BUANG YANG KERUH, AMBIL YANG JERNIH

image_pdf

BUANG YANG KERUH, AMBIL YANG JERNIH

Alhamdulillah segala kekeliruan yang berlaku antara LZS dan Puan Wati, Ibu OKU yang menjadi viral sejak akhir-akhir ini telah terungkai.

Kami ambil keputusan untuk bersama-sama LZS, PPZ dan Baitulmal WP dan beberapa pihak lain menziarahi beliau setelah menerima terlalu banyak maklum balas dari pihak-pihak lain yang telah membuat siasatan sendiri. Beberapa daripadanya mengakui telah membantu beliau sejak sekian lama.

Bagi mereka yang ternanti-nanti hasil pertemuan itu, maka ingin kami kongsikan secara ringkas sahaja agar tidak menimbulkan fitnah, membuka aib dan boleh mengeruhkan suasana. Itu juga atas nasihat dari LZS,

1. Kami ucap tahniah kepada team pegawai dari LZS, PPZ dan Baitulmal Wilayah Persekutuan atas ketinggian kualiti siyasah dan budibicara mereka semasa pertemuan tadi.

2. Kami puas hati dan sekali lagi mengucapkan syabas dan bersyukur kerana LZS dan Baitulmal WP telah menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu Puan Wati selama ini.

3. Segala bantuan yang Puan Wati perlukan telah lebih dari cukup. Bukan sahaja hasil bantuan yang banyak dari LZS, tetapi juga dari terlalu ramai individu, korporat, NGO, termasuklah dari sebuah rumah asnaf seperti kami yang wakilnya turut bersama dalam pertemuan tadi.

4. Apa yang dilapurkan oleh Puan Wati kepada pihak akhbar dan TV, juga sebaran TEKS SMS beliau disahkan tidak tepat, tidak lengkap malah ada yang mengelirukan. Ini agak menyedihkan kerana itu adalah sumber berita langsung dari dirinya yang kita ambil kira dalam membuat keputusan untuk membantu.

5. Tawaran untuk mengajak beliau tinggal di RPWP juga dirasakan tidak perlu lagi kerana kami dapati pangsapuri beliau ada lift dan rumah beliau juga jauh lebih selesa dari sarana yang kami ada.

6. Kami ingin menyeru sekali lagi seperti yang pernah kami seru sebelum ini agar kita tidak mengutuk dan mencaci institusi zakat yang menjadi sarana maliah dalam sistem agama kita ini.

7. Kami sendiri turut terpanggil untuk memohon maaf sekiranya ada bahagian dari artikel kami telah disalah tafsir dalam usaha untuk membantu asnaf ini. Sepertimana yang kami katakan sebelum ini, kami tidak sedikitpun berniat, malah melarang masyarakat dari merendah-rendah peranan Lembaga Zakat.

8. Kami juga bersyukur kerana pihak LZS sangat terbuka dan sudi menerima teguran atau kritik membina yang bersifat akademik, dan tidak sekali-kali kerana sesuatu di luar dan keluar dari kepentingan agama Allah.

9. Kami sendiri berazam untuk bekerjasama dan bahu membahu dengan institusi zakat selaku mata dan telinga masyarakat di media sosial ini. Yang baik kita katakan baik dan kita puji. Yang buruk akan kita katakan buruk dan sama-sama kita nasihati. Ini sesuai dengan perintah Allah agar kita BERKERJASAMA/TOLONG MENOLONG DALAM MEMBUAT KEBAJIKAN

10. Page Warga Prihatin dan Saiful Nang (yang sememangnya agak sarcastic) adalah dua entiti yang berbeza walaupun beliau adalah salah seorang dari pengasas kami. Oleh itu, jika ada kapsyen yang dibaca dari page beliau ketika kongsikan artikel kami yang kurang enak, kami pohonkan ampun juga bagi pihak beliau yang kini sedang berada di luar negara. Bagi kami, mulut beliau memang pedas, tetapi hatinya sangat baik.

KESIMPULAN

Terlalu banyak kes permohonan bantuan yang didapati tidak telus dan meragukan. Sebahagiannya malah didapati 100% palsu dan merupakan scam berprofail tinggi.

Selepas ini kami akan lebih berhati hati, demi menjaga amanah para ‘pemberi’ dan demi memastikan setiap titik peluh dan susah payah kami berkerja dan berniaga mengumpul dana anak yatim dan asnaf di bawah tanggungan kami ini tidak disalah guna.

Golongan asnaf dan fakir, anak-anak yatim kami terpaksa berpuasa dan menahan diri agar kami mampu berbakti. Tetapi sedih juga apabila ada orang yang ditolong rupanya jauh lebih mewah dan boros dari kita.

Kami sendiri tidak beli baju raya… hanya pakai baju lama, baju ‘kotak’, pakaian terpakai pemberian orang ramai dan uniform RPWP yang di’recycle’ sahaja. Tetapi ada ‘peminta sedekah’ yang menerima puluhan ribu sumbangan duit raya. Skandal yang dipaparkan di TV dan media, juga apa yang kita lihat dijalanan antara buktinya.

Lebih kecewa lagi apabila tahu ada ‘penaja’ di sebalik cerita yang turut mengaut untung dari perit jerih orang lain dengan jalan mudah (bukan merujuk kepada kes Puan Wati).

Inilah antara pengalaman yang kami alami sendiri. Maklumlah… dunia akhir zaman, manusia tidak lagi peduli dari mana rezeki mereka diperolehi.

Kepada yang sudah terlanjur memberi terus kepada akaun Puan Wati kami pohon halalkanlah. Yang menitipkan melalui kami dan ingin kami mengembalikannya semula silalah hubungi kami.

Jika tidak, sila ubah niat/akad pemberian itu samada untuk dimasukkan ke tabung anak yatim dan asnaf RPWP, atau untuk projek pembangunan Kota Ilmu Akademi Insan (KIAI) PRIHATIN di Lenggeng.

Marthotillah,
WARGA PRIHATIN

Warga Prihatin's photo.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *