Pemimpin PAS cadang Hadi bentuk kerajaan dengan Umno, laksana hudud

image_pdf

dap tolak hudud pas

The Malaysian Insider – Selepas kematian Mursyidul Am PAS, ini kali pertama cadangan untuk menggabungkan parti Islam itu dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan persekutuan, dibuat secara terbuka oleh pemimpin dan aktivis PAS.

23 Februari, 2015.

Selepas kematian Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, buat pertama kalinya, aktivis dan pemimpin PAS secara terbuka mencadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggabungkan parti Islam itu dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan persekutuan dan melaksanakan hudud secara sistematik.

Seorang pemimpin PAS Terengganu Roslan Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi memberikan cadangannya itu melalui akaun Facebooknya.

“Jika saya di tapak Tuan Guru Presiden, saya akan gunakan ruang ini untuk melakar satu sejarah terharum kepada rakyat Malaysia dengan bergabung dengan Umno/BN untuk membentuk kerajaan persekutuan dan melaksanakan hudud secara sistematik selepas ini,” tulis Roslan.

Roslan membuat cadangan itu selepas kematian allahyarham Nik Aziz yang menjadi penentang utama kerjasama politik antara PAS dengan Umno.

Roslan ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan beliau membuat tulisan itu di Facebooknya.

Ini kenyataan terbuka pertama daripada pemimpin dan aktivis PAS agar parti Islam itu bekerjasama dengan Umno khasnya untuk melaksanakan hudud.

Roslan sebelum ini menulis dengan marah membantah kenyataan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang berkata PAS bukan lagi sebahagian komponen Pakatan Rakyat (PR) jika bertegas bentang rang undang-undang pindaan hudud di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac ini.

“Kenapa DAP bersungguh sangat menghalang PAS melaksanakan syariat Islam? Jika PR berjaya tumbangkan BN, adakah kerajaan baru itu akan memberi ruang kepada PAS melaksanakan hudud?

“Bagi sesetengah kalangan, pelaksanaan hudud perlu kepada ruang masa untuk memberi penerangan dan pemahaman kepada rakyat, tetapi, dengan pendirian DAP yang sebegini keras dan konsisten, saya tidak nampak PR akan mengizinkan PAS melaksanakan hudud walaupun berjaya menguasai kerajaan pusat,” tulis Roslan.

Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang sebelum ini berkata, terdapat kecenderungan yang jelas di kalangan pimpinan PAS untuk bersama dengan Umno walaupun sentiasa dinafikan oleh mereka.

Tulis Roslan, ketika PAS kecil dan baru merangkak, tiada siapa pun yang nampak.

“Malah ketika bertahalluf siyasi dengan Perikatan pun, PAS ditendang begitu saja,” katanya.

Hari ini, katanya, PAS sudah subur mekar, semua pihak mula nampak kepentingan dan peranannya dalam mencerna hala tuju politik negara.

Roslan seterusnya menulis:”Bukankah perjuangan kita di dalam PR pun kerana ingin melaksanakan perintah Allah ini?

“Soal integriti, ketelusan, rasuah dan kepincangan boleh ditangani dengan memperkuatkan SPRM dan lain-lain jabatan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, soal Umno dan BN akan mengkhianati PAS lagi selepas ini ketentuan Allah dan “kita tidak boleh meneka kebijaksanaan Allah di dalam mengatur urusan-Nya”.

“Ketika itu, saya boleh pejam mata dengan penuh kepuasan,” katanya.

Tulisan Roslan disambut baik aktivis Umno Dungun, Jame Taib yang menyifatkan pandangan itu sangat baik.

“Alhamdulillah…. insya-Allah dipermudah oleh Allah jika kedua-dua parti politik yang berdaftar ini dapat bersatu. Atas dasar Islam, kita cuba satukan perbezaan yang ada,” tulis Jame.

“Jazakallah ustaz atas lontaran pandangan yang tulus dan berani. Pandangan ini sebenarnya mewakili ramai pemerhati politik di luar sana.” – 23 Februari, 2015.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemimpin-pas-cadang-hadi-bentuk-kerajaan-dengan-umno-laksana-hudud#sthash.7mNm9H6W.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *