Pelaksanaan hudud isyarat Malaysia tidak lagi sederhana, kata G25

image_pdf
Menurut Datuk Noor Farida Ariffin yang mewakili kumpulan G25, Malaysia menghantar isyarat kepada dunia yang ia tidak lagi mengamalkan kesederhanaan sekiranya kerajaan Kelantan dibenarkan menguatkuasakan hudud. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Mac, 2015.Menurut Datuk Noor Farida Ariffin yang mewakili kumpulan G25, Malaysia menghantar isyarat kepada dunia yang ia tidak lagi mengamalkan kesederhanaan sekiranya kerajaan Kelantan dibenarkan menguatkuasakan hudud. – Gambar fail The Malaysian Insider,

 

25 Mac, 2015

Malaysia akan menghantar isyarat kepada dunia yang ia tidak lagi mengamalkan kesederhanaan sekiranya kerajaan PAS Kelantan dibenarkan menguatkuasakan hudud di negeri itu, kata G25, kumpulan pesara kakitangan awam Melayu berpangkat tinggi yang sebelum ini meminta satu perbincangan rasional tentang Islam diadakan.

Kumpulan itu berkata, Malaysia akan dilihat sebuah negara ditadbir undang-undang agama yang tertakluk kepada tafsiran ulama, dan ia menggesa Putrajaya melindungi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini.

“Sejak Kemerdekaan, negara ini memilih jalan kesederhanaan. Perdana menteri terus mengemudi kerajaan sepanjang jalan ini dan melancarkan Gerakan Kesederhanaan Global untuk menunjukkan kepada dunia yang negara kita komited kepada prinsip kesederhanaan.

“Pelaksanaan undang-undang hudud PAS akan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia kini tidak lagi mengambil jalan sederhana. Kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang agama yang tertakluk kepada berbagai ragam tafsiran ulama, yang juga manusia biasa yang mampu membuat silap,” G25 berkata dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan dikeluarkan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, sebuah negara pelbagai kaum dengan ekonomi terbuka seperti Malaysia tidak mampu mengubah ciri-ciri sekular perlembagaannya bagi membolehkan enakmen hudud PAS dilaksanakan.

G25 juga menyokong pandangan Dr Chandra Muzaffar yang Perlembagaan Persekutuan bukannya tidak Islamik, dan berkata, sebarang percubaan memindanya bagi membolehkan pelaksanaan hudud, akan melanggar Perjanjian Malaysia.

Ia juga menimbulkan keraguan  sama ada undang-undang hudud di Kelantan, seperti diperincikan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2015), dapat menegakkan keadilan, memandangkan wujudnya kepelbagaian dalam tafsiran perundangan undang-undang.

G25 menambah, kerajaan Kelantan mahu melaksanakan hudud tanpa memenuhi syarat seperti digariskan ulama terkenal, Yusuf al-Qaradawi yang mengetuai Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Memetik Qaradawi, G25 berkata keperluan ekonomi rakyat seperti peluang pekerjaan dan pembasmian kemiskinan perlu dipenuhi sebelum hudud boleh dikuatkuasakan.

“Berdasarkan penjelasan di atas oleh Sheikh Qaradawi, bolehkah mana-mana negeri di Malaysia memenuhi syarat tersebut untuk membolehkan pelaksanaan hudud?” soal G25.

Kumpulan itu juga memetik akademik Islam, Prof Dr Professor Mohammad Hashim Kamali yang menganalisis enakmen asal PAS pada 1993 dan mendapatinya “tidak mencerminkan keseimbangan yang terdapat dalam al-Quran atau keadaan sosial dan realiti masyarakat Malaysia kontemporari”.

Dalam tulisannya, Hashim, yang mengetuai Institut Kajian Islam Lanjutan (IAIS), juga berkata, “Rang Undang-Undang Hudud yang dipamerkan tiada memperlihatkan usaha untuk menjalankan Ijtihad (pemikiran kreatif) ke atas isu-isu baharu seperti memenuhi cita-cita keadilan dan menggalakkan pembangunan dasar sosial yang bijak.”

G25 berkata semakan ke atas enakmen hudud baru-baru ini hanya menekankan hukuman dan bukan aspek taubat dan pemulihan seperti ditekankan al-Quran.

Isu hudud timbul semula selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu. Ia disusuli notis pemberitahuan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan.

Pindaan tersebut diluluskan sebulat suara DUN Kelantan, termasuk sokongan wakil rakyat Umno.

Langkah Hadi itu dikecam hebat khususnya daripada pemimpin DAP, malah PKR juga tidak menyatakan sokongan terhadap keputusan Hadi itu. – 25 Mac, 2015.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *