Najib jangan hancurkan Malaysia kerana hudud Kelantan – Amin Iskandar

image_pdf

Najib jangan hancurkan Malaysia kerana hudud Kelantan

Amin Iskandar

Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau “berkicau” di www.twitter.com/aminiskandar.

Sudah sampai masanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan kepentingan negara berbanding kepentingan politik dalam isu hudud Kelantan.
 

Ketepikan politik dan jangan hanya kerana mahu melihat Pakatan Rakyat (PR) berpecah, Najib sanggup menghancurkan Malaysia yang turut diasaskan ayahnya Tun Abdul Razak Hussein.

Keputusan Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno dalam isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan amat penting bagi masa depan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai rakyat terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Bola kini di kaki Najib, hanya dengan sokongan Umno sahaja PAS akan berjaya melaksanakan hudud di Kelantan.

Seperti dikatakan bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam semalam, Umno mesti mengambil pendirian tegas kerana hudud merupakan isu nasional yang berimplikasi panjang dalam negara di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

“Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya hati sanubari Umno sejak ditubuh hingga sekarang, berpendirian hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini.

“Kalau saya tersalah faham dalam hal ini, Umno harus menentukan pendiriannya secepat mungkin. Isu ini sangat penting dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” kata Musa dalam satu kenyataan dari Cordoba, Sepanyol.

Malaysia sejak ditubuhkan merupakan sebuah negara sekular walaupun Islam merupakan agama rasmi.

Dua set undang-undang untuk orang Islam dan bukan Islam adalah sesuatu yang tidak praktikal malahan hanya akan menambahkan lagi masalah di negara ini.

Dengan undang-undang sivil dan syariah sedia ada pada ketika ini, negara sudah menjadi celaru dan haru biru terutamanya dalam isu melibatkan perkahwinan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Di dalam dunia ini, hanya di Malaysia berlaku perebutan mayat untuk dikebumikan kerana percanggahan di antara undang-undang sivil dan syariah dan kekeliruan berhubung status agama seseorang.

Selain itu, isu merebut anak apabila orang Islam berkahwin dengan mualaf jika berlaku kematian atau penceraian sudah menyebabkan ramai pasangan turun naik Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Hujah mengatakan hudud hanya untuk orang Islam dan bukan Islam tidak perlu bimbang juga tidak boleh diterima kerana keadilan tidak akan dicapai jika sesuatu perbuatan jenayah mempunyai dua set hukuman berbeza.

Contohnya Umar dan Albert mencuri, dua set undang-undang hudud dan sivil menyebabkan kedua-duanya akan dikenakan hukuman berbeza hanya kerana berlainan agama.

Umar akan dipotong tangannya sementara Albert hanya dipenjarakan. Apakah hukuman ini adil bagi Umar?

Mengapa hanya kerana Umar dilahirkan beragama Islam, dia dihukum potong tangan sedangkan Albert hanya dipenjarakan kerana mencuri?

Di manakah keadilan? Apakah keadilan berbeza-beza mengikut agama?

Sebab itulah hudud tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Walaupun di Kelantan majoritinya terdiri daripada orang Melayu-Islam, masih terdapat bukan Islam di negeri pantai timur itu dan keadilan tidak akan dapat ditegakkan sekiranya terdapat dua set undang-undang.

Dan kerana Kelantan merupakan sebahagian daripada Malaysia, ia juga perlu mengikut undang-undang jenayah sedia ada dan tidak boleh mempunyai undang-undang sendiri.

Walaupun PAS mempunyai hak demokratik memperjuangkan hudud dan menggunakan saluran demokrasi untuk melaksanakannya, Najib juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimen Umno untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian yang bakal dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menyelamatkan asas pembentukan Malaysia.

Sanggupkah Najib mengorbankan Sabah dan Sarawak yang bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963 hanya kerana mahu melihat PR berpecah selepas hudud dilaksanakan di Kelantan?

PAS Kelantan sendiri berdepan dengan krisis keyakinan di negeri itu selepas dilihat gagal dalam menguruskan banjir terburuk akhir tahun lalu dan pasca banjir pada ketika ini.

Najib yang kini berdepan penentangan luar dan dalam Umno mungkin dapat menyelamatkan kedudukannya jika berpendirian tegas dalam isu hudud ini.

Mungkin sokongan bukan Melayu juga dapat dikembalikan kepada Barisan Nasional jika Najib melakukan perkara betul dengan menyelamatkan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara sekular. – 22 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *