Basmi Gejala Derhaka – Kembalikan Martabat Guru

image_pdf

00 derhaka 2BASMI GEJALA DERHAKA – KEMBALIKAN MARTABAT GURU

Rencana kami mengenai fenomena DERHAKA semalam menjadi sangat viral. Dalam masa 10 jam ia telah dibaca oleh hampir setengah juta pembaca, 6,000 SHARE, hampir 500 KOMEN, 2,700 LIKE. Padahal ‘Likers Page’ kami hanya 70 ribu sahaja. Ini menunjukkan tahap kesedaran dan keresahan umum yang melebihi had biasa. Rata-rata sangat bersetuju dengan fenomena yang direncanakan.

Kami turut dihujani dengan pelbagai komen, luahan hati dan saranan dari para pembaca. Ramai yang mengirim pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang denda-denda yang tidak boleh diambil oleh para guru kepada anak muridnya. MasyaAllah, hampir semua bentuk hukuman yang sangat biasa bagi kita generasi terdahulu sudah tidak boleh dilakukan lagi. Membaca senarai itu sahaja membuat kami terkesima. Apa sebenarnya yang boleh dilakukan oleh para guru untuk mendisiplinkan pelajar sekarang ini???

APA PENDEKATAN WARGA PRIHATIN?

Apabila kami kongsikan kaedah kolot pendidikan anak-anak kami, maka ramai yang bertanya apa yang kami lakukan untuk menangani anak-anak yang rosak akhlaknya.

Kami tidak dapat menerangkan satu persatu kerana ia terlalu panjang. Secara kasarnya, sangat kami tekankan disiplin pembelajaran ala TALAQQI, yang menekankan peningkatan akhlak MUROBBI agar layak dan mudah dicontohi anak-anak. Kami sangat disiplinkan anak-anak agar jangan sekali-kali MENDERHAKA, sentiasa menyayangi, menghormati dan mendaulatkan perintah guru untuk mendapat KEBERKATAN ILMU. Disiplin inilah yang dilakarkan oleh Imam Ghazali dan para ulamak terdahulu, yang juga banyak ditunjukkan oleh para nabi dan rasul untuk kita contohi.

Sewaktu mendaftar anak ke sekolah, kami lampirkan surat rasmi mengizinkan anak kami dirotan/hukum jika melakukan kesalahan. Yang penting jangan sampai melibatkan kecederaan. Atas dasar itu anak kami tidak terlalu mengada-ngada di sekolah, malah kerana itu juga anak kami ‘kurang’ menerima rotan di sekolah. Kami juga tidak membenarkan anak kami menggunakan handfone sebelum mereka ke universiti. Komputer dan internet hanya untuk tujuan penyelidikan pelajaran dan hanya dengan pemantauan sahaja.

Sebagai manusia, kita tidak lari dari melakukan kesilapan. Mustahil tidak berlaku khilaf di mana-mana dengan jumlah kendalian anak seramai ini. Namun, jika ada berita yang meragukan, kami mengambil pendekatan untuk ‘menyiasat’ dahulu. Kami berhubung rapat dengan para guru melalui kaedah SYURO. Pendekatan melapur ke pihak POLIS atau SAMAN MAHKAMAH sangat kami hindari. Secara logik pun kita boleh faham bahawa tindakan itu menggambarkan kita bermusuh dan tidak sukakan perdamaian. Itu telah kami rencanakan dalam isu DEBAT sebelum ini.

Seterusnya, anak didik kami melalui 3 fasa persekolahan, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah agama dan ‘home schooling’ kami sendiri. Atas permintaan ramai, kami akan lancarkan buku panduan HOME SCHOOLING kami yang memuatkan panduan sekitar 400 mukasurat tidak lama lagi. Kita selaku ibubapa harus sanggup melakukan sendiri kekurangan atau apa saja kelemahan modul pendidikan nasional.

Insyaallah hasil kajian pendidikan sedunia yang telah kami jalankan secara perbandingan selama ini akan turut kami kongsikan dengan kementerian Pendidikan bila sampai masanya nanti. Nantikan saja buku hasil kajian dan panduan pendidikan yang sedang dalam proses proof reading dan printing sekarang ini.

PEMILIHAN HOME SCHOOLING DAN TAHFIZ

Ingin kami kongsikan dengan para pembaca tentang fenomena kenaikan mendadak dalam statistik ibubapa yang memberhentikan anak mereka dari sekolah untuk mereka lakukan home-schooling. Padahal kami difahamkan yang ia sangat susah untuk diizinkan oleh KPM, namun ramai yang menggunakan hak asasi manusia sebagai pilihan mensekolahkan anak sendiri, atau memilih institusi Tahfiz sebagai alternatif.

Ibubapa sebegini lebih menekankan pendidikan akhlak dan ilmu akhirat daripada mengejar kecemerlangan akademik. Rata-rata mereka menampakkan kebimbangan dengan gejala DERHAKA dan rosak akhlak yang sangat berleluasa di depan mata. Tidakkah ini merugikan negara?

Fenomena ini juga menjadi pertanda telah hilangnya keyakinan ibubapa terhadap kemampuan institusi sekolah untuk membina akhlak dan sahsiah anak mereka. Juga fenomena hilangnya minat guru untuk mengajar, kerana terbeban dengan tugasan dan masalah anak murid yang sukar diatur.

LANGKAH PENCEGAHAN – FENOMENA HUKUM, HAKIM, HIKMAH

Selaku orang Islam, kita harus berpegang kemas pada alquran dan sunnah. Dalam quran ada lakaran hukum dan hikmah, ada hudud yang sesuai selaku pencegahan dan kisas yang sesuai untuk setiap kesalahan. Tiap malam jumaat kita baca surah Yaasin yang menegaskan “WAL QUR’ANIL HAKIIM – Demi Qur’an sebagai Hukum/Hakim”. Nabi SAW telah sabdakan agar kita merotan anak jika ingkar solat seumur 10 tahun. Tetapi ajar dahulu anak itu bermula umur 7 tahun.

Pepatah Melayu lama lantang mengatakan “Sayang anak tangan-tangankan”… Siapa kita? Bijak setara mana kita ini untuk menafikan keperluan hukuman yang sesuai terhadap anak?

Islam itu agama WASOTIYYAH. Sebaik-baik urusan ialah bersederhana. Kesilapan kita ialah keterlaluan bila menyayangi dan menghukum. Apabila anak sudah terlalu dimanjakan, maka akan malas belajar atau tidak boleh diajar, lalu membentuk sikap kurang ajar. Apabila itu terjadi kita hukum pula dengan keterlaluan, capai apa yang ada, atau bagi PENANGAN atau TENDANGAN terus, tak sempat nak bersoal jawab atau mencari rotan pun. Maka jadilah ia satu jenayah yang membinasakan, bukan lagi satu pendidikan.

Zaman dahulu, para ayah menghantar anak mereka untuk ke sekolah dengan rasa sangat hormat dan meyakini para guru. Ramai yang datang berbekalkan rotan untuk secara simboliknya diberikan kepada cikgu-cikgu, sebagai tanda segala tindakan cikgu akan dibela.

Yang baiknya, dengan simbolik itu anak berusaha menjaga disiplinnya kerana cikgu sudah dapat LESEN BESAR. Para guru pula menerima amanah itu dengan penuh tanggungjawab dan tidak menghukum murid sewenang-wenangnya. Maka jadilah kita sekarang ‘manusia’ yang ada ‘tatasusila’. Ironinya, ke mana kita campak pendekatan yang berkesan itu? mengapa ramai di kalangan kita menjadi bongkak terhadap para guru sekarang ini?

Dahulu, jika balik sekolah kita mengadu dirotan oleh cikgu, ayah akan ambil rotan atau talipinggang dan tambah lagi untuk cukupkan dos. Jalan keluarnya ialah menghormati guru dan mengikuti apa yang guru katakan. Hasilnya, tidakpun anak-anak ini dirotan walaupun diberi lesen rotan dari ibu bapa.

Kisah bapa meroyan bila anak dirotan ini pada kami sangat keterlaluan. Apabila bapa dah mula buat laporan polis, kami nasihatkan tukar terus sekolah. Bagaimana mahu sekolah di sekolah yang sama jika anak itu sudah jadi satu mimpi ngeri kepada semua jemah pendidik di sekolah itu. Nanti di sekolah baru pula boleh buat perangai lagi dan pindahlah sekolah lain pula.

Bukankah lebih mudah untuk UBAH PERANGAI diri, agar menjadi seorang ayah yang lebih menghormati guru kepada anak-anaknya? Hasil kajian saintifik menunjukkan ROTAN mampu menyerap hentakan (absorber) walaupun ketika marah. Keperitan rotan, biarpun calar tidak akan membunuh. Ia memberikan kejutan minda melalui rangsangan saraf yang sihat. Itulah fakta sains dari saranan Rasulullah SAW itu.

FENOMENA MALU UNTUK MELAKUKAN KESALAHAN

Hasil kajian kami di Jepun, PTA (Parents Teacher Association) untuk setiap sekolah sangat aktif. Mereka juga ada hukuman yang tidak ‘menyakitkan’ tetapi memberi impak MEMALUKAN. “MALU ITU SEBAHAGIAN DARI IMAN”. Orang Jepun pun tahu kerana malu, mereka tidak akan mengulangi perbuatan yang menyebabkan mereka dihukum.

Merujuk kepada ‘Pekeliling KPM’ yang kami terima, tindakan yang memalukan pelajar tidak langsung boleh dilakukan hari ini. Itulah dia…Kita ini, nama sahaja Islam, tetapi mereka beragama Shinto di Jepun lagi pandai tentang perlaksanaan Islam yang sebenar. Apa sudah jadi pada kita?

Jika dulu tak siap kerja sekolah, cikgu suruh keluar bilik darjah dan buat kerja sekolah di luar bilik darjah. Malu jangan katalah kerana berada di laluan orang lalu lalang. Lagi malang, bila ada “Cik Kecil Molek” yang diminati melalui koridor tempat kita terpaksa menyiapkan kerja rumah itu, terasa malunya bagai mahu ‘menukar muka’ menjadi tong sampah.

Ketuk ketampi, cubit, dijemur tengah padang kerana tak bawa baju PJ (Pendidikan Jasmani), piat telinga, junjung kerusi sehingga lari keliling padang bagi yang selalu ‘tidor’ atau tidak buat kerja sekolah itu satu asam garam pelajar dahulu. Kami sahkan melalui kajian bahawa segala hukuman itu membuatkan murid menyempurnakan apa yang diarahkan.

Sesungguhnya senjata ‘malu’ itu mampu untuk mendisiplinkan anak-anak. Menafikannya membuatkan generasi hari ini “TAK TAHU MALU” kerana mereka tidak biasa diperkenalkan dengan erti malu semenjak di sekolah. Bukan sekadar tak malu tidak buat kerja sekolah, mereka tidak langsung malu melakukan seks suka-suka di dalam kelas dengan diperhatikan oleh rakan-rakan yang bersorak. Cabar mencabar seperti “Kalau ko boleh main dengan mamat tu, aku bagi ko RM5” pun boleh sungguh-sungguh berlaku tanpa ‘rasa malu’. Kami mampu katakan ini kerana ia ada dalam fail kami.

JANGAN POLITIKKAN PENDIDIKAN

Realiti tidak seindah bicara menteri dan para pencacai politik. Setiap kali tukar menteri, tukar ketua pengarah, maka bertukarlah polisi pendidikan negara. Anak-anak dan para guru sering menjadi mangsa kecelaruan ini. Lihat saja buah butir dari luahan ibubapa dan para guru dari ribuan komen artikel berkaitan pendidikan yang telah kami rencanakan sebelum ini.

Sedarlah semua bahawa tahap ‘Pendidikan akhlak’ anak kita sudah sangat parah, walau akademiknya macam berjaya. Apabila pendidikan menjadi bahan politik, kebejatan yang bermula di sekolah juga tidak mampu ditangani.

Hasil perbincangan kami dengan pihak Polis juga sangat merisaukan. Banyak kejadian yang ibubapa tidak tahu, bahkan tidak dilapurkan pun kejadiannya atas dasar menjaga maruah keluarga. Apabila jenayah juvana tidak terkawal, PDRM terpaksa masuk sekolah. Malangnya ada yang protes lalu PDRM tidak dibenarkan masuk mengganggu persekolahan sedangkan gangster junior sedang dilatih dan direkrut di dalam sekolah itu. Itu hanya kerana campurtangan ahli-ahli POLITIK yang mahu menonjolkan diri mereka sebagai WIRA masyarakat.

Hasil kajian kami yang paling anda tidak suka ialah peningkatan kes di mana campurtangan anak-anak dan ibubapa yang turut mempolitikkan hal ehwal persekolahan. Apa yang anak lapurkan, ibu bapa ikut saja. Apa yang ibubapa putarkan anak pula ikut saja. Bayangkan anak yang masih belum kenal siapa TG Nik Aziz, DSAI, DS Najib, TS Muhyidin, DYMM Sultan dan lain-lain pun sudah dipolitikkan mindanya untuk membenci mereka. Ini amat tidak realistik sekali dalam pembentukan watan generasi. Harap pembaca faham apa yang kami maksudkan.

DI MANA MARTABAT GURU PADA HARI INI?

Dulu, jika berselisih dengan guru kalau boleh nak menyorok belakang tong sampah. Bukan kerana takut, tetapi segan dan rasa terlalu hormat dengan orang bernama guru. Tetapi setelah berjaya guru amat disayangi dan dihormati. Pantang guru minta tolong, apa yang termampu bekas murid akan bantu. Namun sekarang, cikgu sendiripun boleh dirogol, dicederakan sehingga ada juga yang sampai ke peringkat dibunuh. Nauzubillah.

Acapkali pembelaan kepada anak-anak yang bejat mendengar kata-kata keramat dari bapa dan ibu pelajar seperti “INI ANAK KAMI, KAMI KENAL MEREKA TIDAK LAKUKAN PERKARA TAK BAIK DAN SIAPA CIKGU NAK ROTAN ANAK KAMI? KAMI SENDIRI PUN TAK PERNAH JENTIK DIA”.

Sebahagian besar dari kami adalah warga pendidik. Ungkapan di atas ini seperti satu lagu “Dendang Perantau” di musim raya yang sentiasa berulang-ulang seperti satu skrip tetap ibubapa yang menyerang sekolah bila anak mereka dirotan. Kerana anak tidak pernah dijentiklah maka cikgu terpaksa lakukannya agar anak itu menjadi ‘manusia’. Jika sekadar kita sayang anak dengan membelainya semata-mata, kita nantikan sahaja kerosakan yang bakal berlaku.

Mungkin anak kita baru berumur 7 tahun pada hari ini dan kita rasa anak kita sudah baik. Anak ini melawan kita pun akan dikatakan “COMELNYA DIA DAH PANDAI BERHUJJAH, ALAHAI ANAK DADDY”. Tunggu sahaja apabila anak itu mula membantah kata-kata kita pada umurnya 13 tahun nanti. Pada ketika itu, “hilang comelnya” dan kita sendiri juga mungkin tidak lagi mereka pandang. Waktu itu kita akan capai apa yang ada, tak sempatpun nak cari rotan.

Jangan terlampau percaya cakap anak. Seorang lelaki yang tidak cemburu kepada kerja buat isteri dan anaknya ialah lelaki dayus. Kedayusan ini penyebab kerosakan rumahtangga yang menyebabkan huruhara. Itulah hakikat neraka yang kekal bagi keluarga yang imamnya DAYUS.

Siasat dan periksalah anak kita. Jangan terkejut, ada ibu bapa yang mendapatkan khidmat nasihat kami kerana anak tidak mahu dengar kata dan sering pulang sekolah lewat, bila kami minta diperiksa anak itu, maka ditemui kondom dengan diari yang membariskan senarai lelaki-lelaki yang pernah mengadakan hubungan seks dengan anaknya.

Remuk hati ibubapa. Tapi apakan daya, kerana tanpa disedari itu yang ditempah. Kita beri anak smartphone, dan dengan smarphone itu anak tadi mencari kenalan. Dengan smartphone itu juga, anak itu melakukan selfie seksi yang menarik ramai lelaki yang mahukan batang tubuh gadis ini. Semua itu adalah kecelakaan yang ditempah. Tak guna menangis ketika itu, sudah terlambat untuk memperbaikinya.

Ini berita “sangat besar”. GEJALA SEKS BAWAH 15 TAHUN SUDAH TIDAK TERKAWAL. Janganlah kita leka lagi.

KESIMPULAN – KEMBALIKAN MARTABAT TALAQQI

Inilah kaedah Islam yang telah kita sendiri yang mengaku berpegang kepada alquran dan sunnah ini menafikannya. Inilah pendekatan pendidikan Sultan Mehmet Al-fateh, begitu juga kaedah pembentukan disiplin dan jatidiri tentera dan badan beruniform, disiplin silat, pelajar pondok dan sebagainya.

Apabila fungsi guru sudah macam fungsi video di YouTube yang hanya boleh ditonton tetapi tidak boleh mendenda, berleter, menggertak mahupun mencubit, adakah kita rasa kita akan hasilkan anak yang mendengar kata?

Jangan rasa terlampau bijak dan bangga kerana kita tidak pernah menjentik anak kita. Sedangkan nabi juga sarankan penggunaan rotan. Mengapa kita bangga kerana tidak pernah merotan anak? Adakah kita mahu menyatakan yang kita lebih hebat dari Allah dan nabi yang menyarankan hukuman rotan?

Sultan Mehmet Al-fateh itu seorang PUTERA RAJA. Baginda dicampak ke pondok pesantren untuk belajar dengan 2 orang sheikh yang kadangkala dengan sengaja memukul baginda tanpa sebab dan memberikan baginda makanan yang menjadi baki paling akhir selepas pelajar lain semua makan. Pakaian baginda adalah yang paling teruk berbanding orang lain. Setelah menjadi raja, beliau memanggil 2 orang sheikh itu untuk bertanya mengapa sheikh itu tidak berlaku adil kepada beliau. Lalu sheikh-sheikh itu menjawab..

“Kami dititah untuk melakukan kezaliman itu kepada Tuanku supaya apabila Tuanku menjadi raja, Tuanku tahu perasaan rakyat yang akan Tuanku zalimi”.

Dipendekkan cerita, sebuah ketamadunan besar mampu ditumbangkan oleh Al-Fateh dengan penawanan Constantinople selepas ratusan tahun percubaan oleh pelbagai kekuasaan lain. Adakah kita mahu anak sehebat itu tanpa perlu ada pengorbanan? Tanpa tekanan, sebagaimana proses pembikinan batubata, sebagaimana tekanan carbon untuk membentuk Diamond?

Jika kita jawap “YA”, lebih baik kita teruskan bermimpi. Berilah anak kita hadiah kereta ‘Mini Cooper’ hanya kerana mendapat pencapaian cemerlang dalam UPSR dan nantikan sahaja kerosakan yang bakal tiba. Ini fenomena pendidikan yang tidak harus kita lupa.

Apabila guru tidak lagi dihormati, nantikan sahaja satu ketamadunan yang akan berakhir dengan REBAH.

Kudap Pendidikan
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *