RAHSIA SOLAT #8 : BEZA TAYAMMUM & WUDUK

image_pdf

10945488_10153552879552786_4244050757287554018_n

Solat ialah doa, seru dan dakwah ke arah mengajak manusia, termasuk mengajak diri sendiri dalam mencegah perbuatan keji dan mungkar. Sebelum mengajak manusia, kita harus telah menyucikan anggota sendiri dari segala perbuatan keji dan mungkar itu. Secara ritual penyucian ini samada dilakukan melalui wuduk atau tayammum. Dalam wuduk kita sucikan diri kita dengan air yang dianalogikan sebagai ilmu dan tausiah.

TAYAMMUM pula ialah satu ritual penyucian yang boleh menggantikan air dalam keadaan air mutlak tidak ada atau anggota tubuh uzur tidak boleh terkena air. Ia hanya melibatkan 2 anggota asas iaitu muka dan tangan.

AIR adalah analogi yang membawa erti “ILMU dan MAKLUMAT”. Ilmu yang baik akan mengalir dari atas turun ke bawah, terus mengalir sehingga ke laut. Sepanjang aliran itu ia akan memberi rahmat kepada semua yang berada dalam laluannya, juga siapa sahaja yang memilih untuk berada dalam laluan ilmu itu. Sebab itu dalam syurga digambarkan ada sungai yang mengalir di bawahnya. Syurga juga dikaitkan dengan taman atau majlis aliran ilmu.

ILMU juga ada yang bertakung dan tidak mengalir seperti air kolam dan lopak yang ditakung. Lebih lama ia ditakung, ia semakin masam, kurang baik untuk diminum atau mencuci. Apatah lagi jika ia ditakung di bekas logam dan berjemur. Air bertakung ini mungkin baik untuk ternak ikan atau tempat membiak nyamuk.

Dalam keadaan ada ilmu yang boleh dialirkan, maka kita sucikan kerja kotor pada anggota wuduk kita dengan air. Kita sucikan tapak tangan, kemudian semua anggota di wajah kita seperti mata, mulut, hidung, dan. Kemudian sucikan lengan, ubun-ubun (minda), telinga dan langkah kaki kita.

Penyucian melalui aliran ilmu atau nasihat ini biasanya “bermajlis” di majlis ilmu. Kemudian, barulah dakwah atau seruan untuk mencegah keji dan mungkar melalui konsep solat itu boleh dilakukan. Barulah kesan solat secara ACTUAL iaitu mencegah perbuatan keji dan mungkar boleh diterima kerana anggota-anggota orang yang solat, yang biasanya terlibat dengan perbuatan keji itu telah disucikan oleh aliran air atau ilmu itu.

BAGAIMANA PULA KEADAANNYA BILA TIADA ALIRAN AIR KETIKA BANJIR?
ADAKAH SOLAT, DAKWAH MENCEGAH KEJI & MUNGKAR TIDAK WAJIB?

Solat tetap wajib dalam keadaan apa sekalipun. Kita juga tetap perlu sucikan diri terlebih dahulu untuk bersolat yang bertujuan untuk mencegah keji dan mungkar.

Di dalam misi bantuan kemanusiaan pasca banjir minggu lalu contohnya, kami melihat dengan mata dan hati akan banyak kemungkaran yang berlaku. Jika kami ceritakan semuanya ia pasti menjadi bahan untuk netizen menghentam kami.

Kami dapati banyak benarnya maklumat kemungkaran yang telah dikongsikan kepada kami oleh saudara mara yang prihatin di sana sewaktu banjir. Kekalutan saat banjir turut diambil peluang oleh mereka yang tidak bertanggung jawab untuk menangguk di air keruh. Banyak kejadian samun dan curi, termasuk mengumpul bantuan banjir untuk kepentingan diri tanpa hak. Ramai juga yang menyebar berita palsu dan mengada-adakan cerita. Perbuatan itu amat keji sekali.

Waktu banjir ramai gadis mundar-mandir ke hulu ke hilir berpeleseran di air tanpa menutup aurat dengan sempurna. Setengahnya malah ambil peluang mandi manda di khalayak ramai. Baju mereka yang tipis dan basah, dengan sebahagiannya menyingsing kain sampai ke pangkal peha amat menggoda nafsu lelaki. Jangan kata anak muda, atuk-atuk pun kembali berselera menjamu mata. Percampuran bebas di air bersama lelaki perempuan di khalayak ramai juga menyedihkan.

Tujuh hari berada di sana, memang dapat kami saksikan sendiri betapa banyak aurat tidak dijaga walaupun dalam keadaan aman. Anak-anak gadis berkeliaran ke hulu ke hilir tanpa tujuan. Ada yang dengan sengaja menyingsing kain hingga ke peha untuk mengelak lumpur yang hanya beberapa inci tebalnya ketika melalui kumpulan sukarelawan lelaki. Sebahagiannya malah mengenakan pakaian ketat dan amat seksi, juga bersolek dan berhias seperti jahiliyah. Ironinya semua itu berlaku di kampung, depan mata ibubapa mereka sendiri.

Kami sendiri tidak pasti samada mereka adalah anak jati yang menetap di kampung itu? atau yang menetap di luar dan balik kampung sewaktu banjir. Dari penceritaan jujur beberapa penduduk setempat, dikatakan mereka adalah anak jati yang menetap di kampung itu. Mereka sendiri mengakui amat malu dengan gejala sosial di desa mereka, dalam sebuah negeri yang mendapat jolokan SERAMBI MEKAH. Panjang kami bincangkan hal gejala itu dengan mereka.

Kecurian dan penipuan juga berlaku secara terang-terangan di hadapan mata. Ada bekalan bantuan milik warga emas yang tidak berdaya juga dicuri di malam hari. Ini menuntut warga emas yang kehilangan rumah terpaksa berjaga di gelap malam dan hujan di bawah kemah sementara itu. Media malah ada melapurkan kes sukarelawan yang masuk rumah dan menyamun mangsa banjir. MasyaAllah.

Sewaktu kami membaiki sistem elektrik di Masjid Besar Kuala Krai sehari sebelum solat jumaat, pembekal alat elektrik tempatan yang membekal alat ganti mengatakan RPWP adalah kumpulan pertama yang tampil untuk membantu membaikpulih elektrik masjid itu. Kedai beliau sendiri tenggelam dan belum sempat mengemasnya lagi. Puas beliau mengajak rakan-rakan untuk memulihkan fungsi elektrikal dan PA system masjid, namun tiada yang sudi walaupun berkelapangan.

Sama juga dengan sifat malas serta tunggu dan lihat sebahagian kaum lelaki di sana. Banyak jalan jadi sehala kerana sebelah lagi ditutupi rumah atau ranting kayu, termasuk yang sudah diracik. Bukan mahu mengalihkan ranting dan dahan itu, malah menambah dengan longgokan sampah di ‘tengah’ jalan pula. Padahal siang hari ramai sekali yang bersantai atas longgokan baju di ‘wakaf’.

Situasi ini turut disahkan oleh ramai sukarelawan yang berkampung di sana. Ada yang kata beberapa penghuni lelaki di rumah yang dibantu tidak membantu barang sedikitpun. Mereka malah mengarah-ngarahkan sukarelawan untuk mengangkat dan mencuci itu ini. Lebih sedih lagi melihat ramainya warga lelaki yang menagih dadah dan terhoyong hayang tidak bermaya.

Malu mahu kami katakan semuanya. Cukuplah anda membenarkannya di dalam hati apabila anda berkesempatan melihat atau mendengarnya sendiri dari sumber yang boleh dipercayai. Semua itu adalah perbuatan keji dan mungkar yang perlu dicegah, samada melalui pendekatan kalam atau alam, menggunakan kaedah air dan bibir atau guna pendekatan tanah dan uswah.

TAYAMMUM MENGGANTIKAN WUDUK – PASCA BANJIR

Dalam situasi banjir itu tidak sesuai dan tidak sempat diadakan majlis ilmu. Tiada masa nak berteleku di masjid lama-lama berwirid dan bertazkirah. Maka alternatif penyucian diri ialah melalui TAYAMMUM. Anak-anak tidak banyak kami tausiahkan secara teori di sana. Kami ajak mereka bermain debu dan lumpur dengan anggota wajah dan tangan sampai ke pangkal lengan untuk menyucikan diri dan hati lalu mengajak yang lain dengan pendekatan ‘bekerja’.

Itulah alternatif dakwah melalui KERJA yang nabi sendiri lakukan. Adakalanya mengajak dengan kata-kata tiada yang mahu ikut. Maka kaedah terbaik ketika itu ialah kita bangkit melaksana agar yang lain membuka mata dan ikut bertindak. Kaedah bekerja itu juga lebih mudah memecahkan keegoan manusia.

Semasa pembinaan parit (Khandak), nabi SAW sendiri bermain dengan debu dan berkotor dalam menggali parit. Bukannya sekadar duduk membilang buah zikir dan berceramah. Tidak juga sekadar bersolawat dan berzikir memuji-muja dengan mulut dan mengharapkan parit Khandak itu tergali sendiri. Nabi juga ikut pikul batu dan batang tamar ketika membina Masjid Quba’. Bahkan baginda juga mara di barisan hadapan dalam perang Badar dan pernah bangkit menyembelih kambing sewaktu sahabat lambat mematuhi arahan baginda.

Debu dalam TAYAMMUM di tapak projek itu adalah satu bukti kesungguhan kita MEMBANGUNKAN sesuatu dengan sepenuh upaya deria mata, hidung, mulut, telinga di wajah kita lalu kita bangunkannya dengan sekuat daya tangan kita. Langkah kaki sudah tidak penting lagi kerana derapan kaki di sini adalah dengan central command dari kepala misi atau ulilamri. Masing-masing tidak lagi berkeliaran tetapi berbaris-baris dalam saf, bersedia untuk diatur dengan 1 command. Ketika ini, tiada ilmu dan nasihat disampaikan dengan mulut lagi.

Semasa kami berlumpur mengalihkan rumah yang terdampar di tengah jalan serta menghalang laluan utama, ramai lelaki tempatan sekadar memerhatikan tanpa membantu. Ulil amri mereka gagal mengatur jemaah untuk digerakkan membantu apa yang perlu. Banyak bahagian jalan yang tertutup oleh rumah hanyut, pokok tumbang dan sampah banjir terbiar berminggu-minggu.

Ya.. Kami gagal mengajak mereka ke turun tangan selepas 3 kali menyeru bilamana kami kekurangan tenaga. Namun kami yakin anak-anak kami dan mereka yang tercegat juga dapat pelajaran, mampu berfurqon akan keperluan menyucikan anggota mereka tatkala melihat aktiviti ‘tayammum’ dengan selut pada tangan dan wajah-wajah sukarelawan kami.

Buktinya, setelah kerja berakhir, sambil berkenalan mereka tanyakan adakah kami dibayar untuk melakukan tugasan itu? Kami jawab tidak. Malah rombongan kami datang sejauh lebih 600km dengan belanja sendiri. Semuanya kerana Allah. Di situlah tayammum tadi membawa kesan dakwah berkonsepkan SOLAT yang mampu menyeru penduduk setempat untuk menginsafi diri.

Ada yang menangis kesal kerana awalnya menyangka kami adalah instrumen sebuah misionari yang menjalankan tugasan bergaji. Selepas itu kami lihat sebahagian mereka mula mengumpul tenaga penduduk untuk bangkit dari tempat perehatan mereka untuk berjuang dan berusaha. Tidak lagi sekadar duduk melepak menanti bantuan semata-mata (lihat bukti di video buang pokok di jalan).

Ibu-ibu RPWP bersama anak-anak nisak kami juga turun bersama-sama ke tempat-tempat bencana untuk menghulur bantuan namun masih tetap menutup aurat dengan sempurna walaupun dengan Gumboot berlumpur. Kami perasan juga perubahan pada hari-hari berikutnya apabila anak-anak gadis dan kaum ibu di situ mula memerhatikan akan hal aurat itu.

KESIMPULAN

Alhamdulillah ada yang sebelum itu berpeluk tubuh menghadapi ketentuan bencana telah bangkit dan berusaha selepas bersilah dengan kami seusai kerja. Yang tadinya berpecah-belah tanpa pengatur yang mampu memimpin dan menyatukan penduduk sudah mampu bangkit mengatur sumber daya manusia. Yang mundar-mandir mendedah aurat sudah tidak kelihatan lagi, bahkan ada yang mula belajar menutup kepala dengan tuala mandi.

Bukankah itu satu kesan dakwah dari tayammum dan solat melalui kerjabuat yang mampu menyeru penduduk dalam mencegah keji dan mungkar?

Itulah hebatnya kuasa penyucian menggunakan konsep debu dan lumpur, bahan asas kejadian manusia. Jangan kata sekadar hadas kecil atau junub, najis mughalazah pun boleh disertu dengan adanya air lumpur. Contohnya manusia yang berperangai suka menyondol macam khinzir (Surah 5/60), yang togho (sombong) dan tidak boleh dinasihati dengan mulut pun insyaAllah boleh ‘berubah’ dengan pengaruh kerja buat berlumpur ini.

Itulah perlunya kita meneliti hakikat dan rahsia di sebalik ritual agama kita. Jika kita sekadar menjadi Islam hanya dengan ritual tanpa actual, maka kita sama dengan agama-agama dalam hutan Amazon yang berhabis-habisan menjalankan ritual tetapi tidak faham mengapa mereka lakukan semua itu.

Istilah penyucian ini amat luas :- penyucian jiwa, spiritual, pemikiran, fokus, dan lain-lain. Dengan bekerja, pemahaman sesuatu ilmu itu berlaku secara praktikal terus, bukan hanya melalui teori. Boleh jadi penyucian lebih berkesan dengan berkerja. Dengan mengalami sendiri, kita akan jadi lebih memahami, peka dan cakna terhadap sesuatu, berbanding sekadar menadah telinga di kuliah ilmu.

Mengenali sikap keji dan mungkar anak-anak, membentuk semula sahsiah mereka juga banyak dilakukan secara analogi TAYAMMUM di RPWP dan AIP. Kita mahu bentuk generasi yang dapat membezakan antara orang yang sekadar ‘sembang kencang’ dengan orang yang benar-benar komited. Kerjabuat itulah neraca yang sebenarnya.

Kefahaman tentang analogi TAYAMMUM ini akan menjadikan kita umat yang mampu bertimbangtara untuk menimbang pada waktu bila kita perlu berwuduk dan berdakwah dengan kata-kata, pada waktu bila pula perlu bertayammum dan berdakwah melalui kerja. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana dalam mendidik manusia melalui pendidikan yang sangat halus ini.

Alhamdulillah.
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *