Imam selamatkan penyerang daripada dibelasah [VIDEO]

image_pdf
 
 
Agensi
 

JIKA bukan kerana imam dan sekumpulan ahli jawatankuasa masjid Muslim Welfare House di utara London melindungi Darren Osborne yang merempuh jemaah pulang dari Terawih Sabtu lalu, lelaki itu mungkin cedera parah dibelasah orang ramai.

Mohammed Mahmoud, 30, yang tiba di tempat kejadian beberapa minit selepas lelaki itu merempuh orang ramai dengan van, menjerit: ‘Jangan sesiapa sentuh dia’; sambil melindungi Darren dengan bantuan berapa orang lagi.

Darren sudah ditarik keluar dari van dan ketika itu, sedang ditekan ke tanah oleh tiga lelaki, dikelilingi ramai lagi.

“Kami berjaya meredakan kemarahan orang ramai yang mahu bertindak ikut undang-undang sendiri.

“Ketika kami tiba, orang semakin ramai dan mereka cuba memukulnya, sama ada menendang atau menumbuk.

“Dengan rahmat Tuhan kami berjaya mengelilinginya dan melindungi lelaki itu daripada diapa-apakan.

“Kami halang serangan dan asakan dari semua arah,” katanya kepada BBC.

Menurut Mohammed , penyerang itu kelihatan tenang dan dia kendengaran berkata: ‘saya laksanakan tugas saya’.

Menurutnya, mereka menahan sebuah van polis yang melalui tempat kejadian dan menceritakan apa yang berlaku kepada polis.

“Kami berkata: Dia (Darren) sudah ditahan, dia langgar orang dengan van. Orang ramai cuba membelasahnya dan jika anda tidak menahannya, dia mungkin cedera teruk.

“Kami menolak orang ramai sehingga lelaki itu selamat masuk ke dalam van polis,” katanya.

Orang ramai memberkas penyerang sebelum diserahkan kepada polis.

Polis mengesahkan 10 cedera dalam kejadian itu, seorang meninggal dunia dan seorang koma di hospital.

Menurut saksi, dua mangsa diseret di bawah van dan seorang daripada mereka berkemungkinan lumpuh.

Saksi, Rashid Hassan, 47, memberitahu Daily Mail, dia nampak penyerang itu ketika mahu membantu mangsa yang cedera.

“Dia menjerit ‘saya mahu bunuh orang Islam’. Dia kelihatan agresif, berpeluh menjerit.

“Dia cuba lari namun berjaya dikejar empat atau lima lelaki yang kemudian menekannya ke tanah,” katanya.

Adam Kadar, 40, berkata dia dan orang lain memberi air kepada penyerang itu.

“Kami cuba menyelamatkannya dan menenangkan diri tapi dia melawan kami, menggigit dan bertindak agresif.

“Kami cuba menyelamatkannya daripada orang ramai yang marah. Islam tidak mengajar umatnya membunuh orang lain, jadi kami perlu selamatkan dia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:53 PM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *