Rosmah merungut terpaksa bayar RM1,200 dandan rambut

image_pdf

00 rosmah bazir.jpgb

OLEH DIYANA IBRAHIM

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor saran Putrajaya pertimbang penguatkuasaan kawalan harga caj perkhidmatan di rumah.

The Malaysian Insider, 23 Februari, 2015.- Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor saran Putrajaya pertimbang penguatkuasaan kawalan harga caj perkhidmatan di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2015.Isteri kepada perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan kebimbangan tiadanya kawalan bagi caj perkhidmatan di rumah menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Yang Di‎pertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) berkata, ketika ini, caj perkhidmatan di rumah seperti khidmat tempahan baju, solekan dan pendandan rambut mengenakan harga yang sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Kebimbangan itu diluahkan Rosmah ketika dalam program cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bersama Bakti apabila mendakwa terpaksa membayar RM1,200 setiap kali menggunakan khidmat pendandan rambut.

“Sekarang ini bila saya nak warnakan rambut dekat rumah, dia (peniaga) dah caj RM1,200, amboi mahalnya.

“Bila kita tanya dia (peniaga) cakap dekat kedai caj berlainan, yang ini mahal sebab ‘home service’ (perkhidmatan rumah) ini yang anda harus teliti,” katanya pada majlis penerangan GST Bakti di Bangunan Sri Hasmah di Petaling Jaya, hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Bakti dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hadir untuk memberi penerangan mengenai GST.

Sementara Ahmad mengatakan Putrajaya akan memberi peruntukan sehingga RM10,000 kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kerajaan mendidik rakyat mengenai GST.

Menurut Ahmad, dana itu akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan dan NGO berkenaan perlu membuat permohonan sebelum 1 April ini.

“NGO itu perlulah memohon terlebih dahulu kepada kementerian untuk mengadakan sesi-sesi ini dan jika perlu, saya sendiri akan turun padang,” katanya.

Menyuarakan lagi kebimbangannya, Rosmah berkata golongan suri rumah sering menjadi mangsa kerana tidak mempunyai pilihan selain menggunakan khidmat mereka.

“Suri rumah khususnya sering menjadi mangsa kepada peniaga tersebut akibat tiada kawalan harga dan panduan ditetapkan kerajaan dalam perkhidmatan di rumah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun harga minyak kini sudah turun, namun peniaga terbabit enggan menurunkan caj khidmat mereka.

“Apa yang kita mahu semua kena minta dengan suami, kalau suami yang bagi tidak apa, ini kadang kala ada suami yang kata,’Eh I dah bagi you last week nak lagi?'” katanya.

Rosmah menggesa Putrajaya mempertimbangkan perkara tersebut dengan mencari mekanisme bagi menangani masalah tersebut.

“Jadi saya rasa perkara seperti ini kita kena pantau sebab mereka akan buat keuntungan dengan berleluasa,” katanya.

Tambahnya, peniaga yang mengenakan perkhidmatan di rumah kebiasaannya melaksanakan perniagaan secara persendirian di mana timbul kebimbangan golongan terbabit sudah semestinya akan tidak akan mendaftar bagi GST.

“Tukang jahit dan pendandan rambut mereka ini tidak daftar, kami tak nak mereka (peniaga) naikkan (caj perkhidmatan) lagi.

“Dia (peniaga) memang sekarang sudah naik (caj perkhidmatan) macam ini, 3 bulan harga naik ‎tetapi mereka buat banyak duit, mereka dapat pelanggan tempatan banyak.

“Saya tak nak buat bising nanti orang kata Datuk Seri Najib Razak (suami) tak bising saya pula sibuk, tetapi ini realiti,” katanya. – 23 Februari, 2015
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rosmah-khuatir-peniaga-ambil-kesempatan-terhadap-suri-rumah-dengan-gst

 

ULASAN

Jika berita ini benar, maka kami harap Datin Seri Rosmah lebih matang dalam megutarakan ucapan dan mengulas isu nasional. Jika tidak mampu untuk berjimat dan merasai kesengsaraan rakyat sekalipun, janganlah terlalu MENJOLOK MATA dengan kenyataan terbuka begini.

Kenyataan yang menggambarkan kemewahan berlebihan oleh isteri pemimpin nombor satu yang kononnya sedang berhempas pulas untuk ‘mencukai rakyat’ melalui GST bagi mengawal ekonomi negara ini adalah amat tidak wajar sekali.

Kenyataan ini AMAT MENGGURIS HATI tatkala negara sedang dilanda bencana, ekonomi tidak menentu, nilai matawang yang rendah dan harga barangan yang tinggi. Terguris hati marhaen yang hidupnya masih terumbang-ambing, tercungap-cungap, tersungkur-sungkur memikirkan punca rezeki untuk nafkah anak dan isteri.

Marhaen tidak tahu apa itu GST yang sedang difahamkan dengan sungguh-sungguh. Sama dengan jahilnya mereka tentang HUDUD yang tidak perduli untuk kita berikan ruang iklan dan penjelasan. Yang sedang mereka fikirkan ialah bagaimana nak mencari rezeki untuk menyara keluarga, bagaimana mahu mendapatkan semula rumah dan hartabenda yang musnah dilanda bencana untuk keperluan keluarga..

Sampai kini bantuan kerajaan pusat juga dikatakan masih tidak kunjung tiba. Mereka mungkin mampu berteduh sehari dua di kemah plastik yang amat bahang panasnya. Itu tidak termasuk masalah keselamatan dan keperluan melindungi aurat keluarga yang tidak dapat ditampung hanya dengan kemah sementara.

Dengan adanya sifat zuhud dan bersederhana dari pemimpin PAS, mungkin mereka mampu MENCAIRKAN sedikit habit membazir seperti ini jika mereka berganding bahu dengan perdana menteri. InsyaAllah mereka boleh saling nasihat menasihati dari dalam, sebagai rakan dan saudara. Itu pastinya lebih mudah didengari berbanding memberikan tekanan sebagai lawan.

Sedarlah bahawa pembaziran itu sahabat SYAITAN. Lagipun rambut itu urusan dalaman, kerana ia adalah aurat seorang wanita Islam. Jika masih tidak sudi bertudungpun, janganlah dedahkan secara umum berapa Datin Seri belanja untuk perhiasan dalamannya. Cukuplah fitnah tentang pembaziran cincin, gelang, beg tangan, bill air, bill letrik dan entah apa-apa lagi. Jangan dibuka lagi pintu fitnah selepas ini.

Apapun, kami masih berharap semuga berita ini hanya rekaan semata-mata. Jika benar, kami harap nasihat ini dapat melepaskan kami dari dipersoalkan Allah kerana tidak menasihati saudara seagama. Selebihnya kami beristighfar dan berlepas diri. Semuga dosa kita diampuni sebelum kita mati.

WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *