MISI SILATURRAHIM & PENGAGIHAN SEDEKAH RAMADHAN

image_pdf

2 hari terakhir sebelum pulang, kami ziarahi seramai mungkin mangsa banjir di Dabong, lata Rek, Manik Urai dan Pahi yang mana tidak sempat kami bantu baikpulih rumah-rumah mereka.

Team ziarah pertama hanya dianggotai oleh sekumpulan 4 buah MPV untuk memudahkan perjalanan menyusur jalan yang sempit.

Dalam perjalanan pulang, kami bawa pula anak-anak bersama seluruh warga konvoi melalui jalan utama yang boleh dilalui bas dan lori bagi meninjau perkembangan semasa sebelum meninggalkan Kelantan pulang ke Kajang.

Apabila keadaan mengizinkan, kami izinkan anak-anak singgah dan bertemu mangsa yang telah kami ziarahi sehari sebelumnya untuk bermesra dengan mangsa banjir, khususnya dari kalangan warga emas dan anak yatim. Di mana ada kesempatan kami minta anak-anak berselawat dan membacakan doa untuk mereka.

Tujuan utama silatulrahim ini ialah untuk menyuntik semangat mereka melalui pertalian persaudaraan. Doa yang dibacakan oleh anak-anak jelas menyentuh hati dan mampu menyuntik semangat buat mereka.

Sebagai tanda hati, kami juga agihkan bantuan barangan yang kami bawa serta sumbangan tunai yang terkumpul antara RM500 ke RM1,000 bagi setiap keluarga yang masih duduk di rumah sementara atau kemah kerana rumah sendiri masih belum dibaiki lagi.

Tambahan antara RM300-500 lagi kami agihkan khas bagi yang sedang sakit atau memerlukan biaya tambahan untuk membeli atap, khususnya di Lata Rek.

KEJUJURAN MANGSA BANJIR YANG LUAR BIASA

Memang banyak rungutan dari NGO, juga dari pemimpin dan penduduk setempat yang mengatakan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri setengah mangsa banjir. Ramai juga kalangan bukan mangsa banjir yang menyamar dan mengambil kesempatan mengaut laba dari sumbangan orang ramai sehingga timbul pergaduhan di kalangan mangsa banjir dengan ‘mereka’ yang tidak berakhlak dan menangguk di air keruh ini.

Namun apa yang kami perhatikan kelmarin amat menyentuh hati. Ada mangsa yang pernah kami ziarahi sebelum ini tidak mahu menerima sumbangan tambahan. Ada yang malah dengan sengaja mencari kami yang berhenti di Sekolah setelah mendapat maklumat, semata-mata untuk menghulurkan sedekah pula. “Doa anak-anak sebelum ini sentiasa terngiang-ngiang di telinga dan rezeki beliau murah selepas itu”, katanya.

Seorang ibu tiba-tiba meluahkan rasa syukur kerana doanya termakbul untuk bertembung dengan rombongan RPWP selepas bertembung buat kali pertama sewaktu misi bantuan banjir Januari lalu. Beliau menyimpan hajat untuk bersedekah jika bertemu lagi dan kebetulan ia berlaku kali ini ketika rombongan berhenti solat di Masjid Gua Musang.

Amat terharu sekali apabila kami dapati warga emas yang kami serahkan wang buat membeli atap petang sebelumnya telah pun memesan atap tatkala kami lawati lagi keesokannya.

Benarlah mereka dalam keadaan terdesak. Tinggal di pondok kecil yang mereka panggil ‘gok ayam’ atas bukit bersama isteri kerana tidak mampu membeli atap rumah asal mereka yang dihanyutkan air.

Kami tambahkan sumbangan tunai untuk membeli atap kerana amat tersentuh sekali apabila ditanya kenapa sudah 6 bulan Pok Su masih tak balik rumah lagi? dia tunjukkan bumbung rumah yang sudah lesap lalu berkata tak mampu nak beli atap.

Bila ditanya tidak ada ke wakil kampung atau pihak berwajib yang menawarkan bantuan? beliau kata mungkin ada tapi belum sampai giliran untuk dia lagi agaknya…

Beliau tidak tahu yang kami akan datang semula keesokannya kerana itu tiada dalam perancangan kami. Tetapi dua buah rumah yang kami berikan dana tambahan untuk membeli zing telah memesannya sepantas itu. Itulah tanda mereka sebenarnya amat memerlukan dana, bukan lagi selimut, dapur dan beras… “Subhanallah”.

Melihat begitu ramainya jumlah yang masih hidup dalam sengsara, kami berazam untuk menziarahi mereka lagi sebelum syawal nanti untuk menyambung silaturahim dan menghulurkan sedikit sebanyak lagi bantuan harakah ramadhan ini.

Sama-sama kita berdoa agar mereka tabah dan mampu mengatasi segala kesukaran hidup ATAS UJIAN ini.

WARGA PRIHATIN

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *