Mohamed Thajudeen Abdul Wahab

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, tindak balas semula jadi itu pasti akan berlaku akibat kerakusan `tangan-tangan manusia’ sendiri kerana permukaan bumi kehilan­g­­an pelindung, daya pengikat dan cengkaman tanah, sekali gus mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar dan cerun-cerun bukit tidak stabil.

“Banjir dan pembalakan memang ada kaitan. Kita lihat sendiri paras air naik amat luar biasa iaitu paling teruk selepas kejadian bencana banjir berlaku pada tahun 1967 dan 1971.

“Apa yang kita lakukan terhadap alam semula jadi ada tindak balas, jadi kita sendiri terima akibatnya,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Thajudeen memberitahu, operasi memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands akan dimulakan semula selepas kerja-kerja tersebut dihentikan seketika sejak 26 Disember lalu kerana kekangan cuaca tidak baik, selain keadaan jalan yang licin menyukarkan tugas pembersihan.

“Pihak kami akan bermesyuarat Selasa ini untuk melihat sama ada keadaan mengizinkan untuk kita meneruskan kembali tugas-tugas pemusnahan kebun sayur haram itu,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MKN akan membuat taksiran kerugian secara keseluruhan akibat banjir besar yang melanda negara selepas keadaan pulih sepenuhnya.

Kata beliau, pihaknya akan menganalisis semua situasi termasuk nilai kemusnahan rumah penduduk bagi tujuan pembinaan semula membabitkan tiga kategori iaitu penilaian kemusnahan rumah secara total, rumah rosak yang tidak boleh diperbaiki dan rumah separuh rosak boleh diperbaiki.

Jelasnya, ini termasuk kerosakan kemudahan awam lain seperti dewan orang ramai, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan dan sebagainya yang belum dapat dipastikan tahap kemusnahannya kerana masih ada tempat ditenggelami air.

“Pada ketika ini kita sudah pun membuat penilaian kerosakan rumah secara berperingkat-peringkat di tempat-tempat yang sudah pulih kerana keutamaan kita adalah membaik pulih rumah.

“Selepas keadaan semuanya pulih, kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan menilai kerugian selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu,’’ katanya.