Dr M, bapa Anwar berkawan rapat – Azizah

image_pdf
5:13PM – 5 Apr 2015

Wan Azizah: Dr M, bapa Anwar berkawan rapat

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kunjungan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dan isterinya ke kediaman bapa mertuanya sebagai kunjungan atas dasar persahabatan.

Dr Wan Azizah yang juga ADUN Kajang itu berkata bapa mertuanya – Ibrahim Abdul Rahman – pernah menjawat jawatan dalam Umno membolehkan beliau berkawan rapat dengan Dr Mahathir.

“Tun Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir dulu dengan ayah mertua saya, bekerjasama. Ayah mertua dulu setiausaha parlimen di Kementerian Kesihatan, jadi kenal.

“(Mereka hadir) atas dasar persahabatan dan pertalian (persaudaraan) Islam, saya rasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian bapa mertuanya di tanah perkuburan Sungai Ramal petang ini.

Wan Azizah mengakui beliau turut terkejut dengan kehadiran bekas perdana menteri dan isterinya itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ibrahim.

Kira-kira jam 10.49 pagi tadi, Dr Mahathir dan Siti Hasmah muncul di kediaman bapa ketua pembangkang untuk menziarahi Ibrahim.

Bagaimana Dr Mahathir tidak sempat bertemu dengan bekas timbalannya itu kerana bekas presiden Umno itu pulang awal.

400 iringi jenazah

Ibrahim disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi tadi di Hospital Kajang dan dibawa ke rumah di Country Heights sebelumĀ  disemadikan di tanah perkuburan itu selepas Zohor tadi.

Sementara itu, seramai 400 orang mengiringi Ibrahim ke tanah perkuburan dan hujan renyai turun sewaktu majlis pengebumian itu berlangsung.

Turut kelihatan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan Exco Pemuda Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.

Sesudah Anwar menabur bunga dipusara bapanya, beliau kemudiannya diiringi pengawal penjara ke pacuan empat roda untuk dibawa pulang ke penjara Sungai Buloh.

Bagaimanapun, sewaktu Anwar diiringi keluar, berlaku tolak menolak kecil antara hadirin dan anggota keselamatan.

Manakala ada penyokongnya pula melaungkan “reformasi”, “takbir” serta “lawan tetap lawan”.

Anwar kemudiannya menyambut laungan itu dengan mengangkat tangan dan melambai ke arah hadirin sebelum dibawa pergi ke penjara.

Malaysiakini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *