Bekas menteri: Biar Dr M, Anwar, Ku Li guling Najib

image_pdf
4:00PM – 17 Apr 2015

Bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad berbaik semula dan bekerjasama dengan para seterunya bagi menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zaid mencadangkan demikian dalam tulisannya berhubung pertemuan di antara Mahathir dan orang kepercayaan Anwar, Azmin Ali yang didakwa berlangsung bulan lalu.

“Adakah ini pemulaan bagi satu pertemuan paling penting di antara Dr Mahathir dan Anwar?

“Semua orang menunggu ia berlaku – apatah lagi, kedua-dua personaliti itu membentuk politik Malaysia sejak 30 tahun lalu.

“Mungkin merekalah gandingan yang dapat menyatukan negara ini dan membawanya keluar dari kekusutan sekarang,” katanya.

Tambahnya, kemunculan Mahathir di majlis pengebumian allahyarham bapa Anwar awal bulan ini juga menunjukkan bahawa hubungan kedua-duanya semakin baik.

Trio Anwar, Mahathir, Ku Li

Dalam tulisan di blog zaid.my itu, beliau seterusnya berkata, usaha kedua-dua tokoh itu “untuk menyelamatkan Malaysia” dapat diperkuatkan lagi jika disertai oleh seorang lagi veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Pemerintahan mereka bertiga akan memastikan kerajaan Najib dalam dilupuskan dengan pantas,” katanya lagi.

Katanya, gandingan Mahathir dan Anwar yang dibentuk pada pada 1989 itu kini dapat dijayakan.

“Kini mereka berpeluang menjayakannya, mungkin dengan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri sementara untuk tiga tahun, sementara menunggu pilihan raya umum akan datang.

“Kemudian, Anwar boleh mengambil alih dengan rancangannya untuk negara ini,” katanya lagi yang turut mempromosi agar orang ramai menyertai perhimpunan besar 1 Mei bagi “menunjukkan jalan keluar bagi Najib”.

Beliau yakin, gabungan blok pembangkang dan BN akan dapat menggulingkan Najib.

Bagi mencapai tujuan itu, Mahathir dan Anwar bagaimanapun perlu mengubah sikap ke atas satu sama lain, katanya.

Mahathir perlu memadamkan rasa benci pada Anwar, dan begitu juga sebaliknya, kata peguam itu lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *