MUSAFIR DI AIDILFITRI – RINTIHAN SI YATIM PIATU

image_pdf

MUSAFIR DI AIDILFITRI – RINTIHAN SI YATIM PIATU

Semakin Aidilfitri mendekat, suasana semakin meriah dan ceria bagi kebanyakan dari kita. Namun tidak begitu perasaannya bagi anak-anak yatim piatu. Semakin hari raya mendekat, semakin anak-anak lain merasa gembira dapat bersuka ria bersama keluarga, perasaan mereka jadi semakin pilu dan hiba.

Video lagu raya ini adalah cetusan nurani sepasang anak yatim piatu yang diabadikan dalam lagu. Footage visualnya diadun dari iklan raya yang biasa kita tonton.

Kami minta maaf jika ada yang sensitif lalu menangis semasa menonton video ini. Terutama anak-anak yatim atau ibu tunggal yang melayani anak-anak yatim di luar sana. Kami sudah 10 tahun menghadapi situasi sebegini. Saban tahun terpaksa bergilir untuk tidak pulang beraya agar dapat bersama mereka yang tidak lagi berkeluarga.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami terpaksa agih-agihkan anak anak ini untuk ikut para ibu bapa angkat dari kalangan murobbi RPWP agar mereka juga dapat turut merasakan suasana ‘balik kampung’. Lagipun sebahagian daripada kami masih punya ibu bapa yang juga perlukan santunan dari kami anak-anak mereka.

Sebahagian kami memang agak tegas terhadap anak-anak RPWP secara zahirnya. Kami rawat sakit mereka, kami didik dan ‘ajar’ mereka seperti anak sendiri. Kami bertempat tinggal dan berkelana bersama mereka. Tinggal di rumah yang sama, makan makanan yang sama, pakaian jenis yang sama dan bermusafir dengan kenderaan yang sama dengan mereka.

Sebenarnya kami hanya nampak tegas dihadapan mereka. Hakikatnya di belakang anak-anak ini hati kami tidak sekuat itu. Yang garang dan tegas itulah yang lebih sensitif serta mudah tertumpah air mata bila mengenangkan nasib anak-anak syurga ini.

Setiap kali raya kami akan berhimpun meraikan mereka terlebih dahulu. Sehari dua sebelum raya kami membuat persiapan raya dan memantai bersama mereka. Yang diizinkan pulang kampung pun hanya akan bertolak malam raya selepas majlis takbir, silaturrahim dan bersalam-salaman di malam raya.

Walaupun sepanjang tahun kami pujuk hati mereka agar kuat, namun setahun sekali kami terpaksa izinkan mereka ‘melayan’ hati mengenangkan ibubapa yang telah tiada. Itu hak ibubapa mereka untuk dikenang.

Kami cuma perkuatkan mereka dengan satu motivasi iaitu agar mereka mengenang ibubapa berserta azam dan usaha untuk membina akhlak anak yang soleh. Itu sahaja yang memberi ‘makna’ buat Allahyarham ibubapa mereka.

Sama-sama kita hayati lintasan hati anak-anak ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR BATIN.

Warga Prihatin

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *