TIGA Pekerja TNB Gugur Dalam Tugas Bila Pencawang Meletup

image_pdf

Mangsa terakhir letupan pencawang elektrik meninggal dunia

https://www.youtube.com/watch?v=f_nmv3vyr94

KUALA LUMPUR: Mangsa terakhir daripada tiga pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang parah akibat letupan pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, di sini, meninggal dunia petang tadi.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, juruteknik TNB meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, jam 6.55 petang.

“Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Februari lalu, dalam kemalangan kira-kira jam 11.00 malam, tiga warga kerja TNB itu melecur akibat percikan api ketika pensuisan dibuat selepas selesainya kerja-kerja penyelenggaraan.

Dua rakan sekerjanya, Norizan Abdullah, 59, dan Mohd Ruzairi Razali, 34 meninggal dunia pada 1 Mac dan 25 Februari, masing-masing di Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Seluruh warga kerja TNB bersedih atas pemergian ketiga-tiga mangsa. Kami kehilangan permata dalam kalangan warga kerja yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas,” katanya.

Pihak pengurusan TNB, selain memberi pertolongan segera kepada semua mangsa terbabit, akan terus membantu waris-waris dan keluarga masing-masing dalam menangani segala kesusahan dan trauma yang menimpa. – BERNAMA

* * *

Seorang lagi pekerja TNB meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Seorang lagi pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang parah akibat kebakaran pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai di sini Isnin lepas, meninggal dunia malam tadi.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata Norizan Abdullah, 59, meninggal di Pusat Perubatan Prince Court pada jam 10.52 malam.

“Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Balai Islam, Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar pagi tadi sebelum dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan untuk disemadikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Allahyarham meninggalkan dua isteri dan 10 orang anak berumur antara 10 tahun dan 32 tahun.

Beliau adalah antara tiga petugas TNB yang cedera dalam kejadian itu semasa melakukan kerja-kerja pensuisan.

Rabu lepas, seorang lagi petugas iaitu Mohd Ruzairi Razali, 34, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Seorang lagi petugas, Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, dilapor masih stabil dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Prince Court.

Mohd Aminuddin berkata, seluruh warga TNB bersedih atas pemergian kedua-dua mereka yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada TNB.

“Pihak TNB akan terus membantu waris dan keluarga ketiga-ketiga mangsa dalam menangani segala kesusahan dan trauma yang menimpa mereka,” katanya.

– BERNAMA

Pekerja TNB meninggal dunia

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbabit dalam kemalangan ketika kerja penyelenggaraan di pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, Isnin lalu meninggal dunia, petang ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan TNB, juruteknik, Mohd Ruzairi Razali, 34, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1:10 petang selepas mendapat rawatan sejak Isnin lalu.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Surau Balai Islam, Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar sebelum dibawa ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu untuk dikebumikan.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berumur tujuh, lima dan tiga tahun.

Sementara itu, dua lagi pekerja TNB yang turut cedera dalam kemalangan terbabit, Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, dan Norizan Abdullah, 59, kini dilaporkan stabil dan masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Prince Court.

Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 25 Februari 2015 @ 5:40 PM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *