Antara berkeliaran & kerosakan – Musibah & muhasabah

image_pdf
00 draft 2ANTARA BERKELIARAN & KEROSAKAN – MUSIBAH & MUHASABAH

Seminggu dua ini kita semua gempar dengan misteri MH370, ditambah dengan tragedi kematian pengunjung Konsert FMFA 2014. Dengan kesibukan isu PRK di Kajang dan Sarawak, kita hampir tidak perasan deretan berita tentang pelajar hilang dan banyaknya kes pelajar mati lemas.

Artikel ini khusus kami rencanakan untuk menarik perhatian pembaca, khususnya dari kalangan murobbi, samada ibu bapa atau para guru. Apakah pelajaran yang kita dapat dari kesemua tragedi ini dan apa tindakbalas kita untuk segera mencegah ianya dari berulang lagi dan lagi.

RINGKASAN BERITA-BERITA KEHILANGAN & KEMATIAN

KES 1: Berita terkini malam tadi tentang kehilangan 4 pelajar tingkatan 5 Sekolah Vokasional di Gunung Bubu, Ulu Kenas, Kuala Kangsar pada 17/03/2014 sekali lagi menyentap nurani. Dua dari 4 pelajar itu disahkan mati. Mayat kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu ditemui di dalam Sungai Gading, kira-kira 13 kilometer dari kaki gunung berkenaan.

Dua lagi pelajar, seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 17 tahun yang turut hilang, dijumpai hidup pada pukul 9 pagi di persisiran Sungai Gading dalam keadaan letih dan lesu.

Keempat-empat pelajar itu merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan 5 sekolah itu yang mengikuti program perkhemahan 3 hari 2 malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.

KES 2: ini adalah kes kehilangan 4 pelajar, 3 lelaki dan 1 perempuan yang dilaporkan hilang selepas dibawa oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Mansor, 39, memasuki kawasan hutan di Bukit Wang Kerbau, berhampiran kaki Gunung Inas di Baling sebelum ini. Kesemua ibubapa menyedari anak mereka hilang setelah mereka tidak pulang seperti biasa sekitar maghrib.

Hasil pencarian pihak bomba dan penduduk kampung, 3 mangsa ditemui dalam keadaan selamat di Lata Lubuk Buluh malam itu, iaitu kira-kira 6 km dari kaki gunung tersebut. Seorang lagi mangsa perempuan, berusia 13 tahun, ditemui dalam keadaan pengsan.

Datuk Mansor dilaporkan membawa empat pelajar ke dalam hutan untuk menangkap beruk. Penduduk kampung mendakwa beliau pernah membawa seorang gadis kampung masuk ke dalam hutan yang sama sebelum ini namun tiada dakwaan dibuat.

KES 3: Berlaku di Kuala Krai. Mayat dua remaja perempuan berumur 13 dan 16 tahun yang lemas ditemui selepas tergelincir ke dalam Sungai Lebir di Kampung Manek Urai.

KES 4 : Kematian 3 beradik yang hilang dan dijumpai mati dalam sungai di Kedah semasa menunggang motosikal keluar rumah di malam kehilangan mereka.

KES 5 : Berita yang paling sadis tentang kematian 8 remaja di sungai Muar, Buloh Kasap, Segamat baru-baru ini.

KES 6: Tragedi 2 pelajar UITM yang mati lemas semasa mengikuti perkhemahan latihan intensif Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia bersama 30 pelajar lain di Pantai Sri Telong, Bachok.

KES 7: Seorang pelajar 17 tahun ditemui lemas ketika mandi bersama rakannya di Pantai Sri Tujuh, Tumpat pada 27 Mac 2013.

KES 8: PUNCAK ALAM – Seorang budak berusia 13 tahun lemas selepas terjatuh dari basikal ke dalam sebuah tasik bersebelahan sebuah pasar raya besar, di sini. Mangsa, dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam tasik ketika hujan renyai.

KES 9: 13 September 2013 – 2 kanak-kanak berusia 10 tahun mati lemas di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Mereka lemas ketika mandi bersama dua lagi rakan di kolam tadahan air yang dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Seorang darinya adalah anak seorang ibu tunggal.

KES 10: 04 Oktober 2013 – Tiga dari 18 penuntut Universiti Malaysia Kelantan mati lemas di air terjun Lata Tembekah dekat Besut..

KES 11: 03/09/2013 – Remaja 16 tahun mati lemas di Sungai Klang, Batu 8, Jalan Klang Lama, Selangor,

KES 12: 22 Julai, 2013 – 4 rakan berumur dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun ditemui mati lemas ketika bermain di tebing Sungai Melaka, berhampiran Taman Seri Krubong, Krubong.

Dan terlalu banyak lagi kes serupa, termasuk kes lemas ketika banjir, yang mudah kita baca di arkib berita. Harus diketahui juga bahawa Malaysia telah dikenali sebagai negara yang mempunyai kes mati lemas tertinggi di Asia.

MUHASABAH MUSIBAH – MENCARI ISLAH

Secara ringkas dapat kita rumuskan bahawa tragedi seperti ini banyak berlaku atas dasar kelalaian murobbi, samada ibu bapa ataupun guru / pensyarah. Umumnya kita lihat para murobbi tidak sedar akan kehilangan anak mereka sehingga berita kehilangan atau kematian mereka diterima. Ya, kita memang tahu anak remaja suka bersukaria, sukakan kebebasan, namun samada suka maupun terpaksa, kita harus bijak membaca tanda dan menfirasatkan bencana sebelum terjadinya. Tambahan pula apabila kes sebegini memang boleh dijangka.

Dalam kes 1, jelas memperlihatkan kelalaian murobbi. Bagaimana 6 guru boleh gagal mengawal 25 anak murid sehingga 4 dari mereka, 3 lelaki dan 1 perempuan boleh begitu jauh terpisah dari kumpulan mereka. Mengapa dan untuk apa pelajar ini memisah begitu jauh. Bagaimana pengawasan murobbi terhadap mereka.

Dalam kes ke 2, ibu bapa mangsa juga kelihatan lalai kerana tidak tahu di mana anak mereka sehingga disedari hilang malam itu. Penduduk kampung juga tidak megambil pelajaran bilamana Datuk berusia 39 tahun yang pernah ada kes membawa masuk anak gadis kampung ke dalam hutan. Kelalaian penjaga turut melibatkan hampir kesemua kes kematian akibat lemas yang tersenarai di atas.

Demikian juga kelalaian murobbi atas apa yang terjadi pada kes kematian sewaktu pelajar mengikuti rombongan dan perkemahan, contohnya pada kes pelajar UITM, UMK dan sebagainya. Bukan kita tidak redha dengan takdir, tidak juga bertujuan untuk mencari salah semata-mata. Namun sebagai murobbi kepada anak-anak dan pelajar kita, ada tanggungan yang harus kita jawab dan ambil kira.

PERKONGSIAN PENGALAMAN SEKOLAH ALAM

Sekolah Alam ialah satu program pembelajaran laduni yang sangat iteraktif dan berbentuk eksplorasi. Ramai anak-anak hari ini jadi hebat dan jaguhnya sekadar di atas kertas peperiksaan, namun apabila mereka ditolak masuk ke lapangan kerja, mereka ini terus bertukar dari hebat jadi menikus akhirnya.

Sekolah Alam Prihatin bukan sahaja ketika mengikuti rombongan, tetapi juga ketika berada di rumah. Kami cipta alam kami yang tersendiri untuk membentuk anak anak di rumah ini. Keseronokan bukanlah matlamat utama kami ketika membawa mereka mengembara dalam Program Sekolah Alam. Namun PENDIDIKAN secara alam itulah matlamatnya, yang apabila ia dicapai, keseronokan juga akan hadir dengan sendirinya. Itu jelas dapat kami dan anak-anak rasakannya.

Sebelum kami memulakan PROGRAM SEKOLAH ALAM (PSA), kami bertelekan dalam program dipan-dipan harian mencari buruk baiknya Sekolah Alam. Semua jemaah founder harus menceritakan kesemua pengalaman semasa mengikuti ‘rombongan sekolah’. Oleh itu, selain dari merujuk kepada berita semasa, sebahagian dari rumusan kami turut merujuk kepada pengalaman itu. Atas analisa itu maka kami membuat rangka khusus untuk mencari kaedah terbaik untuk PSA kami.

Antara dapatan kami adalah perkongsian seorang anggota pengasas yang menceritakan pengalaman mengikuti ‘rombongan sekolah’ dengan 2 buah bas, 4 hari 3 malam dari sekolah beliau di Johor ke Kuala Lumpur dan Cameron Highland. Antara perkongsiannya ialah guru pengiring hanya 4 orang, 2 lelaki dan 2 perempuan sahaja.

Apa yang perhatikan adalah begitu banyaknya perbuatan sumbang yang berlaku pada pelajar remaja tingkatan 4 dan 5, samada sesama sendiri atau dengan guru lelaki pengiring. Ia berlaku di sepanjang kembara itu, samada dalam bas maupun di penginapan. Seorang guru lelaki malah turut membawa pelajar perempuan yang memang diketahui ‘rapat’ dengan beliau naik ke ‘bukit’ di perhentian air terjun ketika rombongan berehat. Perjalanan rombongan sampai terlambat kerana menunggu pasangan ini turun. Kami tinggalkan di sini untuk kita selaku murobbi sama-sama mengkaji kemungkinan seterusnya.

Dalam PSA kami, anda dapat lihat begitu ramai pengiring samada dari kaum ibu maupun bapa. Selain daripada itu, abang dan kakak yang besar ditausiahkan untuk mengambil seorang adik sejenis untuk sentiasa diapit. Setiap murobbi, abang dan kakak besar dibekalkan dengan kamera, samada video maupun gambar biasa. Tiada siapa boleh memisahkan diri dari pengatur dan pengiring, maupun dari jemaah besar tanpa terlebih dahulu mendapat izin.

Percampuran lelaki perempuan sesama warga tidak diizinkan sama sekali. Jika ada peluang berenang di kolam atau sungai sekalipun, mereka akan digilirkan. Perjalanan anak-anak Prihatin semasa sekolah Alam dirakam sepenuhnya oleh video dan gambar. Mungkin bas kami satu-satunya bas yang mempunyai 8 cctv untuk merakam gelagat anak-anak sepanjang perjalanan. Demikian juga dengan fungsi 65 cctv di kompleks RPWP di mana pergerakan anak-anak sentiasa diperhatikan dan dirakam untuk tujuan analisa sikap dan tabiat.

Setiap murobbi dibekalkan dengan ‘walkie talkie’ dan telefon pintar untuk memudahkan perhubungan dan melapurkan setiap keadaan sesama mereka. Semua perkara yang terjadi di sepanjang perjalan PSA, maupun di rumah akan lapur dan dibincangkan bersama setiap malam. Inilah kaedah alam RPWP ditadbir. Ia sesuai dengan konsep Allah sentiasa melihat dan mendengar, konsep setiap diri ada malaikat yang mencatat dan mengiringi, konsep malaikat melapur amal kepada Allah setiap hari dan sebagainya itu diterjemahkan.

MEMPERBETULKAN BASMALLAH

Ramai yang bertanya bagaimana kami mengatasi masalah seperti ini. Akan kami cuba kongsikan sedikit sebanyak formulanya secara ringkas.

Pertamanya, anak-anak khususnya yang sudah akil baligh kami wajibkan membaca quran terjemahan perkata, minima 3 kali ulang. Keduanya kami cuba jelaskan segala perintah dan aturan kepada mereka merujuk kepada quran yang mereka baca itu. Dengan itu mereka tahu, apa sahaja yang kami perintahkan itu bukan dari kami semata-mata, ianya dari Allah yang maha kuasa. Mematuhi arahan itu adalah ASAS BASMALLAH, berbuat dengan NAMA ALLAH.

Setelah itu, setiap hari akan kami tanyakan mereka di mana ‘larinya’ Basmallah mereka, iaitu perlakuan yang tidak mengikut kehendak Allah, atau tidak tepat mengikut ketetapan alquran. Mereka akan mengakui sendiri jika menyedari, melalui amalan harian yang dipanggil takwim ISTIGHFAR harian. Jika mereka tidak sedar, maka pendamping pula akan melapurkan. Jika bercanggah, rakaman video, gambar dan cctv akan dimainkan. Kemudian setiap pagi mereka akan menyatakan rutin IKRAR/IFTITAH. Itulah amalan harian pembentukan mereka.

Seterusnya anak-anak sentiasa diarahkan untuk mengamalkan konsep salam dan izin. Semua yang ingin mereka lakukan harus mendapat izin dari murobbi atau ketua mereka terlebih dahulu. Dalam hal perkemahan dan rombongan sekolah ini juga begitu. Kami sangat ‘ketat’ untuk melepas anak-anak kami mengikuti rombongan sekolah biar apa pun alasannya.

Dalam hal ini, kami rasakan mudah meletakkan Basmallah kepada anak-anak kami kerana kami menjaga mereka juga atas dasar Basmallah, lillah billah semata-mata. Tiada seorangpun menerima ganjaran ‘dunia’. Apa yang kami arahkan kepada mereka, kami juga mengamalkannya. Contohnya, mereka mudah mengaku kesalahan dalam program istighfar kerana setiap hari mereka lihat murobbi melakukannya pada diri sendiri. Mereka tidak malas bekerja kerana semua murobbi berkerja siang malam untuk membela kebajikan mereka. Mereka minta izin kerana murobbi juga melakukannya.

Antara masalah kita mengurus anak dan para pelajar ialah apabila kita meminta anak mengamalkan aturan, tetapi kita selaku murobbi mereka mengabaikannya, seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus.

Rombongan sekolah itu baik, namun ia akan meruntuh akhlak dan mengorbankan nyawa bila tidak terpantau dengan baik. Kerana itu ada kalanya kami rela dikatakan kolot dan kedekut dalam mengikuti rombongan sekolah. Biarpun dana wakaf bas tidak seberapa, namun kami usahakan juga membeli 2 buah bas terpakai untuk memenuhi keperluan pendidikan yang lebih sempurna kepada anak-anak ini melalui PSA.

BERKELIARAN VS BERTEBARAN

Pernah kami sentuh sebelum ini tentang bezanya konsep ini yang kelihatan serupa tapi tak sama. Allah mahu kita bertebaran di atas muka bumi mencari rahmat Allah dan bukan berkeliaran di atas muka bumi. Jika dalam bahasa inggerisnya, kedua-dua membawa maksud yang sama iaitu “Roaming”.

Perbezaannya ialah berkeliaran ini sifat haiwan yang tidak berpengaturan. Mereka bergerak tanpa objektif khusus yang membangun selain dari memenuhi nafsu mereka. Jika lapar mereka makan, jika berhajat mereka mengawan. Berapa ramaikah generasi kita yang sudah seperti ini? Hidup tak selesa dikongkong peraturan. Itu jadinya anak-anak kita berpeleseran berpesta-pesta mencari halwa nafsu yang sekadar menyedapkan mereka sementara sahaja. Sudahnya, bala yang ditempah yang tiba. Banyak juga cerita tentang kumpulan lelaki dan perempuan terhilang dalam hutan semasa aktiviti perkhemahan. Adakah terhilang ataupun menghilang mencari port terbaik untuk “projek”?

Apabila kami menampakkan begini, nanti banyaklah nasihat yang meminta kami untuk bersangka baik. Kami rasa, itu sangat tidak kena tempatnya untuk bersangka baik di kala kita perlu prejudis. Nabi Hidir tidak akan bunuh kanak-kanak kecil dalam perjalanannya bersama Nabi Musa jika beliau tidak prejudis. Bukankah Nabi Hidir patut bersangka baik? Oleh kerana tiada prejudis itu yang menyebabkan ibu bapa Si Mati kerana overdos dadah semasa Festival Muzik minggu lepas menangis dan meroyan tak habis-habis. Bukankah patut prejudis bila anak keluar rumah dengan baju ketat, rambut berwarna dan siap minta izin untuk pergi “parti liar”. Ibu bapa hanya bersangka baik sahaja kan?

Berbeza dengan BERTEBARAN di atas muka bumi. Dalam Bahasa Inggerisnya ia masih bermaksud “roam” tetapi ia lebih teratur dan ada misi, dengan aturan oleh pengatur-pengaturnya. Bayangkan jika Malaysia tiada peraturan, ia akan jadi aman ataupun rosak? Begitu juga dengan manusia yang bertebaran di atas muka bumi untuk mencari rahmat Allah. Rahmat terbesar Allah ialah ILMU dan itulah yang kami lakukan dalam PSA kami. Ia Nampak sama seperti rombongan biasa tetapi ia padat dengan pengisian.

Sebelum naik bas, semua sudah diberikan tausiah perjalanan dan diakhiri dengan ikrar. Naik sahaja bas, ia sudah diatur tempat duduknya. Lalu muhadir akan memberi tausiah disiplin. Makan dan minumnya semua bertaqwim. Anak yang ibu bapanya berkemampuan tidak boleh singgah turun di perhentian untuk beli “jajan” yang hanya dia seorang sahaja yang ada. Jika mahu beli, belikan terus 100 ahli dalam perjalanan itu. Di dalam bas pula ada muhadir yang memberikan input-input melalui pemerhatian sepanjang perjalanan. Tidur mereka juga ditaqwimkan mengikut masa. Terus sampai ke destinasi dan pelbagai lagi pengaturan yang dibuat supaya mereka boleh bertebaran dan mengaktifkan rongga fikiran mereka untuk mengambil segala pemerhatian itu menjadi ilmu yang manafaat. Kerana minat atas ilmu itu, maka timbullah SERONOK. Keseronokan hanya kesan dari apa yang kami lakukan dan bukan satu destinasi utama.

Hari ini, anak kita minta izin bertulis yang dibawa dari sekolah untuk pergi ke perkhemahan di air terjun. Surat itu wajib ada tulis “sekiranya terjadi apa-apa kemalangan yang menyebabkan sebarang kecederaan atau kematian, pihak kami tidak akan bertanggungjawab”. Itu bermakna, tanggungjawab dikembalikan kepada ibu bapa tetapi ramai ibu bapa tidak sedar. Anda tutup mata, bayar RM50 dan tandatangan surat itu tanpa prejudis. Semasa hari rombongan, anda beri lagi RM100 untuk belanja. Di manakah tausiah anda?

Selepas 2 hari anda terima panggilan dari polis mengatakan anak anda meninggal dunia kerana lemas di air terjun. Apa yang anda rasa?

Mesti ada yang akan jawab “itu dah ajal”. Memang betul matinya seseorang kerana ajal, maka tidak perlulah dilakukan post-motem kerana boleh sahaja letak sebab kematian dalam sijil kematian mereka itu dengan “KERANA AJAL TELAH SAMPAI”.

Adakah anak anda berkeliaran?
Ataupun bertebaran?

KESIMPULAN

Gejala dan musibah boleh di cegah dengan ilmu, dengan doa, seru, dan nasihat sesama kita dengan ikhlas, telus dan istiqomah. “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan”. – Al Israa’ 36.

Guru juga manusia biasa, sesama pelajar apatah lagi. Jika kita dekatkan sesama mereka dalam suasana yang mengizinkan mereka melakukan sesuatu yang ‘luar biasa’, maka itu adalah salah kita. Kesilapan itulah yang mengundang nasib malang. Nasib itulah yang kita selalu kata ditetapkan Allah.

Nasib kita akan terus menerus malang sampai bila-bila selagi kita tidak mencari rujukan dari sunnah dan kitabullah tentang bagaimana dan mengapa terjadinya. Itulah ketetapan Allah, iaitu tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak berusaha mengubahnya mengikut cara yang telah Allah tunjukkan. “Tidak Islam orang yang dipatuk Ular, 2x di lubang yang sama”.

Rekod menunjukkan ada juga guru, bahkan ustaz yang mengambil kesempatan untuk sampai ke peringkat berzina dengan anak murid mereka sehingga mengandung anak luar nikah. Sesama pelajar sudah pasti sukar dinafi. Pemandu dan kelendan bas sekolah pun tumpang sekaki.

Anak gadis pada tahap usia 13-15 tahun ini adalah tempoh mereka memasuki fasa puberti yang semulajadi. Pada waktu ini, anak yang dilepaskan keluar tanpa pantauan boleh menjadikan mereka mencuba apa yang mereka telah lihat, lebih-lebih menerusi internet yang langsung tidak boleh disekat-sekat lagi pengaruhnya. Ketagihan seks di usia muda membuatkan anak kita menggila ketagihannya. Ia terlalu sukar dimatikan melainkan setelah anak kita hamil dan menderita.

Hayatilah rintihan bapa dalam berita kehilangan anak gadis berusia 15 tahun baru-baru ini. “SAYA SUDAH TEBAL MUKA NAK BUAT LAPURAN POLIS KERANA INI SUDAH LAPURAN KE 3 DIA MELARIKAN DIRI”, kata si ayah.

Sebagai Ibu bapa kita harus cemburu. Kirimkan, bacakan Yasin dan Fatihah (bahkan seluruh quran) waktu hayat mereka. Jangan terlalu sporting sehingga membiarkan anak gadis dengan berani keluar dengan boyfriend, mendedahkan gambar-gambar tubuh dan memek muka gedik merata-rata. Jangan izinkan anak gadis ke konsert yang banyak rosak berbanding seciput sahaja kebaikan yang tinggal. Natijahnya, begitu ramai kematian yang mengerikan. Pada waktu ini, menangis sudah tiada gunanya lagi.

Kami juga sedar kami dan anak-anak tidak maksum dan sentiasa terdedah kepada gejala dan bahaya. Jika alam ini masih terus ternoda, anak kami juga akan turut merasa bahangnya. Kerana itulah kita perlu saling menasihati dan mencari Islah melalui amal soleh bersama-sama.

Semuga bermanfaat.

WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *