Tidak salah umat Islam tolak hudud PAS, kata mufti Perlis

image_pdf

Published: 24 March 2015 12:00 PM

DR_mohd_ASRI_mufti_perlis-030215-TMI-AFIFDatuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak semua perincian undang-undang jenayah Islam terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah dan tidak salah bagi umat Islam mengkritiknya.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak salah umat Islam tidak bersetuju atau menolak hukum hudud yang cuba dilaksanakan PAS di Kelantan, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan enakmen sebulat suara tanpa bantahan.

Menurut Asri, walaupun umat Islam tidak boleh membantah asas hudud kerana ia merupakan hukum Allah, ‎mereka masih bebas mengutarakan cadangan, pandangan atau “ijtihad” lain.

“Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

“Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” kata Asri dalam satu kenyataan di laman blognya semalam.
Beliau berkata, umat Islam perlu mengetahui perincian undang-undang syariah itu kebanyakannya tidak wujud dalam Al-Quran mahupun Sunnah.

Tambahnya perincian mengenai hudud mungkin terdapat dalam beberapa nas (dalil) tetapi dari segi perbincangan hukum fekah, ia boleh diandaikan pelbagai tafsiran.

“Ini yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).

“Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar,” katanya.

Oleh kerana terdapat pelbagai tafsiran dalam nas tersebut, terdapat perbezaan dalam perincian hukum seperti kadar curian, ‎suasana undang-undang itu dilaksanakan dan sama ada taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, kata Asri.

‎Pada masa sama, beliau menegaskan pendiriannya menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud tetapi mahu kerajaan PAS itu memberi ruang agar enakmen syariah itu dikaji semula pakar perundangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, tindakan mengkaji semula enakmen tersebut adalah wajar agar kerajaan Kelantan tidak mengulangi kegagalan pelaksanaan hudud yang pernah berlaku di negara lain seperti di Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan.

‎”Yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang dibuat oleh mereka, katanya.

Asri berkata, Kelantan di bawah pentadbiran PAS harus mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan kekejaman undang-undang seperti berlaku di bawah pentadbiran Taliban dan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

“Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.

Selepas DUN Kelantan meluluskan pindaan hudud, seorang penyampai radio BFM, Aishah Tajuddin diugut bunuh dan rogol di media sosial kerana dituduh mempersendakan hukum Islam dalam sebuah klip video YouTube.

Aishah bagaimanapun berkata beliau tidak berniat mengkritik hudud, dan hanya mempersoalkan keutamaan kerajaan Kelantan ketika masalah pasca banjir di negeri itu masih belum selesai. – 24 Mac, 2015.

ULASAN:

Tajuk yang dipilih oleh Malaysian Insider ini boleh mengelirukan pembaca. “Ramai yang bertanya pendirian saya tentang enakmen hudud yang dibentangkan oleh Negeri Kelantan baru-baru ini”, Kata Dr Asri. Berikut ini dilampirkan kenyataan penuh beliau.

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH KELANTAN

1.Secara umumnya saya telah membentangkan kertas kerja dan menulis beberapa artikel mengenai hudud. Boleh dirujuk pandangan umum saya dalam tulisan-tulisan berkenan. Demikian juga banyak ucapan saya dalam pelbagai seminar, forum dan dialog boleh didapat di internet.

2. Pada dasarnya, saya menyokong hasrat baik Kerajaan Kelantan. Hudud itu asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka seorang muslim tidak boleh menentang hudud yang terdapat dalam kedua sumber agung tersebut.

3. Dalam masa yang sama kita hendaklah tahu bahawa perincian ataupun pendetilan undang-undang hudud itu kebanyakannya tidak disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ataupun mungkin disebut dalam beberapa nas, tetapi dari segi perbincangan fekahnya, boleh diandaikan pelbagai tafsiran, ini yang yang disebut sebagai zanniah al-dilalah (dalil yang boleh berikan lebih dari satu andaian).

4. Maka, pendetilan kepada undang-undang hudud kebanyakannya adalah ijtihad ataupun kesimpulan pandangan hukum yang dirumuskan oleh sarjana muslim dari pelbagai latar. Maka, kita dapati terdapat perbezaan dalam pendetilan hukum seperti kadar curian, suasana undang-undang itu dilaksanakan, bagaimana hukuman dilaksanakan, apakah taubat menggugurkan hukuman ataupun tidak, apakah mengandung cukup sebagai bukti dan lain-lain.

5. Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen. Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas.

6. Suasana baru yang dihadapi oleh umat Islam hari ini menuntut ijtihad-ijtihad baru berkaitan hudud. Ini turut disuarakan oleh sarjana-sarjana besar fekah di zaman ini seperti al-Syeikh Mustafa Zarqa r.h, Muhammad Abu Zahrah, r.h, Dr al-Qaradawi dan lain-lain. Justeru, al-Syeikh Mustafa Zarqa tidak bersetuju hukuman rejam di zaman ini.

7. Soal latar keadaan untuk perlaksanaan sesuatu hukum juga hendaklah dikaji dengan teliti. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, sedekah umpamanya merupakan satu syariat yang disebut dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tiada siapa pun boleh membantah galakan bersedekah. Namun, bagi individu yang melaksanakan sedekah, dia mungkin boleh dipertikaikan ataupun dipersoalkan di sudut kelayakan dirinya, kesesuaian masa, kesesuaian sasaran sedekah, keutamaan yang patut didahulukan, jenis barangan yang diberikan, kesan sedekahnya, cara dia bersedekah dan seumpamanya. Mempertikaikan kebaikan dan syariat sedekah itu adalah merosakkan akidah. Namun, membincangkan semula cara, pendekatan, keadaan individu yang bersedekah itu adalah dibolehkan.

8. Umat Islam hendaklah berhati-hati jangan sampai mempertikaikan syariat hudud itu sendiri. Pun begitu mereka boleh bertanya balas, tidak bersetuju dengan beberapa ijtihad berkaitan hudud yang dipilih.

9. Saya sekali lagi menegaskan, saya menyokong hasrat Kelantan. Namun dalam masa yang sama, saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar-pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah diperbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

10. Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Negeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia yang akhir memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka.

11. Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan menggambarkan ‘kekejaman’ undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Bokoharam dan lain-lain. Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.

12. Umat Islam menyokong hasrat Kelantan. Dalam masa yang sama, ruang waktu untuk pandangan kesarjanaan di pelbagai peringkat hendaklah dibuka.

13. Kita umat Islam kini sedang hidup dalam era persepsi yang salah terhadap Islam dan ajarannya. Musuh-musuh Islam merancang persepsi yang salah ini. Jika kita tidak berhati-hati, hudud akan dijadikan senjata memberikan persepsi salah itu.

14.Hudud adalah pintu yang berat tapi indah lagi menyelamatkan. Maka, kita memerlukan rumah yang sesuai untuk memasangnya. Jika dipasang di rumah yang buruk, mungkin pintu indah tapi berat berat itu boleh meruntuhkan rumah. Namun, jika dipasang di rumah yang indah juga, maka keindahan pintu itu akan terserlah dan keselamatannya akan zahir.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *