image_pdf

GURU DUDA ROGOL PELAJAR 11 DAN 13 TAHUN DIPENJARA 24 TAHUN DAN 12 SEBATAN

Guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang, Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi (tengah) di hukum penjara 24 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Seksyen Selayang hari ini kerana didapati bersalah merogol anak muridnya.

KUALA LUMPUR 17 Feb 2017 – Seorang guru Pendidikan Jasmani sebuah sekolah rendah di Lembah Klang dihukum penjara 24 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol seorang anak muridnya dalam dua kejadian pada tahun 2011 dan 2013.


 

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan duda yang memiliki dua anak, Mohd. Ezlie Azram Mohammad Khasasi, 38, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

 

Walau bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi kesemua hukuman dengan syarat jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM20,000 berserta seorang penjamin.

 

Mohd. Ezlie didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa antara pukul 1 petang dan 3 petang, 3 Disember 2011 ketika mangsa berusia 11 tahun sebelum mengulanginya pada pertengahan bulan Ogos 2013 sewaktu mangsa berusia 13 tahun.

 

Kedua-dua kejadian didakwa berlaku di rumah tertuduh di Taman Aman Siara, Batu Caves dekat sini.

 

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat. – Utusan

 
 

11 Pelajar 13-16 tahun antara ramai lelaki yang diakui pernah ‘merogol’ pelajar 13 tahun ini

(Gadis itu mengaku melakukan hubungan antaranya di bawah tangga)

 

MELAKA, Feb 11, 2017: Seorang remaja perempuan di sini mengaku telah melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki di sekolah, rumah dan beberapa lokasi lain tahun lalu.

 

Kegiatan tidak bermoral pelajar Tingkatan Dua itu terbongkar apabila salah seorang rakan sekelasnya mendedahkan perkara itu kepada guru kaunseling.

 

Pada Rabu, guru berkenaan bertindak menyoal pelajar berusia 14 tahun itu.

 

Hasilnya, pelajar itu mengaku telah melakukan hubungan seks sejak Tingkatan Satu dengan beberapa lelaki di pelbagai lokasi termasuk di kelas, bawah tangga, bilik solat, rumah terbiar dan juga kediamannya.

 

Pelajar perempuan itu juga mengaku ia berlaku atas kerelaan dan persetujuan kedua pihak, malahan dia tidak pernah meminta wang selepas melakukan hubungan seks itu.

 

Selain rakan lelaki sekolah sama, pelajar itu mengakui pernah tidur dengan beberapa pelajar lelaki dari dua sekolah menengah dan lelaki lain.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pelajar berkenaan telah dipindahkan ke sekolah di Ayer Keroh pada Jun 2016 kerana masalah disiplin.

 

“Sebaik mendapat maklumat terperinci mengenai kegiatan seksual pelajar itu, guru berkenaan telah membawa pelajar itu untuk membuat laporan polis,” katanya.

 

Pada Jumaat, polis telah menahan 11 pelajar sekolah berusia antara 13 dan 16 tahun dari tiga sekolah menengah dan dua lagi suspek berusia 21 tahun.

 

Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii.

 

“Pelajar perempuan itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani ujian kesihatan dan seterusnya disarankan supaya melalui penilaian psikiatrik.

 

“Kami akan melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya. – MStar

 
 

KERANA TIDAK MASUKKAN BAJU PELAJAR DITUMBUK GURU DISIPLIN

ALOR SETAR, 08 FEBRUARY 2017. (ASM191S) Naharudin Azizan, 38, melakonkan semula bagaimana guru disiplin didakwa mencekak baju anaknya Nahar Danial Aiman. FOTO Shahrizal Md Noor

 

ALOR SETAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dibelasah oleh seorang guru disiplin di sekolahnya atas kesalahan tidak berpakaian kemas ketika ke sekolah pagi tadi.

 

Pelajar berumur 16 tahun itu mendakwa dia ditumbuk di belakang kepala, muka, dan disepak di kaki di hadapan pintu pagar sekolah, pada jam 7.40 pagi kerana tidak memasukkan baju ke dalam seluar.

 

Selain itu, mangsa mendakwa, lehernya juga dicekak sebelum guru disiplin terbabit mengeluarkan kata-kata ugutan.

 

“Saya ketika itu tidak melawan kerana bimbang akan dibuang sekolah malah memberitahunya sakit di kepala namun tidak diendahkan sebaliknya dia mengugut saya dengan berkata: ‘hang tak kenal lagi aku siapa’.

 

“Selepas memukul saya, dia terus menyuruh saya beredar ke kelas namun kerana kesakitan susulan bahu saya pernah patah Oktober tahun lalu menyebabkan saya bimbang berlaku kecederaan dalaman sebelum menghubungi ayah memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Merbau, Jalan Datuk Kumbar, di sini, hari ini.

 

Bapa pelajar itu pula berkata dia terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sejurus kejadian itu memandangkan tindakan guru itu disifatkan keterlaluan.

 

“Saya tidak kisah sekiranya dia merotan untuk mendidik. Tapi dia seperti samseng dengan mencekik memukul dan menendang anak saya, dan saya tak boleh terima, biarlan polis ambil tindakan dan siasatan,” dakwanya.

 

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika di minta mengulas kejadian itu berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar untuk siasatan.

 

Terdahulu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah ketika dihubungi maklum dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyelesaikannya.

 

“Kita juga akan mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah terbabit untuk tindakan selanjutnya,” kata jurucakap itu.

 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. – Bernama/Metro