Melayu bangsa defensif tapi kurang ofensif

image_pdf

melayu defensifMELAYU BANGSA DEFENSIF TAPI KURANG OFENSIF

Ini adalah soal sosiologi bangsa. Dari sudut sejarah, bangsa Melayu memang bangsa yang tidak pernah menjajah sebaliknya hanya dijajah sahaja. Pendekatan tunggu dan lihat ada pada Melayu. Ciri Melayu yang asal suka mengelakkan pergaduhan dan lebih berbudi bahasa. Itu satu sifat yang sangat positif.

Namun begitu, jangan disangka air yang tenang tiada naga di dalamnya. Jangan cuba usik atau pijak Maruah Melayu, kerana kebangkitan emosi Melayu tidak mampu ditadah lawan. Berparang, bergolok dan berluka, berdarah, bahkan mati sekalipun semuanya Melayu yang beragama Islam ini sanggup jika sentimen maruah dan agama mereka tercabar.

Dalam kebaikan yang ada pada sikap bangsa Melayu ini, ia tetap ada lemahnya. Defensif (bertahan) dalam contoh mempertahankan maruah Bangsa Melayu di atas ialah sebenarnya satu pendekatan pasif. Sikap ofensif (menyerang) pula lebih kepada tindakan pro-aktif.

Malangnya apabila melibatkan agenda membangun sesuatu perubahan yang baik contohnya, Melayu masih mahu menjadi bangsa defensif. Dalam bahasa yang sering kita dengar ialah antara MALAS (defensif=pasif) dan RAJIN (ofensif=proaktif). Itulah kaitan dari segi istilah dan tindakan.

Orang Melayu sering dikaitkan secara generik sebagai bangsa yang malas. Namun tidak semuanya begitu. Contohnya jika orang Melayu diumpamakan sebagai seorang pemburu, mereka akan duduk di satu tempat dan menunggu mangsa masuk ke jerat. Bangsa lain pula lebih ofensif dengan menjejaki haiwan buruan sehingga jumpa lalu ditembaknya. Tidak cukup dengan diri sendiri, mereka sanggup bawa beberapa ekor anjing untuk menjejak dan menghalau buruan. Dalam 1 hari pemburuan, pendekatan ofensif akan mampu menghasilkan jauh lebih banyak dari pendekatan defensif.

DEFENSIF DAN OFENSIF DALAM AGAMA

MELAYU pada asalnya adalah satu rumpun bangsa yang berkulit sawo matang di gagasan Tanah Melayu Nusantara. Dari sudut bahasa, Melayu secara tepatnya adalah istilah Jawa yang membawa maksud lari. Ini adalah istilah agama yang terkait dengan ‘Hijrah’.

Pelbagai suku kaum berpakat membentuk satu rumpun bangsa yang dipanggil Melayu untuk menyatu meninggalkan agama asal mereka iaitu Hindu kepada Islam. Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Arab, Malbari dan lain-lain yang telah sepakat berhijrah menerima Islam, ‘lari’ meninggalkan agama lama membentuk ‘rumpun Melayu’. Hal ini terkait dengan ‘penyatuan’ dan ia sangat Islamik (ummatun wahidah).

Budaya agama mereka ketika itu sangat ofensif. Islam berjaya melebar luas hasil penyatuan rumpun bangsa ini. Hampir seluruh negara-negara Nusantara termasuk IndoChina, kecuali Thailand yang bermaksud ‘tanah bebas’ dari penjajahan, telah menerima Islam. Malangnya sifat ofensif itu tidak bertahan lama. Mereka berjaya dilemahkan oleh gerakan ofensif 3 golongan penjajah barat, iaitu Portugis, Inggeris dan Spanyol yang bersekutu untuk menjajah Nusantara. Laluan perdagangan melalui Syarikat India Timur (Vereenigde Oost-Indische Compagnie, V.O.C.) telah berjaya memperdaya Melayu Nusantara sehingga terjajah semuanya.

KEPERLUAN OFENSIF DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL

Gejala sosial yang sedang teruk melanda bangsa Melayu Islam kini memerlukan tahap kesedaran yang tinggi. Kita harus bertindak ofensif untuk menanamkan kefahaman dan akidah generasi bagi membendung kerosakan yang lebih teruk. Kita harus terlebih dahulu menampakkan segala bentuk gejala yang bakal menyerang minda dan jasad anak-anak kita sebelum mereka sendiri diperkenalkan oleh pemangsa yang bersifat buaya. Itu gerakan ofensif yang bersifat proaktif namanya.

Hari ini bila anak gadis keluar malam, kita masih lagi menjadi orang yang kurang ofensif untuk membanteras perangai anak gadis kita itu. Namun, setelah anak gadis kita mengandung anak luar nikah, barulah sibapa bangkit mengasah parang. Ada yang sanggup mati menjadi ikon difensif yang membunuh jantan yang merosakkan anaknya. Dari segi keselamatan, langkah amukan itu nampak macam ofensif, tetapi dalam ilmu keibubapaan, pencegahan tadilah sebenarnya ofensif dan menuntut bela itu sudah jadi defensif yang tidak berfaedah lagi.

Sudah mula nampak bukan?

DILEMA SIKAP DEFENSIF DALAM POLA FIKIR MELAYU

Dilema ini turut tergambar apabila kami menulis artikel yang dicetuskan melalui pemikiran anak-anak kami tempohari, contohnya di antara Bot Cina Vs Bot Melayu, Padi Cina Vs Padi Melayu, juga Permainan Bolasepak Vs Bola Keranjang. Kesemua itu adalah cetusan dari sintesis pemikiran anak-anak RPWP sahaja. Kami kongsikannya untuk memberi gambaran polafikir anak-anak hasil dari pemerhatian mereka melalui Program Sekolah Alam. Telah kami katakan itu bukan perbandingan yang konkrit, namun furqon anak-anak itu ada banyak pelajarannya untuk membina Islah bangsa.

Kita akui dan perlu akui, Orang Cina adalah bangsa terbaik di atas mukabumi Malaysia dan dunia apabila kita berbicara tentang ekonomi dan penyatuan. Maka, untuk belajar dari mereka, kita harus nampakkan dahulu apa sahaja sisi baik orang Cina yang boleh kita tauladani itu. Sementara itu kita highlight juga perbandingan sisi buruk pada bangsa kita yang perlu kita perbaiki. Pertemuan titik positif dengan negetif yang bakal kita cantumkan itu yang akan memberikan ‘cahaya perubahan’ kepada bangsa kita.

Namun… Masih ada lagi berulang-ulang perkataan-perkataan defensif seperti…

“Tak semestinya Melayu malas… Tak semua Cina rajin….”
“Tak semestinya main bola keranjang buat kita jadi fokus dalam hidup…”
“Tak semestinya bola sepak itu tiada fokus”
“Kita tak boleh mengagungkan bangsa lain.. Kita mesti bangga dengan bangsa kita…”
“Tak semesti itu, Tak semestinya ini bla bla bla bla and bla bla…”

Itu semua adalah respon defensif bangsa Melayu yang sukar menerima hakikat yang bangsanya sedang lemah dan masih lemah. Kita hanya menjadi pekerja kepada golongan mendatang sahaja. Tidak bolehkah mereka ambil sahaja kebaikan bangsa lain untuk mereka tauladani, selain dari hanya mencari keburukan mereka sahaja.

Satu lagi sikap defensif yang agak negetif pada orang Melayu ialah suka mencari-cari kelemahan bangsa lain, bukan mencari kelemahan bangsa sendiri dan meneliti kebaikan bangsa lain untuk dicontohi. Dalam perkongsian ilmu contohnya, pembaca Melayu suka mencari kelemahan penyampai berbanding mencari apa sahaja pelajaran dan kebaikan dari apa yang disampaikan. Contohnya, kita suka mempertikaikan perkara remeh seperti kaedah penyampaian, gambar hiasan, salah ejaan dan lain-lain lebih dari meneliti pelajaran dan mesej yang disampaikan. Ada juga yang mempertikai penyampai, bukan apa yang disampaikan.

Antara sebab berleluasanya sikap defensif Melayu ialah, kebanyakan kita telah merasakan satu ‘keselesaan’ berada di tanahair sendiri tanpa menyedari akan ada kemungkinan yang tidak kita ingini berlaku, iaitu ‘tanahair’ kita tergadai kepada bangsa lain.

PERIHAL MELAYU YANG BERHIJRAH DAN BERSATU

Kata hikmat “PUASA SIHAT, HIJRAH KAYA” ada kaitannya. Spirit MELAYU sebagai ‘rumpun bangsa Muhajirin’ yang sama-sama ‘berhijrah’ di Nusantara itu sudah luput dari minda generasi kita. Spirit itu telah diambil alih oleh minda hijrah Cina yang merasakan mereka kaum pendatang. Kita juga lihat Cina sangat komited dan patuh dengan pelbagai persatuan, atau ‘kongsi’ mereka. Jadi, tekanan persekitaran hidup sebagai pendatang (Muhajirin/ Melayu/ lari) itulah sebenarnya yang menerbitkan kekuatan ofensif kepada sesebuah bangsa, bukan genetik bangsa itu.

Dengan tekanan hidup di bumi asing itu membuatkan sesebuah bangsa suka dan mudah bersatu dan bekerjasama. Itulah juga asas rumpun Melayu yang telah bersatu di Nusantara ini. malangnya apabila sudah selesa maka semua sekadar bertahan dan mengharap sahaja. Jangan kata nak bersatu, ‘keselesaan’ itu malah membuatkan Melayu menjadi tamak dan saling tindas menindas merebut harta dan kuasa.

Dari sikap selesa itu juga timbulnya malas, merasa selamat, dan tiada usaha lebih dalam membela nasib bangsa atau sekurang-kurangnya nasib keluarga untuk masa hadapan. Kita amat yakin dengan kerja makan gaji, cukup masa, keluar makan tengahari, lepak dengan kawan tengah malam di kedai mamak. Hujung bulan, cucuk ATM, dapat gaji. Kerja 2,3, 10 tahun boleh naik pangkat dan gaji. Ada gred sampai Jusa dan lain-lain yang kita idamkan sudah cukup. Kita tidak memandang serius kepada dunia perniagaan, ancaman akidah, keperluan teknologi dan siyasah lainnya kerana tiada tekanan seperti bangsa pendatang atau yang terancam.

Kerana itu jugalah ramai Melayu di luar negara yang didapati mudah bersatu dalam apa saja persatuan dan mampu membina jatidiri sehingga menjadi sangat ofensif dan berjaya. Malangnya ini tidak berlaku di bumi sendiri.

KESIMPULAN

Jika kita asyik lihat keburukan orang, apakah tauladan yang boleh kita ambil lagi? Sebaliknya, ia akan hanya menjadikan kita bangsa yang sentiasa merasa selesa dan tidak lagi berubah untuk pembaikan.

Kita semua tahu setiap bangsa dan kaum itu ada kebaikan dan kelemahan. UNTUK KITA BELAJAR DARI MEREKA, carilah kebaikan mereka untuk kita contohi dan carilah keburukannya untuk kita jadikan sempadan laku.

Mari sama-sama ofensif. Kita atur diri, bersatu dan berhijrah untuk proaktif mencari uswah kebaikan orang lain dan melakukan pembaikan. Mari buangkan sikap defensif, sekadar duduk berdoa dan berharap sahaja tanpa usaha. Budaya ini sangat menebal di kalangan bangsa Melayu dalam kehidupan harian kita sekarang. Masih ramai yang hanya tahu berdoa, meminta-minta dan mengharapkan pihak ketiga untuk membantu menjayakan cita-cita atau menyelesaikan masalah kita. Buang habit menyalahkan orang lain yang kini jadi kepakaran kita.

Dalam hal agama pun begitu juga. Umat Melayu Islam kini sedang dilanda dengan pelbagai ajaran sesat yang semacam sukar dibendung. Sesetengahnya sampai peringkat yang tak masuk akal. Ajaran yang jelas mengubah kalimah syahadah, menyembah dan mengagungkan manusia, yang menolak terus urusan dunia, yang memutuskan persaudaraan, bahkan yang sampai peringkat menghalalkan pembunuhan pun kita ikuti juga.

Mengapa begitu mudah umat akhir zaman ini terpengaruh dengan pelbagai ajaran sesat? Adalah kerana dada kita kosong dan jiwa kacau. Mengapa dada dan jiwa jadi kosong? Ialah kerana tiada langkah offensif yang proaktif untuk program pengisiannya sejak dari buaian lagi. Kita tidak ofensif dalam urusan itu.

Apabila ajaran sesat sudah meluas dan tidak terkawal, maka barulah kita terhegeh-hegeh dengan tindakan mencegah dan menangkap. Situasi ini sudah tidak lagi dikira offensif walaupun ia seolah-olah kelihatan kita menyerang penyebar dan penganut ajaran sesat atau pesalah jenayah dan maksiat itu. Ia hanyalah sekadar langkah defensif, untuk mencegah kerosakan lebih berat (damage control) sahaja.

Tanpa ada rasa kebimbangan tergadainya tanahair, maka tidak akan ada kekuatan ofensif. Satu langkah yang kemas perlu diambil. Gaya fikir dan perlaksanaan dari defensif kepada ofensif perlu disuntik kepada anak-anak sejak lahir lagi. Semuga usaha, kerja keras dan semangat tidak mudah menyerah dapat segera ditanamkan menjadi satu budaya yang boleh menyelamatkan Melayu dan Islam khususnya di bumi bertuah ini.

Melayu sebenar… tidak hilang. Cuma manusia yang mengaku Melayu hari ini tiada lagi semangat Melayunya. Melayu kini telah hilang ‘Islam’nya.

Banyak bukti yang Melayu sudah tidak mampu untuk mempertahankan (defence) martabat dan kuasa bangsanya sendiri pun, sahingga dimomokkan dengan telahan ‘me-layu’. Melayu kini tidak lagi proaktif dan ofensif seperti makna asal perkataan Melayu yang bermakna ‘berlari’, kerana kini Melayu sudah “terduduk dan merangkak”.

Sesungguhnya ‘the best deffence is offence’.

Kudap Hujung Minggu
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *