Hudud kolot jika dilihat melalui kaca mata barat – kata pakar

image_pdf
Hudud kolot jika dilihat melalui kaca mata barat - pakar
Hudud kolot jika dilihat melalui kaca mata barat – Prof Dr Mahmood Zuhdi (Sumber:mahmoodzuhdi.com)
KUALA LUMPUR: Hukum hudud akan dikatakan kolot jika dilihat melalui kaca mata Barat.

Demikian pandangan Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurutnya, hukuman yang digariskan dalam agama Islam itu bukan sekadar menghukum, tetapi juga untuk mendisiplinkan pesalah.

“Perkara utama dalam agama adalah membimbing, sebaliknya perundangan menjadi langkah terakhir.

“Apabila seseorang sudah diberikan didikan, tetapi berbuat jahat, maka hendaklah dikenakan dengan hukuman berat.

“Tetapi untuk membolehkan hukuman berat itu dilaksanakan, ia memerlukan beban pembuktian yang ketat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam temu bual itu, Dr Mahmood Zuhdi menjelaskan kekeliruan masyarakat mengenai hukum hudud yang cuba dilaksanakan di Kelantan.

Katanya, Islam adalah agama yang mementingkan disiplin, berlainan dengan sistem Barat yang hanya menekankan kebebasan.

“Apabila manusia terlalu bebas, mereka tidak mempunyai disiplin,” katanya lagi.

Beliau mengambil contoh hukum hudud ke atas mereka yang melakukan zina, yang memerlukan empat saksi yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dan jujur.

Dr Mahmood Zuhdi berkata saksi juga perlu melihat persetubuhan itu dengan jelas “seperti melihat benang memasuki lubang jarum”, dan bukannya menghendap.

Justeru, katanya, adalah agak mustahil untuk menghukum seseorang yang didakwa berzina.

“Malah, ketika zaman Rasulullah, hanya ada satu kes saja hukuman hudud dikenakan kepada penzina.

“Itu pun, beliau sendiri bertemu Rasulullah SAW dan mengaku perbuatannya.

“Tetapi Baginda SAW bertanyakan pelbagai soalan untuk memastikan perbuatan itu benar-benar dilakukan dan memahami maksud perzinaan,” jelas beliau.

Mengulas, apakah Kelantan melaksanakan hukum hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata Kerajaan Kelantan perlu banyak memberi pemahaman kepada masyarakat tentang apa itu hudud terlebih dulu.

“Untuk mengemukakan perlu dengan cara bijak dan berhati-hati.

“Undang-undang itu sama seperti sastera kerana mahu mengutamakan masyarakat. Perlu ada ijtihad baru yang mampu menyesuaikan dengan konteks semasa.

“Sekarang ini, asas ada tetapi isunya penganjur perlu benar-benar menjiwai syariat Islam semasa,” katanya.

Tag: hudud, dr mahmood zuhdi abdul majid, kolot, barat, uiam, Fiqh dan Usul Fiqh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *