Calon bersih dan bebas skandal untuk PRK Permatang Pauh, kata Muhyiddin

image_pdf

 

Calon bersih dan bebas skandal untuk PRK Permatang Pauh, kata Muhyiddin
MUHYIDDIN: Beberapa nama telahpun disenaraikan untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan UMNO tidak lama lagi.

BUKIT MERTAJAM: Calon yang akan dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh (PRK) perlulah calon yang bersih, bebas daripada sebarang skandal dan paling penting dapat diterima masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria itu perlu bagi memastikan BN merampas semula kerusi Parlimen tersebut pada PRK kali ini.

Katanya, beberapa nama telahpun disenaraikan untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan UMNO tidak lama lagi.

“Ini akan diputuskan tidak berapa lama lagi. Kita diberitahu, beberapa nama yang baik telah dikemukan oleh bahagian. Sebagaimana biasa, kita ambil kira semua faktor penerimaan daripada pengundi.

“Calon yang mempunyai rekod baik, tidak terbabit apa-apa skandal, ada latar belakang kelulusan pendidikan agak tinggi dan rapat dengan rakyat tempatan adalah antara kriteria yang kita ambil kira dan bahagian akan kemukakan secara  rasmi.

“Akhirnya pimpinan akan buat keputusan. Ini akan dilaksanakan sebelum hari penamaan calon,” ujar Muhyiddin.

Beliau yakin calon yang dipilih itu nanti dapat diterima oleh semua masyarakat dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa BN negeri dan UMNO Bahagian Permatang Pauh di Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata BN juga telah menyusun beberapa strategi untuk menghadapi PRK kali ini.

Katanya, biarpun terpaksa berhadapan dengan cabaran yang hebat di kubu pembangkang itu, namun beliau yakin mampu menghadapinya  dengan kerjasama parti komponen BN yang lain.

“Kita tahu kita adalah calon underdog kerana Permatang Pauh sejak dulu dikatakan kubu pada parti PKR namun begitu dalam politik tidak ada sesuatu yang mustahil.

“Cita-cita BN adalah untuk memang dalam PRK ini bagi membolehkan BN meneruskan usaha membantu membangunkan Permatang Pauh yang sekian lama agak terabai,” ujar Muhyiddin.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, dua Naib Presiden UMNO ditugaskan untuk membantu beliau dalam persediaan PRK Permatang Pauh dan juga di Rompin, Pahang.

Katanya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri akan membantu dalam PRK Permatang Pauh manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tu  Hussein dipertanggungjawabkan bagi membantu jentera BN di PRK Rompin, Pahang.

Tag: PRK, muhyiddin yassin, permatang pauh, rompin, pilihan raya, UMNO, BN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *