SAINS SOLAT #10 – BACAAN SURAH PILIHAN SELEPAS FATIHAH

image_pdf

 

00 solat 10

SAINS SOLAT #10 – BACAAN SURAH PILIHAN SELEPAS FATIHAH

Minggu lepas kita sudah bincangkan hikmah rukun qauli iaitu penetapan bacaan surah Al-Fatihah. Ia merupakan surah pembukaan, sinopsis dan ibu kepada segala maksud dari segenap isi Al-Quran. Itulah visi dari keseluruhan alQuran yang juga dijadikan kerangka dakwah atau doa kita dalam solat.

Selepas membaca surah Al-Fatihah, dituntut pula kita membaca ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Jika kita kaji keseluruhan ayat-ayat Al-Quran, kita dapati ada bermacam-macam tema, perintah, intonasi, konotasi dan sebagainya. Asbab atau isu yang menyebabkan ayat-ayatnya diturunkan juga berbagai-bagai. Namun harus diketahui bahawa semua ayat-ayat tersebut berlegar dalam kerangka surah Al-Fatihah, iaitu menyentuh soal RUBUBIYAH, UBUDIYAH dan MULKIYAH (RUM).

SIROT & SABIL

Surah Al-Fatihah adalah himpunan visi (SIROT) atau matlamat yang TERSIRAT dari ibadah solat kita. Ayat-ayat yang lain pula membicarakan tentang misi atau pendekatan perlaksanaan (SABIL) yang harus kita JIHAD’kan ke arah PENZAHIRAN kepada visi Fatihah itu.

Dalam konteks aktualnya, ada kepelbagaian pendekatan, langkah atau strategi yang boleh disimpulkan sebagai MISI / SABIL yang perlu kita laksanakan sebagai JIHAD. Tetapi, tujuan atau wawasan dari kesemua SABIL yang kita JIHAD’kan itu menuju kepada kerangka VISI (SIROT) yang sama. Walaupun terjemahan untuk kedua-duanya adalah sama iaitu JALAN, tetapi apabila diperhalusi, ia membawa maksud yang berlainan.

Tujuan utama atau visi solat kita ialah untuk menegakkan dien dan mencegah perbuatan keji dan mungkar dalam sesebuah jemaah atau ummah yang bergerak secara NAHNIAH sebagai KAMI. Itu yang terangkum dalam Fatihah.

Secara ringkas, Visi Fatihah bermula dari meletakkan BASMALAH yang tepat dalam apa sahaja yang kita lakukan. Kemudian kita kembalikan apa sahaja kredit yang kita dapat kepada Allah yang ‘memberikan petunjuk berupa methodologi atau aturan terbaik dalam kerjabuat kita’. Kita juga solat untuk menegakkan dien sehingga ia mampu jadi raja yang menguasai tindak tanduk kita, sehingga hanya kepada Allah kita mengabdi dan meminta pertolongan berupa petunjuk melalui solat dengan sabar dan istiqomah. Tujuan utama ialah untuk merasai nikmat beragama, tidak tersesat sehingga dimurkai Allah dan manusia.

Untuk mencapai visi Fatihah itu, kita perlukan ayat-ayat Al-Quran dari surah lain sebagai strategi dan methodologi dengan lebih spesifik. Ini boleh difahami jika setiap daripada kita MENTADARUS dan MENTAFAKUR ayat-ayat alquran itu sehingga benar-benar faham dan tahu bagaimana untuk MENTADABBUR dan MENTABAYYUN kesemuanya.

Itulah ilmu pentadbiran dan strategi kejuruteraan dalam pembangunan teologi ummah yang akan mampu mengubah situasi dan mampu ISLAH dari yang buruk kepada baik apabila ianya dilaksanakan dengan tepat dan kaffah. Itulah hakikat sebenar merujuk kepada solat yang menghasilkan amal yang SOLEH, iaitu amal yang membawa ISLAH (pembaharuan atau pembaikan).

Tidak Islam jika kita tidak ISLAH. Membazir masa jika amal kita tidak SOLEH. Tidak Islam jika hari ini tidak lebih baik dari semalam, apatahlagi jika semakin buruk. Penghayatan kepada semua seruan Allah melalui ayat-ayat alquran dalam solat itulah yang akan membantu kita mencapai matlamat amal SOLEH itu.

Itulah wasiat Rasulullah SAW. Itu juga sumpahan Allah dalam Surah 103. Al ´Ashr (1-3):

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal SOLEH, dan saling berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”.

ISTIQOMAH TERHADAP TAQWIM MENUJU TAQWA

6236 Ayat-ayat alQuran menjadi perintah sokongan (RUBUBIYAH) untuk mencapai visi Fatihah melalui TAQWIM solat yang perlu kita istiqomahkan. Itulah hakikat TAQWIM yang telah Allah programkan untuk mencipta hamba (UBUDIYAH) yang BERTAQWA dan terpuji.

Setiap perintah (Rububiyah) mesti ada pelaksananya (Ubudiyyah). Itulah HAMBA yang menjalankan setiap suruhan dan menjauhi larangan yang telah ditetapkan. Tidak kiralah samada ia sebagai Imam atau makmum, pemimpin atau yang dipimpin, semuanya harus memainkan peranan masing-masing (QS 4/59).

Allah amanahkan kepada Imam atau ulil amri yang berilmu agar bijaksana mengatur manusia menggunakan rububiyah Allah yang adil dan tepat, bukan mengikut akal dan nafsu sendiri. Ini akan membuatkan anak buah masing-masing mudah patuh, lalu menghasilkan satu lingkungan yang aman, damai dan sejahtera. Itulah hakikat sebuah Mulkiyah (tempat) yang indah laksana syurga; rumahku syurgaku atau Darussalam (negara yang sejahtera).

Bagi mengaitkannya dengan Fatihah, cuba kita lihat saranan Allah dalam 3 surah terakhir, Surah 112, 113, 114, (al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas). Agak panjang jika ingin dirungkai semuanya. Secara ringkas dapat kita lihat di situ bahawa kerangka Fatihah ditunjukkan melalui perlaksanaan.

Surah al-Ikhlas menuntut kita menjadi MUKHLIS, iaitu berhabis (KHOLAS) melalui pengabdian dan perlaksaan kita sebagai tanda IKHLAS. Kita seharusnya merujuk dan bertawakal hanya kepada Allah satu-satunya, tidak dengan yang lain. Tidak perlu SEBUT ikhlas kerana tiada kalimah ikhlas pun dalam surah al-Ikhlas itu.

Surah al-Falaq mengajar kita agar jangan terpengaruh dengan hasutan puak-puak yang berhasad dengki dan mahu memesongkan kita.

Pasangan petunjuk yang paling tepat dengan visi Fatihah ialah dalam surah An-Nas. Di situ Allah lakarkan konsep takwuz, agar kita berlindung HANYA dengan ‘Rabb (PENGATUR) manusia’ (ROBBUL’ALAMIN) melalui rububiyah (ATURAN) agamaNya yang menjadi ‘Raja yang menguasai Manusia’ (MAALIKIYAUMIDDIN) dan ‘Sembahan Manusia’ (IYYAKANA’BUD). Itulah proses untuk menzahirkan kedaulatan RUBUBIYAH, UBUDIYAH dan MULKIYAH Allah dibumi. Itu juga Allah nyatakan dalam surah 4/59, dan 2/208.

Hari ini kita lihat bagaimana pelaksanaan bacaan di dalam solat hanya menjadi bacaan bibir semata-mata. Imam di depan membaca segala perintah Allah, malangnya berapa kerat makmum di belakang yang faham apa yang dibacakan? Begitu juga dengan khutbah jumaat. Berapa ramai Jemaah yang mengambil peluang untuk tidur semasa khatib membaca khutbah?

Ironinya, sang Khatib itu sendiri juga ada yang tidak berilmu. Mereka bukan BERKHUTBAH, tetapi MEMBACA teks khutbah. Tiada penghayatan dari penyampaian khutbah. Ramai yang hanya syok sendiri membaca khutbah sedangkan jemaah ramai yang tidur. Ada juga imam yang tidak faham ayat-ayat quran yang dibaca dan diaminkan oleh makmum. Mana mungkin akan ada roh dan penghayatan dalam solat sebegitu. Mana mungkin matlamat Fatihah boleh tercapai.

Allah larang kita berbuat dan menyampaikan sesuatu TANPA ILMU. Itu perbuatan fasik dan keji yang membuatkan kita berkata sesuatu tanpa memahaminya. Kita akan dibenci Allah kerana tidak melaksanakan apa yang kita sebut dalam solat itu. Sebenarnya inilah situasi kita sekarang. Sibuk melakukan rukun fe’li tanpa memahami untuk apa seperti bertepuk tangan sahaja. Berjela-jela membaca surah seperti siulan buruk kakak tua tanpa memahami makna dan maksudnya. Kita sebenarnya terang-terang mengingkari (kafir) perintah Allah kerana beramal tanpa ilmu. Ibadah kita hanya ikut-ikutan dan dipenuhi sangka-sangka.

QS: 17. Al Israa’ 36. “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya.”

QS: 10. Yunus 36. “Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan”.

QS: 61. Ash Shaff 1-3: “Telah mensucikan (diri) bagi Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”.

Nama Allah dan Islam telah banyak tercemar oleh hambaNya yang tidak menggunapakai aturan hidup yang Allah tetapkan. Umat dan agama Islam yang seharusnya dipandang tinggi telah dihina dan dicaci oleh kelakuan kita sendiri. Kita jadi pemalas, ganas, berpecah belah, lemah dan tindas menindas. Pemimpin dan rakyat, ibubapa atau anak sama sahaja, membelakangkan Allah. Tak sama apa yang diucap dengan apa yang dibuat. Padahal bukan itu imej sebenar Islam.

DENGAN BASMALAH, demi/untuk Allah, kita wajib sucikan diri dari menggunapakai regime syaitan, atau mengikut nafsu dan akal cetek kita. Itu yang akan membersihkan NAMA ALLAH dan ISLAM yang telah dikotori oleh perbuatan sumbang hambaNya.

QS: 8. Al Anfaal 35. “Solat mereka di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu”.(Baitullah adalah Rumah Allah, yang aman sejahtera kerana mengamalkan RUBUBIYAH allah di ‘DALAM’nya. Tanpa rububiyah itu bermakna kita berada di LUAR Baitullah).

QS: 4. An Nisaa’ 43. “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,..”

Ya, pastinya Allah merasa terhina jika hambanya ‘asyik’ membebel tanpa tahu apa yang diperkatakan padaNya macam orang mabuk. Kerana itu, harus kita takwimkan keluarga kita untuk mula istiqomah belajar memahami setiap ayat yang kita baca. Kesemua ayat al-quran harus di daulatkan sebagai perintah yang mesti difahami dan dilaksanakan. Samada kita golongan atasan (langit) atau bawahan (bumi), rakyat mahupun pemimpin, imam atau makmum, murobbi atau anak jagaan, maka tabiat buruk beramal tanpa faham itu harus disucikan. Itu kehendak Allah, AL-KHOLIQ. Mengingkarinya bermakna kita tidak BERAKHLAK

Bagi RPWP, disamping anak-anak diminta membaca alquran termasuk terjemahan ‘cover to cover’, kami juga jadikan isu harian sebagai asbab untuk menjelaskannya. Kami gunakan bahasa yang mudah untuk menyampaikan mesej Al-quran supaya ia bukan semata-mata bacaan tapi satu proses pembentukan akhlak. QS: 95. At Tiin 4. “Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan pada/dalam sebaik-baik taqwim”.

KESIMPULAN

Al-quran yang dibaca berulang kali dan sering dikaitkan dengan asbab kehidupan harian akan melekat dan mampu mendisiplinkan jiwa. Kita juga boleh mengunci kefahaman itu apabila sentiasa melaksana perintah Allah itu untuk memperbaiki diri (ISLAH). Hasil kerja yang menjadikan kita lebih baik (islah) itulah matlamat AMAL SOLEH kita.

Benarlah kata-kata Allah dan Rasullullah SAW. Apa guna kita solat jika kita tidak faham dengan jelas satu apa pun mesej yang Allah sampaikan. Padahal solat itu seharusnya menjadi satu ritual yang menjadikan kita seorang hamba yang berprinsip terhadap Tuhannya. Sebenarnya kita berdiri di dalam solat (QIAM) untuk menunjukkan PENDIRIAN kita sebagai seorang HAMBA yang siap siaga untuk melaksanakan setiap perintah Allah dari ayat yang kita atau imam baca.

Jika matlamat VISI dalam al-Fatihah tidak difahami dan dilaksanakan sebagai MISI menggunakan petunjuk dari ayat-ayat lain dalam alQuran, maka solat kita akan kekal sekadar bacaan yang menjadi ritual semata-mata. Sampai bila-bila pun kita akan kebingungan dan berada di takuk lama, tiada ISLAH dan AMAL tidak SOLEH.

Agak sukar juga memahami cetusan ini jika kita belum biasa mentafakur, mentadabbur dan mentabayyunkannya. Bacalah berulangkali dan carilah juga rujukan melalui hadis dan alquran. Jika masih tidak faham juga, sila abaikan sahaja perkongsian yang amat berat ini. Semuga bermanfaat.

WARGA PRIHATIN

 

2 Comments

  1. Helmienor Binti Ahmad

    Assalammualaikum…Tuan..minta izin Saya download rahsia Al fatehah untuk rujukkan Saya Dan untuk lebih mendalami terimakasih

    Reply
    1. ADMIN (Post author)

      Silakan… ilmu milik Allah. Kembangkan lagi dengan pengalaman dan pengkajian dari pakar pakar yang arif…

      Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *