• Tun Dr Mahathir Mohamad
 

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan ahli dan pemimpin Umno perlu menyedari hakikat tersebut dan BN akan kalah pada PRU14 akan datang jika Datuk Seri Najib Tun Razak terus memimpin parti itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia didakwa sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri apabila banyak tuduhan yang dilemparkan gagal dijawab dengan baik.

“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib.

“Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, Chedet, hari ini.

Dr Mahathir juga berkata, ahli dan pemimpin Umno didakwa menunjukkan kesetiaannya kepada Najib secara membuta tuli.

“Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.

“Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri,” ujarnya.

Katanya lagi, dasar pemerintahan yang diperkenalkan Najib juga hanya menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mengetepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Cina.

“Namun, penolakan BN dalam PRU13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib,” katanya.