• Ahmad Roslin Jaafar
  • Ahmad Roslin Jaafar

KUALA TERENGGANU – Biro Agama Umno Bahagian Kuala Terengganu menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang bersedia mengikut jejak Kelantan dalam pelaksanaan hukum hudud.

Pengerusinya, Ahmad Roslin Jaafar yang turut menyokong apa yang sedang diusahakan Kerajaan Kelantan ketika ini, turut berharap apa yang dibawa itu benar-benar mengikut tuntutan al-Quran dan hadis.

Menurutnya, sebagai negeri pertama yang ingin melaksanakan hudud, Kerajaan Kelantan sudah tentu menjadi perhatian negeri-negeri lain sebelum mereka melaksanakan di negeri masing-masing.

“Kalau Pas laksanakan dengan baik setelah bentang di Parlimen, sudah tentu negeri lain akan ikut. Melaka sebelum ini juga turut memberitahu bahawa tidak mustahil negeri itu melaksanakan undang-undang hudud.

“Di Terengganu, Menteri Besar setuju dengan hukum hudud dan kita berdiri teguh di belakang beliau berhubung isu itu.

“Kalau Kelantan bawa apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis, kita sokong 100 peratus apa yang Menteri Besar katakan, dan harap umat Islam turut sokong tanpa mengira fahaman atau parti kerana ini hukuman syariat Islam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, Terengganu sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan undang-undang hudud.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, proses ke arah itu akan diperhalusi termasuk melihat bagaimana ia dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu, Ahmad Roslin berkata, Umno tidak pernah sesekali menolak hudud sebagaimana pandangan segelintir pihak yang pesimis terhadap BN.

Jelasnya, apa yang ditolak Umno adalah hudud Pas kerana parti itu sebelum ini dilihat seolah-olah cuba mempolitikkan isu tersebut setiap kali menjelang pilihan raya.

“Kita bersetuju dengan hukum ALLAH dan kita lihatlah nanti dalam pembentangan sama ada mengikut apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Sekarang ini, tidak bentang lagi,” katanya.