Najib arah siasatan penuh nahas helikopter

image_pdf

11:58PM – 4 Apr 2015

Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih petang tadi.

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Perdana menteri menjelaskan bahawa mengikut prosedur beliau tidak boleh mengesahkan identiti mangsa selagi belum disahkan oleh pihak forensik.

“Namun berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai, tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas malam ini.

Najib yang nyata sedih dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.

“Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara. Ramai kenalannya di dalam dan luar negara,” katanya mengenai Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat,” kata Najib sambil menambah kata, Jamaluddin juga terus banyak memberi nasihat dan pandangan kepadanya walaupun tidak lagi menjadi duta.

Najib, yang dilihat cuba menahan sebak dalam sidang media itu, berkata: “Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku.”

Selain semasa di universiti, Najib berkata beliau dan Jamaluddin, yang juga ahli Parlimen Rompin, turut seiring ketika pembabitan awal dalam Umno dan seterusnya dalam dunia pentadbiran kerajaan.

Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai ‘Chief of Staff’ di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

“Secara peribadi beliau telah bersetuju meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat untuk berkhidmat dalam kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara,” katanya.

“Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya,” kata Najib.

Perdana menteri berharap keluarga mereka tabah dan bersabar menempuh dugaan ini dan ketentuan Ilahi.

“Saya dan semua rakan berdoa apa yang telah berlaku itu, sekiranya telah disahkan nanti, kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat,”¬†katanya.

– Bernama

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *