INILAH BERITA YANG KITA TUNGGU-TUNGGU

image_pdf

00 t pa tq

Amat bersyukur membaca berita pendirian PAS Pusat yang menerima baik saranan Tok Pa dan beberapa pemimpin lain agar BN tidak bertanding di DUN Cempaka.Tahniah juga kepada semua pemimpin dan penyokong BN yang mencadang dan menyokong cadangan ini.

Ia amat bertepatan dengan impian rakyat yang sudah bosan dengan drama swasta pilihanraya ini. Alhamdulillah kalian semakin matang dan berhak mendapat sokongan padu dari rakyat untuk cadangan itu.

Ketahuilah para pemimpin sekalian bahasanya marhaen sudah muak dengan kekecohan dan hiruk pikuk ceramah yang sarat dengan caci maki, fitnah menfitnah, ejek mengejek dan menanam kebencian dan permusuhan. Mangsa banjir masih termenung dan tercungap-cungap, terkapai-kapai untuk meneruskan hidup. Ekonomi tidak stabil. Tak tergamak rasanya untuk buang masa dan belanja untuk menyertai ceramah dan kempen.

Kenyataan beberapa pemimpin lain yang sependapat dengan cadangan ini ada dimuatkan di artikel berikut. Antaranya termasuk kenyataan Tok Pa sendiri, Shabery Cheek, dan Mustapha Yaakub, seorang veteran UMNO.

http://prihatin.net.my/blog/2015/02/15/prk-dun-cempaka-rayuan-terbuka-buat-yab-pm/
Kami amat berharap agar kematian TGNA kita kenang dengan menghidupkan ukhwah dan daulatul Islamiah yang menjadi cita-cita allahyarham sejak dahulu. Itu sahaja hadiah terbaik untuknya dari kita yang sama-sama kehilangan beliau.
http://prihatin.net.my/blog/2015/02/14/syahid-tgna-yang-menghidupkan-jiwa/
Untuk BN, hargailah semangat perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh pemimpin dan penyokong PAS. Mungkin mereka juga tidak sempurna dan masih mencuba-cuba dengan apa yang ada. Apa salahnya kalian beri mereka ruang untuk berdakwah dengan BEBAS, termasuk ruangan di TV dan media.
PAS ada banyak ilmu dan kesungguhan untuk memperjuangkan agama. Ahli dan pemimpinnya sudah terbiasa dengan hidup susah. Bukan sahaja terpaksa bekerja tanpa upah, malah terpaksa mengeluarkan biaya sendiri untuk menyumbang kepada perjuangan mereka.
Sedikit sebanyak ilmu dan keikhlasan mereka ini amat kalian perlukan untuk mencairkan nafsu serakah pemimpin UMNO yang dikenali kebanyakannya rakuskan pangkat dan harta dalam perjuangan mereka. Janganlah cuba-cuba nafikan kerana itu hanya memaksa rakyat membenci lalu membuka aib dari bukti pekung yang ada. Tanpa mereka sukar kepincangan ini dibaiki kerana masalah sudah berakar umbi. Yang cuba menasihati dari dalam juga 2×5.
Kami yakin kehadiran PAS dalam kerajaan dapat membantu MEMBETULKAN apa sahaja penyelewengan dan ketirisan yang selama ini berlaku. Tanpa rasuah, kronisma, nepotisma, pecah amanah dan kerakusan mengumpul kekayaan peribadi maka hasil negara akan lebih berkat. Itu banyak manfaatnya untuk rakyat.
Untuk rakyat, teruskanlah berdoa dan menyeru ke arah perpaduan. Berilah ruang dan peluang untuk generasi kita hidup aman sejahtera, dengan lebih memahami dan mendalami agama.
Seruan perpaduan
WARGA PRIHATIN

BN TIDAK BERTANDING, PAS ANGGAP SATU PERHORMATAN
Sinar Harian – 16 Februari 2015

SHAH ALAM – Pas menyambut baik cadangan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya BN tidak meletakkan calon di Dun Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada malam Khamis lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun cadangan yang dikemukakan oleh Mustapa hanya pendapat peribadi beliau, namun ia adalah satu bentuk penghormatan terhadap Allahyarham.

“Saya ada membaca kenyataan Mustapa dan walaupun beliau belum membuat sebarang perbincangan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, walaupun perkara berkenaan belum diputuskan sepenuhnya oleh Umno, namun Pas bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam PRK Dun Chempaka.

“Kalau ikutkan sejarah, Umno pernah tidak meletakkan calon dalam beberapa siri PRK sebelum ini dan mungkin mereka (Umno) tidak meletakkan calon di sini (Dun Chempaka).

“Namun begitu Pas perlu bersiap sedia sekiranya wujud pihak lain atau calon Bebas yang mahu bertanding di Dun berkenaan,” katanya.

Mustapa kelmarin mencadangkan BN tidak perlu meletakkan calon dalam PRK Dun Chempaka sebaliknya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja pemulihan pascabanjir di Kelantan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mustapa kerana telah mengeluarkan cadangannya itu.

“Saya juga bersetuju dengan Mustapa mengenai pandangan beliau sekiranya PRK dijalankan akan menyebabkan banyak berlaku pergeseran antara parti,” katanya.

Selain itu, Mahfuz turut mencadangkan BN tidak meletakkan calon di PRK Permatang Pauh selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Seorang lagi pemimpin Pas iaitu Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali turut mengalu-alukan saranan Mustapa supaya BN tidak meletakkan calon di Dun Chempaka.

“Jika benar perkara ini, Pas anggapnya sebagai satu penghormatan kepada Tok Guru,” katanya.
PULIH BANJIR LEBIH PENTING DARI BERTANDING – KJ
Sinar Harian – 15 Februari 2015

PUTRAJAYA – Pemuda Umno berpendapat BN tidak perlu bertanding di kerusi Dun Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir di kawasan Kelantan Selatan dan Kelantan Tengah.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, proses pasca banjir memerlukan kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dan sekiranya BN bertanding di kawasan Dun Chempaka, ia mungkin akan mengganggu proses kerjasama itu.

Khairy berkata demikian selepas menghadiri karnival ‘Walk-A-Run’ yang dianjurkan oleh Persatuan Murid-Murid Lama Kolej Tunku Kurshiah, yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Pusat Sukan Air, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berpendapat BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir.

Mengenai karnival itu, Khairy berkata, ia adalah satu usaha mengumpul dana bagi memulihkan padang Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek.

Terdahulu, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah, Tan Sri Dr Rafiah Salim berkata, kolej itu memerlukan RM500,000 bagi membaiki pulih padang itu bagi menjalankan aktiviti Hari Sukan. – Bernama
JANGAN TERBURU-BURU SERTAI PRK – MD ALWI
18 Februari 2015

KOTA BHARU – Umno disarankan mengadakan mesyuarat dan berfikir lebih panjang, sama ada mahu menyertai atau tidak PRK Dun Chempaka setelah kematian bekas Adunnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, cadangan tersebut dibuat memandangkan di negeri ini masih banyak pemulihan banjir dan penyatuan parti diperlukan pada masa ini.

“Kita ada kerja besar untuk membantu mangsa banjir dan buat pemulihan terhadap 210,000 mangsa yang mengalami masalah kediaman mereka terjejas banjir baru-baru ini.

“Pada saya, kerajaan negeri sudah tertubuh. Kalau ada pilihan raya, ia tidak ubah apa-apa, ia tidak ubah struktur negeri dan tidak ubah kekuatan negeri, lagipun ini kerusi (Dun Chempaka) memang turun-temurun milik Pas,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kedai kecantikan yang baru dibuka, D’ Ayuna Beauty Collection di kawasan Pasar Kok Lanas yang dikendalikan di bawah program Empower Ecer, di sini.

Md Alwi berpendapat, beliau lebih cenderung menumpukan kerja membantu rakyat dan memberikan peluang kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob.

“Mengikut pandangan politik, menang atau tidak, apabila bertanding, ia boleh menang atau kalah, tetapi berdasar keputusan lepas (di kawasan Dun Chempaka), ia agak sukar.

“Apa yang penting sekarang ini, perlu fikir masalah rakyat, yang mana kita ada lebih 2,500 rumah mangsa banjir perlu dibaiki atau yang hilang rumah dan sebahagian besar mereka tiada tanah,” katanya.

Katanya, pertelagahan dalam politik sepatutnya tidak berbangkit memandangkan ‘icon of conflict’ sudah tiada dan rakyat mahu titik perpaduan bagi parti di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *