• Nurwati menunjukkan gambar Ejum.Nurwati menunjukkan gambar Ejum.

SEGAMAT – Seorang ibu di Taman Indah, Bukit Siput, di sini, mahu anak perempuannya pulang ke rumah berjumpa dengannya selepas anak sulungnya itu bertindak menjauhkan diri daripadanya.

Nurwati Abdul Hamid, 52, berkata, dia sudah tiga tahun terputus hubungan dengan anaknya itu, Jumatul Nuraisyah Sharifudin, 25, yang mesra dipanggil Ejum, selepas anaknya itu menyambung pelajaran ke Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

“Dia (Ejum) menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di sana (Unimap) selama empat tahun bermula pada 2010. Ketika itu, hubungan kami seperti biasa dan dia pada peringkat awalnya juga sering menghubungi saya untuk bertanya khabar.

“Apabila saya rindukan Ejum, saya sanggup pergi ke Perlis dengan menaiki bas. Namun, selepas beberapa tahun kemudian, dia seperti berubah dengan menjauhkan diri daripada saya dan langsung tidak pulang ke sini (Segamat),” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut ibu dua anak itu, dia juga terkilan apabila Ejum tiba-tiba berubah selepas suaminya berkahwin lain pada 2013 sehinggakan enggan memaklumkan perkembangan terkini dirinya.

Nurwati berkata, dia juga kesal apabila Ejum tidak memaklumkan berhubung majlis konvokesyennya dan hanya mendapat tahu perkhabaran tersebut daripada suaminya beberapa hari sebelum majlis berlangsung.

“Selepas saya tahu dia hendak konvo, saya sendiri pergi ke sana untuk berjumpanya kerana sebagai ibu, sudah tentunya saya mahu lihat anak saya menggenggam segulung ijazah dan berjaya.

“Pertemuan kami ketika itu juga sangat tegang kerana Ejum kelihatan sudah jauh berubah dan saya tidak tunggu sehingga dia selesai konvo kerana dan itulah kali terakhir saya berjumpanya,” katanya.

Menurutnya, ketika itu juga Ejum berkata kepadanya bahawa dia tidak akan pulang sehingga cita-citanya tercapai, tetapi tidak menerangkan dengan lanjut perkara yang ingindicapainya.

Bagaimanapun, Ejum sering menghubungi adiknya, Syafrizal Sharifudin, 23, yang berada di Johor Bahru dan mendapat tahu Ejum kini di Kuala Lumpur dan tidak bekerja.

Nurwati berkata, dia menanggung kos pembelajaran anaknya itu di universiti  dengan hanya berniaga  apam balik dan dia kesal  dengan perbuatan anaknya itu.

“Saya hanya akan maafkan sekiranya dia berjumpa saya di sini.

“Bagaimana dia hendak berjaya jika saya tidak reda dengan setiap apa yang dilakukannya meskipun dia memiliki segulung ijazah” katanya.

Tambahnya, Ejum juga sudah tentu tahu bagaimana untuk menghubungi  dan mencarinya kerana dia sendiri membesar di sini (Segamat).