image_pdf

Seorang OKU Yang Banyak Membantu Mangsa Banjir

Sewaktu meneliti satu persatu kisah banjir 2014 yang penuh dengan berbagai cerita baru-baru ini, kami tertarik dengan kisah wira tak di dendang ini yang telah dikongsikan oleh Azizah Aling.

Sungguh, andai menatap paparan post di wall FB beliau, ramai yang terinspirasi dengan semangat beliau dalam membantu mangsa banjir di Kelantan.

Kita ikuti nukilan Azizah Aling di bawah :

raja-shamri-2

BANJIR 2014 – BAHAGIAN 3 (Wira yang tidak didendang – the unsung hero)

(1) Saya mahu memperkenalkan satu sosok mulia. Barangkali ada antara kalian yang mengenali beliau, dan telah mengikuti perkongsiannya yang bersifat semasa dan mendasar ke lapangan, di halaman FB miliknya. Jika ya, tidak mengapa. Bacalah lagi. Jika belum, selamat berkenalan dengan sosok istimewa dan bijaksana. Mari sama-sama kita berkongsi kesyukuran atas kewujudan hamba Allah yang berhati mulia ini.

(2) Beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang dilahirkan dengan tidak sempurna sifat. Kaki kanannya tiada, dan beliau bergerak menggunakan kaki palsu. Jejari pada tangan kanannya bercantum. Namun, kekurangan itu tidak dijadikan rintangan untuk beliau berbakti kepada masyarakat yang dilanda bencana.

(3) Nama penuh beliau ialah Y.M. Raja Shamri bin Raja Hussin. Mesra disapa dengan panggilan Abang Raja. Pemilik syarikat motivasi yang sedang menapak naik di Kelantan, Golden Minds Consultant yang beroperasi di Pasir Putih ini, telah menjadikan Masjid Ibrahimi, Pasir Putih sebagai tempat operasi untuk dia dan Dr. Hadi menjalankan misi menyelamat dan menghantar bantuan buat mangsa bencana di Kelantan.

(4) Pada asalnya, misi itu hanya dibuat pada skala kecil. Namun, berkat keikhlasan dan kesungguhan yang tidak mengenal lelah dan payah, misi anjurannya menjadi besar. Sukarelawan datang dari pelbagai arah. Bantuan tiba dengan mencurah-curah. Benarlah, saat keikhlasan hati dan kemurnian jiwa mengambil tempat, mudah sahaja Allah membukakan hati manusia untuk berkongsi rezeki dan kudrat.

(5) Bantuan tidak dihantar ke pusat pemindahan banjir, kerana bantuan ke lokasi itu telah diselia dan disedia oleh pihak kerajaan. Pasukan beliau fokus kepada mangsa yang jauh terperosok ke kawasan pedalaman dan tidak berada di pusat pemindahan banjir, atas pelbagai sebab.

Kebanyakannya kerana aliran deras air yang menyukarkan pergerakan, ataupun disebabkan oleh pusat pemindahan ikut tenggelam, yang menyebabkan mangsa lari ke tanah lebih tinggi di perbukitan. Bantuan tiba kepada mangsa yang kelaparan, dan ia memberikan sinar untuk mangsa mencicip makanan buat mengalas perut yang kelaparan.

(6) Antara hal yang menitiskan air mata saya adalah, beliau sanggup memandu dalam lebat hujan selama berjam-jam, semata-mata mencari petrol untuk kegunaan kenderaan bagi menghantar bantuan, meskipun beliau berkaki palsu. Meredah air deras, dengan kekuatan sebelah kaki sahaja, sangatlah sukar. Selalunya, kaki kiri beliau akan cepat berasa lenguh dan perlu diurut. Tidak mengapalah, pasti ada ganjaran besar buat Abang Raja daripada Allah kelak.

(7) Andai dia yang serba kekurangan dari segi sifat dan kudrat bisa menjadi penyelamat, malu juga andai kita yang sempurna segala sifat hanya memandang kosong tanpa mahu berkongsi apa-apa. Ayuh! Kita rancakkan misi bantuan.

 

raja-shamri

 

Nota kaki :

Masihkah kalian ingat tentang iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan pada tahun 2005 mengenai lelaki yang kehilangan kaki dengan tagline “Jalan Mesti ke Depan, Bukannya Ke Belakang” lakonan Othman Hafsham?

Jalan cerita dalam iklan itu adalah buah fikir beliau, dan ia menyentuh sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupnya di dunia ini.

Selamat berbakti, Abang Raja! Kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian tuan menabur bakti. Tiba masa, para perantau ini akan pulang ke Kelantan untuk menyambung misi Abang Raja, agar ia tidak terhenti!

Credit : Azizah Aling, dengan izin.

Kami percaya  ramai lagi ‘unsung hero’ di luar sana yang berjuang dengan ikhlas membantu mangsa-mangsa banjir tanpa mengharapkan sebarang balasan. Salute buat anda semua!

Like page The Vocket di Facebook.

MAKSIAT BERKUMPULAN – TUJUH REMAJA DICEKUP DI HOTEL

7 remaja gangbang.jpg mix

MAKSIAT BERKUMPULAN – TUJUH REMAJA DICEKUP DI HOTEL
2 Januari 2015

ALOR SETAR – Perkenalan di aplikasi sosial WeChat membawa kepada pertemuan sulit sekumpulan remaja di sebuah hotel pada malam tahun baharu, semalam.

Tujuh remaja berkenaan bagaimanapun dapat dicekup 33 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) ketika Operasi Tahun Baharu bermula 12 tengah malam sehingga 5 pagi di sekitar bandaraya Alor Setar, dekat sini.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, tujuh remaja berusia antara 16 hingga 18 tahun itu dipercayai menyewa sebuah bilik hotel sama.

Difahamkan, mereka juga membawa tilam tambahan dipercayai untuk tujuan maksiat. Menurutnya, empat daripada mereka adalah lelaki manakala selebihnya wanita. Hasil soal siasat mendapati sebilangan mereka memiliki rekod buruk.

“Salah seorang daripada mereka merupakan bekas penghuni pusat pemulihan akhlak. Dia yang berusia 17 tahun mendakwa sudah bekerja di sebuah pusat snuker dan telah dibuang keluarga,” katanya.

Syeikh Mohd berkata, ada di antara mereka sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan dua daripada mereka didapati sudah tidak bersekolah.

“Seorang remaja perempuan pula mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki bukan Islam. Ada juga yang mengakui sudah melakukan hubungan seks sebanyak berbelas kali,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, dua remaja perempuan turut ditahan bersama seorang remaja lelaki yang sedang tidur dalam serbuan di sebuah hotel.

Ketika diserbu, seorang remaja perempuan mendakwa berkongsi bilik beramai-ramai dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 1988, manakala remaja berkenaan dilepaskan dengan jaminan.

WARTAWAN SINAR HARIAN

Mengapa bantuan banjir ada gambar pemimpin Umno?

Mengapa bantuan banjir ada gambar pemimpin Umno?

KUALA KRAI: Sukarelawan dari luar Kelantan mendakwa bantuan banjir kepada mangsa-mangsa agak lewat tiba di lokasi pemindahan disebabkan kerenah birokrasi.

Mereka mendakwa pihak berkuasa membuat sekatan di kawasan tidak jauh dari sempadan Pahang-Kelantan menanyakan pelbagai soalan kepada kenderaan bantuan banjir.

“Mereka tanya permit bawa bantuan banjir. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mangsa sedang berdepan dengan kesukaran di tempat pemindahan banjir.

“Banyak kenderaan bantuan dari luar Kelantan terkandas kerana pihak berkuasa seperti cuba melengah-lengahkan perjalanan,” kata seorang sukarelawan dari Selangor.

Mereka juga mendakwa bantuan banjir yang diserah kepada pihak berkuasa di tempat-tempat yang sukar dilalui jalan darat difahamkan dilekat pembungkus berwajah pemimpin Umno.

Kata mereka tindakan melekatkan gambar pemimpin menyebabkan bantuan yang sepatutnya diagih lebih cepat mengambil masa untuk sampai kepada mangsa banjir.

Dakwaan sukarelawan terbabit berasas apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, apa yang penting sumbangan itu sampai kepada mangsa banjir bagi mengurangkan beban mereka.

“Tak apalah mereka hendak kecam. Yang penting barang-barang daripada kementerian sampai kepada mangsa banjir dan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka,” katanya seperti disiar sebuah laman berita. – HARAKAHDAILY 30/12/2014

MAKSIAT TAHUN BAHARU – ISTERI ORANG DAN PELAJAR IPT ANTARA 18 YANG DITAHAN

belaian tahun baru.jpeg2.jpg mixMAKSIAT TAHUN BAHARU – ISTERI ORANG DAN PELAJAR IPT ANTARA 18 YANG DITAHAN
2 Januari 2015

BUTTERWORTH – ”Kami datang hanya untuk berseronok sempena malam tahun baharu,” kata seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya ketika serbuan oleh penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) di sebuah hotel bajet di Jawi dalam Operasi Mencegah Maksiat Sempena Tahun Baharu 2015 semalam.

Remaja berkenaan yang juga merupakan penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sanggup datang dari Melaka semata-mata untuk bertemu dengan kekasihnya di sini.

Akhirnya, niat remaja ini untuk berhibur bagi menyambut tahun baharu tidak kesampaian apabila bilik hotel bajet yang disewa di Berapit diserbu dalam operasi ini.

Gadis yang berusia awal 20-an ini merupakan antara 18 individu ditahan dalam operasi yang diadakan.

ENGGAN BUKA PINTU BILIK

Ketua Unit Operasi dan Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, operasi yang bermula pada jam 2.30 pagi dan berakhir jam 6 pagi semalam melibatkan pemeriksaan di beberapa hotel bajet di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Dalam operasi ini, pihak kami turut mendapat bantuan daripada anggota dari Cawangan Pencegahan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan ketika operasi dijalankan ada juga beberapa pasangan yang enggan membuka pintu bilik dan memberikan kerjasama yang sepatutnya.

“Kebanyakan pasangan yang diperiksa memberikan pelbagai alasan untuk mengelakkan dicekup anggota penguatkuasa namun, tidak berhasil kerana gagal menunjukkan sijil pernikahan,” katanya kepada Sinar Harian.

ISTERI ORANG ANTARA DITAHAN

Dalam pada itu, serbuan yang dijalankan juga berjaya menahan seorang wanita yang merupakan isteri orang, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan bekas pelajar yang masih bujang serta seorang duda.

“Secara tidak langsung dengan adanya operasi ini mampu mengekang gejala maksiat dalam kalangan masyarakat.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Seberang Perai Utara untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

BERITA SINAR HARIAN

Penduduk kampung gempar helikopter terhempas

31 Disember 2014
image.jpg2

Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ketika misi menghantar barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Rambai di Tanah Merah, hari ini. – Foto Bernama Helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ketika misi menghantar barangan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Rambai di Tanah Merah, hari ini. – Foto Bernama

TANAH MERAH – Penduduk Kampung Rambai di sini gempar apabila sebuah helikopter jenis Ecureuill AS 355F2 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas pada kira-kira 6.30 petang, selepas berlegar-legar di ruang udara kampung itu.

Beberapa saksi yang ditemui berkata, helikopter itu dilihat terbang rendah dan berlegar-legar sebanyak dua pusingan, sebelum kedengaran seperti ada letupan sedikit, dan terus menjunam ke darat.

Anggota misi kemanusiaan dari Kuala Lumpur, Mohd Zulhasnan Abdullah, yang ketika itu sedang mengagih-agihkan bekalan di kampung itu berkata, beliau dan pasukannya menyangkakan pada mulanya helikopter itu terbang rendah kerana mahu menurunkan bekalan makanan.

“Melihat keadaan itu (helikopter terbang rendah), orang kampung rasa seronok dan berkumpul untuk melihatnya.

“Tiba-tiba helikopter jadi tak seimbang dan jatuh menjunam betul-betul di depan mata kami. Bila melihat keadaan itu, kami dan orang kampung berpusu-pusu pergi sana dan kami membawa keluar empat orang — tiga lelaki dan seorang wanita,” katanya ketika ditemui di kampung itu, di sini hari ini.

Mohd Zulhasnan berkata, beliau dan rakan-rakannya mendapati tiga orang lelaki cedera parah di bahagian kepala manakala seorang wanita hanya cedera ringan dan mengadu pening.

“Kami, dengan bantuan orang kampung, memasukkan dua orang mangsa lelaki pertama ke dalam kereta Perodua Alza, manakala dua lagi dimasukkan dalam Triton milik saya untuk dihantar ke Hospital Tanah Merah,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian itu, dan memberitahu Bernama bahawa kesemua di dalam helikopter itu selamat dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

“Alhamdulillah dua juruterbang dan dua kru terselamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung Saifulizam Mohamad, 40, berkata, walaupun ketiga-tiga mangsa lelaki cedera parah, mereka masih dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, selepas orang ramai berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa dari bangkai helikopter itu, ketiga-tiga lelaki itu dibaringkan di halaman rumah beliau, manakala wanita itu masih boleh berjalan sendiri.

“Sebab saya ada bertanya kepada lelaki itu, berapa orang di dalam helikopter, dan beliau menjawab empat. Saya cuba nak pastikan sama ada beliau masih sedar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Zaisa Mohd Zin, 31, berkata, beliau berasa pelik apabila melihat helikopter itu terbang rendah berhampiran kawasan rumahnya, menyebabkan beliau terasa ingin merakam kejadian itu.

“Tapi dalam saya cuba nak capai handphone, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman, dan saya lari keluar, melihat helikopter itu sudah terhempas di darat.

“Tapi nasib baik kebetulan ada beberapa orang doktor yang sedang berada di kampung kami tengah membantu agih-agihkan makanan di madrasah berhampiran. Saya tengok mereka sempat memberi rawatan awal, termasuk memberi oksigen menggunakan topeng,” katanya. – Bernama