Video buli pelajar berlaku di asrama anak yatim di Perlis

image_pdf

Video buli pelajar berlaku di asrama anak yatim di Perlis

Sebuah lagi video klip (gambar) yang turut merakam aksi buli sekumpulan pelajar terhadap sembilan orang pelajar lain sedang dikenal pasti. – Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan video klip aksi buli membabitkan tujuh  pelajar dan seorang mangsa yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini, berlaku di Asrama Anak Yatim, Kompleks Penyayang Doktor Siti Hasmah, di Jejawi, Kangar.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu merupakan kes lama yang telah dilaporkan Jun lepas dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Video ini melibatkan tujuh orang pelajar iaitu tiga pelajar tingkatan satu, dua pelajar tingkatan dua, dan dua pelajar tingkatan tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajudin yang telah memukul seorang pelajar darjah lima yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata difahamkan mangsa dipukul kerana enggan membersihkan bilik sedangkan pada hari berkenaan merupakan gilirannya untuk berbuat demikian.

Pihak polis tetap mengemukakan kertas siasatan kepada pendakwa raya sekalipun pihak penyelia pelajar telah menarik balik laporan mereka atas tujuan  menyelesaikan masalah itu secara baik, katanya.

Klip video berdurasi enam minit 51 saat itu memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lain di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah, sehingga menimbulkan rasa marah dalam kalangan masyarakat.

Mengenai sebuah lagi video klip yang turut merakam aksi buli sekumpulan pelajar terhadap sembilan orang pelajar lain, Mohamad Fuzi berkata lokasi serta nama sekolah itu sedang dikenal pasti.

“Arahan telah dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri untuk mengesan sekolah serta remaja yang terbabit, namun sehingga hari ini masih belum ada pihak yang tampil memberi maklumat,” katanya.

Kejadian itu direkodkan dalam sebuah klip video berdurasi empat minit 37 saat yang dimuat naik di laman sosial yang memaparkan aksi sekumpulan remaja lelaki membelasah sembilan remaja di dalam sebuah bilik dipercayai asrama sebuah sekolah.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di perkarangan Ibu Pejabat Bukit Aman bagi melihat tahap keselamatan struktur tanah di situ.

Mohamad Fuzi turut melahirkan kebimbangannya terhadap beberapa lokasi yang mempunyai ancaman terhadap struktur bangunan yang melibatkan Menara dua, Mess Pegawai Kanan dan kompleks tiga Cawangan Khas, berikutan terdapat rekahan bangunan dan hakisan tebing.

“Daripada mata kasar boleh dilihat rekahan bangunan menara dua manakala di Jalan Kinabalu terdapat tanah runtuh dan hakisan tanah yang merisikokan kedudukan bangunan menara dua, mess pegawai kanan dan Kompleks tiga Cawangan Khas. Saya berharap pihak berwajib dapat dapat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *