berpengatur, akibatnya mereka ini akan hidup liar dan memudaratkan masyarakat. Anak-anak bertanya mengapa tidak mereka ini di kumpulkan di satu tempat khas seperti di RPWP agar proses membantu mereka boleh dilakukan dengan lebih terpantau dan sempurna?

Terlalu ramai orang Melayu yang ‘seharusnya’ beragama Islam dalam kelompok gelandangan itu. Islam mengajar umatnya untuk rajin bekerja dan hidup berpengatur dan berperaturan dalam suasana berumahtangga (QS: 9/105). Apa yang di lihat menampakkan kegagalan semua individu gelandangan tertentu, khususnya golongan lelaki untuk lebih bertanggungjawab dan berusaha keras bagi mempastikan kesejahteraan keluarga mereka.

Anak-anak turut melahirkan rasa pelik dan sedih apabila melihat ramai golongan wanita yang fitrahnya lemah pula yang menjadi sukarelawan untuk menghulurkan bantuan makanan terhadap gelandangan yang majoritinya lelaki yang sihat dan gagah. Dunia ini sudah terbalik kata mereka. Memandangkan golongan yang bernar-benar berhak dibantu adalah amat sedikit, dan ramainya mereka yang bergelandangan itu pula adalah golongan yang seolah-olah sengaja suka bergelandangan, maka wajar mereka diasingkan dan dipilih.

Dalam banyak program bantuan kemanusiaan yang pernah dilakukan oleh RPWP mereka kata yang ini menampakkan satu kelainan. Mereka hanya dapat pelajaran dari apa yang dilihat, tetapi bantuan yang diberi hanya bersifat sementara kesannya dan seolah-olah menjadi satu pembaziran yang nyata. Ini sangat berbeza berbanding program menolong fakir miskin, anak yatim, mangsa bencana atau di rumah-rumah orang tua, di mana mereka sangat rasakan kepuasannya.

ULASAN WARGA PRIHATIN

Kami sempurnakan perjalanan Sekolah Alam yang tidak dilawati pada malam minggu itu dengan meneliti pusat-pusat gelandangan yang lebih ‘panas’ tanpa anak-anak ikut serta. Ia meliputi kawasan yang dipenuhi sarang pelacuran, golongan mak nyah dan sebagainya.

Kalau dikaji dari sudut sosiologi, masalah gelandangan dan pengemis ini mempunyai hubungan rapat dengan faktor permasalahan keluarga, dadah, peminggiran masyarakat, tahap pemikiran yang rendah, pengaruh lingkungan, dan sebagainya. Sebahagiannya mencipta perasaan rendah diri yang melampau berbanding masyarakat normal menyebabkan mereka mencipta kemurungan diri. Jika tidak dirawat, ini akan menyebabkan mereka lebih suka menyendiri dan mati akal untuk mencari jalan keluar.

Dadah telah dijadikan sebagai ubat penenang jiwa hingga berlaku ketagihan yang tidak terkawal. Daripada asalnya untuk mencari ketenangan, dadah telah merubah mereka menjadi pengganas. Ini berlaku apabila saat mereka ketagih dadah dan tiada wang untuk membeli, maka ketagihan itu menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan sanggup melakukan apa sahaja perkara luar jangka.

Di samping itu, melacur diri juga dijadikan alasan untuk mendapatkan duit secara mudah. Bila diri sudah tua dan tiada harga lagi, hujungnya wanita ini akan hidup merempat dan mengemis untuk sesuap nasi dan kebanyakan mereka juga adalah penagih dadah tegar.

Sebenarnya, daripada input yang yang kami dapat dan hasil pemerhatian kami, golongan gelandangan dan pengemis ini adalah manusia biasa yang mampu untuk berusaha untuk mencari hasil pendapatan sendiri. Tetapi disebabkan masalah peribadi dan penglibatan mereka dengan dadah, mereka menjadi insan yang hilang harapan dan menyerahkan kesemuanya kepada takdir Allah semata-mata. Ada yang sanggup tukar agama jika tidak dibantu. Wajarkah begitu?

Alangkah bodohnya jika perkara buruk yang berlaku kepada mereka akibat dari perbuatan tangan mereka sendiri, lalu takdir Allah pula yang dipersalahkan. Telah jelas Allah nyatakan bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah jika mereka tidak berusaha untuk merubahnya. Secara analoginya, makanan yang sudah ada di tangan sekalipun tidak akan masuk ke dalam mulut jika kita tidak menggerakkan tangan ke arah itu.

Riwayat yang mengatakan seorang wanita pelacur masuk syurga hanya kerana memberi minum seekor anjing harus diteliti semula pentafsirannya. Adakah kemungkinan salahfaham yang boleh melemahkan kita. Pertamanya syurga yang diriwayatkan itu perkara ghaib yang Allah arahkan nabi SAW katakan hanya Allah yang tahu. Keduanya ialah sifat keprihatinan terhadap haiwan itu wajar kerana haiwan itu tiada akal untuk berusaha, ia jauh bezanya dengan manusia yang berakal, tambahan pula lelaki yang sihat dan gagah perkasa. Mereka bukan sahaja sengaja tidak mahu bekerja malah ramai yang menzalimi diri dengan menghisap dadah dan rokok..!!.

Salahnya kita di sini adalah bila kita dengan sengaja, cuba untuk membantu memberi makanan secara percuma kepada mereka secara menyeluruh. Secara tidak langsung ini telah menyebabkan mereka menjadi manja dan terlalu bergantung kepada bantuan masyarakat yang kononnya prihatin kepada masalah gelandangan dan pengemis. Sebaliknya, mereka menjadi semakin malas dan terlalu dependen kepada ikhsan orang ramai tanpa berusaha gigih. Lebih malang lagi bila ramai yang mementingkan diri, sanggup melakukan jenayah dan menganiaya orang lain.

Pihak kerajaan dan NGO seharusnya meneliti punca masalah tersebut dan mencari jalan penyelesaiannya. Hari ini berlaku pertembungan antara pihak berkuasa yang cuba menyelesaikan masalah ini melalui cara menangkap dan menghalau mereka daripada merempat di jalanan, dengan kumpulan yang ingin melaksanakan misi kemanusiaan kepada golongan ini. Ada kalanya ia sempat dipolitikkan. Akibatnya, masalah ini bukan sahaja tidak selesai malah akan menjadi semakin tenat.

Keberadaan mereka ini menjadikan kota yang cantik kelihatan sangat hodoh dan menakutkan, khasnya di waktu malam dan ditempat sunyi. Kekotoran dari pembuangan sampah merata-rata menyebabkan kebersihan kota tercemar. Jenayah ragut dan rompak juga semakin menjadi-jadi dan tidak terbendung lagi.

Kami setuju dengan pendapat anak-anak kami bahawa memberi makan kepada mereka ini secara umumnya bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik kepada masalah ini. Mungkin lebih baik jika wang yang digunakan untuk misi makanan disalurkan untuk satu pembangunan khas yang mampu menempatkan mereka secara terpantau. Dana tersebut juga boleh dimanafaatkan untuk kegunaan pihak polis membenteras jenayah dan menangkap pengedar dadah yang menjadi punca kepada pertambahan penagih-penagih dadah hari ini.

KESIMPULAN

Dengan membenarkan gelandangan berterusan begini, walau dengan apa cara sekali pun, terutama sekali dengan menyumbang makanan percuma, gejala-gejala buruk seperti ini akan menjadi bertambah buruk, jenayah akan semakin menjadi-jadi. Hatta, nasib buruk masyarakat kita akan tetap kekal seperti ini. Janganlah kita hanya pasrah kepada nasib, sehingga kita tidak ada kemahuan untuk melakukan perubahan diri.

Kondisi sekarang memerlukan kita untuk bersatu membenteras gejala sosial, meningkatkan tahap pendidikan akhlak anak-anak, memantau pergerakan dan perilaku anak-anak kita secara maksimum melalui institusi rumahtangga. Menyeru mereka tanpa menggunapakai peraturan Allah di rumahtangga (Konsep Baitullah) akan menyebabkan segala usaha kita jadi sia-sia (QS; 8/35,36). Anak bangsa kita kini sudah semakin hilang halatuju.

Pilihan untuk menjadi gelandangan dan pengemis atau menjadi umat yang produktif adalah di tangan kita sendiri. Jika kita tidak berusaha untuk bekerja dan tidak mengkaji kesilapan diri, maka jangan pula sekali-kali salahkan kepada takdir Ilahi. ‘Reach Out’, penderma dan beberapa sukarelawan telah melakukan satu usaha murni tapi hujungnya seolah-olah sia-sia.

Kami tutup rencana ini dengan perkongsian insiden lucu ini…

Bas kami yang diletakkan di bahu jalan telah disergah oleh sepasukan anggota trafik yang marah-marah walaupun jalan lengang dan injin bas serta lampu berhenti masih hidup. Walaupun telah kami jelaskan tujuan kami untuk menunggu anak-anak mengagihkan makanan, namun mereka tetap marah marah.

Apabila pemandu kami tanyakan apa salah kami sebenarnya? Mereka kata salah kalian ialah kerana memberi makan gelandangan dan semua itu menyusahkan kerja mereka. Gelandangan ini sepatutnya di hukum tembak saja.. jerit mereka.. Ungkapan pedas itu turut didengar sebahagian anak-anak yang tidak turun dari bas. Kami tinggalkan isu ini kepada anda untuk menilai kebenarannya.

Furqon Gelandangan
WARGA PRIHATIN

Sekolah Alam ke 4, Bah 5 – Di mana anak kita? adakah mereka bebas dari gejala?

sek alam 4 bah 5Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 5
DI MANA ANAK KITA? ADAKAH MEREKA BEBAS DARI GEJALA?

Homestay yang kami diami semasa Program Kembara Alam ke 4 ada kolam renang yang agak besar saisnya. Penduduk berdekatan sentiasa datang untuk mandi manda dengan bayaran RM3 seorang untuk mandi sepuasnya. Kasihan juga pada keluarga Wak Amin dan Wak Sur yang agak kuwalahan untuk mengendalikan pengurusan tetamu yang mandi di situ. Ada yang datang 15 orang tetapi hanya 7 orang yang bayar. Bakinya curi-curi masuk sahaja tanpa dikesan.

Apa yang ingin kami kongsikan bukanlah soal pengurusan kutipan yuran daripada orang-orang yang datang mandi. Kami ingin kongsikan pemerhatian anak-anak tentang percampuran laki-laki dan wanita semasa aktiviti mandi manda di situ.

DISIPLIN PERGAULAN DAN BATAS AURAT RPWP

Di RPWP ada lebih 100 orang penghuni yang terdiri dari rijal dan nisak, tua dan muda. Soal aurat memang sangat kami tekankan dengan serius. Aurat bagi kami juga bukan sekadar ala kadar menutup kepala dan tubuh. Kami sangat tegaskan kepada anak-anak tentang bezanya bungkus dan tutup. Kami jelaskan kepada mereka apa itu sebenarnya aurat dan mengapa Allah minta kita tutup, bukan sekadar bungkus.

Hampir semua anak anak kami yang sudah berakal akan diminta membaca alquran terjemahan per-kata (harfiah/huruf per huruf). Oleh itu, mereka tahu surah mana dan ayat mana yang menetapkan mereka untuk menutupi aurat itu. Kami SENTIASA jelaskan kepada mereka segala skop aurat sejelas-jelasnya.

Bentuk dan anggota badan ada aurat yang perlu ditutup dengan tepat mengikut spesifikasi Allah melalui spesifikasi pakaian dalam, pakaian luar dan tudung. Gaya berjalan, gaya bercakap, renungan mata dan memek muka, lontaran suara dan hilai tawa semuanya ada batas aurat yang memberi aura kepada pelbagai gejala seksual tertentu dan harus turut dijaga, bukan pakaian semata-mata.

Alhamdulillah, setelah hampir 10 tahun warga prihatin hidup bersama dalam komplek ini, kami bersyukur kerana dapat memahamkan anak-anak dengan baik. Kesemua mereka akur redha untuk sentiasa berada dalam keadaan menutup aurat walaupun semasa menonton tv di ruang tamu sendiri, kerana kami berkongsi ruang tamu dan dapur dengan semua orang. Satu-satunya tempat anak nisak kami melepaskan tudung ialah di bilik tidur dan bilik air sahaja.

Pergaulan antara rijal dan nisak sangat kami kawal. Pergaulan bebas jauh sekali. Tempat tidur, tempat riadah, tempat solat semuanya diasingkan. Setelah sekian lama budaya hidup ini diamalkan, maka kami dapati anak anak kami sangat sensitif soal batas pergaulan dan hal ehwal aurat ini.

Menarik juga apabila anak-anak ini di bawa ke luar, sekecil 6 tahun sudah boleh bertanya mengapa pakaian kakak atau mak cik itu ketat sangat, mengapa mereka tidak pakai tudung, mengapa belakang badan dan dada mereka terdedah.? Mengapa pakaian mereka tidak ikut spesifikasi sepertimana yang diajarkan RPWP kepada mereka.? Mengapa mereka bertepuk tampar dengan lelaki, malah ketawa mengilai-ngilai dan berdekah-dekah macam orang kena sawan tanpa malu dan segan di khalayak ramai atau dalam majlis?

Trend orang kita yang semakin menjadi-jadi sekarang ialah hanya tutup aurat kerana adat atau sebagai uniform sahaja. Di sekolah anak kita pakai tudung kerana peraturan sekolah atau malu dengan kawan-kawan. Keluar pagar sekolah masing-masing buka tudung. Ada yang terus masuk kereta ibu bapa yang juga tidak menutup aurat, atau terus ke bandar bersama teman lelaki dan perempuan untuk berkeliaran sesuka hati. Dalam kelas pun mereka boleh raba meraba depan rakan sekelas, bahkan boleh mengadakan hubungan seks secara terbuka. Rasa malu sudah tiada sama sekali sekalipun bertudung.

Keadaan yang sama turut berlaku apabila kita bawa keluarga pulang ke rumah orang tua sewaktu hari raya dan kenduri kendara. Kanak-kanak dan remaja Lelaki dan wanita, bahkan sebahagian dari ibu bapa juga tidak menjaga batas aurat secara kaffah. Ada di kalangan sepupu sepipit yang berboncengan motorsikal, ada yang mandi sungai dan berkelah, ada yang bersama main mercun bahkan berbual dalam gelap malam tanpa sebarang pencegahan. Hanya semata-mata memikirkan mereka itu bersaudara, tanpa kebimbangan berlakunya perkara sumbang apabila syaitan telah ikut serta dalam aktiviti itu.

Setiap kali balik dari percutian raya, ada sahaja perkongsian dari anak-anak tadika yang pulang ke desa tanpa takut dan segan menegur nenek atau makciknya yang tidak memakai tudung, bahkan ada yang hanya berkemban di laman rumah. Ramai juga yang dengan selamba sahaja menegur makcik dan sepupu mereka yang remaja kerana bertudung tapi memakai seluar ala legging yang sangat ketat dan mengiurkan, apatah lagi yang tidak memakai tudung sama sekali.

Akhirnya ramai yang tersipu-sipu malu. Ada yang kelihatan berubah pada pertemuan berikutnya. Ada juga yang terus membenci dan menyisihkan anak-anak ini kerana menyekat kebebasan mereka untuk berpakaian atau berkelaluan sesuka hati. Ada yang mengatakan kami kolot dan tidak ikut peredaran zaman serta berbagai bagai lagi reaksi. Kami serahkan kepada anda untuk menilai perkongsian ini dan melakukan tindakan apa yang perlu.

CERITA DI KOLAM MANDI HOMESTAY

Anak-anak rijal dan nisak kami gilirkan. Di siang hari untuk anak-anak rijal. Selepas jam 12 malam peluang diberi untuk anak rijal yang besar dan bapa-bapa pengiring. Anak-anak nisak dan ibu-ibu pengiring diaturkan diwaktu subuh di mana orang masih lena tidur. Kasihan juga apabila ramai anak-anak nisak kami mengambil keputusan untuk tidak ikut mandi kerana walaupun waktu subuh, namun cahaya lampu masih terang. Oleh itu hanya yang kecil kecil sahaja merasa mandi.

Ini berlainan sewaktu kembara kami di Baling. Anak sungai yang telah kami bersihkan itu benar-benar terpencil dan tiada orang yang dapat melihat. Maka dapatlah anak-anak nisak kami bersama ibu-ibu pengiring merasa berendam dalam sungai kecil itu dengan aman. Semuanya kerana perasaan ‘malu’ yang nabi SAW katakan menjadi sebahagian dari ‘teras iman’ itu. Tanpa ‘malu’, maka kita akan berperangai macam haiwan.

Perkongsian anak-anak kali ini menampakkan satu kelainan apabila sentiasa ada anak nisak di kampung itu yang mandi bersama-sama begitu ramai lelaki pelbagai bangsa yang mandi di kolam itu. Pemerhatian paling menyedihkan ialan pada petang sebelum keberangkatan pulang. Anak-anak kami memerhatikan ada seorang sahaja anak dara sunti sekitar 14 tahun yang begitu lama berada dalam kolam itu dan mandi bersama begitu ramai budak lelaki. Beberapa pengiring membantu penelitian dan jelaslah aktiviti itu tidak dipantau sama sekali.

Keadaan kolam yang bertembok tinggi, banyak dinding, pokok serta tempat tersorok di sana sini sangat mencurigakan. Anak gadis ini bukan sahaja tidak membatasi penutupan auratnya, malah dilihat seperti sudah terlalu biasa bersentuhan badan, bertepuk tampar dan hilai tawanya bersama budak-budak lelaki yang mandi di kolam itu. Bahasa mudahnya anak ini sudah agak ‘high’ dan ‘teransang’ sekali.

Anak kami mungkin hanya melihat dari segi batas aurat. Namun team R&D kami sudah membaca sesuatu yang sangat jauh dari itu. Air kolam separas leher, keriuhan hilai tawa dan bunyi kocak air juga cukup untuk mengkaburi aktiviti raba meraba, ‘usik’ mengusik dan banyak lagi yang tidak perlu kami huraikan.

Kalau dari perkenalan pertama di facebook sahaja begitu ramai anak gadis kita sudah boleh buat temu janji disimpang berdekatan, berani curi-curi keluar rumah jam 3 pagi sewaktu keluarga sedang nyenyak tidur untuk bertemu ‘kenalan baru’ akibat rangsangan seks di alam maya. Bayangkan apa yang boleh dirancang oleh anak ini dengan aktiviti dari kolam mandi ini bilamana kedua-duanya memang sudah berada di luar rumah? Mereka hanya perlu sekitar 5 minit untuk melampias nafsu. Bila sudah hamil nanti mereka buat lapuran rogol, sedangkan aktiviti itu jelas atas dasar suka sama suka.

Sebelum ini pernah kami kongsikan terlalu banyak situasi gejala sosial, berkaitan dengan rogol dan bunuh kanak-akanak, gejala buang bayi, sumbang mahram dan sebagainya. Antaranya ialah luahan hati anak-anak kami tentang “Gejala seks anak sekolah bukan lagi satu gejala tetapi sudah masuk ke tahap bencana.!!” Juga dalam artikel bertajuk “Satu nafas satu zina…”

Ingin kami ajukan pertanyaan khas kepada kes seperti di kolam renang ini. Di manakah ibu bapa anak ini? apakah yang ada di fikiran mereka sewaktu membenarkan anak gadis mereka keluar sendirian tanpa batas pergaulan dan masa untuk berpeleseran di tempat percampuran sosial seperti ini? masih tidak perasankah yang situasi gejala sosial kita sudah separah ini?

http://prihatin.net.my/2013/10/15/tid-bit-parenting-28-zina-anak-sekolah-satu-bencana/

Sedangkan dengan bapa, bapa saudara, bapa tiri, abang kandung, bahkan ustaz dan Imam Bilal juga boleh berlaku begitu banyak perbuatan sumbang yang berulang-ulang, inikan pula dengan rakan sebaya. Kami pautkan dengan link berikut ini sebagai peringatan. Diharapkan ia dapat menyedarkan para ibu bapa.

http://www.bharian.com.my/articles/Pengawalkeselamatandipenjaradandisebatkeranarogoladikkandung/Article/

Selama ini kita hanya tahu yang kes buang bayi berlaku secara sembunyi-sembunyi. Ada yang sempat kita temui dan lebih banyak yang terus dimakan ulat dan anjing tanpa bukti. Baru-baru ini kami dedahkan begitu banyaknya kes buang bayi yang sebenarnya diketahui oleh ibu bapa masing-masing. Alasan diberi hanya kerana terpaksa, untuk menutup malu.

Paling biasa adalah kerana kebanyakan pelaku lelaki yang meng’hamil’kan anak mereka tidak dikenal pasti kerana terlalu ramai. Bila ada lelaki yang mahu bertanggung jawab dikatakan pula anak mereka masih sekolah dan terlalu muda, si lelaki pula tiada kerja dan juga masih terlalu muda. Ironinya ada kes yang berulang sampai 4x dalam rumah yang sama. Jika Nabi SAW kata tidak Islam orang yang dipatuk ular 2x di lubang yang sama, maka adakah kita masih Islam dalam isu ini? baca pautan berikut sebagai bukti…

http://www.hmetro.com.my/articles/Temanianakgugurjanin/Article?BeritaUtama

KESIMPULAN

Ambillah furqon yang di kongsikan oleh anak-anak ini sebagai satu peringatan. Buatlah langkah pencegahan untuk membendung gejala sosial yang sudah sedia teruk sekarang ini. Tahankanlah hati, biarlah anak kita menangis sekarang disebabkan larangan kita, daripada kita dan mereka sama-sama menangis setelah kerosakan maruah dan diri mereka berlaku.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

PERKONGSIAN SEKOLAH ALAM
Warga Prihatin

Sekolah Alam ke 4, Bah 4 – Yang Berhormat Yang Berkhidmat

sek alam 4 bah 4YANG BERHORMAT YANG BERKHIDMAT

Pada malam pertama kami berkampung di Amin Homestay, kami merencana satu majlis santai sambil memanggang ikan-ikan yang dibeli oleh anak-anak petang tadinya. Adab masuk ke kampung orang Jawa, beri salam dahulu kepada Wak Lurahnya (ketua kampung). Lalu kami tanyakan kepada pemilik Homestay, Wak Amin dan beliau pulangkan soalan kepada kami…

“Wak Lurah ada dua, nak yang PR atau nak yang BN?”

Kami tidak partisan, kami katakan kepada Wak Amin, jemput sahaja kedua-duanya. Namun yang hadir hanyalah Wak Lurah BN. Kami harap sangat, kedua-duanya juga hadir malam itu kerana kami sukakan keharmonian dan penyatuan. Malangnya, Wak Lurah dari PR tidak hadir malam itu.

Apa yang mengembirakan kami adalah apabila ADUN Permatang, YB Haji Sulaiman bin Haji Abdul Razak sudi menjengah dengan sangat kasual tanpa protokol dan tanpa sambutan. Ketika itu suasana sedang meriah seperti di malam hari raya. Sebahagian dari kami sedang menunjukkan anak-anak bermain meriam karbaid yang dibuat dengan kelongkong sepanjang 3 meter. Bergegar jugalah kampung dengan gegak gempitanya meriam tersebut di malam itu.

Tiba-tiba diberitahu YB datang. Maka masing-masing kelam kabut hentikan serta merta permainan meriam dan “sorokkan” karbaid. Macam tidak ada apa-apa lalu masing-masing bergegas untuk terus bersalaman dengan YB.

Anak-anak yang lain turut gembira dan beratur apabila diumumkan oleh Deejay majlis bahawa lelaki berkemeja ringkas itu ialah YB kawasan itu. Ringkas dan sederhana beliau hadir tanpa kamera yang mengambil gambar, tiada juga pengiring sampai sekapal. Beliau hadir dan duduk di kerusi plastik tidak berlapik dan tidak bertanda nama serta makan juga dipinggan plastik yang tiada khusus untuk seorang VIP.

Kami pula yang jadi keseganan kerana yang hadir ialah seorang pemimpin dan kami langsung tidak buat persediaan untuk kehadiran seorang VIP. Kelihatan di meja, beliau mesra berbual dengan wakil kami Saudara Yazid Majid dan ditemani oleh Ketua UMNO Parit Serong, Wak Rahman dan juga Wak Lurah. Sempat juga kami aturkan anak-anak untuk menyampaikan 3 buah nasyid buat meraikan kehadiran pemimpin prihatin itu.

Subhanallah.. baru dapat kami saksikan bahawa rupanya beliau adalah seorang YB yang terbuka. Walaupun bertiketkan BN, tetapi beliau juga tidak menafikan kebaikan lawannya dan dalam masa yang sama, tidak menafikan kelemahan parti yang diwakili beliau. Terbuka untuk mengambil pelajaran untuk yang baik dari lawan dan perbaiki parti yang diwakilinya pula. Ini jelas dilihat dari ucapan ringkas dan sepanjang perbualan beliau dengan wakil kami.

Semua hadirin terdiam dan terharu apabila mendengar bait-bait ucapan YB yang amat ringkas dan padat itu. Bicara beliau bernada sangat sayu dan penuh kesedaran di malam itu. Antaranya menyentuh tentang keruntuhan akhlak anak bangsa yang sudah ke tahap sangat parah. Beliau menyatakan rasa syukur masih ada segolongan insan yang prihatin dan sanggup ‘berhabis’ melaburkan segala kepentingan dunia untuk melakukan ‘sesuatu’ untuk memperbaiki keadaan.

Akhirnya beliau dengan rendah diri menawarkan untuk membayar bil penginapan sebagai menyatakan rasa syukur sebagai tuan rumah yang menerima kami sebagai tetamu. Beliau juga dengan terbuka meluahkan hasrat untuk mempelajari rahsia kejayaan pembentukan akhlak anak-anak, sepertimana yang telah beliau saksikan itu secara langsung di RPWP.

Kami tidak kisah apa yang anda mahu kata tentang parti mereka. Sekali lagi, kami bukan partisan. Hatta jika ada YB Pakatan yang hadir juga akan kami salam dan sambut mereka dengan mesra.

Ucapan beliau disambut oleh Pengetua RPWP Tuan Haji Dr. Masjuki Mohd Musuri dengan menyatakan secara ringkas konsep dan prinsip RPWP. Turut disampaikan juga mengapakah RPWP sangat serius dalam perjuangan membentuk akhlak generasi, mempromosikan perpaduan dan sangat mengecam perpecahan.

Dr Masjuki katakan bahawa YB Haji Sulaiman adalah seorang yang sangat rasional dalam penerimaan dan mengakui, perpecahan sudah jadi satu perkara kritikal yang merosakkan anak bangsa tanpa kita mampu lakukan apa-apa. Kedua tangan telah diguna untuk bertarung, apakah lagi tangan yang tinggal untuk membantu anak bangsa yang sedang lemas?

Ucapan balas Dr. Masjuki kemudian dibalas semula oleh YB dengan pengumuman peruntukan RM5000 lagi untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan RPWP. Sempat lagi beliau berpesan kepada kami agar pemberian itu dirahsiakan. Kami lihat ini adalah amal jariah dari seorang YB yang berjiwa prihatin, bukan pemberian politik kerana kami semua dari Kajang, tidak seorang pun daripada kami berasal dari kawasan itu. Sekiranya kami suka dengan beliau sekalipun… kami tak boleh bantu beliau untuk mengundi di Tanjung Karang.

Kami berbesar hati tetapi untuk YB, kami minta maaf jika terpaksa kami dedahkan kebaikan YB untuk dijadikan contoh kepada khalayak yang lain. Sebelum YB pulang, sekali lagi YB menyatakan azam untuk hadir sendiri ke RPWP dalam jangkamasa terdekat.

Kami dan anak-anak sentiasa mendoakan agar YB prihatin ini diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menjadi contoh pemimpin berwibawa, bersama-sama membangun generasi sejahtera di tanah air tercinta ini. Kami yakin penduduk setempat lebih kenal beliau dan kemenangan beliau bukan semata-mata atas kredibiliti parti yang beliau wakili, tetapi juga kerana sifat keprihatinan beliau itu.

Jika ada yang membenci parti wakilan beliau, ingatlah… dalam setandan pisang, tidak semuanya buruk dan tidak semuanya elok.

PELBAGAI PENGALAMAN BERSAMA YB

Suka kami kongsikan pengalaman terkumpul sejak 9 tahun penubuhan RPWP bersama 3 YB kawasan ini. yang pertama YB UMNO, seorang bekas pensayarah yang sukar ditemui dan suka menyendiri. Sumbangan kewangan jauh sekali. Jam 9 malam rumah beliau sudah gelap dan berkunci. YB kedua adalah dari PAS. Beliau sangat mesra dan berjiwa rakyat. Sewaktu rumah kami kebakaran, beliau dan ketua kampung sampai lebih awal dari bomba dan polis. YB ke tiga hanya sempat kami temui di tepi jalan sehari sebelum pilihanraya dan belum sempat kenal mengenal sampai kini. Sila layari klip video dari ulasan YB ini,
http://prihatin.net.my/2013/07/03/pengiktirafan-khusus-buat-rpwp/

Pengalaman kami sewaktu mengajar anak-anak erti bantuan kemanusiaan, melakukan program bantuan kemanusiaan di Manong Perak, juga menampakkan kepincangan. Seorang ibu tunggal dengan 2 anak kecil terpaksa merengkok kedinginan selama 1 minggu bersama 2 warga emas yang sakit dan kurang upaya (OKU). Mereka terpaksa berhujan sepanjang minggu kerana rumah mereka musnah ditimpa pokok tumbang. Alhamdulillah seluruh tenaga digembeling dan baikpulih siap seharian itu juga, seadanya.

Ironinya, dari jiran tetangga, ketua kampung, jemaah masjid, ADUN, MP, bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat semuanya tidak ambil peduli untuk membantu. Sewaktu kami bekerja membaiki rumah dan membersih kawasan hari itu, datang seorang dua wakil wanita dan YB kawasan. Sedikit lawak apabila keesokkannya semua warong menceritakan kehebatan YB yang begitu cekap menghantar ‘orang dia’ untuk misi bantuan itu… kami pun tidak kenal siapa YB kawasan itu. Minta peruntukan jauh sekali.

http://prihatin.net.my/2013/11/28/perkongsian-ilmiah-misi-kemanusiaan-memanusiakan-manusia/

FENOMENA PENYATUAN & PERPECAHAN

Dalam pada orang Cina bersatu berkongsi-kongsi membeli bot besar sementara orang Melayu masih sendirian dan hanya mampu membeli bot kecil. Dalam pada orang Melayu mengasingkan diri di tengah sawah di rumah tunggal, sedangkan Orang Cina bersatu dan menyatu dalam kem-kem penempatan berpusat. Siapakah yang lebih berjemaah? siapakah yang lebih bersatu?

Adakah kerana politik… kita masih mahu berpecah. Tangan yang dua ini dah disibukkan dengan bercakaran, mulut pula dibazir untuk maki dan nista… adakah lagi tangan untuk dihulur ke air untuk dipaut oleh anak bangsa yang sedang LEMAS. Demikian isi bicara ringkas YB yang sangat merendah diri dan berjiwa rakyat ini.

Kami kongsikan berita ini kepada anak-anak yang Kampung Parit Serong ada 2 orang ketua kampung. Namun anak-anak tidak terkejut kerana fenomena dua ketua dalam satu kampung ini sudah menjadi lumrah yang menyeluruh di negara ini, termasuklah di Sungai Ramal, Kajang ini.

Terkait seperti di kembara Sekolah Alam 3 di Baling yang kami kongsikan sebelum ini, ada surau PAS dan ada surau UMNO yang jarak antara keduanya hanya beberapa ela. Kami bawa anak-anak solat di surau PAS kerana ia paling hampir dengan rumah itu, namun tuan rumah yang kami ziarahi tidak ikut ke surau itu, malah bersolat di surau UMNO dengan melintasi surau PAS.

Di parit Serong kelmarin, tidak pula kami perasan ada surau berasingan, kami harap ia benar. Namun kami masih dukacita kerana masih ada 2 orang ketua mengetuai satu kampung yang sama.

Anak-anak bertanya…

“Bukankah dalam program Jumaat, ayah-ayah beritahu 1 kapal hanya ada 1 nakhoda. 1 jemaah hanya ada 1 imam sahaja, bagaimana jika ada 2 orang ketua… dua orang imam dalam satu kampung.. mana satu nak diikut?”

Itu jawapan yang sukar dijawab. Kami serahkan dahulu kepada anda kerana insyaAllah kami akan ulas lanjut jika berkesempatan tentang fenomena perpecahan yang LENGKAP dalam komuniti Melayu yang beragama Islam kini.

Input jamaie dari Anak-anak & Murobbi
WARGA PRIHATIN

Sekolah Alam ke 4 Bah 3 – Mengapa bot nelayan Cina lebih besar

sek alam 4 bah 3Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 3
MENGAPA BOT NELAYAN CINA LEBIH BESAR?

Semasa di dalam bas pulang dari jeti nelayan Melayu dan Cina di sekitar Bagan Pasir, Tanjung Karang kami melakukan sessi “rounding” seperti biasa untuk bertanyakan pemerhatian anak-anak di dalam bas dengan bantuan pembesar suara.

Anak-anak memberikan pemerhatian yang menarik soal perbandingan bot nelayan Cina dan bot orang Melayu. Ia menjadi satu topik pemikiran yang di luar jangkaan. Anak-anak bertanya seperti sekumpulan wartawan menemubual Vladimir Putin yang baru mendarat di Malaysia.

Dari soal harga bot, keupayaan bot, sehingga membawa kepada persoalan tentang siapakah pemiliknya juga menjadi isi pertanyaan anak-anak kepada nelayan Melayu dan Cina di sana. Rumusan yang menarik yang anak-anak buat ialah…

Orang Cina mampu berkongsi 10 orang untuk beli sebuah bot bernilai RM3 Juta dan mampu menangkap ikan dengan teknologi dan kapasiti yang besar lalu menghasilkan pendapatan sekitar 10 tan. Orang Melayu membeli bot kecil sendirian dan hanya mampu sebuah bot bernilai RM300,000 tetapi hanya mampu membuat tangkapan sekitar 100-300 kg sahaja (nilai hanya sebagai perbandingan sahaja dan bukan jumlah tepat).

Dengan perkongsian itu, Orang Cina mampu mendapatkan pendapatan bersih jauh lebih tinggi walaupun berkongsi dan Orang Melayu yang sendirian begini hanya mampu menjadi nelayan pesisir pantai sahaja dengan pendapatan yang rendah.

Soal utama ialah…KONGSI. Murobbi menambah, Orang Cina ialah kaum mendatang dan mereka terpaksa bersatu untuk survival mereka di tanah asing. Maka dengan penyatuan itu mereka mampu menjadi kuat dan kaya. Mereka jadikan tekanan hidup sebagai motivasi untuk bersatu, bekerjasama secara perkongsian dalam membangunkan diri bersama masyarakat mereka. Lihat sahaja, Orang Cina tinggal di Kem penempatan berpusat dan berjiran tetapi Orang Melayu tinggal sendirian di sawah masing-masing, 1 sawah, 1 rumah.

Ini agak jauh berbeza berbanding “Tuan Tanah” yang tidak melihat penyatuan dan perkongsian itu satu kemestian. Orang melayu selaku penduduk asal negara ini yang merasa selamat dan selesa. Di samping itu orang Melayu banyak menerima bantuan dari kerajaan dalam pelbagai bentuk dan rupa.

KREATIVITI IQRA’ ALAM

Agak menarik juga pemerhatian anak-anak ini untuk kami sebagai murobbi fikirkannya. Kami tersentak namun kami bangga dengan pemerhatian mereka. Anak-anak dalam program Kembara Sekolah Alam telah kami ajarkan secara semulajadi tentang “Teknik Iqra”. Iqra BUKAN bermaksud BACA tetapi KAJI. Jika tidak, mengapa ada perkataan TILAWAH yang juga bermaksud BACA.

Tilawah ialah BACAAN TEKSTUAL sementara iqra ialah BACAAN KONTEKSTUAL. Sebab itu, semasa Jibrail A.S menyuruh nabi iqra walaupun tiada lagi sepotong ayat diturunkan. Kerana Jibrail A.S mahukan Nabi Muhammad SAW untuk iqra keadaan masyarakat dari luar jendela kecil Gua Hira memerhatikan sosiologi masyarakat jahilliyah yang sudah punah.

Selepas selesai proses iqra’, setelah mendapatkan furqon, barulah ayat berikutnya turun. Selepas diturunkan ayat ayat itu, barulah berlaku proses TILAWAH. Demikian juga proses yang kami anjurkan. Anak-anak dalam program Kembara Sekolah Alam ini dianjurkan untuk mengkaji setiap sesuatu yang mereka lihat dan perhati. Task selepas ini ialah untuk mereka membaca teks yang terkait dengan konteks pemerhatian sepanjang kembara sebelumnya. Ini cukup untuk memberikan mereka pengisian bahan pembelajaran untuk jangkamasa tidak kurang 1 bulan selepas itu.

KESIMPULAN

Pelajaran paling besar yang ingin kami kongsikan di sini ialah soal tekanan alam yang mendorong kepada kerjasama (perkongsian). Apa yang dilihat dan dibincangkan oleh anak-anak dapat kami kaitkan dengan budaya dan cara hidup Islam yang sedang diamalkan oleh orang Cina, namun dinafikan oleh orang Melayu Islam itu sendiri.

Kami turut kaitkan dengan apa yang mereka lihat di RPWP itu sendiri adalah satu budaya kerjasama dan perkongsian. Tidak mungkin seorang individu, sekaya mana, sebijakmana dan sekuat mana sekalipun ia mampu membangun dan menguruskan RPWP dengan sempurna dan berkembang tanpa penyatuan beberapa pengasas secara berjemaah. Perkongsian dalam bentuk visi dan misi, dalam bentuk sumbangan dana, idea dan tenaga adalah menjadi kunci utama RPWP.

MELALUI PROGRAM Kembara Sekolah Alam ini Allah telah buktikan lagi kepada anak-anak bahawa ‘perkongsian’ ini sahaja pilihan yang ada jika kita ingin maju. Sentiasa kuatkan spirit NAHNIAH (berjemaah) bukan ANANIAH (keakuan/peribadi) kerana sabda nabi SAW, “TIDAK Islam tanpa jemaah”. Kami ajak anak-anak untuk merujuk kepada permohonan hidayah secara berjamaah, secara KAMI bukan AKU dalam Fatihah yang kita ulang-ulang baca 17 kali sehari dalam solat itu.

Nantikan perkongsian seterusnya selagimana kami masih mampu untuk mengingati dan kongsikannya. Terlalu banyak dan terlalu berharga untuk kami kembalikan hasil furqon itu kepada semua wakif (pewakaf) dan munfiq (penginfaq) yang bersedekah untuk membenarkan program Sekolah Alam ke-4 ini. Semuga apa yang kami kongsikan mampu memberi sedikit hidayah kepada kita semua untuk sama-sama berusaha mendidik dan mengatur anak generasi buat mengubah persepsi dunia terhadap ISLAM dan MELAYU.

InsyaAllah, destinasi seterusnya ialah SEKOLAH ALAM-5 di KELANTAN & TERENGGANU.

Untuk Sekolah Alam 5, anak-anak sangat berhajat menemui Sultan Muhammad V (akan kami cuba usahakan) dan juga Tuan Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mantan MB Kelantan). Rakan Prihatin yang ada cadangan tempat-tempat dan event menarik untuk dilawati bolehlah mula menghulurkan maklumat ke inbox kami.

ALHAMDULILLAHI ROBBILALAMIN – SEGALA PUJI BAGI ALLAH PENGATUR ALAM.

Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN

Sekolah Alam ke 4: Bah 2 – Anak Melayu Main Game, Anak Cina Main Kotor

sek alam 4 bah 2Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 2
ANAK MELAYU MAIN GAME, ANAK CINA MAIN KOTOR.

Kembara Sekolah Alam menyinggah di Jeti Nelayan Bagan Pasir. Kami beri tugasan anak-anak untuk membuat pembelian ikan untuk dimasak pada majlis keraian silatulrahim bersama penduduk setempat malam hari pertama kami di Tanjung Karang. Mereka belajar cara untuk tawar menawar sehingga mendapat harga terbaik dari peraih.

Semasa di dalam bas ketika perjalanan pulang ke homestay, seperti biasa murobbi bas bertanyakan tentang perkongsian pemerhatian dari anak-anak. Namun, pertanyaan murobbi tentang hasil pemerhatian anak-anak ini dijawab dengan sebuah soalan cepu emas.

Anak sebesar 8 tahun bertanya, mengapa orang Cina membawa anak kecil bekerja? Lalu dikongsikan kepada anak itu oleh seorang kakak yang berusia 12 tahun tentang konsep “Belajar dari buaian sehingga ke liang lahad”.

TOLABAL ILMI WALAU BISSIN – Tuntutlah ilmu walaupun dengan Cina’

Pendedahan alam di RPWP berlaku sepanjang masa. Setiap hari ada sahaja anak-anak yang kami bawa keluar samada untuk menghadiri majlis, membeli bahan binaan, alatganti kenderaan yang sedang kami baiki di bengkel kami, maupun membawa anak-anak ke workshop Cina untuk jenis baikpulih yang tidak kami lakukan sendiri seperti penjajaran tayar dan sebagainya.

Adalah terlalu lumrah bagi anak-anak kami memerhatikan anak-anak Cina tahap tadika yang duduk bertenggek di kerusi tinggi dekat meja kaunter pembekal borong untuk membantu mengira dengan kalkulator. Juga terlalu biasa melihat anak-anak Cina tahap sekolah rendah atau menengah bawah yang membantu ayah mereka membuka, menampal dan menimbang tayar kereta.

Seorang anak RPWP yang telah bakal menamatkan pengajian di universiti sempat memerhatikan pengambil alihan perniagaan pembekal besi buruk yang kami langgani. Sebelum ini rakan sebaya mereka kelihatan membantu urusniaga perniagaan besi buruk.

Hari ini bapa mereka tidak sering lagi kelihatan di pusat pengumpulan besi itu. Ia telah diambil alih sepenuhnya oleh anak beliau 3 beradik, 2 lelaki dan 1 perempuan. Padahal kesemuanya memiliki ijazah belaka. Bapa mereka kini telah beralih mengusahakan bengkel kenderaan dan menjual kenderaan/jentera terpakai pula. Semua itu berlaku depan mata anak-anak kami selama 9 tahun memerhatikan alam sewaktu bersama kami mengurus RPWP.

Anak Cina tidak dimanjakan dan mereka bawa anak-anak mereka bekerja. Pandangan ini agak biasa di sepanjang pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4 ini. Orang Cina bawa anak untuk dijaga sendiri di tempat kerja. Ada juga anak yang telahpun membesar tetapi masih bermain di lingkungan tempat kerja ibu bapa mereka. Anak-anak juga terpaku melihat anak Cina seumur 10 tahun sedang membuat urusniaga jual beli dan jarinya pantas benar menekan punat-punat calculator.

Wajarlah mereka menjadi bangsa hebat tidak kira di mana mereka berada di dalam dunia ini. Pada ketika anak 10 tahun mereka sedang berbusuk-busukan dengan bau udang jeragau, tiram dan hanyirnya ikan, di manakah anak kita berada?

Di panggung wayang? di arked? bertafakur dengan ipad mereka? menonton Astro Ceria?

Fenomena ini dikaitkan pula dengan pemerhatian yang sama oleh anak-anak sewaktu Pembelajaran Alam Sesi 3 di Baling tempohari.

Di desa itu ada seorang peraih getah yang turut memiliki kedai runcit, ternakan lembu komersial dan sebagainya. Anak-anak peraih Melayu ini terbiar, berkeliaran keliling kampung saban hari dengan motosikal mereka. Kadang-kadang tidak balik rumah pun. Persekolahan tidak tamat dan tidak ada usaha membantu perniagaan keluarga yang diurus oleh bapa dan beberapa pekerja upahan sahaja. Ibu mereka juga tidak berminat dengan usaha niaga suaminya.

Selaku badan penyelidik kepada peradaban manusia, kami turut didokong oleh masyarakat Cina yang berkongsi masalah rumahtangga mereka. Sesuatu yang mereka takuti adalah fenomena negetif yang telah menular kepada sebahagian anak-anak mereka, iaitu budaya berseronok sebelum mampu bekerja dan berniaga. Bangsa Cina moden sekarang tidak lagi mempunyai 10-15 orang anak seperti dahulu.

Kalau dahulu bangsa Cina merasa tertekan dan generasi terdahulu sudah berusaha gigih untuk memperteguhkan ekonomi. Generasi sekarang sudah ramai yang hidup senang lenang, malas bekerja dan menghabiskan harta emak dan bapak mereka sahaja. Apapun kami melihat secara umum dan pada perspektif yang lebih meluas dari pemerhatian alam kali ini.

KESIMPULAN

Kita seharusnya meneliti apa yang baik dari hasil pemerhatian itu kerana segala yang baik adalah dari hidayah Allah. Yang buruk itu adalah kerana kelalaian diri kita sendiri.

Jangan cemburu jika orang Cina jadi hebat walaupun adakala tidaklah mereka belajar setinggi anak Melayu. Tetapi anak Melayu yang pandai akhirnya bekerja dengan Anak Cina yang dibesarkan dalam lingkungan kerja.

Belakang parang bila diasah lagikan tajam, inikan pula kita manusia. Pendedahan alam yang didedahkan kepada anak-anak Cina bagi membentuk habit bekerja, berjimat cermat, mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah itu telah mampu mencipta bangsa yang kreatif dan produktif.

Alhamdulillah ada juga segelintir anak Melayu yang dilihat berjaya mengikuti tabiat ini untuk membentuk habitat terpencil yang baik cirinya. Namun masih terlalu berleluasa sikap lama orang Melayu yang memerlukan usaha keras untuk kita sama-sama mengubahnya.

Fikirkanlah

Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN

Album Sekolah Alah ke 4:

Menyusun semula Live Up-date sepanjang 2 hari perjalanan Pembelajaran Alam ke 4 di Tanjung Karang dan Teluk Intan dengan…

Posted by Warga Prihatin on 24hb Februari 2014

Pemerhatian Sekolah Alam ke 4: Bahagian 1 – Sawah Melayu Sawah Cina

sek alam 4 1

Pemerhatian Sekolah Alam Sesi 4: Bahagian 1
SAWAH MELAYU VS SAWAH CINA

Salam kepada semua. Tidak lupa salam juga kepada yang bukan Islam. Mungkin tajuk ini nampak rasis tetapi bukan perkauman yang mahu kami ulas tetapi kebaikan untuk dicontohi dari kaum berlainan. Untuk mengambil pelajaran, kami pastikan untuk mendapatkan input yang terbaik dari pihak lain, yang buruk pada mereka kami jadikannya sempadan sahaja.

Alhamdulillah, program SEKOLAH ALAM edisi ke-4 kali ini mendapat tajaan sangat memberangsangkan. Ia datang dari insan prihatin dan menjadi kewajiban kami untuk mengembalikan apa sahaja pelajaran untuk dikongsi bersama dengan para ‘pemilik program ini’.

Sudah jelas bahawa program ini belum pernah dijalankan oleh sesiapapun selama ini. Ini disahkan oleh pakar-pakar pendidikan yang bersama kami walaupun ada dalam komen-komen mengatakan mereka pernah lakukan perkara yang sama, namun hanya pada luarannya sahaja… dasarnya berbeza sama sekali.

Artikel pendek ini adalah salah satu cetusan dari pemerhatian anak-anak Warga Prihatin sendiri yang kami kutip semasa dalam bas lagi. Lalu kami artikelkannya untuk pelajaran kepada semua. Insyaallah akan kami cuba sunting juga klip video rakaman live sepanjang program ini nanti untuk mengesahkannya dalam bentuk movie pula. Kami yakin anda dan anak-anak anda akan lebih tertarik dan mampu mengambil pelajaran dengan lebih jelas dari video tersebut.

Pada hari pertama, kami sudah bawa anak-anak kami meraih ikan yang baru naik ke darat. Dalam perjalanan pulang, ketua rombongan merencana laluan berpatah balik ke Sekinchan dan kemudian menyusuri tepian terusan Bankanal sehingga ke Sawah Sempadan.

Salah satu cetusan yang menarik ialah tentang BEZA SAWAH CINA DAN SAWAH MELAYU.

Kesimpulan yang dibuat oleh seorang anak berumur 12 tahun menyatakan bahawa sawah Cina LAGI CANTIK DAN TERSUSUN dari sawah Melayu. Sawah Melayu ada rumah di dalam sawah tetapi orang Cina tiada mendirikan rumah di tengah sawah kecuali sarang burung walit sahaja.

Tempat tinggal Orang Cina adalah berpusat dan terancang di Sekinchan. Mereka mempunyai jiran dan kehidupan sosiologi mereka agak bersatu dan berpersatuan dengan kelengkapan sosial yang lengkap. Sementara orang Melayu pula mengasing-asingkan diri di tengah sawah. Masing-masing hidup tanpa jiran yang bersebelahan. Tempat berkumpul mereka hanya di warong dan juga surau.

Dalam komuniti Orang Cina, anak-anak perasan ada SATU rumah ibadat orang Cina. Sementara itu di kejiranan orang Melayu ada berbelas-belas surau dan masjid di sepanjang perjalanan yang mereka lalui. Di situ, anak-anak membuat kesimpulan bahawa Orang Cina lebih BERSATU berbanding orang Melayu.

Orang Melayu terpaksa menggunakan peruntukan sekitar suku ekar ke setengah ekar tanah tanah sawah mereka yang sekangkang kera untuk mendirikan rumah yang besar. Orang Cina boleh berjiran dengan rumah yang sederhana. Sebahagian rumah Cina berkongsi dinding seperti deretan rumah teres.

Sebagai murobbi, kami menambahkan input dari maklumat yang kami perolehi bahawa pesawah Cina di Sekinchan tidak mengambil benih, baja dan racun dari kerajaan, sebaliknya mereka berkongsi-kongsi untuk mendapatkan bekalan dengan harga lebih murah. Pesawah Cina juga memiliki pelbagai jentera keperluan dan tidak bergantung kepada pihak ketiga untuk menguruskan sawah mereka.

Orang Cina masih lagi kelihatan di sawah sepanas jam 11.30 pagi sementara orang Melayu sudah mula pulang berteduh dan sebahagian besar sawah kelihatan kosong dan berlalang.
Semua faktor itu menjadi satu justifikasi bagaimana produktiviti hasil padi orang Cina boleh sampai 15 tan untuk satu petak berbanding hanya 8-10 tan untuk sepetak sawah Melayu.

Anak-anak mengambil ibrah orang Cina untuk dicontohi tentang kerajinan mereka dan juga penyatuannya. Seterusnya, akan kami kupaskan tentang tabiat pengurusan tanah di kesemua tempat-tempat yang kami lawati. Akan kami kongsikan bagaimana Orang Cina boleh mendapat pendapatan tinggi setiap bulan sementara orang Melayu terpaksa tunggu hanya 2 kali setahun bagi meraih pendapatan tanaman padi mereka.

Artikel dapatan dari anak-anak ini akan kami rumus dan coretkan untuk anda dari masa ke masa agar dapat anda lihat, SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN adalah satu yang unik dan tidak sama dengan rombongan sekolah semata-mata. Ada pemerhatian ALAM yang MEMBUKTIKAN KEBENARAN apa yang telah dikaji melalui KALAM, di samping itu ada pemerhatian yang menjadi bahan pencetus pemikiran, yang memerlukan anak-anak mengkaji secara ilmiah dengan mendalam.

Cetusan anak-anak Prihatin
Ditulis semula oleh
WARGA PRIHATIN

Album Sekolah Alah ke 4:

Menyusun semula Live Up-date sepanjang 2 hari perjalanan Pembelajaran Alam ke 4 di Tanjung Karang dan Teluk Intan dengan…

Posted by Warga Prihatin on 24hb Februari 2014

 

 

Kembara Sekolah Alam ke 4 – Tanjung Karang

 

sek alam 4KEMBARA PEMBELAJARAN ALAM KE 4 – TANJUNG KARANG, TELUK INTAN

Saat ini konvoi sebuah Bas dan beberapa buah MPV dan Pacuan 4 roda sudah berangkat ke destinasi. Alhamdulillah berkat latihan pengurusan masa, anak-anak cuma 4 minit terlewat dari jadual bertolak, berbanding dengan 45 minit lewat sebelum ini. Ini latihan pertama, latihan menepati masa.

Kemudian sepanjang perjalanan, semua warga yang turut serta dilatih menggunakan Walkie Talkie, Whatsapp dan lain-lain alat komunikasi dengan berkesan. Memandu dengan tenang, berdisiplin untuk patuh kepada aturan konvoi. Anak-anak sentiasa ditausiahkan apa yang mereka lihat di kiri dan kanan sepanjang perjalanan.

Misi kali ini ialah meneliti sebanyak mungkin fenomena alam yang terkait dengan sawah padi, kelapa sawit. Pastinya waktu ini cuaca panas dan kering. Anak-anak juga akan diajar berenang di kolam mandi yang ada di tempat penginapan itu dan juga di sungai dan parit taliair yang berpeluang mereka jelajahi. Sebahagian mungkin berpeluang menaiki boat dan sampan, juga mungkin berpeluang mengagau keli, haruan, sepat dan belut dalam selut.

Sementara itu, kami berhajat untuk melawat seorang Warga Emas yang sepatutnya kami temui dalam trip yang lepas. Malangnya beliau telah jatuh dan patah tulang pehanya. Kali ini juga terpaksa dibatasi kerana dilapurkan beliau dimasukkan ke hospital semula kerana berlaku kemelecetan berat di punggung beliau, mungkin kerana iritasi peluh disebabkan duduk lama. Apapun, kami akan tetap usahakan untuk menziarahi beliau bagi melepaskan hajat yang tertangguh. Banyak pelajaran yang boleh didapati sebenarnya dari bapak ini. semuga usaha ini berhasil, InsyaAllah.

Semua folower dari sekitar Sungai Besar, Tanjung Karang, Teluk Intan yang ingin bersilatulrahim bolehlah hubungi mana-mana admin kami di Whatsap atau telefon mereka. Senarai kontak mereka ada di menu ‘alamat’ web kami, www.prihatin.net.my. Malam ini macam biasa akan diadakan majlis silatulrahim dengan penduduk setempat untuk kita lebih saling berkenal mesra. Suka kami maklumkan bahawa anak-anak juga ingin kami dedahkan dengan budaya jawa di sana. Bawaklah orang tua anda untuk berkongsi pengalaman dengan mereka (jika masih ada).

Yang ada sebarang keunikan di tempat-tempat berdekatan untuk ditunjuk ajarkan kepada anak-anak ini juga amat dialu-alukan. Contohnya seperti yang telah ditanyakan oleh Saiful nang di page beliau,

1. Siput gondang – musuh utama petani dan untuk membunuh situ gondang kena beri mereka makan biskut (ini contoh sahaja),
2. Ular tedung selar sangat berbahaya dan sangat banyak di sawah semasa menuai tetapi ular ini selalu menjauhi manusia,
3. Tempat yang sesuai untuk menangkap ikan cara kampung (dari selut, biar anak-anak berkubang pun tak apa),
4. Jika ada sampan atau boat yang boleh membawa anak-anak mengalami suasana perlayaran di bibir laut.
5. Jika anda tahu tepat jam berapa dan di mana ikan naik ke darat, agar kita boleh bawa anak-anak membeli secara terus dari nelayan yang mendarat untuk juadah mereka malam ini.
6. Dan lain-lain yang menarik untuk pengetahuan am semasa kami bawa tour mereka ni. Tapi info tu mesti betul lah.

Kami juga mengalu-alukan sesiapa yang ingin menjemput anak-anak melawat ladang dan kampung mereka, mengait kelapa dan sebagainya. Kalau ada rumah warga emas atau fakir miskin yang dhaif untuk dibersihkan pun dialu alukan, agar anak ini boleh terus menerus menanam jiwa prihatin dalam diri mereka. Turut diperlukan adalah informasi padi yang biasa seperti kaedah penanaman, tuaian, pemperosesan padi jadi beras dan segala maklumat yang berkaitan.

Bagi memenuhi permintaan, kami cuba terjemahkan teks dalam bahasa jawa yang tonggang terbalik dari Saiful Nang asalnya, dan yang ini telah kami perbaiki dengan kepakaran bahasa yang juga terhad…

Minggu iki, dhino Setu sampe ngahad, kulo karo batir lan anak-anak seko Rumah Pengasih Warga Prihatin arek lungo mareng Tanjung Karang. Anak-anak kepingin ndelok sawah, nangkep iwak kotok, iwak leleh/keli nang parit atowo londang sawah. Bocah-bocah saiki podo manggon nang bandar, iwak leleh pun orak ngerti. Kepreweh toh…?

Sedhulur Wong Tanjung Karang, Sungai Besar atowo seng manggon cepak Teluk Intan sekabehane munggo mampir nang penginepan mbengi ini (sore setu, mbengi ngahad) nek pingin ketemu. Bareng-bareng kito silatulrahmi, bareng-bareng mbakar iwak barbeque. Anak-anak kabeh nginep neng “Amin Homestay Parit Serong”… ojo lali mbengi iki… ono tahlilan, marhabanan lan persembahan nasyid lan karaoke seng rodho’ santai..

WAK SEPOL

Lebih kurang Maknanya,

Minggu ini sabtu sampai ahad, saya dan rakan-rakan pengiring dan anak-anak dari RPWP nak pergi Tanjung Karang. Anak-anak ingin lihat sawah, tangkap ikan haruan, keli di parit atau londang di sawah. Sekarang ini anak anak yang tinggal di bandar tak kenal pun ikan keli, macamana kan?

Semua saudara RPWP penduduk sekitar Tanjung Karang, Sungai Besar atau Teluk Intan yang ingin bertemu boleh singga jumpa anak-anak di penginapan kami malam ini (petang sabtu, malam ahad). Sama-sama kita bersilatulrahim sambil barbeque bakar ikan. Kami semua akan menginap di Amin Homestay Parit Serong”… jangan lupa malam ini. Akan ada tahlil, marhaban dan persembahan nasyid dan sedikit karaoke keluarga juga.

Terima kasih dan doa kesyukuran kami panjatkan kepada semua yang telah menghulurkan apa saja bentuk bantuan dan kerjasama bagi menjayakan program anak-anak ini. InsyaAllah, sepertimana biasa, hasil Pembelajaran Alam ini akan kami kongsikan kepada semua anak-anak kita yang tidak turut serta melalui page ini nanti.

DOAKANLAH AGAR SEGALANYA SELAMAT DAN BERJALAN DENGAN LANCAR.
Warga Prihatin

SAINS FALSAFAH DI SEBALIK SYURGA DAN KAITANNYA DENGAN ILMU

00 SYURGA TAMAN ILMUSAINS FALSAFAH DI SEBALIK SYURGA DAN KAITANNYA DENGAN ILMU:

Mari teliti mengapa Rasulullah SAW sabdakan bahawa “syurga itu taman ilmu”, terletak di antara Taman Raudah, pangkin tempat baginda berdipan-dipan dengan mimbar baginda.?

Mengapa Allah ulang berkali-kali syurga itu terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya.? Apa kaitan aliran sungai syurga dengan aliran ilmu?

Mengapa Rasulullah SAW katakan yang kunci gedung ilmu ialah tanya menanya, Allah pula berfirman “di dalam syurga mereka saling tanya menanya”..? Apa kaitan tanya menanya dengan ilmu dan syurga?

Renungan tambahan hujung minggu ini untuk merumus artikel tentang keperluan mendidik anak melalui kaedah TANYA MENANYA yang kami kongsikan baru-baru ini.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152596243457786&set=a.201867952785.170933.176792972785&type=1&theater

Secara logiknya,

Tanya menanya akan menerbitkan suasana harmoni dan mesra dalam rumahtangga. Habit itu akan mengalirkan maklumat, menambah kefahaman ahli keluarga dan mengurangkan salahfaham yang mencetuskan suasana neraka antara satu dengan yang lain. Itulah rumahku syurgaku, “Baiti jannati”.

Tanpa ilmu kita akan menjadi orang yang JAHIL. Hidup dalam keadaan jahil akan porak peranda, itulah kehidupan JAHILIYAH.

Tanpa tanya menanya kita akan hidup seperti haiwan dan boneka yang saling berlaga antara satu sama lain. Salah faham dan pertengkaran menjadi amalan jika tanya menanya tidak berlaku.

ITULAH PUNCA NERAKA DALAM RUMAHTANGGA.

Kudap Hujung Minggu
WARGA PRIHATIN

FENOMENA KEROSAKAN ALAM DAN KEPERLUAN MEMULIHKANNYA

00 SUNGAI TERCEMARFENOMENA KEROSAKAN ALAM DAN KEPERLUAN MEMULIHKANNYA

Antara hasil pemerhatian “Program Sekolah Alam” di sepanjang “Kembara Baling” baru-baru ini mendapati memang benar apa yang Allah kata. Terlalu banyak kerosakan alam berlaku dan dapat dilihat sepanjang perjalanan itu.

Beberapa tempat perhentian yang kami singgahi mendapati longgokan sampah sarap sisa makanan dan bekas bungkusan makanan di sana sini (rujuk gambar di album berkaitan). Sesetengahnya berbau sangat hancing di sana-sini, walaupun zahirnya prasarana yang disediakan kelihatan lengkap dan canggih.

Anak sungai di belakang rumah yang kami ziarahi mengalirkan air segar dari atas bukit di Lata Bayu yang sangat tercemar. Pelbagai sampah sarap berupa botol-botol minuman, polisterin dan plastik bungkusan makanan, pampers bernajis dan kain-kain buruk tersangkut di tebing dan celah-celah rumpun buluh.

Di mana sahaja kami pergi, inilah fenomena yang kami temui tentang pencemaran alam dan sungai. Di Melaka, anak sungai yang tidak melalui penempatan manusia pula telah dicemari dengan keladak lumpur dan daun kayu hanyut kerana tanah bukit telah ditarah dan pohon tutup bumi sudah tiada. Sebelum boleh mandi manda, kami terpaksa ajak anak-anak berkerjasama membersihkan sungai tersebut terlebih dahulu.

Air yang turun dari langit dan yang terkumpul dari rembesan celah batu itu kesemuanya bersih dan suci belaka. Sepanjang perjalanan turun dari bukit dan gunung, ia membentuk lata dan air terjun yang menjadi kegemaran manusia untuk berkelah dan mandi manda. Mereka sukakan suasana itu kerana airnya bersih dan segar.

Malangnya manusia juga yang tidak tahu mensyukuri nikmat tuhannya lalu membuatkan ia binasa. Semua yang datang berkelah meninggalkan pelbagai sisa kotoran yang menjijikkan. Akhirnya Lata bayu mengalami wabak kencing tikus dan ditutup oleh pihak berkuasa. Ini semua akibat rosaknya akhlak manusia.

Sepanjang laluan sungai dari Lata Bayu sehingga ke rumah tempat kami ziarah terdapat beberapa perkampungan. Tidak dapat dipastikan berapa banyak rumah-rumah di sepanjang sungai tersebut, namun yang nyata jelas kekotoran yang disebutkan tadi adalah dari sisa buangan manusia.

Walaupun telah kami bersihkan anak sungai yang sangat kotor itu sebelum mengizinkan anak-anak mandi manda, namun ia tetap mengumpul kotoran yang dialirkan dari hulu atau mungkin dari bukit Lata Bayu itu sendiri. Kerana itu, walaupun airnya sangat sejuk dan segar, namun kebersihannya jelas tidak terjamin. Badan menjadi lekit, gatal dan perlu di bilas dengan sabun dan air bersih. Ini tidak lagi menggambarkan kebaikan air sungai yang sebenarnya. Untuk memulihkan kesuciannya kita tiada pilihan, ia harus dibersihkan dari hulu dan atas bukit lagi.

Ini semuanya memperlihatkan kerosakan alam sekitar hasil perbuatan tangan-tangan manusia. Segala sarana alam semulajadi itu sudah tidak dihargai sama sekali. Manusia sewenang-wenang mencemarkan hazanah alam itu sehingga ia tidak lagi dapat dimanafaatkan dengan baik seperti sebelumnya.

SUNGAI SEBAGAI ANALOGI ALIRAN ILMU

Sebelum ini telah banyak kali kami kongsikan analogi air dan Ilmu. Kedua-duanya bersifat mengalir, menyucikan dan memberikan kehidupan. Kerana itu, setiap kali Allah memperkatakan tentang syurga, pasti Allah kaitkan dengan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Selain dari sumber air hujan yang segar, air sungai juga berpunca dari rembesan yang keluar dari celah-celah batu di atas gunung.

Dalam soal agama, Allah manualkan aturan kehidupan manusia dan untuk memperbaiki akhlak mereka. Sumber asal manual yang berupa wahyu itu datangnya dari langit. Ia dikumpul dan dirembeskan oleh para rasul, khalifah dan ulil-amri di atas sana. Semuanya amat bersih dan jernih dari punca asalnya.

Malangnya pencemaran berlaku sewaktu ia mengalir ke bawah membentuk sungai dan menuju ke hilir. Air yang tadinya JERNIH selalunya akan berubah menjadi KERUH apabila melalui kawasan bumi yang telah dirosak manusia. Yang tadinya BERSIH telah menjadi KOTOR, bercampur najis dan sampah sarap apabila melalui penempatan manusia yang TIDAK BERAKHLAK. Apabila sampai ke lautan manusia, air yang bersih, jernih dan segar tadi langsung berubah menjadi MASIN yang kekal, perlu dituras semula sebelum kita dapat meminum dan menggunakannya.

Kita semua telah membaca sejarah dan tahu betapa gemilang dan murninya agama kita sebelum ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Namun sepeninggalan Baginda berbagai-bagai gejala telah berlaku, samada berpunca dari luar mahupun dari dalam kalangan kita. Ratusan ribu umat Islam dibunuh begitu sahaja akibat perang saudara, Jamal dan Siffin belum lama selepas zaman baginda. Sahabat dan ahli keluarga Baginda SAW sendiri turut dibunuh. Demikian akibat dari kelalaian dan kerakusan manusia yang telah baginda didik akhlaknya.

Kini lebih teruk lagi. Islam yang seharusnya bersatu dengan satu faham menjadi berfirqah-firqah. Allah yang seharusnya menjadi satu-satunya sembahan menjadi beranak-pinak sembahannya. Sungai ilmu telah bercabang-cabang dan bersimpang siur. Islam yang syumul, indah berakhlak telah kelihatan amat menakutkan manusia dan membosankan pengikutnya. Kejadian murtad, jenayah, maksiat berleluasa.

Sewaktu solat di surau depan rumah di kampung itu, anak-anak memerhatikan satu fenomena yang amat pelik dan tidak Islamik sama sekali. Kami solat di surau yang terdekat. Tuan rumah pergi ke surau yang satu lagi, selang beberapa buah rumah jaraknya, melintasi depan surau terdekat yang kami singgahi. Semuanya kerana kedua-dua surau yang berjiran itu dikuasai oleh berlainan parti yang memisah ibarat minyak dengan air. Sudah Islamkah? Masih Islamkah kita sebenarnya?

KESIMPULAN

Kami telah menjawab apa yang ditanya oleh anak-anak kami setelah melihat fenomena ini. Selebihnya kami tinggalkan untuk kita fikirkan bersama. Kami tidak mahu bercakap soal politik, namun kami tidak boleh mengelak untuk tidak mengaitkannya dengan agama kerana itu pedoman hidup kita. Sekolah Alam membaca ayat kasar dari ayat halusnya, menampakkan, membenarkan fenomena alam, bahawasanya ia SEPADAN dengan apa yang dinyatakan oleh kalam yang Maha Pencipta.

Apa yang telah dirosak manusia harus dikaji semula apa sahaja punca dan bahan yang mencemarkannya sedari mula dan sepanjang perjalanannya. Ini satu tugas yang tidak mudah dan bakal memakan masa. Ini satu keperluan yang amat memerlukan kesabaran dan ketekunan. Semuga perkongsian bainat ini mampu sedikit sebanyak menyedarkan kita untuk mensyukuri dan memelihara hazanah alam pemberian Pencipta.

ALHAMDULILLAH ROBBIL AALAMIN – Segala puji bagi Allah, pengatur alam.

Kudap hujung minggu
WARGA PRIHATIN

ALBUM PROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN – KEMBARA BALING (455 photos)

00 ALBUM BALINGPROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN – KEMBARA BALING (455 photos)
Pada 31 Januari 2014 sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu, kami di RPWP mengambil kesempatan untuk perlaksanaan Program Sekolah Alam kami yang ke-3 selepas Muar, Melaka. Kali ini kami menuju ke Baling, Kedah. Seramai 99 orang bermusafir ke Utara, melalui lebih 12 jam perjalanan dalam keadaan jalanraya yang sangat sesak sempena musim cuti perayaan.

Terima kasih kami dahului kepada semua pewakaf “Harakah Wakaf Bas” yang telah turut menitipkan amal melalui wadah yang kami sediakan. Dengan tambahan dana wakaf dari co-founders, akhirnya berjaya juga dicukupkan untuk pembelian bas sekolah yang pertama RPWP. Namun untuk dimuatkan 109 orang warga di dalam 1 bas pastinya tidak mencukupi. Maka, bas kedua masih dalam proses pengumpulan dana.

TIPS PARENTING : TANYA MENANYA KUNCI ILMU

00 TANYA MENANYATIPS PARENTING : TANYA MENANYA KUNCI ILMU

Anak-anak kita hari ini petah dan lincah mereka dalam segala perbualan dan pertanyaan. Namun, itu semua di alam internet sahaja. Apabila anak-anak ini keluar berhadapan dunia sebenar, mereka semua menjadi tikus-tikus penakut yang menikus bilamana mereka perlu bertanya kepada orang lain.

Pengalaman salah seorang dari kami sebagai salah seorang pengajar professional di peringkat antarabangsa menyatakan pengalaman bahawa situasi pelajar tidak mahu bertanya itu sudah berlaku hampir di semua tempat. Ramai yang takut bertanya kerana takut dicop oleh rakan-rakan lain sebagai mengada-ngada ataupun memberi tanggapan kepada orang lain yang mereka ini bodoh. Di Malaysia, Jepun, Finland, Sweden malah USA sendiripun kebanyakannya apabila selesai kuliah dan ditanya “ada soalan?”

Ramai menikus.

Itu satu realiti yang berlaku hampir di seluruh dunia.

Malangnya, ia terjadi di kalangan bangsa Melayu, umat Islam sendiri di Negara Malaysia yang segan bertanya. Sudahlah negara dalam proses pembangunan menjadi negara maju, tetapi tanya menanya pula yang menjadi laluan ilmu pula tidak berjalan.

Rasulullah SAW katakan bahawa “syurga itu ialah taman ilmu. Kuci ilmu ialah pula ialah “bertanya”.

Dalam quran pula Allah nyatakan bahawa “di dalam syurga ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, mereka saling tanya menanya”.

Tanya menanya itulah sebenarnya suasana syurga, sarana perhubungan yang mewujudkan suasana harmoni, sarana aliran sungai maklumat dan ilmu. Tanda anak-anak bakal menjadi anak yang bijak iallah apabila mereka banyak bertanya. Banyak bertanya itu satu tanda mereka banyak berfikir dan itulah satu wasilah untuk mereka dipandaikan.

Malang sekali ramai ibu bapa yang malas melayani pertanyaan anak-anak. Ini banyak berlaku khasnya pada anak ke dua, ketiga dan seterusnya. Ia banyak terjadi pada ibu bapa yang banyak mengalami krisis rumah tangga dan mengalami keserabutan urusan dunia mereka.

Dalam Program Sekolah Alam yang kami kongsikan dalam artikel yang lepas, anak-anak kami bawa berjalan. Apakah pelajaran yang mereka dapat jika mereka tidur sejurus menaiki bas dan bangun setelah mereka sampai. Kemudian turun dari bas, letak beg dan terus mandi sungai. Cukup hari terus balik. Adakah pelajaran mampu dikutip dengan cara begitu?

Tidak. Jika adapun ia terlampau sedikit dan tidak menjentik minda anak-anak untuk berfikir. Jika mereka berfikir pasti mereka akan bertanya. Itulah yang terjadi kepada anak-anak kami sepanjang perjalanan ke Baling minggu lepas. Mereka tidak putus-putus dengan pertanyaan dan kami sebagai murobbi mereka di dalam bas sehingga tercabar mencari kawasan yang mempunyai isyarat internet untuk kami google sebahagian jawapan yang agak tinggi dan berat untuk dijawab.

https://www.facebook.com/wargaprihatin/photos/a.201867952785.170933.176792972785/10152593721422786/?type=1&theater

Ada 1 orang anak kami yang baru menyertai RPWP, seorang anak yatim yang sebelum ini mempunyai masalah besar dalam berkomunikasi. Anak darjah 6 ini diserahkan ketika darjah 5. Beliau tidak kenal huruf dan nombor, jauh sekali pandai membca dan mengira. Inilah yang kami katakan ramai sekali anak yang yatim sebelum yatimnya kerana bapa beliau baru sahaja menginggal dunia setahun lebih yang lalu.

Pada hari itu, anak yang kurang bercakap dan bertanya ini tiba-tiba turut hilang jurang pemisah dan turut bertanya seperti ikan lapar menyambar dedak-dedak yang ditabur. Ini satu petanda positif apabila masalah yang tidak dapat kami selesaikan dalam bilik darjah rupanya boleh diselesaikan dengan mudah dengan perjalanan itu.

Nabi juga pernah bersabda yang maksudnya untuk kita berjalan bersama seseorang selama 3 hari untuk mengenali mereka dengan sebenarnya. Segala pekung kefasikan dan kepura-puraan biasanya hanya bertahan sehari dua sahaja dan tidak akan sampai lama. Di situ kita mengenali mereka. Begitu juga, sebahagian anak-anak kami yang kami rasakan telah kami kenali rupanya ada banyak sisi lain untuk kami kenali mereka melalui perjalanan. Perjalanan itu mewujudkan pertanyaan dan pertanyaan itu kunci kepada ilmu.

Di dalam rumahtangga juga, antara yang kami perhatikan dalam banyak kes perceraian yang dirujuk, mereka berpisah atas sebab “Tidak Sefahaman”. Jika diperhalusi lagi, mereka sebenarnya sudah hilang asbab untuk bertanya. Jika setahun dua berkahwin masih lagi boleh tanya soalan-soalan cliche “You sayang I tak?” tapi kalau dah bertahun-tahun, soalan cliche sudah tak laku lagi. Isteri dah kurang bertanya kepada suami.

Lebih mengharukan apabila keadaan itu dilihat oleh anak-anak lantas anak-anak menirunya juga. Maka, terhasillah keluarga pendiam yang tiada tanya menanya. Anak-anak menghabiskan masa kepada computer game, tablet, facebook, whatsap, wechat dan macam-macam lagi. Sementara ibunya pula pulang bekerja terus duduk di depan TV menunggu drama-drama slot Akasia “Playboy itu Suami Aku” yang mereka sanggup tonton sehingga puluhan episod.

Ini realiti dan ia sedang berlaku di kebanyakan rumah-rumah. Jika syurga itu digambarkan memiliki sungai-sungai yang mengalir, maka air yang mengalir itulah analogi aliran ilmu yang tidak putus-putus. Mengapa tidak putus? Kerana sentiasa ada pertanyaan.

Dengan pertanyaan itu, yang ditanya juga belajar. Mana tidaknya, apabila murobbi yang memberi penjelasan di dalam bas rombongan anak-anak terpaksa minta tangguh jawapan untuk mereka google di internet, ia juga menjadi pengetahuan baru kepada murobbi itu sendiri dan anak-anak yang bertanya. Barulah, ilmu itu sentiasa berkembang serta mengalir seperti mata air dan sungai-sungai di dalam syurga.

Sungai-sungai itu yang membawa aliran ilmu yang tidak putus-putus menjadi sumber air untuk dusun-dusun buah. Ya, di dalam syurga juga ada pohon-pohon buah yang pelbagai. Pohon ini menyerap air dari aliran sungai yang tidak putus-putus itu lalu dijadikan bahan untuk menjalankan proses fotosentisis yang kemudian menghasilkan makanan untuk pembesaran pokok dan mengeluarkan BUAH-BUAH FIKIRAN.

Anak-anak yang rajin bertanya ini akan banyak mengeluarkan buah-buah fikiran yang lazat dan enak sehingga kami murobbi juga boleh makan buah-buah fikiran yang dihasilkan oleh anak-anak ini sendiri.

Adakah syurga seperti ini sedang berlaku di dalam rumahtangga kita? Jika belum, mulakan sekarang. Jika sudah, fikirkan halatujunya. Jika belum, tidak salah kita memulakan pertanyaan sebagai mendidik anak cara yang terbaik untuk bertanya. Kenali tahap pemikiran anak kita dahulu dan mulakan dari situ untuk memulakan alirannya.

Kenali juga bahan pertanyaan dan gaya menanya kerana tanya menanya terhadap kefasikan juga dinamakan “TANYA”, tetapi ia menjurus kepada sesuatu yang membosankan dan mematikan akal. Contohnya apabila anak bertanya sesuatu yang dia sudah tahu secara berulang-ulang. Bertanya kerana malas berfikir dan sebagainya. Pertanyaan seperti ini tidak ada ilmu yang bakal terbit. Kerana itu, ia akan menjadi aliran sungai yang kotor alirannya?

Tips Parenting
WARGA PRIHATIN

KEMBARA BALING – PROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN

00 SEKOLAH ALAM BALINGPROJEK SEKOLAH ALAM WARGA PRIHATIN

Pada 31 Januari 2014 sempena cuti Tahun Baru Cina yang lalu, kami di RPWP mengambil kesempatan untuk perlaksanaan Program Sekolah Alam kami yang ke-3 selepas Muar, Melaka. Kali ini kami menuju ke Baling, Kedah. Seramai 99 orang bermusafir ke Utara, melalui lebih 12 jam perjalanan dalam keadaan jalanraya yang sangat sesak sempena musim cuti perayaan.

Terima kasih kami dahului kepada semua pewakaf “Harakah Wakaf Bas” yang telah turut menitipkan amal melalui wadah yang kami sediakan. Dengan tambahan dana wakaf dari co-founders, akhirnya berjaya juga dicukupkan untuk pembelian bas sekolah yang pertama RPWP. Namun untuk dimuatkan 109 orang warga di dalam 1 bas pastinya tidak mencukupi. Maka, bas kedua masih dalam proses pengumpulan dana.

APAKAH PROJEK SEKOLAH ALAM?

Ia satu projek yang sangat menarik di mana anak-anak belajar lebih banyak dalam 3 hari perjalanan berbanding 3 bulan di dalam kelas. Hatta, impak pembelajaran menjadi 3000% lebih efektif dari pembelajaran secara qalam (bilik darjah).

Mungkin rumusan lawatan kami ini mampu membuka perspektif yang lebih luas kepada anda semua. Harapan kami agar anda faham mengapakah sebelum adanya bas sekolah, kami sanggup menggunakan 15 buah MPV, beberapa kali setahun membawa anak-anak keluar untuk pembelajaran insitu yang sangat bernilai. Namun, kos yang sangat mahal itu menghadkan perjalanan kami. Alhamdulillah, jelas sekali kos perjalanan dapat dikurangkan dengan adanya bas yang pertama ini. Di samping itu tausiah murobbi jauh lebih efektif sepanjang perjalanan dengan bas, puluhan jam masa perjalanan dapat diisi dengan program pembelajaran alam dengan berkesan. Doakanlah kami berjaya mencukupkan dana untuk mendapatkan sebuah lagi bas sekolah.

Perjalanan bermula jam 10.30 pagi menuju ke Teluk Intan Perak melalui jalan Kuala Selangor pada awalnya. Namun, atas sebab trafik yang sangat buruk, kami terpaksa membuat perubahan pelan untuk terus ke Baling, Kedah.

Perjalanan menjadi meriah apabila Baba Din (Che Din) dan Ayah Saiful (Saiful Nang) membuka celoteh perjalanan dengan pelbagai informasi yang anak-anak lihat dari tingkap mereka. Sekali sekala, keadaan menjadi gamat apabila soalan-soalan quiz dibukakan kepada anak-anak yang berada di dalam bas. Kasihan juga kepada anak-anak yang menaiki kenderaan biasa, mereka terkilan kerana terlepas maklumat yang disampaikan sepanjang perjalanan.

Setiap pelajaran adalah berharga. Anak-anak akan bertanya dan murobbi bertugas sebagai pemberi penjelasan akan terus menjawab dan memberikan informasi demi informasi. Yang menariknya, informasi yang agak tinggi tahap jawapannya dan hanya difahami oleh kakak dan abang-abang yang di sekolah menengah akan turut dijelaskan mereka kepada adik-adik kecil yang mereka apit dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami. Maka, tidaklah si kecil yang berada dalam bas termanggu-manggu tak tahu apa yang dibual bicarakan.

Anak-anak sehingga sekecil-kecil yang sudah pandai menulis akan bersama dengan buku nota kecil masing-masing. Mereka tak sabar untuk berkongsikan pengalaman sesama mereka bila balik nanti. Si kecil yang tidak pandai menulis lagi juga teruja untuk mencatit apa yang mereka saksikan melalui LUKISAN-LUKISAN pensil mereka. Itu sahaja sudah cukup menampakkan bermulanya proses pembelajaran kerana apabila kami tanyakan, mereka mampu menjelaskan.

JAMUAN MAKAN ISTIMEWA DI BANGKOK STATION (DULUNYA BM TOMYAM)

Perjalanan yang melalui pelbagai kesesakan itu berjaya sampai ke Bangkok Station, Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam pada jam 8.30 malam. Ia sebuah kedai makan yang sangat sedap dimiliki oleh bekas anak didik Ayah Saiful melalui akademi beliau Saiful Nang Academy of Professional (SNAP) yang kini beroperasi di Sunway. Kami dijamu dengan masakan siakap masak pedas, otak-otak Utara, tomyam seafood dan pelbagai hidangan lagi. Paling menarik yang menjadi kehebatan Bangkok Station itu ialah “Siakap Stim Limau” resipi termahal berasal dari Thailand.

Jika dihitung pinggan demi pinggan, mungkin lebih RM2,000 untuk makan malam itu. Harga makanan masih tidak diberitahu oleh pemilik restoran yang dari mula hanya mengatakan “InsyaAllah, nanti saya cuba” apabila ditanyakan tentang kos per kepala.

Rupanya, setelah kami duduk makan, En. Syaafily yang merupakan pemilik restoran menghantar mesej kepada Ayah Saiful mengatakan, makanan malam itu adalah satu jamuan. Beliau rupanya dah lama menyimpan hajat untuk membelanja anak-anak RPWP untuk makan di restoran beliau. Makan malam itu diakadkan dan didoakan oleh anak-anak.

Sempat juga En. Syaafily yang tidak dapat bersama malam itu kerana bertugas di Kuala Lumpur menghantar pesanan mengatakan “jangan bagitahu orang lain saya belanja… takut tak afdhal sedeqahnya nanti”. Namun, kami sebagai penerima berfikir, jika ia dicanang oleh pemberi mungkin itu tidak baik, tetapi jika kami yang canangkannya di dalam rencana ini, maka ia menjadi satu tanda terima kasih kami kepada orang yang budiman dan seterusnya mampu untuk menjadikan beliau satu contoh kebaikan yang harus dipromosikan. Tidak hilang amal baik beliau kerana yang mengatakan kebaikan beliau itu ialah PIHAK PENERIMA.

Anak-anak tak habis-habis memuji kelazatan hidangan yang disajikan kepada kami. Terima kasih Bangkok Station Bandar Baru Perda. KAMI DOAKAN AGAR RESTORAN INI BERTAMBAH MAJU DI MASA DEPAN.

PENGALAMAN JELAJAH DESA

Perjalanan diteruskan sehingga ke Baling dan kami tiba disambut oleh pasangan Mak Tok AISHAH & Tok Wan ABDULLAH. Pasangan warga emas yang tinggal berdua inilah destinasi kami bermusafir. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, bas yang kami perolehi bukan untuk bawa anak-anak melawat Legoland ataupun Universal Studio, tetapi kami memberi keutamaan kepada sesuatu yang kini hilang dalam kemanusiaan iaitu “Kasih Sayang” dan “apresiasi alam”.

Itulah kali pertama anak-anak menziarahi Mak Tok & Tok Wan di kampungnya. Sebelum ini, Mak Tok & Tok Wan yang sering melawat RPWP. Ketibaan pada malam yang hening dengan suhu pada waktu Subuh hanya 18 darjah celcius cukup buat kami yang bermalam disuluh bulan menggigil kedinginan.

Bila fajar menyingsing pada pagi berikutnya, maka bermulalah kembara menerokaan desa secara rasminya. Pagi itu digawatkan dengan perbarisan anak-anak lelaki diiringi oleh bapa-bapa untuk bersolat di surau berhampiran. Selepas itu anak-anak rijal beriadah dengan merentas desa. Anak-anak nisak membantu ibu-ibu menyediakan sarapan.

Selepas sarapan pagi, kesunyian desa dipecahkan dengan kawad kaki disiplin pagi anak-anak yang disampaikan “hukumannya” oleh Anakanda Azizul. Keluar baris dalam 2 kumpulan iaitu kumpulan anak lelaki (rijal) dan anak perempuan (nisa’). Anak rijal terus ke kebun untuk melihat sendiri pokok ubi, merasakan bagaimana mencabut ubi dan bagaimana menanam semula ubi yang telah dicabut.

Di sekitar itu, banyak pertanyaan yang wujud. Mengapakah dahulu kampung ini tidak berpagar dan kini semuanya telah dipagar? Mengapakah apabila adanya ubi mesti ada batasnya? Mengapa pula bila ada batas ada pula babi yang melanggar batas itu? (dari Quran), mengapa itu dan mengapa ini semuanya menjadi pokok persoalan yang ditanyakan anak-anak dan banyak sekali pelajaran yang mereka kutip. Menurut Tok Wan jika orang tidak ramai, kita boleh lihat babi hutan berjalan depan rumah untuk merosak tanaman ubi. Di samping itu lembu dan kambing juga berkeliaran sudah tidak boleh dikawal. Kerana itu semua kawasan rumah perlu dipagar.

Anak rijal kemudiannya turun ke sungai untuk membersihkan sungai yang kotor. Tetapi kami lihat, mandi sungai menjadi aktiviti utama dan membersihkan sungai jadi aktiviti sampingan pula. Anak nisa’ meneruskan perjalanan ke kandang kambing, kebun tebu, ternakan arnab, kolam ikan tilapia, melihat pembalak membuat papan dari kayu hanyut, melihat proses bagaimana buah pinang menjadi peluru, kebun jagung, kebun keledek termasuk juga melihat sendiri bagaimana pokok getah ditoreh.

Mungkin hari ini kita generasi X dan Y tidak heran dengan semua itu. Tetapi ada anak-anak yang diserahkan kepada kami mengenali ayam itu dengan melukis seketul “drumstick” (peha ayam) seperti dalam iklan KFC. Apabila ditunjukkan ayam yang sebenarnya, ada yang terkejut melihat bentuk asal ayam yang mereka makan.

Pelajarannya bermula selepas itu. Mereka berkumpul dalam kumpulan-kumpulan mereka dan berbincang tentang pengalaman mereka. Perkongsian tentang pemerhatian mereka tentang pagar yang dulu tiada sekarang sudah dipasang juga mampu mereka sintesiskan dengan kadar jenayah setempat. Jika lembu, kambing juga sudah seperti babi yang tidak boleh dikawal, berkeliaran membuat kerosakan, maka rumah dan tanaman kita pulalah yang harus dipagar.

Subhanallah, satu mena’kulan mantik yang kami lihat sangat indah. Babi juga mereka sifatkan sebagai haiwan yang melampaui batas dan atas sebab itu babi itu NAJIS. Ada yang mencelah, najisnya babi itu sehingga manusia tidak boleh menyentuhnya apa lagi MENIRU perangai babi itu sendiri yang sentiasa menyondol batas-batas yang telah disediakan. Disambung lagi oleh seorang anak berumur 7 tahun yang bertanya “Bukankah di dalam Al-Quran dinyatakan tentang Firaun juga adalah individu yang melampaui batas, adakah Firaun juga seorang “Babi”?”

Meriah kami dengar perbincangan mereka. Ya, Firaun mempunyai sifat babi yang melampaui batas yang Allah telah tetapkan namun, beliau seorang yang mempunyai fizikal seorang manusia. Seperti ada mentol yang menyala di kepala anak-anak ini untuk menyimpulkan bahawa manusia juga boleh menjadi seburuk babi jika manusia meniru sifat babi. Jika ada batas-batas / had-had (hudud) yang telah ditetapkan, hanya babi sahaja yang akan melanggarnya. Oleh itu, jika kita ini manusia, ikutilah batas-batasan yang telah ditetapkan.

Perbincangan itu berlarutan dalam banyak suasana. Sukar untuk kami ceritakan semua itu tanpa menjadikan artikel ini lebih panjang. Semua perjalanan di dalam bas mahupun semasa berjalan kaki dan menerokai hutan dan pelbagai kebun tanaman, aktiviti membersihkan sungai, semua itu menjadi bahan tanya dan jawab antara anak-anak dengan murobbi mereka.

KESAN SUJUD YANG MERAHMATKAN ALAM

Aktiviti anak-anak di surau sewaktu solat berjemaah, juga majlis tahlil dan doa selamat serta celoteh anak-anak ala juruhebah radio dengan pembesar suara sepanjang berada di sana telah memeriahkan suasana. Keletah anak-anak yang menghujani orang kampung dengan pelbagai soalan, kemudian membacakan selawat/marhaban dan doa selamat sebelum beredar telah menyebabkan orang kampung sangat tersentuh hatinya.

Abang Jamil yang kami temui sedang menangkap ikan tilapia di dalam kolamnya menyerahkan lebih dari 200 ekor ikan tilapia kepada kami untuk makan malam. Tidak cukup dengan itu, isteri Abang Jamil yang mengusahakan kebun tebu pula menghantar 2 gelen besar air tebu asli yang baru dimesin untuk kami. Abang beliau yang juga berjiran turut mengirim sebakul rambutan untuk cuci mulut.

Perjalanan program turut menggembirakan Tok Wan dan Mak Tok sehingga berat untuk mereka melepaskan kami pulang. Aktiviti barbeque ikan tilapia pada malam hari, petik rambutan, mandi sungai yang terletak di belakang rumah Mak Tok, menebas belukar, membersihkan kawasan rumah dan banyak lagi menjadi aktiviti kami semasa di sana dapat menyumbangkan keceriaan buat mereka.

Warga Emas tidak meminta wang berjuta. Yang mereka mahukan adalah kemeriahan dalam berkasih sayang. Belum habis gembira itu, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada hari ketiga. Perjalanan pulang perlu dimulakan.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Felda Teloi Kanan, menziarah ibu dan bapa kepada salah seorang dari kami. Suasana sangat meriah, kami dijamu oleh bungkusan nasi-nasi lemak yang sangat enak. Hampir semua menambah bungkusan kedua nasi lemak itu.

Kami teruskan perjalanan pulang sambil menyinggah di Royal Belum dan menyaksikan kecantikan dan keindahan suasana di situ sebelum kami singgah untuk makan malam dan solat Maghrib & Isya secara jamak dan qasar.

KESIMPULAN

Ibarat sireh pulang ke gagang. Di bandar, mungkin tidak sekali dalam seminggu atau sebulan, di mana tapak kaki kita dapat menyentuh tanah, selaku asas kejadian kita. Semuanya sudah berturap atau berjubin. Oleh itu kita semakin jauh dari asal usul kejadian sendiri dan mudah lupa diri.

Pertanian dan ternakan desa, juga aliran sungai bersih yang tidak ada di bandar, membuatkan anak-anak kami meminatinya. Kerana itu, ke mana sahaja kami bawa mereka pergi, mereka akan bertanya ada sungai atau tidak? Jika ada, mereka akan berusaha membersihkannya lalu mandi manda menikmati kesegaran airnya. Malangnya kebanyakan sungai walau di mana sahaja sentiasa dicemari dengan pelbagai kotoran sisa buangan manusia yang amat menyedihkan.

Seperti biasa, pada penghujung setiap program, kami akan melakukan “Tahallul” (post-moterm) yang ringkas bagi mengambil pelajaran-pelajaran besar yang boleh dikutip dari program 3 hari yang akan berakhir itu. Alhamdulillah, ada terlampau banyak untuk diceritakan dalam program tahallul ringkas itu.

Masih terlampau banyak yang anak-anak catatkan untuk mereka kongsikan. Tak sempat untuk kami ceritakan kesemuanya. Kami hanya menganggarkan apa yang mereka pelajari dalam 3 hari secara ALAM (Program Sekolah Alam Prihatin) itu melebihi apa yang mereka dapat dengan cara QALAM (bilik darjah) selama 3 bulan bahkan lebih lagi.

Jika anda sukar nak fahami mengapa kami katakan ia begitu, cuba sahaja bayangkan jika anda masih ingat lagi apakah soalan-soalan matematik dalam kertas soalan akhir semasa anda dalam darjah 1? Kami sendiri pun tidak dapat mengingatinya. Tetapi jika ditanya kepada anda, apakah warna beg atau apakah jenama kasut sekolah yang anda pakai semasa darjah satu pasti anda akan ingatinya. Ada banyak yang dipelajari di dalam bilik darjah hilang dari fikiran anak-anak kami kerana tidak diperjalankan dalam bentuk ALAM yang memberi pengALAMan.

Jika anda masuk ke dewan peperiksaan dan anda ditanya soalan geografi tentang PETA NEGERI KEDAH, anda mungkin perlu menghafalnya untuk mampu menjawap peperiksaan itu. Anda mampu jawapnya dengan baik tetapi tidak pasti samada minggu-minggu selepas peperiksaan itu, anda masih mengingatinya. Tetapi anak-anak dalam Program Sekolah Alam Prihatin ini tidak menghafal peta sebaliknya menerokai alam menggunakan peta itu.

Sama juga dengan Islam, ada orang menghafaz Quran tetapi tidak pula memperjalankan perlaksanaan Al-Quran itu sendiri, bahkan ada yang tidak tahupun makna apa yang dihafazkan. Nabi Muhammad SAW ialah seorang pelaksana, dan perlaksanaan itulah yang Allah ambil kira. Apabila ia telah dilaksanakan, pastinya nabi mampu untuk bercerita tentang perlaksanaan itu dengan tepat dan yakin.

Itulah ringkasnya tentang PROGRAM SEKOLAH ALAM Prihatin yang akan terus kami jalankan sekerap yang boleh. Agak rugi anak-anak kami jika cutinya dihabiskan dengan tidur, menonton TV, menghadap tablet, permainan komputer, merayau dan pelbagai lagi.

Setiap anak ditanyakan dan berkongsikan pelajaran yang mereka kutip di sepanjang program ini dan itu adalah salah satu garisan yang membezakan samada mereka BERTEBARAN ataupun mereka BERKELIARAN. Di dalam Al-Quran sendiri menyatakan, Bertebaran untuk MENCARI KURNIA Allah tetapi berkeliaran MEMBUAT KEROSAKAN. Walaupun tindakannya nampak seperti sama, tetapi sistem DIPAN-DIPAN yang kami jalankan membuatkan anak-anak menjadi pemerhati yang kritis. Mereka juga kongsikan pelajaran masing-masing dengan sahabat yang lain. Boleh jadi anak ini nampak apa yang anak itu tidak nampak, lalu perkongsian begitu membuatkan ilmu itu berkembang.

Beralainan sekali dengan BERKELIARAN yang menggunakan tindakan yang serupa tetapi akhirnya ia tidak memberi apa-apa pelajaran kepada pelakunya.

InsyaAllah, program ini akan terus kami lanjutkan. Kami juga berharap tabung wakaf bas untuk unit yang kedua dapat segera dicukupkan, agar program seperti ini mampu dijalankan dengan kos yang lebih murah.

Rumusan Perjalanan
WARGA PRIHATIN

BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBUAT WAKAF BAS KEDUA sila baca perinciannya di pautan ini http://prihatin.net.my/2014/01/07/wakaf-bas-menunjang-program-pembelajaran-islam-sepanjang-hayat/