GURU, TENTERA, PELAJAR IPT DAN ISTERI ORANG ANTARA 30 DITAHAN PENCEGAH MAKSIAT

image_pdf

Melaka, Jan 3, 2017 : “Saya baru saja mula urut, tak sangka pula kena tahan. Susahlah, habislah saya kalau macam ini. Saya rancang untuk pulang ke Putrajaya awal pagi esok (semalam), sebelum memulakan tugas.”

 

Demikian keluh seorang guru lelaki selepas dia ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika sedang mendapatkan khidmat urutan di sebuah pusat urut dan spa di Taman Melaka Raya, di sini, jam 1 pagi semalam.

 

Lelaki berusia 35 tahun berasal dari Klebang itu berkata, dia bertugas di sebuah sekolah di Putrajaya dan mahu pulang ke tempat kerja hari ini selepas bercuti di kampung.

 

Lelaki terbabit adalah antara dua kakitangan awam ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Maksiat diketuai JAIM, bermula jam 9 malam kelmarin.

 

Dalam operasi sama seorang lagi penjawat awam iaitu anggota tentera, lelaki berusia 22 tahun, dicekup ketika bersekedudukan dengan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam berusia 21 tahun dalam sebuah bilik hotel di Ujong Pasir.

 

Ketika pintu biliknya diketuk kira-kira jam 3 pagi, lelaki terbabit memanjat keluar melalui tingkap dan bersembunyi di sebalik papan iklan dipasang pada dinding luar bangunan hotel penginapannya.

 

Sementara itu, pasangannya mendakwa dia dan anggota tentera itu tidak melakukan sebarang perkara tidak senonoh dan hanya bermalam di hotel terbabit.

 

“Betul saya tidak buat apa-apa dengan dia dan kami hanya tidur. Saya sepatutnya pulang ke universiti di Dungun, Terengganu malam ini (kelmarin) tapi tiket habis dan yang ada hanya pagi esok (semalam),” katanya.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani berkata, pihaknya memeriksa tujuh hotel dan empat rumah urut sepanjang operasi enam jam yang turut dibantu anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Beliau berkata, secara keseluruhan tangkapan membabitkan 10 pasangan kekasih dan sembilan lelaki yang mendapatkan perkhidmatan di rumah urut.

 

“Kami turut menahan seorang wanita bersama dua lelaki hasil pemeriksaan di sebuah hotel di Jalan Bandar Hilir, pada jam 12 tengah malam. Hasil pemeriksaan lanjut kami turut menemui peralatan menghisap dadah dipercayai syabu, namun bahan terlarang itu dipercayai sudah dibuang ke dalam lubang tandas ketika mereka melengahkan-lengahkan membuka pintu bilik,” katanya.

 

Rahimin berkata, pihaknya turut menemui serbuk putih seberat 0.49 gram hasil pemeriksaan di dalam bilik penginapan sepasang kekasih di Jalan Laksamana Cheng Ho dan mereka disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah diserahkan kepada AADK untuk siasatan lanjut.

 

Menurutnya semua individu ditahan kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut dan membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 atas kesalahan bersekedudukan.

 

“Jika disabit kesalahan individu berkenaan boleh dikenakan denda RM3,000 bagi lelaki manakala wanita pula RM2,000. Selain itu Seksyen sama turut memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Metro

 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *